Umum: Antara Ibrahim, Ismail, Hajar dan Kita.

artsfon-com-74208

 

Saban musim Aidil Adha, kita akan kembali menziarahi kisah keluarga Ibrahim. Cerita bagaimana seorang Rasul merangkap seorang ayah, bergerak untuk menunaikan perintah Allah hingga sanggup mengorbankan anaknya, juga merupakan cerita seorang anak yang mentaati Allah hingga bersiap untuk mengorbankan dirinya. Itulah juga kisah seorang isteri dan ibu, yang mentaati Allah, hingga meredhai apa yang berlaku.

Namun sejauh mana kita menghayati pengorbanan keluarga yang mulia ini?

Ibrahim AS, ketika peristiwa itu berlaku, telah lama berpisah dengan anaknya. Ismail & Hajar telah ditinggalkan olehnya di Makkah atas arahan Allah sedang dia pulang ke Palestin. Apabila anaknya akil baligh, Ibrahim AS diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya itu. Perintah pula datang dalam bentuk mimpi, tetapi baginda tahu bahawa mimpi para Rasul bukan permainan syaitan.

Baginda perlu merentas perjalanan sangat panjang, untuk menyembelih anaknya. Bayangkan?

Sudahlah perjalanan memakan masa dan tenaga, anaknya kesayangan yang lama tidak dijumpainya pula perlu dikorbankan. Bukanlah perjalanan yang mudah. Namun diharungi juga, kerana apa?

Kerana iman, keyakinan, percaya, kepada Allah SWT.

Ismail AS, apabila bapanya yang tidak membesarkannya, hadir di hadapannya setelah sekian lama, tiba-tiba pula datang membawa perintah berupa pengorbanan dirinya, apakah mudah untuk diterima? Semestinya tidak. Namun apakah respon anak muda ini?

Nabi Ismail AS mentaati perintah itu. Merelakan dirinya untuk dikorbankan. Tidak memaki hamun bapanya kerana mahu melaksanakan perintah tersebut. Tidak pula mengungkit ketiadaan bapanya dalam kehidupannya selama ini.

Kerana apa? Kerana iman, keyakinan dan percaya kepada Allah SWT.

Apakah Ismail AS tiba-tiba automatik membesar menjadi seorang yang soleh? Sunnatullahnya tidak. Maka siapakah yang mendidik beliau? Sedang bapanya tiada di sisinya sepanjang tumbesaran Ismail AS.

Di sinilah kita melihat peranan Hajar. Yang memahami bahawa tindakan suaminya meninggalkan dirinya dan Ismail di sebuah tanah gersang, atas perintah Allah SWT. Dan semestinya Allah tidak mempersiakan hamba-hambaNya yang beriman. Allah tidak akan memerintahkan hamba-hambaNya melakukan hal yang sia-sia. Atas kepercayaan itu, Hajar tidak membenci Ibrahim meninggalkannya. Buktinya? Ismail dibesarkan menjadi pemuda yang beriman kepada Allah SWT, dididik dengan kesantunan dan akhlak yang baik.

Hingga tatkala Ibrahim AS tiba dan membawa khabar bahawa baginda perlu menyembelih Ismail, Ismail AS kekal santun dan yakin.

Begitulah juga Hajar. Suaminya telah meninggalkannya, kemudian kembali pula dalam keadaan membawa perintah untuk mengorbankan anak kesayangannya, permata tunggalnya, apakah Hajar menjerit histeria? Apakah Hajar memaki Ibrahim? Apakah Hajar mencela Allah SWT? Tidak dan tidak.

Hajar juga redha. Kerana apa? Kerana beriman, yakin dan percaya kepada Allah SWT.

Keluarga ini, melalui ujian keimanan yang begitu berat dan dasyat. Tetapi keluarga ini mempersembahkan kualiti iman yang tinggi dan menempuhi ujian tersebut dengan begitu baik sekali.

Hingga apabila mereka berjaya menempuhnya, Allah memuji mereka berkali-kali di dalam Al-Quran.

“Kami abadikan untuk Ibrahim itu pujian yang baik di kalangan orang-orang yang datang kemudian – Yaitu Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim – Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” Surah As-Soffat ayat 108-110.

Di dalam ayat yang lain:

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus ? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya.” Surah An-Nisa’ ayat 125.

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!” Surah Maryam ayat 54-55.

Persoalan terbesar selepas kita menghayati kisah ini ialah: “Bagaimana pula pengorbanan kita?”

Kita tidak diperintahkan untuk menyembelih anak kita sendiri. Tidak juga kita disuruh meninggalkan ahli keluarga kita di tanah gersang. Suami kita tidak diperintahkan Allah SWT untuk meninggalkan kita berseorangan membesarkan anak kita di tengah padang pasir. Suami kita tidak diarahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anak kesayangan kita.

Pengorbanan yang dituntut kepada kita hanyalah pengorbanan nafsu shahwat ke atas perkara-perkara yang Allah larang. Mengorbankan sebahagian keinginan kita atas hal-hal yang dimurkai Allah. Mengorbankan sikap-sikap buruk untuk memilih bersikap dengan sikap yang diredhai Allah. Mengorbankan sebahagian masa untuk beribadah. Mengorbankan sebahagian harta untuk zakat dan sedekah. Mengorbankan sedikit keselesaan hidup untuk kisah dengan orang-orang yang dizalimi dan membela mereka. Mengorbankan sedikit kepentingan diri untuk berdakwah menyebarkan agama Allah SWT ini.

Apalah sangat pengorbanan kita sebenarnya? Apalah sukar sangat?

Kisah Ibrahim, Ismail dan Hajar hakikatnya diulang saban tahun supaya manusia menyedari bahawa hendak menjadi muslim yang baik itu, antara ciri yang perlu ada ialah kesediaan kita mengorbankan sebahagian kehidupan kita, keselesaan diri, untuk mentaati Allah SWT.

Sememangnya Islam menuntut pengorbanan daripada kita. Kita tidak akan mampu mencintai Allah SWT dengan baik sekiranya pada masa yang sama kita tidak korbankan rasa cinta kita terhadap apa yang dimurkaiNya.

Di sinilah kita bermuhasabah, meneliti kembali kehidupan kita.

Apa sebenarnya telah kita korbankan dalam perjalanan menjadi seorang muslim & muslimah yang baik?

Hayati kisah Ibrahim, Ismail dan Hajar, kemudian kita refleksi semua itu dalam kehidupan kita.

Semoga saban Aidil Adha, kita memeriksa kembali komitmen kita terhadap agama ini.

Sama ada kita menjadi muslim yang jujur, benar-benar beriman, hingga sanggup berkorban demi mendahulukan perintah Allah SWT berbanding kepuasan hawa nafsu diri, atau kita sebenarnya muslim yang hipokrit. Hanya muslim pada kad pengenalan, pada nama dan keturunan.

Muhasabah.

====================

IMG_20160901_161544

Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

in Umum | 921 Words

Umum: Perutusan Aidil Adha Langit Ilahi

9128
 
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahil hamd.
 
Telah sampai kepada kita Aidil Adha, atau masyhur kita menyebutnya dengan nama Hari Raya Korban, Hari Raya Haji di nusantara ini.
 
Rakan-rakan yang dimuliakan, hendaklah kita mengambil masa sejenak, menyelami akan hikmah mengapa perayaan ini wujud di dalam agama kita, menjadi rutin tahunan seorang muslim.
 
Apakah Allah SWT itu suka akan perkara yang sia-sia? Semestinya tidak. Maka perayaan ini juga tidak sia-sia di dalam kehidupan seorang Muslim. Bukan terwujud sekadar untuk orang-orang Islam itu punya masa bersuka ria, tetapi perayaan ini wujud untuk setiap Muslim itu melakukan refleksi terhadap komitmen masing-masing terhadap agama mereka.
 
Rakan-rakan yang didoakan,
 
Sering diulang kepada kita akan kisah pengorbanan keluarga Ibrahim. Namun itu bukan kisah yang diulang hanya untuk menghiasi perayaan ini. Hakikatnya kisah itu adalah untuk muslim mengetuk fikirnya, bertanya pula akan bagaimana komitmen dirinya terhadap Islam.
 
Ibrahim dan keluarga baginda telah diuji dengan ujian keimanan yang tinggi. Kita juga hakikatnya teruji saban hari dalam kehidupan kita. Sekiranya Ibrahim AS perlu memilih antara mentaati perintah Allah SWT dan anak yang dikasihinya, kita pula teruji antara mentaati Allah SWT dengan perkara-perkara lain di dalam kehidupan kita.
 
Bezanya, Ibrahim diuji dengan ujian yang berat. Pengorbanan yang perlu dilakukan baginda ialah literal. Yakni baginda benar-benar diuji untuk mengutamakan perintah Allah berbanding nyawa anak baginda. Apakah ujian yang kita hadapi hingga ke tahap sedemikian rupa? Tidak rakan-rakan.
 
Pengorbanan yang dituntut kepada kita hanyalah pengorbanan nafsu shahwat ke atas perkara-perkara yang Allah larang. Mengorbankan sebahagian keinginan kita atas hal-hal yang dimurkai Allah. Mengorbankan sikap-sikap buruk untuk memilih bersikap dengan sikap yang diredhai Allah. Mengorbankan sebahagian masa untuk beribadah. Mengorbankan sebahagian harta untuk zakat dan sedekah. Mengorbankan sedikit keselesaan hidup untuk kisah dengan orang-orang yang dizalimi dan membela mereka. Mengorbankan sedikit kepentingan diri untuk berdakwah menyebarkan agama Allah SWT ini.
 
Namun apakah kita punya komitmen terhadap agama ini hingga mampu mengorbankan sebahagian kehidupan kita, untuk berdedikasi dan istiqomah memikul tanggungjawab sebagai seorang muslim dan muslimah?
 
Inilah persoalannya rakan-rakan, yang perlu kita ulang saban tahun. Yang mahu diperingatkan kepada kita saban Aidil Adha.
 
Sebahagian kita dilebihkan Allah SWT dengan rezeki menunaikan haji. Apakah ibadah Haji itu sekadar ritual kosong? Atau hakikatnya ibadah itu adalah untuk kita melakukan refleksi akan pengorbanan yang patut dilakukan oleh seorang insan dalam mematuhi Tuhannya? Pengorbanan masa, wang, tenaga, dalam melaksanakan perintahNya?
 
Alangkah ruginya apabila sebahagian kita sekadar menganggap Haji sebagai tempat mencuci dosa, supaya apabila pulang nanti kita dapat melakukan lebih banyak dosa!
 
Alangkah ruginya apabila sebahagian kita menganggap haji sebagai ibadah pengurniaan pangkat, agar gelaran haji atau hajah membuatkan orang lain lebih hormat!
 
Haji itu lebih daripada itu semua. Melakukannya patut membuatkan kita lebih sedar akan prinsip-prinsip Islam dan tujuannya. Ibadah Haji sepatutnya menghapuskan sikap rasis apabila pelbagai bangsa mampu bersatu di bawah satu syahadah. Ibadah haji patut menghapuskan keegoan diri kerana semuanya sama-sama memakai pakaian yang sama, berada di tempat yang sama, melakukan ibadah yang sama, untuk Tuhan yang sama!
 
Malang sekali apabila ada pihak-pihak mengambil kesempatan, memisahkan sang kaya dan sang miskin, menjadikan Haji lebih selesa untuk yang lebib berduit! Padahal Haji sepatutnya menghapuskan segala kasta dan kelas antara manusia.
 
Rakan-rakan yang dimuliakan, jangan dibiarkan Aidil Adha ini menjadi ‘sekadar satu lagi Hari Raya’ dalam kalendar tahunan kita.
 
Kembalilah kita meneliti komitmen kita terhadap agama ini.
 
Kita perlu melakukan pengorbanan untuk benar-benar menjadi muslim dan muslimah yang baik. Kerana antara dua cinta tidak akan bersatu dalam satu masa ialah cinta kepada Allah dan cinta kepada apa yang dimurkaiNya. Jika mahu menjadi muslim yang baik, cinta kepada apa yang dimurkaiNya itu sudah pasti perlu kita korbankan.
 
Semoga kita benar-benar mampu menghayati hakikat tersebut dalam perayaan ini, dan bangkit menjadi muslim muslimah yang jauh lebih baik dari sebelum ini.
 
Muhasabah.
 
Mari Menjadi Hamba!
 
~ Hilal Asyraf
Pengasas LangitIlahi.Com
 
===================
 14163814_935760266536106_1448132747_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.
 
Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.
 
Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:
 
 
Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!
in Umum | 695 Words

Umum: Melihat Kekurangan, Kesilapan dan Kesalahan Orang Lain

United_by_BenHeine

Dalam kita melihat kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain, jangan sesekali kita lupa bahawa diri kita juga penuh dengan kekurangannya.

Bezanya, kekurangan orang lain itu terpamer, manakala kekurangan kita mungkin masih lagi Allah SWT sudi sembunyikan.

Kita melihat kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain sebagai peringatan kepada diri kita sendiri. Sebagai sempadan untuk kita tidak langkaui. Sebagai amaran agar kita tidak bergerak ke arah yang sama.

Melihat kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain tidak memberikan kita lesen untuk merasakan diri kita lebih baik, bahawa diri kita lebih suci serta menghalalkan pula tindakan-tindakan seperti maki hamun, keji mengeji, memberikan ancaman, terhadap mereka.

Kita masing-masing perlu sedar bahawa setiap kita bertarung dengan diri dan syaitan masing-masing. Dan mungkin hari ini fulan bin fulan atau fulanah binti fulan tewas, tetapi kita sendiri tidak dapat menjamin apakah kita tidak akan teruji seperti mereka kelak.

Hendaklah kita peringatkan kepada diri kita bahawa selagi seseorang itu belum menghadapi sakaratul maut dan mentari belum terbit dari barat, mereka masih punya peluang untuk bertaubat dan berubah ke arah kebaikan.

Maka hendaklah kita, yang percaya bahawa dirinya berada di atas landasan yang benar, yang meyakini bahawa dirinya sedang berusaha bergerak ke arah kebaikan, untuk meneruskan usaha pesan memesan ke arah kebenaran dan pesan memesan ke arah kesabaran dalam menempuh hidup sebagai muslim di atas muka bumi ini.

Bukan menghukum mereka yang teruji dengan kekurangan, kesilapan dan kesalahan itu seakan mereka tiada harapan lagi di sisi Tuhan. Ingatlah bahawa kita bukan Tuhan. Bukan juga kita ialah manusia yang diberikan kuasa dan tugas untuk menjatuhkan hukuman.

Kita lihat kembali semula kepada diri sendiri. Apakah kita sendiri menyokong perkara-perkara dimurkai Allah SWT, walaupun kita seorang Muslim? Mungkin itu patut kita sibukkan berbanding terlalu asyik berbincang berkenaan kekurangan, kesilapan dan kesalahan orang lain.

Apakah kita telah menjauhi pakaian yang tidak patuh syariah? Apakah kita telah berhenti menonton drama & filem merepek? Apakah kita telah meninggalkan selebriti dan idola-idola yang langsung tidak membawa kita ke jalan yang baik? Apakah kita telah meninggalkan siaran-siaran radio merapu? Apakah kita telah berhenti dari menjadi penonton tegar rancangan realiti merepek?

Apa yang telah kita sibukkan untuk memberi impak yang baik kepada masyarakat? Apa yang telah kita sungguh-sungguh mengusahakan sesuatu yang mendekatkan masyarakat kita kepada Allah SWT? Apa yang telah kita usahakan untuk menyembuhkan kebejatan sosial di negara kita? Sejauh manakah kita berperanan untuk memperkasakan kebaikan-kebaikan di tanah air kita ini?

Ya, bila kita lihat kepada diri sendiri, banyak pula perkara perlu kita perbaiki. Banyak perkara perlu dilakukan.

Jika kita sibuk dengan itu semua, tidak sempat untuk kita terlalu menilai orang lain.

Hakikatnya orang yang dinilai oleh kita itu pun teruji. Suasana hari ini bukan suasana yang kondusif untuk seorang hamba Allah SWT mengabdikan dirinya kepadaNya dengan mudah dan selesa. Terlalu banyak dugaan dan ujian mengelilingi. Terlalu banyak cabaran dan ranjau yang perlu kita tempuhi.

Kita perlu menyedari hakikat ini. Mulakan perubahan, bermula dari diri kita sendiri.

Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

in Umum | 555 Words

Umum: Penat Jadi Baik

test
 
Kehidupan ini walaupun hakikatnya sebentar, namun bagi manusia yang melaluinya, yang disibukkan dengan pelbagai urusan di dalamnya, ia terasa panjang. Mengapa terasa panjang? Kerana kita tidak tahu bila ia akan berakhir.
 
Untuk setiap manusia itu pula, mereka menempuh jalan kehidupan ini dengan pelbagai tribulasi. Ada yang diuji dengan kesukaran, ada yang diuji dengan kesenangan. Ada yang diuji dengan rakan-rakan, ada yang diuji dengan keluarga, ada yang diuji dengan orang lain. Ada yang diuji dengan kejatuhan, ada yang diuji dengan kebangkitan, ada yang diuji dengan cabaran untuk istiqomah.
 
Maka dalam menempuh kehidupan, akan ada manusia yang kepenatan. Penat jadi baik. Penat menjadi hamba yang patuh kepada Allah SWT. Sama ada penat kerana terasa panjangnya perjalanan untuk menjadi baik itu, menempuh kesukaran untuk tidak tersasar dari jalan kebaikan, atau penat kerana diuji oleh ‘orang-orang yang baik’, mungkin ditipu oleh mereka, dipergunakan oleh mereka, mungkin dikecewakan oleh sikap mereka. Pelbagai ragam.
 
Namun, ada satu bicara yang sering berulang dalam kehidupan saya. Yang suka juga saya ulang kepada diri saya.
 
“Putus asa di tengah jalan kebaikan itu, adalah kerana kesilapan di titik awal.”
 
Maksudnya, kadang kita penat melakukan kebaikan, rasa tak mahu sudah tergolong dalam golongan orang-orang yang taat kepada Allah SWT, yang patuh perintah Allah SWT, adalah kerana kesilapan kita ketika kita mula membuat keputusan untuk menjadi baik. Kita punya niat yang salah, tujuan yang salah, matlamat yang salah ketika membuat keputusan untuk menjadi baik itu.
 
Diingatkan kepada sekalian ummat Islam, akan hadith yang tersangat penting berkenaan niat. Rasulullah SAW bersabda:
 
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia dek habuannya, atau kerana wanita kerana ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.
 
Diingatkan kepada kita, bahawasanya apabila kita berhijrah(kiasan kepada sebuah tindakan) kerana Allah SWT dan rasulNya, maka kita akan pergi kepada Allah dan rasulNya. Namun sekiranya kita melakukan sesebuah tindakan itu kerana niat yang lain, duit, populariti, pujian orang, perhatian orang atau apa sahaja selain Allah dan Rasul, maka kita akan perbuatan kita itu akan terarah kepada perkara-perkara tersebut, selain Allah dan Rasul.
 
Rakan-rakan, niat itu biasanya di permulaan tindakan. Sama ada kita melafazkannya atau sekadar lintasan hati, niat akan mencorakkan tindakan kita yang seterusnya.
 
Penat jadi baik?
 
Apa niat kita jadi baik sebelum ini sehingga penat jadi baik?
 
Penat itu lumrah, namun orang yang jelas niatnya, orang yang bersih matlamatnya, akan mampu mengatasi kepenatan itu. Akan melihatnya sebagai cabaran untuk diatasi, bukan tewas dengannya.
 
Penat kerana dikhianati, dipergunakan, dimanipulasi oleh orang-orang yang disangka baik? Maka belajar dari pengalaman dan berusaha untuk tidak diperlakukan sedemikian buat kali yang seterusnya. Apakah kerana manusia yang berperangai hodoh, bersikap buruk, maka kita penat untuk mentaati Allah SWT?
 
Apakah kita akan berdiri di hadapan Allah SWT kelak, dan memberikan alasan kepadaNya: “Ya Allah, aku tak patuh arahan Engkau, aku menderhakai Engkau, kerana aku penat ya Allah.”
 
Apakah kita fikir, hendak mendapatkan syurga itu, kita akan memperolehinya dengan lenggang kangkung sahaja?
 
Tidakkah kita menghayati firman Allah SWT berikut?
 
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.
 
Kita akan teruji apabila menjadi baik. Orang-orang sebelum kita bahkan diuji sehingga walaupun mereka bersama Rasul, yakni orang yang mendapat wahyu langsung daripada Allah SWT, mereka terpaksa bertanya: “Bilakah pertolongan Allah akan sampai?” Kerana goncangan ujian yang tersangat hebat. Begitu sekali orang-orang baik akan diuji.
 
Allah tidak akan melepaskan manusia bersahaja mengaku bahawa mereka telah beriman, mereka adalah orang baik, tanpa memberikan mereka ujian.
 
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
 
Mengapa? Supaya kita boleh melihat sendiri, apakah kita jujur menjadi orang yang baik. Apakah kita jujur dengan keimanan kita.
 
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 3.
 
Maka akhirnya, apabila kita terasa penat dengan kebaikan, apabila kita rasa penat hingga mahu meninggalkan kebaikan itu sendiri, kita perlu kembali bertanya kepada diri kita.
 
“Mengapa aku jadi baik?”
 
Tidak pernah terlewat untuk kita memperbaiki niat kita. Kembali membetulkan matlamat kita. Kembali membersihkan tujuan kita. Tidak pernah terlewat. Bahkan mungkin kepenatan itu adalah teguran halus daripada Allah SWT untuk kita bermuhasabah.
 
Kadang ada antara kita jadi baik kerana trend, kerana ikut-ikut. Baguslah, sekurang-kurangnya ikut-ikut ke arah kebaikan. Namun menjadi baik yang sebenar itu tidak akan mampu kekal dengan ikut-ikut semata-mata. Ia mesti berdiri di atas keimanan dan keyakinan yang jelas.
 
Kalau orang bertanya kepada saya, apakah tidak penat hendak patuh kepada Allah SWT dan menjauhi laranganNya sepanjang kehidupan kita? Saya akan jawab, penat, dan ianya bukan mudah.
 
Habis tu, apa yang membuatkan kita terus menerus berada di atas jalan ini?
 
Jawapan saya ialah IMAN.
 
Kerana saya yakin, bahawa selepas kehidupan ini berakhir, saya akan didirikan di hadapan Allah SWT. Allah SWT akan menilai seluruh kehidupan saya, dan kemudian saya akan berakhir di salah satu antara dua tempat – syurga atau neraka.
 
Saya beriman dengan itu semua. Maka sering saya bertanya, sekiranya saya pulang berhadapan dengan Allah SWT, apakah yang saya akan persembahkan di hadapanNya? Apakah kehidupan yang penuh dengan dosa dan noda? Kehidupan yang penuh dengan keingkaran dan kemaksiatan? Seterusnya saya dilempar ke neraka dan kekal abadi terseksa di dalamnya? Alangkah celakanya ketika itu. Pastinya bukan itu pengakhiran pilihan saya.
 
Saya mahu berakhir dalam dakapan rahmat Allah SWT, yang kemudiannya saya dikurniakan syurga. Kekal abadi bahagia di dalamnya. Untuk pengakhiran itu, saya sanggup berpenat lelah di atas muka bumi ini. Ya, saya tidak sempurna. Saya tahu itu, tetapi saya tidak akan pernah mengalah. Saya akan bangkit dan bangkit lagi. Kenapa?
 
Kerana saya BERIMAN dengan wujudnya pertemuan antara saya dan Allah SWT di akhirat kelak.
 
Kerana saya BERIMAN lah, saya pilih untuk jadi baik. Saya pilih untuk berusaha menjadi baik. Saya pilih untuk lawan rasa penat, dan tidak berputus asa. Saya pilih untuk bangkit dan bangkit dan bangkit, walau berkali-kali saya jatuh.
 
Penat jadi baik?
 
Saya BERIMAN bahawa Allah tidak pernah penat memberikan saya rezeki, Allah tidak pernah penat memberikan saya peluang untuk bertaubat, Allah tidak pernah penat mencurahkan kasih sayangNya kepada saya.
 
Maka bagaimana saya boleh menjadikan penat untuk menjadi alasan agar saya berhenti menjadi hambaNya yang baik?
 
Rakan-rakan yang saya muliakan, penat dan kecewa itu lumrah. Kita manusia, ada kelemahan dan kekurangan. Namun setiap cabaran itu adalah untuk kita atasi.
 
Kembalilah kita bermuhasabah, periksa semula keimanan kita.
 
Sesungguhnya Islam itu tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang hipokrit. Tidak pula Allah SWT itu bodoh dan alpa untuk ditipu oleh mereka yang mempergunakan kebaikan, yang memanipulasi Islam untuk kepentingan diri sendiri.
 
Kita bersihkan semula niat dan tujuan kita menjadi baik, menjadi hambaNya yang patuh.
 
Hanya kerana Allah SWT. Hanya kerana hendak mendapatkan keredhaanNya. Hanya untuk pulang dalam keadaan yang baik di sisiNya.
 
Selain itu, segalanya kecil bagi kita.
 
Daripada Allah SWT kita datang, kepada Allah SWT kita kembali.
 
Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

in Umum | 1,308 Words

Umum: Perjalanan Kehidupan

26
 
Setiap kita, walau berbeza latar belakang, berbeza cabaran dan dugaan yang dihadapi, akhirnya pergi ke arah yang sama di dalam kehidupan ini. Yakni kita sedang bergerak untuk dibawa pulang kepada Allah SWT.
 
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 156.
 
Segala pangkat, segala harta, segala keluarga dan rakan yang kita punyai, sama ada ia memberikan kita status di dunia ini atau tidak memberikan apa-apa nilai tambah kepada kehidupan kita sebagai seorang manusia, semuanya akan dilucutkan lewat pintu bernama kematian.
 
Yang tinggal dengan kita hanyalah amal. Amal yang kita usahakan. Amal yang tidak akan dapat didiskriminasikan dengan apa bangsa kita, apa latar belakang kita dan apa keadaan kita, sama ada kita miskin atau kaya, sama ada kita ada kawan dengan orang hebat atau tidak, sama ada keluarga kita keturunan raja atau bukan. Kerana akhirnya, orang kaya, orang miskin, orang pangkat besar atau sekadar kuli, semuanya perlu tunduk dan patuh kepada Allah SWT, Yang Maha Besar, Empunya Sekalian Alam.
 
Selepas melewati pintu kematian, orang biasa dan raja itu sama. Yang membezakan hanya taqwa mereka kepada Allah SWT.
 
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.” Surah Al-Hujurat ayat 13.
 
Dan kemudian kita akan dibangkitkan di hadapan Allah SWT, dinilai dengan begitu detail dan tidak akan terlepas walau satu zarrah dari amalan kita di atas dunia.
 
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
 
Hingga ada di kalangan para penderhaka berhajat menjadi tanah sahaja, apabila melihat ketatnya pemeriksaan Allah SWT ketika itu, mengetahui bahawa kejahatan-kejahatan mereka tidak akan terlepas di sisi Allah SWT.
 
“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” Surah An-Naba’ ayat 40.
 
Ada pula di kalangan mereka yang meminta untuk dipulangkan ke dunia untuk menambah amal soleh.
 
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.
 
Suasana ketika itu ialah suasana yang dasyat. Sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda:
 
“Sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” Hadith riwayat Bukhari & Muslim.
 
Kita perhatikan kehidupan yang sedang kita lalui ini. Kita sibuk dengan pelbagai urusan. Kadangkala kita tertipu pula dengan apa yang kita ada. Hingga kita terlupa, ke mana akhirnya kehidupan kita.
 
Namun Allah SWT tidak meninggalkan kita begitu sahaja. Dia berikan kepada kita peringatan-peringatan. Melalui Al-Quran, melalui hadith, dan melalui mereka yang menyampaikan peringatan berpandukan kedua-duanya, untuk disampaikan kepada kita melalui pelbagai medium. Juga kadangkala Allah SWT menegur kita melalui peristiwa-peristiwa, contohnya kematian ahli keluarga atau rakan terdekat, agar kita tersentak dan tersedar. Allah SWT masih lagi menghidupkan kita, hari demi hari, memberikan peluang demi peluang.
 
Tinggal akhirnya, apakah kita bersedia untuk mencelikkan mata dan menyedari akan hakikat perjalanan hidup ini, seterusnya mula memberikan fokus kepada mentaati Allah SWT dan menjauhi laranganNya?
 
Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

in Umum | 638 Words

Umum: Kemerdekaan Hakiki

malaysia-kuala-lumpur

 

Misi kemerdekaan kita ialah misi yang pernah dilaungkan oleh Rib’ie bin Amir ketika beliau diutuskan untuk berhadapan dengan Panglima Parsi.

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan hanya sanya kepada Allah, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Sekiranya kita telusi dengan insaf dan jelas, kemerdekaan untuk seorang manusia itu hanya sekadar sebuah ilusi. Kerana akhirnya, manusia hanyalah hamba. Asalnya, manusia ialah hamba kepada Allah SWT kerana Allah SWT yang menciptakan manusia. Menghambakan diri ialah fitrah kepada manusia, kerana demikianlah dia diciptakan.

Jika dia tidak memperhambakan diri kepada Allah, menundukkan dirinya kepada apa yang Dia perintahkan, maka manusia akan pergi memperhambakan dirinya kepada perkara yang lain seperti kuasa, harta, nafsu, manusia lain, benda lain dan sebagainya. Dan perhambaan-perhambaan kepada perkara-perkara tersebut, bakal merosakkan manusia. Kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Tahu apa yang baik buat manusia, kerana Dialah pencipta kita, bukan yang lain-lain itu.

Maka, tahap tertinggi kemerdekaan seseorang manusia itu boleh capai, ialah dengan kembali kepada perhambaan yang sebenar, yakni kembali kepada Allah SWT. Ya, dengan memperhambakan diri kepada Allah SWT, seorang manusia itu masih terikat. Terikat dengan peraturan Islam, terikat untuk mentaati Allah SWT, terikat untuk menjauhi apa yang Dia larang. Namun itu semua baik untuknya. Keterikatan yang membuahkan keteraturan dalam kehidupan seorang insan. Keterikatan yang akan memberikannya manfaat dan pelbagai kebaikan.

Ada manusia menganggap, merdeka itu bebas tanpa kongkongan dan menyatakan bahawa Islam tidak memberikan kemerdekaan kepada manusia, hanya mengikat mereka dengan pelbagai peraturan yang melecehkan. Ini fikiran yang silap.

Ambil masa dan lihat sebentar perjalanan alam ini. Sekiranya matahari itu tidak menuruti peraturan yang ditetapkan kepadanya, untuk duduk di tempatnya, melakukan apa yang dia lakukan sekarang, apakah kita akan dapat hidup selesa? Sekiranya bumi ini tidak menuruti peraturan yang ditetapkan kepadanya, untuk berputar pada paksinya, dengan kelajuan sekian dan sekian, untuk mengelilingi matahari pada kelajuan sekian dan sekian, apakah kita akan mampu menikmati kehidupan sekarang? Dan begitulah seluruh ekosistem yang terwujud, yang kita lihat berjalan dalam keadaan ‘auto-pilot’ ini. Jika semuanya berbuat sesuka hati, tanpa peraturan, apakah dunia ini akan berfungsi dengan baik untuk dihuni dan diduduki oleh manusia?

Fikir perkara tersebut dengan mendalam, supaya kita dapat memahami akan mengapa saya menyatakan bahawa kemerdekaan tertinggi yang dapat dicapai oleh seorang manusia itu, ialah dengan memperhambakan dirinya kepada Allah SWT, pencipta kepada manusia, Tuhan sekalian alam!

Sama-samalah kita mengambil iktibar akan hakikat ini, sebelum kita membicarakan kemerdekaan watan. Kerana, watan kita hanya merdeka daripada penjajahan fizikal. Tiada pihak asing, secara fizikal, sedang menjajahi negara kita. Namun, rakan-rakan yang dimuliakan, tanpa kemerdekaan hakiki yang kita bincangkan panjang lebar di atas, hakikatnya watan kita akan masih terjajah dan terus terjajah, tinggal secara tidak langsung sahaja.

Terjajah dengan anasir-anasir buruk. Terjajah dengan sikap yang jelek lagi dangkal. Terjajah dengan korupsi, kezaliman dan kerosakan-kerosakan. Sama ada itu semua hasil usaha daripada pihak luar yang dengki dan berniat jahat, atau bertitik tolak daripada kebodohan diri dan tipuan hawa nafsu. Dan ini semua masih berlaku di negara yang kita cintai ini. Tinggal sama ada kita mahu mengakuinya atau tidak sahaja.

Akhirnya rakan-rakan, yang bakal memerdekakan kita ialah Allah SWT. Yakni dengan kita kembali tunduk kepadaNya. Mentaati perintahNya. Menjauhi laranganNya.

Itulah, kemerdekaan yang sebenar-benarnya.

Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

in Umum | 616 Words

Umum: Apa Khabar Belia Kita?

photo 4 (12)

 

Hari ini saya meluangkan masa membaca satu artikel ilmiah, atau kertas kerja, bertajuk Permasalahan Sosial Di Kalangan Remaja Dalam Selangor: Satu Tinjauan.

Di dalamnya terdapat fakta-fakta berkaitan kebejatan gejala sosial di kalangan belia kita.

Antaranya dinyatakan di dalam kertas kerja tersebut bahawa statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) telah mencatatkan 81,000 kelahiran anak luar nikah sehingga 2011. Manakala kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia(UPM) pula mendapati 300 orang remaja melayu berusia 13-25 tahun terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas. 85% daripada bilangan itu pula dinyatakan langsung tidak menyesal, malu atau takut melaksanakan perbuatan tersebut, bahkan menyatakan ia pengalaman yang menyeronokkan.

Statistik Polis DiRaja Malaysia(PDRM) pula mencatatkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan antara tahun 2000-2006 ialah seramai 580 orang bayi. Jumlah kelahiran anak luar nikah pula menunjukkan pola peningkatan antara tahun 2006-2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 orang bayi didaftarkan dalam tempoh tersebut. Manakala jumlah keseluruhan bayi tidak sah taraf(anak luar nikah) telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara(JPN).

Dan itu hanya beberapa contoh kes. Kertas kerja yang sama turut mempamerkan kajian terhadap kes-kes seperti kecurian, ponteng, dadah dan sebagainya.

Angka-angka yang terpamer ini nyata membimbangkan.

Dan itu semua sebelum ledakan besar media sosial. 2010 tidak sama seperti 2016. Dunia telah bergerak pantas di alam teknologi. Telefon bimbit kita bukan lagi telefon bimbit, tetapi telefon pintar. “Segalanya di hujung jari” dahulu menggambarkan penggunaan komputer, kini terjemahannya telah berubah kepada penggunaan smartphone.

Saya sebenarnya masih tercari-cari statistik terkini.

Entah dengan kemudahan telefon pintar, media sosial yang lebih advance, apps-apps yang lebih memudahkan urusan komunikasi, muat naik gambar dan video, carian di internet, apa khabar terkini belia di negara kita?

Statistik yang saya perolehi pun ialah berkaitan penggunaan media sosial. Tetapi berdasarkan statistik tersebut pun, kita boleh menjangka keadaan warganegara kita.

Berdasarkan data pengguna media sosial yang diperoleh oleh SKMM daripada kajian-kajian oleh pelbagai universiti mendapati 60 peratus responden mengalami kebimbangan, 31.7 peratus mengalami kemurungan dan 20 peratus mengalami stres. Daripada keseluruhan responden juga, sejumlah 59.2 peratus didapati menampakkan tabiat ketagihan tidak sihat terhadap media sosial.

Ini realiti masyarakat kita. Nampak merdeka, tetapi hakikatnya terpenjara.

Rakan-rakan saya yang bekerja sebagai doktor sering berkongsi berkenaan masalah gejala sosial yang mereka rasai tempiasnya di hospital. Ada kisah mak bawa anak umur 15 tahun yang bunting tanpa suami. Ada kisah bayi ditinggalkan. Ada kisah orang yang datang nak gugurkan anak luar nikah. Macam-macam.

Rakan-rakan saya yang bekerja di rumah kebajikan yang menempatkan golongan belia wanita yang terlanjur pula menyatakan apabila mereka buat program ke sekolah-sekolah, dari kalangan 300 orang pelajar, akan ada sekitar 20 orang telah melakukan zina.

Rakan-rakan saya yang bekerja sebagai ustaz di pusat serenti pula mengkhabarkan bahawa ramai di pusat-pusat serenti yang mereka ziarahi, ialah orang melayu Islam sendiri. Macam-macam kisah dan cerita, namun konklusinya sama – keruntuhan generasi muda.

Kalau dengar, macam terkejut dan tertanya-tanya – Malaysia kah ini?

Namun itulah hakikatnya.

31hb Ogos disambut esok, pastinya dengan penuh kebanggaan. Tetapi apa khabar sebenarnya belia kita hari ini?

Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Kebebasan Yang Kita Impikan

prison_0

prison_0Setiap manusia mengimpikan sebuah kebebasan. Tiada siapa suka dikongkong atau dihalang daripada melakukan apa yang dia suka atau mahukan.  Andai diletakkan haiwan sekalipun di dalam kurungan, jika dibuka pintu pasti ia akan pantas berlari pergi. Kerana hakikatnya kebebasan itu fitrah. Malah Allah SWT ada menyatakan firmanNya di dalam al-Quran berkaitan dengan kebebasan antaranya termasuklah kebebasan untuk bergerak di atas muka bumi dan menikmati rezeki kurniaanNya seperti mana yang dicatatkan di dalam surah al-Mulk ayat ke-15:

“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)”

Allah SWT juga telah menunjukkan dua jalan kehidupan buat manusia, iaitu jalan kebaikan dan kebenaran yang sepatutnya mereka lalui serta jalan keburukan dan kebatilan yang seharusnya mereka hindari, namun manusia bebas memilih jalan yang mereka lalui.

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi).”
-Surah al-Balad: 10

Kebebasan ini punya limitasi dan had-had yang patut manusia patuhi berlandaskan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Kerana kita manusia adalah hamba kepada Tuhannya, dan terikat pada peraturan-peraturan yang ditetapkanNya. Tetapi setiap manusia itu telah pun diberi pilihan antara dua, untuk beriman dan taat kepada perintah Allah SWT atau untuk ingkar dan melanggar arahanNya. Nyata, di akhir nanti pilihan-pilihan inilah yang menentukan pengakhiran syurga atau neraka.

Kebebasan Untuk Beriman dan Patuh kepada Allah SWT

Mereka yang memilih untuk patuh kepada perintah Allah merasa bebas untuk beriman kepadaNya tanpa ada apa pun yang dapat menghalang keimanan mereka. Kuatnya keimanan kepada Allah dan meyakini pembalasanNya melahirkan manusia yang memiliki prinsip taqwa yang utuh dan mapan sehinggakan hati serta jiwa mereka tidak dapat ditembusi, dipengaruhi, atau dijajahi oleh mana-mana anasir jahiliyah yang cuba untuk merosakkan iman.

Sepertimana yang dapat kita saksikan pada hari ini, betapa umat Islam diancam dan dihina oleh musuh-musuhnya.  Saudara-saudara kita di Syria, Palestin, diancam disiksa saban hari. Daulah mereka dijajah dan dihancurkan satu persatu, namun adakah itu menjadi asbab kepada mereka untuk meninggalkan keimanan dan kepatuhan kepada Allah SWT dan tunduk kepada pihak musuh? Tidak sama sekali, bahkan mereka bebas melaksanakan suruhanNya, malah lebih hebat dari kita yang bergelar warga negara yang kononnya merdeka dan aman ini. Mereka ini Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran sebagai orang-orang yang mengorbankan diri mereka demi mencari keredhaan Allah SWT dan sungguh Allah SWT sedikit pun tidak akan mensia-siakan apa yang telah mereka kerjakan.

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”
-Surah al-Baqarah: 207

Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak pula memijak suatu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana terhadap musuh, melainkan ditulis bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan mereka tidak menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak pula yang besar dan tidak melintasi suatu lembah melainkan ditulis bagi mereka amal soleh juga, kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”
-Surah At-Taubah: 120-121

Kebebasan Untuk Ingkar Kepada Perintah Allah

Sungguh dunia ini adalah medannya. Tidak semua keingkaran yang kita lakukan di atas muka bumi mendapat serta merta balasan dan hukuman daripadaNya. Kerana itulah terlalu banyak manusia yang dengan sewenang-wenangnya bebas melakukan segala yang Allah larang tanpa ada rasa sedikit pun kekesalan dan rasa takut kepadaNya.

Bukan sedikit manusia telah mengaku bersyahadah mengaku beriman kepada Allah tetapi tidak ramai yang benar-benar melaksanakan perintahnya malah mengikut jejak langkah syaitan dan hawa nafsu dalam mengingkari, mengungkit, serta mempertikaikan apa yang telah Allah larang dan melakukan kerosakan di atas muka bumi tanpa segan silu. Lebih para lagi apabila diri merasa bebas melakukan keingkaran, tidak merasakan Allah itu Maha Memerhati, Maha Mengadili dan Maha Memberi Balasan.

Kita lihat saja apa yang ada di hadapan mata kita pada hari ini. Pemimpin Islam yang pecah amanah dengan suka hatinya menyalahgunakan kuasa yang Allah SWT taklifkan buatnya, institusi-institusi dan badan-badan agama yang seharusnya menasihati pemimpin terpaksa pula menjadi kambing hitam dan tali barut. Itu baharu di peringkat atasan. Bagaimana pula dengan realiti masyarakat marhaen kita pada hari ini? Saban hari keimanan kita diuji dengan maksiat yang dihidangkan hatta di dalam rumah sendiri menerusi kaca televisyen dan corong-corong radio. Perkara yang haram menjadi hiburan, perkara yang halal diperlekehkan.

Sungguh, inilah kebebasan yang akhirnya akan membinasakan. Orang yang bebas untuk tidak taat dan ingkar kepada Allah SWT hanya bebas jasadnya tetapi tidak jiwanya. Ia menjadi hamba kepada iblis, syaitan, hawa nafsu dan kemungkaran. Ia akan merasakan kegelisahan kerana terpenjara dengan dunia. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW yang bersabda:

“Dunia ialah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir.” (HR Muslim)

Bahkan di akhirat kelak ia akan menjadi orang yang kerugian dan ditimpa penyesalan,

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”
-Surah al-Mu’minun:99-100

Penutup: Tiada Kebebasan Tanpa Ketenangan, Tiada Ketenangan Tanpa Iman

Kita memilih jalan kebebasan yang kita mahukan. Adakala kita sangka kita sudah bebas tetapi sebenarnya tidak kerana tiada kebebasan tanpa ketenangan, ketenangan tidak akan hadir tanpa iman, dan tidak akan bererti iman jika tidak mentaati perintah Allah dan berusaha untuk meninggalkan apa yang Dia tidak sukai.

Berkata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam nukilannya Iman dan Kehidupan,
“…bahawa ketenangan jiwa itu hanya satu sumbernya, dan tidak ada duanya iaitu iman kepada Allah dan hari akhirat dengan keimanan yang benar dan mendalam, tidak dicampuri ragu-ragu dan kepalsuan.”

Akhir kata, kita punya pilihan untuk bebas dalam ketaatan, atas bebas dalam kedegilan daripada menurut perintahnya.
Kita bukannya tidak diperingatkan supaya membuat pilihan yang benar iaitu untuk taat kepadaNya dan menjauhi laranganNya, malah Allah telah membuktikan akibat daripada kegagalan kita membuat pilihan yang tepat adalah benar-benar belaka. Namun segalanya terletak pada diri kita dan hati kita sendiri, untuk memilih kebebasan yang kita impikan.

Cerpen: Anak-anak Syurga, Anak-anak Merdeka

13

13Sumber foto: Google

Dari kejauhan kelihatan kelibat dua orang kanak-kanak berebut-rebut keluar dari perut kereta. Seorang wanita pertengahan usia 30-an sudah menunggu di hadapan pintu sambil tersenyum melihat gelagat mereka sambil menggeleng kepala. Si bapa membontoti mereka dari belakang. Baru pulang dari kelas KAFA petang anak-anak ini.

“Tanggal 31 bulan 8….,” rancak si abang sulung menyanyikan lagu patriotik itu sambil berlari anak. Maklumlah, Hari Kemerdekaan semakin hampir.
“Along, suara Along tak sedap laaa” ngomel si kakak dengan tangannya menutup telinga.
“Kalau ye pun susun laa kasut tu elok-elok kat rak. Sepah nanti,” tegur bapa pula.
Tangan ibu disambut mesra, seorang demi seorang mencium tangan ibu lalu masuk ke dalam rumah. Tanpa perlu disuruh, mereka tahu ke mana hendak pergi dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Kemudian giliran ibu mengucup tangan suaminya itu seraya mengambil beg kerja yang dibimbit suami.
“Abang lapar? Saya dah masak. Nasi pun dah siap. Kalau nak makan dulu, saya hidangkan,” tuturnya lembut.
“Lapar tapi takpe, nanti kita makan sama-sama dengan anak-anak lepas Maghrib nanti. Awak pergilah bersiap, kejap lagi nak masuk waktu dah,” balasnya sambil mempamerkan senyuman ikhlas walaupun penat.

Selesai solat Maghrib dan membaca doa, anak-anak merapati ibu, berebut-rebut mahu ceritakan apa yang mereka belajar di sekolah pada hari itu. Si bongsu yang baru empat tahun pun mahu turut serta.
“Ibu.. kat sekolah kan, semua dah sibuk nak sambut Merdeka. Cikgu kata, kita kena bersyukur sebab negara kita dah lama merdeka dari penjajah, sebab tu kita sambut Hari Kemerdekaan.” Petah kakak melontarkan kata-katanya.
“Tapi ibu, ustazah Along cakap sebenarnya kita belum merdeka. Walaupun negara kita merdeka, tapi pemikiran kita masih dijajah jahiliyah dan nafsu. Along macam tak berapa nak faham.” Abang yang sudah masuk Tahun Enam pula bersuara.
“Ha’ah la.. kejap merdeka, kejap tak merdeka. Mana satu yang betul ni ibu?” keliru sudah anak-anak yang baru mengenal dunia ini.

Ibu ketawa kecil.
“Mari ibu nak cerita. Kakak tak tahu kenapa nama kakak Sumayyah? dan Along tahu tak kenapa nama along Bilal?” Tanya ibu semula kepada mereka.
“Alah, Along tahu kenapa ibu dengan baba bagi nama Along Bilal. Sebab tu kan nama sahabat Rasulullah.. betul kan ibu??” Celah si abang tahun enam, hendak menang.
“Sibuk laa along ni..” kakak menarik muka.

“Alahai anak-anak ibu ini..” pintas ibu lantas memeluk anak-anaknya.
“Anak-anak ibu semua ada nama baik-baik. Along Bilal, kakak Sumayyah, adik Asiah. Pemilik asal nama-nama ni semua hebat-hebat.”
“Yeke ibu?? cerita laa..” ujar kakak penuh rasa ingin tahu dengan kepalanya disandarkan pada bahu ibu. Bapa memandang dari jauh sambil membaca al-Quran.

Ibu senyum lagi.
“Bilal, Sumayyah, Asiah… tiga orang insan hebat dalam sejarah Islam. Mereka ini adalah orang-orang yang sangat kuat keimanannya. Tak macam kita sekarang, dahulu masa mula-mula Islam sampai ke Tanah Arab, semua orang kafir bencikan Islam, malah mereka mengancam untuk menyiksa dan membunuh siapa sahaja yang memeluk Islam atau bersama orang-orang Islam. Jadi, semua yang memeluk Islam kena rahsiakan keislaman atau bersembunyi, ”

Bulat mata anak-anak ini mendengar ibu mereka bercerita.

“Saidina Bilal atau nama asalnya Bilal bin Rabah adalah salah seorang sahabat yang paling kuat diuji. Dia merupakan hamba kepada Umayyah bin Khalaf. Hamba ni bermaksud orang suruhan. Dia tak dilayan dengan baik, malah sering dianiayai. Dan semakin teruk bila suatu hari Umayyah dapat tahu yang Saidina Bilal dah masuk Islam. Umayyah siksa beliau dengan sangat dahsyat. Beliau dipukul dengan cemeti di tengah padang pasir yang panas, diheret di tengah-tengah kota, kemudian diletakkan batu yang sangat berat dan besar di atas dada di tengah panas terik yang sangat dahsyat,” sambung ibu.

“Ya Allah.. takutnya ibu.. kesian Saidina Bilal…” luah kakak dengan matanya yang berkaca.

“Kan.. kalau kita, memang rasa kasihan. Tapi masyallah Saidina Bilal sangat kuat iman, walaupun kaum kafir Quraisy suruh Bilal tinggalkan Islam, suruh tinggalkan Nabi Muhammad, Saidina Bilal tetap kata, Allah itu Esa. Ulang-ulang kali. Sikit pun dia tak takut. Akhirnya beliau dibebaskan setelah ditebus bayaran oleh Saidina Abu Bakar. Along, kakak, cuba bayangkan kalau kita berada di tempat Saidina Bilal, agak-agak kita sekuat tu tak?”

Masing-masing terdiam.

“Sumayyah juga seorang wanita yang sangat hebat. Walaupun beliau dah tua, tapi macam Saidina Bilal, beliau juga disiksa dengan kejam sekali hanya kerana beliau beriman pada Allah. Dan macam Saidina Bilal, Sumayyah juga adalah seorang hamba. Sumayyah dan suaminya Yassir memeluk Islam selepas anaknya Ammar memeluk Islam. Kemudian apabila kaum Quraisy tahu mereka sekeluarga memeluk Islam, mereka disiksa dengan diikat di padang pasir dan dibaring menghadap mentari, dahsyat sangat. Kemudian Abu Jahal berkata pada Sumayyah, pilih lah antara dua Islam atau kembali kepada agama asal. Sumayyah tetap melaungkan Allah itu Esa, tiada Tuhan selain Allah sampai satu tahap Abu Jahal menjadi geram lalu Sumayyah pun mati syahid dibunuh.”

“Ibu… kita tak kuat macam dia orang kan ibu.. hmm..” si abang yang sedikit matang itu bersuara.
“Betul tu along.. kakak.. Kita memang tak kuat macam Sumayyah dan Saidina Bilal. Tapi sebenarnya mereka adalah orang yang merdeka di sisi Allah. Walaupun jasad dan tubuh diperhamba, tapi jiwanya merdeka daripada menjadi hamba manusia, merdeka untuk beriman dan mencintai Allah, mereka taat pada perintah Allah tanpa membantah sedikit pun. Dan itulah kemerdekaan yang sebenar,” Jelas ibu.

Ibu menyambung lagi,
“Yang dimaksudkan oleh ustazah Along tu, kita pada hari ini merdeka tetapi hati dan pemikiran kita dijajah, masih belum merdeka. Okay sebagai contoh, bila ibu cakap pada Along waktu solat Asar dah masuk Along kata sekejap, sikit lagi nak habis game ni. Lama-lama dah nak habis waktu baru Along solat. Itu maksudnya hati dan pemikiran Along dah dijajah dengan hiburan game tu,” Along sengih saja. Terkena batang hidungnya.

“Sebagai contoh lagi, bila ibu hendak belikan baju untuk Kakak sengaja ibu carikan yang longgar-longgar sikit, labuh-labuh sikit. Sebab ibu nak anak ibu ikut perintah Allah supaya menutup aurat tapi hari tu kakak taknak, kakak nak baju princess macam dalam cerita Frozen tu sebab kawan-kawan kakak ramai ada baju macam tu. Itu pun maksudnya pemikiran Kakak dah dijajah pengaruh cerita, trend, sampai terikut kawan-kawan. Itu semua boleh jadi contoh.” Kakak pula tersengih malu.

“Pengaruh dunia terlalu kuat sehinggakan kita lupa tanggungjawab kita pada Allah, kita lupa perintah dan suruhan Allah. Sebab hati dan fikiran kita hanya memikirkan dunia. Sebab itu kita selalu langgar perintah Dia. Yang Allah tak suka, kita buat, yang Allah perintah, kita tinggalkan atau lengahkan. Semua ini suatu bentuk penjajahan pemikiran oleh jahiliyah, cintakan dunia dan hawa nafsu kita. Sekarang Along dan Kakak faham?”

“Jadi kita ni merdeka badan jelaa ibu ye? Tapi hati dan fikiran kita tak merdeka. Itu maksud ustazah Along rupanya.. baru Along faham..” angguk-angguk si abang. Kakak juga menganggukkan kepala tanda faham.
“Alhamdulillah anak-anak ibu faham.. Ibu nak sangat anak-anak ibu jadi anak-anak syurga, anak-anak merdeka. Merdeka hati dan jiwa dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan iman, supaya nanti bila anak-anak ibu dah besar, anak-anak ibu terselamat dari kejahatan dunia, dan supaya nanti kita dapat masuk syurga sama-sama” Walaupun mereka baru berusia 12 dan 10 tahun, hasil didikan sejak lahir, banyak perkara yang tidak difahami anak-anak sebaya mereka, mampu mereka fahami. Penting untuk mendidik anak-anak dengan acuan Islam, supaya suatu hari nanti mereka membesar menjadi orang yang faham.

“Sebab tu lah ibu selalu tegur atau marah bila Along dan kakak tak dengar perintah Allah..kan ibu? Terima kasih ibu. Kakak nak jadi anak solehah. Kakak nak merdeka,kata nak masuk syurga” kata kakak sambil memaut lengan ibunya. Ibu memandang si bapa yang sudah habis membaca al-Quran.
“Along pun sama…” tambah along pula.

Bapa sudah membuat isyarat tangannya menyapu-nyapu perut tanda lapar dengan mimik muka meminta belas kasihan.
“Opps baba dah lapar la.. Jom kita solat Isyak dulu lepas tu makan sama-sama ye..” kata ibu sambil tergelak kecil.
“Tapi ibu belum cerita tentang Asiah,” ujar Along.
“Haaa itu nanti ibu cerita. Menangis baba nanti sebab lapar.” seloroh ibu disambut ketawa bapa.

Mendidik erti kemerdekaan yang sebenar, bukanlah pada bebasnya jasad bergerak ke sini sana, atau pada bebasnya lidah berkata-kata, tetapi pada hati dan fikiran yang tidak dipengaruhi apa-apa selain ketaatan dan kepatuhan pada Allah Taala. Di dunia manusia mungkin terjajah jasadnya tetapi merdeka jiwanya sepertimana yang pernah berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah SAW, dan boleh jadi juga kita ini bebas jasadnya, tidak terpenjara namun hati dan pemikiran tidak merdeka dikuasai nafsu dan dunia. Lalu di manakah letaknya kemerdekaan yang hakiki?

Ia ada di akhirat sana. Jika tercatat syurga milik kita, maka merdeka sudahlah jasad dan jiwa kedua-duanya.

Umum: Bila Allah Akan Membalas Kebaikanku?

Let-us-not-become-weary-in-doing-good-christian-wallpaper_1280x800

Pada Ogos 2015, ada satu kisah yang menarik berlaku. Saya di’tag’ oleh seorang sahabat di Facebook, berkenaan sebuah cerita. Yang mana cerita tersebut merupakan kisah benar seorang pemudi, yang melakukan kebaikan dengan membelanja seorang pakcik tiket KTM, seterusnya melayan pakcik itu dengan baik sepanjang perjalanan. Akhirnya pakcik itu meminta untuk meminjam sebentar Buku yang dibawa oleh pemudi tersebut. Kebetulan, buku yang sedang dibawa ialah Buku Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita karangan saya, Hilal Asyraf. Selepas membelek sebentar buku tersebut, pakcik itu memberikan semula kepada pemudi itu dan berpesan dengan pesanan ringkas namun penuh harapan. Apabila pemudi tersebut pulang, dia perasan ada RM300 terselit pada buku tersebut, diselitkan oleh pakcik tadi, yang rupanya seorang berpangkat besar dalam kerjayanya.

Cerita ini menjadi viral di alam maya apabila dikongsikan pemudi tersebut. Puluhan ribu ‘like’ dan ribuan ‘share’, menandakan kisah tersebut sangat menyengat hati ramai orang. Kisah ini menjadi motivasi orang ramai untuk melakukan kebaikan setiap masa, dan sesungguhnya kebaikan itu pasti ada balasannya.

Namun apabila saya berkongsi kisah yang sama, ada yang bertanya:

“Itu yang mendapat balasan. Bagaimana pula yang tak dapat-dapat balasan?”

Soalan itu menggerakkan saya menulis artikel ini, sebagai renungan dan muhasabah diri.

Continue reading