Sedikit Sekali Sahabat Yang Boleh Diharap

Corbis-42-33429503-300x240

“Sesungguhnya Al-Asy’ariyyin itu,” sabda Nabi s.a.w., “… jika makanan mereka habis dalam peperangan atau sedikit makanan untuk keluarga mereka di Madinah…”

“…mereka mengumpulkan semua makanan yang ada pada mereka di dalam satu helai kain, kemudian mereka membahagikan dengan sama rata di antara mereka dalam satu bekas.”

Sungguh menarik jika kita merenung hadith ini. Dari kisah pendek dalam hadith ini, Nabi s.a.w. berkomentar :

“Fahum minni wa ana minhum.”

“Mereka itu adalah dari diriku dan aku adalah dari mereka.”[1]

Siapakah Al-Asyariyyun itu dan bagaimana Nabi s.a.w. boleh berkomentar sedemikian? Adakah mereka adalah ahli keluarga Nabi s.a.w.?

Mereka itu bukanlah dari keluarga Nabi s.a.w. Mereka itu adalah ahli Yaman, dari susur galur Al-Asy’ari, demikian seorang sahabat bernama Abu Musa disebut sebagai Abu Musa Al-Asy’ari kerana datang dari susur galur itu. Mereka bukanlah dari darah keturunan Nabi s.a.w., namun tindakan mereka sesama mereka itu menggambarkan ketingian nilai ukhuwah yang ada pada mereka itu di sisi Nabi s.a.w. Nilai ukhuwah yang boleh diharap, nilai ukhuwah yang mementingkan tanggungjawab dalam berukhuwah.

Bukan ukhuwah yang sweet di mulut semata-mata, tetapi tidak komit dengan tanggungjawab ukhuwah.

Bukan ukhuwah yang terlafaz ketika senang, ketika berada dalam keadaan tenang, namun mengabaikan sesama ketika tanggungjawab dan tuntutan ukhuwah memanggil.

Bukan sedemikian maksud ukhuwah.

 

Manusia Seperti Unta Seratus

Sungguh menarik mengingatkan Nabi s.a.w. pernah mengucapkan :

تَجِدُونَ النَّاسَ كَإِبِلٍ مِائَةٍ، لَا يَجِدُ الرَّجُلُ فِيهَا رَاحِلَةً

“Kamu akan mendapati manusia itu seperti unta yang seratus ekor, tidaklah ditemukan ar-rahilah.” [2]

Di dalam riwayat yang lain, menyebutkan, “seakan-akan tidak kau dapat temui ar-rahilah.”

Apa itu ar-rahilah?

Ar-Rahilah itu adalah unta yang bagus, yang sesuai dijadikan tunggangan untuk perjalanan yang jauh.

Perjalanan yang jauh itu susah, penuh cabaran dan liku-liku. Kadangkala jatuh, kadangkala kita dapat berjalan elok. Namun, dengan adanya unta yang bagus, kita dapat sampai ke destinasi dengan selamat meskipun ada sekali-sekala jatuh dan bangun.

Demikianlah para ulama’ mengibaratkan unta jenis ar-rahilah di sini sebagai sahabat yang baik dan boleh dijadikan tempat bersandar.

Disebutkan dalam Mirqatil Mafatih Syarah kepada Misykat Al-Masobih oleh Syeikh Ali bin Sulton Muhammad Al-Qori, berkata :

فكذلك لا تجد في مائة من الناس من يصلح للصحبة ، وحمل المودة وركوب المحبة ، فيعاون صاحبه ويلين له جانبه

“Begitulah juga kamu akan dapati dalam kalangan 100 manusia, susah ditemui mereka yang selayaknya dijadikan sahabat, untuk dijadikan tempat mencurahkan kasih dan cinta, untuk saling membantu sesama sahabatnya dan bersikap lunak dengannya.”

Begitu juga, ketika mensyarahkan hadith ini,Al-Hafizh Ibn Hajar membawakan 2 pendapat yang mana An-Nawawi dan Al-Qurtubi serta beberapa ulama’ lain bersetuju dengan pendapat bahawa kebanyakan manusia adalah orang yang memiliki banyak kekurangan (ahlunnaqs) , adapun orang yang punya sifat kemuliaan, kebaikan (ahlufadhl) berbanding manusia lain, sukarlah amat ditemukan serta sedikit bilangan mereka. Begitulah, hanya sedikit ini yang boleh diharap dan dijadikan sebagai sahabat.

 

Al-Ukhuwah Mas’uliyyah, Laisal Ukhuwah Huwa Manfaah

Ukhuwah adalah sebuah tanggungjawab. Bukanlah ia sebuah advantage untuk kita ambil kesempatan.

Demikian sepatutnya hubungan seorang mukmin dengan mukmin yang lain.

Dinamakan ukhuwah yang berasal dari perkataan ‘akh’ yang bermaksud saudara kerana ia menjangkaui hubungan darah daging dan keturunan. Seseorang yang bukan dari ahli keluarga kita sendiri, bukan adik-beradik kita sendiri boleh saja menjadi lebih akrab dengan kita, lebih tahu masalah kita berbanding ahli keluarga kita sendiri.

Justeru, hubungan sedemikian itu dianggap sebagai sebuah persaudaraan di dalam Islam.

Ada banyak orang yang mengambil kesempatan atas persaudaraan. Ia tidak melunaskan sisi tanggungjawab sebuah persaudaraan Islam, malah membiarkan dan mengambil kesempatan pula atas kebaikan saudaranya.

Sungguh menarik ketika baginda Rasul s.a.w. menggambarkan tentang makna kebertanggungjawaban dalam ukhuwah itu adalah umpama jihad di jalan Allah. Nabi s.a.w. pernah menyebutkan :

السَّاعِي عَلَى الْأَرْمَلِةِ وَالْمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin adalah umpama jihad di jalan Allah.” [HR Muslim]

Perkataan as-saie’ (yang berusaha membantu) itu cukup menggambarkan betapa orang yang membantu itu bukan sekali pergi bantu dan kemudian tinggalkan, tetapi as-saie’ itu dalam Bahasa Arab berdiri sebagai kata nama (al-ismu) yang mana al-ismu ini tidak terikat dengan masa dan sifat itu adalah sifat yang lazim dengan pelakunya. Secara mudahnya, ia adalah orang yang selalu pergi membantu ataupun berulang kali melakukannya.

Begitulah kita sepatutnya dengan saudara kita. Kita mencari ruang untuk membantu apa yang dapat kita bantu dengan segala kelebihan yang ada pada diri kita.

Bukan kita mencari kesempatan atas dirinya, ataupun membiarkannya, ataupun kita bersangka buruk dan mencercanya pula.

Masihkah kita ingat bagaimana teladannya Muaz bin Jabal ketika Rasul s.a.w. menyedari ketiadaan Kaab bin Malik di medan Tabuk, lalu baginda bertanya : Apakah yang dilakukan oleh Kaab?

Ya, pertanyaan seperti itu pasti akan timbul kerana baginda barangkali ingin mengetahui apa yang menghalang orang semacam Kaab itu dari menyertai perang Tabuk kali ini. Lalu ada seorang lelaki dari Bani Salamah yang menjawab bahawa Kaab sedang disibukkan oleh kain-kainnya (yakni hartanya).  Jawapan semacam ini pantas dijawab semula oleh Muaz bin Jabal :

“Sungguh jelek apa yang kau katakan itu. Demi Allah, wahai Rasul s.a.w., tidaklah kami ketahui ke atas diri Kaab itu melainkan kebaikan.” [HR Bukhari Muslim]

Kaab tidak berada di situ pun, apalagi mengetahui dan meminta Muaz berhujah untuk dirinya. Tetapi itulah kesejatian dalam persaudaraan. Kalau ia tidak mampu memberikan kebaikan kepada saudaranya, sekurang-kurangnya ia tidak memberi kemudharatan kepada saudaranya. Muaz telah mengambil tanggungjawabnya dalam berukhuwah, iaitulah memelihara aib saudaranya ketika dia tidak berada bersamanya.

Itulah serendah-rendah tanggungjawab dalam ukhuwah, salamatus sodr iaitulah bersangka baik.

Kita pasti mendapati bahawa tanggungjawab ukhuwah sesama sahabat Rasul s.a.w. itu tidak hanya berhenti di titik salamatus sodr. Namun, mereka telah mencapai peringkat al-itsar, iaitulah melebihkan sahabat mereka atas diri mereka pada apa yang mereka miliki.

 

Penutup : Menjadi Sebenar-benar Sahabat

Ada banyak sebab untuk kita berteman dan bersahabat dengan seseorang. Namun, jadilah sebenar-benar sahabat, sebenar-benar al-akh dan al-ukht (saudara) di atas jalan Allah, yang bersedia mencurahkan bantuan apabila diperlukan walaupun tak diberitahu, yang tidak mengambil kesempatan atas saudaranya, yang tidak juga membiarkan saudaranya dalam kelaparan atau kesusahan, yang tidak meninggalkan dan membiarkan saudaranya ketika saudaranya bermasalah.

Ambillah tanggungjawab kita dalam bersaudara, dalam berukhuwah.

Tidak ada maknanya ukhuwah yang dilafazkan hanya ketika senang-senang bersama. Di waktu kesusahan atau memerlukan bantuan, di waktu kritikal, kita akan tahu dan sedar siapa sebenarnya diri kita terhadap saudara kita dan siapa pula saudara kita terhadap kita.

—————————————-

[1] HR Bukhari Muslim

[2] HR Muslim

Apabila Cinta Dunia Melekat Dalam Hati

celup

Tercatat dalam Siyar A’lam An-Nubala, kisah seorang tabiin, yang terkenal dengan namanya Abu Hazim. Sentiasa kata-kata yang keluar dari lisannya penuh hikmah.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Muhammad Al-Madini dari Abd Rahman bin Zaid bin Aslam, dia berkata kepada Abu Hazim pada satu hari :

“Aku dapati ada satu hal yang mendukacitakanku.”

Abd Rahman seakan-akan mahu mengadukan sesuatu yang berat telah menimpa dirinya. Lalu Abu Hazim pun bertanya kepadanya :

“Apakah hal itu wahai anak saudaraku?”

Kalau dibanding-banding keadaan kita hari ini, barangkali yang paling menyedihkan itu adalah kekasih lari atau putus cinta, tak berjaya dalam peperiksaan, tak dapat kerja dan sebagainya. Tidaklah salah. Namun setiap hal itu ada nilaiannya di sisi Allah.

Pastilah yang membezakan soal nilai perasaan kita dalam hal kesedihan, kegembiraan, keresahan mahupun kedukacitaan adalah pada hal apa kita tuangkan perasaan kita itu, bukan?

Apakah yang dijawab oleh Abd Rahman? Jawabnya : “Yang membuatku dukacita itu adalah kecintaan yang telah melekat dalam diriku terhadap dunia ini.”

Jawapan semacam apakah yang keluar dari lisan Abd Rahman ini dan bagaimana mungkin hal itu boleh sangat mengganggunya?

 

Berhati-hati Dengan Al-Wahn

Pernah sekali baginda s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya : “Dibimbangi kaum-kaum manusia akan mengerumuni kamu sebagai orang yang makan mengerumuni makanannya.”

Para sahabat memahami bahawa itu adalah khabar kurang enak untuk mereka. Lalu mereka pun bertanya baginda,

“Apakah kami sedikit pada ketika itu?”

“Bahkan kamu ramai. Tetapi kamu umpama buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah mencabut rasa takut kepada kamu dari hati-hati musuhmu dan menjadikan dalam diri kamu al-wahn.”

Sahabat bertanya : “Apakah al-wahn itu wahai Rasul s.a.w.?”

“Cintakan dunia dan takutkan mati.” [HR Ahmad]

Barangkali inilah yang sentiasa menjadi kerisauan para salafus soleh. Mereka yang pernah hidup dan mendampingi para sahabat baginda s.a.w., lalu pastilah terasa begitu terkesan sekali dengan didikan yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. kepada mereka melalui tangan para sahabatnya.

Di saat bilangan ummat Islam sekarang mencapai kedudukan di antara jumlah penganut agama yang terbesar di dunia, wajar sekali untuk kita sentiasa bermuhasabah. Kalau saja para salaf yang kuat iman mereka itu, yang hidup bersama dengan baginda Rasul s.a.w. itu, yang mana di antara mereka ada yang dijanjikan syurga, yang mana di kalangan mereka itu ada ahli Badar yang telah dijanjikan redha Allah,  pun menangis dan sangat merisaukan diri mereka di saat baginda s.a.w. menuturkan segala peringatan tentang dunia ini, maka kita yang sudahlah jauh dari generasi Rasul s.a.w., lemah ibadah dan banyak kelalaian, lebihlah sepatutnya kita merasa risau dan takut dengan keadaan diri kita sendiri.

 

Belajar Dari Aduan Dan Keluhan Salaf Yang Menimbulkan Kekuatan

Kita bertemu banyak orang. Kita pernah mendengar banyak keluhan. Tetapi kadangkala keluhan dan aduan banyak berkaitan material dan keduniaan.

Lihatlah keluhan dan aduan para salaf sesama mereka. Aduan dan keluhan mereka, apabila kita telusuri dan teliti, menimbulkan kekuatan dan rasa malu dalam diri kita.

Allahu akbar. Bagaimana tidak malu. Para salaf mengadukan tentang sedikitnya kelalaian mereka dengan dunia, sedangkan kita berhari-hari lamanya lalai, tetapi tidak sedikit pun itu membuatkan jiwa kita sensitif.

Aduan mereka sesama mereka membuatkan jiwa kita tersentak, membangunkan rasa beramal dan mengingatkan kita betapa jauhnya jejak kita dari jejak mereka di atas jalan menuju syurga. Pun begitu, mereka sangat begitu terasa dengan sedikitnya kelalaian yang telah mereka lakukan.

 

Abu Hazim : Cinta Dunia Yang Tidak Merosakkan

Para salaf tidaklah menolak bahagian dan habuan di dunia. Namun, mereka menimbangnya dengan neraca iman. Mereka tidak mengambilnya dengan penuh tamak haloba, bernafsu dan melupakan Allah s.w.t. Mereka mengambil pada kadar yang sewajarnya.

Mereka tidak tunduk kepada dunia, lalu Allah menjadikan dunia ini tunduk di tangan mereka. Tetapi apabila kita tunduk kepada dunia, maka dunia ini pun menjadi tuan kita, lalu jadilah kita hamba mengejarnya tiada berkesudahan.

Apa jawapan Abu Hazim kepada Abd Rahman tadi?

“Ketahuilah, bahawa ini adalah termasuk hal yang aku tidak akan cela diriku kerana Allah mencampakkan rasa cinta ke dalam diriku kepada sebahagian hal, kerana Allah telah mencampakkan rasa cinta kepada dunia dalam diri kita.

Tetapi hendaklah celaan ke atas diri kita dilakukan pada hal selain ini (selain dari yang telah Allah ciptakan rasa cinta terhadapnya) iaitulah :

Hendaklah cinta kita terhadap dunia ini tidak membawa kita mengambil sesuatu daripadanya yang dibenci oleh Allah s.w.t. Dan janganlah kita menghalang sesuatu dari apa yang Allah s.w.t. cintakannya.

Sekiranya kita melakukan hal ini (melayan rasa cinta terhadap dunia begini), maka cinta kita terhadap dunia ini tidaklah memudharatkan kita.”[1]

Inilah nasihat yang sederhana dan menenangkan dari Abu Hazim. Kita tidak berlebihan dalam mengambil manfaat dunia, pun begitu kita tidak juga menolaknya terus.

———————————————

[1] Az-Zahabi, Siyar A’lam An-Nubala’, Tobaqoh Ar-Rabi’ah

Muhasabah: Melirik Peranan Hajar Dalam Peristiwa Korban

Haji-dan-Umroh-2013

Haji-dan-Umroh-2013

 

Dalam setahun, kita pasti akan melalui AidilAdha. Dan apabila tibanya musim AidilAdha, sudah pasti antara yang sering diulang-ulang adalah kisah pengorbanan keluarga Ibrahim AS. Bagaimana taatnya Ibrahim AS kepada Allah SWT hingga sanggup mengorbankan keluarganya, dan bagaimana taatnya Ismail AS hingga sanggup dirinya dikorbankan.

Namun dalam kisah yang didominasi ayah dan anak ini, hakikatnya terselit di sana peranan seorang ibu. Ya, Ismail itu bukan lahir dari perut Ibrahim, tetapi dari rahim ibunya Hajar.

Tidak banyak diceritakan berkenaan Hajar di dalam peristiwa Korban, kerana bukan Hajar yang diamanahkan untuk menyembelih Ismail.

Namun peranan Hajar, sebenarnya tidak kecil di dalam cerita itu.

Continue reading

Muhasabah: Di Sebalik AidilAdha

20140927_165902

20140927_165902

 

Setiap tahun, AidilAdha akan mendatangi kita pada 10hb Dzulhijjah, dan diraikan sehingga 13hb Dzulhijjah. Dua ibadah yang besar, sinonim dengan AidilAdha ialah Ibadah Haji dan Ibadah Korban. Sirah yang bakal menjadi pilihan untuk diceritakan pada musim ini sudah pastilah kisah pengorbanan keluarga Ibrahim AS.

Sebagai seorang manusia yang hidup, dan bukannya robot, kita sepatutnya mengambil masa barang sejenak, untuk duduk sebentar dan bermuhasabah melihat kembali akan signifikannya AidilAdha di dalam kehidupan kita.

Ya, setiap tahun kita meraikan AidilAdha. Ada antara pembaca mungkin sudah melaksanakan Haji, atau mungkin berpengalaman melaksanakan ibadah korban. Kita sepatutnya bertanya, apakah hikmah di sebalik AidilAdha, hingga ia didatangkan setiap tahun, oleh Allah SWT.

Mengapa, dalam satu tahun jadual hidup seorang muslim AidilAdha adalah sesuatu yang mesti dilalui?

Continue reading

Muhasabah: Tak Mampu Atau Tak Mahu?

United_by_BenHeine

United_by_BenHeine

Saya selalu melihat ramai yang menyatakan bahawa dia tidak mampu untuk taat kepada Allah SWT. Ada juga yang menyatakan bahawa, apa yang Allah berikan kepada dirinya adalah berat, dan dia tidak mampu membawanya dalam kehidupan. Berbagai-bagai alasan. Pokoknya, ayat tidak mampu adalah akar utama dalam jambangan alasan tersebut.

Kenapa orang suka cakap tak mampu?

Sebab Allah ada sebut: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” Surah Al-Baqarah ayat 286. Jadi, dengan menyangka bahawa diri kita menyatakan alasan ‘tidak mampu’, maka taklif itu terangkat daripada kita. Begitukah? Sebab itu, perkataan tidak mampu agak popular.

Tetapi, saya suka ingin kita melihat ke dalam jiwa kita. Ke dalam jiwa kita yang terdalam.

Sebenarnya, kita ini betulkah tidak mampu?

Atau sebenarnya, kita ini tidak mahu?

Maka tidak mampu hanyalah alasan, dan bukan hakikat. Bagaimana?

Sesungguhnya, tidak mampu dengan tidak mahu itu, adalah dua perkara yang berbeza.

Continue reading

Muhasabah: Usaha, Kerana Kita Tidak Tahu.

At_the_Top_Of_My_World_by_gilad

At_the_Top_Of_My_World_by_gilad

 

Satu hari, ada manusia bertanya kepada saya. Pertanyaannya berkaitan qada’ dan qadar.

Katanya, Allah telah menetapkan segala sesuatu semenjak azali lagi. Telah ditetapkan sama ada orang itu kafir atau tidak. Sudah ditetapkan akhirnya manusia itu di syurga atau di neraka. Sudah ditetapkan sama ada orang itu miskin atau kaya. Sudah ditetapkan sama ada orang itu bahagia atau merana.

Jadi, kalau sudah ditetapkan semua itu, apa gunanya kita berusaha?

Kalau anda disuakan persoalan ini, apakah agaknya jawapan anda?

Continue reading

Muhasabah: Akhirat, Masa Hadapan Hakiki

Forest

Forest

 

Bila disebutkan berkenaan memandang masa hadapan, apakah yang kita nampak?

Mungkin kerjaya. Mungkin keluarga. Mungkin harta.

Nak kerja apa. Nak kahwin dengan siapa. Nak rumah@kereta macam mana.

Mungkin bagi pelajar sekolah rendah, dia akan fikir di mana dia nak sekolah menengah. Mungkin bagi pelajar sekolah menengah, dia akan fikir apakah bidang yang hendak dia ceburi dan di manakah universiti sepatutnya dia pergi.

Mungkin itu yang kita panggil sebagai ‘masa hadapan’.

Cuma dalam kalangan kita, siapakah yang memandang masa hadapan yang lebih jauh?

Apakah masa hadapan yang lebih jauh?

Saya jawab: Akhirat.

Continue reading

Muhasabah: Apabila Allah Berikan Kita Kesusahan

Welcome_To_The_Better_World_by_P0RG

Welcome_To_The_Better_World_by_P0RG

Hidup terasa payah? Hidup terasa sesak?

Ada waktu kita rasa demikian. Kadangkala apa yang kita usahakan seakan tidak membuahkan hasil. Bahkan lebih teruk lagi, usaha kita menghala ke arah lain yang kelihatannya lebih memberikan keburukan kepada kita.

Kadangkala kita memandang ke langit dan menjerit: “Ya Allah, kenapa hidup aku begini?”

Tertanya-tanya. Rasa seperti hendak menyalahkanNya.

Sebab kita percaya bahawa kehidupan kita tertakhluk di dalam takdirNya.

Mengapa aku disusahkan? Bermain-main di dalam jiwa.

Namun hakikatnya, apakah benar kita disusahkan?

Atau hakikatnya kitalah yang menyusahkan diri kita sendiri?

Continue reading

Coretan Akhir Syawal: Fitrah Memanggil Pulang

sunshine

sunshine

Mentari terbit terbenam silih berganti saban hari dan masa pun berlalu. Hari-hari yang dilalui ada turun naiknya. Kadang-kadang terasa iman setebal Tembok Besar China, adakala rasa senipis kulit bawang. Sudah 30 hari Syawal berlalu semenjak berakhirnya Ramadan.
Sudah kembali kah kita kepada fitrah?

Fitrah.
Apakah hakikat kembali kepada fitrah yang sebenar?
Adakah ia bermakna makan, minum, tidur, dan bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup?
Atau adakah ia bermakna mendirikan rumahtangga, mempunyai anak bagi meneruskan zuriat dan keturunan?
Benar sekali semua ini adalah fitrah jiwa manusia tetapi ia cuma ranting dan cabang dari pokok dan pangkalnya yang utama iaitu kembali kepada hakikat keimanan yang sebenar kepada Allah SWT, bertaubat dan mensucikan diri daripada dosa kerana hakikatnya fitrah manusia itu dilahirkan dalam keadaan beriman kepada Allah SWT.

Apabila disebut beriman kepada Allah SWT, ia bukanlah sekadar mengakui dengan lisan akan keesaan Allah SWT dan kerasulan Rasulullah SAW, tetapi seluruh kehidupan kita harus membuktikannya. Hati yang cinta, takut dan berharap hanya kepada Allah, jasad yang senantiasa berusaha untuk taat kepadaNya, ada momentum untuk meninggalkan maksiat walaupun payah dan sukar. Inilah fitrah yang sebenar, untuk kembali menjadi manusia yang bersih di sisiNya. Akan tetapi, pada percubaan-percubaan kita memimpin diri sendiri dan orang lain untuk kembali kepada fitrah, seringnya ada saja perkara yang mencemarkan jalan-jalannya. Hati yang cenderung kepada dunia dan isinya, dipaut nafsu dan syaitan, menjadi halangan di jalan-jalan yang hendak dilalui lantas menjejaskan matlamat kita untuk kembali kepada fitrah sebenar.

Tidak dinafikan hidup di dunia penuh dengan dugaan, dan untuk terus bertahan adakalanya kita melalui jalan yang salah dan menyebabkan kita terpaling daripada fitrah manusia yang memerlukan TuhanNya.  Kebergantungan dan pengharapan kepada selain Allah menyebabkan manusia semakin jauh dan lalai dari fitrahnya yang sebenar.
Kebergantungan kepada harta, kuasa, pangkat dan pengaruh.
Kebergantungan kepada cinta manusia.
Kebergantungan kepada daya upaya fizikal yang sementara.
Lalu apabila manusia terlalu bergantung kepada semua ini tanpa mengingati bahawasanya ada satu kuasa agung yang mengawal segalanya, lupa bahawa Allah yang memberi dan kita manusia hanya menerima, maka ketika inilah kita telah jauh dari fitrah.

Apabila manusia terlalu bergantung kepada dunia maka jadilah ia orang yang sibuk dengan dunia. Bekerja keras siang dan malam sehingga terabai segala kewajipan ubudiah, ia menjadi orang yang memandang remeh hubungan dengan Tuhan kerana dia merasakan bahawa kejayaannya itu 100% datangnya dari usaha sendiri, tidak langsung merasakan Allah itu Maha Memberi.
Terlalu bergantung kepada cinta manusia membuatkan ia menjadi orang yang terlalu mengharapkan penghargaan dan pengiktirafan manusia lain sehingga ia menjadi hamba yang berputus asa dari rahmat Allah jika tidak disayangi dan dicintai manusia. Sedangkan bukankah Allah dan RasulNya wajib berada di tingkat teratas kecintaan manusia?
Terlalu bergantung kepada daya upaya fizikal menyebabkan manusia menjadi penyembah teknologi sampai lupa secanggih, sehebat dan seutuh mana ciptaan manusia, tiada yang boleh mengatasi dan lari dari kehendakNya. Lantas apabila manusia jauh dari fitrahnya yang sebenar, manusia menjadi hamba yang melupakan Tuhannya dan berpaling tadah. Hamba yang dahulunya lahir ke dunia sebagai sehelai kain putih yang bersih dan suci setelah mula terbitnya bibit-bibit dosa dan maksiat yang mengotorkan dan menghitamkan hati.

Namun kerana Allah itu Maha Cinta kepada hambaNya, didatangkanNya satu bulan yang dinamakan Ramadan sebagai peluang yang sangat besar untuk manusia membersihkan diri, bertaubat dan kembali kepada fitrah hamba Rabbani yang sebenar supaya kelak ia keluar dari Ramadan  dalam keadaan yang bersih dan kembali kepada fitrah yang sejati. Syawal seharusnya menjadi bukti kembalinya manusia kepada fitrahnya yang sebenar. Dan manusia Syawal sepatutnya menjadi manusia yang jauh lebih baik daripada manusia sebelum Ramadan. Tetapi kita sendiri boleh menilai diri kita, adakah kita menjadi manusia yang lebih baik atau tidak, tertingkatnya iman atau masih di takuk yang lama.

Dan hari ini adalah penghujung Syawal. Seperti Ramadan, ia juga akan berlalu dan meninggalkan kita. Berjaya atau tidak Ramadan kita yang lalu nilailah ia pada prestasi kita di bulan Syawal. Beruntunglah mereka yang telah meraih hidayahNya dan berjaya menjadikan diri mereka hamba yang lebih baik dari sebelumnya, dan malanglah buat mereka yang masih di takuk lama malah paling menyedihkan lagi apabila prestasi iman semakin merosot saban hari.
Apa yang ada dalam hati dan diri kita, hanya antara kita dengan Allah.
Pulang kepada fitrah, atau masih terkandas di persimpangan jalan .
Muhasabah.

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.
– al-A’raaf: 178

Naruto: Hubungan Murabbi-Mutarabbi antara Might Guy & Rock Lee

Rock Lee & Might Guy

Rock Lee & Might GuyRock Lee dan Might Guy melawan Kisame

“Tengok apa tu?” soal isteri kepada suami.

“Naruto Shippuden. Ini anime yang sangat penting untuk aspek pemikiran!” jawab suami.

“Dah umur 26 tahun pun tengok lagi?” si isteri mengeluh.

Mungkin agak janggal bagi orang Melayu untuk mempelajari teladan kehidupan menerusi kartun dan filem. Ini rentetan dari budaya pendidikan yang tidak merentas hiburan. Hiburan adalah sekadar hiburan dan pendidikan adalah terhad pada pagar-pagar institusi pendidikan.

Hal ini menyebabkan, anime ataupun kartun dilihat hanya untuk tontonan anak-anak kecil dan bukannya mereka yang sudah berumur.

Namun apabila diteliti kartun secara mendalam, kadangkala ia bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak apabila ada petikan seperti ini dalam Young Justice, Siri 2 Episod 19: “Still you refer to us as children, no wonder our success is mount. You consistently underestimate us” (Masih lagi kamu lihat kami sebagai kanak-kanak? Tidak hairanlah kejayaan kami menggunung tinggi. Kamu semua asyik merendah-rendahkan kami). Kata-kata Aqualad kepada ayah beliau Black Manta.

Aqualad mengetuai kumpulan Superhero remaja bernama ‘Young Justice’ mengalahkan kumpulan Supervillain ‘The Light’ yang Justice League (kumpulan dewasa) pun tidak mampu kalahkan.

Kata kunci disini adalah Kematangan bukan terletak pada umur. Sebuah kata-kata berbunyi “It’s Not the Years in Your Life That Count. It’s the Life in Your Years” (Bukanlah kehidupan itu tahun dalam kehidupan, tetapi kehidupan dalam tahun-tahun itu).

Maka dalam konteks kematangan, “Maturity is not the years in your life, but the life in your years” (Kematangan itu bukan tahun-tahun dalam kehidupan, tetapi kehidupan dalam tahun-tahun itu).

Murabbi Mengajar Jadikan Kelemahan Sumber Kekuatan

Naruto sebagai sebuah cerita, andai dilihat dari kaca mata perspektif kemanusiaan, merupakan sejenis bildungsroman seseorang yang tekad berusaha mencapai impian dalam perjalanan kepayahan realistik ingin menjadi Hokage. Perjalanan Naruto ditemani oleh watak-watak segenerasi yang tidak kurang penting, kisah setiap watak-watak  utama diceritakan secara mendalam, seolah-olah cerita Naruto mengisahkan semua watak sekaligus, hanya nama ceritanya sahaja Naruto.

Dalam menceritakan soal hubungan Murabbi-Mutarabbi, terdapat ramai watak telah Masashi Kishimoto ketengahkan seperti, Jiraiya-Naruto, Tsunade-Sakura, Hiruzen Sarutobi-Orochimaru, namun yang paling jelas dan memberikan kesan mendalam ialah hubungan Might Guy dan Rock Lee kerana persamaan mereka yang saling melengkapi.

Dalam dunia Ninja Naruto, yang menjadi mereka Ninja adalah kerana kebolehan mereka dalam asas taijutsu (Tempur Tangan Kosong), ninjutsu (Teknik Ninja) dan genjutsu (Teknik Illusi). Namun Rock Lee langsung tidak ada kebolehan dalam ninjutsu dan genjutsu membuatkan Might Guy, yang juga punyai kelemahan yang sama, mengambil Lee sebagai anak buah. Guy melatih anak buahnya Lee untuk mengasah bakatnya dalam taijutsu.

Disebabkan taijutsu sahaja yang hanya dapat dipelajari oleh Guy dan Lee, maka untuk hebat dalam aspek fizikal itu, satu falsafah yang diperkenalkan oleh Might Guy kepada Rock Lee ialah ‘Self-Rule’ (Peraturan Kendiri).

Konsep Self-Rule Untuk Orang Berjaya

Konsep ini bukan jalan pintas menuju kejayaan. Jaminannya hanyalah terletak pada usaha kendiri dan tanpa kekuatan diri, kejayaan tinggal hanya impian. Untuk menjadi ninja yang hebat yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama ninja lain walaupun hanya menggunakan taijutsu, kekuatan fizikal perlu melalui latihan yang keras.

Watak Might Guy sangat mirip kepada seorang ahli seni bela diri yang sangat terkenal iaitu Bruce Lee. Dan kita tahu siapa Bruce Lee: antara seorang pelakon utama yang melakukan aksi-aksi stunt tanpa menggunakan stuntman.

Bagi memastikan kejayaan itu bakal digarap, tidak kisah sama ada kemenangan atau kekalahan ditemui, Guy mencipta untuk dirinya sendiri sebuah Self-Rule. Ini diikuti dengan tekad untuk memenuhi peraturan itu walaupun badai datang melanda. Andai peraturan itu tidak mampu dipenuhi, konsep denda pula diperkenalkan.

Sebagai contoh, pernah sekali Guy meletakkan Self-Rule sebelum bermain permainan Batu-Kertas-Gunting bersama Kakashi Hatake iaitu andai Guy kalah dalam permainan tersebut, beliau akan lakukan 500 pusingan menggunakan tangannya mengelilingi taman dan itu yang dilakukannya.

Apabila ditanya apa tujuan diletakkan peraturan yang ekstrem itu, Guy menerangkan apabila meletakkan satu garis pencapaian yang tinggi, walaupun tidak berjaya, ia tetap akan memastikan beliau lebih baik dari sebelumnya.

Guy semasa berlatih bersama ayahnya Might Duy, setiap kali beliau tidak mampu menghabiskan set senaman, beliau meletakkan denda ke atas dirinya sendiri.

“If I can’t do 200 push-ups,” he said while struggled at 195, “then it is 250 sit-ups.”

(Kalau aku tak boleh buat 200 tekan tubi katanya semasa di kiraan 195, aku akan lakukan 250 bangkit tubi pula).

Andai beliau gagal melakukan tekan tubi, beliau akan meningkat kerana bangkit tubi.

The Power of Youth

Satu lagi falsafah yang diperkenalkan oleh Might Guy ialah definisi kepemudaan. Saya tidak boleh untuk tidak terfikir akan kata-kata George Bernard Shaw “Youth is wasted on the young” setiap kali Might Guy mengungkap slogan ‘Power of Youth’ atau “The springtime of youth has yet to fade away! Don’t lose hope! My youth has not faded” walaupun dalam keadaan kesusahan sekalipun.

Kalau diambil definisi pemuda, adalah mereka yang berumur 15 ke 24 mengikut United Nations (UN). Di Nigeria pula umur 18-35. Di Brazil pula 15-25. Namun kalau melalui watak Guy, Kishimoto mengkritik bahawa kepemudaan itu tidak terhad kepada umur, kepemudaan itu adalah apa yang kita lakukan.

Dan Might Guy, dalam pertempuran terakhir beliau bersama Uchiha Madara, beliau ungkapkan kata-kata yang sungguh bermakna untuk generasi baru:

Red vapor, the unique vapor of blood, from opening of all eight gates. But actually seeing it with my own eyes, it’s almost like the color of dead autumn leaves that have fallen off their tree.” – kata Madara kepada Guy.

(Wap merah, wap darah yang unik, hasil dari bukaan Eight Gates (Lapan Pintu). Melihatnya dengan mata kepala saya, kelihatan seperti warna daun-daun mati jatuh dari pokok di musim luruh”)

“You’re right, but they’re not falling without reason or purpose. They become the nutrients for fresh green leaves! And the period they bridge, until the new spring when fresh leaves bud, is the climax of youth! When it burns most crimson!” – balas Guy.

(Kamu benar, tetapi daun-daun itu tidak jatuh tanpa sebab atau tujuan. Mereka telah menjadi nutrient bagi daunan hijau! Selama mana tempohnya menyemai, sehingga tumbuh daunan baru di musim bunga, adalah tahap tertinggi kepemudaan! Itulah masanya nyalaan paling merah!)

Konklusi

Rata-rata Kartun di Malaysia hanya mengisahkan genre kekeluargaan seperti Anak-Anak Sidek, genre heroisme seperti Kluang Man dan genre jenaka seperti Usop Sontorian tetapi tidak ada yang menceritakan aspek ideologi, perlembagaan dan Murabbi-mutarrabbi secara mendalam seperti Naruto atau Batman.

Disebabkan tidak banyak analisis yang dapat dibuat dari kartun Melayu, maka Naruto Shipudden, sebagai anime nombor 1 Jepun dipilih. Banyak aspek yang dapat di analisis dari Naruto seperti setia kawan, perlembagaan, perbezaan pemikiran revolusi, konsep kepemudaan, hubungan Murabbi-mutarrabbi dan banyak lagi.

Terletak kepada kita, bagaimana cara kita lihat sesebuah hiburan yang tampak sia-sia bagi sesetengah manusia, namun bagi mereka yang menghargai seni, mereka akan lihat sebagai sebuah masterpiece!