Tentang Kami

Langit Ilahi pada mulanya merupakan sebuah blog yang beroperasi semenjak pertengahan tahun 2007, diasaskan oleh Hilal Asyraf dan sahabatnya, Ihsan Berahim. Digerakkan dengan niat asal untuk berkongsi apa sahaja ilmu yang ada, blog Langit Ilahi terus beroperasi membelah masa.

Tema Mari Menjadi Hamba dipilih untuk mengingatkan akan niat utama Langit Ilahi ditubuhkan — yakni mengajak manusia agar kembali menjadi hamba kepada Allah SWT. Maka segala pengisiannya, segala apa yang dipersembahkan di dalamnya, mestilah berpusar di sekitar perkara itu.

Langit Ilahi telah melalui beberapa fasa, dan pernah berkembang sehingga mempunyai cabang kedai online dan konsultansinya sendiri, menganjurkan seminar-seminar yang berfokuskan kepada isu-isu belia, dan menjadi tempat pengasahan bakat muda-mudi yang berpotensi.

Namun kini, Langit Ilahi cuba membawa pendekatan terbaru, dengan memberikan fokus hanya kepada pengumpulan dan penyiaran artikel-artikel bermanfaat, bersesuaian dengan tema ‘Mari Menjadi Hamba’, dan seputar isu-isu dan fakta berkait dengan Islam, seperti motivasi, sejarah, tokoh, tadabbur, kajian dan lain-lain.

Sasaran Langit Ilahi kini lebih jelas dan berfokus, dengan mahu menjadikan web ini sebagai bank kepada bahan-bahan bermanfaat, untuk tatapan ummat. Bahkan, jika web ini berjaya mengumpulkan bahan-bahan yang berkualiti, ia mungkin mampu menjadi salah satu tempat rujukan masyarakat untuk perkara-perkara berkait dengan Islam.

Mari Menjadi Hamba!