Naiklah Bersama Kami – Kami Adalah Yang Beriman Dengan Qada’ dan Qadar.

Picture by: https://www.pexels.com/photo/beach-clouds-dawn-evening-415926/

Qada’ dan Qadar. Kita sering mendengar. Mudah ceritanya, Qada’ adalah perlaksanaan terhadap apa yang telah Allah tentukan. Manakala Qadar adalah sukatan yang telah Allah SWT tetapkan pada satu-satu perkara.

            Qada’ terbahagi kepada 2.

  1. Qada’ Mubram: Yakni ketentuan yang pasti dilaksanakan. Contohnya, kiamat, mati. Itu semuanya memang pasti. Tidak boleh diubah.
  2. Qada’ Mu’allaq: Yakni ketentuan Allah SWT yang tidak pasti berlaku kepada semua, tetapi bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya, kisah Saidina Umar RA yang tidak pergi ke satu negeri kerana negeri itu diserang wabak taun. Abu Ubaidah Al-Jarrah RA bertanya kepada Umar RA: “Apakah engkau melarikan diri daripada takdir Allah?” Umar RA menjawab: “Saya lari daripada takdir Allah, kepada takdirNya yang lain.”

Maka kami penumpang bahtera keimanan, yang destinasinya adalah Allah SWT, redhaNya, syurgaNya, beriman dengan qada’ dan qadar ini. Segala apa yang berlaku, kami mempercayai bahawa itu semua adalah susunanNya, tanpa menafikan ruang dan peluang untuk kami berusaha dalam menjadikan hari kami lebih baik dan selesa.

Dalil-dalil akan kewajiban mempunyai keimanan ke atas Qada’ dan Qadar.

“Dan tiap-tiap suatu adalah ditetapkan disisi Allah dengan kadar yang tertentu.” Surah Ar-Ra’d ayat 8.

“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap suatu lagi menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdirnya yang sempurna.” Surah Al-Furqan ayat 2.

            “Apabila Allah hendak meluluskan suatu perkara maka ia hanyalah berfirman kepadanya : Jadilah lalu terus berlaku.” Surah Ali-Imran ayat 47.

“Dialah Allah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian ia tentukan ajalnya. (Tempoh kematian kamu).” Surah Al-An’am ayat 2.

Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu percaya kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, Hari Akhirat, dan beriman pula dengan Qadar (ketentuan) baik dan buruk.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Maka jelas di sini, bagi yang menaiki bahtera keimanan, beriman kepada qada’ dan qadar adalah satu kewajiban. Nyata. Tiada dolak-dalih.

Ramai Yang Salah Faham.

Ramai yang menyangka bahawa, apabila dia mengetahui segala sesuatu itu sudah punya ketetapannya daripada Allah SWT, maka tidak perlu lagi kepada usaha.

            Ini berlaku kepada seorang lelaki yang meninggalkan untanya tanpa ditambat. Rasulullah SAW bertanya: “Mengapakah engkau tidak menambat untamu?”

            Lelaki itu menjawab: “Aku bertawakkal.”

            Rasulullah SAW membalas: “Ikatlah untamu, dan bertawakkal lah.”

            Jelas bahawa, beriman kepada qada’ dan qadar tidak bermakna kita melepaskan segala-galanya begitu sahaja. Tetapi kita juga dituntut untuk berusaha. Kerana usaha adalah salah satu tanda bahawa kita masih yakin kepada Allah SWT.

            Allah SWT sendiri berfirman:

            “Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu terlebih dahulu mengubah apa yang ada di dalam dirinya.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

            Dan buat apa Allah SWT mengarahkan hamba-hambaNya untuk berdoa, kalau usaha itu tidak perlu? Bukankah berdoa itu sendiri adalah salah satu daripada bentuk usaha?

            “Dan berkata Rabb kalian: Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku makbulkan!” Surah Al-Ghafir ayat 60.

            Kami yang menaiki bahtera keimanan ini tidak semudahnya menyalahkan takdir dalam segenap urusan kami. Tidaklah kami berkata bahawa Allah telah memang mentakdirkan kami buruk apabila kami melakukan keburukan. Tidaklah pula kami berkata bahawa Allah adalah yang memutuskan jodoh kami apabila jodoh kami terputus. Dan tidaklah pula kami pandai-pandai menyatakan itu dan ini adalah takdir kami, kerana nyata kami tidak punya pengetahuan berkenaan hal itu.

            Di sinilah kami mempercayai bahawa, ruang usaha dan ikhtiar itu terbuka luas.

            Mahu menjadi apa?

            Mahu mendapatkan apa?

            Usaha.

            Allah SWT sendiri berfirman:

            “Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkal lah kepada Allah.” Surah Ali-Imran ayat 159.

            Jelas, usaha sambil berserah. Bukan berserah semata-mata. Bukan berusaha semata-mata. Perlu lengkap melengkapi.

Tetapi Sekiranya Kami Tidak Memperolehi…

Tetapi sekiranya kami, setelah berusaha dengan gigih dan mencuba segala solusi, tetap tidak berjaya, tetap tidak mendapatkan apa yang kami mahu, maka redha adalah jawapan kami kepada Allah SWT. Begitulah juga apabila kami ditimpa kelemahan, kerosakan, bencana. Kerana akhirnya, kami sebagai hambaNya tidak mengetahui apa-apa. Allah jualah yang mengetahui apa yang baik atau buruk bagi kami.

            “Diwajibkan ke atas kamu berperang dan itu bukanlah disukai kamu. Tetapi boleh jadi apa yang kamu benci itu baik buat kamu. Dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu buruk bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, manakala kamu tidak mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

            Maka kami redha. Pasrah. Dan jelas bahawa kami berusaha dalam keadaan kami yakin bahawa Allahlah yang memberikan bantuan kepada kami, Allahlah yang memberikan tenaga kepada kami, Allahlah yang memberikan keizinan kepada kami. Maka apabila Dia memberikan sesuatu yang bukan kami mahu, kami perlu yakin bahawa itu adalah yang terbaik bagi kami. Sesungguhnya pengetahuan Allah, nyata tidak akan sesekali mampu ditandingi pengetahuan hamba-hambaNya.

            Dan kami amat percaya, bahawa Allah SWT itu tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hambaNya.

            Rasulullah SAW bersabda di dalam hadith qudsi bahawa Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman pada diriKu, dan Aku menjadikannya haram untuk diri kalian. Maka janganlah kalian saling menzalimi.” Hadith Riwayat Muslim.

            Maka nyatanya, segala apa yang berlaku pasti wujud suratan hikmahNya, kebijaksanaanNya.

            Ini membuatkan kami redha. Positif.

            Semuanya adalah kami percaya bahawa, segala apa yang berlaku adalah daripada ketentuan Allah SWT. Allah SWT hanya inginkan yang terbaik buat kami.

Penutup: Ketentuan Allah. Kerana Itu Kami Tunduk.

Mempercayai Qada’ dan Qaar dalam erti kata yang sebenar adalah teramat penting bagi menjalani kehidupan yang sejahtera. Salah memahaminya, kita tidak akan bekerja. Silap memahaminya, kita akan sentiasa meletakkan segala kesalahan kepada Allah SWT.

            Tetapi bagi yang memahaminya dengan baik, akan bahagia, akan kuat berusaha.

            Sebab itu kami penumpang bahtera, sentiasa kuat dan bahagia.

            Kadangkala kami jatuh juga. Merungut juga. Merintih juga. Tetapi mengenangkan hakikat qada’ dan qadar ini, jiwa kami akan terpujuk semula. Kerana itu Rasulullah SAW dan Para sahabat tabah berjuang hingga ke akhirnya. Kerana mereka memahami qada’ dan qadar ini dalam erti kata yang sebenarnya.

            Maka apa yang kita tunggu lagi?

            Marilah beriman dengan keimanan terhadap qada’ qadar ini sebenar-benarnya.

            Irkam Ma’ana.

            Naiklah bersama kami.

            Ke atas bahtera keimanan yang menuju kepada Allah, redhaNya, syurgaNya!