Khamis, 17 Mei 2012   |   25 Jamadilakhir 1433 Hijrah   |   34 Pembaca Online   |   Welcome, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Kenali Kami

Kenali Kami

LangitIlahi pada mulanya adalah merupakan sebuah blog yang mula beroperasi semenjak pertengahan tahun 2007. Merupakan gesaan inspirasi daripada Ihsan Berahim kepada Muhammad Hilal Asyraf ketika mereka berdua baru sahaja menamatkan Sijil Peperiksaan Malaysia mereka.

Digerakkan dengan niat asal untuk berkongsi apa sahaja ilmu yang ada, Langit Ilahi terus berjalan membelah masa. Semakin hari menarik semakin ramai pengunjung. Daripada 1000 pelawat setahun kepada 1000 pelawat sehari pada tahun seterusnya dan terus berkembang, LangitIlahi terus istiqomah dijalankan oleh Muhammad Hilal Asyraf sehingga beliau menamatkan pengajiannya di peringkat Marhalah Khassah(Tingkatan Enam) atas di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah.

Tema Mari Menjadi Hamba dipilih oleh Muhammad Hilal Asyraf sebagai mengingatkan akan niat yang utama LangitIlahi ditubuhkan. Langit Ilahi, adalah untuk mengajak manusia agar kembali menjadi hamba kepada Allah SWT. Maka segala pengisiannya, segala apa yang dipersembahkan di dalamnya, mestilah berpusar di sekitar perkara itu.

LangitIlahi diteruskan operasinya apabila Muhammad Hilal Asyraf menyambung pengajiannya di University of Yarmouk, Irbid, Jordan, dengan Ihsan Berahim kekal sebagai pengurusan bahagian multimedianya.

Pada penghujung tahun 2008, blog LangitIlahi ditemui oleh Syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd, dan kemudiannya Muhammad Hilal Asyraf diajak untuk membuat kompilasi artikel-artikelnya di dalam LangitIlahi untuk dijadikan buku. Daripada peluang itu juga, akhirnya peluang menulis Novel muncul.

Berkembang dan terus berkembang, Ihsan Berahim mencadangkan agar dinaik taraf LangitIlahi daripada blogspot, kepada website kerana tarikannya yang terus hangat dan pelawatnya yang terus bertambah.

Maka, pada bulan Mac 2009, LangitIlahi dinaik taraf menjadi website.

Pengunjung saban hari bertambah ramai. Hingga kadangkala mencecah 10,000 pengunjung sehari. Bahkan LangitIlahi kini telah menjadi pautan di banyak blog dan website. Artikel-artikelnya disebar meluas oleh para blogger dan pengendali web. Turut di jadikan isu perbincangan di dalam forum-forum laman sosial.

Tidak merasa pengendalian LangitIlahi satu perkara yang hanya untuk mengisi masa lapang, Muhammad Hilal Asyraf bercadang membesarkan lagi LangitIlahi untuk dijadikan tapak penyebaran fikrah Islam, sekaligus seakan-akan menjadi suratkhabar rohani kepada ramai. Maka pada penghujung tahun 2010, satu projek naik taraf LangitIlahi dilakukan.

Tidak lagi memberikan Hilal Asyraf seorang sebagai penulis di LangitIlahi, kini LangitIlahi mempunyai lima orang penulis yang mengendalikan pelbagai jenis ruangan penyampaian. Turut wujud di LangitIlahi kini fotografer yang bertindak menceriakan pengunjung dengan gambar yang mengkagumkan sekaligus menyambungkan mereka kepada Allah SWT. Hadir juga bersama LangitIlahi baru ini kartunis yang berkaliber, untuk menghiburkan pelawat dengan alternatif lukisan yang tetap membawa pembacanya kembali kepada Allah SWT. Kini, Ihsan Berahim tidak lagi keseorangan dalam mengendalikan LangitIlahi. Turut wujud sekumpulan pelajar multimedia yang menguruskan hal ehwal multimedia Langit Ilahi bersama-samanya.

Dengan tema Mari Menjadi Hamba yang dibawa semenjak awal penubuhannya, LangitIlahi terus membelah arus masa kini dan terus berkembang dari masa ke semasa.

Copyright © 2012 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top