Catatan Hilal: Perancangan Untuk Karier Penulisan Saya

slide5
Kebelakangan ini, saya sering dihujani mesej yang bertanya akan bagaimana buku-buku lama saya, boleh didapatkan.
 
Novel-novel lama, seperti VT, Sinergi, Hero, Takdir, Relasi, Terasing, ramai yang mencari.
 
Dukacita saya maklumkan, setakat pemerhatian saya, buku-buku tersebut telah habis stoknya di pasaran. Dan, berdasarkan sembang-sembang saya dengan syarikat buku yang menerbitkannya, di tangan mereka juga telah habis stok. Mereka tidak dapat cetak lagi kerana masalah ekonomi di pihak mereka, ditambah dengan tiadanya ‘demand’ yang tinggi. Ya, ramai yang bertanya, tetapi taklah ramai sampai 2000-3000 orang. Maka untuk mereka cetak sedikit-sedikit, itu akan menambah kos. Buku-buku tersebut pun sudah terlalu lama usianya, jadi permintaan pun berkurangan, promosi untuk karya-karya saya pun saya lihat taklah seberapa sangat, banyak bergantung kepada saya sendiri untuk mempromosikannya. Saya pula setiap tahun ada buku baru, jadi buku-buku lama semakin terabai. Itu semua menjadi faktor mengapa permintaan menurun dan seterusnya mengakibatkan kehabisan stok serta tiada usaha bersungguh-sungguh untuk cetak semula.
 
Tetapi saya insyaAllah ada perancangan tersendiri. Seperti berikut:
 
 
1. Saya sedang mengusahakan syarikat penerbitan sendiri – Hilal Asyraf Resources.
 
2. Selain ingin menerbitkan sendiri karya-karya baru, insyaAllah saya ada rancangan untuk menerbitkan semula karya-karya lama.
 
3. Lebih baik, karya-karya lama yang akan saya terbitkan semula itu bukanlah ‘direct copy’. Saya akan kemas kini, perbaiki kelemahan-kelemahan sebelum ini, dan mungkin akan tambah baik perjalanan ceritanya dengan membuat perubahan melalui pengurangan atau penambahan terhadapnya. Mungkin juga karang cerita baru daripadanya.
 
4. Namun itu semua bukan dalam masa terdekat. Setakat ini, jadual yang saya telah atur adalah seperti berikut:
 
2016 – Novel Pemburu
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 1
 
2017 – Novel VT versi tulis semula(nama baru: Avant-garde)
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 2
Kumpulan Cerpen Soldadu Ilahi
 
2018 – Novel trilogi Takdir versi tulis semula.
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 3
Kumpulan Cerpen MATRI
 
2019 – Novel Relasi versi tulis semula.
Novel Terasing versi tulis semula.
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 4
 
2020 – Novel Sinergi versi tulis semula.
Novel Hero versi tulis semula.
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 5
 
Itu akan menjadi fokus saya 5 tahun ini insyaAllah, sebagai produk-produk terbitan Hilal Asyraf Resources. Jadi, memang makan masa bagi mereka yang mencari novel-novel lama saya, tetapi insyaAllah saya yakin versi tulis semula lebih berbaloi. Tambahan, bila saya terbitkan sendiri, lebih mudah para pembaca hendak mendapatkannya terus daripada saya, berbanding tercari-cari di kedai-kedai, bukan? 🙂
 
Jika rakan-rakan perasan, Novel Hikayat Satria-Satria Sejati kelihatan ada setiap tahun. Ya, itu projek terbesar saya. Tidak pasti mampu atau tidak untuk saya sambung ceritanya hingga ke lima buah novel, namun setakat ini rangka sudah ada. Penulisan Novel Lagenda terpaksa saya tangguhkan, kerana setakat ini idea Novel Hikayat Satria-Satria Sejati lebih solid dalam rangkaan saya. Tambahan, saya rasa seperti ‘redundant’, kerana Hikayat Satria-Satria Sejati itu dikembangkan dari idea asal untuk Novel Lagenda. Mungkin, Novel Lagenda akan jadi cerita lain satu hari nanti. Siapa tahu.
 
Berdasarkan perancangan di atas, rakan-rakan boleh lihat yang saya akan mula memberikan fokus yang lebih besar terhadap bahagian fiksyen, berbanding non-fiksyen. InsyaAllah saya akan masih menghasilkan buku motivasi(non-fiksyen), tetapi mungkin setahun hanya satu. Dan saya tidak masukkan dalam senarai kerana, buku-buku non-fiksyen akan diterbitkan oleh PTS. InsyaAllah buku non-fiksyen saya yang akan terbit dalam masa terdekat ialah Buku Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan.
 
Saya ingin memberikan fokus kepada karya fiksyen kerana sasaran saya dalam medan ini, besar.
 
Saya berharap, karya saya dapat bersaing dengan karya-karya ‘mainstream’ sedia ada(yang jenis TV3 pilih untuk jadikan drama tu). Saya mahu karya-karya yang boleh memberikan inspirasi kepada generasi baru. Karya-karya yang mampu menyuntik imiginasi mereka untuk fikir perkara yang baik-baik. Karya yang mampu membuatkan para pembaca memilih untuk hidup berprinsip, berwawasan, bercita-cita untuk menjadikan diri bermanfaat. Saya mahu karya yang menghidupkan jiwa, tutup sahaja novel itu, rasa tergerak untuk buat perubahan yang baik kepada diri dan orang sekeliling, habis sahaja baca novel itu, rasa lebih dekat dengan Allah SWT, rasa tersentuh dan ingin melakukan refleksi terhadap diri. Itu yang saya mahu.
 
Dan saya berharap, satu hari nanti saya dapat hasilkan sebuah karya yang mampu menjadi KOMSAS, mampu menjadi salah satu dari novel yang perlu dikaji, diteliti oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia. Alah, macam Sehijau Warna Daun, Bukit Kepong, Konserto Terakhir(ini semua silibus zaman saya) dan lain-lain tu.
 
Itu hajat dan sasaran saya.
 
Besar, dan mungkin mustahil kut(siapalah saya), tetapi tidak salah hendak bercita-cita bukan? 🙂
 
Saya mohon doa dan sokongan rakan-rakan.
 
======================
 
14163814_935760266536106_1448132747_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.
 
Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.
 
Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:
 
http://bit.do/youthace2016
 
Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Catatan Hilal: Sekadar Ingin Berkongsi Tips Berkait Penulisan.

slide1

 

Assalamu’alaikum, ada beberapa individu mesej saya bertanyakan tips untuk mengarang buku, baik novel atau buku motivasi. Ada juga yang tanya, bila saya akan buat bengkel penulisan lagi.

Saya agak sibuk untuk buat bengkel penulisan dalam masa terdekat. Ada yang tawarkan tempat di Bangi, supaya saya boleh buat setiap bulan, jadi orang ramai ada banyak pilihan tarikh untuk hadir, saya pula tiada masalah untuk cari tempat. Namun, saya pilih untuk fokus membina syarikat baru saya – Hilal Asyraf Resources – yang akan saya gunakan untuk memulakan bisnes penerbitan buku-buku saya. Ya, saya nak mula secara serius terbit karya-karya saya sendiri.

Berbalik kepada tajuk, untuk memenuhi hajat yang berminat, maka di sini saya kongsikan apa yang saya buat untuk menyiapkan sebuah buku.

1. Banyakkan membaca.

Asas. Kata-kata yang masyhur, orang yang tidak punya apa-apa tidak akan mampu memberikan apa-apa. Penulisan adalah produk pemikiran kita. Pemikiran terhasil daripada pembacaan. Dan pembacaan di sini jangan terhadkan kepada pembacaan buku, walaupun itu antara yang terpenting. Baca di sini juga bermakna penelitian, pemerhatian terhadap suasana, individu, keadaan dan sebagainya yang berlaku di sekeliling kita.

Jadi banyakkan membaca buku, banyakkan memerhati, banyakkan bergaul mencedok pengalaman orang ramai.

2. Idea ada 2 jenis.

Pertama: Datang sendiri.

Saya yakin ramai perasan yang tiba-tiba dirinya mendapat idea yang menarik. Ya kan? Tiba-tiba aja idea datang. Automatik. Ini idea yang datang sendiri. Tak minta, tak cari, tiba-tiba hadir. Tapi jangan kata ini wahyu pula. Ianya hanya ilham.

Idea datang sendiri ini, akan cepat hilang. Maka antara disiplin kita ialah rajin mencatat. Apa sahaja idea yang tiba-tiba hadir, catat. Zaman sekarang dah maju, semua smartphone ada aplikasi ‘note’. Kalau tak ada, boleh cari aplikasi tersebut. Biasanya percuma sahaja. Bila datang idea, terus catat.

Kalau tak, nanti jadi begini:

“Tadi aku ada idea menarik, tapi alah, dah lupa dah.”

Rugi.

Kedua: Idea Yang Sendiri Datangkan.

Yang ni kena usaha. Cari idea daripada Al-Quran, hadith, buku-buku karangan orang lain, pengajian di universiti/sekolah, pengalaman diri atau orang lain, sejarah, filem, komik, lagu, dan 1001 lagi sumber.

Fikir, nak buat cerita apa. Kemudian kena fikir macam mana nak kembangkan cerita tersebut. Rangka. Isinya didapati dari sumber-sumber tadi. Perjalanan ceritanya kita reka. Susun perjalanannya satu persatu. Tetapkan bagaimana ia bermula dan bagaimana kita hendak ia berakhir. Seterusnya isi plotnya di tengah-tengah. Tetapkan bila cerita akan klimaks, apa twistnya, dan sebagainya.

Semua ini kena perah otak fikir. Malas memang tak jalan. Kemudian sekali lagi – CATAT semua itu. Jangan biar berlegar di otak terawang-awang menanti hilang.

3. Pantang Dalam Mencari Idea

Antara pantang saya dalam mencari idea ialah, cari idea ketika kita duduk di hadapan komputer dengan niat nak menulis. Memang jem. Ini antara punca mengapa ramai termanggu-manggu nak tulis apa.

Sebab duduk depan komputer baru nak cari idea. Nanti habis masa skroll facebook, tengok youtube, surf internet aja. Sebab kita duduk depan komputer tu tanpa isi. Orang yang tiada apa-apa, takkan mampu berikan apa-apa.

Maka, disiplin saya ialah menggunakan seluruh kehidupan saya untuk mencari idea. Setiap masa, saya berfikir untuk mendapatkan idea, dan menyusun idea tersebut. Kemudian catat.

Untuk saya, saya suka rangka sepenuhnya terlebih dahulu karya-karya saya. Kalau novel tu saya nak ada 30 bab, saya sudah rangka siap-siap 30 bab. Jadi saya jelas bagaimana cerita saya bermula, perjalanannya, dan bagaimana akhirnya. Kalau saya menulis buku motivasi, nak ada 20 bab, saya sudah rangka siap-siap apa saya nak tulis setiap bab tersebut. Jadi saya jelas perjalanan buku saya itu, bagaimana mukaddimahnya, apa bab-bab permulaan, apa bab-bab pertengahan, dan apa bab-bab akhir, supaya buku motivasi saya bukan rawak, tetapi ada ‘flow’.

Seterusnya tetapkan masa untuk menulis. Bila duduk sahaja di hadapan komputer, buka catatan dan start mengarang berdasarkan catatan kita. InsyaAllah nanti kita akan lihat, bermula dari apa yang kita catat itu, yang dah rangka itu, ketika kita menulis, idea akan datang lagi dan lagi, sama ada idea yang lebih baik, atau pertambahan idea untuk kembangkan idea sedia ada.

4. Jadual & Disiplin

Ini memang berbuih saya selalu ulang. Ini sebenarnya antara penentu kejayaan kita dalam menghasilkan seseuah karya.

Hendaklah diingat bahawa sebuah buku itu takkan terhasil sehari semalam. Kecuali kalau kita nak buat buku koleksi status facebook atau koleksi instagram atau koleksi twitter kita. Huhu.

Saya biasanya mampu menyempurnakan penulisan sebuah karya dalam masa sebulan. Memang saya sudah tetapkan yang bulan sekian adalah masa untuk menulis. Saya tetapkan bila nak menulis, dan saya pastikan saya ada nota untuk periksa progress saya.

Saya buat demikian sebab biasanya saya sasarkan setahun saya akan mengarang lebih dari sebuah buku. Kadang-kadang sampai 3-5 buah buku setahun(dalam masa 6 tahun, saya sudah karang 30 buah buku).

Namun ianya ikut diri masing-masing. Kena ada target dan sasaran.

Nak siap bila buku ni? Jangan berikan tekanan yang tak sepatutnya kepada diri. Contoh, nak siap dalam masa seminggu, atau sebulan, padahal kita tak pernah ada pengalaman menulis sebuah buku. Mula dengan target yang munasabah. Contohnya, satu buku dalam masa lima bulan.

Nak berapa bab karya tersebut? 20? 30? Tetapkan.

Satu bab nak berapa muka surat? 5 muka surat? 10 muka surat? Tetapkan. Kalau saya, untuk Buku Motivasi, saya karang setiap satu bab sekarang 5 muka surat, size A4, font calibri, size 11. Mudah cerita, default microsoft words. Tak payah setting-setting apa-apa. Untuk novel pula, saya karang setiap satu bab 10 muka surat, dengan format yang sama.

Jangan risau fasal layout apa semua, itu akan diuruskan oleh penerbit. Kerja kita pastikan manuskrip siap dan boleh dibaca dengan elok.

Bila dah tetapkan itu semua, maka kita bahagilah. 5 bulan ada berapa hari? Katalah ada 150 hari. 20 bab buku motivasi, ada berapa muka surat? Katalah 100 muka surat. Jadi 150 hari bahagi 100 muka surat. Maka jadual kita, dalam sehari setengah, kena pastikan siap satu muka surat. Nampak? Atau kita target, seminggu 1 bab. 30 bab Novel ada 300 muka surat, maka kita bahagi 300 muka surat dengan 150 hari. Kita target 2 muka surat sehari, atau 5 hari 1 bab. Begitu.

Baru tak penat. Baru boleh konsisten.

Waktu bila nak menulis? Ini bergantung kepada diri masing-masing. Jika selesa selepas Subuh, itulah masa kita. Jika selesa selepas Isya’, itulah masa kita.

Yang penting – BUAT JADUAL berdasarkan perancangan kita tadi & berdisiplinlah dengan jadual tersebut.

Tak ada disiplin, memang out. Berangan ajalah kita mampu. Berangan senang. Tak perlu ada disiplin. Dari angan-angan nak tukar kepada cita-cita, kena ada semangat yang kuat. Dari cita-cita nak tukar jadi realiti, kena ada disiplin. Kalau tidak, cita-cita pun akan kembali jadi angan-angan aja.

5. Niat Pastikan Ikhlas Dan Jelas

Akhir sekali, hendaklah kita sentiasa jelaskan niat akan tujuan kita mengarang sesebuah buku. Kita tidak mahu dah penat lelah mengarang panjang-panjang, sekalin rupanya Allah tak kira itu sebagai sebahagian amal soleh kita. Sebab apa? Niat tak betul.

Niat nak popular. Niat nak duit banyak. Niat nak dapat perhatian. Niat nak menunjuk-nunjuk.

Pada saya, perbetulkan niat terlebih dahulu. Popular, duit, perhatian, akan datang kemudian jika Allah nak beri kepada kita. Itu semua bukan tujuan utama. Anggaplah ia sebagai bonus, lagi bagus, anggap itu semua sebagai ujian.

Niat akan membentuk perjalanan karya kita. Sebab niat yang salah, akan membuatkan kita tidak segan silu hasilkan karya yang merepek, sekadar memenuhi hawa nafsu ramai, kemudian jadi drama di televisyen, rosakkan lagi ramai orang. Kita dapat banyak duit, popular, di media sosial banyak follower, post noktah sahaja pun boleh dapat banyak like, tetapi masyarakat jadi makin bengap sebab disuap oleh karya kita yang entah apa-apa. Orang bukan beli sebab bagus, tetapi sebab memenuhi kepuasan nafsu mereka.

Sepatutnya, terutama jika kita seorang muslim, kita nampak kelebihan untuk mampu mengarang sesebuah buku itu ialah anugerah untuk dimanfaatkan. Dimanfaatkan di atas jalan yang baik. Jalan yang memberikan manfaat pula kepada orang lain. Yang boleh memberikan impak positif, membawa perubahan yang baik kepada peribadi yang membaca.

Kita perlukan lebih ramai penulis yang jujur dan amanah. Hasilkan karya-karya yang baik. Supaya masyarakat kita juga jadi masyarakat yang baik-baik.

Itu sepatutnya jadi tujuan utama kita.

Tujuan sebegini jugalah yang insyaAllah akan sentiasa buat kita bermuhasabah diri, sering berusaha nak berikan yang terbaik.

===============================
Saya fikir, itu sahaja yang saya mampu kongsikan di sini. Ringkas sahaja. Saya bukan penulis paling hebat pun. Tak ada rahsia apa sangat pun.

Doa-doakan saya, insyaAllah sekarang saya sedang berusaha untuk menerbitkan Novel bertajuk Pemburu. Alhamdulillah, sudah siap dan saya jangka akan dapat diterbitkan pada hujung Oktober 2016.

Semoga Allah kira semua usaha kita sebagai amal soleh, dan mampu menjadi saham untuk kita di akhirat kelak.

Hayati hadith-hadith berikut untuk membakar semangat:

“Demi Allah, walau hanya seorang sahaja diberi petunjuk(oleh Allah) melalui perantaraan(disebabkan) kamu, maka itu lebih baik dari unta merah.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

“Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal kebaikan, adalah baginya pahala sebanyak(pahala) orang yang menurutinya(mengikuti ajakan itu), dengan tidak mengurangi sedikit pun nilai pahala itu dari pahala-pahala mereka.” Hadith Riwayat Muslim dan Abu Dawud.

Muhasabah.

==============================

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Umum: Apa Khabar Belia Kita?

photo 4 (12)

 

Hari ini saya meluangkan masa membaca satu artikel ilmiah, atau kertas kerja, bertajuk Permasalahan Sosial Di Kalangan Remaja Dalam Selangor: Satu Tinjauan.

Di dalamnya terdapat fakta-fakta berkaitan kebejatan gejala sosial di kalangan belia kita.

Antaranya dinyatakan di dalam kertas kerja tersebut bahawa statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) telah mencatatkan 81,000 kelahiran anak luar nikah sehingga 2011. Manakala kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia(UPM) pula mendapati 300 orang remaja melayu berusia 13-25 tahun terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas. 85% daripada bilangan itu pula dinyatakan langsung tidak menyesal, malu atau takut melaksanakan perbuatan tersebut, bahkan menyatakan ia pengalaman yang menyeronokkan.

Statistik Polis DiRaja Malaysia(PDRM) pula mencatatkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan antara tahun 2000-2006 ialah seramai 580 orang bayi. Jumlah kelahiran anak luar nikah pula menunjukkan pola peningkatan antara tahun 2006-2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 orang bayi didaftarkan dalam tempoh tersebut. Manakala jumlah keseluruhan bayi tidak sah taraf(anak luar nikah) telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara(JPN).

Dan itu hanya beberapa contoh kes. Kertas kerja yang sama turut mempamerkan kajian terhadap kes-kes seperti kecurian, ponteng, dadah dan sebagainya.

Angka-angka yang terpamer ini nyata membimbangkan.

Dan itu semua sebelum ledakan besar media sosial. 2010 tidak sama seperti 2016. Dunia telah bergerak pantas di alam teknologi. Telefon bimbit kita bukan lagi telefon bimbit, tetapi telefon pintar. “Segalanya di hujung jari” dahulu menggambarkan penggunaan komputer, kini terjemahannya telah berubah kepada penggunaan smartphone.

Saya sebenarnya masih tercari-cari statistik terkini.

Entah dengan kemudahan telefon pintar, media sosial yang lebih advance, apps-apps yang lebih memudahkan urusan komunikasi, muat naik gambar dan video, carian di internet, apa khabar terkini belia di negara kita?

Statistik yang saya perolehi pun ialah berkaitan penggunaan media sosial. Tetapi berdasarkan statistik tersebut pun, kita boleh menjangka keadaan warganegara kita.

Berdasarkan data pengguna media sosial yang diperoleh oleh SKMM daripada kajian-kajian oleh pelbagai universiti mendapati 60 peratus responden mengalami kebimbangan, 31.7 peratus mengalami kemurungan dan 20 peratus mengalami stres. Daripada keseluruhan responden juga, sejumlah 59.2 peratus didapati menampakkan tabiat ketagihan tidak sihat terhadap media sosial.

Ini realiti masyarakat kita. Nampak merdeka, tetapi hakikatnya terpenjara.

Rakan-rakan saya yang bekerja sebagai doktor sering berkongsi berkenaan masalah gejala sosial yang mereka rasai tempiasnya di hospital. Ada kisah mak bawa anak umur 15 tahun yang bunting tanpa suami. Ada kisah bayi ditinggalkan. Ada kisah orang yang datang nak gugurkan anak luar nikah. Macam-macam.

Rakan-rakan saya yang bekerja di rumah kebajikan yang menempatkan golongan belia wanita yang terlanjur pula menyatakan apabila mereka buat program ke sekolah-sekolah, dari kalangan 300 orang pelajar, akan ada sekitar 20 orang telah melakukan zina.

Rakan-rakan saya yang bekerja sebagai ustaz di pusat serenti pula mengkhabarkan bahawa ramai di pusat-pusat serenti yang mereka ziarahi, ialah orang melayu Islam sendiri. Macam-macam kisah dan cerita, namun konklusinya sama – keruntuhan generasi muda.

Kalau dengar, macam terkejut dan tertanya-tanya – Malaysia kah ini?

Namun itulah hakikatnya.

31hb Ogos disambut esok, pastinya dengan penuh kebanggaan. Tetapi apa khabar sebenarnya belia kita hari ini?

Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Catatan Hilal: Anugerah Allah SWT Boleh Datang Dalam Bentuk Yang Memeritkan.

10965633_925488207486010_552727420_n
10965633_925488207486010_552727420_nKadangkala, saya fikir, antara cara Allah SWT hendak membersihkan diri seseorang, adalah dengan cara Allah SWT mengujinya dengan kebencian manusia – hasil dari sikap khianat, hasad, dengki dan sebagainya – terhadapnya.

Kebencian manusia itu akan membuatkan dia dianiayai, difitnah, dizalimi, dikutuk, dikeji, dicaci maki dan sebagainya. Kita lihat dari satu sisi, nampak macam orang itu sedang ‘dihukum’. Tetapi kemungkinan dia sedang ‘dibersihkan’ oleh Allah SWT. Itu bukan hukuman, tetapi ‘anugerah’ yang besar dan tidak ternilai oleh Allah SWT buat dirinya. Mengapa?

Hayatilah hadith berikut untuk mengetahui jawapannya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”

Jawab para sahabat: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”.

Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam ummatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” Hadith sohih Riwayat Muslim.

Ya, ketika mana orang lain semua muflis kerana mencacinya, mengejinya, memfitnahnya, memaki hamunnya, menzalimi dan menganiayainya, dia menjadi seorang yang kaya di akhirat kelak. Dosanya diangkat( sebab diberikan kepada orang yang melakukan kejahatan ke atasnya) dan pahalanya ditambah, kerana Allah SWT berikan pahala yang ada pada orang yang melakukan kejahatan ke atasnya tadi kepadanya.

MasyaAllah.

Kadang kita nampak anugerah itu wujud pada harta, pangkat, puja dan puji orang. Namun anugerah yang sebenar hakikatnya adalah redha dan syurga Allah SWT.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Dan biasanya orang yang mendapat redha dan syurga Allah SWT ini akan diberi ujian yang getir.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Moga kita tidak menjadi orang yang muflis itu, dan moga Allah SWT mengizinkan kita tergolong dalam golongan yang mendapat anugerahNya, rahmat dan redhaNya.

Muhasabah.