Kami penumpang bahtera memahami bahawa kehidupan di dunia ini, tidak dapat tidak akan wujud dugaan dan cabaran. Ibarat menongkah di tengah lautan, yang gelombangnya tidak dapat dijangka atau diterka.
Maka sebagai pelayar samudera yang penghujungnya tak terlihat ini,kami semestinya memerlukan bekalan semangat dan kekuatan untuk mengharungi badai cabaran dan dugaan.
Akhirnya kami tidak nampak, apa motivasi yang terbaik dalam samudera kehidupan ini, selain merapat kepada Ilahi.
Pada kami penumpang bahtera, itulah dia motivasi kehidupan yang hakiki.
Tiada yang memahami, Dia ada
Ada manusia diuji dengan ujian mental. Dia buat baik, dia buat itu dan ini, tiada siapa pun mahu menghargainya. Dia senyum, orang tak balas balik senyumannya. Pendek kata, dia terasing sendiri dalam kehidupannya tanpa sesiapa memahaminya.
Dan kalau dia lakukan sedikit kesilapan, seluruh dunia mencacinya.
Kami mengetahui perkara ini berlaku di dalam realiti.
Tapi untuk manusia yang sebegini, sekiranya dia merapat kepada Ilahi, Ilahi sentiasa ada. Ilahi mendengar aduannya. Kalau dia membuka Al-Quran, Ilahi seakan berbicara dengannya secara terus. Dan janji-janji daripada Ilahi membuatkan dia kekal berusaha, kekal melakukan kebaikan, tanpa kisah akan penghargaan orang lain.
Padanya, nilaian manusia menjadi terlalu kecil, apabila dia melihat nilaian yang Ilahi ingin berikan.
Merapat kepada Ilahi, tertingkat kekuatan mentaliti. Sebab itu, orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, tiada yang mengalami sakit mental. Pernahkah kita mendengar sahabat Rasulullah, para tabi’in, da’ie-da’ie yang hebat kena sakit mental?
Walau diuji, walau diseksa, walau dibuang ke hujung dunia, walau seluruh alam tidak menerima mereka, mereka tetap hamba Allah yang utuh pemikiran dan jiwanya.
Inilah keyakinan kami. Penumpang bahtera.
Rasulullah SAW bersabda:
“…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.
Kerana itu kami sentiasa yakin, Dia itu ada, dan tidak pernah memungkiri janji-Nya. Ilahi memahami kami. Tidak pernah bosan mendengar aduan kami. Sentiasa memerhatikan, dan sentiasa mengira apa yang kami lakukan.
Dugaan hebat, cabaran yang memenatkan, Dia ada.
Ada manusia diuji dengan kesukaran. Hingga diri rasa terhimpit ke hujung alam. Ada pula yang hidupnya tidak habis-habis diduga. Selepas satu, satu lagi dugaan tiba. Mungkin kalau orang biasa, mereka akan kelelahan, dan rasa hendak tenggelam dalam kelemahan. Kerana tiada tempat berpaut yang utuh.
Tetapi bagi yang merapat dengan Ilahi, segala dugaan adalah kecil. Malah dugaan dan cabaran itu sendiri kadangkala menjadi kegembiraan untuknya. Tanda Allah SWT tidak meninggalkannya dalam kesenangan yang menipu daya. Bila susah, baru mudah mengingatkan dirinya kepada Dia.
Sebab orang yang merapat dengan Ilahi, yakin bahawa Dia ada. Wujud memerhatikan mereka, mengira segenap kesusahan mereka. Bahkan mereka yakin bahawa Ilahi lah yang menurunkan segala dugaan dan cabaran, lantas mereka berkata: “Semua ini ada hikmahnya, dan kami tidak mengetahui.” Keimanan kepada qada’ dan qadar yang kuat itu membantu.
Kerana itulah kami penumpang bahtera terus menjalankan tanggungjawab kami. Yakni hidup sebagai manusia tanpa putus asa. Berusaha, berusaha dan berusaha.
Tanpa kecewa.
Masa senang, Dia ada
Ada pula yang terlalai dengan ujian kesenangan.
Kesenangan yang menipu daya, ibarat udara sahaja gayanya. Dihirup tanpa sedar. Namun ianya udara beracun yang merosakkan jika dihirup dengan kadar tidak terkawal. Virus ini akan membiakkan riak, takabbur, ujub, dan segala macam sifat mazmumah yang menghancurkan.
Namun bagi yang merapati Ilahi, mereka tidak akan tenggelam dalam hal ini.
Kerana mereka yakin Dia ada. Melihat dan memerhati.
Justeru, kami tidak akan sesekali melangkah ke tanah laranganNya. Segala kejayaan, kesenangan, semuanya dikembalikan kepadaNya. Kerana yang merapati Ilahi yakin bahawa, semua itu hanyalah pinjamanNya sahaja.
Kami percaya, inilah yang akan melahirkan peribadi yang ajaib.
Bila susah kami bersabar. Bila senang kami bersyukur. Hanya yang merapati Ilahi mampu menjadikan ianya realiti.
Penutup: Ini motivasi tidak teruntuh, tidak bermusim
Merapati Ilahi, adalah dasar kepada segala motivasi. Kami penumpang bahtera mempercayai yang ini. Motivasi ini tidak teruntuh, melainkan dengan menjauhnya kita daripada Ilahi. Motivasi ini juga tidak bermusim. Kerana sifatnya sepanjang masa, setiap masa, pada semua detik dan ketika.
Jelas kerana, Allah SWT itu tidak mati, dan tidak pula tidur.
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Surah Al-Baqarah ayat 255.
Inilah kekuatan utama untuk pendayung kehidupan penuh pancaroba. Kerna, walau tersesat di tengah lautan tak berpenghujung, tanpa manusia di sisi, Ilahi tetap ada memerhati.
Ilahi tidak tidur. Tidak mengantuk. Tidak penat. Tidak terlalai. Tidak melemah.
Sedetik pun Dia tidak meninggalkan kita. Memerhati dan mengira, membantu dan memberikan tenaga.
Merugilah orang-orang yang tidak melihat motivasi ini dan mengambilnya.
Inilah dia motivasi terulung, rahsia kepada kejayaan orang-orang beriman sebelum kita.
Kami bergerak dengannya.
Ayuh naik bersama kami!