• Tentang Kami
  • Hubungi Kami
Langit Ilahi
Advertisement
  • Home
  • Poster

    Poster – Do No Evil

    Poster – Sincerity

    Poster – Know Your Place

  • Arkib
No Result
View All Result
  • Home
  • Poster

    Poster – Do No Evil

    Poster – Sincerity

    Poster – Know Your Place

  • Arkib
No Result
View All Result
Langit Ilahi
No Result
View All Result
Home Kajian

KAJIAN – ISRĀ’ĪLIYYĀT DI ALAM MELAYU

Zahiruddin Zabidi by Zahiruddin Zabidi
July 10, 2025
in Kajian
0
KAJIAN – ISRĀ’ĪLIYYĀT DI ALAM MELAYU

Picture by: https://www.pexels.com/photo/cave-daylight-environment-forest-414616/

0
SHARES
196
VIEWS
Share on FacebookShare on TwitterShare on LinkedIn


Seawal umat Islam dianugerahkan dengan al-Qur’ān, ilmu tafsir al-Qur’ān mula berkembang. Penafsir dan pempraktis al-Qur’ān terulung adalah Nabi Muhammad SAW sendiri. Kemudian segala apa yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW dipanggil sebagai al-Sunnah, apabila al-Sunnah diriwayatkan dalam bentuk teks verbal dan bertulis oleh generasi Sahabat kepada generasi Tābiʿīn, kemudian dipindahkan kepada Tābiʿ al-Tābiʿīn ia dikenali sebagai al-Ḥadīth. Cuma pada peringkat awal tafsiran-tafsiran oleh ulama dalam kalangan Sahabat, Tābiʿīn dan Tābiʿ al-Tābiʿīn hanya melalui lafaz-lafaz verbal, dan ia diriwayatkan sebagaimana ḥadīth diriwayatkan iaitu dengan menyatakan juga sanadnya.

Selain itu pandangan dan fatwa para Sahabat juga dirujuk bagi memahami ayat al-Qur’ān selepas tidak didapati petunjuk daripada al-Qur’ān dan al-Ḥadīth, kalam para Sahabat dikenali sebagai al-’Āthār. Ini kerana mereka adalah murid kepada Rasulullah SAW dan merupakan generasi yang paling afdal dalam Islam. Sejarah panjang dan paling lengkap mengenai penulisan al-Qur’ān dan al-Ḥadīth  boleh dibaca dalam karya al-ʿAllāmah Prof. Dr. Muḥammad Musṭafā al-A‘ẓamī (1930-2017) yang ditulis dalam bahasa asalnya, bahasa Inggeris kerana matlamatnya bagi menghujah kembali tuduhan-tuduhan Orientalis seperti Ignaz Goldziher, David Margoliouth dan Joseph Schacht yang menimbulkan keraguan terhadap al-Qur’ān dan al-Ḥadīth sebagai kerjaya akademik mereka.

Sebenarnya di peringkat awal Islam lagi sudah ada gesaan daripada para ilmuwan dalam kalangan Sahabat dan ulama Salaf supaya berhati-hati dengan riwayat Isrā’īliyyāt yang merupakan riwayat tinggalan golongan Yahudi daripada sumber agama mereka yang tersisa, bahkan pada zaman moden ini juga memperlihatkan bagaimana Isrā’īliyyāt (moden) terus menjadi agenda musuh Islam tersebut. Bukan lagi rahsia, bahawa sebahagian besar Orientalis yang menjadi pakar rujuk dalam bidang pengajian berkaitan Islam dan ilmu-ilmunya di Barat adalah keturunan Yahudi. 

Para ulama zaman awal meriwayatkan riwayat Isrā’īliyyāt bagi mendedahkan dan memaklumkan bahawa ia adalah riwayat Isrā’īliyyāt, jangan riwayatkannya! Namun ia kemudian difahami, jika ulama muktabar pun riwayatkan riwayat tersebut (riwayat Isrā’īliyyāt), masakan ia tidak sahih!? Antara punca kesalahfahaman ini berlaku kerana tidak memahami metodologi penulisan ulama yang mengarang kitab tersebut, biasanya mereka membahaskan metodologi penulisan mereka dalam muqaddimah kitab tersebut.

Semasa mengikuti pengajian Diploma Usuluddin di APIUM, saya mengikuti pengajian Uṣūl al-Tafsīr di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Mustaffa Abdullah, beliau menggunakan buku silibus karangan beliau dan guru kami dan ramai ilmuwan lulusan APIUM khususnya daripada Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith (JAQH), Dr. Fauzi Deraman (semoga Allah SWT merahmati guru-guru kami yang mulia) berjudul Pengantar Usul Tafsir . Saya mula memahami banyak perkara, antaranya kenapakah banyak riwayat Isrā’īliyyāt dan kisah-kisah palsu berlegar dalam kalangan umat Islam khususnya di Alam Melayu, ternyata ia berkait rapat dengan berkembangan penulisan tafsir di Alam Melayu dan metodologi penulisannya.

Periwayatan kisah-kisah Isrā’īliyyāt memang banyak berlaku dalam tulisan kitab-kitab tafsir Alam Melayu, selain itu periwayatan ḥadīth (termasuk kisah-kisah) yang lemah, riwayat yang palsu (mawḍūʿ) hatta yang tidak ada asal (lā aṣla lahu) juga agak banyak dalam kitab-kitab ͑aqīdah, fiqh dan taṣawwuf tulisan ulama Melayu Nusantara. Ini berlaku bukan kerana kesengajaan namun suasana zaman dan sumber maklumat serta ilmu yang terhad menjadikan periwayatan hanya tertumpu kepada sumber-sumber tersebut tanpa disedari status sebenar riwayat-riwayat tersebut. Sungguh sumbangan para ulama Alam Melayu dalam memartabatkan Islam dan ilmu-ilmunya, serta perjuangan membebaskan watan daripada penjajah tidak ternilaikan, semoga sedikit kesilapan yang tidak disengajakan oleh mereka ini diampunkan oleh Allah SWT.

Sumber-sumber rujukan bagi penulisan karya ulama Melayu juga datangnya daripada rujukan-rujukan muktabar para ulama Islam awal contoh kitab-kitab tafsir mereka yang dipenuhi pelbagai jenis riwayat termasuklah riwayat Isrā’īliyyāt dan ḥadīth palsu. Kadang-kadang berlaku kekeliruan di mana para ulama muktabar contohnya al-Imām Muḥammad ibn Jarīr al-Ṭabarī r.a. atau Ibn Jarīr yang digelar sebagai Shaykh al-Mufassirīn dalam kitab tafsirnya yang dikenali sebagai Tafsīr al-Ṭabarī (Jāmi‘ al-Bayān ʿan Ta’wīl āy al-Qur’ān) sengaja memasukkan pelbagai jenis riwayat untuk menunjukkan kelemahan riwayat-riwayat tersebut bukan untuk diterima dan disebarkan, ia disebutkan dalam mukadimah kitab tersebut dan kitab sejarahnya yang berjudul Tārīkh al-Umam wa al-Mulūk atau dikenali sebagai Tārīkh al-Ṭabarī. Imam al-Ṭabarī r.h. menyatakan:

“Apa yang terkandung dalam kitabku ini perihal sebahagian kisah orang yang terdahulu. Antara berita itu, ada yang menyebabkan pembacanya berasa pelik ataupun pendengarnya berasa jelik. Ini kerana, dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Lalu dia perlu mengetahui, berita-berita itu bukannya datamng daripada aku, tetapi datang daripada orang yang menyampaikannya kepada aku. Aku merekodkannya sebagaimana yang sampai kepada aku.”

Justeru, amat penting bagi kita memahami metodologi penulisan seseorang ulama itu apabila kita mahu menelaah dan merujuk kepada karya mereka, kebiasaannya mereka akan menulis metodologi yang mereka gagaskan dalam penulisan karya mereka itu dalam mukadimah kitab mereka. Isrā’īliyyāt terus berkembang dan dinukilkan pula oleh penulis-penulis tafsir yang muncul selepas al-Imām Ibn Jarīr al-Ṭabarī r.h. dan tiada penilaian serius dibuat terhadap riwayat-riwayat yang termuat di dalamnya kerana pada peringkat awal tiada satu metodologi khas yang menjadi asas kepada penilaian-penilaian riwayat sehingga munculnya ilmu ḥadīth yang mementingkan disiplin ilmu Riwāyah dan Dirāyah yang merupakan asas utama dalam semua ilmu-ilmu Islam.

Selain itu, sepanjang sejarah Islam di Alam Melayu penulisan tafsir lengkap 30 juzuk dalam bahasa Melayu bertulisan Jāwī tidak semeriah kitab-kitab dalam bidang lain. Justeru, wajar juga kita telusuri kajian-kajian yang sudah ditulis oleh para pengkaji mengenai perkembangan penulisan tafsir al-Qur’ān dan metodologi mereka dalam bahasa Melayu sama ada bertulisan Jāwī atau Rumi, di sana ada ulama Melayu yang menulis tafsir dalam bahasa Arab namun kita tidak masukkan dalam perbincangan kita di sini.

Rujukan Utama Mengenai Perbahasan Isrā’īliyyāt

Sebelum itu, ayuh kita berkenalan dengan beberapa karya penting dan utama apabila membincangkan bab ini, malah ia diterima oleh ulama yang datang kemudian selepas daripada mereka secara jumhur. Antara rujukan terbaik dalam membincangkan mengenai Isrā’īliyyāt secara tuntas adalah naskhah karangan al-Shaykh Dr. Muḥammad Ḥusayn al-Dhahabī (1915-1977) berjudul al-Isrā’īliyyāt fī al-Tafsīr wa al-Ḥadīth  dan karya al-Shaykh Dr. Muḥammad bin Muḥammad Abū Shahbah (1914-1983) melalui kitabnya yang berjudul al-Isrā’īliyyāt wa al-Mawḍūʿāt fī Kutub al-Tafsīr , seorang lagi ilmuwan bernama Dr. Ramzī Naʿnāʿah dengan judul al-Isrā’īliyyāt wa ’Athāruhā fī Kutub al-Tafsīr , beliau boleh dianggap murid kepada kedua ulama di atas kerana tesis Ph.D beliau adalah seliaan Dr. Muḥammad Ḥusayn al-Dhahabī sendiri.

Kesemua ilmuwan ini adalah ulama besar dalam bidang al-Qur’ān dan ilmu-ilmunya di Universiti Al-Azhar, sudah semestinya mereka tiada kaitan secara langsung dengan aliran Wahabi yang sentiasa dikaitkan dengan Arab Saudi dan aliran yang dikatakan suka mencari kesalahan dalam penulisan dan amalan masyarakat awam khususnya di Nusantara. Menariknya lagi, kedua naskhah utama ini sudah pun diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu dengan agak baik. Namun karya Dr. Ramzī Naʿnāʿah tidak diketahui pernah diterjemah atau diterbitkan sama ada di Malaysia atau Indonesia, kesemua karya di atas adalah rujukan utama penulisan tesis doktor falsafah Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari di Universiti Islam Madinah berjudul al-Riwāyāt al-Isrā’īliyyāt fī Tafsīr al-Ṭabarī (1970).

Sebahagian hasil kajian doktor falsafah beliau kemudian dijadikan beberapa makalah dan diterbitkan sebagai sebuah buku ringkas pengenalan kepada Isrā’īliyyāt, buku ringkas ini beliau terbitkan sendiri dan tidak dapat dibeli di pasaran terbuka. Selain daripada itu beliau juga ada menulis dan membentangkan kertas kerja khas mengenai topik ini antaranya di Perkampungan Sunnah Perlis 2015 . Buku tersebut meskipun ringkas namun memadai sebagai pengenalan tuntas bagi seorang pemula mengenali dan mengetahui apakah itu Isrā’īliyyāt dan selok-beloknya.

Buku tersebut terbahagi kepada dua bab besar iaitu: Bab Pertama – Isu Israiliyyat dan Kaedah Mengenalnya, Bab Dua – Isu Hadith Palsu dan Kaedah Mengenalnya. Bab Pertama dibahagikan kepada enam topik iaitu: Muqaddimah, Takrif Israiliyyat, Pembahagian Israiliyyat, Hukum Meriwayatkan Israiliyyat, Kaedah Mengenal Israiliyyat dan akhir sekali adalah Kesimpulan dan Rumusan.  Sebagaimana yang saya maklumkan di atas, meskipun ringkas namun naskhah ini adalah begitu padu dan berguna. Semoga Allah rahmati dan permudahkan urusan guru kami, Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari atas usahanya ini.

*SEDUTAN DARIPADA BUKU ISRĀ’ĪLIYYĀT, ḤADĪTH MAWDŪʿ & FITNAH SĪRAH DI ALAM MELAYU (2019)

Previous Post

KAJIAN - Kejahilan Orang Melayu terhadap Hakikat ʿAqīdah-Iman kepada Alam-Perkara Ghaib dan Duduk Letaknya dalam Sejarah Budaya Melayu

Next Post

PARENTING - “Don’t Bring Your Child to the Masjid, He is Noisy”

Zahiruddin Zabidi

Zahiruddin Zabidi

Calon Sarjana Sastera Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu UM. Pembaca, penulis dan penceramah isu-isu berkaitan Islam dan Alam Melayu serta umatnya. Pengkagum tegar Prof. Dr. HAMKA dan tokoh seumpamanya.

Next Post
PARENTING – “Don’t Bring Your Child to the Masjid, He is Noisy”

PARENTING - “Don’t Bring Your Child to the Masjid, He is Noisy”

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langit Ilahi @ Media Sosial

  • 236.3k Fans
  • 324 Followers

Artikel Popular

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?
Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?
Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta
Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta

July 10, 2025
Langit Ilahi

Laman web Langit Ilahi. Mari Menjadi Hamba!

Follow Us

Kategori Artikel

  • Al-Quran
  • Bebaskan Jiwamu
  • Cinta
  • Kajian
  • Komik
  • Motivasi
  • Naiklah Bersama Kami
  • Parenting
  • Poster
  • Remaja
  • Tadabbur
  • Uncategorized
  • Untuk Kita Pendosa

Artikel Terbaharu

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta

July 10, 2025
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

© 2019 | LangitIlahi.com is an initiative by Hilal Asyraf Resources.

No Result
View All Result
  • Home
  • Cinta
  • Kajian
  • Komik
  • Motivasi
    • Naiklah Bersama Kami
    • Untuk Kita Pendosa
    • Bebaskan Jiwamu
  • Parenting
  • Poster
  • Remaja

© 2019 | LangitIlahi.com is an initiative by Hilal Asyraf Resources.