Naiklah Bersama Kami: Kami Adalah Yang Beriman Kepada Allah SWT

Picture from: https://www.pexels.com/photo/bay-beach-cave-exploration-723023/

Kita masih berada di dalam bahtera yang menuju ke destinasi tertinggi. Itulah dia keredhaan dan syurga Ilahi. Sesungguhnya adalah terletak kepada diri untuk memilih berada di dalam bahtera ini atau tidak mahu bersamanya. Tiada paksaan.

            Tetapi mengetahui bahawa ‘banjir besar’ yang berlaku dalam kehidupan masyarakat, kita pastinya terfikir apakah kita sekadar ingin meneruskan kehidupan sebagai ‘perenang’ di dalam kerosakan ini, atau kita ingin melakukan perubahan dan menaiki bahtera yang menyelamatkan kita? Pasti pengakhiran untuk kedua-dua pilihan adalah sesekali tidak sama.

            Menaiki bahtera ini, adalah ditawarkan kebahagiaan dan kelapangan jiwa, keselamatan dan ketenangan hati, yang pastinya takkan mampu dicari di mana-mana selain di dalam bahtera ini.

            Antara ciri-ciri penumpang bahtera ini adalah, Kami beriman kepada Allah SWT.

            Itu motivasi tertinggi kami.

Mengapa Keimanan Kepada Allah Adalah Motivasi?

Persoalan utama. Mengapa keimanan kepada Allah menyelamatkan kehidupan, dan memberikan motivasi untuk kita menongkah segala cabaran serta menyelamatkan diri daripada kerosakan?

            Jawapannya mudah.

            Kerana keimanan kepada Allah adalah yang memberikan diri rasa ‘kebersamaan’.

            “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,” Surah Qaaf ayat 16.

            Maka bagaimanakah sekiranya kita bersama dengan seorang sultan? Tidakkah kita merasa selamat? Ya. Maka bagaimana pula jika kita percaya dan merasai bahawa kita sentiasa bersama, bahkan amat dekat pula dengan Sultan Yang Menguasai Seluruh Alam?

            “Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang:  Siapakah pencipta langit dan bumi?  Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.” Surah Az-Zukhruf ayat 9.

            Pastinya rasa selamat yang tidak terhingga. Pastinya rasa termotivasi untuk melakukan gerak kerja. Dan semestinya, kita akan merasa malu dan segan untuk melakukan kejahatan. Kerana kita merasai, bahawa Dia bersama. Sebab itu, yang beriman kepadaNya dengan keimanan yang sempurna, akan menjauhi perkara yang tidak diredhaiNya.

            “Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia hendak meminum arak itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia hendak berzina itu dia beriman.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

            Nah. Bagaimana keimanan kepada Allah tidak mampu menjadi ‘penyelamat’?

            Kerana itu, yang menaiki bahtera ini, adalah yang beriman kepadaNya. Semua berusaha menyelamatkan diri dari kerosakan yang menjemput murkaNya.

Mustahil kepada Tuhan tidak kami tundukkan diri

Kita melihat dunia. Sempurna sistemnya. Amat indah ciptaannya. Penuh dengan pelbagai peraturan, dan tidak pula berlanggaran. Hanya sekiranya diganggu oleh tangan nista sang manusia, barulah berlaku pelbagai kerosakan.

            Perhatikanlah awan di langit, perhatikanlah pula air di sungai dan lautan, perhatikan haiwan-haiwan bagaimana mereka hidup, perhatikan pula tumbuh-tumbuhan bagaimana mereka membiak dan memberikan manfaat, dan mikrokan pandangan kita dengan memerhati plankton-plankton, zarah-zarah, sel-sel yang wujud, kita besarkan pula pandangan kita memandang Galaksi Bima Sakti dan memerhati bagaimana Matahari, planet-planet, bintang-bintang, komet-komet, semuanya bergerak dengan baik, teratur, kemas.

            Apakah semua itu tiada yang menyusunnya? Mustahil.

            Pastinya ada.

            Siapa?

             “Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” Surah Ar-Ra’d ayat 2.

            “Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).” Surah Al-Baqarah ayat 22.

            Maka bagaimanakah kepada Yang Menguasai Dan Menciptakan Seluruh Alam ini, kami tidak menundukkan diri? Dia adalah Tuhan. Bukti bahawa Allah adalah Tuhan, dapat dijelaskan dengan kesempurnaan Al-Quran. Al-Quran, sehingga hari ini, langsung tidak diketemui cacat celanya, bahkan telah diakui mukjizatnya yang pelbagai. Maka jelas, bahawa Tuan Punya Al-Quran adalah Tuan Punya Dunia.

            Mustahil kami penumpang bahtera menafikan.

Tuhan Itu Mendidik Agar Kami Hidup Dengan Baik

Beriman kepada Allah SWT bermakna kami perlu tunduk dan patuh kepadaNya. ArahanNya adalah yang utama perlu dilaksana. LaranganNya adalah yang pertama perlu ditinggal sejauhnya. Neraca penumpang bahtera adalah: “Baik itu adalah apa yang Allah katakan baik, buruk itu adalah apa yang Allah katakan buruk.”

            Kerana itu penumpang bahtera menjauhi apa-apa sahaja yang dilarangiNya.

            Mematuhi arahanNya untuk hidup dengan kehidupan yang baik mengikut acuanNya.

Maka kami meninggalkan sebarang kemungkaran, sebarang kerosakan, sebarang perkara yang Allah SWT tidak memberikan kami kebenaran untuk melakukan.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” Surah Al-Israa’ ayat 32.

“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Surah Al-Israa’ ayat 26-27.

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 42.

“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.” Surah An-Nisa’ ayat 2.

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.” Surah Al-Ma’idah ayat 3.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 30-31.

Kalau diperhatikan, semua laranganNya adalah perkara-perkara yang memang membawa kerosakan di dalam kehidupan manusia. Semua arahanNya adalah yang membawa kebaikan kepada kehidupan kita. Dia mendidik kami agar menjalani kehidupan ini dengan baik.

Kerana itu, penumpang bahtera penyelamat ini adalah yang beriman kepadaNya, mempercayaiNya, meyakiniNya, tanpa ragu-ragu mahupun berburuk sangka.

Dialah tempat berlindung dan berpaut.

Daripada Abu Hurairah r.a.d. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah s.w.t. berfirman: Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu didalam hatinya maka Aku mengingati dia didalam hatiKu, dan jika dian mengingatiKu dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat yang maksum dan suci daripada segala dosa). Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari.” Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain.

            “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

            Itulah Dia Allah SWT. Yang penumpang bahtera beriman kepadaNya. Dia sentiasa bersama. Sentiasa mengasihi. Sentiasa menyayangi hamba-hambaNya. Kerana itu, kami penumpang bahtera tidak gundah dan tidak gusar. Tetap kami bergerak menongkah kehidupan mentaatiNya walau sesukar mana.

            Kerana kami penumpang bahtera bahagia. Jiwa kami merdeka, apabila kami beriman dan mempercayaiNya.

            Sehingga Rasulullah SAW bersabda:

            Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

            Ajaib itu adalah kerana kami beriman kepadaNya.

            Kerana Dia adalah motivasi kami semua.

Penutup: Kerana itu kami penumpang bahtera sentiasa bahagia.

Kami membina dunia di atas pencarian keredhaanNya. Kami tidak menjadi anak-anak dunia, bahkan kami adalah anak-anak akhirat yang berusaha menggapai kasihNya.

            Dan Allah sentiasa memberikan kami semangat dan sokongan, agar kami benar-benar berjaya.

            “Janganlah kamu berasa lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang tinggi, sekiranya kamu beriman.” Surah Ali Imran ayat 139.

            Maka tiada yang mampu menjaga kami melainkan Ilahi.

            Tiada yang mampu menunjukkan kami kehidupan yang baik melainkan Allah SWT.

            Tiada yang mampu menguatkan kami, selain Dia.

            Maka Allah adalah asas, bagi segala perkara dalam kehidupan penumpang bahtera.

            Kerana itu kami bahagia, kuat, dan tidak tergugur dengan apa-apa duga.