Persoalan yang paling besar dalam kehidupan seorang manusia yang berfikir adalah tentang siapakah Tuhan mereka dan apakah hakikat Tuhan itu sendiri? Selain itu, soalan seperti, “Dari mana kita wujud?”, “Mengapa kita wujud?”, dan “Ke manakah kita selepas kewujudan ini?” merupakan soalan pemikiran dan falsafah yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah jauh sebelum Nabi Muhammad SAW menerimanya wahyunya yang pertama. Soalan-soalan tersebut tidak mampu sewenang-wenangnya dijawab hatta oleh ahli fikir yang agung sekalipun.
Sehinggalah manusia mendapat petunjuk wahyu daripada Sang Pencipta mereka yang berkomunikasi dan menyampaikan watikah-watikah khas melalui pengantara untuk mengingatkan hakikat keberadaan dan kewujudan mereka atas muka bumi ini, ia adalah kesengajaan Sang Pencipta sebagai ujian untuk mengetahui hamba-Nya yang mana patuh dan taat serta sebaliknya. Tujuannya apa? Tiada lain melainkan untuk menunjukkan kemahakuasaan-Nya semata-mata.
Tuhan yang menciptakan segala makhluk menjadikan kepercayaan kepada kewujudan-Nya sebagai ujian iman yang paling besar kepada makhluk yang ditaklifkan iaitu manusia dan jin. Selain daripada keduanya tiada beban tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak di akhirat, ia adalah kemuliaan sekali gus adalah beban yang maha berat.
Justeru, agama Islam melalui rujukan Ḥadīth Jibrīl meletakkan Rukun Iman yang pertama adalah beriman kepada Allah dan Rukun Islam yang pertama adalah mengucap dua kalimah syahadah. Sesiapa sahaja yang sudah mengucap dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan memahami maknanya dalam bahasa mereka sendiri dengan keyakinan di hati tanpa paksaan maka mereka dikira sudah menjadi seorang Muslim, namun keimanan dalam hati masih lagi boleh berbolak balik kerana sifat iman itu yazīd wa yanquṣ (bertambah dan berkurang).
Jadi soalan yang muncul adalah – siapa atau apakah Allah? Mengapa ia menjadi Rukun Iman yang pertama dan mengucapkan dua kalimah syahadah (memahami dan melaksanakan tuntutannya sekali gus tidak melakukan perkara yang boleh mencederakan lantas membatalkan syahadah) adalah rukun pertama dalam Rukun Islam?
Yang mana jika Ia tidak diimani maka sia-sialah 5 rukun keimanan yang lain. Kerana sifirnya bukan 6 – 1 = 5 tapi dalam sifir urusan ʿaqīdah dan iman ini 6 – 1 = 0, apatah lagi jika – 2, – 3, – 4, – 5 dan – 6 sekali gus! Mudahnya, seorang yang beriman semestinya dia adalah seorang Islam atau Muslim, tapi seorang Muslim tidak semesti imannya mantap. Itulah perjuangan hidup seorang Muslim yang Mukmin.
Ini adalah keistimewaan Islam yang mesti difahami secara menyeluruh dan tuntas agar tidak berlaku kesalahfahaman sebagaimana yang banyak berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Jika ditanya kitab apakah yang terbaik bagi digunakan untuk belajar Ilmu ʿAqīdah, Ilmu Tawḥīd atau perbahasan mengenai Rukun Iman?
Jawapannya adalah al-Qur’ān dan al-Ḥadīth itu sendiri. Cuma kemudian para ulama menyusun secara khusus dengan memilih ayat al-Qur’ān dan al- Ḥadīth berkaitan perbahasan ʿaqīdah, tawḥīd dan īmān secara ringkas berbentuk matan yang kemudian ada sharaḥnya atau dalam kitab berbentuk perbahasan dengan memasukkan juga perbahasan isu-isu semasa yang menjadi tantangan dalam isu ʿaqīdah pada zaman mereka masing-masing.
Ironinya apa yang berlaku di Alam Melayu cukup istimewa khususnya berkaitan pemikiran beragama orang Melayu, apabila Islam datang menjadi agama rasmi serantau selepas pengislaman para sultan dan rajanya maka keseluruhan rakyat khususnya yang berbangsa Melayu juga menjadi Muslim. Selain itu sudah ada kalangan kaum Muslim dari India dan China yang lebih lama menerima Islam berbanding Semenanjung Tanah Melayu. Sebagaimana tempat-tempat lain, Islam yang sampai di sini juga punya ciri-cirinya seperti mazhab dalam ʿaqīdah, fiqh dan taṣawwuf.
Dalam masa yang sama proses asimilasi budaya juga berlaku, bukan sahaja daripada tamadun bangsa lain namun juga budaya agama, maksudnya Islam datang dengan sifat keanjalannya pada peringkat awal bersikap lunak dan bertoleransi dengan mana-mana adat istiadat dan tradisi kebudayaan amalan daripada agama lama orang Melayu – Hindu-Buddha – dengan matlamat para pendakwahnya iaitu antara yang termasyhur adalah Wali Songo membersihkan unsur-unsur bertentangan dengan prinsip ʿaqīdah tawḥīd terutama bersifat hiburan dalam kebudayaan.
Sememangnya syariat Islam tidak bermasalah menerima sebarang bentuk adat istiadat dan tradisi kebudayaan tapi dengan syarat ia tidak melanggar batas syariat khususnya ʿaqīdah. Hakikatnya, kebanyakan daripada aktiviti adat resam dan tradisi budaya tersebut meskipun pada zahirnya nampak hanya suatu praktik budaya, namun sebenarnya ia dilakukan dengan ada keyakinan (iʿtiqād!) tertentu dalam hati.
Ini tidak termasuk kepercayaan yang bersifat khurafat, tahyul dan karut kepada makhluk halus seperti jin yang boleh membantu mereka daripada pelbagai aspek, selain daripada kepercayaan dan keyakinan terhadap sihir, jampi serapah dan petua-petua yang berkaitan dengan aktiviti berkaitan bomoh, pawang, dukun, tukang tilik dan seumpama.
Di sini menurut pemerhatian separa akademik saya, berlaku keironian dalam pemikiran beragama orang Melayu secara umumnya. Orang Melayu secara umumnya tiada masalah dalam menerima dan menyatakan keimanan kepada Allah, Malaikat, Nabi-Rasul, Hari Kiamat dan Qada’/Qadar, namun dalam masa yang sama dalam sedar ataupun tidak mereka juga percaya malah mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan asas keimanan mereka yang memungkinkan natijah seberat boleh mencederakan kualiti ʿaqīdah mereka malah membatalkannya kerana boleh menjadi sebab jatuh ke lembah kesyirikan kepada Allah SWT.
Namun amalan yang berasaskan adat istiadat, tradisi turun-temurun dan warisan nenek moyang ini diamalkan dengan iʿtiqād ia adalah satu bentuk ikhtiar sedangkan padanya terselit iʿtiqād dan keyakinan kepada entiti selain Allah SWT mampu menunaikan hajat, menyembuhkan sesuatu penyakit, memberikan sesuatu kebaikan, menghalau bala bencana, merubah nasib dan banyak lagi.
Meskipun begitu, jika ditanya mereka yang beramal dengan amalan tersebut akan menjawab, “Kita minta kepada Allah SWT, ini cuma ikhtiar sahaja.” Antara ikhtiar yang masyhur dan menjadi tradisi turun-temurun orang Melayu adalah menggunakan bomoh, pawang, dukun, tukang tilik dan seumpama apabila ada isu yang diyakini ada unsur mistik dan berkaitan makhluk halus.
Sedang dalam al-Qur’ān dan al-Ḥadīth secara jelas mencela golongan tersebut dan amalan mereka yang melibatkan sihir, sehingga al-Ḥāfiẓ al-Imām al-Dhahabī r.h. (w. 748H) dalam kitabnya yang masyhur bertajuk al-Kabā’ir meletakkan dosa ketiga terbesar dalam susunan 76 Dosa Besar menurut al-Qur’ān dan al-Sunnah adalah sihir, hukuman bagi mereka yang sengaja mengamalkan sihir apatah lagi menzalimi orang lain dengan sihir tersebut adalah dibunuh.
Selain itu, dalil-dalil daripada ḥadīth tentang celaan dan larangan menggunakan bomoh dan seumpamanya adalah sangat keras dan jelas sebagaimana dinukilkan oleh Imām al-Dhahabī r.h. Hakikatnya pengamalan sihir dan menggunakan khidmat sihir secara sengaja dan sedar memungkinkan seseorang itu juga mensyirikkan Allah dengan sengaja, oleh yang demikian dosa besar yang pertama dalam kitab tersebut adalah Syirik kepada Allah dan ditegaskan ia adalah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah.
Allah berfirman:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٲلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا (٤٨)
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”
(Surah al-Nisā’ (4) : 48)
Antara buku yang sempat saya kumpul dan lihat perbahasan mengenai isu-isu melibatkan adat resam dan kebudayaan Melayu yang ada unsur tahyul, khurafat, bidʿah dan seumpamanya antaranya karangan A. Talib Hj. Ahmad berjudul Kebudayaan Asli Melayu Tua I. Buku ini menghimpunkan 29 amalan yang menjadi budaya orang Melayu yang dianggap dan dipercayai mempunyai kelebihan dan manfaat berunsur mistik dan ghaib, penulis tidak mengulas dari sudut hukum syarak tentang amalan tersebut melainkan sekadar menghimpunkannya.
Dalam kandungan bab, diaturkan tajuk berdasarkan topik yang dibincangkan, ada yang tidak berkaitan dengan iʿtiqād namun sebahagian besar melibatkannya secara bercampur-aduk antara adat budaya yang tiada masalah bagi diamalkan namun menjadi isu apabila melibatkan kepercayaan dan keyakinan berkaitan perkara ghaib. Lihat jadual di bawah:
Perkara Wujud unsur iʿtiqād yang menyimpang:
1. Pendahuluan
2. Sapa √
3. Gaya potong pakaian √
4. Senjata √
5. Mandi √
6. Mandi membuang bedaka √
7. Mandi sampat √
8. Mandi bunting sulong √
9. Mandi limau √
10. Mandi nazar √
11. Mandi balai √
12. Mandi nobat √
13. Mandi safar √
14. Mandi khatan √
15. Mandi tobat √
16. Mandi junob √
17. Mandi wiladah √
18. Mandi mayat √
19. Memanjat √
20. Memanjat rumah √
21. Memuja kampong √
22. Surat serah √
23. Bersanding √
24. Membelah mulot kanak-kanak √
25. Naik buai √
26. Turun tanah √
27. Nazar √
28. Keramat Habib Noh √
29. Keramat Tok Gombak √
Perlu dibezakan antara hukum asal praktikal atau amali sesuatu amalan adat resam dan budaya dengan keadaan wujud unsur yang menyebabkan ia berubah hukum di sisi syarak sama ada kerana isu berkaitan iʿtiqād atau amali itu sendiri. Sebagai contoh, dalam bab mandi. Hukum asal bagi mandi adalah harus, ada mandi yang wajib (mandi junub) dan sunat (mandi pagi Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha) hukumnya kerana terdapat dalil yang jelas daripada nas khususnya al-Ḥadīth.
Namun apabila sesuatu mandi dijadikan ritual yang khusus dengan tatacara (kayfiyyāt) yang khusus (mesti begitu dan begini syarat dan aturannya yang tertentu) lantas mempunyai matlamat dan keyakinan yang khusus (iʿtiqād faḍīlat), sandaran terhadap ritual, matlamat dan keyakinan kesan atau balasan daripada amalan tersebut mesti ada dalil daripada nas yang qatʿī (putus/tetap) iaitu al-Qur’ān dan al-Sunnah yang sahih sahaja.
Dalam kebanyakan amalan berkaitan mandi dalam jadual di atas sampaikan ada yang disyaratkan perlu membaca mantera tertentu selain tatacara, niat, matlamat dan keyakinan yang khusus. Antaranya sebagai contoh dalam ritual no. 9 iaitu Mandi Limau. Menurut penulis:
Mandi Limau itu banyak sekali tujuan dan maksud-nya.
Semua upachara pelbagai mandi pasti ada limau kechuali mandi ayer buyong atau mandi balai.
Walau bagai mana pun mandi limau itu ia-lah terbilang dengan tujuan khas.
1. Mandi yang mendatangkan kuasa ghaib supaya ia gemar dan di-gemari masharakat.
2. Mandi supaya ia di-chintai oleh sa-orang wanita atau sa-orang laki2 yang di-hajat-nya supaya menjadi jodoh dan perkongsian hidup-nya kemudian hari.
Mantera serapah yang dibaca pula antaranya berbunyi:
Hai songsang guruku songsang,
alangkah bulan,
bintang lagi tersongsang,
tambahan pula hati anak laki2,
tersongsang memandang aku yang sa-orang,
aku jantan di-katakan betina.
Aku tinggi di-katakan rendah,
aku hitam di-katakan puteh,
aku garang di-katakan baik,
aku burok di-katakan elok,
berkat aku memakai doa… bukan… yang gila,
hati perot laki2 tundok kaseh sayang kepada aku sa-orang,
berkat mandi pengajar guru mustajab kepada aku berkat doa Yu ta nan mina kiu kiu yu turun jin tawi penaru, punaru orpak.
Kadang pula mantera yang dibaca diselit dengan nama Allah dan Nabi Muhammad yang amalan ini diamalkan era selepas Islam sudah masuk ke Nusantara dan diamalkan oleh orang Islam sendiri:
Shatarti santar lior ah titeklah lior semua anak laki2 kepada aku,
jikalau tidak titek darhaka-lah… pada Allah, d
arhaka pada Mohammad,
darhaka pada aku.
Amalan dengan keyakinan sebegini tidak boleh hanya bersandarkan sangkaan dan hujah bahawa ia adalah tradisi turun-temurun, amalan yang sudah menjadi budaya, adat resam zaman berzaman orang tua dulu-dulu atau kebiasaan masyarakat setempat dan seumpama. Ini kerana ia melibatkan kekhususan yang melibatkan hukum syarak dan urusan ghaybiyyāt dari aspek ʿaqīdah yang hanya boleh dibuat dan diterima jika punya nas yang sahih sahaja.
Di sinilah menjadi punca kerancuan dalam kefahaman pemikiran beragama orang Melayu sehingga berlaku campur-aduk beberapa amalan yang ada asas syarak yang kemudian berlaku kekhususan tambahan meskipun niat, matlamat dan keyakinan masih betul. Namun dalam beberapa keadaan sama ada amalan ataupun niat, matlamat dan keyakinan kedua-duanya sudah berlaku pencemaran yang teruk dan hilang keasliannya yang asal.
Hukum Islam memang mengambil kira ʿurf (adat kebiasaan setempat) dan wāqiʿ (realiti semasa) sebagai sumber hukum tapi perlu digunakan berdasarkan disiplinnya oleh mereka yang pakar atau dikenali sebagai ʿUlamā’ Uṣūlī (ilmuwan agama yang menguasai dan pakar dalam bidang Usul Fiqh), namun bukan semua ʿurf terpakai dan boleh diterima, elemen ʿurf fāsid (adat kebiasaan yang tidak dapat diterima oleh syarak) yang bermaksud adat kebiasaan yang bertentangan dengan syarak juga perlu diberi perhatian dan tidak boleh diterima apatah lagi ia melibatkan urusan ghaybiyyāt yang boleh mencederakan ʿaqīdah malah mampu menjerumuskan seseorang itu ke gaung kesyirikan kepada Allah selain salah menyimpulkan hukum syarak, implikasinya juga besar!
Pelbagai ritual ganjil, mantera yang tidak difahami, bahan-bahan yang pelik-pelik digunakan sebagai tangkal azimat, kepercayaan sial-majal, dikaitkan dengan bulan, hari dan keadaan tertentu selain tempat-tempat tertentu yang dianggap keras dan perlu diminta izin dengan lafaz tertentu jika mahu melaluinya dan banyak lagi.
Saya cuba mencari jika sudah ada kajian-kajian yang komprehensif secara akademik membincangkan hal ini dan ternyata sudah agak banyak sebenarnya sama ada dalam bentuk buku ataupun jurnal ilmiah. Malahan terdapat beberapa buku lama yang ditulis oleh penulis zaman tersebut membahaskan secara khusus mengenai isu ini.

*SEDUTAN DARIPADA BUKU ISRĀ’ĪLIYYĀT, ḤADĪTH MAWDŪʿ & FITNAH SĪRAH DI ALAM MELAYU (2019)









