Pernahkah anda membaca buku Amr Khalid, bertajuk Ibadah Sepenuh Hati? Satu buku yang kami penumpang bahtera syorkan agar anda membacanya. Amr Khalid adalah motivator berasal daripada Mesir dan sangat popular hari ini di Timur Tengah terutamanya.
Antara salah satu isinya adalah, dia menceritakan bagaimana dia duduk dengan beberapa orang pemuda dan bersembang berkenaan nikmat terbesar dalam dunia ini. Amr Khalid mendengar banyak jawapan yang memuaskan, antaranya nikmat kehidupan, iman dan Islam. Tetapi Amr Khalid berkata, dia tertarik dengan satu jawapan yang tidak pernah lagi diberikan orang apabila dilontarkan jawapan tersebut.
“Nikmat kita yang terbesar adalah, Allah sebagai Rabb, Ilah kita.”
Ya, jawapan itu membuatkan seorang yang hebat dan masyhur seperti Amr Khalid juga tertarik.
Siapa pernah bersyukur, bahawa dirinya mempunyai Tuan, Tuhan, Pengatur, Pencipta, seperti Allah SWT?
Kami penumpang bahtera, yang destinasinya adalah Allah, redhaNya dan SyurgaNya bersyukur!
Dia adalah yang mencipta alam ini
Allah SWT adalah Pencipta kepada segala-galanya. Dia berkuasa atas semuanya. Dan Dia Maha Bijaksana, hikmah-Nya amat halus, serta kekuatan-Nya tiada tandingan selama-lamanya.
Siapakah yang pernah mengkaji kehebatan Allah SWT?
Kalau kita melihat kajian-kajian yang dilakukan berkenaan alam ini, pasti kita akan menemui satu keajaiban yang sangat menakjubkan, mendahului keajaiban-keajaiban yang lain. Apakah dia? Yakni kesempurnaan aturan dunia.
Saya ambil contoh mudah. Tempat letak bumi. Bayangkan, kedudukan Bumi, jarak Bumi di dalam Bima Sakti, pada orbitnya, adalah kedudukan yang paling sesuai dalam dunia untuk hidupan. Andai bumi ini jaraknya tidak seperti sekarang, sebagai contoh, lebih dekat lagi dengan matahari, pasti akan kepanasan teramat sangat penduduknya dan kehidupan tidak akan mampu hidup di dalamnya. Demikian jika bumi ini jauh kedudukan sekarang, ia akan tidak mendapat kepanasan yang cukup lantas menjadikan Bumi tidak sesuai untuk kehidupan.
Contoh lain paling mudah, oksigen. Kita maklum bahawa oksigen di dalam bumi adalah pada kadarnya yang sepatutnya. Kajian menyatakan bahawa, jika terlalu kurang dari sekarang, maka penghuni Bumi akan menghadapi masalah pernafasan dan pelbagai cabaran akan timbul untuk kehidupan terus berlangsung. Manakala jika ia bertambah terlalu lebih dari keadaan sekarang, maka akan rosaklah bumi ini dengan kebakaran di sana sini.
Itu belum dikira lagi dengan kenapa jari kita dicipta seperti apa yang kita nampak sekarang, kenapa ada haiwan matanya di tepi, ada yang matanya di tengah macam kita, kenapa ada pokok daunnya sebegini, kenapa ada pohon yang berduri dan itu dan ini.
Kalau dikaji dan dikaji, semua ada hikmahnya, semua ada keperluannya. Bentuk, rupa, kedudukan, semuanya ada makna.
Paling pelik, bagaimana agaknya planet-planet dan bintang-bintang di dalam dunia ini, tidak pula berlanggaran sesama sendiri? Semuanya berjalan dengan begitu baik dan teratur.
Benarlah firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.
Pada sesiapa yang tidak mengenali Allah, ketahuilah bahawa Tuhan kita, yang patut kita tundukkan jiwa kita kepada-Nya, yang patut kita serahkan ketaatan kepada-Nya sepenuhnya adalah yang menciptakan semua itu.
Tidakkah anda berasa beruntung dijaga oleh Yang Maha Hebat sedemikian rupa?
Apakah yang telah anda lakukan untuk-Nya?
Bagaimanakah arahan-arahan-Nya kepada anda? Adakah anda melaksanakannya?
Yang Maha Sempurna itu, adalah Yang Maha Besar Kasih Sayang-Nya.
Allah mempunyai kekuatan yang teramat hebat, sampai mampu mengatur alam ini sesempurna itu. Mengetahui segala perkara sehingga mampu menjaga keseimbangan dunia ini sehingga mencapai tahap sempurna. Sehebat-hebat makhluk di muka bumi ini, tidak akan ada yang mampu menandingi-Nya.
Tetapi, Yang Maha Sempurna ini, Yang Maha Kuat ini, Dialah juga Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengampun. Dia tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya, malah sentiasa membuka peluang kepada hamba-hamba-Nya, walaupun Dia tahu hamba-hamba-Nya banyak berdosa kepada-Nya dan melakukan kesilapan.
Allah SWT berfirman: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuraa ayat 32.
Dia amat dekat dan membuka pula peluang untuk permintaan.
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Al-Ghafir ayat 60.
Malah, Dia berjanji pula menambahkan nikmat untuk sesiapa yang taat.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,” Surah Ibrahim ayat 7.
Sedangkan, nikmat-Nya yang telah ada sekarang pun tidak terhitung.
“Sekiranya kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu” Surah Ibrahim ayat 34.
Tidakkah kita rasa bersyukur bahawa Tuhan kita adalah Allah SWT?
Tidakkah kita rasa lega untuk menundukkan jiwa kepada-Nya?
Maka di manakah bukti kesyukuran kita?
Apakah Belum Tiba Masanya?
Allah SWT itu, Maha Hebat, Maha Berkuasa. Dia Lebih Besar dari segala-galanya. Kita di hadapan-Nya sangat kerdil, kecil, tidak berkuasa lagi tidak mempunyai apa-apa.
Kita bermaksiat saban hari, endah tidak endah dengan perintah-Nya, buat tidak tahu dengan ajaran-Nya. Tetapi Dia masih lagi menghidupkan kita hari ini. Anda, yang membaca artikel saya masih diberikan peluang untuk hidup sekarang ini.
Sedangkan jika Dia mahu, Dia boleh mematikan kita semalam.
Tetapi Allah tidak pernah membenci hamba-hamba-Nya. Kehidupan ini tanda kasih-sayang-Nya.
Maka apakah belum tiba masanya kita tunduk pada Allah SWT ini?
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka” Surah Al-Hadid ayat 16.
Kalau kita masih ada rasa ego, ingkar untuk tunduk, hidup dengan arahan-Nya, dalam ketaatan kepada-Nya, tidakkah kita ini hamba-Nya yang tidak bersyukur?
Penutup: Allah Tidak Rugi Jika Kita Semua Berpaling.
Dia tidak akan meninggalkan kita. Tetapi, kitalah yang meninggalkan-Nya.
Dia tidak rugi kalau kita meninggalkan-Nya. Tetapi yang rugi-Nya adalah kita.
Dan hanya yang tunduk menjadi hamba sahaja, akan merasai keindahan-Nya.
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.
Kami tidak meminta rezeki kepadamu. Malah Kamilah yang memberikan rezeki kepadamu.
Dan kesudahan yang baik, hanya untuk orang-orang yang bertaqwa.
Dan kesudahan yang baik, hanya untuk orang-orang yang bertaqwa.
Kami penumpang bahtera mengajak anda untuk mempunyai hubungan yang baik kepada Allah SWT. Apakah yang anda tunggu lagi?
“Naiklah bersama kami!”









