Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. Tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.
Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada Allah akan dipermudahkan jalan kehidupannya. Tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, namun bisnesnya menjadi. Sedangkan kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga.
Kita juga tahu bahawa, Islam ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan Islam itu lebih berjaya, dan ummat Islam tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.
Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?
Maka saya hendak bertanya kepada anda.
Adakah anda tahu apa itu istidraj?
Makna Istidraj.
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering merujuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba Allah yang taat. Malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila Allah memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah, untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan Islam dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali Allah SWT.
Contoh Qarun.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Baru kunci. Belum gedungnya lagi. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia. Dia hidup di zaman Nabi Musa AS.
Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada Allah SWT, Qarun menjawab:
“Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.” Surah Al-Qasas ayat 78.
Lihat. Lihat apa kata Qarun. Dia nyata semakin jauh dari Allah, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan Allah ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.
“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.” Surah Al-Qasas ayat 81.
Nah, apakah itu yang kita mahu?
Mari Kita Berfikir Sejenak.
Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kita apabila kita ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kita berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99% akan merasa begini, “Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari Allah. Itulah istidraj.
Jangan rasa gundah bila anda menjaga hubungan dengan Allah, tetapi anda masih tidak berjaya di dalam pelajaran mengikut neraca manusia lain. Contoh macam seorang kawan saya. Dia mendapat 2A, sedangkan pada pandangan manusia biasa, cemerlang itu dikira dengan A yang banyak. Tetapi apa kata kawan saya?
“ Ana dapat hidup tenang, bahagia, boleh lagi beribadah kepada Allah, kemudian ana masih boleh hidup dalam ketaatan kepadaNya. Maka itupun ana dah puas hati la Hilal. Mungkin ana tak ada rezeki dalam SPM, ana ada rezeki dalam benda lain.”
Nampak? Dia tidak jauh dari Allah, malah bersangka baik kepadaNya, menerima dengan redha, ditambah pula dengan azam untuk berusaha di lapangan lain pula. Pada saya, itulah kecemerlangan yang sebenarnya.
Saya masih ingat kata-kata guru Al-Quran saya, Ustaz Abdul Hadi bin Othman, apabila saya pertama kali menjejakkan kaki ke MATRI, sekolah menengah saya. Kata beliau,
“Antum datang sini, kami nak bagi antum menjadi manusia yang soleh, yang cemerlang akhlak, yang terjaga syahsiah, yang bersih pemikiran. Bukan untuk kaut A bertimbun. Kalau antum dapat banyak A dalam peperiksaan, maka itu adalah bonus.”
Maka Jangan Gusar.
Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan kita dengan Allah itulah yang pertama sekali perlu kita perhatikan. Jika kita berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaAllah, datanglah badai apa sekalipun, kita akan mampu melaluinya.
Sebenarnya Allah suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada Allah. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada Allah.
“Ya Allah, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, Engkau berikan dia rezeki yang banyak. Sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, Engkau tidak memberikan dia apa-apa?”
Allah SWT menjawab:
“Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti Neraka. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, Aku hendak mmemberikan kepadanya syurga, maka Aku suka mengujinya kebenaran imanNya.”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian Allah. Allah menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah Allah SWT ada berfirman:
“ Apakah manusia itu mengira Kami akan membiarkan mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
Gagal Di Dalam Sesuatu Perkara, Bukan Gagal Di Dalam Kehidupan.
Jika gagal dalam satu-satu perkara, itu adalah perkara itu. Kita masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaAllah Allah akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada kita. Bersangka baiklah kita kepada Pencipta kita.
Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, Allah masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita. Tanda Dia tidak membiarkan kita.
Mustahil kita suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti kita merana. Adakah kita mahukan istidraj?
Saya yakin tidak.
Penutup: Wajib Untuk Tidak Merasa Tenang.
Kita wajib untuk tidak berasa tenang jika kita berbuat dosa kemudian kita berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT.
Aku berdosa, tetapi aku berjaya. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.
Mencuci dosa-dosa kita.
Memperbetulkan kesilapan-kesilapan kita.








