• Tentang Kami
  • Hubungi Kami
Langit Ilahi
Advertisement
  • Home
  • Poster

    Poster – Do No Evil

    Poster – Sincerity

    Poster – Know Your Place

  • Arkib
No Result
View All Result
  • Home
  • Poster

    Poster – Do No Evil

    Poster – Sincerity

    Poster – Know Your Place

  • Arkib
No Result
View All Result
Langit Ilahi
No Result
View All Result
Home Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

Hilal Asyraf by Hilal Asyraf
July 10, 2025
in Cinta
0
Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

Picture by https://www.pexels.com/photo/white-black-and-red-person-carrying-heart-illustration-in-brown-envelope-867462/

7
SHARES
1.2k
VIEWS
Share on FacebookShare on TwitterShare on LinkedIn

Rakan-rakan yang saya kasihi, semoga Allah SWT merahmati,

              Setelah kita jatuh cinta, menilai perasaan kita dengan bersungguh-sungguh dan serius, kemudian menetapkan keputusan untuk berusaha menjadikan dia sebagai pasangan kita, maka langkah seterusnya ialah melamar.

              Namun sebelum melamar, melakukan langkah yang sangat serius dan besar ini, kita perlu bertanya lagi kepada diri kita. Perasaan sudah jelas, kita memang serius, ini bukan main-main dan nak mengorat memenuhi hawa nafsu sahaja. Tetapi yang kita nak pastikan sekarang, apakah orang yang kita mahu dapatkan ini, benar-benar merupakan yang terbaik untuk kita?

              Kita sudah tanya kepada diri kita sebelum ini, apakah kita suka dia kerana dia cantik/kacak?

              Apakah kita suka dia kerana dia berharta?

              Apakah kita suka dia kerana dia pandai?

              Apakah kita suka dia kerana dia soleh/solehah?

              Setelah jelas kenapa kita sukakan dia dan kita telah buat keputusan untuk mendapatkannya, kita perlu tanya – apakah dia yang sebenar-benarnya layak?

              Bagaimana hendak memastikan?

Merisik Khabar

Realistiknya rakan-rakan pembaca yang saya kasihi, tiadalah kita tahu melainkan kita ambil tahu. Bukankah begitu?

              Maka pastinya kita akan cuba untuk ambil tahu akan halnya orang yang kita mahu jadikan pasangan hidup kita itu. Bukan terus-terus melamarnya dek terpana dengan luarannya. Ini adalah orang yang bakal menjadi peneman hidup kita, yang bakal kita hidup dengannya. Sudah pastilah kita mahu benar-benar mengetahui keadaannya. Apakah dia sesuai dengan kita? Apakah dia sesuai menjadi pasangan kita?

              Antara usahanya ialah merisik khabar. Kita cuba untuk mengetahui perihalnya melalui kenalan rapat dan juga melalui orang-orang tua yang mengenalinya – seperti pensyarah, guru, ketua usrah dan lain-lain. Boleh juga kita mengikuti laman sosialnya, bukan dengan tujuan jahat, bukan dengan tujuan untuk memulakan hubungan sebelum bernikah dengannya, tetapi dengan niat benar-benar hendak melihat keadaan empunya diri yang bakal kita lamar sebagai pasangan hidup kita.

              Jika dia memang sudah merupakan orang yang rapat dalam hidup kita, sebagai contoh, rakan sekelas, maka sepatutnya proses ini menjadi lebih mudah. Cabaran besar adalah apabila kita memang tidak mengenalinya. Maka proses merisik khabar ini amat penting. Namun walaupun kita sudah rapat, rakan sekelas contohnya tadi, merisik khabar juga penting untuk memastikan apakah orangnya sudah berpunya atau belum.

              Jika kita dapati, dalam risikan kita tadi, yang empunya badan telah berpunya, sudah menyukai seseorang contohnya, atau sudah bertunang, maka hentikan sahaja langkahan kita di situ. Kecewa? Ya, mungkin. Tetapi lebih baik kecewa dalam keadaan tidak ditolak, berbanding kecewa dalam keadaan ditolak bukan? Kita akan bincangkan perihal ditolak dan tak dapat ini pada bab yang lain.

Mengintai?

Saya masih teringat ya rakan-rakan pembaca, ketika saya masih remaja, ada sahabat saya yang bertanya kepada guru kami, berkait mengintai. Apakah boleh kita mengintai seseorang untuk lebih mengetahui dirinya, jika kita berhajat hendak berkahwin dengannya?

              Guru saya tertawa, dan kemudian dia berkata: “Boleh, tetapi mengintai dari jauh sahaja, dan bukannya mengintai aurat.”

              Saya faham penyataan itu lebih kepada memerhatikan dari jauh, dan berkadar seadanya sahaja. Bukannya menjadi ‘creepy stalker’, ikut sampai balik rumah dan sebagainya. Bukan juga mengintai di tempat-tempat ‘private’ seperti bilik tidur, bilik mandi, dan bukanlah untuk menyelak auratnya.

              Memerhatikan dari jauh ini, contohnya, kita seuniversiti dan sekelas. Kita boleh memerhatikannya dengan begitu sahaja, melihat bagaimana dia dengan guru-guru, bagaimana dia dengan rakan-rakan. Mungkin terserempak di kafe, atau di perpustakaan, dan di sana kita perhatikan dia untuk melihat keadaan dirinya.

              Bukannya mengekori, sembunyi belakang pokok atau tembok dan sebagainya yang termasuk dalam kategori ‘merimaskan’ atau ‘mencurigakan’.

              Hal yang sama ada dibangkitkan oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman semasa penyampaian beliau di Seminar Baitul Muslim anjuran OneHeart Creative pada tahun 2013. Namun ustaz membincangkannya dalam keadaan yang lebih terkini, iaitu boleh atau tidak untuk mengintai melalui Facebook.

              Ustaz Zaharuddin menyatakan tiada masalah, selagi mana ianya memang bertujuan serius untuk ke arah pernikahan, dan tidak pula melebih-lebih hingga membawa kepada maksiat dan kemungkaran.

              Melebih-lebih hingga membawa kepada kemungkaran ini adalah seperti kita sibuk mengumpul atau meratah gambar-gambarnya, cuba untuk mengoratnya, berbual yang tidak penting dengannya dan sebagainya.

Istikharah

Seiring proses merisik peribadi orang yang kita sukai, pastikan kita melakukan istikharah dengan Allah SWT. Istikharah sangat dianjurkan dalam kita hendak membuat keputusan terhadap sesuatu yang kita tidak pasti akan akibatnya. Sejauh mana pun kita berusaha untuk cuba mengenalinya, pastilah Allah jua yang paling mengenalinya. Maka kepada Allah SWT kita meminta.

              Rasulullah SAW bersabda:

              “Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.

              Kemudian hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya.” Hadith Riwayat Bukhari.

              Jawapan daripada istikharah tidak semestinya melalui mimpi. Boleh juga datang dalam bentuk keyakinan untuk melakukan sesuatu, atau desakan hati yang kuat untuk memilih sesuatu. Bukan kerana memang kita yang nak, tetapi sebab gerak hati kita yang berat ke arahnya. Boleh jadi begitu. Tidak semestinya mimpi.

              Istikharah juga tidak semestinya untuk urusan cinta dan perkahwinan, memilih jodoh, bukan dan bukan. Istikharah adalah untuk semua perkara yang memerlukan kita membuat keputusan atasnya, dan perkara itu mestilah perkara yang harus. Bukan perkara yang telah ditetapkan halal haramnya oleh Allah SWT, dan bukan perkara yang telah jelas baik dan buruknya terhadap diri kita.

              Sebagai contoh, kita tak boleh istikharah untuk berzina atau tidak dengan seseorang. Kerana berzina telah jelas diharamkan oleh Allah, dan telah jelas keburukannya kepada diri kita.

              Hendaklah juga sangat-sangat diingat bahawa istikharah hanyalah untuk diri kita. Bukannya untuk memutuskan sesuatu buat orang lain. Sebagai contoh, katalah kita bermimpi atau merasa kuat untuk memilih sekian orang menjadi pasangan kita, tetapi orang tersebut menolak dan tidak mahu dengan kita, kita tidak boleh memaksanya dan memberikan alasan bahawa kita telah bermimpi, menyatakan ianya adalah apa yang Allah nak dan sebagainya. Tidak boleh kita memaksakan ‘hasil istikharah’ kita kepada orang lain.

              Sebab boleh jadi, ‘petunjuk’ yang kita perolehi itu bukan petunjuk pun. Kita hanyalah manusia biasa. Bukan wali, bukan nabi, untuk benar-benar memastikan mimpi kita bukan mainan syaitan, perasaan kuat kita terhadap sesuatu bukan sekadar tolakan hawa nafsu.

              Dan mungkin orang yang kita suka itu pun telah beristikharah, dan jawapannya berbeza dengan kita. Mungkin istikharahnya lah yang benar.

              Jika berlaku begini, redhalah dengan pilihan orang lain. Itu tanda mereka menolak kita.

              Namun biasanya, jika istikharah kita benar, insyaAllah urusan ke arahnya akan dipermudahkan Allah SWT. Sebab mustahil Allah SWT menunjukkan sesuatu yang kemudiannya tidak punya apa-apa makna kepada kita bukan?

              Jika istikharah kita benarlah.

              Itu antara kayu ukur yang boleh kita pakai juga. Yakni jika urusan ke arahnya dipermudahkan banyak, jauh dari perkara yang Allah murkai, itu boleh jadi petunjuk yang kita perolehi adalah petunjuk yang benar insyaAllah.

              Saya ada bahaskan perihal fitnah istikharah ini pada buku Sebelum Aku Bernikah yang pertama. Boleh rujuk di sana.

Istisyarah

Biasa kita mendengar istikharah ya rakan-rakan pembaca, dan amat jarang kita dengar perihal istisyarah.

              Istisyarah membawa maksud perbincangan, mengumpulkan pendapat, untuk memudahkan kita membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.

              Dalam kes ini, hendak membuat keputusan melamar seseorang yang mahu kita jadikan pasangan hidup. Hendaklah kita berbincang dengan kenalan yang kita tahu matang, dengan ketua usrah contohnya, dan paling penting dengan keluarga. Kita bentangkan hajat kita, dan serba sedikit yang kita telah tahu akan orang yang kita hajati, dan meminta pendapat untuk memastikan tindakan kita bukan sebuah tindakan yang berpandukan hawa nafsu semata-mata.

              Dalam beristisyarah, elakkan meminta pandangan kawan-kawan yang tidak matang, yang kita kenal sebagai nakal dan tidak menjaga syariat. Kerana pandangan dan pendapat mereka mungkin sekadar menambah kepincangan sahaja dalam keputusan yang bakal kita buat.

              Imbangilah istikharah dengan istisyarah, kerana kita manusia biasa yang memerlukan manusia yang lain juga dalam membantu membuat keputusan yang terbaik buat kita. Kadang kita terlepas pandang beberapa perkara, atau aspek-aspek tertentu. Dengan istisyarah, akan ada pendapat-pendapat yang membantu menampung perkara-perkara tersebut, mengelakkan diri kita dari terlalu teruja, dan memberikan perspektif yang lebih luas kepada sisi pandang kita.

              Jangan biasakan diri kita membuat keputusan sendirian, lebih-lebih lagi berkait urusan besar untuk membina rumahtangga, untuk menyatakan cinta kita kepada seseorang yang kita hajatkan menjadi peneman hidup kita.

              Paling kurang, libatkan keluarga kita, ibu bapa dan penjaga. Bincanglah bersama mereka.

              Istisyarah dan istikharah perlu saling lengkap melengkapi. Beriringan. Barulah insyaAllah kita berpuas hati dengan keputusan yang kita buat, seterusnya jika apa-apa berlaku di luar jangkaan, tidaklah kita rasa berputus asa. Kita akan ada rakan-rakan istisyarah yang bakal menyokong kita, membantu kita. Kita juga tidak akan kecewa dengan Allah SWT, kerana jelas kita telah buat yang terbaik, telah memohon dengan Allah SWT, dan pastilah sekiranya Allah tidak menjadikannya kenyataan, itu tandanya Allah SWT sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik buat kita.

              InsyaAllah.

Previous Post

Sebelum Kita Bernikah - Bila Hati Ditusuk Cinta

Next Post

Sebelum Kita Bernikah - Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

Hilal Asyraf

Hilal Asyraf

MUHAMMAD HILAL ASYRAF merupakan graduan Usuluddin, Yarmouk University(2012). Seorang suami dan bapa kepada 4 orang anak. Merupakan seorang penulis semenjak 2009, dan kini telah menghasilkan lebih 40 judul karya. Pengasas kepada Langit Ilahi semenjak 2007, dan kini merupakan pemilik Hilal Asyraf Resources yang ditubuhkan semenjak penghujung 2016.

Next Post
Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

Sebelum Kita Bernikah - Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langit Ilahi @ Media Sosial

  • 236.3k Fans
  • 324 Followers

Artikel Popular

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?
Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?
Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta
Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta

July 10, 2025
Langit Ilahi

Laman web Langit Ilahi. Mari Menjadi Hamba!

Follow Us

Kategori Artikel

  • Al-Quran
  • Bebaskan Jiwamu
  • Cinta
  • Kajian
  • Komik
  • Motivasi
  • Naiklah Bersama Kami
  • Parenting
  • Poster
  • Remaja
  • Tadabbur
  • Uncategorized
  • Untuk Kita Pendosa

Artikel Terbaharu

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?

July 10, 2025
Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta

Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta

July 10, 2025
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

© 2019 | LangitIlahi.com is an initiative by Hilal Asyraf Resources.

No Result
View All Result
  • Home
  • Cinta
  • Kajian
  • Komik
  • Motivasi
    • Naiklah Bersama Kami
    • Untuk Kita Pendosa
    • Bebaskan Jiwamu
  • Parenting
  • Poster
  • Remaja

© 2019 | LangitIlahi.com is an initiative by Hilal Asyraf Resources.