Kita menyelak lagi lembaran para penumpang bahtera, yang menjadikan Allah SWT sebagai destinasinya, begitu juga redhaNya dan syurgaNya. Kali ini membicarakan lagi perihal ciri-ciri penumpang bahtera, yakni kami penumpang bahtera, adalah yang beriman dengan Al-Quran.
Kita semua sedia maklum bahawa semua agama punya kitabnya. Tetapi satu persoalan yang boleh kita lontarkan adalah sejauh mana kebenaran kitab-kitab mereka? Benar ini tidaklah kita ukur dengan kepercayaan mereka. Tetapi perlu kita ukur dengan realistiknya perjalanan dunia. Begitu juga Al-Quran, sebenarnya.
Kami penumpang bahtera, keimanan kami kepada Al-Quran bukanlah buta.
Bukanlah kerana Al-Quran itu kitab agama Islam, maka kami percaya dengan membuta tuli begitu sahaja. Kami percaya dengan ilmu, dengan kebenaran yang memang jelas wujud kepadanya.
Diturunkan Al-Quran sebagai kitab yang sempurna.
Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT, melalui wasilah malaikatNya, Jibril AS kepada Rasulullah SAW. Diturunkan kala X-ray belum wujud, kala angkasa lepas belum dikaji, kala pelbagai penemuan di dalam kehidupan belum lagi ditemui.
Diturunkan pula kepada Rasulullah SAW, seorang ‘ummi’, yakni buta huruf. Seorang pengembala kambing. Seorang yatim piatu. Seorang yang duduk di lembah arab, yang peradabannya jauh lebih mundur dari dua peradaban besar ketika itu – Rom dan Parsi.
Sebelum Al-Quran, telah diturunkan kepada ummat manusia beberapa kitab. Yang masyhur adalah Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Dawud AS, Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS, dan Kitab Injil yang diturunkan kepada Isa AS. Tetapi kitab-kitab ini telah diselewengkan oleh ummat-ummatnya selepas wafatnya Rasul mereka.
Maka diutus Rasulullah SAW bersama kitab muktamad daripada langit, yang turun secara berperingkat-peringkat, bukan sekaligus.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan(Al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” Surah Al-Hijr ayat 10.
Hingga apabila ada yang menuduh bahawa Rasulullah SAW mereka-reka isi Al-Quran, Allah SWT telah menurunkan empat kali ayat cabaran agar ada yang cuba mencipta sesuatu yang sesempurna Al-Quran yang Allah SWT turunkan.
“Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang Al-Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami(Muhammad), buatlah satu surah yang semisal Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.” Surah Al-Baqarah ayat 23.
“Atau(patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya. Katakanlah: (Kalau benar apa yang kamu katakana itu), maka cubalah datangkan sebuah surahg seumpamanya dan panggillah sesiapa yang dapat kamu panggil selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.” Surah Yunus ayat 38.
“Bahkan mereka mengatakan: Muhammad telah membuat-buat Al-Quran itu. Katakanlah: (Kalau benar demikian), maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar.” Surah Hud ayat 13.
“Maka hendalah mereka mendatangkan kalimah yang seperti Al-Quran itu, jika mereka dari kalangan orang-orang yang benar.” Surah At-Tur ayat 34.
“Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu sebahagian yang lain.” Surah Al-Isra’ ayat 88.
Dan tiadalah sesiapa, dari dahulu hingga sekarang, mampu mencipta sesuatu sesempurna Al-Quran. Seindah Al-Quran. Se’benar’ Al-Quran.
Tiada.
Memang tidak dapat dinafikan, wujud usaha-usaha tersebut. Tetapi tiada yang berjaya. Apa yang mereka reka dangkal sekali, dan langsung tidak mampu menyamai kehebatan Allah SWT yang menurunkan kalamNya itu.
Sempurna Dari Segala Segi.
Al-Quran sempurna dari segala segi. Lenggok bahasanya tiada pembaziran. Sempurna. Nyata manusia yang mereka sesebuah buku, tidak akan mampu mencipta sebuah buku sesempurna itu. Tiada.
Apatah lagi, apabila diturunkan pada zmaan tidak wujudnya tekologi moden, Al-Quran mendahului sistem X-Ray 14 kurun lebih awal apabile menceritakan bagaimana perjalanan embriologi bayi hingga lahirnya ia.
“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” Surah Al-Mu’minun ayat 14.
Bagaimana seorang Rasulullah SAW, yang buta huruf, zamannya tidak pula punya teknologi X-Ray mampu mengeluarkan ayat sebegini dengan sendiri?
Al-Quran juga jelas membicarakan perihal angkasa raya:
“Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” Surah Ar-Rahman ayat 36-37.
Dan kala manusia berjaya mencipta Teleskop Hubble, kita menjumpai letupan di angkasa raya yang mengeluarkan bentuk seperti bunga mawar.
Kemudian, pada zaman moden inilah kita menjumpai bahawa reseptor ‘sakit’ wujud pada kulit. Namun Al-Quran telah menyatakannya 14 kurun lebih awal.
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah An-Nisa’ ayat 56.
Mengapa tidak digantikan tulang dan sebagainya? Kerana jelas mengikut kajian terkini bahawa, sekiranya kulit terbakar hangus, maka tidak lagi rasa sakit akan muncul. Jelas ilmu bahawa kulit adalah yang mempunyai reseptor ‘sakit’ itu dinyatakan 14 kurun sebelum penemuannya menggunakan teknologi moden!
Pelbagai lagi keajaiban ilmu yang wujud di dalam Al-Quran, dan mustahil ini mampu dicapai oleh Rasulullah SAW, direka sendiri oleh baginda, yang duduk di lembah arab, ditambah pula baginda seorang yang buta huruf!
Al-Quran juga tidak pernah menyatakan sejarah-sejarah yang silap.
Tidak cukup dengan itu, Al-Quran tidak sesekali hanya menceritakan perihal sejarah semata-mata, tetapi juga membawa makna dan pengajaran yang mendalam. Ditambah dengan nilai bahasa yang sangat tinggi hingga membuatkan bangsa arab yang terkenal dengan ketinggian sastera mereka, turut terdiam. Ini semua membuatkan Al-Quran menjadi kitab yang tidak tertanding. Al-Quran juga realistik dengan peredaran zaman. Tiada apa-apa perubahan yang dilakukan ke atas isi Al-Quran semenjak dari zaman Rasulullah SAW, tetapi masih relevan hingga kini.
Al-Quran nyata kitab Hidayah daripada Tuhan. Bukan direka-reka oleh tangan manusia!
Kita boleh kaji Bible pada hari ini. Kita akan jumpa pelbagai kesilapan. Dalil-dalil yang bertembung. Kemudian sejarah yang silap. Penggunaan bahasa yang lemah. Kita boleh jumpa pelbagai kecacatan di dalam Bible jika kita kaji.
Dan lihatlah alam ini.
Kemudian kita lihatlah alam ini. Sempurna bukan?
Peredaran orbitnya. Kitaran airnya. Komposisi udaranya. Perjalanannya. Semuanya sempurna. Teratur. Tidak berlanggaran sesama sendiri. Kecuali jika manusia menganggunya dengan tangan-tangan mausia sendiri.
Kini, selepas penemuan demi penemuan, tiada siapa yang mampu untuk menafikan kewujudan ‘Pencipta’ untuk alam ini. Tinggal, masing-masing masih mencari, ‘siapakah’ pencipta tersebut.
Di sinilah kita suakan kesempurnaan Al-Quran.
Tidakkah kita lihat bahawa Al-Quran itu seakan-akan galaksi ‘kecil’? Yang bergerak dengan sempurna. Ayat-ayatnya tidak bertembung. Seninya sangat tinggi. Bukankah serupa dengan penciptaan alam ini?
Maka siapakah yang menurunkan Al-Quran? Bukankah Allah?
Maka siapakah yang mencipta alam ini, kalau bukan yang mampu memberikan kesempurnaan yang sama?
Bukankah Allah?
Penutup: Ini Keyakinan Kami.
Maka Al-Quran sentiasa menjadi teman kami, penumpang bahtera. Al-Quran menjadi dasar perlembagaan kehidupan kami, petunjuk sepanjang perjalanan kami.
Al-Quran adalah inspirasi utama kami. Menyuluh kegelapan dalam kehidupan kami. Sumber kebenaran itu akhirnya adalah Al-Quran sendiri.
Kerana itulah Allah SWT memberikan peringatan agar sentiasa mendalami Al-Quran:
“Maka adakah mereka tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran?” Surah Muhammad ayat 27.
Persoalannya kini, siapakah yang mendalami Al-Quran? Siapakah yang mengkaji Al-Quran?
Anda bagaimana?
Marilah naik ke bahtera ini bersama kami. Menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk. Teman hidup. Agar hidup sentiasa dipandu kebenaran dan ditemani ketenangan hakiki.
Irkam
Ma’ana!