Novel Pemburu: Bab 10 – Tempur

rendering-animals-fight-lions-248917

Yuddh kekal fokus. Dia tidak boleh lalai walau sebentar, jika tidak pertahanannya akan berjaya dipecah masuk oleh Muse. Pada masa yang sama, dia juga sedang diasak oleh Inteligen Kerajaan Malaysia yang cuba untuk memecah masuk ke dalam sistemnya. Dia asalnya tidak menganggap bahawa Inteligen Kerajaan Malaysia akan mampu memberikan masalah, tetapi gasakan daripada Muse membuatkannya sedikit kucar-kacir untuk menangani semua.

Kini dia sedang tersekat. Yang dia mampu lakukan ialah berterusan menganggu sistem-sistem kecil seperti trafik, siaran televisyen dan radio, telekomunikasi melalui telefon dan internet. Cukup untuk menghuru-harakan kebanyakan orang di Kotaraya ini, dan perlahan-lahan gangguan itu merebak ke kawasan lain. Dia berharap itu semua akan mengalih tumpuan Muse dan Inteligen Kerajaan dari berterusan menghalangnya untuk menggunakan persenjataan tentera Malaysia.

Namun Muse nampaknya tidak mampu diketepikan. Tumpuan bekas Pemburu itu nyata 100% kepada Yuddh. Dan kemahiran Muse memang bukan calang-calang. Sehingga kini Yuddh masih gagal mengesan lokasi Muse secara tepat. Pada masa yang sama, Muse telah berjaya menjadi batu penghalang antara dirinya dan kawalan total kepada sistem persenjataan Malaysia. Hingga kini, dia masih tidak dapat menewaskan pengkhianat Kesatuan Pemburu itu.

Jari-jemarinya menari ligat di atas papan kekunci, memasukkan kod-kod untuk mencerobohi sistem pertahanan Malaysia, pada masa yang sama, memasukkan kod-kod untuk menceroboh ke dalam sistem Muse. Namun Muse tetap berjaya menentangnya dengan menghapuskan kod-kod yang dihantar ke sistem pertahanan Malaysia sambil mempertahankan sistemnya dari dicerobohi.

Yuddh tidak mengalah. Dia mencuba dan terus mencuba. Ini pertarungan antara dua orang profesional. Salah seorang mula kepenatan, atau melakukan walau sedikit kecuaian, maka pihak itu akan gagal.

“Bukan aku yang akan menjadi pihak yang tewas itu, orang tua!” Yuddh menyumpah Muse.

Pun begitu, dia tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap kemahiran yang dipersembahkan oleh bekas Pemburu itu. Ternyata lagenda yang didengarinya berkenaan kehandalan Muse, bukan cerita dongeng.

Muse telah mampu membina pertahanan di alam digital untuk menghalang Yuddh dari menggunakan sistem persenjataan Malaysia sesuka hati, tanpa disedari oleh Yuddh. Padahal Yuddh sudah meletakkan pelbagai perangkap untuk menghalang sesiapa dari menggagalkan perancangannya.

Pun begitu, jika pertahanan itu sahaja yang diletakkan oleh Muse, tidaklah menjadi kesukaran kepada Yuddh. Dia boleh menurunkan pertahanan itu dalam seminit-dua sahaja. Apa yang menjadi kesukaran bagi Yuddh ialah, Muse kekal berjaga di hadapan pertahana tersebut dengan berterusan menghantar kod demi kod untuk menganggu usahanya menurunkan pertahanan itu. Apabila Yuddh berjaya mengenepikan serangan Muse, dan mula untuk fokus menurunkan pertahanan tersebut, Muse akan kembali menyerangnya.

Dua lapisan pertahana itu membuatkan Yuddh tersekat.

Kini dia perlu menewaskan Muse terlebih dahulu.

Cubaan untuk mencerobohi sistem Muse tidak berjaya. Lokasinya juga tidak dapat diperolehi, melainkan sekadar maklumat bahawa isyarat yang datang daripada Muse itu berpunca dari timur Kotaraya. Yuddh bercadang mahu menggunakan Deimonas untuk menganggu Muse, tetapi tanpa lokasi yang lebih spesifik, dia hanya akan menghantar Deimonas ke misi pencarian yang sia-sia. Tambahan, dirinya juga terdedah dengan bahaya tanpa perlindungan Deimonas. Dia tidak boleh diganggu.

Yuddh telah berjaya memintas telekomunikasi Muse, dan kini amat yakin bahawa penyerang misteri yang asyik menganggu Kesatuan Pemburu itu sedang bekerjasama dengan Muse. Tiada pengkhianat yang lain. Jadi, Yuddh menjangka bahawa Muse pasti akan menghantar penyerang itu  ke lokasinya. Deimonas perlu berada di sini untuk mempertahankannya.

Dia tidak akan tewas hari ini.

Bahkan, sebenarnya dia telah berjaya, sedikit sebanyak.

Yuddh tertawa.

“Muse, walau bagaimana pun, aku jangka engkau akan tewas.”

Jarinya terus ligat mengetuk papan kekunci, menghantar kod-kod untuk menumbangkan Muse.

 

*****

 

Mustafa memerhatikan skrin-skrin kecil, kini penuh dengan paparan keadaan kotaraya yang huru-hara. Kemalangan di sana sini. Kelihatan beberapa unit Hero sedang berusaha mengawal keadaan. Mustafa mengetap bibir. Skrin utama sedang mempamerkan pertarungan antara dia dan Yuddh, kod-kod mereka bertembung menewaskan antara satu sama lain. Jarinya bergerak pantas di atas papan kekunci, membina kod-kod baru.

Dia tidak dapat menghubungi Bakri. Alat telekomunikasi tidak berfungsi dengan baik hasil serangan Yuddh untuk cuba mengalih perhatiannya. Dia tidak berusaha memperbaiki keadaan tersebut kerana itu akan memberikan Yuddh ruang mengambil alih kembali sistem persenjataan dan pertahanan Malaysia.

Mustafa tidak boleh membiarkan itu berlaku. Jika keadaan itu terjadi, maka negara ini akan berada di tangan Yuddh sepenuhnya.

Mustafa juga dapat melihat yang Yuddh sudah menanam beberapa bukti palsu untuk menyalahkan Perdana Menteri atas segala kejadian yang bakal berlaku. Semuanya untuk merosakkan imej pemimpin itu, agar rakyat dan orang sekelilingnya hilang kepercayaan, seterusnya tidak lagi memberikan sokongan kepada usaha untuk menggerakkan Malaysia mencapai hala tujunya.

“Engkau tidak akan berjaya. Kesatuan Pemburu tidak akan berjaya!” Mustafa berusaha sebaik mungkin. Walaupun tangan kirinya tidak berapa tangkas, dikerahkan juga.

Pun begitu dia tahu, berdasarkan keadaan sekarang, lambat laun Yuddh akan memenangi pertarungan ini.

Yuddh masih muda, staminanya lebih tinggi.

Mustafa perlu berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan. Walaupun mungkin akan memberikan risiko terhadap dirinya, dan Bakri. Mustafa melirik pada salah satu skrin kecil. Skrin itu mempamerkan usaha Inteligen Kerajaan untuk mencerobohi sistem Yuddh. Tetapi mereka nampaknya tidak setanding dengan Yuddh. Tinggal, asakan daripada mereka membuatkan Mustafa mampu menghadapi Yuddh dengan baik dan kelihatan seperti sama kuat.

Mustafa menghela nafas panjang.

Segera dia meningkatkan kelajuan pergerakannya, dan menghantar beberapa kod kepada Inteligen Kerajaan Malaysia.

Tindakan itu ialah tindakan yang berisiko. Inteligen Kerajaan pasti akan tertanya-tanya siapakah gerangan dirinya, dan apabila semua ini berakhir, mereka pasti akan berusaha untuk mendedahkan identitinya pula.

“Risiko yang patut diambil.” Mustafa menenangkan dirinya. Kembali fokus pada pertarungannya dan Yuddh.

Pada masa yang sama, mulutnya tidak henti-henti berdoa.

Akhirnya kepada Yang Maha Kuasa jua, dia menyerahkan diri.

 

******

 

“Tuan!” Salah seorang pegawai di Inteligen Kerajaan memanggil Amiri. Segera Direktor Inteligen Kerajaan Malaysia itu bangkit dan mendapatkan pegawai tersebut di mejanya.

“Tengok ni,” Pegawai itu menunjuk. Ada kod-kod baru yang sampai kepada mereka. Amiri mengerutkan dahi. Tidak mengerti akan terjemahan kod-kod tersebut.

“Pihak yang menentang penggodam itu sedang menghantar mesej kepada kita!”

“Apa yang dia mahu?” Amiri bertanya.

“Dia mahu kita berhenti dari cuba untuk mencerobohi sistem penggodam tersebut, dan meminta kita fokus kepada mengambil alih sistem-sistem awam. Terutama telekomunikasi.”

Amiri diam sebentar. Tangan disilangkan pada dada. Dia sedang mempertimbangkan pro dan kontra dari permintaan tersebut.

“Apakah kita mampu lakukannya?” Amiri bertanya kepada pegawai tersebut.

“Dalam keadaan penggodam itu sedang sibuk bertarung dengan lawannya ini? Boleh Tuan. Berbeza dengan sistem penggodam tersebut, sistem-sistem yang lain ini adalah kepunyaan kita. Tinggal mungkin mengambil sedikit masa. Kerana kod-kod yang digunakan oleh penggodam ini sangat kompleks. Tetapi dengan kerjasama semua, insyaAllah kami mampu mengusahakannya.”

“Benar Tuan!” Beberapa petugas yang lain melaung.

Amiri melihat kepada semua anak buahnya yang sedang berhempas pulas itu.

“Baik, abaikan penggodam tersebut. Ambil alih sistem-sistem yang lain. Kita terpaksa percayakan sistem pertahanan negara kepada pihak misteri tersebut. Buat masa ini.” Amiri separuh melaung.

“Kami dengar, dan kami taat, Tuan!” Jawab petugas-petugas di sekelilingnya, hampir serentak.

Amiri mengangguk-angguk.

Siapa pihak yang sedang membantu itu, masih misteri. Tetapi selepas semua ini selesai, jika Allah izinkan semua ini selesai dengan baik, Amiri akan mencari pihak tersebut.

Dia yakin, pihak ini tahu siapa musuh mereka yang sedang cuba menganggu keamanan Malaysia.

 

******

 

Bakri sudah dapat melihat pangsapuri mewah yang sepatutnya menjadi tempat pemburu baru itu menjalankan gerak kerjanya. Dia tidak memperlahankan lariannya. Pantas dia mengelak orang ramai yang menghalang laluan, dan sekali-sekala terpaksa melompat melangkaui kenderaan.

Bakri kini telah menutup wajahnya dengan sehelai pakaian yang dicapai dalam perjalanan. Dia tidak boleh merisikokan identitinya. Baju sejuk yang dipakainya juga telah dibuang. Kini dia hanya memakai sehelai baju putih berlengan pendek. Hanya seluarnya sahaja tidak ditukar. Bakri yakin yang tiada siapa akan mengesan identitinya dengan hanya melalui seluar jeans.

Bakri masuk ke perkarangan pangsapuri mewah tersebut. Berdasarkan maklumat yang terdapat pada komputer di pengkalan, dia tahu musuhnya berada di mana.

Segera Bakri menuju ke ruang parkir. Tanda arah yang menunjukkan ke lif membuatkan dia tidak sukar mencari.

Tetapi, kala Bakri baru sahaja mahu menekan butang bersebelahan lif tersebut, dia dapat merasakan perasaan yang sama tatkala dia pertama kali bertempur dengan Jagat dahulu. Segera Bakri mengelak ke tepi.

Sebatang anak panah hinggap pada pintu lif. Kawasan yang dihinggapi mata anak panah tersebut melebur. Anak panah itu kemudiannya terjatuh ke lantai.

Bakri menoleh. Namun tidak menjumpai sesiapa. Ruang parkir itu kosong dari manusia, hanya diisi dengan beberapa buah kenderaan. Tetapi dari serangan itu, dia dapat menjangka dengan tepat siapa musuhnya.

Deimonas!

“Engkau tidak sepatutnya berada di sini!” Bakri melaung, sambil membuka langkah berjaga-jaga. Bersedia untuk segala kemungkinan.

Dia masih ingat dengan jelas, yang petanda mewaikili Deimonas berada di tempat yang lain. Mereka tidak tinggal bersama.

Atau mereka sudah tahu bahawa mereka diperhatikan, maka ini ialah perangkap?

Bakri segera menunduk. Dua bilah pisau sekadar menjamah udara, berputar di atas kepala Bakri sebelum tertusuk pada dinding. Deria pendengaran Bakri dapat menangkap pergerakan senjata itu ketika berada di tengah udara, membuatkan dirinya dapat mengelak dengan baik serangan tersebut.

“Serangan jarak jauh tak berguna untuk aku, Deimonas!” Bakri cuba memancing Deimonas keluar. Sambil itu, perlahan-lahan dia mendekati dinding tempat dua bilah pisau tadi mendarat.

Ketika ini dia dapat melihat lembaga pantas keluar dari balik tiang, melepaskan tiga anak panah ke arahnya, sebelum menghilang semula di balik tiang yang lain.

Bakri segera menyambar dua bilah pisau pada dinding tersebut, dan dengan pantas mengelak sebatang panah sambil menepis dua yang lain.

Kini Bakri mempunyai senjata. Perlahan-lahan Bakri mendekatkan belakang tubuhnya dengan dinding. Ini untuk mengelakkan kemungkinan Deimonas muncul dari belakang.

“Pisau beracun.” Bakri menilik bilah senjata di tangannya.

Dia perlu lebih berhati-hati. Kehandalan Deimonas terletak pada racunnya yang sangat efektir. Bakri masih ingat akan bagaimana Jagat mati. Racun dari senjata Deimonas membuatkan lelaki itu tidak sempat pun mengerang kesakitan. Terus terkulai layu begitu sahaja. Dia juga tidak dapat melupakan akan bagaimana keadaan dirinya selepas terkena hanya sedikit senjata wanita tersebut.

“Engkau mahu begini sehingga habis semua senjata kau Deimonas?” Bakri memancing lagi.

Atau ini memang permainan Deimonas? Memanjangkan masa agar rakannya berkod nama Yuddh itu berjaya melaksanakan misinya?

Bakri menoleh ke arah lif. Mungkin dia perlu meninggalkan Deimonas dan terus mendapatkan Yuddh?

Bagaimana?

Tiba-tiba telinga Bakri menangkap bunyi aneh muncul dari belakang tubuhnya. Segera dia menjauhkan diri dari dinding tersebut. Namun dia tidak sempat menjauhkan diri dalam jarak yang selamat. Dinding itu meletup, dan menghantar tubuhnya melayang hingga melanggar kereta yang berada di hadapannya.

Kereta tersebut remuk menyambut tubuh Bakri. Kedua-dua bilah pisau terlepas dari genggamannya.

“Urgh…” Sungguh dia tidak menyangka yang Deimonas akan menyerangnya dari balik dinding. Mungkin memang tujuan pemburu itu untuk Bakri mendapatkan kedua-dua bilah pisau tersebut, dan merapatkan diri ke dinding.

Mujur dia sempat mendengar bunyi detikan bom tersebut, walaupun nampaknya ia telah diset dengan baik untuk tidak mengeluarkan bunyi yang kuat. Telinga Bakri masih dapat menangkapnya.

Ketika ini, beberapa anak panah meluncur laju dari hadapan. Susah payah Bakri mengerah tubuhnya untuk mengelak. Anak-anak panah itu hinggap pada kereta, tetapi tidak lama kemudian, terus melepaskan letupan yang kuat. Bakri yang tidak berjaya menjarakkan diri terlalu jauh, terpelanting dibawa gelombang letupan tersebut.

Bakri berguling-guling keluar dari kawasan parkir.

Asap berkepul-kepul menghalang penglihatan. Bakri kini dalam keadaan penuh kekurangan. Walaupun dia meningkatkan fokusnya untuk mendengar akan setiap bunyi di sekeliling, dia masih tidak dapat menangkap jejak langkah Deimonas. Pemburu itu benar-benar sedang mempamerkan kehebatannya. Akan mengapa dia merupakan antara Pemburu Terhandal daripada Kesatuan.

Sedang Bakri meningkatkan deria pendengaran, sebatang anak panah meluru ke arahnya. Dia dapat mengetahui dari desiran angin yang terhasil daripada pergerakan anak panah tersebut, ditambah dengan pergerakannya yang mengubah keadaan asap di hadapan Bakri. Bakri mengelak dengan tangkas, dan kali ini cuba menjarakkan dirinya sebaik mungkin. Risau panah itu dilengkapi alat peletup juga.

Tetapi kali ini, bunyi yang sangat mengilukan keluar dari panah tersebut. Membuatkan Bakri yang meningkatkan sensitiviti pendengarannya, terasa seperti mahu pengsan. Kepalanya diserang kesakitan yang teramat.

Ketika ini, Deimonas muncul di hadapannya. Bakri dapat melihat wajah pemburu wanita itu, yang telah berubah dari seorang yang jelita kepada buruk seperti hantu.

Deimonas tidak mengeluarkan apa-apa bicara. Dia terus menarik tali busurnya untuk melepaskan anak panah menamatkan nyawa Bakri. Bakri mengabaikan kesakitan pada kepalanya, dan terus melancarkan sepakan ke busur Deimonas. Deimonas berundur ke belakang, mengelak usaha sia-sia Bakri itu, dan terus melepaskan panahannya. Dari balik asap yang berkepul-kepul, Deimonas dapat melihat bayang Bakri yang ditusuk anak panah.

Sengihan puas tergores pada bibir.

Dia telah berjaya menebus kembali maruahnya yang tercalar sebelum ini.

Perlahan-lahan Deimonas bergerak ke arah Bakri.

Asap berkepul-kepul sudah mula beransur menghilang.

Tubuh Bakri terbujur kaku semakin jelas kelihatan, dengan anak panah tegak di atas tubuhnya.

Deimonas membesarkan mata.

Deimonas kelam-kabut mengelak panahnya yang dikembalikan oleh Bakri, dengan balingan sepenuh daya. Terundur Deimonas beberapa langkah.

“Jangan pandang rendah kepada aku!”

Bakri bangkit dan mengibas tangan kanannya. Telapak tangannya berdarah. Dia telah menyambut panahan jarak dekat Deimonas dengan tangannya itu. Usaha terakhir untuk menyelamatkan nyawanya yang berada dalam situasi sangat tersepit itu. Bukan kerja yang mudah, tetapi dia berjaya melakukannya.

Kini Deimonas sudah berada di hadapannya, Bakri tidak melepaskan Pemburu tersebut dari pandangan. Deimonas terus diserbu dengan serangan. Bakri melayang bersama tendangan. Deimonas mempertahankan diri dengan busurnya. Kemudian Bakri ditolak di tengah udara. Deimonas segera mencapai anak panah yang terdapat pada karung di pinggangnya. Namun Bakri tidak memberikan peluang, sebaik sahaja mendarat ke tanah, Bakri mencapai beberapa anak batu kecil. Melemparkan semuanya sekuat hati ke arah musuh.

Deimonas terundur ke taman permainan berdekatan kawasan parki. Pergerakannya untuk mencapai anak panah terganggu. Bakri pantas memecut dan melepaskan beberapa tumbukan. Deimonas tangkas mempertahankan diri, menyambut semua serangan dengan busur dan tangan kirinya.

Beberapa tumbukan berjaya hinggap pada tubuh Deimonas, namun begitu juga serangan Deimonas terhadap Bakri.

Pertarungan bertukar menjadi sengit antara mereka.

Mereka membiarkan serangan berbicara.

 

******

 

“Bagaimana?” Nazir bersuara.

Dia sangat teringin untuk merakamkan keadaan semasa dan mengambil maklumat akan keadaan terkini. Namun Detektif Wong menghalang. Dia yang pada awal kejadian keluar dari bangunan TV Taqwa untuk menyiasat keadaan terkini, terus mendapati dirinya berada dalam perlindungan Detektif Wong dan sepasukan anggota polis. Dia juga hairan akan bagaimana mereka boleh mendapatkannya segera, namun Detektif Wong telah berkongsi bahawa pasukan polis telah diarahkan untuk menjaga keselamatan Nazir beberapa hari kebelakangan ini. Tinggal Nazir tidak perasan akan kehadiran mereka, yang bijak menyembunyikan diri dalam penyamaran.

“Direktor Amiri mahu saya membantu saudara untuk menyelesaikan misi yang diberikan.” Begitu Detektif Wong menyebut.

Nazir dibawa ke satu tempat. Kawasan pangsapuri mewah di Kotaraya. Mereka berlindung di kawasan berdekatan.

“Alat telekomunikasi sudah pulih!” Detektif Wong bersuara. Ada nada gembira. Segera dia menggunakan alat telekomunikasinya.

“Alhamdulillah.” Nazir bersuara lega. Segera dia mengeluarkan telefon pintarnya. Membuka laman media sosial dan memerhatikan suara-suara netizen melaporkan keadaan. Kotaraya benar-benar sedang huru-hara.

“Baik, Tuan Direktor suruh kita sempurnakan misi. Sekarang ialah masanya!” Detektif Wong memberikan arahan kepada anak-anak buahnya. Semua mengangguk, tanda bersedia.

“Kenapa kita berada di sini?” Nazir bertanya. Dia masih tidak maklum akan mengapa dia dibawa ke kawasan ini.

“Dikatakan bahawa orang yang kita cari itu, berada di salah satu dari pangsapuri-pangsapuri mewah ini.”

“Wah, bagaimana kita mahu mencarinya?” Nazir garu kepala yang tidak gatal. Matanya melihat kepada bangunan yang banyak lagi besar di hadapan mereka.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi letupan. Tidak jauh dari tempat mereka berada. Asap berkepul-kepul naik.

Nazir memandang Detektif Wong. Detektif itu tersenyum.

“Mungkin kita boleh periksa kawasan tersebut terlebih dahulu?” Detektif Wong menepuk-nepuk belakang bahu Nazir.

Nazir tersengih.

“Saudara Nazir sudah bersedia? Tahu apa yang perlu dilakukan?”

Nazir mengangguk. Kamera yang tergantung pada lehernya dipegang dengan kemas.

“Mari kita bergerak.”

Misi yang diberikan kepada Nazir ialah dia perlu merakamkan bukti akan kehadiran pihak misteri ini, kemudian menyebarkannya ke seluruh negara melalui siaran di TV Taqwa. Direktor Amiri mahu mereka dikeluarkan dari persembunyian. Pada masa yang sama, Detektif Wong selain perlu menjaga keselamatan Nazir semasa operasi berjalan, ditugaskan juga dengan tanggungjawab menangkap pihak misteri ini untuk disoal-siasat oleh Inteligen Kerajaan.

Detektif Wong diminta untuk berjaga-jaga setiap masa, kerana tiada siapa tahu bila pihak misteri ini akan mula bertindak.

Dan berdasarkan keadaan huru-hara hari ini, Detektif Wong merasakan inilah harinya. Kerana itu dia dan pasukannya bersegera mendapatkan Nazir.

Hari ini, pihak yang bertanggungjawab kepada segala pengeboman dan pembunuhan sebelum ini, perlu dibawa ke muka pengadilan.

 

******

 

Yuddh dapat mendengar letupan yang berlaku. Namun dia tidak meninggalkan tempat duduknya, dek kerana fokusnya diperlukan sepenuhnya untuk memastikan rancangannya berjaya. Kini, dek kerana terlalu fokus kepada Muse, dia telah kehilangan kawalan terhadap sistem telekomunikasi, internet  dan trafik.

Inteligen Kerajaan telah berjaya merampas kembali kawalan pada sistem-sistem tersebut.

Namun Yuddh sedang berjaya mengatasi Muse. Pergerakan Muse di alam digital semakin perlahan, dan sedikit demi sedikit pertahanan yang dibina oleh bekas Pemburu itu roboh.

“Masanya semakin hampir, masanya semakin hampir. Hahahaha.” Yuddh tidak dapat mengawal kegembiraannya.

Ketika Inteligen Kerajaan mahu kembali membantu Muse, ketika itu dia sudah berjaya menyelesaikan kerja-kerjanya.

“Apa gunanya dapat kembali telekomunikasi, internet dan trafik, jika selepas itu semuanya tetap akan dihancurkan? Hahaha.” Yuddh semakin tangkas memasukkan kod-kod untuk menekan sistem Muse dari melawannya.

Dia semakin hampir dengan kejayaan.

Tidak lama lagi sistem persenjataan Malaysia akan berada di tangannya. Dia akan melepaskan beberapa peluru berpandu ke negara jiran dan juga beberapa lagi ke sebahagian bandar utama di Malaysia.

Kemudian semua kesilapan ini akan ditanggung oleh Perdana Menteri.

Orang awam akan mendesak.

Kehilangan nyawa pada kadar yang tinggi akan membuatkan orang awam emosi, dan itu bakal menjadi kayu ukur kepada kompetensi Perdana Menteri yang tidak memuaskan.

Kejadian ini juga akan menarik pelabur-pelabur luar, dan meleburkan segala sokongan antarabangsa yang dipunyai oleh Malaysia sekarang.

Negara ini akan terundur kembali ke belakang.

Dan Yuddh akan diingati sebagai Pemburu yang berjaya melaksanakan misi besar ini, hanya dari biliknya sahaja.

Hahahaha. Yuddh benar-benar tidak dapat mengawal dirinya. Ini adalah pencapaiannya yang tertinggi.

 

*******

 

Bakri mendengar penerangan daripada bapanya. Alat telekomunikasi telah berjaya aktif semula. Namun mulutnya tidak bersuara apa-apa. Dia perlu fokus menangani Deimonas di hadapannya. Keadaan semakin genting.

Bakri tangkas menghalang segala percubaan Deimonas untuk mencapai senjata-senjatanya. Bakri tidak boleh mengambil risiko senjata Deimonas melukakan dirinya.

Mereka telah bertukar terlalu banyak jurus, dan ketangkasan kedua-duanya seperti tidak melebihi antara satu sama lain. Bakri dan Deimonas sama-sama tersekat.

“Berhenti!” Satu suara asing kedengaran melaung.

Bakri sempat melirik, polis!

Sekumpulan anggota polis sedang menghampiri mereka, sambil mengacukan senjata api.

Deimonas tersengih. Segera dia mengambil kesempatan pada kecuaian singkat Bakri itu, dengan mempergunakan tubuh pemuda itu menjadi tampanan buat dirinya pergi ke arah anggota-anggota polis tersebut.

Bakri terundur beberapa langkah, melihat Deimonas melayang ke udara, sebelum mendarat di tengah-tengah kumpulan polis tersebut.

Bakri dapat menganggak apa tindakan Deimonas yang seterusnya.

Deimonas segera menendang salah seorang anggota polis, yang kelihatan seperti ketua mereka, ke tepi. Dan dengan tangkas, dia melepaskan tumbukan dan tendangan ke arah anggota-anggota polis di sekelilingnya. Kepantasan Deimonas di luar jangkaan pasukan polis tersebut, semua tumbang sekelip mata.

Deimonas mengambil dua pucuk pistol.

Bakri pantas mara ke arah Deimonas ketika pemburu itu sedang menunduk. Melancarkan dirinya ke arah Deimonas bersama-sama tendangan sebelum sempat pemburu itu menegakkan tubuh. Deimonas mempertahankan diri dengan menyilangkan kedua belah tangannya, menyambut tendangan Bakri.

Bakri mendarat, Deimonas terundur beberapa langkah.

“Selamatkan diri kalian!” Bakri menjerit ke arah anggota polis di sekelilingnya. Namun semua dalam keadaan tidak bermaya. Deimonas telah menyerang bahagian-bahagian penting mereka seperti keronkong, belakang leher dan kemaluan.

Deimonas melepaskan tembakan bertubi-tubi.

Bakri tidak sempat menyelamatkan sesiapa melainkan dirinya sendiri. Beberapa anggota polis di sekitarnya tadi menjadi mangsa. Tembakan Deimonas mengekori Bakri. Pemuda itu terpaksa bersembunyi di balik sebatang pokok berdekatan.

Deimonas terus melepaskan tembakan ke perlindungannya. Mungkin berharap tembakan itu akan menembusi perlindungan Bakri, seterusnya membunuh pemuda itu.

Bakri tersekat. Dia tidak boleh keluar dari perlindungan, kerana bakal menjadi mangsa tembakan Deimonas. Namun sekiranya dia terus berada di sini, dia akan mati katak.

Di tengah bunyi tembakan yang membingitkan, Bakri sempat mengerling kepada ketua anggota polis yang terbaring tidak jauh daripadanya. Ketua Anggota Polis itu, yang berwajah cerah bermata sedikit sepet, jelas berketurunan Cina. Dia seperti menanti masa yang sesuai untuk menyerang balas. Ternyata merupakan anggota polis berpengalaman, dan tidak dimakan emosi tatkala memerhatikan kematian sebilangan anak buahnya.

Bakri keluar dari persembunyian. Waktu seperti bertukar menjadi perlahan. Deimonas menghalakan senjatanya ke arah Bakri. Tidak mungkin tembakannya bakal tersasar. Bakri sedar akan hal tersebut. Menutup mata. Deimonas pula tersengih. Yakin kemenangan menjadi miliknya. Picu hendak ditarik…

Bang! Bang! Bang! Bang!

Darah tersembur ke udara.

Bakri membuka mata.

Deimonas tersungkur ke bumi.

Ketua Anggota Polis itu melancarkan tembakan dari pembaringan. Akibat terlalu memberi tumpuan kepada Bakri, Deimonas tidak sempat mengelak serangan Ketua Anggota Polis tersebut.

Bakri tidak menanti. Dia ada tugasan yang lebih penting. Segera dia membuka langkah untuk pergi ke tempat Yuddh.

“Nanti!” Laungan ketua pasukan polis itu tidak dihiraukan.

Bakri menghilangkan diri di balik bangunan. Mendapatkan tangga dan naik ke atas dengan segera. Tiada masa menunggu lif. Lebih pantas berlari dalam keadaan sangat genting sebegini.

“Cepat Bakri, dia semakin hampir berjaya!” Suara bapanya kedengaran kuat.

“Bertahan Ayah, bertahan!” Bakri bersuara, sambil berusaha mempertingkatkan kelajuan pergerakannya.

Tangga pangsapuri mewah itu didaki sepantas mungkin. Sebaik sahaja sampai ke tingkat 56, Bakri terus pergi ke rumah Yuddh. Pintu dipecahkan tanpa apa-apa amaran.

Kelihatan seorang lelaki, berkulit gelap, sedang menggunakan komputer. Jari jemari lelaki itu amat pantas mengetuk papan kekunci.

“Celaka!” Yuddh menyumpah tatkala melihat Bakri. Namun jarinya kekal mengetuk tangkas papan kekunci.

Bakri tidak membiarkan. Segera dia bergerak ke arah Yuddh, menjarakkan pemburu itu dari komputernya.

“Paling kurang, biar aku pastikan misi ini berjaya!” Yuddh menjerit. Mengambil papan kekuncinya itu, dan dihayun ke arah Bakri.

Bakri mengangkat tangan kiri, mempertahankan diri. Papan kekunci itu pecah apabila menghentam anggota tubuhnya itu.

Yuddh segera berguling ke satu sudut rumah, berlindung di belakang sofa. Bakri tidak memberikan masa untuk Yuddh bertenang. Dia terus menendang sofa tersebut. Sofa itu terangkat dan melayang ke dinding. Yuddh bergerak dari bawah Sofa, memeluk Bakri dan membawa tubuh pemuda itu ke arah kelengkapan komputernya. Salah satu skrin dicapai, dan kemudian dihentam ke wajah Bakri. Darah mengalir. Namun Bakri tidak tewas kepada kesakitan yang dirasainya. Kemaluan Yuddh dijamu dengan lututnya.

Pemburu itu mengerang kesakitan. Bakri menolak tubuh Yuddh ke tepi, sebelum pergi ke arah pemburu tersebut dan melepaskan tumbukan bertubi-tubi.

Yuddh tidak dapat berbuat apa-apa.

Akhirnya pengsan dek kesakitan yang teramat sangat.

Darah mengalir dari mulut pemburu itu. Beberapa batang gigi bertaburan di atas lantai. Wajah Yuddh penuh luka dan lebam.

Nafas Bakri turun naik.

Akhirnya…

“Alhamdulillah.” Kedengaran suara bapanya.

Bakri tersenyum lebar. “Alhamdulillah.”

Itulah sahaja bicara yang paling layak diungkap ketika ini.

“Pastikan rancangan kita sempurna.” Mustafa berpesan.

Bakri mengangguk.

Segera dia bangkit untuk menyempurnakan misinya.

 

******

 

Dengan penuh susah payah, Detektif Wong mendekati rumah itu. Pintunya telah terbuka. Detektif Wong berjaga-jaga, cuba bersedia untuk segala keadaan yang mengejutkan. Tangan lurus ke hadapan bersama senjatanya.

Apabila dia masuk ke rumah itu, ianya sudah seperti tongkang pecah. Tunggang terbalik bersama kerosakan di sana sini. Namun di tengah-tengah semua itu, terdapat seorang lelaki, terikat seluruh tubuhnya dengan kemas. Lelaki itu cuba meronta untuk melepaskan diri, namun tidak berjaya. Wajahnya persis wajah yang terdapat pada skrin Direktor Inteligen Kerajaan Malaysia.

Detektif Wong mendekati lelaki itu.

“Celaka! Argh!” Lelaki itu menjerit-jerit. Tidak dihiraukan.

Pada hadapan tubuh lelaki tersebut, terdapat sekeping nota.

“Hadiah. Sila bawa beliau kepada Inteligen Kerajaan. PENTING!”

Detektif Wong tersengih. Dia membayangkan pemuda bertopeng tadi. Kemudian dia menoleh ke belakang.

Nazir sedang merakam semuanya.

“Bagaimana?” Detektif Wong bertanya.

Nazir mengangkat ibu jari.

“Berita besar ni.”

 

*******

 

Agen lelaki berambut mohawk, melihat situasi di pangsapuri itu dari jauh. Dengan keadaan bangunan tersebut dipenuhi pihak berkuasa, dia dapat menjangka apakah yang telah berlaku. Segera dia membuka alat telekomunikasi pada kenderaannya.

“Tuan, berita buruk!”

 

============================================

 
InsyaAllah ini adalah bab terakhir yang akan saya siarkan di LangitIlahi.Com
 
Novel Pemburu telah berjaya disiapkan saya minggu lepas. Alhamdulillah. Sekarang saya sedang berusaha untuk menguruskan penerbitannya. Sekiranya tiada aral melintang, insyaAllah Novel Pemburu akan terbit pada 29hb Oktober 2016 dan dilancarkan di YouthACE 2016.
 
Mohon doa dan sokongan rakan-rakan. 🙂
14163814_935760266536106_1448132747_o
Detail program & Pendaftaran boleh dirujuk di: http://bit.do/youthace2016

Novel Pemburu: Bab 9 – Huru-hara

bs-md-ci-riot-emails-20150727

Mustafa bangun di sepertiga akhir malam. Telah menjadi rutin semenjak berjaya menyelamatkan Bakri & dirinya dari buruan Kesatuan, untuk dia bangkit di tengah malam. Walau selewat mana pun dia tidur, dia tetap akan bangun di sepertiga akhir malam.

Perlahan-lahan dia mencapai tongkat, alat yang telah sekian lama membantu pergerakannya. Mengurangkan sakit ketika dia bergerak. Tanpa tongkat, dia sukar untuk berjalan dengan baik, lantaran kaki kanannya yang tidak lagi kuat untuk menampung tubuhnya.

Sampai ke bilik air, dia membuka paip dan mula berwudhu’. Dengan tertib, bermula dari wajah, kepada lengan, seterusnya disapu keseluruhan kepala, sebelum kedua-dua kaki diratakan dengan air secermat mungkin.

Mustafa keluar dari blik air, sejadah yang tergantung pada dinding diambil, dibentang di atas lantai. Tongkatnya direhatkan pada dinding, sebelum dia berdiri tegak mengangkat takbir. Walaupun keadaannya tidak berapa baik, dia tetap mahu solat berdiri. Sebab itu dia tidak membenarkan dirinya mengabaikan latihan untuk menjaga kekuatan tubuhnya. Supaya dia masih ada kudrat untuk menahan sedikit kesakitan, kelemahan, agar tetap dapat berdiri di hadapan Allah SWT.

Mustafa tahu bahawa Islam itu mudah, tidak membebankan penganutnya. Bagi mereka yang tidak mampu solat berdiri, boleh solat duduk. Bahkan sehingga solat dengan hanya gerakan mata atau lintasan hati, sekiranya berlaku perkara-perkara yang menghalang seseorang itu solat dengan keadaan yang lebih baik.

Tetapi Mustafa sengaja mengambil jalan yang lebih sukar. Di dalam dirinya, sedikit sebanyak dia menganggap bahawa dia ingin mempersembahkan yang terbaik bagi mencari keampunan buat dosa-dosanya yang lepas.

Dia tidak pernah lupa segala dosa-dosanya. Setiap nyawa orang-orang yang tidak berdosa yang melayang di tangannya. Dia tidak pernah lupa.

Air matanya mengalir. Tersedu-sedu. Ketika Mustafa ruku’, air matanya jatuh di atas sejadah. Ketika Mustafa sujud, lebih terasa kekerdilan diri dan betapa besarnya pengharapannya agar Allah SWT mengampuninya. Teresak-esak dia menangis, air mata membasahi sejadah.

“Abang!” Jeritan wanita itu, masih terngiang-ngiang pada telinganya. Tidak pernah hilang.

                “Abang!” Tangisan nyaring. Walaupun Mustafa berada pada jarak yang agak jauh dari tempat kejadian, dan suasana sekeliling bingit dengan jeritan orang ramai, dia masih dapat mendengar suara wanita tersebut. Kerana dia memang memfokuskan deria pendengarannya pada tempat kejadian tersebut.

                “Isteri dia masih hidup.” Mustafa melaporkan pada alat telekomunikasi yang terdapat pada pergelangan tangannya.

                “Jangan biarkan.”

                “Baik.”

                Mustafa bergerak perlahan-lahan, melawan arus orang ramai yang sedang menjauhi tempat kejadian. Mereka berlari kerana dikatakan letupan bakal berlaku.

Mustafa mendekati restoran yang asalnya menjadi tempat keluarga tersebut menjamu selera. Sebelum Mustafa melakukan sabotaj kepada salah satu kenderaan yang lalu di tepi restoran tersebut, yang kemudiannya terbabas melanggar mangsa yang makan bersama keluarganya di ruang luar. Kereta tersebut kini sedang mengeluarkan asap berkepul-kepul, dan orang ramai menjauhkan diri kerana menjangka bahawa kenderaan itu akan meletup pada bila-bila masa sahaja.

                Mustafa semakin menghampiri. Tiada siapa yang mengesyakinya sebagai seorang Pemburu, kerana dia kini berpakaian biasa sahaja. Operasinya ini sepatutnya dilihat sebagai kemalangan yang tidak dijangka.

                Tangisan perempuan itu semakin kuat kedengaran. Mustafa tidak dapat melihatnya kerana terlindung di balik kereta yang terbabas.

                “Puan? Puan?” Mustafa melaung. Buat-buat seperti sedang berusaha untuk menyelamatkan wanita itu sebelum perkara buruk berlaku. Padahal Mustafa sangat tahu bahawa kereta yang ada di situ tidak akan meletup. Dia sangat arif akan keadaan kereta tersebut. Dia mahu menamatkan nyawa perempuan itu.

                Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila melihat perempuan yang menangisi suaminya itu, sedang sarat mengandung.

                “Tolong, tolong!” Perempuan tersebut merayu sebaik sahaja melihat Mustafa muncul dari balik kereta.

                Mustafa mengerutkan dahi.

                Walaupun dia seorang Pemburu, dia tidak sesekali pernah membunuh anak kecil. Itu ialah antara pantang larangnya. Dan Kesatuan Pemburu sepatutnya tahu dan memahami. Tetapi mengapa….

                “Tolong!” Perempuan itu merayu lagi dengan penuh hiba, menunjuk kepada sang suami yang telah terkulai layu di atas pehanya.

                “Muse? Lakukan sekarang!”

                Mustafa diam tidak membalas suara di balik alat telekomunikasi tersebut. Matanya lekat pada perempuan di hadapannya. Wajah penuh hiba itu menyentuh jiwanya. Dia sudah kehilangan suami dalam keadaan sarat mengandung, dan kini Mustafa perlu meragut pula nyawanya? Membunuh wanita ini bersama anak di dalam kandungan yang tidak tahu apa-apa itu? Dan mengapa Kesatuan Pemburu sanggup menolaknya ke situasi ini?

                Bahkan sepatutnya dari awal lagi, dia tidak disuruh untuk mensabotaj kenderaan tersebut untuk membunuh lelaki ini bersama keluarganya. Kerana itu akan menyebabkan dia membunuh anak di dalam kandungan tersebut!

                Mustafa mengepal kedua-dua tangannya. Geram. Rasa dikhianati.

                “Muse?!!” Suara di balik alat telekomunikasi itu meninggi.

                Mustafa mematikan alat pada pergelangan tangannya itu.

                Dia sudah membuat keputusan.

                “Puan, ke mari. Suami puan sudah tidak boleh diselamatkan. Mari saya bantu Puan!” Mustafa terus memisahkan perempuan tersebut dengan suaminya. Sebentar dia memerhati mayat lelaki tersebut. Dia hanya menurut arahan, tidak benar-benar ambil tahu akan siapa gerangan lelaki ini.

                Ada dua jenis pemburuan. Pertama, pemburuan yang telah jelas ditetapkan oleh Kesatuan. Kesatuan Pemburu menunjukkan gambar sekian individu, bagaimana dan bila pembunuhan perlu dilakukan. Tugas dijalankan tanpa perlu mengetahui banyak perkara mengenai individu tersebut.

                Kedua, pemburuan yang memerlukan seorang Pemburu itu mengaplikasikan segala kemahiran pemburuan yang terdapat pada dirinya. Kesatuan Pemburu hanya memberitahu objektif, dan Pemburu perlu mencari jalan menyelesaikannya, dengan melakukan kajian, penyiasatan, pencarian, pemerhatian dan lain-lain. Misi jenis ini memakan masa, kadang hingga bertahun-tahun. Namun biasanya, misi sebegini mempunyai nilai yang sangat besar.

                Dan misi hari ini adalah jenis yang pertama. Antara sebabnya mengapa Mustafa tidak tahu bahawa lelaki ini mempunyai isteri yang sedang sarat mengandung.

                Perempuan itu meronta-ronta minta dilepaskan. Dia mahu bersama suaminya. Tetapi Mustafa mengabaikan permintaan tersebut. Dia bergerak menjauhi kenderaan yang terbabas itu, bersama sasarannya dan juga pemandu kenderaan tersebut yang telah kehilangan nyawa. Tanpa disedari sesiapa, sebelum mengangkat perempuan tersebut, Mustafa telah sempat membuka kantung pada tali pinggangnya, mencapai sebutir bom mini dan melemparkannya ke dalam kenderaan.

                Letupan yang kuat berlaku, dan semua yang berada di situ menganggap bahawa letupan itu datang daripada kereta yang terbabas tadi.

                Mustafa segera membawa perempuan itu jauh dari tempat kejadian.

                Dia perlu menghilangkan diri bersama perempuan ini.

Mustafa telah membawa perempuan itu mendapatkan rawatan, sekadar untuk memastikan keadaannya tidak kritikal dan kandungannya selamat. Selepas itu Mustafa segera menyembunyikan diri bersama perempuan tersebut dan mengingatkan wanita itu bahawa nyawanya sedang terancam.

Asalnya Mustafa berhajat untuk meninggalkan sahaja perempuan itu, selepas memastikan dia berada di tempat yang selamat. Tetapi perjalanan panjang yang telah ditempuhi bersama, membuatkan dia jatuh hati terhadap wanita tersebut.

Daripada wanita itulah dia mengenali Islam. Ketabahan wanita itu untuk meneruskan kehidupan selepas kesedihannya reda, membuatkan Mustafa kagum dan jatuh cinta. Mustafa terus membantu wanita itu memenuhi segala keperluannya, bahkan menemaninya melahirkan anak.

Setahun selepas peristiwa itu, Mustafa memeluk Islam atas niat hanya kerana mahu mengahwini perempuan ini. Tetapi selepas itu, Mustafa diperkenalkan dengan organisasi INSANI, yang merupakan tempat wanita ini menumpahkan bakti sepanjang kehidupannya dan suami.

Lelaki yang dibunuh Mustafa itu rupanya merupakan antara orang penting di dalam organisasi INSANI. Dan untuk menghalang kemaraan organisasi tersebut, Kesatuan Pemburu memilih untuk menamatkan riwayat lelaki tersebut. Hasil perkongsian dengan isterinya, Mustafa mula maklum bahawa lelaki tersebut mempunyai pelbagai idea yang menarik, serta plan gerak kerja yang solid, yang boleh memacu INSANI ke hadapan dalam membawa perubahan untuk negara-negara Islam di seantero dunia, bermula dengan Malaysia. Idea-idea tersebut rupanya telah banyak dikongsi dengan isterinya. Antara sebab mengapa Kesatuan Pemburu mahu wanita ini turut menemui ajal dalam kejadian yang sama.

Persepsinya terhadap Islam, negara Islam, orang Islam, banyak berubah selepas mengenali isterinya dengan lebih dalam. Dia dapat menyedari bahawa selama ini dia berada di pihak yang salah, membantu orang yang jahat untuk mengawal dunia.

Maka selepas sekitar 3 tahun menganut Islam, memahami agama tersebut dengan lebih mendalam, dan mengenali INSANI serta hala tujunya dengan baik, Mustafa bertindak untuk membantu INSANI dengan cuba mendedahkan pergerakan Kesatuan Pemburu kepada mereka. Malangnya, tindakan Mustafa itu berjaya dipintas oleh Kesatuan Pemburu, dan beberapa nyawa dari kalangan orang penting INSANI, melayang di dalam peristiwa itu. Lokasi Mustafa pula terdedah, dan Kesatuan Pemburu menghantar Jaeger untuk menamatkan riwayatnya.

Isterinya menjadi mangsa pada hari kejadian tersebut.

Rasa berdosanya bertambah dengan kejadian yang menimpa isterinya pada hari itu.

Ketika itu dia sedar, bahawa dia perlu mengangkat senjata menentang Kesatuan Pemburu. Tidak boleh berharap orang lain menyelesaikan masalahnya. Kerana jika dia melibatkan pihak lain, maka akan lebih banyak nyawa terkorban.

Selepas berjaya menyelamatkan Bakri dan dirinya pada malam berdarah tersebut, dia bersumpah dan berazam untuk menumbangkan Kesatuan Pemburu dengan dua tangannya sendiri.

Bukan semata-mata untuk membalas dendam buat isterinya. Tetapi juga untuk masa hadapan yang lebih cerah untuk dunia ini.

Selepas 2 rakaat, salam diberikan, dan dia bangkit lagi menunaikan solat sunat yang seterusnya. Setiap hari, tidak kurang dari 10 rakaat, sehinggalan sekitar 10 minit sebelum azan Subuh, dia akan beribadah sepenuh hatinya. Berkhalwat dengan Tuhannya.

“Ya Allah, kasihanilah aku. Sesungguhnya aku memohon ampun atas segala dosa-dosaku. Berikanlah kemenangan kepada kami ya Rabb. Tiadalah lagi tempat untuk kami memohon kekuatan selain daripadaMu. Hanya kepada Engkau tempat kami bergantung harap dan memohon perlindungan serta kemenangan. Ya Allah, janganlah kerana dosa-dosa silamku, Engkau haramkan kemenangan ke atas kami. Sesungguhnya Kesatuan Pemburu itu mesti ditumbangkan untuk masa hadapan yang lebih cerah buat dunia ini. Ampunkanlah aku ya Allah, sesungguhnya aku maklum akan semua dosaku. Bantulah aku ya Allah, tiada tempat lain boleh aku mengadu. Ya Allah, ya Allah…” Mustafa berdoa. Seakan seluruh kudratnya diperah untuk berdoa penuh berharap.

Air matanya terus mencurah-curah.

Dia benar-benar berharap, agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya. Dia berharap agar perjuangan ini adalah salah satu cara untuk dia menebus kesilapan-kesilapannya yang lalu.

Selepas doa diaminkan, tangannya meraup wajah.

Mustafa bangkit dan mencapai tongkatnya. Dia hendak pergi memanggil Bakri, untuk ke masjid bersama-sama. Namun apabila dia melihat ke arah pintu, Bakri sudah terjegat di situ.

Pandangan mereka bertaut buat beberapa ketika, sebelum anaknya itu mengukir senyuman.

Kisah silam bahawa dia adalah penyebab kematian ayah kandung Bakri, nampaknya tidak membuatkan anaknya itu berdendam dengannya. Tiada riak kemarahan. Yang ada hanyalah ketenangan.

“Mari Ayah, kita ke masjid.”

Mustafa mengukir senyuman balas.

Perlahan-lahan dia bergerak ke arah pintu.

“Pertama kali Bakri yang terjegat di muka pintu bilik Ayah pada waktu Subuh sebegini. Tak berlatih ke?” Mustafa berbicara.

“Hari-hari berlatih. Apa salahnya hari ini Bakri yang pergi ke bilik Ayah, bukan Ayah yang perlu ke bilik Bakri?” Bakri memaut bahu Mustafa.

“Sejak bila ada di situ?”

“Sejak dua rakaat terakhir.”

Mereka sampai ke pintu utama. Keluar dan menyarung selipar masing-masing.

“Patutlah wajah Ayah macam ada bekas. Ayah banyak menangis rupanya ya?” Bakri bersuara sebaik sahaja mereka meninggalkan perkarangan rumah.

“Dosa yang terlalu banyak, Bakri.”

“Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Ayah.”

Mustafa tersenyum dan mengangguk membenarkan bicara Bakri.

“Salahkah Ayah menjadi hambaNya yang bersyukur?”

Bakri membalas persoalan itu dengan senyuman sahaja.

Selangkah demi selangkah mereka mendekati masjid. Untuk Bakri, apa yang dia perhatikan sebentar tadi, benar-benar menyentuh hatinya.

Bapanya telah menanggung banyak cabaran dan penderitaan, ditambah perasaan menanggung dosa yang tidak terhitung banyak. Perjuangan pula belum berakhir.

Bakri menyemat azam untuk lebih bersemangat dalam memberikan sokongan kepada bapanya. Bahkan, dia ingin menjadi orang yang benar-benar faham mengapa mereka mengangkat senjata. Bukan lagi sekadar seorang anak yang ingin membantu bapanya.

Hari itu dimulakan dengan nafas yang benar-benar baharu buat Bakri.

 

******

 

Deimonas mengerutkan dahi. Bunyi dengkuran yang datang daripada Yuddh menyakitkan telinganya.

“Hoi, bangun!” Yuddh disepak sederhana kuat.

Yuddh terkejut, terus mengeluarkan sepucuk pistol , namun kali ini Deimonas lebih bersedia, menangkap senjata tersebut dan meleraikan bahagian-bahagiannya dengan tangkas.

“Akulah, bodoh.” Deimonas menyepak lagi pemburu berbangsa India itu. Yuddh mengelak sedikit, sambil menggaru-garu kepalanya. Rambutnya serabut.

“Apa kau nak ha? Macam mana engkau boleh masuk?”

“Aku Pemburulah. Antara yang terhandal. Cuba jangan tanya soalan bodoh. Aku cuma hendak beritahu yang aku akan keluar memburu penyerang misteri kita itu. Aku perlu matikan alat telekomunikasi kita supaya pergerakan aku lebih bebas. Aku tidak mahu Kesatuan bising pula nanti.” Yuddh melihat Deimonas yang telah mengenakan kelengkapan untuk menjalankan misi peribadinya itu. Berjaket menutup kepala, sambil membawa bag galas yang Yuddh yakin menyimpan busur dan anak-anak panah, senjata kegemaran Pemburu itu.

“Aku perlu kembalikan maruah aku kembali. Bersihkan imej aku yang telah tercalar.” Deimonas menyambung.

Yuddh menggaru kepalanya lagi. Kemudian kembali melandaskan dirinya ke atas sofa. Dia tidur di ruang tamu sahaja.

“Yang engkau ni, kenapa tidur? Aku ingat engkau nak cuba tamatkan misi di sini secepat mungkin?” Deimonas bertanya. Kehairanan. Yuddh kelihatan sangat santai dan bersahaja.

“Rileklah. Aku ada perancangan aku. Masih perlu buat beberapa pemerhatian lagi sebelum bertindak.” Yuddh memuncungkan bibir. Gaya malas nak melayan Deimonas.

Deimonas mendengus. Berpaling ke arah pintu keluar dan mula melangkah.

“Hei Deimonas.” Yuddh memanggil dari pembaringan.

Langkahan Deimonas terhenti. Tetapi dia tidak berpaling.

“Aku fikir aku ada cara mudah untuk kau dapatkan kembali maruah engkau tu.”

Kini Deimonas berpaling. Tertarik dengan kata-kata Yuddh.

“Aku telah dapat mengesan yang sistem data Kesatuan Pemburu sedang diperhatikan satu pihak. Dan aku yakin 100% bahawa itu ialah penyerang kita.”

Deimonas terus melihat Yuddh. Tidak bersuara. Tetapi cukup menunjukkan bahawa dia berminat dengan apa yang sedang dibentangkan pemburu itu.

“Tinggalnya, apabila aku mula bertindak untuk mengesan dari mana isyarat pengintip itu datang…”

“Dia akan terus mengetahuinya.” Deimonas memintas.

“Ya. Dia akan bertindak balas untuk menyerang kita di sini.” Yuddh menambah. “Aku yakin, penggodam itu ialah Muse, manakala penyerang yang telah mensabotaj pergerakan kita di sini ialah orang lain, yang bekerjasama dengannya. Teori ini dapat kita buktikan tak lama lagi. Jadi aku mahu engkau mengawasi tempat ini. Bagaimana?”

Deimonas diam buat beberapa ketika.

“Bila perancangan ini hendak engkau jalankan?”

“Mungkin selepas tengahari. Aku nak tidur dulu. Malas fikir sekarang.” Yuddh menutup mata.

Deimonas tersengih. “Suka hati. Aku ambil tempat siap-siap.”

Yuddh mengukir senyuman jahat tanpa disedari Deimonas.

“Orang yang terdesak, mudah dipergunakan.”

Semuanya sudah diatur dengan baik setakat ini.

Yuddh berpuas hati dengan perancangannya. Dia menjangka yang dia akan berjaya.

 

******

 

Sebaik sahaja Bakri hilang dari pandangan, bergerak untuk ke universiti, Mustafa terus melangkah ke bilik yang menyembunyikan lif rahsia. Apabila sampai ke pengkalan pergerakan, dia segera ke komputer dan jarinya terus pantas bergerak di atas papan kekunci, memasukkan beberapa kod.

Dengan kehadiran Yuddh di Malaysia, dia sudah dapat menjangka beberapa tindakan yang bakal dilakukan oleh Pemburu itu. Dia telah beberapa kali meneliti hasil kerja Yuddh di India dan Pakistan. Semalam sebelum tidur, dia telah membuat beberapa penelitian lagi.

Yuddh didapati menguasai pelbagai sistem penting, dan kemudian menyembunyikan dirinya dengan baik, sebelum menggunakan kelebihannya itu pada waktu-waktu yang dikehendaki. Apabila pihak berkuasa ingin mencari masalah, sistem mereka akan kelihatan seperti dalam keadaan yang baik. Pada hakikatnya, Yuddh masih berada di dalam sistem, dan semua itu berada di bawah kawalannya.

Kadangkala Yuddh akan membuat kerosakan kecil seperti masalah lampu isyarat, gangguan signal untuk telefon atau internet, dan ada masannya Yuddh akan bertindak sejauh melepeaskan peluru berpandu dari pangkalan tentera. Mengikut apa misi yang diberikan kepadanya.

Jadi Mustafa sekarang sedang memecah masuk ke dalam sistem-sistem data yang terdapat di Malaysia. Mencari jejak Yuddh di alam digital, terutama pada sistem-sistem yang penting seperti kawalan trafik, internet, sistem di pusat-pusat janakuasa dan juga ketenteraan.

Kepakaran Mustafa membuatkan dia tidak perlu menanti lama untuk dapat mengesan jejak Yuddh.

Matanya membesar. Yuddh telah menguasai sebahagian besar sistem di dalam negara ini, tanpa dikesan sesiapa.

“Budak ni…” Mustafa dapat merasakan yang Yuddh bukan calang-calang penggodam. Perasaannya memberitahu bahawa kemungkinan besar Yuddh dapat mengatasinya sekiranya mereka bertembung.

Tetapi Mustafa menekan perasaan tersebut.

Mulutnya terkumat-kamit membaca doa dan memohon pertolongan Allah SWT.

Dia perlu menyah Yuddh daripada sistem-sistem tersebut, dengan sebaik mungkin tanpa dikesani pemburu tersebut.

Dia amat yakin yang Pemburu itu sedang menanti waktu yang terbaik untuk melancarkan huru-hara di negara ini. Kemudian memanfaatkan keadaan itu untuk mencapai misi utama mereka di negara ini. Mustafa dapat membaca strategi tersebut, memandangkan dia sendiri merupakan seorang strategis pakar yang bukan calang-calang.

Cabaran untuk Mustafa ialah untuk menyah penguasaan Yuddh terhadap sistem-sistem penting tanpa dikesanni pemburu itu. Mustafa sudah mula dapat melihat yang Yuddh telah menanam pelbagai perangkap dalam bentuk kod yang kompleks. Kesilapan dalam memecahkan kod-kod tersebut akan membuatkan Yuddh tahu ada pihak yang sedang cuba menggodam kawalannya kepada sistem-sistem tersebut.

Mustafa menghela nafas panjang.

Dia meregangkan tangan, mengepal-ngepal dua penumbuknya, sebelum bergerak pantas melaksanakan kerja-kerja.

Pertarungan sudah bermula.

 

******

 

Bakri memandang ke hadapan. Kali ini, buat pertama kali, dia tidak menyumbat telinganya dengan alat pendengar. Namun dia masih tidak mengambil nota. Dia hanya memberikan fokus dengan mendengar.

Fatihah sekali-sekala memerhatikan Bakri. Sedikit kehairanan dan tertanya-tanya akan mengapa Bakri tidak bersikap seperti biasa. Tetapi kemudian Fatihah memarahi dirinya sendiri, kerana menyibuk hal orang lain.

Dr Zulaikha yang sedang membentangkan penilaian hadith dalam kitab-kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali, kembali menjadi fokus pelajar perempuan itu.

Sedang kelas khusyuk mendengar penerangan daripada pensyarah mereka, bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Riuh sebentar seisi dewan, sebelum suara Dr Zulaikha kedengaran mengajak mereka bertenang.

“Telefon pun tak boleh pakai lah.” Seorang pelajar mula bersuara, dan yang lain-lain mula kembali riuh.

Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Bakri bangkit segera. Ada sesuatu yang tidak kena. Dia bergerak keluar dari kelas dengan segera. Pergerakannya sempat diperhatikan oleh Fatihah.

“Eh, Bakri pergi mana tu?”

“Panas kut?” Salma mengibas-ngibas tudung labuhnya. Menjemput angin kepada diri, kerana suasana bertukar menjadi hangat akibat terputusnya bekalan elektrik.

Fatihah mengerutkan dahi. Hairan, kerana pelajar-pelajar lain tidak keluar dari dewan disebabkan Dr Zulaikha tetap ingin menyambung pengajian walau tanpa tenaga elektrik.

“Bertenang, bertenang. Nak teruskan kelas ini bukan perlukan telefon bimbit atau elektrik pun. Tambah-tambah sekarang waktu siang. Cahaya ada ni hah. Masa kuliah pula takkan nak guna telefon!” Suara Dr Zulaikha sedikit meninggi, cuba memenangi keriuhan kelas.

Perlahan-lahan kelas kembali tenang.

Dr Zulaikha menyambung pengajian.

Namun Bakri sudah hilang.

Pemuda itu cuba untuk menghubungi bapanya. Alat telekomunikasi khas untuk mereka berdua dikeluarkan. Bakri cuba menghubungi pengkalan, namun alat itu seperti tidak responsif.

“Apa yang sedang berlaku?” Bakri memandang sekeliling.

Dia dapat melihat orang ramai berjalan sambil memerhatikan telefon pintar masing-masing. Jelas kejadian itu terjadi kepada semua. Bakri bergerak memerhatikan kawasan berdekatan. Dari apa yang didengarinya melalui orang yang lalu lalang, nampaknya seluruh universiti sedang terputus bekalan elektrik, dan mengalami masalah sistem telekomunikasi.

Bakri terus berlari pantas untuk meninggalkan universitinya. Dia perlu pulang ke rumah dengan segera. Dia bergerak menuju ke gerbang utama universiti. Namun sebaik sahaja dia dapat melihat gerbang tersebut, matanya telah dapat menangkap kemalangan teruk yang berlaku di simpang hadapan gerbang itu.

Apabila Bakri sampai di gerbang itu, dia sempat mendengar pengawal pintu masuk universiti mengadu berkenaan kegagalan lampu isyarat untuk berfungsi, mengakibatkan kemalangan teruk berlaku antara beberapa kenderaan. Mereka juga mengadu berkenaan kegagalan untuk berkomunikasi dengan pihak yang sepatutnya untuk meminta bantuan. Segala alat telekomunikasi mereka tidak berfungsi.

Bakri segera keluar dari perkarangan universiti. Dia pergi ke sebuah bangunan tinggi yang terdapat tidak jauh dari gerbang utama tempat pengajiannya. Dia segera mendaki tangga bangunan tersebut selaju yang mungkin. Apabila sampai pada bumbung bangunan itu, dia cuba memerhati sekeliling.

Asap hitam berkepul-kepul naik dari pelbagai lokasi. Berdasarkan pemerhatian Bakri, kemalangan sedang berlaku di mana-mana, terutama di kawasan lampu isyarat. Bakri memfokuskan pendengarannya, cuba meneliti keadaan orang ramai. Banyak yang mengadu tidak dapat menggunakan alat telekomunikasi dan internet, di samping terputus bekalan kuasa.

Suasana nampaknya sedang dalam keadaan huru-hara.

“Ini pasti angkara pemburu yang baru dihantar oleh Kesatuan.” Bakri mengetap bibir. Segera maklumat pada komputer di pengkalan terimbas di mindanya.

Bakri segera bergerak.

Dia tidak jadi pulang ke rumah.

Dia membuat keputusan untuk terus ke punca masalah. Bakri ingat dengan jelas akan lokasi Yuddh berdasarkan peta yang terdapat pada skrin komputer di pengkalan. Dia mahu terus ke sana, walaupun Bakri tahu yang dirinya tidak punya kelengkapan yang lengkap untuk bertempur.

“Mungkin cukup sekadar aku dapat menarik perhatiannya, membuatkan dia berhenti menggodam. “Ayah pasti sedang mengusahakan sesuatu. Kerajaan Malaysia pula pasti tidak akan berdiam diri. Inteligen Kerajaan juga pasti sedang mencuba untuk mengawal keadaan. Jika aku berjaya menganggu Yuddh, mungkin sistem-sistem ini dapat diambil alih semula, dan mengelakkan kerosakan yang lebih besar!” Bakri mula mengatur strategi sambil pantas turun dari bangunan tersebut.

Sebaik sahaja Bakri keluar dari bangunan itu, dia terus memecut pantas.

 

******

 

“Apa yang sedang berlaku?!” Amiri melaung di hadapan petugas-petugasnya yang sedang bekerja keras untuk mengawal keadaan.

“Semua sistem sedang terganggu. Ada pihak telah menggodam kebanyakan sistem di negara kita.” Salah seorang daripada mereka melaung balas.

“Bagaimana dengan sistem pertahanan negara?” Amiri segera mendekati petugas yang memberikan jawapan itu.

“Sudah dicerobohi. Namun nampaknya penggodam itu sedang mendapat tentangan.” Petugas itu menunjukkan kod-kod yang sedang muncul dan hilang beberapa kali pada skrinnya.

“Siapa yang cuba menentang penggodam tersebut?”

Petugas itu menggeleng.

“Saya tidak dapat mengesan kedua-duanya. Hanya mampu memerhati. Sistem telah dikunci. Saya dan pasukan sedang cuba untuk memecah masuk kembali ke dalam sistem.”

Amiri menepuk-nepuk belakang tubuh petugas itu. Memberikan semangat, sebelum dia bergerak kembali ke pejabatnya. Memerhatikan semua.

Bekalan elektrik tiba-tiba terputus, dan sistem telekomunikasi mereka tiba-tiba rosak. Mereka berjaya mengembalikan tenaga elektrik dengan menggunakan kuasa sokongan yang memang telah disediakan untuk kecemasan. Namun sistem telekomunikasi masih belum dapat diperbaiki.

Semua tenaga kerja di bawah Inteligan Kerajaan sedang berhempas pulas menangani situasi ini.

Amiri memikirkan Detektif Wong dan Nazir.

Dia sudah menugaskan detektif itu untuk berada dekat dengan Nazir. Dalam keadaan ini, dia berharap Detektif Wong segera mendapatkan Nazir dan bergerak menyempurnakan misi yang diamanahkan.

Inilah masanya.

Cuma sekarang dia perlu mendapatkan lokasi penggodam tersebut agar misi yang diberikan kepada Nazir dapat berjalan dengan baik.

Amiri memerhatikan pasukannya yang sedang bekerja keras.

Mulutnya mula terkumat-kamit berdoa.

Novel Pemburu: Bab 8 – Mencari Makna

PHOTO-3-Military-Sniper-on-a-rooftop

Lif pengkalan bawah tanah itu bergerak naik ke atas. Mustafa yang duduk di hadapan skrin gergasi, memandang ke arah lif tersebut, yang tidak lama kemudian kembali semula ke bawah. Sebaik sahaja pintunya terbuka, Bakri melangkah keluar. Selepas beberapa langkah, anak muda itu berdiri tegak, dengan kedua belah tangan tersembunyi di balik saku baju sejuk, sambil memerhatikannya.

Beberapa ketika pandangan mereka bertaut, sebelum Mustafa menggalih pandangannya kembali ke skrin besar. Jari jemarinya pantas menari di atas papan kekunci.

“Ayah.”

Sapaan itu membuatkan pergerakannya terhenti. Mustafa kembali menoleh kepada anaknya. Bakri bergerak mendekati Mustafa, tubuh Sang bapa dipeluk erat. Mustafa tidak teragak-agak membalas pelukan itu. Air matanya mengalir.

“Ayah minta maaf Bakri.”

Bakri menepuk-nepuk belakang tubuh bapanya. “Bakri yang sebenarnya patut meminta maaf kerana bersikap sedemikian.”

Pelukan direnggangkan. Bakri menatap wajah Mustafa. Mustafa dapat melihat yang pipi anaknya itu turut basah dengan air mata.

“Ayah memang menyimpan banyak rahsia, Bakri. Dan ada lagi yang perlu Bakri ketahui.” Mustafa pantas ingin berkongsi.

Bakri menggeleng. “Tidak mengapa Ayah.” Bakri mengerling kepada skrin. “Adakah itu…” Dia bangun dan memerhatikan apa yang terbentang pada skrin tersebut dengan lebih jelas.

“Ya.” Mustafa dapat menjangka apa yang bermain dalam fikiran Bakri.

“Peta menunjukkan lokasi lawan kita.”

“Mereka telah menghantar Pemburu baru.” Bakri menunjuk kepada tanda yang terdapat pada skrin tersebut.

“Ya, Yuddh namanya.  Kepakaran utamanya ialah menggodam komputer.”

“Jadi, Ayah mahu kita bergerak malam ini?” Bakri memandang kepada bapanya. Mustafa menggeleng.

“Bukan malam ini.”

“Mengapa?” Bakri kehairanan.

Mustafa memuncungkan bibirnya ke arah tangan kanan Bakri yang masih berbalut. “Perlu dalam keadaan optimum terlebih dahulu. Sehari dua lagi akan sembuh bukan? Kita tunggu sehingga waktu itu.”

Bakri melihat kepada tangan kanannya, dan terpaksa bersetuju dengan bapanya.

“Bakri, Ayah ada perkara yang perlu diberitahu kepada Bakri.” Mustafa bangun, dan bahu Bakri dipaut. Perlahan-lahan mereka berjalan beriringan, menuju ke lif.

“Perkara ini tersangat besar, dan Ayah tidak pernah berkongsi akan hal ini dengan Bakri.”

“Berkenaan apa Ayah?”

Mereka sama-sama memasuki lif tersebut.

“Berkenaan mengapa Ayah keluar dari Kesatuan Pemburu.”

Lif itu tertutup dan membawa mereka naik ke rumah.

“Ada sejarah hitam yang Ayah sembunyikan, dan ia berkait rapat sebenarnya dengan Bakri.”

Bakri tidak bersuara apa-apa. Cara bapanya berbicara, seakan bapanya ada menyembunyikan satu dosa besar terhadap dirinya.

 

******

 

Deimonas memerhati dari kejauhan pangsapuri mewah yang dihuni oleh Yuddh. Dia tinggal di bangunan lain, tidak jauh dari situ. Dari tingkap rumahnya, dia dapat memerhati bangunan tersebut dengan jelas.

Kini dia memahami apa perasaan Jagat, setelah dihina dan dimalukan. Setelah kehilangan maruah dan imej sebagai pemburu terhandal dicalar.

Dilayan seperti anjing kurap!

Deimonas meneguk lagi minuman keras di sisinya. Botol air kencing syaitan itu ditonggak sepuas-puasnya, hingga sebahagian isinya tertumpah membasahi tubuh.

“Aku tidak boleh biarkan keadaanku terus begini!” Deimonas menjerit seorang diri.

Dia hanya ada Kesatuan Pemburu dalam kehidupannya. Semenjak kecil, ini sahaja yang diketahuinya. Sekiranya organisasi tersebut bertindak membuangnya, menganggap dia tidak lagi berguna, bagaimana nasibnya kelak?

Perasaan takut menyergah.

Gambaran mayat Jagat yang terkujur kaku datang menyapa minda.

Selepas letupan yang merosakkan tubuhnya, dia bersusah payah melawan perit kecederaan untuk menghapuskan segala perkara yang boleh membuatkan dirinya dijejaki dan rahsia Kesatuan terdedah. Mayat Jagat terpaksa dimusnahkan dengan cecair khas yang dibawa oleh pemburu-pemburu Kesatuan untuk menghapuskan apa-apa sahaja bukti fizikal di dalam misi mereka. Cecair itu akan bertindak balas memakan material yang bersentuhan dengannya, sehingga hilang seperti tidak pernah wujud di situ. Selama ini biasanya digunakan untuk menghapuskan senjata-senjata Pemburu yang terpaksa ditinggalkan sekiranya menganggu pergerakan seterusnya. Pertama kali ia terpaksa digunakan untuk menghilangkan jasad manusia lain, lebih-lebih lagi seorang Pemburu Terhandal.

Deimonas tidak mahu nasibnya berakhir sedemikian rupa.

Pertama kali di dalam hidupnya, dia bersusah payah, menahan sakit bukan kepalang, cuba menghilangkan diri di tengah orang ramai, lari menyelamatkan diri dari dikesan sesiapa. Pengalaman yang langsung tidak pernah dirasainya selama ini.

Semua itu membuatkan dia terasa seperti kematiannya semakin hampir.

Perasaan takut menjadi berlipat kali ganda.

“Arrgh!” Botol minuman keras dicampak ke dinding. Pecah berderai, cecair berbaki di dalamnya kini membasahi lantai.

Deimonas nekad untuk bertindak.

Yuddh tidak boleh dibenarkan mengambil kredit untuk semua kejayaan. Deimonas mesti menunjukkan bahawa dirinya masih ada gunanya untuk Kesatuan Pemburu!

“Esok aku akan buru budak sialan itu!”

Sumpah dipatri dengan dendam kesumat tertanam dalam di hati.

 

******

 

Yuddh tersenyum lebar. Wajahnya diterangi cahaya yang datang daripada tiga skrin 40 inci di hadapannya. Suasana di luar sudah bertukar gelap, sedang Yuddh tidak bangun-bangun dari kerusinya semenjak siang. Rumahnya gelap kerana Yuddh langsung tidak bergerak membuka lampu. Fokus 100% kepada kerja-kerjanya.

“Aku sudah agak, aku sudah agak! Hahaha.” Yuddh gembira bukan kepalang. Telahannya tepat.

Dia kini sedang melihat sistem data Kesatuan Pemburu, dan dapat mengesan sesuatu yang tidak kena pada sistem tersebut. Sistem data tersebut seperti sedang diselimuti dengan kod-kod yang nampak sama, tetapi ada sedikit kelainan. Cukup untuk menipu sistem seakan-akan ia beroperasi seperti biasa. Namun hakikatnya, sistem itu sedang diperhati oleh pihak luar.

Namun Yuddh tidak melakukan apa-apa.

Dia tidak mahu musuhnya tahu, bahawa dia tahu.

“Hei, seluruh ‘hacker’ di atas muka bumi ini, belum ada yang boleh lawan Yuddh, tahu.” Memorinya mengimbas kehebatan dirinya menewaskan penggodam-penggodam dari India dan Pakistan, serta bagaimana dia menggunakan skillnya untuk memporak-perandakan hubungan dua negara tersebut.

Dia pernah menggodam pengkalan data tentera Pakistan, dan mengakses persenjataan mereka, seterusnya melepaskan peluru berpandu ke arah India. Dia juga pernah menggodam pusat-pusat janakuasa di India, dan membiarkan India beroperasi selama tiga hari tanpa tenaga elektrik, seterusnya menanam bukti palsu bahawa ianya adalah tindakan provokasi daripada pemerintah Pakistan.

Ketika Yuddh merasa bosan dengan kerja-kerjanya, dia akan sengaja meninggalkan jejak langkahnya di alam data, untuk dikesan oleh pihak-pihak penggodam yang bekerja dengan kerajaan India dan Pakistan. Yuddh akan bertarung dengan mereka, dan menewaskan mereka. Sekadar untuk menunjukkan kekuatan. Pasukan penggodam dari India menyangka dia merupakan penggodam Pakistan, manakala penggodam dari Pakistan pula percaya bahawa dia merupakan penggodam India. Dan konflik antara kedua-dua negara berterusan bertahun-tahun lamanya.

Konflik di India dan Pakistan menguntungkan Barat kerana sekiranya dua negara tersebut berdamai, mereka akan menjadi hub kepada pembangunan teknologi di dunia ini. Namun apabila keadaan kedua-duanya sentiasa bergolak, bahkan sekali-sekala membawa kepada peperangan, bijak pandai yang ada di negara tersebut bertindak berhijrah ke negara barat dan berkhidmat untuk manfaat negara seperti Amerika.

“Aku tinggalkan engkau di situ terlebih dahulu.” Yuddh membiarkan sahaja penemuannya, tanpa berusaha untuk mencari sumber kod tersebut. Akan tiba masanya untuk dia menggunakan kelebihan tersebut. Tetapi bukan sekarang.

Dia tidak mahu lawannya bertindak balas dengan mengkukuhkan pertahanan, membuatkan gerak kerjanya lebih sukar. Ketika dia hendak menyerang, dia akan menyerang lawannya dengan pantas. Ketika lawannya sedar, dia sudah menang.

Yuddh tersenyum puas. Bukan mudah hendak mencari anomali di dalam sistem data Kesatunan Pemburu. Lawannya bukan calang-calang.

“Muse,” Dia yakin dia sedang memerhatikan hasil kerja bekas Pemburu tersebut. Muse dikatakan antara penggodam terbaik dalam sejarah Kesatuan Pemburu.

“Baik, sekarang…” Yuddh terus beralih kepada skrin sebelah kanan. Jari jemarinya tangkas bergerak di atas papan kekunci, memasukkan pelbagai kod. Yuddh sedang mengakses pengkalan data Kotaraya ini. Dia mahu mengawal semuanya, dari lampu isyarat, janakuasa, internet, siaran televisyen, radio, dan sebagainya.

Dia telah melakukan perkara tersebut semenjak siang tadi, seiring kerjanya dalam mencari anomali pada sistem Kesatuan Pemburu.

Satu demi satu sistem berjaya diceroboh oleh Yuddh. Sedikit demi sedikit, Yuddh semakin lama semakin mencengkam sistem Kotaraya tersebut. Tinggal Yuddh belum membenamkan kukunya yang tajam itu lagi.

Dia tahu, bila dia mula sahaja menganggu sistem-sistem tersebut, pihak bertanggungjawab akan segera melakukan serangan balas untuk menyah dirinya keluar dari sistem.

Belum masanya lagi dia bertempur. Cukup sekadar dia punya akses sahaja terlebih dahulu sekarang.

Yuddh kemudian bergalih ke skrin yang terakhir. Skrin paling kiri.

Skrin itu sedang memerhatikan pergerakan Perdana Menteri Malaysia.

Yuddh telah berjaya mengakses telefon pintar yang digunakan pemimpin tersebut. Data-data di dalamnya turut berada di dalam genggaman Yuddh.

Yuddh gelak besar di dalam kegelapan rumahnya.

“Esok, negara ini akan mula terbakar!”

 

******

 

Nazir termenung panjang. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku siang tadi.

“Negara kita sedang diancam, Saudara Nazir.”

Suara Amiri masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Sama ada kita memilih untuk berpeluk tubuh, atau melakukan sesuatu. Apakah kita mahu bertemu dengan Tuhan kita dan berkata, aku mampu sebenarnya untuk melakukan sesuatu, tetapi aku takut? Bukan satu kepulangan yang membanggakan bukan?”

                Nazir terangguk-angguk.

                Amiri merapatkan dirinya kepada Nazir.

                “Jadi, apakah Saudara Nazir sudi melaksanakan misi ini?”

                “Jadi umpan?”

                Amiri tersenyum.

Nazir akhirnya menyatakan persetujuan kepada misi tersebut. Dia diminta untuk menanti panggilan daripada pihak Inteligan Kerajaan sebelum bertindak. Namun malam ini, sebelum dia melelapkan mata untuk tidur, dia tertanya-tanya semula akan keputusannya itu.

“Apakah benar keputusan yang aku buat ini? Aku hanya wartawan.”

Amiri menyatakan bahawa memandangkan diri wartawan itu menjadi sasaran, dan nyawanya tidak berjaya diambil, maka ada baiknya Nazir menjadi umpan agar pihak yang berusaha menamatkan riwayatnya itu keluar. Ketika itu, Skuad Elit Gerak Khas akan digerakkan untuk menangkap pihak tersebut.

“Tetapi Tuan, saya fikir mereka sudah tidak berminat dengan saya. Buktinya, saya masih hidup sehingga hari ini. Tiada cubaan kedua. Saya fikir, mungkin selepas percubaan membunuh saya tempoh hari, mereka dapat melihat bahawa saya masih buntu akan identiti mereka yang sebenar. Tidak berbaloi mereka mengambil risiko mendedahkan identiti mereka, hanya untuk menamatkan nyawa saya yang tidak mampu pun memberikan ancaman kepada mereka.” Dia cuba memberikan pendapat.

                Direktor Inteligen Kerajaan tersebut hanya tertawa kecil.

                “Saudara Nazir, adalah menjadi tugas kami untuk menjadikan anda, umpan yang sangat berharga. Sehingga mereka akan sudi merisikokan diri mereka, keluar dari perlindungan.” Bahunya ditepuk beberapa kali.

                “Akan ada wakil daripada pihak kami menghubungi Saudara, bila sampai masanya. Bersedia setiap waktu dan ketika, ya?” Amiri meninggalkan kepadanya sebuah alat telekomunikasi. Kecil sahaja. Muat-muat untuk diletakkan di telinga.

Nazir menghela nafas panjang.

Ya Allah, bantulah aku. Permudahkanlah urusanku.

Nazir mengulang-ulang ayat tersebut sehingga kantuk menewaskan dirinya.

 

******

 

“Detektif Wong! Assalamu’alaikum.”

“Waalaikumusslaam Direktor.”

Mereka berjabat tangan. Senyuman terukir pada bibir detektif berketurunan cina itu. Lelaki yang berumur mencecah separuh abad, berkot hitam labuh itu, ditatap dengan rasa penuh semangat. Tambah-tambah apabila berada di pengkalan utama Inteligen Kerajaan, yang mana semua orang kelihatan masih sibuk seperti sekarang bukan tengah malam, sememangnya jiwa yang hidup untuk berjuang akan disuntik dengan kekuatan.

“Bagaimana?”

“Alhamdulillah.” Pendek Amiri menjawab.

Detektif Wong tertawa. “Itu sahaja?”

“Mungkin dia sedikit keliru dan teragak-agak. Tetapi saya yakin dia akan bersedia bila tiba masanya.”

“Bila tu agaknya?” Detektif Wong mengangkat sebelah kening.

Amiri mengangkat kedua-dua belah bahu. Tidak pasti.

“Mungkin dalam masa terdekat nampaknya.” Tangan Amiri mencapai satu alat kawalan jauh, dan menekan satu butang sambil menghalakan alat tersebut pada skrin di belakangnya. Kerusinya dipusingkan agar dirinya bertentangan dengan skrin tersebut.

Wajah seorang lelaki, berkulit gelap, bertopi, berjaket labuh, terpapar.

Detektif Wong mengerutkan dahi.

“Tuan rasa itu suspek kita?”

Amiri berpusing semula, menghadap Detektif Wong. Menggeleng.

“Orang baru, tetapi daripada pihak yang sama.”

“Bagaimana tuan tahu?”

“Selepas kita berkongsi maklumat berkenaan penyiasatan yang dilakukan oleh Nazir tempoh hari, saya telah menyusun satu pasukan untuk fokus hanya kepada mengenal pasti individu yang meragukan di setiap kemasukan ke negara ini. Dan individu ini masuk ke negara kita melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia, pagi tadi.”

Detektif Wong seperti tidak percaya. Bagaimana Inteligen Kerajaan mampu untuk mendapatkan lelaki ini? Dan apakah tepat? Apakah benar lelaki seperti di dalam skrin ini ada kaitan dengan organisasi yang dikatakan mahu memporak-perandakan negara kita?

“Ini Inteligen Kerajaan, Detektif Wong.” Amiri tertawa. “Anda sudah patut mula percaya kepada perkara yang nampak macam mustahil di sini.”

“Bagaimana Tuan yakin?”

Amiri menekan lagi alat kalawan jauh tersebut. Melihat kepada laporan peristiwa letupan di atas bumbung bangunan sebuah syarikat di tengah kotaraya, dua minggu yang lalu. Alat itu ditekan sekali lagi, dan kini skrin menunjukkan rakaman orang ramai sedang cuba menyelamatkan diri, keluar dari bangunan. Alat kawalan jauh ditekan buat kesekian kalinya, rakaman terhenti.

“Nampak?” Amiri menunjuk kepada satu individu yang sedang berkerudung. Kerudung tersebut menutup hampir keseluruhan wajah dan tubuhnya. Tetapi kelihatan seperti kerudung tersebut dibasahi darah.

“Ketika huru-hara, tiada siapa yang kisah bukan? Semua mahu menyelamatkan diri masing-masing. Padahal, mengikut laporan, tiada kecederaan yang dilaporkan, tiada kehilangan nyawa, dan tiada sesiapa yang berada di atas bumbung tersebut. Maka mengapa individu ini boleh berada dalam keadaan cedera parah? Jika dia memerlukan bantuan pasukan kecemasan untuk merawat kecederaannya, dia akan berada di dalam laporan bukan? Tetapi tiada kecederaan dilaporkan.” Amiri tersengih. Dia menekan lagi alat kawalan jauh di tangannya itu, dan kini skrin sedang menunjukkan bagaimana sistem sedang mencorakkan wajah individu di balik kerudung tersebut, menggunakan teknologi terkini.

“Perempuan.” Detektif Wong menyebut hasil perkiraan sistem tersebut.

“Ya, dan saya telah kerahkan biro pengawasan Inteligen Kerajaan untuk mencari rupa ini di dalam setiap rakaman masuk ke negara kita.”

Skrin kini bertukar kepada rakaman di Pelabuhan Klang. Kelihatan individu tadi bergerak masuk ke Malaysia.

“Apa ciri-ciri yang sama antara perempuan ini, dengan lelaki tadi?” Amiri memandang tepat ke arah Detektif Wong.

“Kedua-duanya berusaha sebaik mungkin mengelak kamera keselamatan, dan kedua-duanya tidak membawa apa-apa langsung.”

Amiri tersenyum lebar.

“Ya.”

“Jadi telahan Nazir itu betul?”

Amiri mengangguk.

“Negara kita sedang diancam, Detektif Wong. Rakan wartawan kita itu nyata punya intuisi yang tepat.”

Detektif Wong memandang kepada skrin, yang kini mempaparkan wajah perempuan dan lelaki yang disyaki itu, sebelah menyebelah.

Apa yang sedang berlaku di negara ini?

“Jadi apa yang Tuan mahu sampaikan kepada saya, dalam pertemuan ini?” Detektif Wong bertanya. Dia dipanggil ke mari pasti bukan atas tujuan yang sia-sia.

“Pertama adalah untuk mempamerkan pembentangan tadi.” Amiri bangun dari kerusinya, dan bergerak mendekati Detektif Wong.

“Kedua, saya mahu pasukan polis Kotaraya untuk bersiap sedia menangkap individu-individu ini, dan sesiapa yang terlibat dengan mereka. Inteligen Kerajaan perlu mengeluarkan maklumat daripada mereka, untuk mengetahui dengan siapa mereka bekerja.”

Detektif Wong terus mengangkat tabik.

“Saya dengar dan saya taat, Tuan!”

Amiri membalas tabik tersebut.

“Semoga Allah bersama-sama kita.”

 

******

 

Bakri tidak dapat melelapkan matanya. Perkongsian bapanya sebentar tadi membuatkan dia berfikir panjang. Dia sekadar berbaring di atas katil di bilik tidurnya, dan menatap siling.

Dia cuba menyelami perasaan bapanya. Menghayati apa yang telah dilalui oleh lelaki itu. Tetapi ternyata dia tidak dapat benar-benar merasainya. Dia hanya boleh meneka, betapa susahnya menjadi seorang Mustafa, yang perlu melarikan diri dari sejarah seorang Muse, kini berusaha pula menentang sejarah lamanya itu.

Kadangkala bila difikirkan semula, dia tidak pernah benar-benar menghayati kehidupan bapanya. Dia seperti gagal untuk benar-benar menghargai perit jerih seorang Mustafa.

Apa yang bapanya kongsikan sebentar tadi sangat-sangat menyentap jiwanya. Hingga bicaranya mati. Apabila bapanya telah berhenti bercerita, mereka sekadar berpelukan dan masing-masing pergi ke bilik tidur masing-masing tanpa apa-apa kata.

Bakri mengangkat tangan kanannya. Pembalut dibuka perlahan-lahan. Tangan itu dikepal beberapa kali. Kemudian kembali direhatkan di atas katil.

Selama ini dia boleh dikatakan sekadar mengikuti sahaja bapanya.

Dia menyertai perjuangan ini kerana hubungannya yang amat rapat dengan Mustafa. Sebagai anak yang mengetahui bahawa ibunya dibunuh oleh sekumpulan orang jahat, dan melihat bagaimana mereka asyik berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat selepas itu, semestinya menjadi fitrah buat dirinya untuk punya rasa simpati kepada bapanya.

Maka tatkala bapanya mengajak dirinya untuk bersama-sama menentang Kesatuan Pemburu, walaupun ketika itu dia tidak benar-benar tahu akan aakah organisasi tersebut, sudah pasti dia akan menyatakan ya.

Walaupun bapanya berulang kali cuba menanamkan di dalam dirinya tujuan sebenar terhadap perjuangan mereka, dia tetap akhirnya, sekadar mengikuti bapanya.

Namun perkongsian bapanya sebentar tadi membuka mata.

Untuk bapanya, itu merupakan kisah hitam yang mengubah kehidupannya.

Dosa besar yang dirasakan tidak terpadam.

Tetapi bagi Bakri, apa yang dikongsikan itu memberikan makna baru kepada perjuangan yang sedang digalasnya.

Buat dia sekarang berfikir panjang.

Novel Pemburu: Bab 7 – Tenang Sebelum Badai

sh_hacker-in-hoodie1500px

Mustafa mengangkat pemberat menggunakan tangan kanan buat kesekian kalinya. Peluh sudah membasahi tubuh. Pakaiannya dibasahi keringat. Tetapi dia tetap meneruskan. Walaupun dia tidak lagi mampu bergerak tangkas, Mustafa tetap rajin menjaga tubuhnya. Dia tetap berlatih setiap hari, terutama kedua-dua tangannya. Walaupun tangan kirinya tidak sekuat tangan kanannya, akibat kecederaan yang dikenakan Jaeger sekitar 15 tahun yang lalu.

Malam tragedi tersebut, dia mengerah seluruh kekuatannya untuk berlari menghilangkan diri sejauh yang boleh. Bukan kerana dia pengecut, tetapi kerana di belakang tubuhnya pada malam itu ada Bakri, anak yang amat dicintai. Boleh sahaja dia bersembunyi di tempat berdekatan, merawat lukanya terlebih dahulu, kemudian menyerang balas. Dia boleh melakukannya. Dan dia lebih sudi mati dari melarikan diri. Dia tahu, sekiranya lukanya pada malam itu tidak dirawat segera, akan memberikan kesan buruk terhadap dirinya sendiri.

Tetapi dia sudi mengorbankan maruah dan tubuhnya, untuk anak yang tercinta.

Namun hari ini, anak yang sangat dicintainya itu, sedang marah kepadanya. Sudah lebih dua minggu, mereka tidak berbicara mesra, melainkan berbasa-basi. Bila Mustafa cuba berbicara, Bakri hanya menjawab sepatah dua. Sinergi antara mereka hilang.

Pemberat diletak pada tempatnya. Mustafa bergerak ke lapang sasar. Sepucuk pistol diambil. Tembakan lurus dilepaskan. Kemudian Mustafa menghayun tangan kanannya itu, sambil melepaskan tembakan seterusnya, melakukan tembakan lencong. Peluru melayang bengkok, mendarat pada papan target yang sama.

Senjata itu bertukar tangan. Mustafa cuba melakukan tembakan lurus. Tetapi tangan kirinya itu bergetar kuat. Tembakan dilepaskan, namun pelurunya tidak masuk ke papan sasar. Mustafa cuba hendak melakukan tembakan lencong, tetapi tangan kirinya tidak dapat dihayun dengan baik. Mustafa membatalkan hasrat melakukan tembakan tersebut.

Perlahan-lahan dia bergerak ke papan sasar.

Dua tembakan yang mengenai papan tersebut pun, tidak jatuh tepat di tengah-tengah. Mustafa menghela nafas. Kepalanya tunduk sebentar sementara tangan kiri direhatkan di atas papan sasar tersebut.

Orang yang melihatnya sekarang, sudah pasti tidak percaya bahawa dia adalah antara Pemburu Terhandal bagi Kesatuan Pemburu.

Mujur antara aset terpenting bagi dirinya ialah kegeniusan. Sesuatu yang tak dapat diambil sesiapa melainkan dengan kematiannya. Dengan minda yang dia ada, tanpa ketangkasan tubuh badan, dia masih mampu menjadi ancaman kepada Kesatuan Pemburu.

Organisasi yang telah ditinggalkannya 20 tahun yang lalu.

Kerana dia telah bertemu dengan kebenaran. Pandangannya telah dibuka. Semuanya bermula dengan sebuah misi yang kemudian bertukar menjadi titik tolak kepada perubahan diri.

Kisah hitam yang menjadi permulaan kepada pemberontakannya terhadap Kesatuan Pemburu.

Kisah hitam yang tidak mahu dilawati semula.

Perlahan-lahan air mata mengalir membasahi pipi Mustafa. Dia sendiri tidak dapat menafikan bahawa di sebalik keteguhan diri seorang Pemburu, dan kecekalan menghadapi segala apa yang telah dia harungi sehingga ke hari ini, dia hanya seorang manusia.

Akhirnya kepada Allah jualah dia mengadu akan segala masalahnya.

Air mata diseka.

Mustafa meluruskan kembali tubuh badannya, sebelum bergerak ke komputer. Dia duduk di situ, memerhati berita, akhbar, juga beberapa tayangan kamera keselamatan dari pelbagai tempat yang penting. Rutin hariannya.

Dia amat yakin yang Kesatuan Pemburu telah menghantar pemburu yang baru selepas peristiwa tempoh hari. Kematian salah seorang dari barisan Pemburu Terhandal bukan perkara yang diambil mudah oleh organisasi tersebut. Bahkan kematian agen biasa pun mereka akan segera mengambil tindak balas. Apatah lagi bagi kematian pemburu terhandal mereka.

Mustafa dalam masa dua minggu ini telah berusaha untuk menceroboh ke dalam sistem data Kesatuan Pemburu. Namun dia mengambil masa yang agak lama kerana sistem tersebut tersangat kukuh, dan dia pula ingin memecah masuk tanpa mereka ketahui. Bukan satu kerja yang mudah. Tetapi Mustafa sudah melakukan kira-kira.

Mustafa sangat arif dengan prosedur pergerakan Kesattuan Pemburu. Apabila mendapat berita akan kematian Jagat, sebelum menggerakkan Pemburu baru untuk menyelesaikan masalah, sudah pasti kepimpinan Kesatuan Pemburu akan bermesyuarat sesama mereka. Dan biasanya mesyuarat itu akan mengambil masa beberapa hari, kerana mereka adalah organisasi yang sangat kalkulativ. Pelbagai kemungkinan diambil kira, sebelum keputusan yang dipersetujui semua dapat dihasilkan.

Kematian salah seorang dari barisan Pemburu Terhandal akan membuatkan mereka tidak memilih pemburu baru yang biasa, melainkan dari barisan Pemburu Terhandal juga. Dan itu akan menambah masa lagi, kerana semua Pemburu Terhandal mempunyai misi di serata dunia. Untuk memastikan mereka meninggalkan misi sebelumnya dalam keadaan yang baik, kemudian perlu bergerak pula ke Malaysia ini, akan mengambil masa beberapa hari lagi.

Mustafa menggunakan masa itu semua, untuk memecah masuk ke dalam sistem Kesatuan Pemburu menggunakan algorithm yang telah dibinanya sendiri. Dia mengambil masa yang tidak sedikit membina algorithm tersebut. 5 tahun. Di sampaing dia perlu membuat banyak penambah baikan, seiring pemerhatiannya terhadap sistem data Kesatuan Pemburu.

Hari ini sepatutnya, dia berjaya.

Mustafa melihat sebuah skrin kecil, yang sedang menunjukkan proses penggodaman tersebut. Mustafa menyentuh pada pad yang terdapat bersebelahan papan kekunci, menggerakkan kursor ke arah skrin kecil tersebut, menariknya pergi ke skrin gergasi. Kini ia terpapar pada skrin yang besar.

99.5%

100%

Skrin tersebut kini bertukar kepada ‘interface’ sistem data Kesatuan Pemburu. Berjaya!

“Alhamdulillah.” Mustafa tersenyum. Sedikit sebanyak keadaan ini menghiburkan dirinya.

Algorithm yang dibina menjadikan sistem itu dapat ditipu, seakan-akan Mustafa ialah Kesatuan Pemburu. Kesatuan Pemburu tidak akan dapat mengesan bahawa ada pihak lain sedang memerhatikan sistem data tersebut.

Tinggalnya sekarang, Mustafa tidak boleh melakukan apa-apa. Dia tidak boleh menggunakan sistem tersebut. Kerana sekiranya dia menggunakannya, Kesatuan Pemburu akan tahu dan dapat mengesan lokasinya dengan segera dan tepat.

Apa yang bakal dilakukannya ialah sekadar memerhati.

Kesatuan Pemburu sangat bergantung kepada sistem data ini untuk menggerakkan pemburu-pemburunya di seluruh dunia. Walaupun Mustafa terbatas hanya kepada memerhati, Mustafa sangat yakin bahawa Kesatuan Pemburu akan berkomunikasi dengan pemburu-pemburunya, juga mengesan lokasi di mana pemburu-pemburu itu berada, lantas mendedahkan banyak maklumat penting yang memberi kelebihan kepada Mustafa.

Kini Mustafa meneruskan pemerhatian.

Kesatuan Pemburu sedang berkomunikasi dengan pemburu-pemburu mereka di pelbagai lokasi. Skrin itu mempamerkan peta dunia. Tanda Kesatuan Pemburu sedang memerhatikan semua pemburu mereka. Setiap titik pada peta tersebut, menunjukkan seorang Pemburu.

Majoriti mereka sedang bertaburan di Timur Tengah.

Mata Mustafa terus tertumpu ke Malaysia.

“Yuddh.”

Dia dapat melihat kod nama di atas tanda yang terdapat di Malaysia tersebut, bersebelahan dengan tanda bernama Deimonas. Mustafa tahu berkenaan Yuddh. Pemburu berasal dari India, dan antara misi utamanya ialah memastikan hubungan antara India dan Pakistan terus berada dalam keadaan yang tidak baik, dan sentiasa berusaha memastikan Pakistan terus bergolak.

Kehadiran Yuddh menandakan bahawa Kesatuan Pemburu masih tidak mengalihkan tumpuan mereka untuk memporak perandakan Malaysia. Perdana Menteri dan Gabenor Bank Negara nampaknya masih menjadi sasaran utama mereka.

“Dia sudah sampai ya?” Mustafa tersenyum sendiri. Berdasarkan itu sahaja, dia sudah dapat membuat beberapa jangkaan, dan terbentang di dalam kepalanya beberapa perancangan.

Pada peta ini, tidak tergambar secara tepat di mana lokasi mereka berdua, kerana sedang dipaparkan dalam bentuk peta seluruh dunia. Namun hanya dengan data tersebut, Mustafa mampu memberikan dirinya lebih dari itu.

Skrin gergasi dibiarkan, Mustafa pergi kepada beberapa skrin kecil dan menjalankan diagnostik kepada signal yang dikeluarkan daripada peta tersebut. Selepas beberapa minit, signal daripada peta pada skrin gergasi itu, berjaya ditiru dan  kemudian difokuskan hanya kepada petanda yang mewakili Yuddh dan Deimonas.

Signal tersebut kemudiannya diletakkan pada sebuah skrin kecil, dan peta Malaysia yang lebih terperinci, keluar. Mustafa memasukkan beberapa kod, kemudian sistem komputernya mula bergerak mengesan signal tersebut di negara ini.

Selepas beberapa minit, lokasi Deimonas dan Yuddh terdedah.

Senyuman Mustafa melebar.

“Pukulan kedua.”

 

******

 

 

Atas bawah Yuddh memandang. Selepas menggeleng, dia bergerak terus ke arah sofa. Deimonas tidak dipedulikan.

“Kau hina aku ya?” Suara Deimonas meninggi.

Yuddh memerhatikan rumah mewah yang bakal menjadi tempat penginapannya di Malaysia ini. Luas. Reka dalamnya menarik. Lebih penting, Yuddh dapat melihat komputer yang lengkap dengan segala peralatannya terdapat di sudut ruang tamu tersebut. Benar, semua telah tersedia.

Yuddh bangkit dan bergerak ke situ. Kerusi ditarik dan punggung dilabuhkan. Komputer itu telah tersedia hidup. Yuddh terus melaksanakan kerja-kerjanya.

Deimonas dibiarkan begitu sahaja. Seakan tidak wujud.

“Kurang ajar!” Deimonas bergerak ke arah Yuddh. Apabila telah hampir, dia terus melepaskan tumbukan. Tetapi dielak bersahaja oleh Yuddh, dalam keadaan masih duduk. Yuddh kemudian memusingkan kerusinya, menendang kaki Deimonas, dan apabila lutut Deimonas bertemu dengan lantai, Yuddh melancarkan satu lagi tendangan, tetapi kali ini kakinya itu dihentikan sebelum menyentuh pipi Deimonas.

Deimonas membesarkan mata.

“Engkau tidak nampak keadaan diri kau?” Yuddh bersuara. Rendah, tetapi penuh ketegasan.

Separuh dari wajah Deimonas sudah terbakar. Kini meninggalkan parut yang hodoh. Kejelitaannya diragut. Begitu juga sebahagian besar tubuhnya. Sehingga hari ini, dia masih terasa kesakitan akibat terkena letupan dari jarak dekat tempoh hari. Dia masih belum sembuh sepenuhnya. Mungkin itu antara sebab mengapa Yuddh kelihatan lebih tangkas daripadanya hari ini.

Yuddh menurunkan kakinya. Kemudian menggerakkan kerusi, kembali menghadap komputer.

“Engkau tidak aku perlukan di sini. Berambus.”

Deimonas perlahan-lahan bangkit, dengan penuh rasa terhina. Berpaling.

“Engkau juga akan menerima nasib yang sama, bahkan mungkin lebih teruk.” Deimonas menyumpah.

“Heh.” Yuddh tidak pun memandang Deimonas.

Wanita itu keluar.

“Macam anjing kurap.” Yuddh menghina. Deimonas sebelum ini merupakan antara Pemburu yang digeruni, hatta di dalam Kesatuan Pemburu itu sendiri. Pakar serangan hendap.

Ketika itu, Deimonas, seperti kebanyakan Pemburu handal yang lain, cukup angkuh dan terlebih yakin akan kebolehan diri. Keangkuhan yang hanya bagus sekiranya dia kekal berjaya. Namun apabila kecelakaan menimpa diri, tiada siapa mahu merasa belas kasihan, bahkan bekerjasama dengannya.

“Ini peluang untuk aku membuktikan yang aku lebih baik.”

Yuddh memulakan gerak kerjanya.

Antara kepakaran utama Yuddh ialah penggodaman komputer. Dia boleh dikatakan sebagai penggodam terhebat di dalam Kesatuan Pemburu sekarang.

Ada kemungkinan, misi-misinya di Malaysia ini, akan selesai sebelum dia menjejakkan kaki keluar dari bilik ini.

Yuddh ketawa.

Rancangan di dalam kepalanya difikirkan solid.

Yuddh tidak dapat mengawal dirinya dari memikirkan apakah ganjaran yang bakal diperolehi, dan bagaimana statusnya di dalam Kesatuan Pemburu bakal melonjak, tatkala misi di Malaysia ini berjaya diselesaikan olehnya.

Lantas dia ketawa terbahak-bahak, sambil jari-jemari pantas menari di atas papan kekunci.

 

******

 

“Bakri,” Suara Fatihah kedengaran, membuatkan Bakri segera berpaling. Kuliah baru sahaja selesai, dan itu merupakan kuliah terakhir hari ini. Bakri mahu bergerak pulang, tetapi suara Fatihah menjadikan langkahannya terhenti.

“Ya?” Bakri mengangkat kening, menurunkan ‘earphone’.

Fatihah mendekatinya, ditemani Salma. Apabila jarak tinggal sekitar sedepa, mereka berhenti.

“Nah, terima kasih.” Payung pemberiannya tadi, dikembalikan.

“Ah,” Bakri tersenyum. Payung itu dicapai.

“Masih macam mendung ni. Tak apa ke? Awak tak ada payung kan?” Bakri memerhatikan payungnya sebentar, sebelum kembali memandang Fatihah.

“Tak apa, saya boleh tumpang payung Salma.” Fatihah menunjuk kepada rakannya itu. Salma sekadar tersenyum sambil mengangkat payung pada tangannya.

Bakri mengangguk-angguk. “Baiklah. Saya pergi dulu.” Bakri berpaling dan membuka langkah.

“Wow, tak sangka ya dia nampak ‘macho’ betul bila berbicara.” Salma menepuk-nepuk Fatihah.

“Dah yang kau tepuk aku macam tu kenapa?” Fatihah menyiku Salma, sambil matanya tidak lepas dari melihat Bakri.

“Yang kau masih duk tengok dia tu, kenapa?” Salma membalas.

Wajah Fatihah terasa panas, pantas dia berpaling.

“Ah, ini mesti dah jatuh hati ni.” Salma terus menyakat.

“Hish, mana ada.” Fatihah memuncungkan mulut.

Tanpa disedari mereka berdua, ketika ini, Bakri berpaling melihat Fatihah dan Salma, sebelum kembali memandang ke hadapan dan mengukir senyuman.

Entah kenapa, dia terasa senang hati dengan interaksi tersebut.

“Ah, apa yang aku fikirkan ni.” Bakri menegur dirinya sendiri.

Segera diambil ‘earphone’ yang terjuntai pada dadanya, untuk disumbatkan semula ke telinga. Tetapi tindakannya itu terhenti apabila sebuah kereta lamboghini muncul di atas jalan bersebelahan bangunan yang menempatkan dewan kuliahnya itu. Bakri mengerutkan dahi, kerana kereta itu menghalang laluannya. Dia perlu merentas jalan tersebut, pergi ke bangunan sebelah, sebelum boleh sampai ke jalan yang bakal membawanya keluar dari kawasan universiti ini.

Pintu kereta terbuka.

“Assalamu’alaikum!” Kelihatan Amir Faheem, bercermin mata hitam, dengan senyuman lebar, mengangkat tangan kepadanya dari tempat pemandu.

“Waalaikumussalam.” Dan Bakri dapat merasakan, semua yang berada di kawasan itu, sedang memerhatikannya.

“Marilah masuk.” Amir Fahim mempelawa.

Bakri segera masuk ke dalam kereta mewah tersebut. Mereka berjabat tangan.

“Tiba-tiba aja ni, bang.” Bakri melihat kepada Afam.

Afam tertawa. “Alah, habis kerja awal hari ni. Teringat pula Abang kepada Bakri. Jom pergi makan. Laparlah.”

Bakri tersenyum. “Jom.”

Dia kini membahasakan Afam sebagai abang. Walaupun ini baru kali ketiga mereka bersua muka, dia sudah banyak kali berbicara dengan Afam melalui internet dan telefon. Hampir setiap hari mereka bersembang.

“Tak beritahu kata nak datang.” Bakri bersuara, kereta kini telah keluar dari perkarangan universiti.

“Ah, tak ada dalam plan pun sebenarnya.”

“Eleh, ya ya je. Mesti Ayah suruh Abang datang kan?”

Afam tertawa. “Aduh, kantoi.” Sebelah tangan menepuk dahi.

Bakri tertawa melihat ulah Afam itu.

“Tapi sebenarnya sebab memang ada masa. Memang sentiasa ada hajat nak berjumpa dengan Bakri lagi. Tinggalnya, bila Ayah Bakri minta tolong tu, buat Abang rasa sekaranglah masanya.”

“Jadi, Abang dah tahu?”

Suasana di dalam kereta menjadi senyap seketika. Afam perlahan-lahan mengangguk.

“Saya cuma merasakan yang Ayah tidak                patut merahsiakan perkara tersebut daripada saya. Saya ada hak ke atas tubuh badan saya!” Bakri melepaskan pandangannya ke luar.

Mereka kini sudah masuk ke tengah kotaraya.

“Benar, tetapi mungkin Ayah Bakri risau sekiranya Bakri tidak mampu menerima kenyataan. Sedangkan dia sangat memerlukan Bakri di dalam perjuangan ini. Siapa lagi yang boleh dia harapkan?” Sebelah tangan Afam mencapai bahu Bakri.

Bakri menghela nafas lemah.

Tangan Afam kembali kepada stereng.

“Sebenarnya abang yakin yang Bakri pun faham dan mampu menerima kenyataan. Bakri sendiri sedar apa yang Bakri dan Ayah Bakri sedang usahakan, memerlukan pelbagai jenis pengorbanan. Mungkin ini adalah salah satu daripadanya.” Afam terus berbicara.

Mereka kini bergerak melepasi Masjid Utama. Suasana redup dek mendung, dan jalan raya masih kelihatan basah, sedikit berlecak.

Bakri menyilang tangan pada dada.

“Dahulu, Abang pun sering memarahi arwah ayah Abang. Abang tak faham apa yang dia lakukan sepanjang kehidupannya, sehingga sedikit sebanyak mengabaikan abang. Abang hidup dalam keadaan memberontak, dan cuba lari daripada hidup menyerupai ayah Abang itu. Hingga selepas kematiannya, Abang masih terasa seperti Ayah Abang menghantui kehidupan Abang, dengan memaksa Abang berkahwin dengan orang yang punya ciri-ciri yang disukainya, bukan disukai oleh Abang.” Panjang Afam membuka cerita.

Bakri mendengar khusyuk.

“Bahkan, Abang kemudian berada di tengah-tengah pertembungan antara kumpulan yang disertai oleh Ayah Abang dan seteru mereka. Sedar tidak sedar, Abang seakan-akan meneruskan perjuangan Ayah Abang. Boleh bayangkan tak?” Afam tertawa kecil. Mungkin ada memori yang melucukan, membuatkan dia tertawa ketika menceritakan kisahnya.

“Ketika dalam perjalanan itulah, Abang mula sedar apa yang sebenarnya Ayah abang usahakan. Kenapa dia terpaksa korbankan sebahagian besar masanya untuk kerja-kerjanya berbanding lebih banyak meluangkan masa bersama Abang.”

Bakri memandang Afam. Dia dapat mengesan ada nada sebak.

“Alhamdulillah, pengalaman duduk di dalam perjuangan tersebut, ditambah dengan isteri yang solehah, Abang dapat ubah kehidupan abang ke arah yang lebih baik.” Afam memandang Bakri. Nada bertukar ceria.

“Kadangkala bapa kita, disebabkan pelbagai sebab, tidak sempat menceritakan kepada kita semua perkara, Bakri. Namun yakinlah, mereka mempunyai niat yang baik. Belum terbuktikah lagi kasih sayang Ayah Bakri kepada Bakri, sehingga Bakri tidak dapat memaafkannya?” Afam menyambung.

Bakri memandang ke hadapan. Memerhatikan kenderaan yang dinaikinya mendekati sebuah restoran. Antara restoran ternama di Kotaraya ini. Restoran Tarbawi. Terkenal dengan makanannya yang halalan toyyiban, sedap, harga berpatutan, servis yang sangat baik, suasana yang sangat tenang.

“Kita makan di sini?”

“Yep.” Afam memakirkan kereta pada tempat kosong. Belum waktu balik kerja, jadi masih ada beberapa tempat kosong. Dikatakan restoran ini, sentiasa penuh dari waktu petang sehingga tengah malam.

Bakri keluar dari kenderaan. Bergerak mendekati Afam, sebelum kedua-dua mereka menuju ke tangga restoran.

“InsyaAllah pulang ini, saya akan berbicara dengan Ayah.” Perlahan Bakri bersuara.

Afam memaut bahu Bakri sambil tersenyum.

“Berkenaan masalah Bakri itu, jangan risau. Teknologi berkembang, dan mungkin, sekiranya kita terus sabar dan cekal, bersangka baik kepada Allah SWT, akan ada penyelesaiannya kelak. Siapa tahu.” Afam positif.

Bakri mengangguk, bersetuju.

Mereka sama-sama melangkah masuk ke Restoran Tarbawi.

“Fokus kepada perkara yang lebih besar. Dan memang biasanya Bakri, perkara yang lebih besar itu, membuatkan kita terpaksa mengabaikan kepentingan diri.” Bahu Bakri ditepuk beberapa kali, sebelum Afam menarik kerusi memersilakan Bakri untuk duduk terlebih dahulu.

“Assalamu’alaikum Tuan Amir Fahim.” Suara seorang pelayan wanita, bertudung labuh, berpakaian pelayan yang kemas, menyapa sebaik sahaja Afam melabuhkan punggung.

Afam menjawab salam sambil melemparkan senyuman manis.

Pesanan mereka diambil.

Perbualan mereka selepas itu keluar dari permasalahan Bakri, pergi kepada pelbagai isu yang lain.

 

******

 

“Bagaimana?”

“Bagaimana apa?”

“Pandangan engkau terhadap keadaan terkini kita.”

“Aku sudah nyatakan di dalam mesyuarat tempoh hari bukan? Kita perlu terus bergerak dalam keadaan tenang dan efisyen. Tidak boleh dikuasai emosi. Antara perkara terpenting yang kita patut belajar daripada kematian Jagat, ialah itu.”

Tertawa.

“Untuk setiap sesuatu, ada waktu untuk pertama kali.” Ayat itu disebut.

“Adakah engkau mahu mengejek aku?” Nadanya bertukar sedikit garang.

“Bukan, aku sekadar mengingatkan yang kita berhadapan dengan cabaran besar. Cabaran yang sepatutnya, boleh engkau hapuskan satu ketika dahulu.”

“Heh. Kita ada lebih banyak urusan lain yang lebih penting!”

“Tengok apa yang berlaku sekarang?!”

Senyap.

“Kita masih belum tewas, dan tiada siapa dapat menjamin sekiranya kita menumpukan 100% fokus kita padanya 15 tahun yang lepas, kita tidak akan mempunyai masalah sebegini pada hari ini!”

“Engkau tetap mahu berlagak tenang ya. Apa engkau pernah fikir nasib kita sekiranya semua ini tumbang?”

“Yang engkau seperti cacing kepanasan itu, mengapa?”

Senyap lagi.

“Aku tahu apa yang aku lakukan.”

“Terpulang. Aku sekadar mengingatkan. Engkau mungkin dapat berlagak tenang di hadapan kami semua. Tetapi aku tahu engkau sebenarnya sudah dapat melihat hasil daripada apa yang engkau tanam dahulu.”

“Aku tetap tidak akan mengubah apa-apa.”

Alat komunikasi dimatikan.

Dia termenung panjang. Alat komunikasi diangkat semula, dan kini dia menghubungi seseorang.

“Adzim.”

“Ya Tuan.”

“Aku perlukan engkau bersedia.”

“Baik.”

Dia perlu melakukan sesuatu.

Novel Pemburu: Bab 6 – Apa Selepas Ini?

joule-banner-image

Suasana Lapangan Terbang Antabangsa Malaysia sesak dengan manusia. Merupakan antara lapangan terbang terbesar di dunia dan merekodkan jumlah penerbangan yang juga antara tertinggi. Keadaan ini dipacu oleh kepesatan sektor perlancongan dan juga perniagaan, yang menjadikan Malaysia antara lokasi terpenting dunia hari ini.

Lapangan Terbang ini telah menggantikan fungsi yang pernah disandang oleh KLIA & KLIA2, dengan sistem yang lebih cermat dan moden, keluasan yang lebih besar, keselesaan yang tinggi, serta pengurusan yang lebih profesional. Semenjak dirasmikan 7 tahun yang lepas, lapangan kapal terbang ini telah mendapat pelbagai anugerah berprestij di peringkat antarabangsa, tanda kompetensi yang diakui pelbagai pihak.

Seorang lelaki bertopi, berkulit gelap, rambut panjang mencecah bahu, bertubuh besar tetapi tegap, berjaket labuh berseluar jeans, baru sahaja keluar dari kawasan ketibaan untuk penerbangan antarabangsa bersama kebanyakan penumpang lain yang baru tiba dari pelbagai lokasi. Menariknya, dia satu-satunya individu yang tidak membawa apa-apa bagasi.

Tenang berjalan menyeluk kedua-dua tangan di jaket, merentasi hiruk-pikuk suara ramai yang kegembiraan bertemu kenalan atau keluarga masing-masing di kawasan tersebut.

Dia berjalan keluar, sambil sekali-sekala melirik keadaan sekeliling.

Sampai sahaja dia di luar, sudah dapat dilihat kenderaan mewah dan orang yang ditugaskan untuk menyambutnya. Perasan akan kehadirannya, seorang lelaki berkemeja penuh, terus membuka pintu belakang kereta.

“Silakan Tuan Yuddh.”

“Agen.” Dia menundukkan kepalanya sedikit, sambil memegang topi, sebagai tanda menghargai lelaki tersebut. Kemudian masuk ke dalam kereta.

Sebentar kemudian, dia telah jauh meninggalkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia.

“Tidak bawa apa-apa bagasi tuan?” Agen lelaki tersebut bertanya sambil pandangan kekal fokus pada jalanraya.

Yuddh tersenyum, tetapi kelihatan hambar sedikit. “Bukan nak bercuti kan?”

Agen lelaki tersebut tidak memberikan apa-apa reaksi. “Semua barang keperluan Tuan sudah disiapkan. Begitu juga tempat tinggal dan kenderaan jika diperlukan.”

Yuddh mengangguk. Memandang ke luar tingkap. Melihat suasana Malaysia. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke negara ini. Tetapi amat arif akan keadaannya, hasil kajian dan pembacaan, juga penelitian di alam maya. Tambah-tambah, beberapa taklimat daripada Kesatuan Pemburu, membuatkan dia tambah maklum. Seakan-akan dia merupakan anak watan negara ini.

“Jagat, Deimonas, apa yang sudah berlaku?” Terpacul ayat tersebut, perlahan.

Berita kematian Jagat dan kecederaan Deimonas telah tersebar meluas di dalam komuniti Kesatuan Pemburu.

Ketua mereka dalam keadaan marah yang teramat, walaupun ketika taklimat yang diperolehinya baru-baru ini, nada pemimpin Kesatuan Pemburu tersebut tetap kedengaran tenang. Tetapi bahang amarah dapat dirasai melalui keseriusan yang seperti meningkat beberapa kali ganda dari kebiasaan.

“Jika engkau gagal Yuddh, dan nyawa engkau belum melayang ketika itu, jangan anggap dirimu sebahagian daripada organisasi ini.”

Kematian Jagat sekitar dua minggu yang lalu bukanlah kematian pertama di dalam Kesatuan Pemburu. Tetapi ianya adalah kematian pertama di kalangan barisan Pemburu terhandal organisasi itu. Dan ini memberikan pukulan yang sangat kuat kepada kepimpinan organisasi.

Dia dipanggil keluar daripada misi sebelum ini di sempadan India & Pakistan, walaupun ianya belum selesai, untuk datang ke mari, menggalas misi yang sepatutnya disempurnakan Jagat dan Deimonas. Memberikan tolakan akhir untuk membawa huru-hara kepada pemerintahan di negara ini, dan juga menamatkan usaha mensabotaj misi tersebut daripada penyerang misteri.

Persoalannya sekarang, berdasarkan maklumat terkini yang diberikan Deimonas, penyerang itu berkomunikasi dengan seseorang, menggunakan gelaran ‘Ayah’. Tetapi penyerang tersebut digambarkan mempunyai kebolehan seperti seorang Pemburu. Ini menjadi masalah apabila jangkaan asal Kesatuan Pemburu ialah bahawa penyerang itu merupakan Muse, seorang Pemburu veteran yang bertindak keluar dari organisasi tersebut sekitar 20 tahun yang lepas. Pemburu tidak boleh melahirkan anak. Semua Pemburu adalah mandul. Jika dia tidak mempunyai hubungan dengan Muse, itu telah menjadi satu masalah yang baru, bahkan lebih besar. Siapa yang melatih dan menjadikannya seorang Pemburu? Apakah organisasi ini ada seorang lagi pengkhianat?

Dalam sejarah ribuan tahun Kesatuan Pemburu, Muse adalah pengkhianat yang pertama bagi organisasi tersebut. Kesatuan Pemburu tidak boleh mempunyai pengkhianat, kerana antara kekuatan utama organisasi itu ialah kerahsiaan, kemisterian. Itu yang menjadikan mereka tidak tertanding selama ini.

Kewujudan tentangan yang sedang dihadapi sekarang, sedikit sebanyak memberikan gangguan kepada kelancaran untuk mencapai matlamat yang dihajati Kesatuan.

Jika pergerakan mereka tidak terganggu, sekarang Malaysia sudah berada dalam keadaan huru-hara kerana ketidakstabilan politik. Ketidakstabilan politik akan membawa kelemahan kepada negara. Paling penting, ia juga dapat memberikan ruang yang banyak untuk intervensi-intervensi daripada kuasa besar yang lain, lebih-lebih lagi apabila boneka-boneka berjaya disusup ke dalam pemerintahan dan mereka yang mencari bantuan kuasa besar tersebut, untuk memastikan diri mereka kekal berkuasa.

Mereka telah berjaya melakukannya sebelum ini di pelbagai negara,  terutama di Timur Tengah.

Tetapi entah mengapa Malaysia ini, mungkin ada kesialan di tanah ini, nampak seperti sedikit liat untuk ditumbangkan.

Panjang Yuddh mengelamun. Kini mereka telah masuk ke tengah Kotaraya. Yuddh tidak dapat menyembunyikan rasa kagum dengan kemajuan yang ada di sini. Membacanya dari pelbagai sumber, tidak sama dengan melihat dengan mata kepala sendiri.

“Islam sebagai cara hidup” Ayat itu terkeluar daripada mulut Yuddh.

Itu apa yang dia dapat terjemahkan daripada Kotaraya ini.

Dia ada ilmu berkenaan Islam, bahkan dia antara Pemburu yang benar-benar mendalami agama tersebut. Yuddh tahu akan keseimbangan yang cuba dibawa oleh Islam dalam kehidupan seorang manusia. Mengejar apa yang mereka percaya sebagai akhirat, kehidupan selepas mati, namun pada masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab di atas dunia ini, sebagai khalifah, yakni pemimpin.

Kotaraya ini seakan-akan mempamerkan keseimbangan tersebut.

Yuddh semakin faham akan mengapa Kesatuan Pemburu benar-benar mahu mengalih hala tuju negara ini.

Negara ini negara yang benar pada bicaranya. Islam bukan hanya pada nama. Segala propaganda asing berkenaan keburukan Islam, kekolotan Islam, kezaliman Islam, keganasan Islam, ternyata dapat dibasmikan dengan melihat negara ini. Akhirnya tuduhan-tuduhan yang mampu dilemparkan kepada agama tersebut, hanya berbaki perkara-perkara yang tidak masuk akal, atau sekadar emosi kosong.

Ini satu kebahayaan.

“Kita sudah sampai, Tuan.”

Kereta diparkir pada tempat letak kereta di sebuah pangsapuri mewah.

“Tingkat 56 tuan. Cik Deimonas berada di sana.” Sekeping kad diletakkan pada telapak tangan Yuddh.

“Dia tinggal bersama aku?” Yuddh mengerutkan dahi. Tidak selesa. Dia gemar bersendirian.

Agen tersebut menggeleng. “Cik Deimonas sekadar ingin bertemu dengan Tuan.”

“Semua kelengkapan dan kemudahan untuk Tuan menyempurnakan misi, ada di dalam. Sebarang permintaan atau kecemasan, Tuan tahu bagaimana untuk berurusan.” Agen tersebut kembali ke dalam kenderaan.

Yuddh sekali lagi menundukkan kepalanya sedikit, sambil tangan memegang topi. Gaya kegemarannya sebagai tanda hormat kepada orang lain.

Yuddh menghantar Agen itu dengan pandangan.

Sebaik sahaja Agen itu keluar dan menghilang dari perkarangan Pangsapuri tersebut, Yuddh bergerak ke arah lif yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Misinya bermula!

 

*****

 

Bakri sedang menekuni buku On Justice And The Nature of Man karangan almarhum Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di Perpustakaan Universiti Iman Ihsan. Telinganya dihiburkan oleh Florence + The Machine melalui lagu Breath of Life. Sekali sekala, kepalanya terangguk-angguk.

Sesekali, matanya memerhati sekeliling, melihat keadaan perpustakaan yang indah, luas, kemas dan teratur, bersama-sama sebilangan pelajar yang bertaburan di sana sini memanfaatkan bangunan penuh khazanah ilmu ini.

Ada masa, matanya jatuh pada tangan kanannya, yang hampir pulih sepenuhnya.

Ya, lama masa diambil untuk sembuh daripada tindakannya mematahkan tangan Jagat tempoh hari. Tulang pemburu itu seperti lebih keras dari besi.

Sepanjang dua minggu ini, dia langsung tidak boleh menggunakan tangan kanannya untuk apa-apa, hatta menulis, apatah lagi menggunakan senjata.

Bakri menghela nafas panjang. Bermonolog berkenaan tangan kanannya itu membuatkan dia teringat kepada sesuatu yang sepatutnya tidak mahu diingati.

Buku yang tidak terlalu tebal, namun padat dengan isi di hadapannya itu, sudah hampir tamat ditelaah. Sekitar dua minggu ini, entah sudah berapa buku habis dibacanya. Sepanjang waktu senggang antara kuliah, dia habiskan masa di perpustakaan. Di rumah, selain waktu latihan, dia banyak menghabiskan masa menelaah buku. Daripada mauduk-mauduk bertemakan spiritual, kepada politik, falsafah, teologi, astronomi hingga kepada sains dan teknologi.

Sebenarnya dia cuba menyibukkan fikiran dengan perkara-perkara lain, selain daripada hakikat yang baru diketahuinya.

“Jadi sebenarnya Bakri ni bukan anak ayah?” Suaranya meninggi.

                Bapanya membisu sambil terus tekun membalut tangannya.

                “Bila Ayah mahu kongsi berkenaan hal ini? Kenapa rahsiakan?”

                Balutan telah hampir sempurna, Bakri terus menarik tangannya itu. Sakit, tetapi ditahan oleh ego. Dia menyempurnakan balutan tersebut menggunakan tangan kiri.

                “Bakri, walau apa pun yang terjadi, Bakri tetap anak ayah.” Bahunya disentuh. Tetapi dia pantas menggerakkan tubuh, menyah pergi tangan bapanya itu.

                Namun bukan itu yang dimarahi sebenarnya. Perkara itu hanya mukaddimah kepada perkara yang lebih besar.

                “Bakri sebenarnya ialah anak kepada Ummi, hasil perkahwinan Ummi dengan seorang lelaki lain sebelum itu. Ayah tidak kongsikan hal ini kerana….”

                Lambat bapanya menyambung. Suasana pengkalan rahsia itu jadi senyap dan sunyi.

                Bakri mendengus kasar. “Ayah tak faham. Bakri tak ada masalah dengan siapa bapa Bakri. Ayah adalah satu-satunya Ayah yang Bakri ada semenjak Bakri mula boleh mengingat. Tetapi…”

                Bakri menarik nafas. “…Kenapa Ayah tidak beritahu, yang proses pembedahan menjadi Pemburu itu, boleh membuatkan kita menjadi mandul? Bagaimana dengan masa depan Bakri?”

                Dia dapat melihat bapanya tergamam.

                Lama mata mereka berdua bertentang. Tetapi kemudian bapanya kekal diam, sebelum berpaling dan meninggalkannya.

Semenjak malam itu, dia tidak berbicara banyak dengan bapanya. Sekadar berbasa basi apa yang perlu sahaja. Tambah-tambah dua minggu ini sunyi tanpa apa-apa misi. Mungkin kematian salah seorang Pemburu terhandal membuatkan Kesatuan Pemburu sedikit terkejut. Bapanya ada pernah berkata bahawa kejadian itu belum pernah berlaku selama sejarah organisasi tersebut.

Bakri menghela nafas.

Baru dia perasan yang dia tidak pernah memikirkan apa yang hendak dia lakukan sekiranya misi mereka berjaya. Apabila dia menyedari bahawa dirinya mandul, baru dia terfikir akan masa hadapannya. Terfikir akan dirinya. Berfikir sesuatu yang luar dari kehidupan biasanya yang sibuk dengan latihan, misi, dan pertembungan dengan Kesatuan Pemburu.

Tetapi apakah ada maknanya sekarang?

Dia sudah mandul. Sekiranya dia berhajat hendak membina keluarga pun, dia hanya akan menzalimi wanita yang dicintainya sahaja.

“Tetapi Ayah berkahwin dengan Ummi.” Hatinya bermonolog. Sebentar dia merenungi hakikat tersebut.

Namun mengetahui dirinya bakal tidak mempunyai zuriat daripada darah dagingnya sendiri, sedikit sebanyak membuatkan dirinya sedih. Mungkin kerana realiti itu membuatkan dia tertanya-tanya, sekiranya mereka berjaya memenangi pertarungan dengan Kesatuan Pemburu sekali pun, apa kehidupan selepas itu?

Kelihatan seperti kosong.

“Hah, sudah, serabut pula aku.” Bakri tersedar yang fokusnya sudah lari, dan dia kembali memikirkan masalah yang tidak mahu disentuhnya.

Helaian terakhir buku Syed Naquib Al-Attas ditamatkan. Buku ditutup, sebelum dibawa dan dipulangkan kembali ke tempatnya.

Bakri bergerak mencapai payung yang tadi dibiarkan pada sisi meja.

Dia perasan ada beberapa pelajar yang sedang berbisik-bisik mengenai dirinya. Muzik di telinga, yang kini sedang memainkan Iron dendangan Woodkid, tidak menghalang Bakri untuk menyedari apa yang pelajar-pelajar itu bualkan. Mereka sedang berbicara berkenaan dirinya yang membawa payung pada hari cerah, ditambah dengan jangkaan kaji cuaca yang menyatakan bahawa hari ini kawasan ini tidak akan dibasahi hujan.

Sebaik sahaja Bakri keluar dari ruang membaca, hujan pun turun dengan lebatnya.

Bakri tertawa kecil.

Antara kelebihan menjadi seorang Pemburu ialah kebolehan untuk menilik cuaca. Kerana kebiasaan mereka meneliti pergerakan angin, kelembapan, suhu, dan sebagainya, seorang Pemburu dapat menjangka dengan tepat cuaca pada satu-satu hari. Jangkaan kaji cuaca yang rata-rata menggunakan teknologi moden hari ini, ada kekurangannya. Akurasi tidak setinggi ketepatan pemerhatian secara langsung oleh seorang Pemburu.

“Allah, hujan? Macam mana nak pergi kuliah ni?” Kedengaran satu suara, yang asing bagi Bakri, tetapi bau yang hadir bersamanya membuatkan Bakri dapat menjangka siapa pemilik suara tersebut.

Bakri menoleh ke kanan. Kelihatan Fatihah sedang menyeluk beg mengeluarkan telefon bimbit. Jangkaan Bakri, dari ketiadaan Salma di sisi, Fatihah akan menghubungi teman rapatnya itu untuk mengadu berkenaan cuaca yang menghalang perjalanan.

Tetapi ketika Fatihah merapatkan alat telekomunikasi itu pada telinga, matanya dan mata Bakri bertembung. Membuatkan pelajar perempuan itu terpana.

Bakri sekadar tersengih. Dia tidak pernah berkomunikasi dengan sesiapa di universiti ini, melainkan dengan Afam yang hadir melawatnya tempoh hari.

Siapa sangka, komunikasi pertamanya adalah dengan seorang perempuan.

“Mahu pergi ke kuliah kan?” Bakri menyoal.

“Fatihah, Fatihah, kenapa kau ‘call’ ni?” Bakri dapat mendengar suara Salma dari corong suara telefon bimbit tersebut. Tetapi Fatihah kekal terkesima.

“Er, telefon?” Bakri mengingatkan.

“Ah, ah. Assalamu’alaikum Salma,” Fatihah berpaling sebentar. “Nanti aku call balik ya. Jumpa di dewan kuliah.”

Kemudian apabila Fatihah berpaling semula, Bakri masih setia di situ. Muka Fatihah merah padam.

“Em, ya.” Dia menjawab soalan Bakri sebentar tadi. “Kita sama kelas kan?” Fatihah tidak pasti sama ada Bakri perasan akan dirinya atau tidak.

“Ya.”

Argh, dia perasan la! Jerit hati Fatihah. Malu. Risau jika Bakri perasan juga yang dia selalu memerhatikan Bakri.

Bakri membuka payung.

“Silakan.” Bakri mempelawa Fatihah untuk bersama dengannya meredah hujan.

Mata Fatihah membesar. Apa? Jalan sama-sama bawah satu payung? Gila ke? Ini universiti Islam, kita pelajar jurusan agama, kita beragama Islam, selamba je dia ajak aku jalan bersama dengan dia bawah satu payung!

Bakri mengangkat kening. Seakan bertanya kepada Fatihah, mengapa dia masih tidak membuka langkah.

“Er, tak apalah. Tak manis lah begitu.” Fatihah menundukkan kepalanya. Wajahnya panas.

“Oh.” Bakri menepuk dahi. Dia teringat akan tahap ilmu serta budaya yang berlainan di sini.

Pada kefahaman Bakri, menuntut ilmu itu ialah satu kewajipan dan hujan sedang menjadi penghalang kepada kwajipan tersebut. Jalan sekarang yang ada untuk Fatihah hanyalah bersama dengannya di bawah satu payung, bergerak ke dewan kuliah. Itu sepatutnya dianggap sebagai rukhsah. Tambah-tambah, payungnya besar, dan dia pun tahu dia perlu menjaga dirinya agar tidak bersentuhan dengan Fatihah. Adakah Fatihah lebih rela terlepas kelas berbanding berjalan bersama dengannya di bawah satu payung ketika hujan yang tersangat lebat sebegini?

Jika sekadar renyai-renyai, masih boleh difahami kerelevanan pelawaanya ditolak.

Tetapi seperti agak komplikated mahu diterangkan kepada Fatihah sekarang.

“Kalau begitu tak mengapa. Ambil ni.” Bakri menghulurkan payung kepada pelajar perempuan itu.

Lambat-lambat Fatihah menyambut pemberian Bakri. Serba salah.

“Habis, awak nak pergi ke dewan kuliah macam mana?” Suara Fatihan sedikit meninggi kerana mahu melawan bunyi hujan yang lebat, diselangi guruh dan petir.

Bakri memandang ke luar bangunan.

Dia mengukir senyuman dan berpaling semula kepada Fatihah.

“Tak mengapa. Saya orang lelaki.” Terus Bakri menarik penutup kepalanya, dan berlari sepantas mungkin, meredah hujan lebat.

Sebentar sahaja, Bakri sudah hilang di celah-celah hujan.

Fatihah terpinga-pinga dengan apa yang baru berlaku. Pertama, ini pertama kali dia berkomunikasi secara langsung dengan Bakri. Kedua, Bakri mempelawanya untuk berjalan bersama di bawah satu payung. Ketiga, apabila ditolak, Bakri menyerahkan payungnya kepada Fatihah, dan kemudian berlari meredah hujan.

Fatihah menegakkan payung tersebut di atas kepala.

Membuka langkah bergerak merentas hujan, dengan minda berfikir panjang akan apa yang baru terjadi.

“Macam tak percaya.”

 

*****

 

Nazir melekatkan keratan akhbar pada dinding. Keratan akhbar berkenaan letupan di atas bangunan sebuah syarikat di Kotaraya, menyertai banyak keratan akhbar serta bahan yang lain seperti kertas dan gambar, yang tertampal pada dinding pejabatnya itu. Semua bahan-bahan tersebut, dihubungkan dengan tali berwarna merah, yang bersimpang siur antara satu sama lain.

Inilah papan yang mengumpulkan keseluruhan penyiasatan Nazir terhadap organisasi rahsia yang masih belum diketahui akan halnya yang sebenar.

Keratan-keratan akhbar yang melaporkan pengeboman di Alor Star, Kota Bharu, dan Johor Bahru turut ada, bersama gambar Jeneral Tentera Darat, gambar senjata unik yang berjaya ditangkap semasa nyawanya terancam tempoh hari, juga beberapa gambar individu dari alam politik dan ketenteraan. Laporan-laporan media asing yang cuba menggambarkan keadaan Malaysia yang mula terancam, juga ancaman yang datang kononnya daripada pihak pengganas, turut berada di papan tersebut.

Hujan lebat di luar tidak dihiraukan.

Nazir fokus pada papan tersebut, cuba mencari hubungan.

Intuisinya kuat menyatakan bahawa kejadian baru-baru ini ada kaitan dengan kumpulan yang sama.

Cuma kali ini, tiada nyawa terkorban.

“Anomali?”

Nazir meletakkan tangan pada dagu. Memerah otak untuk lebih berfikir. Perjalanan penyiasatannya sebelum-sebelum ini, peristiwa-peristiwa yang dilalui….

Nazir berhenti pada memori malam dia diserang. Kejadian di atas bumbung Itu bukan anomali. Malam dia diserang, juga tiada kematian. Dia yang sepatutnya dibunuh pada malam tersebut, selamat!

“Terdapat dua penyerang pada malam tersebut.” Dia memerhati gambar pejabatnya yang porak-peranda selepas kejadian tersebut.

“Seorang cuba membunuh aku.” Matanya bergalih kepada gambar senjata yang ditinggalkan penyerang di dalam pejabatnya itu.

“Ada seorang lagi yang menyerang penyerang itu, dari jarak jauh.” Nazir memandang ke sebelah kiri, melihat kepada tingkap yang pada malam itu menjadi mangsa enam das tembakan.

Ada kemungkinan kejadian di atas bumbung baru-baru ini, merupakan tempat dua penyerang yang sama bertembung? Kerana itu tiada kemalangan nyawa. Atau mungkin sahaja, letupan itu terhasil adalah kerana kedua-dua pihak itu bertarung sesama sendiri?

“Bermakna, ada pihak sedang melancarkan perang terhadap organisasi rahsia ini?” Nazir segera mencapai pena penanda. Diletakkan tanda soal pada gambar senjata itu.

Dia mengeluarkan telefon pintar, aplikasi nota dipilih, kemudian dia menaip beberapa perkara berkait jangkaannya ini. Ditutupi dengan ayat: “Perlu mencari mereka – pihak yang memerangi organisasi rahsia.”

Telefon pintar itu kembali dimasukkan ke dalam poket.

Papan di hadapannya ditelaah kembali.

Nafas panjang dihela.

“Sesuatu yang besar sedang berlaku di hadapan kita. Tinggal kita tidak dapat memerhatikannya, kerana semuanya tersembunyi.”

Nazir ada teorinya. Sebagaimana yangd iterangkan kepada Detektif Wong, dia percaya ada tangan ghaib yang sedang cuba membawa huru-hara di dalam kehidupan rakyat Malaysia. Dia percaya kejadian ini semua adalah untuk menggoyahkan kerajaan hari ini yang semakin hari semakin digeruni kuasa-kuasa besar dunia, dan disegani kebanyakan negara dunia ke-3.

Antara agenda terdekat ialah pembebasan Palestin. Dijangka, dalam setahun dua ini, Masjidil Aqsa akan berjaya dibebaskan, sekatan ke atas tanah Palestin akan dapat diangkat sepenuhnya, dan Israel terpaksa berpuas hati dengan sebahagian tanah yang dimiliki mereka.

Ketika negara-negara arab lain menikus, dan juga porak-peranda akibat masalah domestik dan antarabangsa masing-masing, Malaysia maju ke hadapan menjadi juara, bahkan bukan sekadar berkata-kata tetapi juga memberikan implementasi realistik, mengubah padang perbincangan dan mencapai resolusi.

Israel sekarang sedang menerima tekanan hebat. Amerika pula sedang kuat dilobi untuk tunduk mempertahankan tuntutan Israel agar dapat terus berkuasa ke atas Palestin, berbuat sesuka hati mereka. Namun Malaysia bertegas untuk bergerak merealisasikan ‘two state solution’, di mana kerajaan Israel dan Kerajaan Palestin bakal tertubuh sebelah menyebelah.

Ramai yang menentang cadangan ini, ianya merupakan cadangan lama yang popular satu ketika dahulu, tetapi tidak mendapat sambutan selayaknya. Sebahagian orang hanya galak berbincang dari segi relevannya cadangan tersebut, tetapi tiada tindakan realistik dilaksanakan. Sebahagian yang lain pula menentang, kerana tidak redha dengan tanah yang diambil oleh Israel dan meyakini bahawa semua tanah itu wajib dipulangkan semula.

Malaysia kini kembali membawa penyelesaian tersebut, namun berbeza cara pembawaannya. Malaysia terlebih dahulu pergi kepada Ghazzah, dan memberikan perlindungan secara langsung. Ghazzah diangkat sebagai negara angkat Malaysia. Dengan kekuatan ketenteraan dan ekonomi Malaysia yang terkini, Israel dan kuasa besar lain seperti Amerika, hanya mampu menyalak menyelar tindakan Malaysia yang dikatakan masuk campur urusan negara luar.

Tetapi Malaysia tidak berundur. Ghazzah dibina semula, bahkan diberikan pertahanan selayaknya. Dengan satu syarat, rakyat Ghazzah mesti berhenti mengangkat senjata. Urusan pertahanan diserahkan sepenuhnya kepada Malaysia. Rakyat Ghazzah diminta memberikan tumpuan kepada pembinaan infrastruktur dan masyarakat. Pada masa yang sama, Malaysia memberikan amaran keras kepada Israel bahawa menyerang Ghazzah bermakna sedang menyerang Malaysia, dan Malaysia tidak teragak-agak untuk menggerakkan seluruh bala tenteranya untuk melakukan serangan balas. Buat pertama kali, kawasan itu aman tanpa peperangan.

Keadaan tersebut menjemput kepada kemakmuran. Perlahan-lahan, kawasan di bawah jagaan Malaysia berkembang dan berkembang sehingga ke Tebing Barat. Bukan dimenangi dengan peperangan, tetapi dengan siri-siri perbincangan, tuntutan, desakan, dalam erti kata lain, diplomasi. Malaysia satu-satunya negara yang berani bertegas dengan Israel. Kebanyakan perbincangan, dimenangi oleh Malaysia dan rakyat Palestin. Banyak tanah berjaya diambil semula.

Dan kini proses di tanah perjuangan tersebut telah sampai ke peringkat final. Yakni permintaan untuk dibebaskan sepenuhnya pengurusan Masjidil Aqsa kepada rakyat Palestin. Israel perlu berpuas hati dengan hanya apa yang mereka miliki selepas itu. Kedua-dua kerajaan, yakni Kerajaan Palestin dan Israel perlu berusaha untuk hidup secara harmoni, sebelah menyebalah, dan situasi di sana akan diperhati rapat oleh Malaysia.

Tidak lama lagi, itu akan menjadi realiti.

Nazir menganggap itu antara perkara besar dalam sepanjang sejarah dunia ini. Dan mungkin antara petanda bahawa kekuasaan Amerika dan sekutu-sekutunya sudah semakin rapuh serta era mereka sudah berada di penghujung.

Mungkin ini menakutkan banyak pihak.

Pihak-pihak yang hidup berkiblatkan dunia, kuasa, kepentingan diri.

Malaysia dilihat sebagai ancaman.

Antara kunci kejayaan Malaysia adalah kurang kebergantungan dengan negara asing. Ekonomi yang utuh. Kekuatan tentera yang ampuh. Kestabilan Politik dan masalah domestik yang kurang adalah faktor utama Malaysia mampu naik menjadi kuasa besar yang digeruni. Cubaan untuk melakukan embargo pernah dilakukan oleh Amerika dan Negara-negara Eropah, tetapi Malaysia ketika itu telah berjaya berdiri di atas kaki sendiri. Embargo tidak memberikan apa-apa kesan kecuali sedikit. Bahkan, embargo tersebut membuatkan Amerika dan negara-negara Eropah kerugian besar kerana ketiadaan Malaysia sebagai tempat pelaburan dan perniagaan.

Ketika tempoh embargo tersebut, Malaysia membina hubungan lebih rapat dengan Asia Tenggara. Kini Asia Tenggara juga telah membangun maju. Jika dahulu ‘negara barat’ seakan-akan satu istilah yang gah, mendepani tamadun manusia, contoh masyarakat maju, kini tidak lagi. Asia Tenggara juga telah mula meningkat naik, bahkan istilah ‘Negara Tenggara’ pula timbul dan digunakan untuk menggambarkan ketamadunan, kemodenan, ketinggian budaya dan sebagainya. Itu semua diterajui Malaysia.

Perubahan-perubahan ini, walaupun tidak berlaku secara drastik, tetap ianya berlaku secara pantas. Kurang lebih dalam masa sedekad.

Ada yang membandingkan perubahan ini dengan perubahan yang pernah dibawa oleh Reccep Tayyib Erdogan kepada Turki satu masa dahulu. Tetapi ada penganalisa politik yang menyatakan bahawa perubahan yang berlaku di Malaysia, berkali ganda lebih baik lagi.

Maka organisasi rahsia ini mungkin mahu mengeluarkan Malaysia dari haluan tersebut. Malaysia perlu dilemahkan, perlu dihalang dari terus menjadi kuasa besar dunia. Sebab itu berlaku banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini.

Tinggalnya Nazir masih belum mendapat apa-apa bukti kukuh untuk membawa hal ini kepada pihak berkuasa. Jika sekadar diangkat hal ini tanpa bukti yang kukuh, dia hanya akan dituduh sebagai gila konspirasi. Seperti sebahagian orang yang sikit-sikit menuding jari kepada zionis, illuminati dan freemason apabila mahu membicarakan berkenaan perjalanan dunia.

Dia perlukan bukti yang kukuh.

Persoalannya bagaimana?

Bagaimana dia mahu mencari pihak yang menentang organisasi rahsia ini? Sedang organisasi tersebut pun tidak diketahuinya. Dari mana dia patut bermula?

Garu kepala.

“Allah…” Sekali lagi nafas panjang dilepaskan. Seakan menjadi simbolik harapan dirinya yang mahu bebanan ini ditinggalkan daripada pundak. Mahu segera diselesaikan.

“Assalamu’alaikum.” Pintu pejabatnya dibuka.

“Waalaikumussalam.” Nazir, sedikit terkejut, terkeluar dari lamunan, memerhati siapa yang hadir.

Seorang lelaki, kemas tubuhnya, walaupun kelihatan dari wajah individu tersebut, seperti telah berusia. Berjaket labuh. Ada tanda-tanda baru meredah hujan.

“Er…” Nazir tidak pasti bagaimana hendak memulakan perbualan, tetapi lelaki tersebut segera mengangkat tangan menyua salam.

Segera Nazir menjabat tangan lelaki tersebut.

“Amiri Alimi. Ketua Inteligen Kerajaan. Bekas Ketua Skuad Elit Gerak Khas.” Lelaki itu memperkenalkan diri.

Mata Nazir membesar. Lelaki ini tidak pernah dijumpai dan dilihat di mana-mana, tetapi namanya sering kedengaran. Bahkan hampir sahaja kisah mengenainya menjadi seperti mitos.

Dengar kata, dia ialah orang pertama yang mengenakan sut Hero.

“Saya datang atas saranan Detektif Wong.”

“Ah, ya. Saya Nazir.”

“Ya, saya tahu itu.” Amiri bergerak masuk, sambil tangan diletakkan ke belakang pinggang. Dia berhenti di hadapan papan penuh maklumat di bilik Nazir itu. Seketika, suasana di dalam bilik itu hanya diisi dengan bunyi hujan yang masih lebat di luar sana. Nazir sendiri tidak mampu berkata apa-apa. Masih dalam keadaan tidak percaya Ketua Inteligen Kerajaan sedang berada di hadapannya.

Ketua Inteligen tidak pernah muncul di media. Tidak pernah bertemu wartawan. Yang sering memberi komen, taklimat dan penerangan hanyalah wakil. Inteligen Kerajaan adalah antara organisasi paling rahsia di negara ini.

Nazir tidak pasti mengapa Amiri mendedahkan diri kepadanya, dan apa tujuannya berada di sini. Tetapi Nazir yakin, apabila nama Detektif Wong disebut, ianya berkaitan dengan penyiasatannya.

Amiri memandang Nazir. Senyuman terukir.

“Rajin.” Ibu jarinya menunjuk pada papan yang kini dibelakanginya.

Nazir sekadar tersenyum. Tidak tahu hendak bereaksi bagaimana apabila mendapat pujian tersebut.

“Saya ada misi untuk anda Saudara Nazir.” Mata Amiri brubah tajam.

“Misi? Saya?” Nazir terkejut sambil menunjuk kepada dirinya.

Apakah dia sedang bermimpi?

Inteligen Kerajaan mahu memberikan misi kepadanya?

Apa yang sedang berlaku ini?

Novel Pemburu: Bab 5 – Pukulan Pertama

sniper-534099

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah,” Wajah digerakkan ke kanan.

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah,” Wajah digerakkan ke kiri.

Solat Maghrib tamat, namun Mustafa kekal dalam keadaan duduk tahiyat akhir. Selepas berwirid seketika, tangan diangkat sedikit, mulut terkumat-kamit dengan doa. Meminta kekuatan, meminta kecekalan, meminta agar dipermudahkan segala urusan dan diangkat segala masalah. Meminta diberikan kemenangan. Meminta dihujani negara dan dunia ini dengan keamanan.

Selepas doa diaminkan, dia meraup wajah, sebelum berpaling.

Bakri sedang duduk bersila, sambil tangan terhulur untuk bersalaman. Disambut tangan anaknya itu. Spontan Bakri tunduk dan mencium tangannya.

“Bagaimana kesihatan Bakri?” Mustafa bertanya, walaupun dia sebenarnya sudah dapat mengagak.

“Alhamdulillah.” Bakri mengepal-ngepal kedua-dua penumbuk. “InsyaAllah sudah kembali optimum. Tetapi Ayah sudah tahu bukan?” Bakri memandangnya sambil tersengih.

Mustafa mengangguk. Dia perasan Bakri telah aktif berlatih sebelum ke masjid Subuh tadi. Pergerakan anak terunanya itu kembali tangkas. Tambah-tambah, sepanjang seminggu setengah ini, dia tidak duduk diam sahaja. Setiap hari berusaha mengembalikan kecergasan dan kesihatan. Bakri ternyata bukan anak yang malas.

Mereka bangun dari tempat beribadah. Kemudian sama-sama bergerak mendekati salah satu rak buku, yang terdapat di dalam bilik ini.  Bilik ini hanya dipenuhi almari dan buku-buku. Bilik pembacaan dan bilik untuk beribadah. Mustafa selalu berseloroh menyatakan bahawa nama bilik ini ialah bilik ‘Rohani & Minda’.

Namun di dalam bilik yang sama, sebenarnya terdapat bilik rahsia. Mustafa menarik sedikit salah sebuah buku yang terdapat pada almari yang didekati mereka. Almari itu kemuidan bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam dinding, sebelum berpisah ke kiri dan kanan, menzahirkan sebuah lif. Mustafa dan Bakri sama-sama masuk ke dalam lif tersebut. Almari kembali terkatup, dan mereka turun ke pengkalan rahsia yang terdapat di bawah rumah.

Pintu lif kembali terbuka.

Bakri terus bergerak ke meja pertukangan senjata. Sementara dia tidak berapa sihat, dia banyak menghabiskan masa di meja tersebut. Bertukang menempa senjata.

“Bagaimana Arashi?” Mustafa sedikit melaung, kerana dia bergerak ke arah berlawanan, yakni pergi menuju ke skrin gergasi.

Bakri mengangkat senapang penembak tepat miliknya. Dia telah menambah beberapa perkara pada senjata tersebut. Antaranya adalah supaya senapang itu dapat digunakan sebagai senjata api jarak dekat. Laras yang panjang, kini boleh dipendekkan, dan automatik senjata itu dapat bertindak dengan baik untuk jarak dekat.

“InsyaAllah, bagus.” Bakri membelek-belek senjatanya, sambil menjawab pertanyaan Mustafa.

Kemudian dia mengisi senjata itu dengan peluru. Untuk peluru jarak dekat, ada magazin di bahagian bawah, manakala untuk peluru jarak jauh, ada ruang untuk memasukkannya di bahagian atas.

“Senang. Tak perlu bawa banyak-banyak senjata api.” Bakri tersenyum sendiri. Dia memasukkan senjata yang dinamakan Arashi itu ke dalam sarung, sebelum digalas sarung itu.

Arashi bermaksud petir di dalam bahasa Jepun. Sama dengan makna kod Pemburunya – Barq. Bakri memang berminat dengan petir dan menganggap itu adalah antara makhluk ciptaan Allah SWT yang unik.

Di atas meja itu juga terdapat beberapa silinder kecil pelbagai warna. Minuman herba istimewa untuk menambah kelebihan seorang Pemburu. Semuanya dibuat oleh Bakri sendiri. Berdekatan barisan silinder tersebut, terdapat beberapa jenis sfera kecil, dikumpulkan mengikut kelas. Semua itu ialah bom. Ada bom untuk menidurkan lawan, ada yang bertindak sebagai letupan membunuh, ada yang mengeluarkan racun, dan ada yang sekadar asap hitam untuk menghalang penglihatan.

Mustafa telah mendidik Bakri untuk menghasilkan itu semua sendiri.

“Seorang Pemburu mestilah mahir selok belok persenjataan. Dia bukan sahaja boleh menggunakan persekitarannya sebagain senjata, bahkan dia juga mampu menempa sendiri senjatanya. Senjata Pemburu pula unik, sesuai dengan kelebihan seorang Pemburu.”

Pesanan yang sudah tertanam kemas di dalam diri Bakri.

Semenjak dia dididik dengan ilmu tempaan senjata, dia memang tidak henti-henti membina senjata idamannya. Arashi adalah yang paling dia sukai.

Bakri memasukkan semua itu ke dalam kantung yang terapat pada sebuah tali pinggang yang turut berada di atas meja. Tali pinggang ini bukan tali pinggang biasa. Kantung-kantung tersebut hanya boleh terbuka sekiranya jari Bakri yang menyentuhnya. Ini untuk mengelakkan bahan-bahan di dalamnya dicuri sekiranya tali pinggang tersebut jatuh ke tangan musuh atau orang lain. Dan sekiranya ada yang berjaya membuka kantung-kantung tersebut selain menggunakan jari Bakri, tali pinggang itu telah diset dengan sistem ‘self-destruct’, sebagai perangkap.

Tali pinggang tersebut disarung pada tubuhnya, diikuti dengan jaket. Pada jaket tersebut terdapat beberapa bilah pisau sederhana besar, terletak pada bahagian dada.

Bakri kemudian mendekati bahagian yang menempatkan pelbagai senjata. Sepucuk pistol serba hitam diambil dan disisipkan pada sarung di belakang pingang.

Kemudian dia bergerak ke arah Mustafa.

“Dah bersedia?” Mustafa merapatkan tubuh pada kerusi dengan tangan bersilang pada dada. Matanya fokus pada skrin gergasi yang kini mempamerkan pergerakan Jagat.

“Kali ini dia sedang buat apa?” Bakri memerhatikan titik yang mewikili diri Jagat, sedang bergerak di tengah-tengah Kotaraya.

“Tiada apa-apa. Mungkin menanti arahan yang seterusnya.”

“Jadi apa misi kita malam ini?”

“Berikan pukulan pertama kepada Kesatuan Pemburu.”

Bakri memandang bapanya.

“Bersedia?” Mustafa memandang Bakri. Pandangan mereka bertaut.

Bakri mengangguk. Mustafa bangun dari kerusi. Tangan kanan menepuk bahu Bakri.

“Apa cara sekali pun, misi malam ini perlu berjaya. Jangan lepaskan dia, dan jangan tumbang dengan apa-apa halangan yang muncul di tengah perjalanan.”

“Semua akan lebih sukar selepas ini.” Bakri membuka langkah.

“Kepada Allah kita meminta semuanya dipermudah.” Mustafa menitip pesan.

Bakri tersenyum, dan terus bergerak ke arah terowong rahsia yang terdapat pada pengkalan tersebut. Terowong itu akan membawanya keluar terus dari kawasan perumahan ini, menghampiri kotaraya.

Jarak yang jauh tidak menjadi masalah bagi seorang Pemburu. Kekuatan fizikal yang ada, ditambah dengan kepantasan pergerakan mereka, menjadikan mereka lebih selesa tidak menggunakan apa-apa kenderaan atau pengangkutan awam. Ini menjadikan pergerakan mereka lebih sukar untuk dijejaki. Namun itu semua bergantung kepada strategi seorang Pemburu. Menggunakan kenderaan dan pengangkutan awam atau tidak, itu semua bergantung kepada strategi yang telah diatur untuk menyelesaikan satu-satu misi.

Yang menjadikan seorang Pemburu itu menakutkan ialah, Pemburu tidak mempunyai corak yang satu. Mereka mampu menjalankan misi dengan pelbagai cara dan gaya. Hingga orang tidak dapat menjangka bahawa sesuatu tragedi itu dilakukan oleh organisasi atau orang yang sama.

Malam ini, Bakri akan memberikan segala-galanya.

 

******

 

Jagat bergerak ditengah-tengah lautan manusia. Pelbagai rencam dan sikap, tidak dihiraukan Pemburu itu. Dia sedang menuju ke sebuah tanah lapang, berdekatan dengan Masjid Utama Kotaraya ini. Masjid tersebut merupakan masjid terbesar di Malaysia, juga antara mercu tanda utama bagi Kotaraya yang sedang pesat membangun.

Dia perlu melihat sendiri kawasan tersebut, kerana beberapa hari lagi, Perdana Menteri Malaysia dijadualkan akan membuat ucapan untuk seluruh rakyat jelata. Perdana Menteri Malaysia hari ini adalah Perdana Menteri yang proaktif. Dia sering kelihatan turun menyantuni rakyat jelata. Setiap dua minggu sekali, ada satu daerah akan dilawatinya. Target yang disasarkan ialah selepas 6 tahun dia dipilih menjadi Perdana Menteri, dia telah menjejakkan kaki ke semua daerah di negara ini, melihat sendiri keadaan marhain dan mengambil berat terhadap pembangunan dan infrastruktur di semua tempat tersebut. Kini, setahun selepas memenangi Pilihan Raya yang berjaya menyambung tempoh pemerintahannya bagi penggal kedua, dia telah berjaya memenuhi sasaran tersebut.

Kotaraya ini adalah daerah terakhir di dalam jadual lawatannya. Dijadikan terakhir kerana pusat pemerintahan terletak di kotaraya ini. Perjalanannya melawati semua daerah lain terlebih dahulu adalah sebagai simbolik bahawa pemerintahannya adalah pemerintahan yang mengutamakan rakyat. Dan apa yang menggusarkan banyak pihak ialah, simbolik tersebut bukan sekadar simbolik di tangan Perdana Menteri Malaysia yang sekarang ini. Dia benar-benar ‘walk the talk’. Malaysia kelihatan dipacu pantas ke arah yang lebih bertamadun, makmur dan moden di bawah pemerintahannya.

Tetapi apa yang ramai tidak sedar, namun disedari oleh Kesatuan Pemburu, hasil pintasan maklumat dan gerak kerja pengintipan, kejayaan Perdana Menteri ini bukan hakikatnya berpunca daripada dia. Dia hanya salah seorang indivdu, yang percaya dengan penuh mendalam, dan bekerja seikhlas hati, untuk mencapai satu sasaran yang sangat besar.

Jagat masih ingat ketika dia diberikan taklimat berkenaan misinya di Malaysia ini.

                “Mereka percaya bahawa mereka sedang mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan terhadap Tuhan semua manusia, yakni apa yang mereka panggil sebagai Allah. Mereka percaya bahawa mereka sedang mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia, kepada keluasan akhirat. Daripada kezaliman agama-agama, yakni agama yang sekadar menggunakan agama untuk memeras dan mengawal rakyat bagi kepentingan pihak-pihak tertentu, kepada keadilan Islam, yang mereka percaya mampu mengembalikan kemerdekaan minda dan jiwa kepada manusia sejagat.”

                Jagat mendengar dengan tekun suara yang keluar daripada komputer ribanya itu. Skrin mempaparkan satu bentuk tubuh, hitam tidak berwajah, tidak juga menunjukkan corak pakaian, yang sedang memberikan takilimat kepadanya.

                “Malaysia sedang menuju ke arah menjadi antara kuasa besar dunia, hasil daripada usaha sekumpulan orang yang percaya dengan agenda tersebut. Agenda yang bakal menganggu gerak kerja dan kepentingan-kepentingan kita. Mengikut jangkaan, sekiranya dibiarkan perancangan mereka berjalan lancar, mereka akan berjaya dalam sekitar 5-10 tahun mendatang. Itu kita tidak boleh benarkan.”

                Kemudian Jagat dibentangkan dengan misi-misinya.

                Antara yang perlu Jagat lakukan di Malaysia ialah – pembunuhan rawak dan letupan rawak, supaya memberikan impresi bahawa Malaysia menerima ancaman domestik dan antarabangsa. Kemudian misinya paling utama ialah mengganggu  pertumbuhan ekonomi negara, juga membawa huru-hara politik dengan melakukan pembunuhan kepada Gabenor Negara, sambil mempalitkan kejadian itu kepada Perdana Menteri, dengan bukti-bukti rekaan yang bakal ditanam.

                Setelah menghadam misi-misinya, Jagat menekan ‘spacebar’, dan maklumat-maklumat tersebut hilang dari skrin komputernya.

                “Pulang ke Malaysia nampaknya.”

Kesatuan Pemburu sudah pernah menghantar agen-agennya di negara ini satu masa dahulu. Jagat antara orang yang direkrut oleh agen-agen yang datang ketika itu. Dan ketika itu, mereka berjaya. Pemimpin-pemimpin korup, rakyat hidup tertekan pada masa yang sama kehidupan dipenuhi dengan perkara yang melalaikan. Memang sistem yang diperturunkan adalah untuk membuatkan mereka hidup seperti robot. Tidak sempat berfikir untuk berjuang memerdekakan rohani dan minda, berjuang untuk kehidupan yang lebih baik. Setelah itu, negara ini ditinggalkan dan tidak lagi menjadi fokus Kesatuan Pemburu.

Tetapi semenjak 10 tahun yang lalu, negara ini kembali bangkit.

Rahsianya?

Pergerakan bernama INSANI yang telah berjaya mencetak ramai peribadi berkualiti. Peribadi-peribadi itu bergerak merubah keadaan, di sebalik tema melaksanakan kebajikan. Bermula dari sekadar sebuah NGO, mereka menjadi tempat mengasuh peribadi-peribadi yang baik. Perubahan pesat mula berlaku sedikit demi sedikit di pelbagai lapangan. Ekonomi, politik, teknologi, ketenteraan, pendidikan, kesihatan dan medan-medan lain, mengalami perubahan perlahan-lahan tetapi berterusan, sekaligus membawa kepada perubahan mentaliti dan sikap masyarakat hari ini.

Perdana Menteri hari ini, datang daripada organisasi tersebut. Begitu juga Perdana Menteri yang sebelumnya. Ini yang tidak berapa disedari oleh kebanyakan orang biasa. Kejayaan Perdana Menteri hari ini, hakikatnya bermula daripada Perdana Menteri sebelumya. Pertama kali dalam sejarah, apabila Perdana Menteri berubah di negara ini, Perdana Menteri yang seterusnya telah menyambung gerak kerja dan kejayaan yang ditempa pemimpin sebelumnya. Seakan-akan mereka dua orang yang sama.

Di dalam organisasi tersebut, ini digelar ‘wihdatul fikr’, kesatuan pemikiran. Kerana mereka dibentuk dan diadun dengan idelogi serta prinsip yang sama. Berlaku pula kesatuan semangat dan sikap mahu bersatu padu membangunkan ummat ini.

Maka mereka bergerak konsisten.

Konsistensi sebegini, adalah ancaman bagi Kesatuan Pemburu. Ini dibuktikan dengan Malaysia benar-benar berjaya bergerak menjadi antara kuasa besar dunia pada hari ini.

Pun begitu sejauh mana usaha manusia, tidak ada yang sempurna.

Negara ini masih ada peluang untuk diubah haluannya.

Dalam jutaan rakyatnya, bukan semua berminat dengan perubahan terkini. Bukan semua mengikuti perubahan arus perdana ini. Masih ada di sana sini penjenayah, kongsi gelap, orang-orang yang tidak mahu berubah, orang-orang yang merasakan perubahan baru ini mengongkong kehidupan mereka, rimas dengan perubahan terkini ini. Ditambah pula dengan ancaman daripada luar, negara-negara kuasa besar yang tidak senang dengan kemaraan Malaysia di lapangan antarabangsa. Malaysia sedang diasak kuat daripada luar, melalui media antarabangsa, ekonomi, juga perbahasan-perbahasan intelektual. Malaysia sedang cuba dicorakkan untuk mendapat akibat seperti yang telah berlaku kepada negara-negara Timur Tengah sebelum ini.

Cabaran utama ialah, majoriti masyarakat Malaysia kukuh teguh bersama negara dan kepimpinannya. Tambah-tambah keteguhan itu pula bukan kerana fanatik buta, tetapi kerana benar-benar memahami perjuangan yang diangkat oleh kerajaan. Ditambah lagi dengan kepimpinan Malaysia itu sendiri, adalah manusia-manusia yang jujur dan bebas korupsi serta skandal buruk. Ini membuatkan ancaman luar seperti tidak memberikan kesan signifikan terhadap Malaysia.

Tugas Jagat untuk membuat perubahan dari dalam.

Segelintir rakyat yang masih tidak dapat menerima perubahan terkini Malaysia, akan menjadi katalis kepada apa yang Kesatuan Pemburu usahakan di Malaysia ini. Mereka yang akan menyemarakkan api yang dihidupkan oleh Jagat kelak. Dan ini terbukti apabila Jagat berjaya melaksanakan misi pengeboman dan pembunuhan rawak. Dapat dirasakan yang segelintir rakyat itu tidak lagi duduk diam, bahkan sudah mula berani membuat seruan supaya pemerintahan ditukar agar negara kembali aman.

Misi Jagat telah separuh siap.

Apa yang diperlukan ialah ‘peristiwa besar’ untuk menolak negara ini kepada keadaan domestik yang kacau bilau.

Jika kawalan terhadap Gabenor Bank Negara telah bertambah ketat, dan memustahilkan Jagat untuk menjayakan ‘sketsa’ konspirasi yang telah dirancang, maka perancangan perlu ditukar. Kini sasarannya bergalih kepada Perdana Menteri. Beberapa hari ini dia telah berusaha menanam bukti bahawa Gabenor Bank Negara berkonspirasi untuk menukar Perdana Menteri, atas alasan bahawa keamanan negara semakin terganggu, akibat pembunuhan siang hari yang meningkat mendadak dan beberapa kes pengeboman yang telah mengorbankan sebilangan nyawa.

Perdana Menteri memang telah sedia dikawal ketat. Tetapi untuk Perdana Menteri, dia hanya perlu melakukan tembakan jarak jauh. Cukup dengan cerita ‘pembunuh upahan’ telah dibayar oleh proksi Gabenor Bank Negara untuk melakukan kerja sebegini, setelah usaha dan perbincangan untuk mencapai kata sepakat, gagal. Kehilangan kepimpinan berkaliber dalam keadaan sedemikian rupa, ditambah dengan gosip-gosip konspirasi, sudah cukup untuk membawa negara ini ke dalam keadaan kacau bilau.

Pasukan Hero daripada Skuad Elit Gerak Khas pun tidak akan mampu menjangka apatah lagi menghalang tembakan sejauh belasan kilometer yang bakal dilakukannya beberapa hari nanti.

Sebab itu pada malam ini, untuk melakukan tembakan sejauh itu, yang mana bukan mudah juga untuk Jagat, dia perlu melalui sendiri perjalanan peluru yang bakal dilepaskan. Maka semenjak tadi, dia berjalan dari tempat dia bakal melepaskan tembakan, ke tempat ini.

Dia telah sampai ke padang di hadapan Masjid Utama. Masjid itu amat besar. Sesuai untuk menampung kehadiran warga kotaraya yang ramai.

Jagat memerhati sekeliling. Kosong dan sunyi kawasan tanah lapang ini, selain daripada pentas besar yang telah disediakan. Nampaknya beberapa peralatan lain untuk program tersebut belum tiba. Namun dari situ, dia boleh melihat masjid yang cerah kubahnya, juga orang ramai yang pelbagai ragam di dalam masjid. Tetapi tiada yang perasan akan kehadiran Jagat di tanah lapang tersebut kerana tanah lapang itu sangat besar, membuatkan jarak antara Jagat dan masjid tidak pendek. Tinggal Jagat mampu memerhatikan mereka dan mendengar suara orang-orang di dalam masjid hanya kerana dia seorang Pemburu.

Jagat menilai tiupan angin. Kemudian memandang ke arah tempat dia bakal melakukan tembakan. Seterusnya pentas besar berdekatan diperhati dengan teliti, menjangka posisi Perdana Menteri berucap. Walaupun Jagat tidak membawa apa-apa alatan untuk mengukur, dia tetap berjaya melakukan kira-kira dari segi jarak, ketinggian dan lain-lain hanya dengan melihat sahaja. Antara kemahiran asas bagi seorang Pemburu.

Seorang Pemburu telah dilatih agar tidak bergantung harap kepada teknologi semata-mata. Pemerhatian langsung juga adalah perlu. Lebih-lebih lagi untuk melakukan tembakan sejauh belasan kilometer.

Setelah agak berpuas hati, Jagat berpaling dan bergerak mahu meninggalkan kawasan tersebut.

Tetapi sebaik sahaja dia berpaling, terasa ada lintasan angin yang sangat deras, teramat pantas melepasi pipinya. Matanya spontan terbelalak, sebelum tubuh seperti masuk ke dalam mod ‘auto-pilot’, berguling menjauhi tempat dia berdiri tadi.

Satu tembakan jarak jauh telah dilepaskan.

Jagat tidak berhenti berguling, segera mendekatkan dirinya dengan pentas, terus berlindung di bawah tempat tersebut.

Tetapi Jagat tetap tidak menghentikan pergerakannya. Dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, hingga menjadikannya sasaran mudah. Untuk tembakan jarak jauh, penembak memerlukan masa untuk memastikan sasarannya. Jagat tidak akan memberikan masa tersebut. Jagat terus bergerak keluar dari belakang pentas, berlari ke arah pokok-pokok yang terdapat di tepi kawasan lapang tersebut.

“Kurang ajar.” Getus Jagat.

Kini dia berlari pantas meninggalkan kawasan tersebut, dengan dilindungi pokok-pokok. Tetapi dia tidak berlari secara terus. Dia melakukan zig zag secara rawak, supaya pergerakannya tidak dapat dijangka. Supaya penyerangnya tidak mampu mengagak di mana dia berada seterusnya, dan tembakan tepat gagal dilancarkan.

Jagat tidak merancang untuk melarikan diri.

Dia mahu menamatkan semuanya malam ini.

Dan dia sebenarnya telah bersedia!

Jagat kini berada di jalan raya, bunyi hon kedengaran apabila Jagat melompat di atas kereta dan kemudian menggelungsur pada bawah lori yang berada di sebelah kenderaan tersebut. Suasana jalan jadi gegak gempita dengan jeritan orang dan hon kenderaan apabila Jagat melintas pula ke jalan kenderaan sedang bergerak pantas. Namun dek ketangkasan tubu seorang Pemburu, Jagat berjaya menyelinap ke dalam sebuah Kafe di seberang jalan.

“Jaga kau.” Jagat mengepal kedua-dua penumbuk. Mindanya pantas mengatur rancangan untuk menyerang balas.

Dia keluar melalui pintu belakang dan cuba mengesan tempat tembakan.

Kemudian dia mengambil salah satu silinder yang tergantung pada tali pinggangnya, cecair di dalamnya dihirup, urat-urat naik pada wajah, sebelum dia bergerak sepantas yang mungkin ke arah sasarannya.

Malam ini, dia akan mengakhiri perkara ini.

Maruahnya akan terbela.

Dia tidak akan biarkan malam ini berakhir tanpa keputusan tersebut!

 

******

 

“Ya Allah!” Bakri menumbuk lantai bumbung bangunan tempat dia melepaskan tembakan jarak jauh sebentar tadi. Geram.

Pada saat akhir, ketika hampir sahaja peluru itu mahu menembusi kepala Jagat, lelaki itu berpaling. Tembakan Bakri tidak mengenai sasaran. Dan Jagat kemudiannya bijak untuk membuatkan Bakri gagal melepaskan tembakan seterusnya, dengan bergerak secara rawak, kemudian pergi ke kawasan orang ramai.

Jagat kini sudah keluar dari pandangan Bakri.

“Itulah, yakin sangat. Ish aku ni.” Bakri seakan memarahi diri. Dia menjangka sesuatu bakal berlaku.

“Barq, lain kali baca bismillah dulu sebelum lepaskan tembakan.” Suara bapanya kedengaran pada alat telekomunikasi.

“Kan dah kata,” Itulah yang dijangkakan oleh Bakri.

“Jadi sekarang bagaimana Ayah?”

“Ayah? Menarik.” Suara yang asing mencelah sebelum Bakri sempat mendengar respon Mustafa. Matanya sempat menangkap kelibat tubuh seorang wanita, berpakaian serba hitam, dengan rambut terikat kemas, sebelum tangannya spontan mengambil bom asap dan melemparnya ke lantai.

Asap hitam pekat berkepul-kepul keluar. Tetapi Bakri tidak berlari, dia terus mara ke arah perempuan itu. Pistol di belakang pinggang disambar, dan tembakan dilepaskan.

“Budak, jangan hina aku sebegitu.” Belakang lutut Bakri disepak. Membuatkannya terjelepuk.

“Racun aku tempoh hari tak membunuh kau ya? Nasib baik.” Kedua-dua tangan perempuan itu pantas mengambil dua bilah pisau daripada sisi pinggangnya.

“Deimonas?” Bakri mengerutkan dahi, tetapi tidak terlupa untuk terus berguling, mengelak dari ditikam dua senjata tajam tersebut.

Terus dilepaskan tembakan. Tetapi tembakannya itu hanya dapat mengenai sebilah pisau sahaja, membuatkannya terlepas dari pegangan Deimonas. Manakala Deimonas kemudiannya terus menghilang di balik asap.

“Ish, silap aku lepaskan bom asap ni.” Bakri mengkritik dirinya.

Memang dia tidak menjangka yang posisinya boleh diketahui secepat itu. Jadi dia sedikit kaget dengan kehadiran Deimonas, menyebabkan reaksinya sedikit caca merba. Inilah bezanya apabila bertarung secara langsung dengan barisan Pemburu Terhandal.

Bom asap itu memang direka khas untuk bertarung dengan Pemburu. Selain kepekatannya yang tinggi hingga menghalang penglihatan, ianya juga mampu menyekat deria bau dan pendengaran seorang Pemburu buat seketika.

Kini seakan-akan keadaan itu telah memberikan kekurangan kepada dirinya sendiri, berbanding Deimonas. Nampak seperti Pemburu wanita itu jelas telah terlatih bertarung dalam keadaan sebegini. Dia perlu keluar dari keadaan ini.

Bakri menghayun pistolnya, ke kiri dan ke kanan sambil melepaskan tembakan. Dia sengaja menembak rambang dengan harapan tembakan lencongnya akan terkena pada Deimonas. Tetapi sebaik sahaja dia menghayunkan tangannya ke kanan, pergerakan tangannya dihalang oleh sesuatu. Deimonas telah menangkap tangan tersebut, dan kini bilah pisaunya sedang pantas digerakkan untuk mengelar urat nadi Bakri.

Tangan kiri Bakri pantas mencengkam tangan kanan Deimonas yang sedang berusaha untuk mengelar pergelangan tangannya.

Mereka kaku seketika. Pergerakan jadi terkunci.

“Kau hanya amatur yang menyangka dirinya punya kelebihan yang besar!” Deimonas menggores senyuman sinis. Bersahaja. Sambil memaksa juga tangan kanannya bergerak mendekati pergelangan tangan Bakri.

Bakri berusaha keras untuk menggagalkan usaha Deimonas itu. Tetapi ternyata wanita itu punya kekuatan yang tidak biasa. Sedikit demi sedikit, bilah pisaunya semakin menghampiri.

Deimonas tertawa melihat Bakri berhempas pulas mengumpul tenaga untuk melawan pergerakannya itu.

“Satu rahsia, pisau ini beracun. Cukup aku lukakan sedikit sahaja, dan….” Deimonas meniup angin pada pipi Bakri. Provokasi untuk membuat Bakri lebih hilang kawalan.

“Jangan terlalu yakin makcik!” Bakri mencengkam dengan lebih kuat tangan kanan Deimonas, dan kemudian mengerah sepenuh tenaga menggerakkan kedua-dua belah tangannya, mencampak Deimonas dari belakang ke hadapan.

Kesempatan ini tidak dibazirkan oleh Bakri. Dia segera berlari dan melompat ke bangunan sebelah. Keluar dari kepulan asap yang memberikan kekurangan kepada pergerakannya. Sebaik sahaja dia mendarat, segera Bakri berguling dan berlindung di balik dinding berdekatan. Strateginya itu tepat, kerana selepas itu dua anak panah mendarat di tempat dia menjejakkan kaki sebentar tadi. Jika dia terlambat sebentar tadi, dia sudah menjadi mayat sekarang.

“Barq? Barq?” Suara bapanya kedengaran tinggi. Dia yakin bapanya telah berusaha berkomunikasi dengannya semenjak tadi lagi. Tinggal kesengitan keadaan menghalang dirinya memberikan tumpuan kepada bapanya itu. “Apa dah berlaku? Kamera tak dapat merakam keadaan. Seakan-akan ada yang menghalang.”

“Deimonas. Deimonas ada di sini!” Bakri menyusun kembali pernafasan. Namun tidak sempat dia mengatur pernafasannya dengan baik, matanya sempat menangkap dua biji sfera jatuh berdekatan dengan tempat dia berlindung.

Bom tidur!

Terus dia hentikan pernafasannya, dan keluar dari perlindungan sambil menghayunkan tangan, melepaskan tembakan. Tembakannya bergerak pantas, melencong ke arah di mana Deimonas sepatutnya berada.

Bunyi dentingan kedengaran.

Dua anak panah pula keluar dari kepulan asap hitam di bangunan sebelah. Bakri mengelak lagi, berguling ke arah satu lagi dinding berdekatan.

Deimonas nyata bukan calang-calang Pemburu. Tidak hairan wanita ini berada dalam barisan Pemburu Terhandal. Apa yang perlu dilakukan?

Tambahan, Arashi masih berada di atas bangunan tadi. Dia tidak boleh meninggalkan senjatanya itu.

“Ya Allah!” Bakri terasa geram dengan keadaan sekarang.

Ketika ini, Bakri dapat menangkap satu bau. Matanya membesar. Kerana dia tahu dugaannya bertambah.

“Budak jahanam!” Satu suara memetir. Bukan suara Deimonas.

Jagat!

Bakri memejamkan mata. “La hawla wala quwwata illa billah.” Dua Pemburu terhandal serentak? Sekaligus keadaan tempoh hari terimbas kembali. Ketika itu dia ada jalan untuk melarikan diri. Bagaimana sekarang?

“Kau celaka Deimonas. Kau jadikan aku umpan ya?” Suara Jagat kedengaran lagi. Tetapi Bakri tidak cuba mengintip. Boleh jadi ianya perangkap, dan apabila dia ingin melihat, nyawanya akan terus melayang.

“Aku tahu semenjak kejadian di rumah Gabenor tempoh hari, yang tubuh engkau telah diletakkan alat pengesan. Kau tahu kita sudah tidak boleh berbuat apa-apa tatkala alat itu sudah berada di dalam badan kita. Jadi aku ambil sahajalah kesempatan itu. Engkau sepatutnya berterima kasih. Kalau bukan kerana aku, budak ini telah lama meninggalkan tempat ini.” Suara Deimonas, tidak tinggi, tetapi ada nada sedikit menghina.

“Sekarang.” Bakri memberitahu dirinya. Karung pada tali pinggang dibuka, diambilnya beberapa butif sfera beracun, dan dicampak ke arah lawan.

Kemudian Bakri terus keluar dari perlindungan, bergerak untuk keluar dari keadaan ini dengan pergi ke tingkat bawah melalui tangga yang terdapat di atas bumbung ini. Tetapi pergerakannya terhalang dek beberapa das tembakan lencong, yang kita sedang melayang ke arahnya.

Bakri tunduk segera. Tembakan-tembakan itu mengenai dinding. Segera dia berguling untuk melepaskan tembakan balas. Tetapi Jagat sudah berada di atas bangunan yang sama dengannya. Kaki Jagat melayang mengenai wajah. Bakri terseret ke tepi.

“Engkau…” Jagat hendak melepaskan geram. Dendamnya menggunung terhadap budak di hadapannya itu. Tangannya segera mencekik leher Bakri, dan mengangkat pemuda itu. “….dah banyak menyusahkan aku.” Cengkaman Jagat semakin kuat. Bakri tidak dapat bernafas. Pistolnya terpaksa dilepaskan, dan kini kedua-dua belah tangan Bakri sedang memegang tangan Jagat yang sedang mencekiknya itu.

Mata Bakri, walaupun dirinya sedang dalam keperitan, dapat menangkap kelibat Deimonas, di bangunan tadi. Asap hitam yang dilepaskannya telah beransur hilang. Wanita itu sedang siaga bersama busur dan anak panahnya. Seakan-akan bersedia sekiranya cengkaman Jagat terlepas.

Mata Jagat terjegil. Hatinya bersorak puas apabila melihat Bakri terseksa.

Tangan Bakri menepuk-nepuk tangan Jagat. Bakri kelihatan berhempas pulas mahu menyelamatkan diri. Tepukan itu terasa semakin lama semakin lemah.

“Budak, engkau siapa?” Jagat bertanya.

Muka Bakri semakin merah.

“Muse mustahil mempunyai anak. Kami para Pemburu tidak boleh mempunyai anak. Jadi engkau siapa? Apa hubungan engkau dengan Muse hah? Atau engkau tidak kenal Muse? Dari mana engkau belajar kemahiran-kemahirannya?”

Ayat itu membuatkan Bakri tersentak. Dia tidak pernah diberitahu akan perkara itu.

Kini tangan Bakri menepuk-nepuk siku Jagat. Semakin lama semakin lemah.

“Tak mengapa, tak mengapa. Engkau hanya perlu mati sahaja malam ini. Jika benar engkau ada kaitan dengan Muse, dia mesti keluar dari persembunyian dengan kematian engkau, atau dia akan menghilangkan diri dan tidak berani menyusahkan kami lagi!”

“Jagat, cepat bunuh dia. Apa yang engkau tunggu lagi? Habiskan misi kita!” Deimonas melaung. Dia rimas melihat Jagat melewat-lewatkan pembunuhan pemuda itu.

Pemburu sepatutnya tidak beremosi dalam melaksanakan misi. Setiap misi perlu diselesaikan dengan cepat dan bersih, mengelakkan apa-apa konsikuensi negatif.

Tetapi Jagat malam ini dirasuk marah yang melampau.

Jagat memalingkan wajah melihat Deimonas. “Kau di…”

“Jagat!” Deimonas meninggikan suara.

Inilah masanya!

Bakri mengumpulkan seluruh tenaga yang berbaki, meluruskan jari jemari di tangan kanan, memasukkan ibu jari ke ruang telapak, dan menghayun sekuat hati tangan tersebut ke arah siku Jagat.

Bunyi tulang yang patah kedengaran kuat. Cengkamannya pada leher Bakri terlepas spontan.

Deimonas spontan juga melepaskan panahannya. Tetapi Bakri telah membuat perkiraan untuk itu, dan berlindung menggunakan tubuh Jagat, yang masih belum sempat mengerang kesakitan pun.

Semuanya berlaku sepantas kilat.

Tiga anak panah menembusi belakang tubuh Pemburu itu.

Deimonas terkesima. Tidak sesekali mampu menarik balik apa yang sedang berlaku.

Dalam keadaan susah payah dek kesakitan yang teramat sangat, Bakri tetap memaksa tubuhnya bergerak pantas, mencapai pistol di lantai dan menghabiskan semua pelurunya ke arah Deimonas, sambil berundur ke belakang, mendekati tangga.

Deimonas kelam kabut mengangkat busur mempertahankan diri sambil mengelak tembakan-tembakan Bakri, terundur beberapa langkah.

Apabila dia menurunkan busurnya, Bakri sudah berada di tangga.

Deimonas melihat Jagat yang kini telah terbaring kaku.

Tetapi kemudian matanya kembali kepada Bakri, dan matanya terbelalak.

“Selamat tinggal Arashi.” Bakri berbisik sambil memerhatikan Deimonas. Tangan kanan menekan punat.

Satu letupan yang kuat berlaku.

Senapang Arashi milik Bakri meletup dan letupan itu telah mengenai sebahagian tubuh Deimonas, serta membuatkan pemburu wanita itu terpelanting ke hujung bangunan.

Deimonas memaksa dirinya untuk segera bangkit walaupun dalam keadaan parah.

Bakri telah hilang.

Nafas Deimonas turun naik. Api yang marak memanaskan suasana, tambah membuat jiwanya membara.

Sungguh tak dijangka.

Segalanya berlaku dengan pantas.

 

******

 

“Barq?” Suara Mustafa kedengaran.

“Tak mengapa Ayah. Kita jumpa di Pengkalan. Misi berjaya.” Kemudian Bakri mematikan alat telekomunikasi. Mengeluarkannya dari telinga, menyimpan alat itu ke dalam salah satu karungnya, sebelum mengeluarkan kord alat pendengar dan menyumbatkan ke dalam telinga.

Dia perlu keluar sebentar dari tekanan keadaan tadi.

Hampir sahaja nyawanya melayang.

Mujur emosi menguasai Jagat.

Di tengah keributan penghuni bangunan tempat dia berada, yang kelam-kabut akibat letupan tadi, Bakri mengambil kesempatan menghilangkan jejaknya agar tidak dapat diikuti, jika Deimonas masih mahu mengejarnya selepas kejadian tadi.

Penutup kepala diangkat, menutup sebahagian wajah.

Telinga dipekakkan dengan suara Dan daripada Imagine Dragons, mendendangkan Shots, sambil tangan kirinya memegang bahagian tekak dek kerana kesakitan yang masih dirasai. Manakala tangan kanannya terasa seperti sedang berdenyut-denyut sakit. Bukan satu perkara yang mudah untuk mematahkan tulang seorang Pemburu, apatah lagi Pemburu yang handal.

Mujur.

Kepada Allah jualah dikembalikan rasa syukur kerana dilepaskan dari ujian tadi.

Apa pula selepas ini?

Novel Pemburu: Bab 4 – Hero

Hero

“Ya, itu Deimonas. Pemburu yang terkenal dengan…” Dia tidak dapat mendengar perkataan yang seterusnya. Tubuhnya tiba-tiba tidak bertenaga, lantas dia jatuh terjelepuk di situ juga. Dia dapat mendengar Bapanya bersuara, tetapi tidak dapat menangkap apa yang disebut. Pandangan menjadi kabur, sebelum gelap sepenuhnya.

Tubuhnya terasa ringan. Dia seperti diterbangkan ke awanan. Perlahan-lahan mindanya mula membawa diri kembali ke memori silam.

“Bakri,” Bapanya berhenti berlatih, sebaik sahaja perasan dia mendekati. Pemberat diletakkan di atas lantai, sebelum bapanya menggerakkan kerusi roda menghampiri dirinya.

                “Tak tidur lagi, sayang?” Rambut diusap. Dia menggeleng.

                “Bakri teringat pada Ummi.” Mengadu. Dia dapat melihat wajah bapanya yang berhias peluh itu, berubah sedikit durja.

                “Bakri ingat malam itu?” Usapan bapanya terhenti. Peristiwa lima tahun yang lampau kembali menghantui.

                “Orang jahat datang ke rumah kita kan?” Dia menjawab lemah. Bapanya mengangguk.

“Kita perlu tewaskan mereka, sayang. Jika tidak, mereka akan datang lagi.” Bahu Bakri disentuh lembut.

                “Ayah nak tewaskan mereka?” Dia memandang bapanya yang berkerusi roda. Oleh kerana mendapat rawatan yang lambat, kaki kanan bapanya tidak dapat digunakan dengan baik. Kini kerusi roda menjadi alat membantu pergerakan bapanya, sementara beberapa rawatan sedang diusahakan untuk mengembalikan fungsi kaki kanan itu. Namun dia ingat bapanya pernah berkata bahawa kaki tersebut tidak akan dapat pulih dengan sempurna, paling baik pun, hanya mampu membantu bapanya berdiri dengan tongkat.

                Bagaimana bapanya akan mampu menewaskan orang-orang jahat dalam keadaan sedemikian?

                “Bukan berseorangan.” Bapanya menjawab. “Bakri mahu bantu Ayah, sayang?”

                Bakri mengangguk beberapa kali.

                Bapanya tersenyum.     

“Mari, Ayah ajar Bakri asas seni beli diri terlebih dahulu.” Bapanya bergerak ke ruang latihan. Dia mengikuti.

                “Ini bukan jalan yang mudah, Bakri. Tetapi insyaAllah kita akan tempuhinya bersama-sama.”

Bermulalah pada malam itu, perjalanannya menjadi seorang Pemburu. Pada umur 10 tahun, dia tidak lagi menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Dia dididik dengan pelbagai ilmu & bidang. Dari seni persilatan ke seni persenjataan, dari pelbagai bahasa kepada pelbagai bidang sains & teknologi, semuanya diperturunkan oleh bapanya. Pada masa yang sama, mereka berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat, satu negara ke satu negara, untuk mengelakkan mereka ditemui orang-orang yang bertanggungjawab membunuh Ibunya.

Pada mulanya, dia menganggap bahawa perjalanan ini adalah satu pengembaraan untuk membalas dendam. Menuntut bela atas kematian ibunda tercinta. Tetapi apabila sampai satu masa, bapanya mula mengulang-ulangkan peringatan bahawa mereka sebenarnya ada tujuan yang lebih besar.

“Kesatuan Pemburu ini adalah duri dalam daging kepada pembangunan insan sejagat. Mereka mahu menjadikan manusia-manusia ini sebagai boneka. Mereka tidak senang dengan jiwa-jiwa yang merdeka. Mereka ingin mengawal segala-galanya. Jika ada mereka berikan kemerdekaan pun, itu semua hanya artifisial. Mereka mahu dunia kekal lalai dan alpa, sementara mereka mengaut untung dan laba. Telah banyak nyawa melayang untuk membuka laluan buat mereka mencapai apa yang mereka hajati. Apabila ada sesuatu yang mereka mahu, maka akan berlakulah kemalangan, kematian, yang kemudian akan membawa kepada efek berantai, hinggalah tercapai apa yang mereka mahukan. Perjalanan hidup manusia di atas muka bumi ini tidak boleh dibiarkan berada di dalam telapak tangan mereka, dikawal sedemikian rupa.”

Tujuan itu membuatkan dirinya memahami mengapa bapanya amat strategis. Kerana hendak mencapai tujuan yang lebih besar. Bukan sekadar hendak memberikan kepuasan kepada diri.

“Nyawa kita mungkin melayang, Bakri. Tetapi biarlah kita tumbang sebagai orang yang telah berusaha bersungguh-sungguh, bukan sebagai orang yang berdiam diri.

Apabila tubuhnya sudah mantap, juga mentalnya telah bersedia, pada umur 15 tahun bapanya menjalankan pembedahan ke atas dirinya, untuk menjadikannya seorang Pemburu. Pembedahan yang berisiko tinggi, tetapi perlu, sekiranya mereka benar-benar mahu menumbangkan Kesatuan Pemburu.

Bakri masih ingat akan pembedahan yang mengubah struktur tubuhnya itu. Sangat pedih dan perit. Sakit bukan kepalang. Tetapi hasil latihan bapanya sebelum itu, termasuk persediaan minda yang kukuh, menjadikan dia berjaya melepasi pembedahan tersebut.

Selepas itu, latihannya sebagai Pemburu disambung dan menjadi semakin berat. Latihannya juga mula masuk ke alam realiti, dengan bapanya menyediakan misi. Menggunakan kod nama ‘Barq’, kalimah bahasa arab yang membawa maksud ‘petir’, dia ditugaskan dengan pelbagai misi seperti memburu ketua konsi gelap di Mexico, menceroboh masuk ke NASA untuk mendapatkan maklumat, menyelinap ke dalam Pentagon dan mengambil data-data penting, berkampung di Tel Aviv selama sebulan untuk mencuri maklumat-maklumat kepunyaan Mossad, memburu beberapa orang penting di dalam kumpulan ISIS yang sebelum ini bermaharajalela di Iraq, dan banyak lagi.

Hinggalah pada satu hari, bapanya berkata:

“Kita akan pulang ke Malaysia. Itu ialah tanah air Ayah sebenarnya. Ayah berasal dari sana.”

                “Kita ada nak melawat sesiapa ke di sana?”

                “Ayah ada beberapa orang kawan. Tetapi kita bukan sekadar nak melawat. Kita akan menetap di sana.”

                “Oh?”

                “Kesatuan Pemburu ada rancangan besar terhadap Malaysia berdasarkan keadaan terkini.”

                Bakri ada mendengar yang beberapa letupan telah berlaku di Malaysia, termasuk peningkatan pembunuhan di tempat awam oleh pihak yang tidak diketahui.

                “Ayah rasa itu semua adalah perbuatan Kesatuan?”

                “Ayah bukan rasa. Ayah memang tahu.” Bapanya tersenyum.  “Tambahan Ayah yakin Malaysia boleh menjadi pengkalan utama kita untuk menumbangkan mereka.”

                “Saya menurut sahaja. Ayah bertanggungjawab di bahagian taktikal bukan? Saya askar sahaja.”

                Bapanya tertawa sambil terangguk-angguk sedikit. “Bakri adalah anak Ayah, sayang.”

Pada penghujung umurnya 19 tahun, mereka bergerak menuju ke negara yang terletak di Asia Tenggara itu. Antara perkara pertama yang dilakukan oleh bapanya di Malaysia ialah membawanya bertemu dengan sekumpulan rakan.

Bakri tidak sesekali mencampuri perbincangan mereka. Bakri lebih selesa untuk tidak tahu terlalu banyak detail, sebagai persediaan hari-hari yang buruk. Tetapi apa yang pasti, mereka ini adalah antara yang bertanggungjawab kepada perubahan bapanya, sehingga menyebabkan bapanya meninggalkan Kesatuan Pemburu, satu masa dahulu. Mereka bukan calang-calang orang di Malaysia, dan antara yang banyak membantu bapanya memulakan kehidupan baru di negara ini.

Tiba-tiba Bakri terasa seperti ditarik. Lamunannya pecah berderai. Suasana menjadi gelap. Dia seperti direntap.

“Ugggghhh!” Matanya terbelalak.

Tubuhnya direnjat aliran elektrik berkuasa tinggi. Sakit bukan kepalang.

“Tak merbahayakah?” Satu suara menerjah gegendang telinganya.

“Jangan pandang rendah dengan tubuh seorang Pemburu.” Kali ini suara Bapanya pula kedengaran.

“Bakri, Bakri?” Pandangannya yang kabur perlahan-lahan kembali seperti asal. Dia dapat melihat bapanya, dan juga…

“Hero?” Lemah dia cuba bertutur.

Satu tubuh, memakai sut yang tidak asing lagi di negara ini, sedang berdiri di sebelah Bakri. Individu tersebut segera menekan sesuatu pada bahagian leher, seterusnya mendedahkan wajah seorang lelaki, kacak, berambut hitam sedikit panjang di belakang, berumur lingkungan 30-an.

“Bagaimana Bakri?” Bapanya bertanya risau. Pandangan Bakri beralih segera kepada orang tuanya itu.

“Alhamdulillah. Apa yang telah berlaku?”

“Deimonas telah berjaya mencederakan Bakri dengan racun yang tersangat kuat, menyebabkan Bakri pengsan di tengah hutan.”

Bakri memandang semula kepada tetamu mereka. Masih setia berdiri, tetapi kini tangan sudah bersilang pada dada. Melihat Bakri, lelaki itu mengukir senyuman.

“Panggil saya Afam. Em, saya mendapat panggilan kecemasan daripada Mr Umayer, menyatakan Tuan Mustafa memerlukan bantuan. Sejurus mengetahu apa yang perlu dilakukan, saya terus pergi mendapatkan Bakri.” Lelaki bernama Afam itu memberikan penjelasan.

“Dengan sut tersebut?” Bakri mengerutkan dahi.

Afam mengangguk.

“Bagaimana orang tidak boleh sedar yang Hero datang membantu saya?” Bakri memikirkan konsikuensi tindakan tersebut. Mungkin sahaja pergerakannya akan dikesan oleh Kesatuan Pemburu, lantas mendedahkan lokasi rumah dan pengkalan mereka ini.

“Jangan risau.” Afam mengepal tangan, automatik tubuh badanya hilang, meninggalkan wajahnya sahaja terawang-awang.

Bakri berkelip beberapa kali, sebelum menyedari apa yang dilakukan oleh Afam. “Teknologi Camouflage yang terkini ya? Tangkap gambar belakang dan dipancarkan semula di hadapan, maka jadi seperti halimunan.”

Afam kembali seperti sedia kala. “Bijak. Jadi jangan risau.” Afam seakan dapat menjangka kerisauan Bakri sebentar tadi.

Bakri perlahan-lahan cuba bangkit untuk duduk. Bapanya membantu.

“Bagaimana dengan racun di dalam tubuh?”

“Alhamdulillah hanya terkena sedikit sahaja dan juga mendapat tindakan segera. Maka darah dan kulit yang diracuni berjaya dibuang tanpa masalah.” Mustafa menjawab. Bakri melihat pada bahagian lukanya itu, telah berjahit.

“Ayah terpaksa buat renjatan elektrik tadi, risau sekiranya ada alat pengesan.”

“Ya ya.” Bakri mengangguk-angguk. Dia turun dari katil tempat dia dibaringkan. Memang persis seperti katil pembedahan di hospital, kerana bapanya berpendapat, pasti akan ada kegunaannya jika mereka hendak menentang organisasi seperti Kesatuan Pemburu. Ternyata benar jangkaan bapanya.

Sebaik sahaja Bakri menyentuh lantai, dia terus terjelepuk jatuh. Afam pun tidak sempat menyambutnya.

“Ugh.” Baru Bakri perasan yang tubuhnya terasa amat lemah.

Mustafa bergerak mendapatkan Bakri. Dengan bantuan Afam, mereka kembali mendudukkan Bakri di atas katil.

“Kesan racun itu masih ada. Tubuh Bakri kemungkinan akan menjadi lemah buat seminggu ini.” Mustafa memberikan penjelasan. Dia menggesa agar Bakri baring kembali. Perlahan-lahan Bakri kembali terlentang.

“Terima kasih banyak Tuan.” Mustafa menundukkan kepalanya, sambil menjabat tangan Afam.

“Jangan begitu. Saya yang sepatutnya panggil abang Mus sebagai Tuan. Abang Mus orang yang lebih tua.” Bahu Mustafa ditepuk lembut beberapa kali oleh pemuda bersut Hero itu.

“Alah, tua sekitar 10 tahun sahaja.”

“Banyak tu.” Afam buat wajah serius. Mengundang tawa kecil Mustafa.

“Saya sedikit sebanyak mengetahui hal Tuan dan Kesatuan Pemburu ini. Mr Umayer kata, ianya berkait rapat juga dengan kami. Apakah ada cara di mana saya boleh membantu?” Afam dan Mustafa bergerak menjauhi Bakri. Memberikannya ruang untuk berehat. Namun Bakri masih dapat mendengar bicara kedua-dua mereka, dek kerana deria pendengarannya yang tinggi.

“Tidak mengapa Afam. Sebenarnya situasi agak kompleks. Kesatuan Pemburu lebih baik diperangi secara senyap. Menggunakan sut Hero ini, agak merbahaya. Risau jika silap haribulan, teknologi ini jatuh ke tangan mereka pula.” Mustafa menghentikan langkahan di hadapan skrin gergasi.

“Itu antara apa yang mereka buru di negara ini bukan?” Afam meneka.

“Salah satunya.”

Mereka diam seketika. Afam seperti berfikir panjang, sambil memandang skrin gergasi yang kini mati. Mustafa memandang sahaja pemuda di hadapannya. Pemuda yang sudah semakin meningkat usia. Dia tahu Afam kini bermur 35 tahun, sudah mempunyai 3 orang anak, siangnya sibuk menguruskan syarikat peninggalan arwah bapanya – Amir&Co, manakala kebanyakan waktu terluang pemuda ini habis sebagai pengegrak organisasi bukan kerajaan bertemakan kebajikan bernama INSANI. Salah seorang daripada 10 Jutawan utama yang bertanggungjawab mencorakkan negara ini. Juga orang pertama yang menggunakan sut Hero, yang digerakkan dengan teknologi ultra moden – Elemen Baru, antara harta bernilai Malaysia sekarang ini.

Pun begitu Afam tidak lagi sering mengenakan sut Hero, memandangkan sekarang Malaysia sudah mempunyai pasukan khas yang menggunakan sut tersebut untuk mengawal keselamatan dalam dan sempadan negara, hasil perkongsian pihak Afam dengan Skuad Elit Gerak Khas negara ini.

Teknologi sut tersebut menjadi rebutan dunia, dan sekaligus melonjakkan kekuatan ketenteraan Malaysia. Peratus jenayah di Malaysia juga berkurangan semenjak wujudnya skuad Hero, mengawal keamanan negara.

Tetapi mereka tidak boleh dibawa untuk menentang Kesatuan Pemburu.

Mustafa tidak mahu Malaysia menjadi tapak peperangan baru.

Bukan sekarang, sekurang-kurangnya.

Jika tersilap langkah, Kesatuan Pemburu mungkin tidak teragak-agak mengarahkan seluruh ahlinya untuk fokus kepada Malaysia sahaja. Dan itu akan mengundang padah kepada semua.

“Buat masa ini, saya cadangkan Afam teruskan kehidupan seperti biasa. Mereka masih tidak tahu berkenaan identiti Afam dan kaitan dengan Hero, kecuali syarikat Amir&Co sebagai penemu Elemen Baru dan pusat servis bagi sut-sut Hero untuk Skuad Elit. Itu pun kebanyakan cubaan mereka untuk mensabotaj atau mengambil alih syarikat tersebut, berjaya dihalang dengan baik oleh Mr Umayer dan rakan-rakan yang lain. Kita perlukan Afam untuk fokus menggerakkan misi & visi INSANI, dan itu adalah sebahagian dari gerak kerja kita. Biar kami yang berurusan dengan Kesatuan Pemburu secara langsung.”

“Hanya berdua?” Afam memandang ke arah Bakri.

“Jangan pandang rendah dengan tubuh seorang Pemburu.” Mustafa mengukir senyuman.

Afam tertawa mendengar ayat ulangan itu.

“Tidak mengapa. Baiklah kalau begitu. InsyaAllah, sama-sama kita usahakan yang terbaik. Sememangnya bila sampai ke peringkat ini, cabaran dan dugaan itu akan lebih melibatkan percagaran nyawa.”

“INSANI telah membentuk kamu menjadi seorang yang faham.” Bahu Afam ditepuk lembut, dilayan seperti anaknya sendiri. “Sekali-sekala, datanglah ke mari. Sebagai manusia biasa. Jadi kawan kepada Bakri. Dia perlukan contoh yang baik.”

Afam tertawa lagi. “Sebagai manusia biasa ya, Tuan.”

Mustafa turut tertawa.

Selepas bersalaman dan berpelukan, Afam mengucapkan selamat tinggal sebelum mengaktifkan teknologi camouflage dan bergerak keluar dari pengkalan.

Mustafa kembali mendekati Bakri.

“Panjang bersembang.” Bakri menyapa.

“Bukan senang nak ada kawan di atas jalan ini.” Mustafa mengambil kerusi, merapatkan diri ke katil, kemudian duduk di sebalah anaknya. “Mana yang ada, kita hargai.”

Bakri tersenyum lemah.

“Berehatlah.” Rambut Bakri diusap dengan penuh kasih sayang.

 

******

 

“Minum?” Deimonas mengangkat gelas.

Jagat yang baru sahaja keluar dari bilik air, hanya mengenakan tuala menutup bahagian bawah pusat hingga lutut. Menggeleng. Dia terus ke meja makan, sebelum membuka peti sejuk yang berada berdekatan perabot tersebut.  Makanan dan minuman tersusun di dalam peti sejuk, dan tanpa menanti lama, Jagat terus mengeluarkan sebiji epal.

Epal dibawa ke ruang tamu, dan selepas Jagat melabuhkan punggung di hadapan televisyen, segera digigit buah itu. Dia cuba merehatkan diri dengan suasana rumah yang moden lagi mewah ini.

“Heh.” Jagat mendengus sambil terus mengunyah. Baru hendak menenangkan diri, ada sesuatu yang menganggu.

“Sakit?” Deimonas mencelah, setelah memerhatikan rakan seorganisasinya itu.

“Tak adalah rasa sangat. Tetapi ternyata penyerang itu bukan calang-calang.” Jagat menyentuh dagu. Mulutnya terluka akibat hentakan deras Sang Penyerang.

Deimonas meletakkan gelas di tepi botol minuman keras. Minuman kegemarannya selepas satu-satu misi. Di atas meja yang sama, terdapat beberapa kertas mahjong, penuh dengan plan. Deimonas menarik yang paling atas, sebelum mengoyakkannya. Kemudian kertas itu dikeronyok, sebelum dicampak ke dalam tong sampah.

“Kena buat rancangan yang lain.” Deimonas mengukir senyuman. Tangannya bermain dengan rambutnya yang panjang melepasi bahu. Ikatan rambutnya telah dilepaskan.

“Aku rasa kita mendapat maklumat yang salah.” Jagat meletakkan buah epal yang belum dihabiskan, dan membuka laptop yang sedia ada di atas meja.

Wajah Mustafa, atau nama kod Pemburunya ialah Muse, terpapar pada skrin tersebut bersama-sama maklumat yang detail mengenainya.

“Dinyatakan di sini bahawa dia menerima tembakan pada peha kanan dan lengan kiri. Intel kita menyatakan bahawa dia tidak berjaya menyelamatkan kakinya, dan kini separa cacat. Tangan kirinya juga tidak secergas mana.”

“Penyerang semalam tangkas. Bahkan seni persilatannya sangat cermat. Dia mengelak serangan demi serangan daripada kau dengan begitu baik sekali. Tidak teburu-buru. Setiap pergerakan kau seakan-akan dikira.” Deimonas mengimbas kembali pemerhatiannya.

Walaupun dia memerhati dari jarak yang tersangat jauh, itu tidak menjadi masalah buatnya. Mata seorang Pemburu bukan mata yang biasa.

Jagat tidak puas hati. “Itu antara ciri-ciri Muse. Tetapi dia pastinya bukan Muse.” Tangannya menggerakkan kursor, skrin bergerak perlahan-lahan ke bawah, mempamerkan video gaya Muse bertarung semasa masih bersama Kesatuan Pemburu sekitar 20 tahun yang lalu.

“Anak murid?” Deimonas meneka. Matanya tekun memerhatikan pergerakan Muse pada skrin.

Jagat diam tidak memberikan reaksi. Dia cuba membandingkan apa yang terpapar pada skrin, dan apa yang dialami semalam.

“Mustahil dia mempunyai rakan seperti itu kerana aku sangat pasti yang menyerang kita semalam ialah seorang Pemburu. Dia tidak kaget apabila aku menggunakan minuman istimewa kita, bahkan seakan-akan itu sudah termasuk dalam perkiraannya.”

“Apabila dia diserang secara mengejut, dia dapat bereaksi dengan baik. Ya, itu memang seorang Pemburu.” Deimonas membayangkan semula bagaimana penyerang semalam mampu mengelak serangannya.

Perasaan kagum tidak dapat disembunyikan, kerana Deimonas adalah antara penyerang hendap terhadal di dalam Kesatuan Pemburu. Dia gemar menggunakan busur kerana jarak yang diperlukan lebih hampir berbanding tembakan menggunakan sniper rifle. Untuk itu, biasanya, mangsanya tidak punya kesempatan untuk mengelak. Tetapi itu tidak berlaku terhadap Sang Penyerang.

“Anak?” Jagat menggerakkan lagi kursor, mendapatkan maklumat yang dicarinya.

Gagal. Tidak dijumpai maklumat tersebut. “Engkau ni, bodoh ke apa?” Deimonas menajamkan pandangan kepada Jagat.

Jagat mengeluh. Ya, dia tahu itu persoalan yang tidak bijak.

Pemburu tidak boleh mempunyai anak. Pembedahan yang dijalani oleh mereka telah membuatkan seorang Pemburu itu mandul.

“Cis!” Jagat menghentam meja dengan kedua-dua tangannya. Meja yang diperbuat daripada kaca itu jadi sedikit retak. Jagat masih tahu mengawal kekuatan agar tidak berlebihan sehingga menghancurkan perabot itu.

“Janganlah terlalu stress. Apalah engkau ni.” Deimonas menyilang tangan, menyandarkan tubuhnya pada sofa, bersahaja.

“Kita perhatikan dahulu beberapa hari ke hadapan ini.” Deimonas kemudian bersuara.

“Nak perhatikan apa?”

“Sama ada penyerang kita itu masih hidup atau tidak.” Deimonas bangun.

“Mahu ke mana?” Tajam pandangan Jagat. Dia sebenarnya amat tidak senang dengan gaya bersahaja Deimonas.

“Tidur. Mahu tidur bersamaku?” Deimonas menghantar pandangan menggoda.

Jagat mendengus. “Jangan ingat aku lelaki murahan! Kenapa engkau bersikap sambil lewa? Bagaimana engkau boleh teramat pasti yang panahan kau terkena pada tubuhnya?”

“Heh.” Deimonas tersengih. Berpaling dan menyambung langkahan, menghilangkan diri di balik dinding. Jagat terbiar tanpa jawapan.

Jagat kembali mengimbas pertarungannya dengan Sang Penyerang. Daripada beberapa pertukaran serangan antara kedua mereka, dia dapat menjangka usia penyerang tersebut. Penyerang semalam adalah seorang anak muda. Terlalu muda. Mungkin di sekitar awal 20-an.

Antara hakikat yang Jagat tidak dapat menerima. Kerana Jagat 10 tahun lebih tua daripada itu!

Dia telah dimalukan oleh seorang budak, bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut!

Maruahnya masih lagi tidak terbela.

“Argh!” Terus dihayunkan tangannya menamparnya gelas dan botol di atas meja. Jatuh ke lantai, pecah berderai.

Dia berharap peluang untuk membersihkan maruahnya akan muncul. Namun entah mengapa, dari satu sudut kecil hatinya, dia berharap benar racun Deimonas itu berjaya membunuh lawannya.

Adakah dia takut?

“Mustahil!” Jagat memarahi diri.

 

******

 

Bakri tetap pergi ke universiti. Menghadiri kuliah seperti biasa. Tubuhnya terasa lemah, tetapi tidak menghalang dirinya untuk tetap pergi ke tempat menuntut ilmu ini. Walaupun tidak banyak perkara menarik sepanjang berada di universiti, sekurang-kurangnya angin damai tanpa suasana yang merisikokan nyawa, menenangkan diri.

“Bakri boleh berehat di rumah sahaja kan?” Dia seperti ralat untuk ke universiti.

                “Pergi keluar, ambil angin. Cepat sedikit kembali kepada keadaan optimum.” Tegas bapanya.

Sebagai anak yang taat, tambahan argumen bapanya juga ialah satu perkara yang relevan, dia patuh. Memang sedikit sebanyak, suasana di sini memberikan ketenangan.

Kini dia berehat di hadapan tasik sambil ditemani suara Chester yang menyanyikan ‘numb’. Lanskap Universiti Iman Ihsan ini adalah seperti bulatan gergasi. Di tengah-tengahnya terdapat masjid yang dikelilingi tasik bersama-sama taman rekreasi yang besar, kemudian di sekelilingnya ialah bangunan-bangunan yang menempatkan administrator, dewan kuliah, makmal, gym, perpustakaan, asrama, dan pelbagai infrastruktur universiti yang lain.

Dia baru menunaikan Solat Zuhur di Masjid, dan kuliyah yang seterusnya adalah pada pukul 3 petang. Dia tidak rasa berselera untuk makan tengahari, maka dia mengambil keputusan berehat di sini.

“Kalau aku betul-betul ditusuk panah tempoh hari, apa agaknya akan berlaku?”

Hanya terkena sedikit, kesannya terasa begitu sekali. Hari ini sudah hari kelima dari kejadian tempoh hari.

Dia risau akan keselamatan Gabenor, tetapi bapanya berkata bahawa selepas kejadian itu, kawalan di sekeliling Gabenor bertambah ketat. Pergerakan Jagat juga dimonitor.

Dia perlu cepat sihat agar dapat kembali beraksi.

“Assalamu’alaikum.” Sapaan itu membuatkan Bakri sedikit terkejut. Kekuatan derianya juga mengendur akibat racun Deimonas. Kelam-kabut dia menjawab salam dan memerhatikan si pemilik suara.

Bakri terpana.

Lelaki yang membantu menyelamatkannya tempoh hari, kini berdiri dengan berpakaian kemeja kemas. Bertali leher. Bercermin mata hitam. Tangan menghulur salam.

Berkerut dahi Bakri. Perlahan-lahan berjabat tangan sambil tangan kiri menurunkan earphone.

Afam. Atau nama penuhnya Amir Faheem bin Amir Mueez, tiba-tiba terpacak di hadapannya? Kenapa?

“Boleh saya duduk?”

Bakri bergerak memberi ruang. Ketika ini, Bakri dapat memerhatikan yang para pelajar, pensyarah atau sesiapa sahaja yang sedang berada di sekeliling kawasan tersebut, sedang memfokuskan pandangan mereka terhadapnya.

“Ah, susah bila orang kenal kita ni kan?” Afam bersahaja. Tangannya mendepa, sebelum direhatkan pada kerusi yang diduduki.

Bakri tertawa kecil. Menggeleng kepala. Semenjak hari itu, dia ada meluangkan sedikit masa mengkaji berkait Afam. Memang terkenal dengan gayanya yang selamba, walaupun kini merupakan antara orang berpengaruh di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Apa yang Tuan buat di sini?” Bakri tertanya-tanya.

Afam ketawa. “Tidak perlulah bertuan-tuan. Panggil Abang pun okay. Kita beza sekitar 15 tahun aja.”

“15 tahun aja?” Bakri mengangkat kening, kemudian ketawa lagi. Terhibur dengan gaya Afam.

Mereka berborak dengan mesra, seakan-akan telah kenal lama. Persahabatan berputik. Dan bagi Bakri, ini ialah persahabat pertamanya. Dia tahu yang bapanya meminta jasa baik Afam untuk menjadi temannya, tetapi tidak sangka pula seperti ini. Sedikit sebanyak membuatkan dia kagum dengan peribadi Afam. Bapanya menyatakan bahawa ada ramai orang seperti ini, dan berharap satu hari nanti mereka boleh hidup bergaul dengan mereka, dalam keadaan yang selamat tanpa dibayangi Kesatuan Pemburu.

Mungkin ini salah satu daripada perkiraan bapanya.

Gelagat Afam dan Bakri diperhatikan ramai orang, namun mereka tidak memperdulikannya. Tidak sedikit yang tertanya-tanya, apa kaitannya pelajar universiti ini dengan salah seorang Jutawan utama negara?

Dan bagi yang mengenali Bakri sebagai pelajar baru, lebih menjadi kehairanan.

“Eh, siapa dia tu ha?” Fatihah memuncungkan bibir ke arah Bakri.

“Tu Tuan Amir Faheem la. Takkan tak kenal. Antara orang terkaya di Malaysia dan ikon anak-anak muda. Filantropis ternama.” Salma menjawab.

Mereka berdua baru pulang dari Kafeteria dan melalui kawasan tersebut, sebelum langkahan terhenti dek kerana rasa ingin tahu Fatihah.

“Bukan Tuan Amir. Itu aku kenal. Bakri tu ha. Siapa dia? Kenapa orang besar macam Tuan Amir boleh duduk santai dengan budak macam dia?” Fatihah tertanya-tanya.

Pelbagai persoalan timbul. Semakin semakin banyak pula misteri pelajar baru ni.

“Saudara kut.” Salma menjawab.

“Ish, tak ada gaya macam berkongsi hubungan darah pun. Tengok gaya Tuan Amir, segak, kemas, ada kaliber. Bakri tu, pakaian tak kemas, asyik pakai baju sejuk aja, padahal Malaysia ni bukan UK. 24 jam telinga disumbat dengan ‘earphone’. Masa belajar tak fokus.”

“Wah wah, banyak ya kau tahu fasal Bakri ni. Cukup-cukuplah skodeng anak teruna orang Fatihah oi.” Salma menggerak-gerakkan jari telunjuk, menyakat.

Terus tangan Salma itu ditepis Fatihah. “Sudahlah kau ni.”

Fatihah terus berjalan sambil menggendong buku, diikuti Salma.

“Weh, rilek la. Gurau pun tak boleh ke?”

Mereka terus bergerak meninggalkan kawasan tersebut.

Fatihah pun tidak pasti mengapa dia seperti suka nak menyibuk hal Bakri. Tetapi dia tidak dapat menafikan perasaannya yang sedikit sebanyak menganggap karakter Bakri itu agak berlainan dari kebanyakan orang yang ditemuinya.

Itu membuatkan dia sering memerhatikan Bakri semenjak pelajar baru itu muncul di Universiti ini.

Novel Pemburu: Bab 3 – Cinta Kepada Negara

maxresdefault

Bunyi beg pasir menjadi mangsa tumbukan dan tendangan bertubi-tubi, bergema di ruangan luas yang terletak di bawah tanah ini. Kelihatan Bakri, hanya berseluar sukan, sedang berlatih sambil bermandikan peluh. Di sekitar anak muda itu, terdapat lapang sasar mini untuk latihan tembakan, alatan angkat berat, juga beberapa set larian berhalangan. Bersebelahan lapang sasar pula, wujud satu tempat khas untuk senjata dan meja panjang yang penuh dengan pelbagai alat pertukangan, komponen-komponen senjata, serta bahan-bahan herba.

Mustafa sedang duduk berdekatan meja tersebut, sambil memegang sepucuk pistol. Tongkat direhatkan pada tubuh. Mata fokus kepada Bakri.

Tiba-tiba, tanpa amaran, tanpa isyarat, Mustafa melemparkan senjata yang dipegangnya itu ke arah Bakri.

Bakri tidak terkejut. Beg pasir mendapat habuan terakhir berbentuk tendangan dari kaki kanan, sebelum Bakri menunduk dan menyambut senjata yang dilemparkan bapanya. Terus Bakri berguling, sebelum bangkit semula dan menghayunkan tangan sambil melepaskan satu das tembakan ke arah lapang sasar.

Peluru melayang dan kemudian melencong di tengah udara. Tembakan Bakri tepat mengenai salah satu dari tiga papan sasar yang terdapat di kawasan tersebut. Bakri kini melakukan lompatan balik kuang, sambil melepaskan satu lagi das tembakan. Peluru deras membelah udara, kali ini lurus, tepat mengenai satu lagi papan sasar. Beberapa detik sebelum Bakri mendarat, Mustafa menekan sebuah punat berdekatan tempat duduknya. Tiga piring keluar dari arah lapang sasar, masing-masing bergerak rawak di tengah udara. Sebaik sahaja kaki Bakri menjejak lantai, tiga das tembakan dia lepaskan sambil tangannya dihayun pantas. Sekelip mata, tiga piring tadi pecah berderai. Bakri tidak membazirkan lebih masa untuk melepaskan tembakan yang seterusnya, tepat mengenai papan sasar terakhir.

Bakri mengatur semula pernafasan. Bangkit perlahan-lahan. Jelas terpamer tubuhnya yang perkasa. Tidak terlalu besar, tetapi jelas kelihatan otot-ototnya terbentuk cantik. Bakri bergerak mendekati Mustafa, meletakkan senjatanya di atas meja, sebelum memperbetulkan rambut.

“Bagaimana?”

“Mengkagumkan.”

Bakri tersenyum.

“Agiliti, ketepatan, ketahanan, fokus. Semuanya terbaik, alhamdulillah.” Mustafa menyambung puji. Di dalam hati, terbit rasa bangga.

“Tetapi…” Mustafa bangun, bergerak bersama tongkat mendekati lapang sasar. Papan yang pertama didekati. Mustafa menunjukkan pada kesan tembakan. “Tersasar beberapa milimeter.”

Bakri mengangkat kening. Pergi ke tempat yang sama, memerhati dengan lebih dekat. Sedikit nafas keluhan keluar.

“Tembakan melencong, masih belum boleh dikatakan sempurna.”

“Ugh,” Bakri mengepal penumbuk, mengetap gigi. Geram.

Mustafa menepuk bahu anak tunggalnya itu. “Tetapi ini sudah satu pencapaian yang baik.” Mustafa menyambung langkahan. Kini ke satu sudut yang lain pula, yang penuh dengan alat elektronik, diketuai skrin gergasi yang ditemani beberapa skrin kecil di kiri dan kanan, bersama dua tempat duduk yang moden. Bakri mengekori.

Skrin gergasi itu mempamerkan wajah Jagat, bersama maklumat mengenainya, dan beberapa rakaman aksi Jagat sebelum ini. Skrin kecil pula mempamerkan laporan berita televisyen, akhbar, internet, berkenaan kejadian di Bukit Aman seminggu yang lepas.

“Apakah sudah sampai masanya untuk kita berurusan dengan dia?” Bakri menyilang tangan di dada. Mustafa mengambil tempat. Jari jemarinya menari di atas papan kekunci.

Kini skrin menunjukkan pula peta Kotaraya. Dan ada satu bintik merah sedang bergerak.

“Dia memang tidak perasan ya?” Bakri tersengih.

“Itu sebabnya Ayah minta Bakri lepaskan tiga tembakan pada malam itu.”

Bakri mengimbau kembali kejadian di pejabat Nazir, wartawan TV Taqwa. Tiga tembakan yang dimaksudkan bapanya ialah semasa Jagat bersembunyi di balik dinding.

“Supaya Jagat menyangka bahawa tembakan-tembakan itu ialah cubaan untuk mengagak posisinya di sebalik perlindungan.” Bakri kini faham.

“Ya, supaya dia merasakan itu ialah cubaan untuk menamatkan nyawanya. Apa yang Jagat tidak tahu ialah, tembakan itu sebenarnya adalah untuk meletakkan alat pengesan di dalam tubuhnya.” Mustafa tertawa kecil.

Bakri mengangguk-angguk. Dia sedikit berbeza pendapat dengan bapanya pada malam itu akan keperluan melepaskan tiga tembakan. Pada malam itu, satu tembakan sahaja sudah cukup untuk dia menamatkan nyawa Jagat. Tetapi bapanya bertegas untuk dia melepaskan tiga tembakan, dengan tembakan ketiga barulah mengenai Jagat, itu pun hanya pada bahunya.

“Bukan senang tau nak buat tembakan setepat itu terhadap orang yang bersembunyi di balik dinding.” Bakri mencebik.

Mustafa terus tertawa.

“Ayah tahu Bakri dapat melakukannya.” Tanganya mencapai bahu Bakri. Bakri menggores senyuman.

“Jadi, oleh kerana dia menyangka tembakan tersebut ialah untuk membunuh, dan dia merasakan ianya tersasar kerana hanya mengenai bahu, dia langsung tidak bertindak untuk memeriksa tubuhnya sendiri. Apabila alat pengesan bersaiz nano itu tidak dibunuh dengan renjatan elektrik dalam masa 12 jam, maka ianya akan kekal aktif di dalam tubuh badan mangsa.” Mustafa memberikan penerangan.

Terangguk-angguk Bakri mendengarnya. Selepas misi malam itu, apabila pulang ke pengkalan bawah tanah ini, barulah Ayahnya menerangkan yang peluru Bakri telah disalut dengan alat pengesan bersaiz nano tersebut.

Peluru buatan Pemburu biasanya mempunyai satu ciri yang istimewa.

Yakni ia tidak meninggalkan peluru. Peluru yang dilepaskan, selepas mengenai sasaran, akan hancur tidak meninggalkan apa-apa. Hanya kesan tembakan sahaja. Pelurunya langsung tiada. Ini untuk mengelakkan seorang Pemburu itu dijejaki.

Apabila peluru itu menembusi tubuh Jagat, salutan alat pengesan itu tinggal di dalam tubuhnya, manakala peluru tersebut pula hilang tidak meninggalkan baki apabila mengenai lantai.

“Sengaja kita biarkan apa yang berlaku di Bukit Aman, agar dia tidak syak yang kita sedang mengesannya. Lagi pun, Ayah sudah 100% pasti bahawa tindakannya tempoh hari adalah lebih kepada untuk menutup rahsia kewujudan Kesatuan Pemburu. Untuk itu, dia tidak akan membunuh sesiapa di Bukit Aman.” Mustafa menongkat dagu dengan tangan. Sementara tangan kirinya menekan papan kekunci. Kamera-kamera di sekitar tempat Jagat sedang berada, diakses. Kini skrin-skrin kecil mempaparkan pergerakan Pemburu itu.

“100% pasti? Sebab itulah Ayah tenang sahaja ya? Semua dalam perkiraan Ayah?” Bakri semakin teruja untuk mendalami kelebihan Bapanya.

“Astaghfirullah.” Spontan Mustafa menyebut kalimah tersebut. “Silap. Kita sebagai manusia, tidak mungkin boleh 100% pasti bukan? Mungkin hanya 90% sahaja.” Mustafa memperbetulkan. “Tabiat lama.”

Bakri tertawa. Menggeleng kepala melihat ulah Bapanya.

“Jadi, apa tindakan kita malam ini?” Bakri kembali memberikan fokus kepada skrin. Jagat dilihat sedang bergerak ke arah satu tempat. Bakri telah studi kawasan ini, kerana ianya merupakan salah satu kawasan panas di Malaysia. Tempat itu menempatkan rumah salah satu individu yang tersangat penting di negara ini.

Mungkin menjadi sasaran Jagat.

“Berikan salam perkenalan.” Mustafa memandang Bakri.

Bakri mengangguk.

 

*****

 

Malam ini angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sekali-sekala kedengaran bunyi hon kenderaan dari jalan raya, membelah keriuhan suasana di kedai mamak yang sedang menayangkan perlawanan bola. Nazir tidak ambil tahu. Dia sekadar menikmati suasana, ditemani teh tarik.

Malaysia telah membangun menjadi antara negara moden yang dikagumi dunia. Bukan lagi negara kelas ketiga. Negara ini kini menikmati kemakmuran, dan dengan kadar jenayah yang semakin menurun, keselamatan. Rakyat kelihatan semakin gembira, bersikap positif, bermotivasi. Walaupun baru-baru ini, ada beberapa kejadian yang kelihatan cuba untuk menggegarkan keharmonian tersebut.

Pun begitu, apa yang telah dicapai tidak menghilangkan kebanyakan budaya rakyat negara ini. Antaranya, meluang masa di kedai mamak.

Jika melepak di kedai mamak, dapatlah dirasakan bahawa diri dibawa kembali kepada era yang lalu, kerana kedai mamak tetap begitu. Pelayan pelanggan yang tidak memerlukan nota untuk mengambil pesanan, masih menjadi tempat lepak kebanyakan marhain, roti canai, teh tarik, kopi, semua yang menjadi identiti kedai mamak, masih kekal.

“Dalam banyak-banyak tempat, kedai mamak juga yang dipilihnya ya?” Satu suara menarik Nazir keluar dari lamunan. Wartawan muda itu mengangkat wajah, kemudian melempar senyuman. Dia mahu berdiri menghormati individu yang hadir, tetapi diberikan isyarat agar kekal duduk.

“Detektif Wong.” Nazir menghulurkan tangan. Salam bersambut. Detektif Wong kini berpakaian kasual. Terpapar kulitnya yang putih melepak, mempamerkan baka keturunan. Salah satu kaum dari kepelbagaian etnik di Malaysia ini.

“Kedai mamak banyak memori.” Nazir memulakan perbualan.

Detektif Wong mengangguk sambil mengukir senyuman, mengakui kebenaran. Tangan segera diangkat, tidak lama kemudian sampai seorang pelayan, berkulit gelap, bermisai tebal, berambut kerinting.

“Ya boss? Apa mahu order?” Sopan tetapi bersahaja, pelayan bertanya, sambil kedua-dua belah tangan bersilang di belakang.

“Bagi saya nescafe satu.”

“Makan tak mahu?”

Detektif Wong menggeleng. Pelayan itu berlalu, dan tidak lama kemudian terdengar jeritan sayup membelah riuh kedai mamak itu. “Nescafe satu!”

Nazir tertawa kecil. Memang tak ada apa yang berubah.

“Negara kita sudah keluar dari negara dunia ketiga, dan kini berdiri sejajar dengan Amerika Syarikat, Russia & China, tetapi Kedai Mamak tetap macam ini juga.” Nazir beri komentar.

Detektif Wong ketawa. “Jauh sudah perjalanan negara ini. Banyak pencapaian berjaya kita capai. Tetapi, masalah tetap ada.”

“Bahkan semakin rumit ya?” Nazir mengangkat keningnya dua kali.

Detektif Wong menghela nafas panjang. Seakan ada bebanan besar mahu dilepaskan dari pundaknya. Sebentar dia memandang ke langit malam.

“Bahan bukti yang kami perolehi dalam kejadian minggu lepas telah hilang.”

Nazir tersentak. “Maksudnya…?”

“Senjata yang dijumpai itu.”

“Oh. Alangkah ruginya.” Nazir menepuk dahi. “Itulah dia ‘blackout’ minggu lepas tu? Sehari selepas kejadian saya diserang?” Maklumat detail tidak dimaklumkan kepada media. Ramai yang menyangka peristiwa tersebut sekadar perkara biasa – bangunan terputus bekalan elektri. Itu sahaja.

Detektif Wong tidak memberikan apa-apa reaksi. Tetapi Nazir tahu telahannya tepat.

“Apa perkembangan daripada sebelah saudara Nazir?” Mata Detektif Wong tepat pada wajah wartawan TV Taqwa itu.

“Saya sudah cuba bawa gambar senjata tersebut ke banyak tempat, tetapi setakat ini belum mendapat apa-apa jawapan yang kukuh. Tentera pun tidak memberikan apa-apa maklumat, melainkan mitos.” Nazir mengerutkan dahi, sambil mengeluarkan satu salinan daripada beg yang disandangnya. Salinan itu diberikan kepada Detektif Wong. Gambar senjata yang dijumpai minggu lepas.

“Mitos?”

“Ya, kata seorang Jeneral Tentera Darat, terdapat cerita-cerita di kalangan militari dan intiligen kerajaan bahawa wujud satu kumpulan pembunuh upahan, yang menerima upah untuk membunuh target-target penting.”

“Macam tipikal aja.” Detektif Wong mencebik. Minatnya kendur.

Nazir bungkam. “Itulah. Sebab itu namanya mitos. Kata Jeneral tersebut, kumpulan itu sudah berusia ribuan tahun. Bahkan dikatakan, antara yang bertanggungjawab membunuh Alexander The Great.”

“Pergh, macam cerita kartun la pula.” Detektif Wong tertawa. Geli hati. “Tapi bukankah Alexander itu masti kerana penyakit? Dia bukan dibunuh.”

Nazir ketawa kecil. “Saya cakap begitu juga kepada Jeneral tersebut. Tetapi katanya, penyakit itu datang daripada racun yang digunakan oleh orang dari kumpulan tersebut.”

Detektif Wong masih ketawa. Bukan kerana ianya lawak, tetapi kerana cerita itu tidak masuk akal.

“Mereka dikatakan membunuh untuk mengawal perjalanan dunia. Jika ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang mereka kehendaki, atau ada perkara yang mereka mahu ianya berlaku, segala halangan akan diuruskan untuk memperbetulkan perjalanan sejarah agar menyebelahi mereka.” Nazir menyambung.

“Jeneral mana lah ni. Banyak sangat baca kartun anak dia ni.” Detektif Wong cuba berhenti ketawa.

Nazir mengangguk-angguk. Sedikit sebanyak ada benarnya kata Detektif Wong. Memang cerita yang didengarinya itu seperti cerita fantasi. Sebuah konspirasi rekaan.

“Nama pun mitos, detektif.” Nazir mengulang kembali ayat tersebut.

Detektif Wong mengangguk.

“Rakan saya di Inteligen Kerajaan Malaysia pun tidak dapat memberikan apa-apa maklumat.” Sekali lagi Detektif Wong menghela nafas panjang.

Ketika ini, nescafe yang dipesan telah sampai. Namun Detekftif Wong membiarkan sahaja. Menanti minuman itu sejuk sedikit. Manakala Nazir menghirup hirupan terakhir teh tariknya.

“Saya risau sebenarnya dengan kejadian tempoh hari. Bukan sahaja keselamatan diri saya, tetapi negara ini. Selepas pembunuhan demi pembunuhan di siang hari yang berlaku di negara kita, juga letupan bom di Alor Setar, Kota Bharu, dan Johor Bahru, saya dapat merasakan yang itu semua bukannya sesuatu yang rawak, dan mula menyiasat berkenaan kewujudan kumpulan yang diceritakan oleh Jeneral tersebut. Tinggalnya, yang saya dapat kumpul hanya cerita-cerita orang. Gambar senjata ini pun tidak dapat membantu.” Nazir memandang cawannya yang telah kosong.

“Saudara rasa, semua kejadian yang berlaku di negara kita kebelakangan ini, adalah usaha dari pihak tertentu?”Detektif Wong mula menghirup minumannya. Masih panas. Tetapi pada suhu yang berpatutan. Nikmat.

Nazir mengangguk. “Intuisi kewartawanan saya, begitulah. Sebab negara kita baru naik menjadi kuasa besar, dan nampaknya hala tuju negara ini tidak digemari oleh kuasa-kuasa besar yang lain. Detektif pun tahu bukan bagaimana negara kita diasak di lapangan media antarabangsa, juga cubaan untuk melemahkan ekonomi kita dengan pelbagai sekatan daripada negara luar?”

Detektif Wong terangguk-angguk.

“Tetapi kita kekal utuh, kerana kita kuat. Punya banyak kelebihan. Terutama, majoriti rakyat kini menyokong teguh pemerintah negara. Kita pun dapat melihat perubahan di dalam negara ini sendiri. Jika dahulu pengangkutan awam seperti MRT hanya berada di sekitar Selangor dan Wilayah Tengah, kini sudah menjangkau ke seluruh negara. Lebuh raya dengan tol percuma. Taraf hidup semakin baik. Jurang pendapatan berjaya dikurangkan. Kemiskinan hampir benar-benar dibasmi. Dengar kata, pusat zakat semakin sukar hendak mencari asnaf dari kalangan orang miskin, menyebabkan kini kebanyakan duit zakat pergi kepada menjayakan projek pendidikan percuma. Segala hak dan keperluan rakyat dipenuhi. Negara kita sudah bergerak jauh meninggalkan era penuh mencabar satu masa dahulu.” Bersungguh-sungguh Nazir memberikan penerangan.

Detektif Wong tahu semua itu. Dia bukan baru hidup setahun dua.

“Jadi kejadian-kejadian sebelum ini itu, ialah untuk menganggu gugat keamanan domestik negara kita?”

“Ya, supaya kita lemah dari dalam. Ada sahaja rakyat yang tidak tahu bersyukur, masih mencari salah dan silap pemerintah walaupun pemerintah hari ini sudah jauh lebih baik daripada era terdahulu yang penuh korup dan skandal. Bila berlaku kejadian-kejadian tersebut, lebih lagi yang melibatkan nyawa, tambah-tambah pihak berkuasa masih tidak dapat menjumpai pihak yang bertanggungjawab, membuatkan mereka yang ingin mengambil kesempatan, bertindak.” Nazir mengemukakan teorinya.

Detektif Wong berfikir panjang. Dia lebih banyak fokus kepada urusan yang berlaku di dalam Kotaraya ini, kerana itu adalah jurisdiksi jawatannya. Mungkin dia perlu mendapatkan lagi maklumat daripada rakan di Intilegen Kerajaan untuk mendapat skop yang lebih luas.

Nazir pula sebagai wartawan, sememang sudah menjadi darah dagingnya untuk mengambil tahu keadaan semasa. Tambah-tambah wartawan penyiasatan, pasti lebih rajin mencari hubungan antara satu peristiwa kepada satu peristiwa.

“Jika bahan bukti itu tidak hilang, mungkin kita sudah ada penemuan baru. Satu kesilapan juga pihak kami menyimpan senjata tersebut. Sepatutnya serahkan terus kepada Inteligen Kerajaan. Tetapi nak buat macam mana, dah prosedure. Itu pun kami simpan di Bukit Aman, bangunan utama Polis di negara kita. Antara bangunan paling ketat kawalannya.” Detektif Wong seperti mengadu.

Suasana senyap seketika antara mereka berdua, maka keriuhan kedai mamak mengisi ruang. Tiba-tiba keriuhan itu meningkat mendadak dengan jeritan kegembiraan. Gol dijaringkan. Spontan Nazir dan Detektif Wong memerhati gelagat para peminat sukan bola sepak.

“Ada sesuatu yang besar bakal berlaku.” Getus Detektif Wong.

“InsyaAllah saya akan teruskan siasatan.” Nazir besuara rendah, tetapi tegas. Terpamer keazamannya.

“Lepas peristiwa tempoh hari, kenapa masih bersemangat mahu mengejar perkara ini? Boleh jadi, orang yang memecah masuk ke pejabat saudara tempoh hari, mahu menamatkan nyawa saudara kerana siasatan yang saudara lakukan.” Detektif Wong berminat untuk mengetahui. Nescafe dihirup lagi, tetapi mata kekal pada Nazir.

Nazir tersenyum halus.

“Kerana saya sayangkan negara ini.”

Jiwa Detektif Wong disentuh kagum.

“Semoga saudara selamat. Hubungi saya lagi jika ada apa-apa perkembangan.” Tangannya dihulur. Nazir bangun dan menyambut.

“Terima kasih atas maklumat yang dikongsikan Tuan. InsyaAllah, saya akan sentiasa kemas kini maklumat terkini yang saya perolehi dengan tuan. Paling kurang, saya mahu cari orang yang cuba membunuh saya, bukan?”

Detektif Wong terangguk-angguk. Dia menepuk tangan perlahan sambil tersenyum, memuji keberanian Nazir. “Saya belanja malam ini. Jangan risau.”

“Haha. Terima kasih. Assalamu’alaikum.” Nazir bergerak meninggalkan kedai mamak tersebut.

“Waalaikumussalam.” Detektif Wong menjawab, perlahan, sambil menghantar Nazir dengan pandangan.

Apabila Nazir telah hilang dari pandangan, ditelan kesibukan kotaraya, Detektif Wong melihat salinan gambar senjata yang diberikan oleh Nazir.

Otaknya ligat berfikir.

 

*****

 

Jagat bergerak dengan berhati-hati mendekati sebuah rumah agam lagi megah. Rumah ini adalah milik Gabenor Bank Negara Malaysia, Ainon Mokhtar, seorang wanita yang berkaliber juga mendapat perhatian dunia kerana menjadi antara yang bertanggungjawab memacu ekonomi Malaysia ke arah yang lebih kukuh, membangun, dan seimbang. Jagat tidak hadir sebagai tetamu.

Misi pada malam ini mempunyai kesan yang besar kepada hala tuju Malaysia yang seterusnya. Negara ini telah menjadi sasaran Kesatuan Pemburu, kerana dilihat semakin hari semakin gah di persada antarabangsa sebagai Negara Islam yang berdaya saing dengan negara-negara lain. Tidak sekadar itu, kemajuan negara ini tidak kosong, bahkan disokong dengan sikap dan mentaliti rakyatnya yang punya intergriti dan disiplin. Walaupun bukan semua, kerana ini bukan negara malaikat, tetapi sudah cukup memberikan gambaran bahawa negara ini bakal menjadi pusat kepada kebangkitan tamadun yang telah berjaya dipupuskan satu masa dahulu.

Sesuatu mesti dilakukan, dan Kesatuan Pemburu tidak pernah membiarkan kebangkitan sebegini terjadi.

Jagat semakin mendekati perkarangan rumah. Kamera-kamera keselamatan berjaya dielak dengan cermat. Sasaran Jagat pada malam ini ialah kenderaan milik Gabenor. Kenderaan itu akan disabotaj, apabila dipandu esok, akan menyebabkan berlakunya kemalangan di lereng bukit tidak jauh dari rumah Gabenor ini. Nyawa Gabenor akan melayang. Semua dalam perkiraan.

Tetapi tidak cukup dengan itu, kematian Gabenor ini akan dispekulasikan sebagai konspirasi Perdana Menteri yang ingin lebih berkuasa, mahu meletakkan bonekanya menggantikan Ainon Mokhtar yang terkenal dengan ketegasan dan prinsip. Walaupun pada hakikatnya, Perdana Menteri Malaysia tidak punya masalah apa-apa dengan Gabenor, bahkan beliau sendiri adalah seorang yang sangat berintergriti dan bermaruah, berperibadi bersih dan sebagainya. Tetapi ini semua sudah berada dalam perancangan Kesatuan Pemburu.

Sebaik sahaja kematian Gabenor Bank Negara menjadi berita, media-media asing yang telah dibayar secara sulit, bakal menjadi alat propaganda mereka untuk memainkan cerita konspirasi ini. Sekaligus memberi desakan hebat untuk Perdana Menteri sekarang berundur sebentar bagi siasatan dilakukan. Masa yang pendek itu pula akan dimanfaatkan untuk beberapa boneka baru, menyusup masuk ke dalam Kerajaan Malaysia.

Mereka ada rancangan besar untuk menghalang pertumbuhan negara ini, supaya tidak menadi halangan pada masa akan datang.

Jagat semakin hampir dengan kenderaan sasarannya yang terparkir santai di hadapan pintu utama. Ada beberapa kamera keselamatan tersembunyi di kawasan ini. Jagat tahu kesemuanya. Jagat menyeluk salah satu kantung pada pinggangnya, mengeluarkan beberapa alat berbentuk segitiga yang kecil, dan melemparkannya berdekatan posisi kamera-kamera tersebut.

Alat itu akan mengeluarkan tenaga magnetik yang tinggi, menganggu sebentar siaran rakaman. Jagat akan menggunakan kesempatan itu, menyelinap ke bawah kenderaan.

Tetapi belum sempat Jagat memecut, bahunya disentuh.

Terkejut tetapi tetap dalam keadaan siaga, Jagat terus melepaskan sepakan ke belakang. Tendangannya dielak, tubuhnya pula menjadi sasaran. Beberapa tumbukan dilepaskan penyerang, tepat mengenai dada Jagat. Jagat terundur beberapa langkah. Tumbukan-tumbukan yang berat.

Seketika mereka berpandangan sesama sendiri. Jagat memerhatikan penyerangnya. Lebih kurang sama tinggi dengannya, berpakaian juga serba hitam, turut sama bertopeng dan hanya menampakkan kawasan mata.

Adakah ini orang yang menyerangnya tempoh hari? Hati Jagat meneka. Tetapi dia tidak membazirkan masa berkata-kata. Terus dicapainya salah satu silinder mini pada pinggangnya, kemudian diteguk. Urat-urat muncul pada sekitar mata. Kekuatan Jagat bertambah beberapa kali ganda.

Sang Penyerang tidak memberikan apa-apa reaksi melainkan menyusun langkah pergerakan seperti sedang melakukan taichi.

Jagat terus menyerang. Tumbukan dan tendangan dilepaskan, namun malang hanya menjamah angin. Penyerangnya begitu tangkas dan kemas mengelak. Setiap serangan berjaya dielak sekadar separuh inci, mempamerkan kemahiran pertempuran jarak dekat yang sangat tinggi. Sedikit pun Penyerang itu tidak kelihatan panik, bahkan tindakannya menonjolkan peribadi seorang pendekar yang berkaliber.

Jagat beralih dari pertempuran tangan kosong, kepada pertempuran bersenjata dengan menghunuskan pisau kecil dari belakang tubuhnya. Sang Penyerang tampak bersedia. Gaya tangan berubah, kini dalam bentuk separa cengkaman.

Jagat menghayun senjata dengan pantas. Namun seperti tadi, dia hanya mencederakan udara. Lawannya mengelak dengan begitu baik sekali, hingga seakan-akan kelihatan seperti sedang bersahaja. Ketika ini Jagat mengerahkan diri untuk mencapai tubuh musuh, hingga menyebabkan dia menyerlahkan beberapa ruang kelemahan. Sang Penyerang tidak menanti untuk mengambil kesempatan.

Siku Jagat menjadi mangsa pertama tumbukan Sang Penyerang, sebelum tangan kiri lawannya itu pantas menampar tangan Jagat yang memegang pisau. Tumbukan yang hinggap pada siku Jagat membuatkan pegangan kepada senjatanya melemah. Dan tidak pun membazir sedetik masa, tangan yang tadi menumbuk siku Jagat, meluncur deras pula ke dagunya. Tubuh Jagat terapung sebentar ke udara sebelum jatuh menelentang.

Sang Penyerang kembali menyusun kekudanya, sambil kedua-dua tangan dalam keadaan kekal bersedia.

Mata Jagat membesar. Tidak percaya. Apa yang sedang berlaku? Siapa ini?

“Maklumat yang aku terima, engkau sepatutnya tidak setangkas ini.” Jagat mengesat darah yang mula mengalir dari mulutnya. Bukan sebarang tumbukan yang terkena pada dagunya tadi. Tumbukan yang padu lagi berat, penuh dengan tenaga hingga mampu mencederakan seorang Pemburu hanya dengan tangan kosong!

“Siapa aku?” Garau suara yang keluar daripada Sang Penyerang. Jagat tahu itu hanya merupakan alat penggubah suara.

“Muse?”

Sang Penyerang ketawa.

“Bukan?”

Ketawa Sang Penyerang terhenti. Matanya tajam memaku Jagat yang sedang menongkat tubuh dengan kedua-dua siku.

Menyedari sesuatu, Sang Penyerang melompat dan berputar di tengah udara. Tindakannya menyebabkan dia selamat daripada dua anak panah yang meluncur laju, kini terpacak di tepi Jagat. Serangan hendap!

Jagat terus mencapai dua anak panah itu dan menggunakan kedua-duanya sebagai senjata. Sebaik sahaja Sang Penyerang mendarat, Jagat sudah berada di hadapannya. Tetapi Sang Penyerang pun bukan calang-calang pendekar, dia mendarat dengan kedua-dua belah tangan, bukan kaki. Kakinya terus digunakan untuk menjatuhkan Jagat. Jagat sempat melompat. Sang Penyerang mahu menggunakan momen ini untuk melandaskan beberapa tumbukan pada tubuh Jagat, namun dia membatalkan hasrat tersebut, kerana terpaksa mengelak.

Kini tiga anak panah terpacak pada tempat dia mendarat tadi.

Apabila dua kaki Jagat menyentuh bumi, Pemburu itu terus bergerak tangkas menyerang Sang Penyerang.

Pertarungan menjadi semakin sengit. Sang Penyerang tersepit. Di hadapannya dia bertarung dengan Jagat, sambil belakangnya terdedah dengan serangan penyerang hendap.

Bila-bila masa sahaja dia akan ditewaskan jika berkeadaan sebegini. Dia tidak bersedia untuk bertarung jarak dekat, pada masa yang sama perlu berjaga-jaga dengan serangan jarak jauh sebegini.

Sang Penyerang mengelak tumbukan Jagat, tetapi tidak melepaskan apa-apa serangan. Sebaliknya dia mengeluarkan pistol yang tersarung pada belakang pinggang, kemudian melepaskan tembakan ke udara beberapa kali.

Bunyi tembakan itu bergema. Rumah Gabenor yang hanya menyalakan lampu di kawasan parkir, tidak lama kemudian menjadi cerah. Kedengaran ahli rumah menjerit, dan mula ada lembaga bergerak menghala ke tingkap untuk melihat keadaan luar.

“Celaka!” Jagat menyumpah.

“Heh.” Sang Penyerang mendengus.

Kini mereka terpaksa berundur.

Jagat bergerak pantas mengutip anak-anak panah yang di atas tanah, sementera Sang Penyerang lesap, menghilangkan diri.

Tindakan Sang Penyerang sangat tidak dijangka. Jagat tidak menanti lama juga, terus bergerak menghilangkan diri.

Sedang dia berlari dengan kelajuan pantas, bergerak menjauhkan diri dari kawasan tersebut, Jagat disertai seorang wanita berambut hitam ikat ekor kuda. Belakang tubuh wanita itu, tergantung busur kompaun.

“Bukan calang-calang.” Wanita itu bersuara.

Jagat mendengus kasar.

Sekali lagi, dia dihina.

“Baru engkau tahu, Deimonas.”

“Heh,” Deimonas tersengih. “Tetapi jika kita bernasib baik, mungkin masalah kita akan selesai esok.”

“Apa maksud kau?” Jagat memandang Deimonas.

Deimonas hanya tersenyum.

 

*****

 

“Barq, cepat pulang!” Suara Mustafa meninggi.

“Kenapa Ayah?” Bakri baru sahaja keluar dari kawasan. Sedang meredah hutan yang memisahkan antara kawasan rumah Gabenor tadi dan Kotaraya. Rancangannya, dari Kotaraya, dia akan mengambil pengangkutan awam untuk turun berdekatan kawasan tempat tinggalnya. Dia perlu menukar pakaiannya terlebih dahulu, dan menyimpan senjatanya.

“Barq, ada luka pada tubuh?”

“Rasanya tak…” Bakri berhenti bergerak, memeriksa tubuhnya. Walaupun gelap malam ditambah dengan keadaan di dalam hutan, mata seorang Pemburu telah dilatih untuk melihat dalam keadaan tersebut.

“Eh…” Bakri menyentuh sesuatu pada pinggangnya. Cecair. Darah. Tetapi lukanya tidak parah. Sedikit sahaja.

“Ada sedikit. Tidak parah. Serangan hendap yang pertama itu mengejutkan. Panahnya langsung tidak mengeluarkan bunyi kecuali apabila sudah tersangat hampir.”

“Ya, itu Deimonas. Pemburu yang terkenal dengan…” Mustafa cemas.

“Urgh…” Bakri tiba-tiba terasa lemah. Tubuhnya longlai jatuh ke tanah.

“…racun. Barq? Barq!” Mustafa mendengar bunyi sesuatu jatuh, dan menjangka bahawa itu adalah anaknya.

Dan jangkaannya benar.

Alat telekomunikasi tidak mendapat apa-apa balasan. Tiada suara melainkan bunyi unggas di dalam hutan.

Mustafa menjangka yang anaknya kini pengsan. Jika tidak diselamatkan segera, ada kemungkinan untuk ditemui. Lebih buruk, jika lambat dibawa pulang, nyawa anaknya akan melayang!

Mustafa mengawal dirinya agar tidak panik.

Segera dia menekan beberapa nombor pada papan kekunci. Panggilan dibuat. Menanti ianya berjawab.

“Assalamu’alaikum,” Satu suara kedengaran.

“Waalaikumussalam. Kecemasan. Perlukan bantuan.” Mustafa pantas ke tajuk utama.

“Baik.” Suara itu membalas.

Novel Pemburu: Bab 2 – Pelajar Baru

September 16th, 2012 @ 03:21:09

Mata terbuka. Bangun dan turun dari katil. Terus melakukan tekan tubi, 30 kali. Kemudian berehat 10 saat dalam keadaan meniarap, sebelum disambung dengan aksi ‘burpees’ sebanyak 30 kali. Setelah selesai, dia baring dalam keadaan terlentang, rehat 10 saat, kemudian pergerakan seperti mengayuh basikal dilakukan selama 1 minit. Pergerakan ini diikuti dengan 10 saat rehat, sebelum dia melakukan ‘plank’ selama seminit. Seterusnya dia bangun, dan melakukan 200 tumbukan, diikuti 200 tendangan, kanan dan kiri, dengan angin menjadi mangsa, sebelum semua itu disambung dengan lompatan tinggi sambil tangannya cuba menyentuh siling, sebanyak 50 kali. Kemudian dia berehat selama seminit, sebelum mengulangi itu semua sebanyak 5 set.

Peluh membasahi tubuh. Dada berombak kencang. Rongga tidak henti-henti menyedut dan melepaskan udara. Dia cuba mengawal pernafasan dan mengekalkan ketenangan. Setelah merasa selesa, dia duduk bersila dan bertafakur. Rasa melengas yang menyelimuti tubuh diabaikan. Dia cuba memberikan tumpuan kepada segala yang berlaku di sekeliling.

Dia dapat mendengar dengkuran jiran, embun yang jatuh menitik ke bumi, telapak kaki orang yang berumur sedang melangkah ke masjid, haluan angin, haiwan-haiwan kecil seperti tikus, lipas, cengkerik yang berada di luar rumahnya dan sebilangan yang berada di rumah-rumah jiran, pernafasan sebilangan anjing yang menjaga beberapa rumah, pergerakan kenderaan milik sebilangan jiran yang keluar awal mahu mencari rezeki juga mereka yang baru sahaja pulang dari kerja malam.

Dia dapat mendengar, dan menggambarkan semuanya, walaupun jarak rumahnya tidak hampir, atau pun perkara-perkara itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau didengari telinga yang biasa. Hasil latihan yang diperturunkan oleh bapanya.

Latihan seorang Pemburu.

Pemburu tidak terhasil secara semulajadi. Seorang Pemburu mestilah melalui siri latihan yang panjang dan keras, serta melalui satu siri pembedahan untuk mengubah keadaan beberapa organ dalaman. Ini semua untuk mempertingkatkan deria, keutuhan tubuh, kekuatan tulang dan menjadikan seseorang itu sesuai untuk menggunakan minuman herba khas. Minuman itu akan menjadi penambah kepada keperluan seseorang Pemburu. Ada minuman untuk memperkasakan tubuh, ada untuk membuatkan seorang Pemburu boleh memandang lebih jauh, ada yang bertindak mempertingkatkan deria seorang Pemburu beberapa kali ganda, dan pelbagai lagi. Sekiranya manusia yang tidak menjalani pembedahan tadi, minuman-minuman itu akan membunuhnya.

Bagi Pemburu juga, sekiranya minuman-minuman tersebut diambil secara berlebihan, nyawa mereka juga akan terancam.

Oleh kerana proses untuk menjadi seorang Pemburu itu tidak mudah, dikatakan telah banyak nyawa melayang menjalani proses tersebut, dan yang Pemburu yang ada di dunia ini hanya tinggal sekitar 50 orang.

Salah seorangnya ialah dia.

“Bakri,”

Segera pertapaannya ditamatkan. Pintu bilik dibuka oleh pemilik suara. Lampu bilik dihidupkan. Wajah bapanya terzahir. Senyuman dilempar oleh lelaki berumur sekitar 40-an itu. Berambut hitam pendek dan kemas, tubuhnya tidak terlalu sasa tetapi tegap, disokong dengan tongkat.

“Jom solat.”

Bakri bangun dari persilaan. Bergerak sebentar ke almari mencapai baju sejuk, sebelum berjalan keluar sambil tangan memaut lengan bapanya. Mereka melangkah bersama-sama melepasi koridor, sebelum sampai ke ruang tamu, dan terus bergerak ke pintu utama.

Kedengaran laungan azan. Waktu Subuh baru menjengah.

“Sudah bersedia untuk masuk ke universiti?” Bapanya membuka pintu.

“InsyaAllah.” Bakri mengangguk sambil menyarung selipar.

“Mahu Ayah hantar?” Dia dapat melihat bapanya tersengih.

Bakri tertawa. “Bakri dah dewasalah Ayah. Tahun ni umur Bakri 20 tahun.”

Mereka berjalan keluar dari perkarangan rumah. Rumah mereka agak jauh berbanding rumah-rumah yang lain. Kawasan yang diduduki mereka adalah tempat orang-orang berada. Masing-masing membeli tanah dan membina rumah sendiri. Majoriti penduduk di sini beragama Islam, dan masjid terletak di tengah-tengah, seakan-akan menjadi pusat kepada penduduk di sini. Dan sekarang, kebanyakan taman perumahan baru di Malaysia memang berkonsepkan sedemikian. Masjid tidak lagi menjadi tempat ritual, tetapi bertindak sebagai pusat masyarakat. Dan itu termasuk juga masyarakat non-muslim.

Sedikit sebanyak, Malaysia telah berubah ke arah yang lebih baik kebelakangan ini.

Pun begitu, bagi yang mengkaji lebih dalam dan menyiasat dengan lebih teliti, mereka akan mengetahui ada tangan ghaib yang sedang cuba memusnahkan negara ini, kerana tidak senang dengan perubahan-perubahan terkini.

Antara sebabnya kenapa dia dan bapanya kini berada di negara ini, setelah sekitar sedekad hidup merantau di luar negara, dari satu tempat ke satu tempat.

“Ayah sudah siapkan semua dokumen?”

Bapanya mengangguk. “Jangan risau. Tiada masalah pendaftaran insyaAllah.”

“Apa nama saya kali ini?”

“Bakri.”

“Wah, tak bahaya ke guna nama sebenar?” Bakri mengerutkan dahi.

“Adalah sebabnya.” Bapanya mengenyitkan mata. Sekali lagi, dia tidak dapat menjangka tujuan tindakan bapanya. Tetapi dia sengaja tidak bertanya lebih banyak. Supaya jika ada perkara buruk berlaku, contohnya dia ditangkap oleh pihak musuh, maklumat tersebut tidak dapat dikeluarkan daripada dirinya.

“Kita selamat di sini Ayah?”

Bapanya tidak terus menjawab. Diam sebentar sambil terus melangkah. Mereka sudah masuk di dalam perkarangan masjid.

“InsyaAllah. Kita hanya mampu berusaha, Bakri.” Belakang tubuhnya ditepuk lembut.

Bakri mengangguk. “Allah jualah yang memberikan hasilnya.” Bakri menyambung.

“KepadaNya kita meminta perlindungan dan kejayaan.” Bapanya menyempurnakan bicara.

Mereka sama-sama menanggalkan selipar, dan bapanya terus ke ruang utama masjid, manakala dia pergi mengambil wudhu’.

Hari baru.

 

******

 

Kotaraya seperti biasa, sesak dengan manusia-manusia mencari sesuap nasi untuk meneruskan hidup. Walaupun baru sahaja berlaku kejadian yang tidak kurang mengejutkan semalam, hari ini kelihatan tetap berjalan seperti biasa. Kesibukan untuk meneruskan kehidupan membentuk fokus masyarakat. Apa-apa yang tidak memberikan mereka makanan dan keselesaan, biasanya mudah diabaikan, atau sekadar menjadi sembang-sembang sambilan di kedai kopi.

Di hadapan Bangunan TV Taqwa, tidak jauh di seberang jalan sana, di tengah lautan kenderaan dan manusia, terdapat seorang lelaki sedang berdiri di tepi lampu isyarat. Bercermin mata hitam dan berpakaian laksana detektif lagaknya. Rambut bersikat kemas, wajahnya pula dihiasi misai yang lebat.

Individu tersebut memulakan langkahan. Melintasi jalan raya, mendekati pondok pengawal Bangunan TV Taqwa.

“Ya Tuan?” Pengawal berbangsa India bertanya sebaik sahaja lelaki itu mendekatinya.

Lelaki bergaya detektif itu terus mengeluarkan kad. “Saya perlu masuk ke dalam, ke tempat kejadian semalam. Masih ada perkara berlum selesai.”

“Ah ya, ya. Baik-baik. Silakan Tuan.” Pengawal itu menunjuk arah yang patut dituju oleh ‘Penyiasat’ ini.

Lelaki itu mengangguk, mengucapkan terima kasih sebelum berlalu.

Sampai di lobi, sekali lagi dia menunjukkan kadnya, sebelum ditunjukkan ke lif oleh pekerja yang menunggu di ruangan tersebut. Pergerakannya diiringi seorang pekerja perempuan.

“Tingkat 9 ya, Tuan.” Perempuan itu melempar senyuman manis.

Dia menggores senyuman balas. Butang nombor 9 ditekan, dan lif pun mula bergerak naik.

Apabila sampai ke tingkat tersebut, dia disambut dengan kesibukan para pekerja dengan kerja masing-masing. Seakan-akan tiada apa yang berlaku semalam. Dia terus bergerak, sekali sekala apabila perasan dirinya diperhatikan, dia sekadar melemparkan senyuman.

“Ya Tuan?” Salah seorang pekerja di situ menyapa, menghentikan langkahannya.

“Saya ingin memeriksa tempat kejadian. Ada perkara masih belum selesai.”

“Oh, sila-sila.” Pekerja lelaki itu menunjuk dengan ibu jarinya, isyarat sopan.

Akhirnya dia sampai di muka pintu. Kelihatan terdapat dua orang polis sedang berkawal di situ. Kedua-dua mereka agak terkejut dengan kehadirannya. Namun belum sempat mereka bersuara, dia terlebih dahulu mengangkat kadnya.

“Inteligen Kerajaan. Munawar Masri.”

Mata kedua-dua mereka membesar. Segera mereka memberikan tabik. Tabik dibalas.

“Ada perkara yang saya tidak puas hati dengan laporan semalam.” Penyiasat bernama Munawar Masri ini masuk ke dalam pejabat, memerhatikan keadaan sekeliling.

“Di mana mangsa?” Dia menoleh ke arah dua polis yang mengawal tempat tersebut.

“Mangsa bekerja seperti biasa. Sedang mengejar berita di lapangan.”

Munawar Masri mengangguk-angguk.

“Senjata yang ditinggalkan salah seorang penyerang berada di…”

“Bukit Aman, Tuan.” Salah seorang daripada dua polis itu menjawab.

“Ya, saya tahu itu. Maksud saya, di bawah tanggungjawab siapa?”

“Oh, oh. Em…” Yang menjawab tadi segera memandang rakannya.

Rakannya mengeluarkan nota pada poket. “Detektif Wong, Tuan.”

“Baik.” Dia terus berpaling.

“Sudah selesai, Tuan?”

“Ya. Terima kasih.” Tabik hormat diangkat, dan kedua-dua anggota polis itu membalas. Munawar Masri terus bergerak ke arah lif, menelusuri kembali haluan dia datang. Apabila sampai ke lobi, dia mengucapkan terima kasih kepada pekerja di sana, begitu juga apabila dia melepasi pondok pengawal. Kemudian dia terus berjalan menyeberangi jalan, sampai ke perhentian bas.

Dia tidak menanti lama sebelum bas yang dikehendakinya sampai.

Bas yang menuju ke Stesen Sabar, stesen utama bagi semua pengangkutan awam di Kotaraya ini. Dari sana dia akan bergerak menuju ke Bukit Aman. Dia mengambil tempat duduk di belakang sekali, yang tidak ramai orang. Kebanyakan penumpang duduk di hadapan nampaknya.

Apabila dia telah duduk buat beberapa ketika dan bas pun sudah menyambung perjalanan, perlahan-lahan dia menarik misainya yang tebal, tanggal daripada wajah. Rambutnya dikemaskan dengan sikatan yang baru. Kot ditanggalkan. Kelihatan ada balutan luka pada bahu, yang kemudian kembali tersembunyi, disarung oleh kot yang sama tetapi telah diterbalikkan, mempamerkan reka bentuk kot yang baru.

Cermin mata hitam diturunkan, mempamerkan identitinya yang sebenar.

Jagat.

Sepatutnya Jagat dinasihatkan agar berehat. Tetapi dek kerana rasa terhina yang teramat, dia tidak mendapat ketenangan dan kesihatan dengan berbaring.

Hari ini dia kembali ke Bangunan TV Taqwa yang dicerobohi semalam. Matanya melirik ke tingkap kenderaan awam yang dinaikinya, memandang ke arah bangunan yang sekali lagi dicerobohinya itu. Tiada siapa yang mengenalinya, dan tiada sesiapa pun yang meragui kehadirannya.

“Inteligen Kerajaan. Heh.” Jagat tersengih mengingati kebodohan dua pegawai polis yang menjaga tempat tersebut. Malaysia kini memang mempunyai badan inteligennya yang tersendiri, yang tidak kurang hebatnya di peringkat antarabangsa. Antara duri yang berbisa untuk pergerakan Kesatuan Pemburu, walaupun mereka belum lagi bertembung secara langsung. Namanya gah, dan menjadi antara sebab mengapa dua pegawai polis itu tidak banyak bertanya. Psikologi.

Tanpa disedari, mereka telah mendedahkan lokasi senjata Jagat disimpan.

Kejadian semalam sudah disiarkan di berita pagi, hampir setiap rancangan televisyen di Malaysia melaporkan kejadian tersebut, termasuk akhbar-akhbar. Gambar senjatanya juga telah tersebar luas, menimbulkan banyak spekulasi. Dia amat yakin, inteligen-inteligen pelbagai negara sedang ribut untuk menyiasat asal usul dan kebolehan senjata tersebut.

Dia perlu berbuat sesuatu dengan pantas untuk memperbaiki keadaan.

Jagat telah mematikan alat telekomunikasinya, langsung tidak mengangkat sebarang panggilan daripada Sang Ketua. Dia tahu, individu paling berkuasa di dalam Kesatuan Pemburu sedang murka yang teramat. Hanya amarah dan silap haribulan, hukuman mati sahaja yang menanti di hujung panggilan. Menyebabkan dia tidak tenang.

Untuk itu, dia mahu memperbaiki kesilapannya hari ini.

“Aku bukan orang bodoh!” Jagat menyumpah.

Destinasi seterusnya, Bukit Aman. Apabila sampai sahaja di Stesen Sabar, dia terus mengambil komuter, yang akan berhenti tidak jauh daripada bangunan milik Polis DiRaja Malaysia itu.

Dia tidak meminta bantuan Kesatuan Pemburu untuk memudahkan urusannya kali ini. Kerana dia tidak mahu pergerakannya dapat diikuti. Jagat risau sekiranya Kesatuan Pemburu telah meletakkan harga pada kepalanya, sebelum dia sempat memperbaiki keadaan. Dia mesti menunjukkan bahawa dia masih Pemburu yang layak berkhidmat di bawah organisasi tersebut!

Jagat mengeluarkan sebuah cermin mata hitam yang lain, kini reka bentuknya lebih ‘sporty’. Kotnya kini serba hitam. Turun sahaja dari Komuter, Jagat telah mempunyai perancangan yang lengkap untuk mencapai tujuannya.

Bangunan Polis DiRaja Malaysia di Bukit Aman kini terlah berbentuk separa sfera yang besar. Seni binaan moden yang terkini, bersama-sama kawalan yang ketat. Pun begitu, Kesatuan Pemburu telah melatih semua Pemburu untuk mengetahui sedalam-dalamnya berkenaan setiap bangunan penting, di seluruh dunia. Termasuk bangunan ini.

Mereka sangat tahu akan ruang-ruang kelemahan yang wujud, untuk diguna pakai sebagai kelebihan mereka menceroboh masuk.

Ditambah pula dengan kelebihan yang ada pada tubuh seorang Pemburu.

Jagat mengambil salah satu dari beberapa silinder kecil yang tergantung pada pinggangnya. Silinder berisi cecair merah itu diteguk. Terus wajah Jagat dinaiki urat-urat merah sekitar matanya.

“Urgh!” Jagat menahan kesakitan. Seketika, sakit itu menghilang, dan kini derianya yang sedia kuat itu dipertingkatkan lagi.

Jagat seakan-akan dapat melihat menembusi dinding, mengetahui berapa bilangan anggota yang berada di dalam bangunan besar lagi luas ini, kemudian hidungnya mula menangkap bau senjatanya. Senjata Pemburu sangat unik, ditukang dengan material yang sangat sukar ditemui di atas muka bumi, ditambah pula senjata itu setelah sering digunakan seorang pemburu, mempunyai bau tuannya. Di celah-celah kepelbagaian bau, Jagat dapat fokus pada bau yang dicarinya itu.

Jagat mengambil lagi satu silinder, kali ini berwarna biru, dan meneguknya. Sekali lagi kesakitan yang teramat, terasa mencucuk kalbu. Beberapa urat berwarna biru, muncul mengiringi urat-urat hijau di sekitar matanya.

Jagat terus bergerak. Kelajuan pergerakannya bertambah beberapa kali ganda. Dia mula bergerak dengan tenang seperti kebanyakan orang yang datang ke mari untuk membuat laporan atau punya urusan kerja, sebelum menghilang dengan pergerakan pantas, masuk ke dalam bangunan sambil mengelak dari dirakam kamera keselamatan.

Tempat pertama yang ditujunya ialah punca kuasa kepada bangunan.

Dia bergerak dengan tangkas, tetapi berhati-hati. Dia menyelinap dari satu tempat ke satu tempat dengan baik sekali. Hinggalah dia tiba ke tempat yang dikehendaki.

Kelihatan tiga orang juruteknik sedang berehat. Jagat yang berlindung dari balik dinding, mengambil satu alat berbentuk sfera kecil yang terdapat di dalam salah satu kantung di pinggang. Dia membaling alat tersebut dan sebaik sahaja alat itu menyentuh lantai berdekatan tiga orang Juruteknik tersebut, asap halus keluar.

Terus ketiga-tiga mereka jatuh terkulai.

Tidur.

Jagat mengambil kerusi dan mendudukkan mereka bertiga dengan baik, sebelum pergi ke punat-punat kawalan kuasa untuk bangunan ini dan mematikan semuanya.

Bangunan itu seperti putus bekalan elektrik. Walaupun hakikat sebenarnya, sumber tenaga telah ditutup. Begitu juga dengan generator bagi tenaga tatkala kecemasan, turut ditutup.

Bilik kawalan kuasa itu menerima panggilan.

Jagat tidak teragak-agak mengangkat.

“Ya ya, sedang diusahakan.” Dia berbohong. Tiada apa-apa usaha akan dilakukan untuk mengembalikan tenaga.

Kini Jagat bebas bergerak di tengah samar-samar kekurangan cahaya, juga tanpa rakaman kamera keselamatan serta segala mekanisme pertahanan yang bangunan ini ada. Pantas dia meluru ke tempat senjatanya disimpan.

Senjatanya lambat laun akan dihantar ke Inteligen Kerajaan. Sebab itu dia perlu bertindak secepat mungkin. Sakitnya diabaikan. Dia perlu mengetahui di mana senjatanya disimpan, agar dia dapat menghalang senjata itu dari jatuh ke tangan Inteligen Kerajaan Malaysia. Semua maklumat ini sebenarnya sangat mudah diperolehi sekiranya dia mendapat bantuan Kesatuan Pemburu. Tetapi tidak hari ini.

Pun begitu, dia bukan seorang yang lekeh.

Dia bukan Pemburu amatur!

“Siapa?” Sergah suara seorang pegawai wanita yang berdiri di antara Jagat dan tempat simpanan bahan bukti. Namun Jagat tidak menanti untuk memberikan jawapan balas, segera dilemparkannya sfera kecil, menidurkan bukan sahaja pegawai wanita itu, tetapi juga lima orang pengawal yang menjaga tempat ini.

Kemudian dia bergerak melepasi mereka. Pintu geril yang menjadi perantara Jagat dan sasarannya ditolak. Dengan deria yang tinggi, Jagat dapat mengesan tempat letak senjatanya.

“Hei kawan.” Dia membuka sebuah kotak, dan mengeluarkan sepaket plastik besar, sebelum mengoyakkan plastik itu dan mendapatkan senjatanya. Sepucuk pistol yang punya ukiran serta reka bentuk yang unik. Pistol bukan sebarang pistol.

Senjata itu disembunyikan, disimpan semula di dalam sarungnya yang terdapat pada pinggang, kemudian dilindungi oleh kot Jagat.

Jagat segera meninggalkan kawasan tersebut.

Apabila dia sampai kepada sekumpulan manusia, dia terus bersama-sama dengan mereka.

“Bertenang, bertenang. Keluar perlahan-lahan!” Suara beberapa orang pegawai, sedang berusaha meredakan keadaan. Pelawat dan mereka yang datang ke mari dengan urusan masing-masing, diarahkan mengosongkan bangunan.

Jagat tenang keluar bersama-sama mereka.

Terus menjauhkan diri dari bangunan separa sfera ini.

Di tengah perjalanan, alat telekomunikasinya dihidupkan semula.

Seperti yang dijangka, alat itu terus menerima panggilan.

“Jagat!” Suara dengan nada menyinga, menyergah telinga.

Namun Jagat telah bersedia.

“Segalanya dalam keadaan yang baik, boss. Saya telah berjaya mendapatkan kembali senjata saya.” Sopan dia berbicara. Dia tidak sesekali berani untuk membuatkan ketua Kesatuan Pemburu tidak senang hati.

Suara di seberang sana sepi seketika.

“Aku telah menghantar Deimonas ke sana.”

Giliran Jagat mengunci bicara. Nama yang disebut itu bukanlah asing baginya, dan bukan juga orang biasa-biasa. Seorang Pemburu yang bukan calang-calang. Antara yang terhandal di seantero dunia.

“Kalau bukan kerana engkau berjaya mendapatkan semula senjata kau sebelum apa-apa yang lebih buruk berlaku, dia adalah orang yang akan menjadikan kau mayat nan kaku.”

Jagat menelan air liur.

Deimonas. Dalam bahasa Greek membawa maksud Syaitan. Dan kod nama itu memang seiring dengan peribadi serta kemahiran pemburu yang satu ini. Jagat sendiri tidak pernah berani bersaing dengannya.

“Sekarang, cari siapa yang melakukan sabotaj semalam.”

“Adakah Kesatuan kita punya apa-apa maklumat?” Jagat memberanikan diri bertanya.

Senyap.

“Adakah engkau ada bergaduh dengan mana-mana Pemburu kita?” Soalan dijawab dengan soalan, dan soalan itu sangat mengejutkan diri Jagat. Berkerut dahi dia cuba memikirkan jawapan yang terbaik bagi soalan tersebut, kerana akhirnya jawapan yang mampu diberikan hanyalah satu lagi soalan.

“Mengapa boss bertanya sedemikian?” Kerana sekiranya mana-mana Pemburu saling memburu sesama sendiri, Kesatuan Pemburu akan mengetahui. Bahkan pergaduhan mulut pun, berita itu akan sampai kepada Kesatuan, dan tindakan akan diambil. Ini semua bagi mengelakkan tiadanya perpecahan, dan memastikan sebarang masalah tidak dibawa keluar. Maka apabila pertanyaan tadi sampai kepadanya, itu sebenarnya adalah pertanyaan mustahil untuk dijawab ‘ya’, kerana jawapannya telah jelas ‘tidak’. Hanya soalan balas mampu diutarakan.

“Kerana setakat siasatan sekarang, yang melakukan sabotaj semalam juga ialah seorang Pemburu. Tetapi bukan dari Kesatuan ini.” Suara Sang Ketua mendatar. Terdapat pelbagai terjemahan daripaa suara sedemikian. Sama ada itu berita yang tidak mengejutkan baginya, atau pun dia sedang berfikir dengan mendalam.

Jagat menghela nafas.

Seorang lagi pemburu.

Siapa?

“Dalam sejarah kita, hanya ada seorang Pemburu yang khianat, dan sehingga kini masih belum berjaya dikesan oleh Kesatuan.” Sang Ketua menyambung.

“Engkau dan Deimonas, buru individu tersebut. Maklumat terakhirnya akan dimuat naik di dalam komputer peribadi kalian.”

Perhubungan diputuskan.

Jagat menyentuh bahunya yang menjadi mangsa tembakan semalam. Tidak hairanlah keadaan semalam boleh berlaku. Sesuatu yang mustahil pada kebiasaan, tetapi tidak mustahil jika yang melakukannya ialah seorang Pemburu.

Jagat mengetap bibir.

Dia akan mengembalikan maruahnya semula. Pantang dirinya berada di sisi yang kalah!

 

*******

 

Suara Ryan Tedder menghiasi gegendang telinga. Lagu Apologize sedang bermain indah. Bakri tidak pernah jemu mendengar dendangan kumpulan One Republic. Ada sesuatu yang istimewa dengan muzik hasil karya dan alunan mereka.

Matanya malas-malas melihat apa yang sedang dibentangkan oleh pensyarah di hadapan. Bilangan pelajar yang ramai, ditambah pula alat pendengar yang dipasang pada telinganya itu bersaiz kecil, tindakannya tidak dikesani pensyarah tersebut.

Walaupun telinganya dipekakkan oleh muzik, Bakri dapat memahami semua yang dibentangkan oleh gurunya. Pertama, kerana dia sudah tahu itu semua. Kedua, dia memang telah dilatih untuk membaca pergerakan bibir seseorang apabila bertutur.

Ikutkan hati, dia mahu mengantuk dan tidur, namun sebagai seorang Pemburu, amat sukar baginya untuk mengantuk. Seorang Pemburu mampu untuk tidak tidur selama tiga hari berturut-turut tanpa rasa penat. Bapanya pernah berkongsi bahawa pernah di dalam sejarah, seorang Pemburu tidak tidur selama 20 hari, kerana sedang berada di medan pertempuran.

Maka dipasangnya muzik untuk melayan kebosanan diri.

Tajuk sejarah I’jaz Al-Quran yang sedang dibentang, tidak menarik minatnya. Dalam banyak-banyak pengkhususan, bapanya telah mendaftarkan dia di Kuliyah Syari’ah, pengkhususan Usuluddin, Universiti Iman Ihsan. Ambil jurusan agama? Tersengih.

Pun begitu, Bakri tidak banyak cakap. Tidak membantah. Dia faham sebenarnya ini semua hanya untuk penerusan penyamaran mereka di negara ini. Jika diikutkan pengetahuannya, dia sudah mampu mempunyai beberapa PhD. Ya. Dan dia sangat mahir dalam bidang fizik dan kimia, serta pelbagai lapangan akademik yang lain seperti geografi, sejarah, matematik, astronomi. Jika dia diarah untuk menceroboh NASA, dia mampu melakukannya, dan takkan ada sesiapa yang mampu mengetahui bahawa dia berada di situ, dek kerana kebolehannya untuk bergaul dengan semua yang berada di sana. Kenapa dia berani berkata sedemikian?

Kerana dia pernah melakukannya.

Bakri ketawa kecil di dalam hati. Seperti sebuah jenaka pula monolognya itu.

Tetapi hal-hal agama, berkait Al-Quran terutamanya, Bakri sedar bahawa itu semua bukan sekadar fakta. Untuk memahami dengan lebih dalam dan dekat, perlu kepada hubungan hati yang erat, jiwa yang mencari, dan diri yang berserah.

Dia bukan tidak berminat dengan ini semua. Tinggal, mauduk perbincangan hari ini berkait rapat dengan sejarah, tambah pula dia sudah mengetahui ini semua seperti belakang tangannya sendiri. Maka dia kebosanan.

Genius pun bermasalah bukan?

Bakri ketawa lagi di dalam hati. Senyuman terzahir pada bibir.

Tanpa Bakri sedari, tindak tanduknya diperhatikan oleh seseorang, tidak jauh dari tempat duduknya. Pandangan penuh rasa ingin tahu, datang daripada seorang pelajar perempuan.

Bertudung dan berpakaian labuh, berkulit cerah, walaupun tidak memakai apa-apa wangian, dia berbau harum, antara bau yang menangkap hidung Bakri apabila dia pertama kali masuk ke dalam dewan ini. Pun begitu Bakri tidak memberikan lebih perhatian.

Perempuan itu sekali sekala mengalihkan tumpuannya kepada Bakri. Apabila dia melihat Bakri tersenyum seorang diri, dia diserang rasa ingin tahu yang membuak-buak.

Siapa pelajar baru ini?

Kenapa tak ada gaya seperti pelajar jurusan agama?

Kenapa dia tak memberikan perhatian kepada penyampaian pensyarah? Buat tak tahu aja sambil mendengar muzik. Tidak mencatit atau fokus.

Kenapa tersenyum seorang diri?

Berkerut dahi pelajar perempuan ini memikirkan Bakri.

“Fatihah.” Bahu perempuan itu disiku rakan sebelah.

“Eh, kenapa Salma?” Suara mereka berbisik.

“Kau kenapa? Tengok depanlah. Tak baik skodeng pelajar lelaki. Kih kih.” Salma senyum nakal.

Spontan wajah Fatihah merah padam.

“Eh, aku bukan skodeng la. Budak baru tu ha, tak ada gaya jurusan agama pun, lepas tu pulak dia boleh sibuk dengar Mp3 masa kuliah. Aku ‘curious’ je.” Fatihah menunjuk. Salma memerhati.

“Kau la kena dakwah dia. Hihi.” Salma sambung menyakat.

“Eh, ke situ pulak. Jangan habiskan masa asyik fikir kahwin aja. Haih, tipikal la kau ni Salma.” Fatihah menyiku tubuh Salma.

“Fatihah, Salma, buat apa tu?” Suara Pensyarah membuatkan mereka berdua automatik memandang kembali ke hadapan.

Aduh, malunya. Getus hati Fatihah. Ketika ini, sempat matanya melirik kepada Bakri.

Dan mata mereka bertaut.

Bakri tersengih, sebelum kembali mengabaikannya.

“Maaf Dr Azizi.”

“Tumpukan perhatian!” Dr Azizi, Sang Pensyarah kembali menyambung pengajian.

“Kih kih, ini sudah kafarah mengumpat pelajar baru.” Salma ketawa kecil sambil berbisik.

Fatihah menggeleng dan menepuk dahi.

Malunya!

Novel Pemburu: Bab 1 – Jarak Jauh

rooftop-sniper

“Pelik.” Seorang lelaki sederhana tinggi, menggaru kepala yang tidak gatal, sambil tangan kanan mengemaskan fail-fail di atas meja. Dia yang berpakaian kasual, mengerutkan dahi.

“Tak ada pun.” Dia mendengus. Kini mencekak pinggang. Pandangannya merayap ke seluruh bilik pejabat. Dari meja, ke almari berdekatan. Sempat matanya melihat suasana kotaraya apabila pandangannya membawa ke tingkap. Malam tidak bermakna sepi bagi penghuni kotaraya ini. Lampu begermalapan, dari bangunan dan kenderaan yang tidak cukup jari untuk membilang. Kotaraya ini maju dan menjadi pusat tumpuan masyarakat dari dalam dan luar negara, baik untuk melancong atau mencari rezeki.

Pun begitu, lelaki ini tahu bahawa itu semua sekadar zahirnya sahaja. Sekiranya seseorang meneliti dengan lebih dalam, melihat dengan perasaan untuk lebih tahu, pasti akan terpunggah segala keburukan yang bersembunyi di balik keindahan kotaraya ini.

Lelaki ini tahu, kerana dia merupakan salah seorang wartawan ternama, yang sering membongkarkan berita terkini berkenaan korupsi, jenayah dan sebagainya.

Malam ini dia mendapat panggilan misteri, menyatakan bahawa ada bahan bukti terkini yang dapat membantu untuk mememberikannya pendedahan terkini.

Pendedahan berkenaan sebuah organisasi rahsia, yang sering menjadi tangan ghaib untuk mencorakkan dunia ini. Organisasi yang sering dipergunakan oleh ahli politik, orang perniagaan, ketua kongsi gelap, dan banyak lagi pihak yang lain, untuk mencapai tujuan masing-masing. Semuanya berkongsi satu ciri – bukan untuk tujuan yang baik, melainkan hanya untuk kepentingan sendiri.

Telah lama lelaki ini menyiasat perkara tersebut. Namun masih tidak menemukan hasil yang kukuh. Hanya cerita-cerita orang. Tetapi dia dapat merasakan bahawa dia semakin hampir untuk mendapatkan sesuatu yang konkrit, agar dapat dipersembahkan kepada orang ramai.

Memang terkejut mendapat panggilan misteri yang menyatakan mahu membantu penyiasatannya. Bagaimana pemilik panggilan tahu, bahawa dia sedang menyiasat perkara itu? Dia tidak berkongsi dengan sesiapa.

Nafas dihela. Dia masih tidak bertemu apa yang dikatakan telah ditinggalkan oleh pemanggil itu di atas mejanya. Hari ini dia keluar pejabat awal, kerana ada kerja di luar kawasan. Pemanggil misteri itu menyatakan bahawa bahan bukti ada ditinggalkan di mejanya, petang tadi. Dia yang mendapat panggilan selepas maghrib tadi, terus bergegas ke tempat kerja, meredah sesak jalan raya.

Kini dia berseorangan di sini. Semua rakan sepejabat sudah pulang. Dan apa yang dicarinya tiada.

“Aku kena tipu agaknya. Allah…” Sebelah tangan menepuk dahi sementara sebelah lagi kekal mencekak pinggang. Sedikit kecewa.

Apa yang tidak disedari Sang Wartawan ini ialah, satu lembaga tubuh yang semakin menghampirinya. Berpakaian serba hitam, dengan kedua-dua tangan sedang erat memegang seutas tali halus yang diperbuat daripada besi. Lembaga itu bergerak dengan penuh cermat, langsung tidak mengeluarkan bunyi. Perlahan-lahan mendekati Sang Wartawan.

Dalam jarak beberapa meter, bentuk tubuh lembaga itu terzahir dek cahaya lampu di atas meja Sang Wartawan. Mempamerkan seorang lelaki, rambut hitam berkilat, kulit sawo matang, bersama beberapa parut halus pada wajahnya, berpakaian kot dan kemeja serba hitam, kekal cermat mendekati Sang Wartawan. Masih tidak disedari kehadirannya.

Perlahan-lahan lelaki itu bangun di belakang Sang Wartawan. Siap untuk menjerut leher Wartawan itu dengan tali besi yang sudah ditegangkan kedua-dua belah tangan.

Tuf! Tuf!

Bunyi desupan yang hampir tidak kedengaran, namun terasa seperti ada sesuatu yang teramat laju, baru sahaja melintas dekat dengan telinganya, Sang Wartawan terkejut melihat kaca tingkap pejabat mempunyai dua lubang, dan tambah terkejut apabila bunyi itu diikuti dengan bunyi yang kuat di belakangnya. Segera dia tunduk sambil berpaling, dan matanya terbelalak melihat seorang lelaki sedang berguling keluar daripada pejabatnya.

“Siapa?!” Wartawan itu menjerit sambil segera bersembunyi di balik meja. Tembakan jarak jauh? Untuk dirinya? Atau untuk individu yang berguling keluar tadi? Dia panik. Cuba melihat apa yang berlaku dari balik meja.

Ketika ini matanya dapat melihat sebatang tangan terjulur, bersama-sama sepucuk pistol dengan bentuk yang luar biasa. Jelas sekali dia menjadi sasaran senjata unik itu.

Namun belum sempat tembakan dilepaskan, pistol tersebut terpelanting. Melantun mengenai almari berdekatan, dan jatuh tersadai di tengah pejabat.

Apa yang sudah berlaku? Sang Wartawan tidak dapat melihat apa yang menyebabkan senjata itu terlepas daripada tuannya.

“Argh! Kurang ajar!” Kedengaran dari luar pejabat.

Tum! Tum! Tum!

Kali ini Sang Wartawan dapat melihat beberapa buku dan fail pada almari berdekatan pintu pejabat itu jatuh ke lantai.

“Argh!” Suara di luar pejabat kedengaran lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi.

Dia dapat mendengar bunyi tapak kaki, mulanya kuat, semakin lama semakin sayup. Kemudian senyap. Beberapa helai kertas masih berterbangan, perlahan-lahan jatuh ke lantai. Keadaan cemas tadi tiba-tiba bertukar menjadi sunyi.

Apa yang telah terjadi?

Sang Wartawan perlahan-lahan keluar dari balik meja. Tetapi masih menunduk, tidak mahu berdiri melepasi tingkap. Yang kini mempunyai beberapa lubang.

Matanya memerhatikan pistol unik yang ditinggalkan.

“Apakah ini….”

Segera dia mencapai telefon bimbit di atas meja. Nombor 9 ditekan tiga kali.

“Hello, saya Nazir, Wartawan TV Taqwa…”

Setelah laporan dibuat, Nazir memerhatikan keadaan pejabatnya yang tunggang langgang. Tidak percaya dengan apa yang baru terjadi sebentar tadi. Kemudian matanya mendarat kembali kepada senjata unik yang tersadai di atas lantai. Sebuah buku dan beberapa helai kertas sedang berada di atas senjata itu.

Dia memberanikan diri mengalihkan buku dan kertas-kertas itu, dan melihat senjata tersebut.

Mungkin inilah yang dicari-carinya.

Bukti.

 

*******

 

Bunyi siren polis mengetuk gegendang telinga. Mata kekal pada skop senjata. Memerhatikan gerak geri Sang Wartawan yang masih terpinga-pinga dengan apa yang baru sahaja berlaku.

“Nazir, huh?” Dia mengangkat kepala. Bangkit bersama senjatanya, sepucuk senapang buatan sendiri, dengan seni yang diperturunkan oleh bapanya. Dia perlu bertenang sebentar. Duduk bersila sambil senjatanya direhatkan di atas peha, pernafasan cuba dikawal. Urat-urat hijau yang terpamer pada sekitar matanya, perlahan-lahan kendur dan kembali normal.

“Huuuuu…” Dia melepaskan nafas. Asap berwarna hijau halus, keluar berkepul-kepul.

“Tak pernah mampu nak membiasakan diri.” Dia bersuara, sambil tangan kanan menepuk-nepuk dada, seakan-akan masih ada sesuatu yang berbaki di dalam tubuhnya. Dia batuk beberapa kali, dan asap yang sama keluar sedikit lagi.

Dia membatu sebentar. Sebelum tangannya pantas melipat senjata, memasukkan alat itu ke dalam sarung yang setia tergantung di belakang tubuh.

“Misi berjaya?” Dia bersuara.

“Alhamdulillah.” Satu suara menjawab pada alat telekomunikasi yang dilekatkan pada telinga.

“Pecah rekod rasanya hari ini.” Dia bangun, dan memandang ke arah tempat berlakunya kejadian tadi. Tetapi kini dia tidak dapat melihat pejabat Sang Wartawan bernama Nazir itu. Tanpa skop senjatanya, juga tanpa bantuan ubat unik gaulan bapanya, dia tidak lagi mampu memandang dengan jelas 10 kilometer di hadapannya.

Angin kuat menderu di atas bangunan 50 tingkat ini.

“10 kilometer itu perkara biasa dalam dunia Pemburu, Barq.”

“Rekod paling tinggi, berapa kilometer?” Dia bergerak meninggalkan tempat itu.

“25 kilometer.”

“Heh.” Barq menggeleng. Tersengih.

“Jaeger kah?”

“Tidak…”

“Ayah?”

Pecah ketawa suara di balik alat telekomunikasi tersebut.

“Pemburu dengan kod nama Hoshi.”

“Bintang dalam Bahasa Jepun. Heh.” Barq menoleh kembali ke arah tempat dia melepaskan tembakan tadi, sambil langkahan diteruskan ke tangga.

“Tak apa. Pada peluang yang lain. Arashi akan mempamerkan kehebatannya.” Wajahnya kembali menghadap hadapan, senjata yang tersarung ditepuk beberapa kali, sebelum dia menuruni anak tangga yang menghubungkan bumbung ini dengan tingkat di bawahnya.

Dia bergerak menuju lif berdekatan.

“Bagaimana pengalaman pertama?” Suara pada alat telekomunikasi itu kedengaran, sementara Barq berdiri di dalam lif.

“Okay. Menarik. Cuma, mengapa kita tidak hapuskan sahaja dia?” Barq mengerutkan dahi.

“Mahu menumbangkan raksasa, perlu ada strategi.”

Barq menggeleng. Sering dia tidak dapat memahami apa yang mahu dicapai oleh bapanya. Manusia yang dipanggil ‘Ayah’ itu, sering dilihat melakukan kira-kira, bermain dengan formula, dan sibuk membuat perancangan. Seakan itu ialah hobinya.

Barq menarik penutup kepala yang bersambung pada leher baju sejuk, sekaligus melindungi sebahagian wajah. Walaupun seluruh kamera pada bangunan ini telah disabotaj, dan tiada siapa yang akan mampu menjangka bahawa tembakan-tembakan tadi datang dari bumbung bangunan ini, dia telah dilatih untuk lebih berhati-hati.

“Okay Ayah. Putuskan komunikasi. Jumpa di pengkalan.”

“Baik. Berhati-hati.”

Alat telekomunikasi dikeluarkan dari telinga. Kemudian Barq menarik dua kord yang terjuntai pada baju sejuknya, alat pendengar diletakkan pada kedua-dua telinga.

 

In youth, you’d lay, awake at night and scheme,
Of all the things that you would change, but it was just a dream!

Here we are….
Don’t turn away now,
We are the warriors that built this town.

Here we are….
Don’t turn away now,
We are the warriors that built this town from dust.

The time will come when you’ll have to rise
Above the best, improve yourself
Your spirit never dies
…..

 

Lagu Warriors dendangan Imagine Dragons, berkumandang.

“Ini patut jadi lagu tema malam ni.” Barq bersuara kepada dirinya sendiri, sambil tersengih.

Lif sampai ke lobi. Barq keluar dan bergerak ke arah pintu kecemasan. Barq tenang sahaja melangkah keluar dari bangunan, seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pun begitu, langkahnya cermat. Dia mengelak dari dirakam mana-mana kamera di sekitar bangunan tadi. Dia telah dilatih oleh bapanya untuk mengetahui tempat letak kamera-kamera tersembunyi di kotaraya ini.

Barq terus menghilang di tengah kesesakan kota.

Malam masih muda. Tetapi Barq perlu tidur awal malam ini.

Esok dia perlu ke universiti.

 

******

 

Nafas turun naik. Mata membesar. Keringat membasahi tubuh, bergabung dengan darah yang mengalir pada bahu. Apa sebenarnya yang telah berlaku sebentar tadi? Sungguh di luar jangkaannya. Dia masih dalam keadaan tidak percaya.

Misinya untuk menghapuskan Nazir, Sang Wartawan yang sedang sibuk berusaha mendedahkan kewujudan Kesatuan Pemburu, gagal! Diganggu oleh penyerang misteri. Dan bukan calang-calang pula.

Apa yang dipamerkan dalam pertarungan yang berlaku sepantas kilat tadi, cukup menggerunkan dirinya.

Matanya masih terbeliak. Namun mindanya memutarkan semula apa yang telah berlaku di dalam pejabat wartawan tadi.

Dua peluru yang pertama, memang bukan untuk mengenai dirinya. Cukup untuk membuatkan dia, seorang pemburu, mengetahui akan kehadiran serangan itu dan mengelak, berguling keluar dari pejabat.

Oleh kerana terkejut dan menyedari bahawa perancangannya terganggu, untuk mengelakkan misi gagal, senjata dikeluarkan bagi menamatkan nyawa Sang Wartawan secepat mungkin. Satu tindakan yang ternyata telah termasuk dalam kalkulasi Sang Penyerang, maka senjatanya menjadi sasaran tembakan jarak jauh yang seterusnya.

Ketiadaan senjata dan perasaan terdesak untuk menyempurnakan misi, menyebabkan dia mengambil masa untuk berfikir sejenak di balik perlindungan dinding luar pejabat tersebut.

Tetapi Sang Penyerang tidak teragak-agak untuk menghantar tiga das tembakan menembusi almari buku, seterusnya dinding tempat dia berlindung, terus kepada bahunya. Salah satu daripada tiga tembakan itu tepat mengenai sasaran yang dikehendaki.

Menyebabkan dia terpaksa melarikan diri apabila menyedari betapa tingginya kemahiran yang dipamerkan Sang Penyerang tadi. Bukan calang-calang.

Kini dia telah berjaya menjauhi tempat kejadian. Bersembunyi sebentar di sebuah lorong gelap yang agak jauh, kerana mahu menghilangkan jejaknya yang sukar dipadam dek darah yang menjijis. Dia terpaksa bergerak jauh untuk menghentikan pendarahan, dan kemudian bergerak lebih jauh agar jejaknya tidak dapat diikuti.

Celaka.

Dia cuba bertenang. Walaupun dia dapat mendengar sayup-sayup bunyi siren, dia tahu bahawa dia tidak akan tertangkap pada malam ini.

Kerana….

“Jagat.” Satu suara menyapa. Spontan dia menghunus kerambit yang selama ini setia pada pinggangnya.

Dua individu, seorang perempuan berambut kuning, bercermin mata hitam, manakala seorang lagi lelaki, berambut mohawk perang, sedang berdiri sambil memandangnya. Mereka menunjukkan sekeping syiling berwarna perak, dengan lambang sebiji mata.

Agen-Agen Pemburu.

Jagat menarik nafas lega.

Apabila diserang tadi, dia terus menghubungi pusat terdekat untuk bantuan. Walaupun tidak pernah di dalam sejarah pemburuannya dia melakukan tindakan sedemikian.

Dia antara pemburu terhandal organisasi ini!

Imejnya tercalar!

Sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Boleh bangun sendiri?” Lelaki berambut mohawk bersuara.

“Atau perlukan bantuan?” Sang Perempuan pula bertanya sambil menghulur tangan.

Jagat menolak tangan perempuan tersebut, dan berusaha untuk bangkit sendiri. Sudah cukup penghinaan ke atas dirinya malam ini. Dia tidak akan menambah dengan memerlukan perempuan untuk membantu dirinya bangun.

“Kita ada masalah yang lebih besar.” Agen berambut mohawk memberitahu.

Ketika ini, Jagat tersentak. Walaupun agen tersebut belum menyambung dengan penjelasan, Jagat kini telah tersedar apa yang terjadi pada malam ini.

“Patutlah…” Jagat mengerutkan dahi.

Sekiranya nyawa Jagat menjadi sasaran, tidak perlu tembakan dilepaskan ke arah senjatanya. Ketika itu juga nyawanya boleh ditamatkan Sang Penyerang. Tetapi itu tidak berlaku.

Kini senjatanya telah ditinggalkan di tempat kejadian. Menjadi bukti untuk Nazir Sang Wartawan mendedahkan kewujudan Kesatuan Pemburu.

“Bagaimana?” Jagat meninggikan suara. Sedikit panik.

“Kita sedang cuba menghubungi orang dalam kita. Lihat apa yang berlaku seterusnya.” Agen Perempuan bersuara.

“Tetapi Ketua amat tidak senang dengan apa yang berlaku malam ini.” Agen lelaki menyambung.

Jagat mengetap gigi. Geraham digigit kuat. Geram.

“Kurang ajar!” Dia menengking sambil menyepak angin.

“Mari, luka itu perlu dirawat.” Agen lelaki itu terus memapah Jagat.

Jagat dibawa dalam keadaan dirinya rasa penuh terhina.

Siapakah gerangan penyerangnya tadi?

 

*******

 

Sementara itu, ruang pejabat Nazir penuh dengan anggota polis yang sedang melakukan kerja masing-masing. Ada yang menyoal siasat Nazir, ada yang bertindak sebagai mencari kesan-kesan kejadian untuk membantu siasatan, juga beberapa yang bertugas mengawal keadaan, kerana tempat itu kini dipenuhi wartawan yang lain, juga rakan sekerja Nazir.

“Pelik.” Detektif Wong mengusap janggut, sambil berkerut dahi melihat lubang-lubang pada dinding pejabat. Berpakaian preman, dia melihat keadaan sekeliling.

“Memang seperti ada berlaku tembakan.” Dia kembali kepada kesan-kesan pada dinding pejabat. Kemudian bergerak keluar pejabat, memerhatikan pula dinding dari arah tersebut.

“Tetapi tiada peluru yang tinggal.” Detektif Wong kembali mengurut janggut. Tabiat yang sudah tidak boleh ditinggalkan, apabila dia sedang berfikir.

“Hmmm…” Detektif Wong bergerak kembali ke dalam pejabat. Matanya direhatkan pada Nazir, Wartawan TV Taqwa yang tidak asing lagi itu. Kini sedang diselimutkan dan diberikan minuman panas. Banyak juga siasatan Detektif Wong dibantu oleh pendedahan-pendedahan yang dilakukan oleh Nazir.

“Saudara Nazir. Bagaimana?” Detektif Wong mengukir senyuman sambil mendekati pemuda berumur 30-an itu.

Nazir mengangkat wajah, pandangan mereka bertaut. Bibirnya kemudian mengukir senyuman kelat. “Tuan mahu cakap: Kan saya dah kata?”

Detektif Wong tertawa. Teringat yang dia sudah beberapa kali berpesan kepada Nazir agar berhati-hati apabila membuat pendedahan. Risau jika nyawa wartawan itu menjadi sasaran. “Kalau apa-apa berlaku nanti, saya tak boleh kata apa-apa selain: Kan saya dah kata.” Namun ketika itu, ayat tersebut hanya satu selorohan, walau bersulamkan peringatan.

Tidak sangka, kejadian hari ini boleh terjadi.

Tambah-tambah, kejadian hari ini sangat berbeza dari kebiasaan kes tembak menembak berlaku.

Seorang anggota polis memasuki ruang pejabat. Mendekati Detektif Wong. Perhatian Nazir dan Detektif Wong terfokus kepada anggota polis tersebut.

“Bagaimana?” Detektif Wong bertanya.

“Kita sudah kerahkan semua anggota yang terlibat untuk memeriksa bangunan-bangunan sekitar tiga kilometer dari arah sini, yang memenuhi ciri-ciri Tuan gariskan.” Anggota itu menunjuk ke arah tingkap, yang kini mempunyai 6 lubang pada kacanya.

“Namun tiada apa-apa kesan.”

Nazir membesarkan mata.

Detektif Wong sekadar menghela nafas kecewa. Memandang kepada Nazir.

“Tiga kilometer itu adalah jangkaan yang lebih daripada rekod tembakan jarak jauh yang terjauh. Rekod masa kini ialah 2.45 kilometer.” Detektif Wong memberikan penerangan.

“Apakah ini bermakna, penembak itu menembak lebih jauh daripada tiga kilometer?”

Detektif Wong menghalakan pandangannya ke arah tingkap yang berlubang itu.

“Entahlah.” Menghela nafas yang berat. “Amat sukar untuk diterima oleh logik tembakan sejauh itu boleh dilakukan, apatah lagi yang lebih jauh.” Kemudian Detektif Wong melakonkan gaya orang sedang melakukan tembakan menggunakan rifle.

“Untuk melakukan tembakan sejauh yang direkodkan itu sahaja, semua perkara perlu diambil kira. Kelembapan suasana, suhu udara, ketinggian dan graviti, angin, kemudian saat-saat melakukan tembakan yang perlu diambil kira di mana sasaran akan berada kerana peluru perlu terbang lama di tengah udara sebelum sampai kepadanya.” Detektif Wong memandang semula kepada Nazir.

“Dan saya belum habis lagi, saudara Nazir.” Detektif Wong melemparkan senyuman kelat. Kelat, kerana tidak percaya apa yang dikongsikan itu boleh terjadi malam ini.

“Untuk tembakan sejauh itu juga, penembak perlu mengambil kira Kesan Coriolis, yang punya kaitan dengan putaran bumi.”

Detektif Wong menyeluk poket, berpaling dari Nazir, melihat pada dinding pejabat dan almari.

“Apakah kita mahu percaya, tembakan yang lebih jauh dari tiga kilometer boleh dilakukan? Bukan sahaja sekali, tetapi enam kali pada malam ini?” Pandangannya kembali semula kepada Nazir.

“Jika benar, maka kita ada masalah yang besar.”

Detektif Wong bergerak meninggalkan Nazir.

“Habis, bagaimana Detektif?”

“Saya perlu pulang dan teruskan siasatan. Darah mangsa tembakan jarak jauh akan kami uji di makmal untuk mengesan pemiliknya. Selebihnya saya perlu menunggu hasil pemeriksaan yang dilakukan mereka ini.” Detektif Wong berjalan keluar pejabat, sambil menunjuk kepada rakan-rakan setugas yang sedang giat bekerja mengumpul bukti.

“Jaga diri saudara Nazir.” Detektif Wong melambai sebelum menghilang, keluar dari pejabat.

Nazir sekadar mengangkat tangan.

Hatinya semakin kuat menyatakan bahawa apa yang berlaku pada malam ini, berkait rapat dengan apa yang cuba didedahkannya.

Serangan yang mustahil itu, mungkin sahaja akibat dari pengunaan senjata yang unik tadi?

Senjata itu kini telah diambil oleh pihak polis untuk kajian lanjut. Tetapi Nazir sempat mengambil beberapa gambar akan senjata tersebut, sebagai rujukan peribadinya untuk pendedahan yang dikejar selama ini.

Walaupun terkejut, dan masih agak ketakutan atas apa yang berlaku pada malam ini, di dalam hatinya terselit sekelumit rasa gembira.

Siasatannya ada progres!