Kenali Kami

logo_ori_blacktext
LangitIlahi pada mulanya adalah merupakan sebuah blog yang mula beroperasi semenjak pertengahan tahun 2007. Merupakan gesaan inspirasi daripada Ihsan Berahim kepada Muhammad Hilal Asyraf ketika mereka berdua baru sahaja menamatkan Sijil Peperiksaan Malaysia mereka.

Digerakkan dengan niat asal untuk berkongsi apa sahaja ilmu yang ada, Langit Ilahi terus berjalan membelah masa. Semakin hari menarik semakin ramai pengunjung. Daripada 1000 pelawat setahun kepada 1000 pelawat sehari pada tahun seterusnya dan terus berkembang, LangitIlahi terus istiqomah dijalankan oleh Muhammad Hilal Asyraf sehingga beliau menamatkan pengajiannya di peringkat Marhalah Khassah(Tingkatan Enam) atas di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah.

Tema ‘Mari Menjadi Hamba’ dipilih oleh Muhammad Hilal Asyraf sebagai mengingatkan akan niat yang utama LangitIlahi ditubuhkan. Langit Ilahi, adalah untuk mengajak manusia agar kembali menjadi hamba kepada Allah SWT. Maka segala pengisiannya, segala apa yang dipersembahkan di dalamnya, mestilah berpusar di sekitar perkara itu.

LangitIlahi diteruskan operasinya apabila Muhammad Hilal Asyraf menyambung pengajiannya di University of Yarmouk, Irbid, Jordan. Pada penghujung tahun 2008, blog LangitIlahi ditemui oleh Syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd, dan kemudiannya Muhammad Hilal Asyraf diajak untuk membuat kompilasi artikel-artikelnya di dalam LangitIlahi untuk dijadikan buku. Daripada peluang itu juga, akhirnya peluang menulis Novel muncul.

Berkembang dan terus berkembang, taraf LangitIlahi dinaikkan daripada blogspot, kepada website kerana tarikannya yang terus hangat dan pelawatnya yang terus bertambah.

Pengunjung saban hari bertambah ramai. Hingga kadangkala mencecah 10,000 pengunjung sehari. Bahkan LangitIlahi kini telah menjadi pautan di banyak blog dan website. Artikel-artikelnya disebar meluas oleh para blogger dan pengendali web. Turut di jadikan isu perbincangan di dalam forum-forum laman sosial.

Tidak merasa pengendalian LangitIlahi satu perkara yang hanya untuk mengisi masa lapang, Muhammad Hilal Asyraf bercadang membesarkan lagi LangitIlahi untuk dijadikan tapak penyebaran fikrah Islam, sekaligus seakan-akan menjadi suratkhabar rohani kepada ramai. Maka pada penghujung tahun 2010, satu projek naik taraf LangitIlahi dilakukan.

Tidak lagi memberikan Hilal Asyraf seorang sebagai penulis di LangitIlahi, kini LangitIlahi mempunyai dua puluh orang kolumnis yang mengendalikan pelbagai jenis ruangan penyampaian. LangitIlahi tidak sahaja mempunyai kolum berbentuk penulisan, tetapi kini diserikan lagi dengan komik, poster, fotografi, nasyid dan vlog.

Tim LangitIlahi 2014

Dengan tema Mari Menjadi Hamba yang dibawa semenjak awal penubuhannya, LangitIlahi terus membelah arus masa kini dan terus berkembang dari masa ke semasa. LangitIlahi juga semenjak 2012 semakin aktif menganjurkan bengkel-bengkel, seminar-seminar dan program-program di bawah cabangnya – LangitIlahi Consultancy – untuk manfaat masyarakat. Di samping itu, LangitIlahi kini juga telah mempunyai ‘kedai online’ tersendiri di bawah nama LangitIlahi Store, dan pada masa yang sama menggerakkan kelab LangitIlahi Community yang diisi dengan aktiviti rekreasi, kemasyarakatan dan usrah umum.

Moga LangitIlahi terus berkembang pesat dan maju, untuk manfaat ummmah insyaAllah.

Mari Menjadi Hamba!