Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Kepenatan & Kekecewaan.

10486338_10203508532425495_5805203231233383199_o

Kita semua tidak tahu bila kematian akan datang menyambar kita, membawa kita keluar daripada kehidupan di dunia ini, untuk pulang bertemu dengan Allah SWT. Ketiadaan pengetahuan yang jelas akan bila tarikh kematian kita mempunyai perasaan yang bercampur baur. Antara merasai bahawa perjalanan kita di atas dunia ini panjang, atau pun pendek.

Jika kita berfikir dengan mendalam, bersama-sama fokus akan impak sebuah kematian kepada seorang manusia, pasti kita akan terasa betapa pendeknya kehidupan ini. Namun, dunia itu tercipta dengan 1001 godaan di dalamnya, 1001 perkara yang mampu membuatkan kita terlupa akan pengakhiran kita, lantas tidak sedikit juga yang akhirnya merasakan bahawa perjalanannya di atas dunia ini merupakan sebuah perjalanan yang panjang.

Sebagaimana orang yang melalui sebuah perjalanan yang panjang, dia akan terasa lelah dan kepenatan. Lebih-lebih lagi jika apa yang diusahakan sepanjang perjalanan itu ialah perkara yang sama.

Begitulah jua orang yang berusaha sepanjang kehidupannya untuk melawan godaan syaitan, menjauhi maksiat dan keingkaran, dan apabila terjatuh, sering berusaha untuk naik kembali, berkali-kali di dalam kehidupannya.

Kepenatan dan kelelahan akan menyapanya.

Kekecewaan akan menjadi temannya.

Putus asa akan menjadi petunjuk arahnya.

 

Penat & Kecewa Itu Lumrah

Rakan-rakan, satu perkara yang perlu kita terima ialah, rasa penat dan kecewa itu ialah perasaan-perasaan lumrah bagi seorang manusia. Sebagai manusia penuh kekurangan dan kelemahan, semestinya wujud perasaan penat dan letih, kecewa dan putus asa, lebih-lebih lagi bagi kita yang setelah berulang kali berusaha, masih tidak kunjung nampak perubahan hasil usaha kita.

Namun jangan biarkan kepenatan dan kekecewaan itu menunggang kita. Sehingga perasaan-perasaan itu menjadi petunjuk arah bagi perjalanan kita yang seterusnya.

Perasaan-perasaan itu perlu kita lawan.

Mulakan dengan memujuk diri kita, bahawasanya Allah SWT itu Maha Tahu akan kelemahan dan kekurangan kita. Lantas antara seruan Allah SWT kepada hamba-hambaNya adalah jangan berputus asa dengan rahmatNya.

Ya, jangan berputus asa.

“Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.” Surah Az-Zumar ayat 53.

Dan perasaan putus asa itu sendiri, yang membuatkan kita hingga tidak mahu bangkit semula, ialah perbezaan antara orang yang masih ada keimanan di dalam dirinya, dan yang telah tiada keimanan di dalam dirinya.

“Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat.” Surah Al-Hijr ayat 56.

Resmi orang yang penat, maka dia berehat untuk mengumpul tenaga. Maka tidak salah, kita berehat sebentar, cuba melihat pada sisi yang lain, mungkin kita keluar daripada suasana yang kita sedang berada, bertemu dengan orang-orang yang soleh meminta nasihat, jika ada kemampuan kita pergi menunaikan umrah atau haji, mungkin menonton rancangan-rancangan atau membaca buku-buku yang boleh memberikan kita semangat untuk bergerak kembali.

Yang penting, jangan berputus asa.

 

Dosa Itu Ialah Ujian Kepada Kita, Dan Kita Akan Diuji Sebelum Diberikan Syurga

Sesungguhnya rakan-rakan, kehidupan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini adalah kehidupan yang teruji. Kita akan diuji dengan pelbagai ujian. Dan ramai yang menyangka bahawa ujian itu sekadar dalam bentuk bencana, kemalangan, kekurangan harta dan sebagainya.

Namun hakikatnya, dosa itu juga ialah ujian. Syaitan dan nafsu itu menjadi ujian kepada kita, lantas, dosa-dosa yang kita lakukan itu juga ialah ujian kepada diri kita.

Ujian untuk melihat sejauh mana kita berusaha untuk membersihkan diri dan bergerak kembali kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Firman Allah SWT lagi: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Sesungguhnya Allah SWT itu memberikan ujian untuk kita sendiri menyedari akan tahap keimanan kita kepada Allah SWT. Dengan teruji, barulah kita menyedari hakikat keimanan kita. Kuatkah? Lemahkah? Ada yang perlu diperbaiki kah?

Tanpa ujian, kita akan selesa, lalai dan alpa. Diuji akan menyebabkan kita dapat melihat, apakah diri kita berada dalam kalangan mereka yang peka hatinya, atau yang tidak kisah langsung dengan apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Sekiranya ditanya apakah kita mahu masuk ke syurga atau neraka, sudah pasti jawapan kita ialah mahu masuk ke syurga. Maka jalan ke syurga itu ditaburi dengan ujian-ujian, godaan-godaan, kerana syurga itu penuh dengan kenikmatan dan kekal abadi kita di dalamnya. Hanya yang layak mendapat rahmat Allah SWT sahaja akan memperolehinya.

Bagaimana kita hendak mendapatkan rahmat Allah SWT?

Dengan menunjukkan kesungguhan kita. Melepasi ujian-ujian yang datang. Mengatasi putus asa. Lagi dan lagi. Lagi dan lagi. Sesungguhnya Allah memerhati.

 

Muhasabah Kesementaraan Hidup

Ubatilah juga penat dan lelah kita dengan bermuhasabah akan kesementaraan hidup.

Rakan-rakan pembaca yang saya muliakan, apakah kita sedar betapa sementaranya hidup? Pernahkah kita cuba membuat ukuran? Mari bersama-sama dengan saya, kita cuba membayangkan bersama-sama kesementaraan hidup.

Allah SWT berfiman bahawa orang yang masuk ke dalam syurga dan neraka itu akan kekal abadi di dalamnya.

Firman Allah SWT: “Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.” Surah At-Taubah ayat 21-22.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-Baqarah ayat 39.

Selama-lamanya ini atau kekal, bermaksud masa kita berada di dalam syurga dan neraka itu tidak akan habis. Akan berterusan. Hingga bila-bila. Jadi, bayangkan selama-lamanya ini sebagai pembaris yang tidak akan berhenti memanjang.

Bayangkan pula kehidupan kita. Waktunya terhad. Hentinya ketika mati. Katalah kita akan mati pada umur 60 tahun. Bayangkan kehidupan kita dalam bentuk pembaris yang tidak akan memanjang.

Ukuri kedua-duanya. Letak sebelah menyebelah di dalam minda kita.

Pembaris yang tidak berhenti memanjang itu akan terus memanjang dan memanjang. Apa akan terjadi kepada pembaris yang satu lagi? Secara perbandingan, pembaris yang satu lagi, yang mewakili kehidupan kita itu akan semakin mengecil dan mengecil.

Namun pembaris yang mewakili selama-lamanya tadi itu akan terus memanjang dan memanjang. Pembaris mewakili kehidupan kita akan kelihatan semakin mengecil dan mengecil, kerana kepanjangannya tidak berubah semenjak awal tadi.

Bayangkan lagi, jangan berhenti, pembaris yang memanjang tadi terus memanjang. Apa akan jadi akhirnya pada pembaris yang mewakili kehidupan kita? Akan jadi terlalu kecil, semakin mengecil, dan kemudian lenyap.

Begitulah sementaranya kehidupan kita di dunia, hendak dibandingkan dengan kehidupan kekal abadi di akhirat sana. Sungguh sementara. Namun kesementaraan yang teramat sementara itu, yang menjadi asbab kepada kebahagiaan atau kesengsaraan kita selama-lamanya di akhirat kelak.

Maka apalah sangat keleitihan dan kepenatan kita di dunia ini?

Ya, tidak salah letih dan penat, itu lumrah. Namun jangan sampai ianya menyebabkan kita terhenti. Sungguh rugi.

Bila kita memahami perkara ini, fahamlah kita mengapa Allah SWT menekankan perihal masa, dan mengaitkannya dengan kerugian manusia.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Kerana masa kita di atas muka bumi ini sangat sedikit, namun sangat berharga kerana ia bakal menjadi asbab kepada kita sama ada mendapat rahmat Allah SWT atau bukan, kemudian seterusnya menjadi asbab kepada kemasukan kita ke syurga, atau ke neraka.

Dan masa yang teramat pendek inilah yang perlu kita hargai, yang perlu kita usahakan bersungguh-sungguh.

Sebentar sahaja.

Sebentar kita berpenat lelah berbuat kebaikan, berusaha untuk membawa perubahan kepada diri, berkali-kali bangkit kembali, Allah SWT membalas dengan syurga yang selama-lamanya. Berbaloi sangat-sangat.

Sebentar yang teramat kita habiskan dengan kelalain dan kesenangan dalam kemaksiatan dan keingkaran, balasannya ialah neraka yang menyeksakan, kekal abadi kita di dalamnya, na’udzuhibillahi min dzalik. Sangat-sangat tidak berbaloi.

 

Setiap Kesusahan Itu Diiringi Kesenangan

Allah SWT berfirman:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Surah Asy-Syarh ayat 5 & 6.

Ramai yang membaca ayat ini dan menterjemahkannya sebagai ‘setiap kesukaran itu selepasnya ada kesenangan’. Namun terjemahan sebenar ialah ‘setiapm kesukaran itu disertai kemudahan’.

Bermakna, Allah SWT apabila Dia turunkan kepada kita ujian-ujian, hakikatnya di celah-celah ujian itu, semasa kita sedang gigih mengharungi ujian itu, di sana ada kemanisan-kemanisannya, kemudahan-kemudahannya, yang tidak akan dapat kita rasai melainkan dengan melalui ujian tersebut.

Sukar hendak saya ceritakan di sini apa yang saya maksudkan.

Namun, saya yakin sekiranya rakan-rakan pembaca meneliti perjalanan masing-masing dalam mengharungi ujian dan cabaran, pasti ada kenangan-kenangan manis, yang terselit di celah-celahnya.

Begitulah kita dalam mengharungi cabaran untuk membawa perubahan kepada diri, untuk kembali kepada Allah SWT. Sememangnya kepenatan, kekecewaan, akan hadir. Tetapi sekiranya kita renungi kembali perjalanan kita, pasti kita lihat ada banyak kebaikan yang telah berlaku dan apakah kita hendak meninggalkan jalan ini hanya kerana kita penat dan letih?

Contohnya, seorang hamba Allah SWT yang berusaha hendak meninggalkan perbuatan melancap dan menonton video lucah. Selepas 30 hari berjaya meninggalkannya, dek tergoda dengan hawa nafsu, dia melakukan perbuatan-perbuatan itu semula. Lantas rasa penat dan kecewa hinggap pada dirinya. Namun sekiranya dia mengambil masa sebentar, dan melihat ke belakang, 30 hari yang telah dia lalui itu, dia akan bertemu dengan kegembiraan-kegembiraan.

Gembiranya dia saban hari dapat meninggalkan perbuatan tersebut, hatinya terasa lebih lapang dan tubuhnya terasa lebih ringan untuk berbuat kebaikan. Mungkin mindanya menjadi lebih bersih selepas menjauhi perkara-perkara tersebut lantas fokusnya berubah kepada perkara-perkara yang lebih membahagiakan dan menggembirakan jiwa. Mungkin dalam usahanya meninggalkan perkara tersebut, dia berjaya berkenalan dengan orang-orang yang baik, yang membuatkan dirinya rasa selesa dan tenang.

Melihat semula semua ini, sepatutnya seseorang itu tidak akan jadi untuk berputus asa.

Dia akan melawan kepenatannya. Akan melawan kesukarannya.

Dia akan bangkit semula!

Begitulah juga sepatutnya kita.

Jangan berputus asa rakan-rakan.

Apa yang selalu kita kata dan ulang-ulangkan?

Kalaulah kita tidak berjaya hidup dalam keadaan berjaya berubah, biarlah kita mati dalam keadaan kita sedang bersungguh-sungguh melakukan perubahan.

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memerhati, lagi Adil PenilaianNya.

Muhasabah.

 

*Ini ialah artikel terakhir daripada siri Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan yang disiarkan secara online di LangitIlahi.Com. InsyaAllah versi buku, dengan banyak bab tambahan lagi, akan diterbitkan oleh PTS tidak lama lagi. Jika anda berminat mendapatkannya, nantikan ia muncul di pasaran kelak insyaAllah. Terima kasih atas sokongan dan doa. Semoga artikel-artikel ini memberikan manfaat dan impak kepada kehidupan kita semua.

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Ibrah Daripada Sejarah.

10506734_10203539261713708_7921732675377642077_o

 

 

Manusia yang tidak berlajar daripada sejarah, tidak akan mampu membawa peningkatan untuk masa hadapan. Kerana sebelum kita telah berlalu manusia-manusia, yang juga diuji oleh Allah SWT. Ada di kalangan mereka yang berjaya, ada di kalangan mereka yang akhirnya kecundang. Maka untuk memberikan diri kita kekuatan yang lebih, tidak dapat tidak, hendaklah kita belajar daripada mereka, agar kita dapat lakukan apa yang orang-orang berjaya lakukan, dan agar dapat kita jauhi apa yang orang-orang gagal laksanakan.

Rakan-rakan yang dimuliakan, sebelum saya mengorak langkah lebih jauh di dalam bab ini, suka saya ingin menyatakan bahawa, perkongsian-perkongsian di dalam bab ini saya ambil terus daripada Al-Quran dan hadith. Menandakan bahawa, semua peringatan ini, diberikan terus oleh Allah SWT dan RasulNya, tanda kasih sayangNya kepada kita.

Dia telah memberikan kita peringatan dengan memberikan kita kisah-kisah untuk kita ambil pengajaran daripadanya. Disematkan di dalam Al-Quran, disampaikan melalui hadith Rasulullah SAW, supaya kita menjadi ummat yang belajar, ummat yang mengambil iktibar dan pengajaran. Betapa kasihnya Allah SWT. Tidaklah Dia terus menghukum kita dalam keadaan kita jahil. Telah Dia sampaikan kepada kita peringatan dan pengajaran terlebih dahulu.

Maka apakah masih patut ada di kalangan kita berfikir, bahawa tidak adil untuk Allah SWT memberikan seksaan dan azab, selepas Dia menunjukkan kasih sayangNya yang teramat luas sebegini?

Sesuatu untuk kita ambil iktibar.

Ayuh, kita cuba perhatikan beberapa kisah untuk menjadi pengajaran.

 

Keangkuhan Anak Nuh & Tiada Yang Dapat Menyelamatkannya

Di dalam Al-Quran, Nuh AS dinyatakan oleh Allah SWT sebagai Rasul yang telah berdakwah selama 950 tahun.

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah dia dalam kalangan mereka selama 1000 tahun kecuali 50 tahun(bermakna, 950 tahun).” Surah Al-Ankabut ayat 14.

Dalam perjuangan dan dakwah baginda sekian lama itu, tetap tidak ramai yang beriman. Kaumnya kekal ingkar, bahkan mencabar-cabar agar diturunkan azab. Dan antara yang membelakangi baginda ialah anak baginda sendiri.

Apabila tiba masanya, setelah lama Allah SWT memberikan peluang dan mempamerkan kasih sayangNya kepada kaum Nuh, maka sampailah waktu pembalasan. Nuh AS diarah membina kapal, dan tindakan itu menjadikan kaumnya lebih galak menghina baginda, kerana dikatakan itu perbuatan orang gila – membina kapal di atas daratan, jauh daripada lautan.

Namun apabila sampai harinya, Allah SWT mengarahkan langit dan bumi agar mengeluarkan air yang banyak, sehingga terjadinya bah terbesar dalam sejarah kehidupan insan.

Dalam keadaan huru hara itu, Nuh dan sebilangan kecil kaumnya yang beriman, selamat di atas bahtera yang dibinanya. Ketika kaumnya tenggelam, Nuh dan orang-orang yang beriman terapung selamat.

Ketika ini, Nuh AS dapat melihat anaknya terkapai-kapai. Maka diseru anaknya supaya naik bersamanya.

“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.” Surah Hud ayat 42.

Tetapi anak baginda degil. Walau dalam keadaan sedemikian, egonya menggunung tinggi. Maka dijawab seruan ayahandanya itu:

“Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.” Surah Hud ayat 43.

Jawapan angkuh itu dibalas oleh Nabi Nuh AS:

“Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” Surah Hud ayat 43.

Binasalah kaum Nuh ketika itu, termasuk anaknya sendiri. Terseksa di penghujung hayat mereka dek kerana menentang Allah SWT, degil dan tidak mahu menyambut kasih sayangNya, dan bakal terseksa pula di akhirat kelak, kerana mati dalam keadaan derhaka.

Hatta Nabi Nuh tidak mampu menyelamatkan anaknya sendiri daripada kemurkaan Allah SWT.

“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.” Surah Hud ayat 45-46.

Dan lihatlah apa tindakan seorang Rasul ketika itu, walaupun kesalahannya nampak tidak sebesar mana – berdoa untuk orang-orang yang telah mati di dalam kekufuran – terus baginda pantas memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT.

“Nabi Nuh berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi.” Surah Hud ayat 47.

Berbeza sungguh bagaimana sikap orang-orang yang beriman, dengan sikap mereka yang bukan. Kaum Nuh, 950 tahun mendapat dakwah dan seruan, diberikan masa dan peringatan, kekal mengabaikan kasih sayang Allah SWT kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Nabi Nuh AS, yang kesalahannya hanya dek kerana kesedihan baginda sebagai seorang bapa, tidak sedikit pun berlengah untuk memohon ampun kepadaNya.

Rugilah Anak Nuh dan kaumnya, beruntunglah orang-orang yang menyambut kasih sayang daripadaNya.

 

Yunus AS & Taubat Baginda Serta Kaumnya

Rakan-rakan yang saya muliakan, kita bergerak pula kepada Nabi Yunus AS. Baginda adalah seorang nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk sebuah kaum di tempat bernama Ninawa.

Setelah berdakwah buat sekian waktu, kaum baginda tetap tidak mahu menerima seruan. Nabi Yunus AS mengancam mereka dengan azab Allah SWT. Tetap mereka tidak bergerak daripada pendirian mereka.

Namun sebelum Allah SWT mengarahkan Nabi Yunus AS meninggalkan kaumnya untuk diazab, Nabi Yunus AS terlebih dahulu telah keluar meninggalkan mereka, dek kerana perasaan marah yang memenangi jiwanya.

Ini adalah satu kesalahan untuk baginda di sisi Allah SWT, kerana telah meninggalkan kaumnya sebelum diarahkan.

Maka apabila Nabi Yunus naik ke kapal, Allah SWT mengaturkan yang kapal tersebut terumbang-ambing di lautan, dan perlu dikurangkan muatannya. Lantas berlaku undian untuk membuang salah seorang penumpang. Nama Nabi Yunus naik buat beberapa kali.

Pada saat ini, Nabi Yunus telah perasan akan kesalahan yang dilakukan, dan memahami bahawa apa yang sedang berlaku ialah hukuman Allah SWT kepada baginda.

Apabila baginda terjun ke laut, terus tubuhnya disambar Ikan Nun(ikan yang besar), dan duduklah baginda di dalam perut ikan tersebut.

Baginda mengambil peluang berada di dalam perut ikan tersebut untuk bersegera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT, sebagaimana yang direkodkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Surah Al-Anbiya’ ayat 87.

Kisah yang masyhur tersebar di kalangan masyarakat kita ialah Nabi Yunus terperangkap di dalam perut ikan paus itu selama 40 hari atau lebih. Namun, sekiranya kita lihat daripada sudut ilmu sains dan struktur perut ikan paus, kita memahami bahawa tiada manusia yang akan mampu hidup selama itu di dalamnya. Kerana tiada oksigen yang cukup di dalam perut Ikan Paus untuk seorang manusia hidup di dalamnya buat sekian lama, tambah-tambah asid di dalam perut binatang tersebut untuk mencerna makanannya, tersangat kuat sehingga memustahilkan keadaan tersebut berlaku.

Maka apa yang saya percaya ialah, Nabi Yunus tidak duduk di dalam perut ikan paus itu terlalu lama. Apabila dia memohon keampunan daripada Allah SWT, Allah SWT tidak lewat menyelamatkan baginda. Lantas terus Allah SWT menyelamatkannya.

Ini dirasakan lebih tepat bagi saya, tambah-tambah selepas ayat 87 tadi, Allah terus membicarakan perihal pengampunanNya kepada Nabi Yunus pada ayat 88, menunjukkan kepantasan situasi ini berlaku.

“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” Surah Al-Anbiya’ ayat 88.

Kisah ini sering saya ulangi untuk menggambarkan akan bagaimana pantasnya Allah SWT dalam memperbaiki keadaan seseorang apabila seseorang itu berusaha mengubah keadaan dirinya, daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik.

Dan tambahan untuk kisah Nabi Yunus ini, apabila baginda pulang kepada kaumnya, baginda melihat kaum baginda telah beriman, kerana apabila azab Allah SWT semakin hampir jatuh ke atas mereka, kaum Nabi Yunus telah memilih untuk bertaubat dan menyesal.

“Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).” Surah Saaffat ayat 147-148.

Daripada kaum yang derhaka, mereka menjadi kaum yang beriman. Bertaubat dan melakukan perubahan. Maka Allah kurniakan kaum tersebut kesenangan.

Bahkan, Kaum Nabi Yunus AS ini dipuji oleh Allah SWT kerana perubahan yang mereka lakukan ini.

“Maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).” Surah Yunus ayat 98.

Ya, daripada kaum yang derhaka, Allah SWT angkat sebagai kaum yang menjadi contoh kepada semua, sebagai saranan kepada orang ramai agar bertaubat sebelum diazab oleh Allah SWT.

Pengajaran daripada peristiwa ini juga antaranya ialah, apabila kita mula bertaubat dan membersihkan diri, melakukan perubahan, maka di sana ada janji Allah SWT untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik daripada yang sebelumnya.

Maha Kasih Allah SWT yang berkongsikan kisah ini kepada kita.

 

Antara Musa & Firaun: Perbezaan Ketara

Musa AS adalah antara Nabi & Rasul yang masyhur. Kisahnya disebut banyak di dalam Al-Quran, sebagai pengajaran dan iktibar kepada Rasulullah SAW dalam menggerakkan perjuangan dan dakwah baginda. Begitulah juga sepatutnya, perjalanan Nabi Musa AS menjadi tauladan buat kita.

Sebelum itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Syaari Rahman, daripada Ibrah Paradigm, seorang guru, seorang sahabat dan seorang abang, yang banyak membantu saya mengumpulkan bahan-bahan yang saya kongsikan di dalam bab ini.

Beliau telah dijemput memberikan penyampaian bertajuk: “Ibrah Daripada Mereka Yang Bertaubat &  Mereka Yang Enggan” di Seminar Untuk Kita Pendosa 2016, anjuran Langit Ilahi. Daripada bahan-bahan penyampaian beliau, saya dapat mengarang bab ini dengan baik.

Kita sambung perihal Nabi Musa AS.

Antara yang menarik bagi kisah Nabi Musa AS ialah, baginda pernah membunuh. Hal ini direkodkan di dalam Al-Quran.

“Dan masuklah dia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya)” Surah Al-Qasas ayat 15.

Dan perhatikan tindakan Nabi Musa AS selepas itu:

“Dia merayu (dengan sesalnya): Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah – apalah jua kiranya – akan dosaku. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dia merayu lagi: Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah.” Surah Al-Qasas ayat 16-17.

Begitulah seorang yang ada keimanan. Hatinya peka dengan kesalahan. Bukannya seperti terbius, tidak rasa bersalah.

Apakah yang berlaku kepada Nabi Musa AS selepas itu? Diaturkan oleh Allah SWT baginda sekali lagi berhadapan dengan situasi yang sama, namun akhirnya tidak melakukannya semula. Dan kali ini pegawai-pegawai Firaun ingin menangkapnya, dan baginda lari. Aturan Allah SWT, untuk baginda akhirnya bertemu dengan Nabi Syuaib di Madyan, dan kemudian diangkat menjadi Nabi untuk menentang ayah angkatnya – Firaun.

Maka bagaimana pula dengan Firaun?

Firaun telah membuat kemungkaran yang terlalu banyak. Dia telah membunuh banyak nyawa tidak berdosa.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” Surah Al-Qasas ayat 4.

Nabi Musa yang membunuh satu nyawa, merasai penyesalan yang teramat. Manakala bapa angkatnya telah membunuh terlalu banyak nyawa tidak berdosa, bahkan menzalimi pula kebanyakan rakyatnya, tetap tidak mempunyai perasaan apa-apa.

Apabila Nabi Musa AS menjadi Nabi dan pulang untuk menyeru Firaun ke arah kebenaran, Firaun tetap degil dan bersikap angkuh.

“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia diseru oleh Tuhannya di ‘Wadi Tuwa’ yang suci. (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya). Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat yang besar. Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah). Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.” Surah An-Nazi’at ayat 15-24.

Ya, bukan sahaja Firaun tidak menerima dakwah Nabi Musa, bahkan dia mengakui bahawa dirinya ialah Tuhan yang paling tinggi.

Begitulah Firaun dengan keegoannya, bahkan selepas Nabi Musa menunjukkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda, Firaun tetap tidak mahu beriman dan percaya.

“Kami berfirman kepadanya: Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan. Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada. (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa. Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal.” Surah Toha ayat 68-71.

Setelah pertembungan antara Nabi Musa dan Firaun berjalan buat sekian waktu, Firaun mengambil keputusan untuk menghapuskan Nabi Musa dan para pengikut baginda. Maka Nabi Musa AS membawa kaumnya lari, tetapi Allah mengaturkan mereka tersesat di hadapan Laut Merah.

Apabila Firaun semakin hampir, Allah mengarahkan Nabi Musa memukul laut merah itu, lantas ianya terbelah membentuk jalan. Nabi Musa dan kaumnya pergi menyeberang. Sambil dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya.

Apabila selesai sahaja Nabi Musa dan kaumnya menyeberang, laut terus terkatup semula, mengkambus Firaun dan bala tenteranya di tengah lautan.

Ketika sedang bersabung nyawa, Firaun pun menyatakan penyesalannya dan memohon ampun. Namun malang 1001 kali malang, Allah SWT tidak menerima taubat orang-orang yang sedang sakarat.

Lihatlah peristiwa ini direkodkan Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai pedoman buat kita semua:

“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah). (Allah berfirman): Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan? Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” Surah Yunus ayat 90-92.

Ya, begitulah pengakhiran seorang Firaun.

Mati dalam keadaan hina sekali. Bahkan Allah SWT membiarkan jasad Firaun kekal hingga ke hari ini untuk ditatap orang, agar semua mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap dirinya.

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).” Surah Ali-Imran ayat 137.

Semoga kita mengambil iktibar dan pengajaran.

 

Yusuf AS & Bilik Yang Terkunci: Tiada Alasan Buat Kita

Kisah yang menarik ini memang tidak pernah saya tidak kongsikan, apabila berbicara berkenaan taubat dan keampunan. Kisah Nabi Yusuf AS, yang juga terkenal sebagai manusia paling tampan. Akan bagaimana baginda digoda oleh ibu angkat baginda sendiri, yang disebut di dalam Al-Quran sebagai mar’ah Al-Aziz(perempuan Al-Aziz), atau popular di kalangan masyarakat kita dan israiliyyat sebagai Zulaikha.

Apa yang menarik sangat berkenaan kisah ini ya rakan-rakan?

Ikuti firman Allah SWT berikut:

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.” Surah Yusuf ayat 23.

Imra’ah Aziz ini tidak tertahan lagi nafsunya, hingga dia memanggil Yusuf masuk ke biliknya, dalam keadaan dirinya berhias dengan hiasan yang menggoda, kemudian dikuncinya bilik itu, lantas cuba untuk menjerumuskan Yusuf AS ke kancah maksiat.

Dengan bilik yang telah terkunci, dan tiada tempat untuk Yusuf AS dapat melarikan dirinya, di hadapannya pula perempuan yang sudah berhias cantik lagi menggoda, apakah tindakan Yusuf AS?

Apakah dia berkata: “Nak buat macam mana, bilik pun sudah terkunci. Rezekilah ni.”

Tidak. Dia tidak berkata begitu.

Yusuf AS pantas menyebut: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.”

Dan apakah Yusuf AS sekadar menyebut begitu sahaja?

Sebagaimana kadang ada antara remaja yang nakal, apabila melihat sesuatu yang tidak syara’, mulutnya menyebut astaghfirullah, tetapi matanya tetap terus melihat?

Yusuf AS bukan begitu.

Allah SWT berfirman lagi:

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu.” Surah Yusuf ayat 25.

Allah SWT mencatatkan bahawa, walaupun Yusuf AS tahu yang pintu di dalam bilik itu telah tertutup, Yusuf AS tetap berlari ke arah pintu tersebut untuk mengelakkan dirinya dari diterkam oleh Imra’ah Aziz. Yusuf AS mengelak terkaman itu agar dirinya tidak tewas dengan hawa nafsunya.

Dilawan hawa nafsu itu sekuat mungkin, sesungguh mungkin, dengan berlari menjauhi Imra’ah Aziz, walaupun dia tahu bahawa pintu telah tertutup dan terkunci.

Inilah tindakan seorang hamba yang takutkan Allah SWT, mengatasi keseronokan untuk mengisi hawa nafsunya sendiri.

Allah SWT menyatakan bahawa Yusuf AS sedar yang dirinya bernafsu juga kepada Imra’ah Aziz, dek kerana Imra’ah Aziz sudah berhias dengan perhiasan yang menggoda. Firman Allah SWT:

“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” Surah Yusuf ayat 24.

Namun nafsunya itu dilawan, pertama dengan sebutannya pada ayat 23 tadi, dan kedua dengan tindakannya yang berlari ke arah pintu sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 25 Surah Yusuf.

Ini benar-benar patut menjadi pengajaran buat kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba dan godaan untuk menderhakaiNya.

Kadangkala memang, suasana nampak tidak menyebelahi kita, orang-orang sekeliling nampak bukan sahaja tidak membantu bahkan seperti makin mahu menjahanamkan kita, tetapi itu bukan alasan.

Usaha hingga ke akhirnya.

Usaha sehingga tidak ada ruang lagi untuk berusaha.

InsyaAllah, yakinlah, di hujung sana ada bantuanNya. Jika tidak di dunia ini kita berjaya, paling kurang kelak bila kita pulang bertemu dengan Allah SWT, kita pulang dengan usaha-usaha kita yang sangat bersungguh-sungguh itu.

Bayang-bayangkan antara Nabi Yusuf AS di dalam bilik terkunci, dengan keadaan kita yang sedang bertarung dengan syaitan masing-masing.

Usaha sehingga ke akhirnya rakan-rakan.

Jangan berputus asa.

Jangan beralasan.

Lawan!

 

Pembunuh Yang Telah Membunuh 100 Orang

Kisah terakhir yang saya mahu bawakan ini adalah kisah yang sering saya bawa dalam pelbagai penyampaian saya berkenaan taubat dan usaha untuk melaksanakan perubahan. Ianya adalah kisah yang diceritakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW, sampai kepada kita untuk dijadikan pengajaran.

Daripada Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Dulu sebelum kalian ada seorang lelaki yang membunuh sembilan puluh sembilan orang, hingga dia bertanya tentang orang yang alim di kalangan penduduk bumi. Mereka menunjuk kepada seorang abid (ahli ibadah), kemudian orang tersebut mendatanginya dan berkata bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Abid tadi berkata: Tidak. Orang itu lantas membunuhnya, sehingga genap menjadi seratus orang. Kemudian dia bertanya lagi tentang penduduk bumi yang paling alim. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim. Dia berkata kepadanya bahwa dia telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Orang alim tersebut menjawab: Ya! Dan siapa yang boleh menghalang antara kamu dengan taubat. Pergilah ke negeri ini dan itu, karena di sana ada orang-orang yang beribadah kepada Allah. Beribadahlah bersama mereka, dan jangan kembali ke negerimu karena negerimu adalah negeri yang jelek. Kemudian orang itu pergi tapi di tengah-tengah perjalanan ia meninggal. Sehingga malaikat rahmat dan malaikat azab saling berselisih tentangnya. Malaikat rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat, menghadap Allah. Malaikat azab berkata: Dia belum beramal soleh sama sekali. Kemudian datanglah kepada kedua malaikat itu seorang malaikat dalam wujud manusia. Mereka (kedua malaikat itu) menjadikannya sebagai pemutus urusan mereka. Malaikat itu berkata: Ukurlah antara dua negeri tersebut. Mana yang lebih dekat (jaraknya dengan kedua negeri itu) maka itulah lebih berhak. Mereka kemudian mengukurnya. Ternyata mereka dapati bahawa dia (orang yang mati itu) lebih dekat ke negeri yang baik. Maka malaikat rahmat mengambilnya.” Hadits riwayat Bukhari dan Muslim.

Beberapa pengajaran daripada kisah ini, antara yang kita boleh ambil ialah:

  1. Usaha seorang pendosa yang bersungguh-sungguh hendak mencari jalan pulang. Walaupun dia sendiri tahu, dosanya terlalu banyak(dosa membunuh bukan kecil), bahkan apabila dia dapat bertemu Si Abid, dia dinafikan peluangnya untuk bertaubat dan telah membunuh Abid tersebut, dia tetap tidak berputus asa kemudiannya. Dia teruskan lagi perjalanan mencari jalan pulang.

Apabila dia dapat bertemu Si Alim pula, dia bukan disuruh terus bertaubat, bahkan dicadangkan agar pergi ke sebuah daerah yang lain. Yakni dia perlu berjalan jauh lagi. Apakah dia mengeluh? Apakah dia akhirnya berputus asa dan malas? Tidak. Dia bergerak, keluar dari kampung asalnya untuk ke daerah tersebut, semata-mata untuk bertaubat.

  1. Walaupun kita perhatikan, bahawa masuknya hamba Allah ini ke dalam syurga adalah seperti semata-mata kerana nasib, yakni kerana dia mati hampir dengan daerah kebaikan, tetapi kita perlu perhatikan satu perkara yang besar. Siapakah yang mematikan beliau pada jarak tersebut, sebelum malaikat berselisih pendapat pun? Ya, Allah SWT yang telah mematikan pembunuh ini pada jarak yang lebih hampir dengan daerah tersebut. Bermakna, sebelum malaikat membuat penilaian lagi pun, Allah SWT telah menerima taubat hamba ini, dan hendak memasukkannya ke dalam syurga.

 

Dua perkara inilah yang sebenarnya saya cuba bawakan di dalam Buku Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan ini rakan-rakan. Kerana memang, ada situasi di mana seorang hamba itu merasakan bahawa perjalannnya menuju Tuhan itu sama sahaja seperti perjalanannya menuju ke neraka, dek kerana rasa dirinya sudah tidak punya harapan, dosanya sudah terlalu besar dan berat, dan kerana apabila dia berusaha melakukan perubahan, asyik gagal di pertengahan jalan.

Tetapi sepatutnya, hadith ini memberikan harapan kepada kita rakan-rakan. Harapan untuk tidak berputus asa, kerana tidak berputus asa itu antara syarat diterimanya taubat kita. Lihatlah pembunuh itu, bagaimana sikapnya. Sikap itu yang patut kita contohi.

Tidak berputus asa, walaupun ada yang cuba menafikan rahmat Allah kepadaNya, walaupun dosanya bertambah, walaupun dia perlu menambah jarak perjalanannya, dia tidak berputus asa. Dia bergerak. Dia berusaha. Semata-mata untuk mendapatkan keampunan Tuhannya.

Ternyata, walaupun dia tidak sempat beramal soleh, tidak sempat benar-benar melakukan perubahan yang jelas, Allah SWT telah menerima usahanya yang bersungguh-sungguh itu.

Begitulah juga harapnya kita, rakan-rakan.

Apakah yang saya selalu ulang-ulangkan?

Sama ada kita berjaya hidup sebagai orang yang berjaya lakukan perubahan, atau kita mati dalam keadaan kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perubahan.

Dan sesungguhnya Allah itu tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hambaNya.

Yakinlah!

Moga-moga semua kisah ini memberikan impak ke dalam jiwa kita, menunjukkan kita jalan, memberikan kita amaran dan peringatan.

Sebagai bekal buat perjalanan kita, pulang menuju Tuhan.

Muhasabah!

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Menutup Aib Diri & Orang Lain

10495980_10203742009502276_3823974208376937877_o

Rakan-rakan yang saya muliakan, sampai kita kepada bab yang seterusnya. Sesungguhnya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT yang membantu kita untuk meneruskan pembacaan, memanjangkan hayat kita untuk berusaha menjadi manusia yang baik. Kepada Allah SWT segala pujian dan pujaan. Moga-moga dikurniakan kepada kita hati-hati yang lembut, untuk benar-benar rasa tersentuh dengan penyampaian-penyampaian bermanfaat.

Rakan-rakan yang saya muliakan, sering saya ulang dalam penyampaian saya di seminar atau di dalam buku-buku saya, bahawa dosa itu mestilah kita pandang ibarat najis.

Ya, najis.

Apa reaksi kita kepada najis?

Kotor, jijik.

Jika terdapat najis pada pakaian kita, apa yang kita lakukan?

Cuci.

Sekiranya kita ternampak najis pada tubuh orang lain, apa yang sepatutnya kita lakukan?

Memberitahu kepadanya, dan jika mampu, membantunya membersihkan najis tersebut.

Ya, demikianlah juga sepatutnya kita memandang dosa. Sesuatu yang kotor dan jijik. Sesuatu yang mesti dicuci. Sekiranya kita melihatnya pada orang lain, tindakan yang sepatutnya kita lakukan adalah membantu dia untuk membersihkannya, bermula dengan memberitahunya akan kewujudan najis tersebut.

Apakah kita suka untuk mengwar-warkan kepada sekalian alam, bahawa pada baju kita ada najis? “Hoi sekalian manusia, pada baju aku ni ada najis.”

Tidak, sepatutnya kita rasa malu. Kerana kita tahu, najis itu jijik dan kotor. Maka mengapa kita hendak memberitahu kepada orang lain?

Apakah juga merupakan tindakan yang baik, sekiranya kita mengwar-warkan kepada orang ramai bahawa pada baju fulan/fulanah ada najis? “Wei korang, meh tengok ni, baju dia ni ada najis.”

Tidak juga.

Demikianlah kita dalam berurusan dengan dosa.

 

Dosa & Kemungkaran Tidak Perlu Dikongsi

Rakan-rakan yang saya muliakan, dosa itu menjemput kemurkaan Allah SWT. Ternyata ia sesuatu yang besar. Maka selayaknya dosa itu menjadi salah satu aib yang kita perlu sembunyikan. Bukan satu kebanggaan. Bukan satu piala untuk kita tayang. Bukan satu memori indah untuk kita kongsikan.

Apakah kita berbangga baju kita tercalit najis? Apakah kita ingin berkongsi baju tersebut dengan orang lain? Sepatutnya tidak.

Maka demikianlah juga dosa. Sepatutnya tidak kita rasa berbangga apabila melakukannya. Apatah lagi dikongsi, ditayang kepada manusia yang lainnya. Begitulah apabila kita melihat orang lain melakukan dosa, tidak pantas untuk kita menyebarkan keaibannya.

Seorang mukmin tidak akan memandang enteng dengan dosa. Dosa itu ibarat gunung yang bakal menghempapnya. Maka sepatutnya, ketakutan dirinya kepada Allah SWT di atas dosa yang telah dia lakukan, menyebabkan dirinya malu untuk mendedahkan dosa-dosanya.

Rakan-rakan yang saya muliakan, masalah utama yang perlu kita selesaikan ialah, menghilangkan rasa ‘okay’ dengan dosa. Rasa tidak mengapa. Rasa ‘alah itu hanya perkara kecil’. Kita perlu hilangkan perasaan-perasaan sedemikian di dalam jiwa kita.

Sekiranya kita ada dosa yang masih tidak mampu kita tinggalkan, tindakan kita ialah sekurang-kurangnya, tidak berkongsi akan dosa tersebut bersama orang lain. Tidak juga mengajak orang lain untuk bersama kita melakukannya.

Amat malang sekiranya kita sudahlah melakukan dosa dan keingkaran, tetapi tidak pula malu untuk menyembunyikannya, bahkan lebih buruk, kita menghasut pula orang lain, melibatkan orang lain, untuk melakukannya. Daripada satu dosa, yakni dosa si pembuat dosa, kita tambah dengan dosa melibatkan orang lain sama, dosa penghasut.

Rakan-rakan, semua ini hanya akan berlaku sekiranya kita merasakan bahawa dosa itu ialah urusan enteng, dan bukanlah perkara untuk dibesar-besarkan. Apa salahnya tunjuk pada orang? Kita kata. Aku bukan hipokrit, kita kata.

Ini bukan perbahasan mengenai hipokrit atau tidak. Ini adalah perbahasan bahawa kita ada rasa malu dan rasa bersalah dengan dosa yang kita lakukan. Hanya orang yang rasa dirinya tidak bersalah sahaja, sudi untuk mempamerkan perbuatannya. Orang kata, berani kerana benar. Maka apakah kita berani mempamerkan dosa kita, mengajak orang lain melakukan dosa bersama kita, kerana kita yakin kita benar?

Adakah itu mesej yang kita ingin sampaikan kepada Allah SWT? Atau bagaimana?

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Tahu bahawa hamba-hambaNya itu melalui jalan yang mencabar untuk menjadi hambaNya yang baik. Allah SWT Maha Tahu ujian yang Dia letakkan kepada hamba-hambaNya di dalam kehidupan ini. Maka apabila kita berbuat dosa, melakukan keingkaran, Allah Maha Tahu kelemahan dan kekurangan kita. Sepatutnya kita usahakan apa yang termampu, beristighfar, dan paling kurang, menyedari bahawa apa yang kita lakukan itu ialah kesalahan, lantas kita menyembunyikannya dari pandangan ramai. Moga-moga dengan tindakan kita yang sedemikian, tandanya ada iman di dalam jiwa, moga-moga Allah SWT sudi memberikan kita kekuatan dan mengampunkan dosa-dosa yang kita lakukan itu. Kita berharap Allah SWT sudi memberikan belas ihsanNya kepada kita.

Menyembunyikan keaiban ini adalah tanda jiwa kita masih ada taqwa.

Tanda kita mengakui bahawa apa yang kita lakukan itu ialah satu kesalahan, satu perkara yang mesti diperbetulkan. Bukan satu perkara biasa, satu perkara remeh, yang patut kita biarkan sahaja.

Hayati firman Allah SWT berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nur ayat 21.

 

Jika Sudah Bertaubat, Jangan Diungkit-ungkit Lagi

Rakan-rakan yang dikasihi, menutup keaiban ini juga bukan hanya patut berlaku pada ketika kita masih melakukan dosa dan keingkaran.

Selepas kita bertaubat, berazam untuk meninggalkannya, berusaha untuk melakukan perubahan diri, dan mungkin, insyaAllah, berjaya meninggalkannya, kita tidak patut mengungkit-ungkitnya lagi.

Tidak perlu kita kongsikan kepada orang lain, kononnya sebagai pengajaran, sebagai tauladan kepada orang ramai. Dirisaukan kita terjerumus ke dalam perasaan berbangga-bangga pula bahawa kita pernah melakukan dosa-dosa sedemikian rupa, dan berbangga-bangga pula bahawa kita berjaya meninggalkannya sedangkan orang lain masih terkial-kial dengannya.

Saya memahami di kalangan masyarakat kita, popular dengan penghijrahan selebriti, artis, atau individu tertentu, yang kemudiannya dibawa ke sana ke mari untuk memberikan penyampaian, perkongsian berkenaan kehidupan lalu mereka, dan bagaimana mereka boleh berubah. Pada hemat saya, untuk manusia yang memang sudah makruf akan kekurangan dan kesilapannya yang lepas, tidak mengapa untuk dia berkongsi bagaimana dia berjaya melakukan perubahan. Kerana dia telah melakukan dosanya secara terbuka sebelum ini, hingga pada kadar yang terlalu luas(contohnya, dosanya tersebar luas di televisyen), maka adalah baik bagi masyarakat untuk melihat keinsafannya, dan mengetahui bagaimana proses perubahannya, agar mereka yang sebelum ini menikmati keingkaran yang ditayangkan individu tersebut, turut sama tergerak untuk insaf.

Apa yang saya tekankan di sini adalah untuk individu-individu yang langsung tiada keperluan untuk membangkitkan dosa-dosanya yang lalu. Dia tidak ditanya berkenaan dosanya, tidak ditanya berkenaan apa yang dia lakukan. Mungkin dia hanya dijemput untuk memberikan penyampaian atau perkongsian berkenaan dosa dan taubat, tetapi tiba-tiba dia berkongsi “Saya pun dulu pernah berzina juga”, “Saya pun dulu kaki disko.” Ternyata sedemikian tidak perlu bahkan tidak baik.

Allah SWT sudah membantu kita meninggalkan semua itu, maka mengapa kita perlu membangkitkannya semula tanpa keperluan yang munasabah.

Bahkan, ada ganjaran sebenarnya bagi mereka yang berusaha menutup aibnya sendiri ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya (pada hari kiamat) Allah akan mendekatkan seorang mukmin, lalu Allah meletakkan tabir dan menutupinya. Lalu Allah berfirman: Apakah kamu mengetahui dosa ini? Apakah engkau tahu dosa itu? Dia menjawab: Ya, betul saya tahu wahai Rabbku. Hingga ketika Allah telah membuat dia mengakui semua dosanya dan dia mengira dirinya sudah akan binasa, Allah berfirman kepadanya: Aku telah menutupi dosa-dosa ini di dunia, maka pada hari ini Aku mengampuni dosa-dosamu itu. Lalu diberikanlah padanya catatan kebaikan-kebaikannya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Hadith ini menerangkan akan bagaimana orang yang menyembunyikan dosa-dosanya itu, diampunkan oleh Allah SWT. Walaupun yang menyebut “Aku telah menutupi dosa-dosa ini di dunia” ialah Allah SWT, tetapi ternyata itu ialah hasil yang Allah kurniakan, bermula dengan tindakan si pembuat dosa yang berusaha menutup aibnya sendiri.

Ya, ada ganjaran, dan ganjarannya tidak kecil. Pengampunan daripada dosa.

Mengapa?

Inilah yang saya cuba jelaskan pada subtopik yang lepas. Yakni kita mengharap belas kasihan Allah SWT dengan kita menyembuyikan dosa-dosa kita. Ada manusia, dia telah bersungguh-sungguh berusaha berubah, tetapi tidak mampu. Apa yang paling mampu dia usahakan hanyalah menyembunyikan dosa-dosanya daripada pandangan ramai. Orang tidak tahu dia melakukan keingkaran kepada Allah SWT. Maka kita berharap, dengan tindakan kita yang sedikit itu(menyembunyikan dosa-dosa kita), Allah SWT sudi mengampunkan kita.

Dan ini bukan mustahil. Perhatikan hadith berikut:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ya, kebaikan memberi minum anjing yang kehausan, hasil kasih sayang Allah SWT, menghapuskan dosa seorang pelacur.

Maka kita berharap belas ihsan Allah SWT, apabila kita menutupi keaiban diri, tidak mendedahkan dosa kita kepada orang lain, tidak mengajak orang lain terlibat sama. Kita akui apa yang kita lakukan itu satu kesalahan, satu dosa, satun keingkaran. Kita tidak katakan ianya okay, ianya remeh, kita tidak kata “Ala esok boleh taubat” atau “ala, Allah kan Maha Pengampun.” Kita nak bertaubat, tetapi mungkin tidak berjaya, asyik kembali jatuh dan jatuh. Jadi antara usaha kita yang lain ialah menyembunyikannya, tidak berbangga dengannya, tidak berkongsi akannya.

Moga-moga Allah SWT mengasihani kita dan mengampunkan kita.

 

Tutup Aib Orang Lain, Usaha Bawa Ke Jalan Kebenaran Bukan Didedahkan

Begitulah juga rakan-rakan, dalam kita berurusan dengan orang lain. Kadangkala apabila kita rapat dengan seseorang, semakin rapat, semakin terbukalah aib dan kekurangannya. Dan mungkin sahaja kita akan menemui mereka dalam keadaan sedang melakukan keingkaran kepada Allah SWT.

Biasa sahaja kedengaran cerita ‘rakan yang baik kantoi sedang menonton video lucah di dalam bilik berseorangan’. Biasa kedengaran cerita sebegini?

Rakan-rakan yang saya muliakan, apakah tindakan yang sepatutnya?

Tidak sedikit yang bertindak menyuarakan kekecewaan, berkongsi kejadian tadi dengan orang lain sambil berkata: “Tak sangka aku, ingatkan dia orang ikut usrah, kuat berdakwah, rupanya dalam bilik dia tengok cerita lucah.” Begitulah yang biasa kita dengar.

Rakan-rakan, itu adalah sikap yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Dia telah berusaha menyembunyikan aibnya di dalam bilik, berseorangan. Maka mengapa kita sebarkan kepada orang lain? Dia di luar, di hadapan orang lain, telah berusaha mempersembahkan kebaikan, mengajak orang lain melakukan kebaikan, tidak menunjukkan contoh yang buruk, maka mengapa apabila kita mengetahui kekurangan dirinya yang cuba disembunyikan, kita rosakkan imej baik dirinya? Sekaligus sebenarnya kita telah merosakkan kebaikan-kebaikannya, dan boleh membuatkan orang ramai membenci pula kebaikan-kebaikan, dan tidak mempercayai orang-orang yang baik.

Menutup aib orang lain ini juga digesa di dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan yang sangat dari kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” Hadith Riwayat Muslim.

“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hatinya. Janganlah kalian mengghibah kaum muslimin dan jangan mencari-cari/mengintai aurat mereka. Karena orang yang suka mencari-cari aurat kaum muslimin, Allah akan mencari-cari auratnya. Dan siapa yang dicari-cari auratnya oleh Allah, niscaya Allah akan membongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Dawud.

“Tidaklah Allah menutup aib seorang hamba di dunia melainkan nanti di hari kiamat Allah juga akan menutup aibnya.” Hadith Riwayat Muslim.

Ya, digesa beserta ancaman. Sekiranya kita mencari-cari atau membuka aib orang lain, Allah SWT akan membuka keaiban kita pula. Na’udzubillah.

Membuka keaiban orang lain ada implikasi yang besar. Kita tidak tahu apakah pertarungan jiwa yang dihadapi seseorang. Setiap orang ada syaitan untuk ditewaskan. Maka apabila ianya tersembunyi daripada pandangan manusia, buat apa kita sebarkan. Kerana boleh jadi apabila kita menyebarkan aibnya, menyebabkan dia mengalami kekecewaan dan keputus asaan daripada usaha untuk melakukan kebaikan. Apakah kita yang akan bertanggungjawab kemudian?

Tindakan yang sepatutnya apabila terjumpa dengan aib seseorang ialah (1) Menyembunyikannya, (2) Jika mampu, bantu dia untuk meninggalkannya. Itu tindakan yang selayaknya.

Dan jangan salah faham pula konsep menutup aib ini, hingga menyamakannya dengan berdiam diri terhadap jenayah. Apa yang dikatakan sebagai menutup aib ini, terhad kepada dosa dan keingkaran berbentuk peribadi, yang tidak melibatkan orang lain, tidak melibatkan harta awam.

Sekiranya seorang menteri contohnya, dipalitkan dengan skandal menggelapkan harta awam, menyalah guna harta rakyat, tidak ada buatnya konsep penutupan aib. Bahkan orang yang tahu, mesti mendedahkannya  supaya tindakan pihak tersebut dapat diadili dengan sebaik mungkin, dan hak-hak orang lain yang telah diambil dapat dipulangkan pada yang berhak.

Contoh lain, kita melihat pembunuhan. Tidak patut kita rahsiakan, perlu untuk kita laporkan kepada polis. Supaya yang terbunuh mendapat keadilan, keluarganya mendapat hak yang selayaknya.

Contoh lain, kita melihat kecurian atau rompakan, dan berjaya mengenal pasti wajah pencuri atau berjaya mendapat nombor plat kenderaannya, wajib untuk kita sebarkan, agar pihak berkuasa dapat mencari Si Pencuri, memberikan pembalasan dan mengembalikan hak orang-orang yang teraniaya.

Semoga Allah SWT sudi menutup keaiban kita semua.

Sesungguhnya jikalah sekalian manusia tahu akan kesemua aib kita, nescaya tidak akan ada seorang pun akan sudi mendekati.

Sesungguhnya kita manusia yang banyak kekurangan. Kita harap orang memahami. Begitulah juga orang lain, mereka juga manusia sama macam kita. Semoga kita ada sikap untuk saling memahami, dan sama-sama lengkap melengkapi, bantu membantu, dalam usaha kita untuk pulang menuju Allah SWT, dalam keadaan berjaya.

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” Surah Al-Maidah ayat 2.

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Pengkhianatan Dalam Bertaubat

___good_morning_ramadhan____by_oddzoddy-d42asc6

Biasa kedengaran orang berkata: “Alah, Allah kan Maha Pengampun?” atau “Lepas buat dosa ni, aku taubatlah.”

Mereka mempersoalkan bahawa, sekiranya Allah SWT itu Maha Luas AmpunanNya, maka apalah sangat dosa yang bakal mereka lakukan. Tidakkah Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya? Maka mengapa perlu takut berbuat dosa? Nanti kita bertaubatlah. Demikian logik mereka.

Dan tidak sedikit yang terpengaruh. Kerana itu masyhur kita mendengar orang muda beralasan – nanti bila sudah tua aku beribadah lah, atau nanti bila dah dewasa aku tinggalkanlah perbuatan ini, atau nanti bila sampai Ramadhan aku bertaubatlah. Macam-macam.

Semuanya menunjukkan sikap memandang entang dan remeh terhadap keingkaran yang dilakukan, dan sambil lewa terhadap peluang keampunan yang Allah SWT buka luas kepadanya.

Pada saya, sikap sebegini ialah satu pengkhianatan di dalam bertaubat.

 

Salah Faham Terhadap Keluasan Ampunan Allah SWT

Rakan-rakan yang saya muliakan, Allah SWT itu memang Maha Pengampun. Ruang pengampunanNya juga sangat luas. Bahkan, jika kita perhatikan, Allah SWT sangat banyak memberikan peluang kepada kita untuk kembali taat kepadaNya.

Tetapi sekiranya kita mengenali Allah SWT dengan lebih mendalam, kita tahu bahawa Allah SWT itu bukan sahaja Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Tetapi Allah SWT itu juga antara namanya ialah Al-Qabid(Yang Maha Menyempitkan), Al-Khafid(Yang Maha Merendahkan), Al-Mudzil(Yang Maha Memberikan Kehinaan), Al-Muntaqim(Yang Maha Menyeksa) dan Al-Dar(Yang Maha Memberikan Derita).

Keampunan Allah SWT itu luas, melebihi kemarahanNya, tetapi janganlah kita lupa bahawa Allah SWT itu boleh murka dan menurunkan azab serta memberikan seksa.

Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah berkongsi kepada kita akan kisah-kisah penderhaka, seperti Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Kaum Nabi Nuh, Kaum Nabi Lut, Kaum Nabi Salleh dan banyak lagi, yang telah Allah SWT murka terhadap mereka, dan menurunkan azab seksa yang dasyat terhadap mereka.

KeampunanNya luas, sangat luas, tetapi sekiranya keampunanNya yang sangat luas itu tidak kita manfaatkan, maka akan tibalah masanya Allah SWT murka dan memberikan balasan atas dosa dan keingkaran kita.

Maka jangan salah faham. Keluasan ampunan Allah SWT itu adalah tanda kasih sayang Dia kepada manusia. Dia memahami manusia ini lemah, akan terjatuh, maka Dia memberikan peluang yang banyak lagi besar.

Contoh mudah, kepada Firaun, Allah SWT hantarkan Nabi Musa. Selain dakwah Nabi Musa, Allah SWT tunjukkan juga kehebatanNya melalui mukjizat yang diberikanNya kepada Nabi Musa, dan beberapa bencana kecil yang berlaku di Mesir untuk membuka mata Firaun. Belum kita kira, yang Firaun itu hidup bertahun-tahun lamanya, tidak pula disambar petir atau dimatikan semasa tidurnya. Tanda Allah SWT memberikan peluang yang sangat banyak, untuk Firaun bertaubat dan berubah.

Namun semua diabaikan oleh Firaun. Maka berakhirlah hayatnya lemas di dalam Laut Merah semasa mengejar Nabi Musa dan kaumnya, dan terseksalah juga dia di akhirat sana kerana mati di dalam kekufuran.

Begitulah juga apabila kita renungi Kaum Nuh. Mereka telah tersesat menyembah berhala. Allah tidak terus mengazab mereka. Allah menghantarkan kepada mereka orang yang tidak asing buat mereka, Nuh AS, dari kalangan mereka sendiri. Dan dakwah Nabi Nuh AS adalah antara dakwah terpanjang di antara para Nabi, kerana ianya berjalan selama 950 tahun. Namun terlalu sedikit yang akhirnya mahu beriman.

Mereka mengabaikan semua peluang yang Allah SWT telah bentangkan kepada mereka. Maka apabila sampai masanya, berakhirlah mereka diazab dengan bah besar, yang menenggelamkan semua hatta gunung ganang. Di akhirat pula terseksa di neraka kerana matinya mereka di dalam kekufuran.

Kita melihat pula kepada Rasulullah SAW, dan bagaimana baginda berhadapan dengan karakter-karakter seperti Abu Lahab dan Abu Jahal. Yang mana kedua-duanya itu hidup di dalam kekufuran dan kejahilan. Penuh dengan maksiat dan keingkaran. Tetapi Allah SWT hantarkan Rasulullah SAW kepada mereka. Bahkan memberikan mereka banyak peluang dan situasi untuk berubah.

Mereka mengabaikannya. Bahkan mencabar. Bahkan memerangi Rasulullah SAW. Maka apabila tiba masanya, Abu Lahab diazab dengan penyakit dan mati kegeringan, manakala Abu Jahal pula tewas di medan perang, ditumbangkan oleh kanak-kanak.

 

Sambil Lewa Terhadap Peluang Yang Diberikan

Rakan-rakan yang saya muliakan. Saya ulang, dan akan sentiasa saya ulang, sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun. Maha Pengasih. Maha Penyayang. Saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk sejenak memerhatikan peluang-peluang yang bertaburan sepanjang perjalanan hidup kita.

Setiap malam kita tidur, dan alhamdulillah kita bangun keesokan harinya. Allah SWT masih sudi memberikan kepada kita hari yang baru, walaupun semalamnya kita belum bertaubat atas dosa-dosa yang kita lakukan, walaupun kita belum berubah.

Kadangkala, tanpa kita cari pun, nasihat dan pesanan sampai kepada kita. Melalui rakan, melalui televisyen, melalui radio, melalui internet, melalui buku dan sebagainya. Adakalanya dalam bentuk peristiwa-peristiwa, mungkin dalam bentuk ujian-ujian. Semuanya mengetuk jiwa kita untuk kembali kepada Allah SWT. Pasti ada momen-momen tersebut bukan?

Walaupun kita belum berubah, Allah SWT masih sudi membiarkan kita menggunakan nikmat pancaindera, memberikan kita rezeki, memberikan kita kehidupan. Semua ini adalah peluang sebenarnya.

Tinggalnya, bagaimana pula sikap kita?

Apa yang telah kita lakukan untuk menghargai peluang demi peluang yang Allah SWT telah berikan sepanjang kehidupan kita?

Fikirkan lagi, berapa umur kita sekarang? Contohnya saya, ketika saya mengarang buku ini, umur saya 27 tahun. Saya telah hidup selama 27 tahun, bukan jangka masa yang sebentar. Setahun ada 365 hari. Saya telah hidup selama 9,855 hari lebih kurang. Jika kita fokus dan cuba detailkan segala nikmat dan kasih sayang yang Allah SWT telah curahkan kepada kita, sepanjang 9,885 hari itu, dan termasuk juga kita di dalam rahim Ibu, apakah dapat kita hitung?

Pastinya tidak mampu. Namun perhatikan firman Allah SWT berikut:

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah An-Nahl ayat 18.

Di dalam Tafsir Jalalain, apabila membahaskan maksud ayat ini, disebut: “Jika kalian tidak mampu menghitungnya, lebih-lebih untuk mensyukuri semuanya. Namun kekurangan dan kedurhakaan kalian masih Allah maafkan (bagi yang mau bertaubat), Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Di dalam kitab tafsirnya, Ibnu Kathir menjelaskan: “Allah benar-benar memaafkan kalian. Jika kalian dituntut unutk mensyukuri semua nikmat yang Allah beri, tentu kalian tidak mampu mensyukurinya. Jika kalian diperintah untuk mensyukuri seluruh nikmat tersebut, tentu kalian tidak mampu dan bahkan enggan untuk bersyukur. Jika Allah mau menyiksa, tentu boleh sahaja dan itu bukan tanda Allah itu zalim. Akan tetapi, Allah masih mengampuni dan mengasihi kalian. Allah mengampuni kesalahan yang banyak lagi memaafkan bentuk syukur kalian yang sedikit.”

Begitu sekali. Banyak nikmatNya, tidak terhitung, dan sudah pasti tidak termampu untuk kita mensyukuri setiap satu nikmat Allah SWT kepada kita. Manakala Allah SWT pula tidak memberatkan kepada kita akan hal tersebut(yakni keperluan mensyukuri setiap satu nikmat Allah SWT berikan kepada kita, kerana takkan tercapai dek kudrat manusia).

Pun begitu Allah SWT masih menambah: “Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bermaksud, Allah SWT bersedia mengampunkan kita sekiranya kita kembali kepadaNya, bertaubat, hendak berubah, walaupun pada diri kita ada banyak kekurangan dan kelemahan, walaupun kita tak mampu mensyukuri setiap nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.

Kasihnya Allah SWT.

Rakan-rakan, maka mengapa kita bersambil lewa?

Mengapa kita mesti bersikap biadap kepada Allah SWT, dengan memandang enteng keluasan ampunanNya ini? Dan menggunakan pula keluasan ampunanNya sebagai alasan untuk terus menerus menderhakaiNya?

“Ala, Allah kan Maha Pengampun!” Bukankah itu sikap yang biadap dan kurang ajar?

Allah SWT sudah cukup baik memberikan kepada kita segala nikmat, ditambah pula dengan peluang untuk bertaubat yang sangat terbuka luas, tetapi kita pula mencampakkan semua nikmat tersebut jauh, tidak memanfaatkannya, tidak menghargainya.

Kita melewat-lewatkan taubat kita, kita sengaja melengah-lengahkan langkahan kita untuk memohon keampunan. Kita sengaja menjauhkan diri kita daripada kebaikan-kebaikan, dan menyibukkan diri kita kepada kejahatan-kejahatan.

Rakan-rakan yang saya muliakan, mengapa?

Sampai bila?

Tidakkah hati dan jiwa kita terbuka apabila merenung kembali betapa banyaknya nikmat dan peluang yang telah Allah SWT berikan kepada kita?

 

Sambar Peluang Dengan Segera, Hargai Apa Yang Telah Ditawarkan olehNya

Rakan-rakan yang saya muliakan, Allah SWT berfirman:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.” Surah Al-Hadid ayat 16.

Sama-samalah kita renung kembali diri kita. Berapa serius sebenarnya kita hendak berubah. Bila kita hendak berubah? Sampai bila kita masih hendak bergelumang dengan dosa dan keingkaran terhadap Allah SWT?

Jika kita telah berusaha untuk berubah dan tersungkur, bila kita mahu bangkit kembali? Sampai bila mahu berputus asa dan rasa diri tidak punya harapan lagi?

Rakan-rakan, masa berjalan, dan ia tidak akan kembali. Kehidupan kita ada limitnya, dan usia kita ada pengakhirannya. Sekarang adalah masannya untuk kita berubah. Sekarang adalah masanya untuk kita bangkit.

Dibangkitkan pada hari yang baru, itulah dia hari yang perlu kita sambar. Hari baru tanda Allah SWT masih sudi menyambung kehidupan kita, tanda Allah SWT masih sudi hendak mengampunkan kita, tanda Allah SWT masih memberikan kita peluang untuk beramal dan menambah kebaikan-kebaikan, tanda Allah SWT masih memberikan kita peluang untuk membuang keburukan-keburukan.

Maka tunggu apa lagi?

Atau kita akan bazirkannya lagi?

Jangan teman-teman.

Jangan.

Jangan kita tangguh-tangguh, kerana risau keluasan ampunan Allah SWT itu, akan terkatup apabila maut datang menyergah, dan sesungguhnya kita tidak sesekali tahu bila Malaikat Maut mahu datang kepada kita untuk melunaskan tanggungjawabnya.

Muhasabah.

 

==============================

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Taubat & Pembersihan Diri.

6964897017_4f24a606fd_b

Rakan-rakan yang dimuliakan, alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT yang memberikan kita kekuatan untuk meneruskan pembacaan, dan kepada saya untuk meneruskan penulisan, agar sama-sama kita dapat melakukan muhasabah kepada diri, dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.

Sesungguhnya jika kita renungi, dan benar-benar cuba mengenang kembali semua salah dan silap kita di sepanjang perjalanan hidup ini, sudah pasti akan terasa sesaknya jiwa dan sempitnya hati, melihat betapa banyaknya dosa dan kesilapan yang pernah kita lakukan.

Lebih-lebih lagi sekiranya hingga sekarang, kita masih belum dapat meninggalkan perkara yang Allah SWT larang. Lebih-lebih lagi apabila apa yang Allah murkai itu, masih menjadi sebahagian daripada rutinan kehidupan kita.

Buat kita terasa seperti mahu berputus harap, dan tidak kurang juga kedengaran godaan syaitan membisik ke dalam sukma supaya kita menganggap bahawa Allah tidak mahu memandang lagi kepada kita. Na’udzubillah.

Tetapi Allah SWT tidak sedemikian. Ya, ada masanya, Allah SWT akan murka dan marah. Tetapi rahmatNya melebihi kemarahanNya. Maka pada bab ini sama-sama kita cuba melihat jalan keluar yang diberikan oleh Pencipta kita, yang ternyata sangat kasih dan cinta kepada hamba-hambaNya.

 

Taubat Sebagai Jalan Keluar & Pembersihan Diri

Sebagai pencipta kepada manusia, Allah SWT itu Maha Tahu akan bagaimana keadaan manusia itu. Allah SWT itu bukanlah bodoh, dan sesungguhnya tiada yang akan terselindung daripada pengetahuan dan kebijaksanaanNya.

Tatkala hendak menciptakan manusia, Malaikat telah membangkitkan perihal sikap buruk yang terdapat di dalam diri manusia.

“Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Surah Al-Baqarah ayat 30.

Namun Allah SWT masih menciptakan manusia. Terciptalah Adam. Dan daripada Adam, manusia membiak. Kemudian sampailah kepada kita. Daripada jutaan sperma, kita yang dipilih untuk mendapat nikmat kehidupan. Menjejak ke bumi dengan keadaan masing-masing. Mungkin ada yang kelihatan lebih bernasib baik, mungkin ada yang kehidupannya lebih mencabar. Namun akhirnya masing-masing bergerak menuju ke arah yang sama – yakni pulang semula kepada Allah SWT.

Dan dalam perjalanan pulang itu, antara ujian yang dilalui oleh semua manusia, ialah ujian untuk menjadi hambaNya yang baik. Manusia teruji dengan fitrahnya, yang bila tidak dikawal, akan menjadi liar sehingga melanggari batas.

Untuk mengimbangi kelemahan yang ada pada diri manusia ini, Allah SWT dengan penuh kasih sayang, mengurniakan kepada kita taubat.

Taubat di dalam bahasa arab berasal dari perkataan tawaba, yang bermaksud ‘kembali’.  Seseorang itu dianggap telah bertaubat apabila dia telah merasa sesal, meninggalkan dosa dan kembali dari perbuatan yang dimurkai Allah SWT itu. Dalam erti kata lain, kembali mentaati Allah SWT.

Sekiranya kita fikir secara mendalam, kita akan melihat bahawa taubat itu wujud untuk orang-orang yang melakukan dosa. Bermakna, walaupun kita ini orang yang hidupnya mengingkari Allah SWT, melanggari perintahNya, mungkin tidak pernah ingat kepadaNya, tetapi Allah SWT tetap menyediakan jalan keluar untuk orang yang hidupnya sedemikian rupa.

Jika Allah SWT mahu, Dia boleh sahaja mengabaikan para pendosa. Tetapi tidak, di sinilah kita melihat bagaimana rahmatNya melebihi kemarahanNya.

Bahkan Allah SWT menyeru bukan sekali, di dalam Al-Quran, agar hamba-hambaNya bertaubat dan membersihkan diri.

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.

“Dan mereka (orang-orang beriman) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka segera ingat akan Allah lalu meminta keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak terus menerus dalam perbuatan dosanya itu, sedang mereka mengetahui (kesalahan dan akibat dari dosa itu).” Surah Ali-Imran ayat 135.

“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” Surah Az-Zumar ayat 53-54.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” Surah At-Tahrim ayat 8.

Sebagai hamba Allah SWT, yang menyedari bahawa pada dirinya ada 1001 kekurangan dan kelemahan, sepatutnya kita menjadi lebih menghargai akan kasih sayang yang Allah SWT tunjukkan kepada kita.

Ayat-ayat ini sepatutnya menjadi penguat kepada diri, pemangkin semangat untuk kita keluar dan meninggalkan sikap buruk serta perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Kasih sayang Allah SWT itu nyata teramat luas untuk kita abaikan begitu sahaja, atau untuk kita menyalahkan takdir atas segala kesilapan yang kita lakukan.

Kerana jalan taubat itu terbentang luas, tanpa penghalang dan tiada orang tengah.

Mengapa tidak kita menyahut seruan cinta dan kasih sayang ini?

 

Jalan-jalan Taubat

Rakan-rakan, apabila kita membicarakan perihal jalan-jalan taubat, ketahuilah bahawa ianya bukanlah jalan yang terkunci rapat. Bahkan, ianya adalah jalan yang terbentang luas tanpa pengawal.

Sekiranya ada agama lain yang membuatkan penganutnya perlu membayar seseorang, perlu bertemu seseorang, perlu menyediakan ‘pengeras’ kepada seseorang, dalam proses untuk membersihkan diri, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Islam bukan sedemikian.

Ketahuilah bahawa tiada perantara antara kita dengan Allah SWT, termasuklah di dalam urusan bertaubat.

Jalan untuk bertaubat itu boleh kita tempuhi tanpa memerlukan kita berada di tempat yang spesifik. Tidak pula memerlukan kita bertemu dengan orang tertentu. Tidak juga memerlukan kita masa yang tertentu.

Begitulah luasnya jalan taubat.

Kunci utama dalam bertaubat ialah rasa penyesalan dan memohon ampun kepada Allah SWT, seterusnya berusaha meninggalkan perbuatan yang mendatangkan dosa tadi.

Ya, nampak mudah bukan? Tiada solat tertentu, tiada doa tertentu, yang wajib kita baca sebagai syarat menjadikan taubat kita diterima.

Namun di sana ada beberapa usaha yang boleh kita lakukan, sebagai penambah kekuatan kepada diri dalam melakukan taubat.

Antaranya:

  1. Memperbanyakkan amalan kebaikan.

 

Allah SWT berfirman: “Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Surah Hud ayat 114.

 

“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan-keburukan yang kamu lakukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan yang kamu lakukan. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” Hadith Riwayat Tirmidzi.

 

  1. Memperbanyakkan doa memohon bantuan pertolongan Allah SWT.

 

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku itu dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir.  Lalu Dia berkata: Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Hingga terbit fajar.” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

 

  1. Melazimi istifghfar.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih dari tujuh puluh kali.” Hadith Riwayat Bukhari.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampunan kepada-Nya, karena sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari seratus kali.” Hadith Riwayat Muslim.

 

  1. Berusaha meletakkan diri dalam suasana yang baik.

 

Diriwayatkan di dalam hadith yang panjang, berkenaan kisah seorang pembunuh yang telah membunuh 100 orang. Apabila dia bertemu dengan alim yang menyatakan bahawa dia masih punya harapan untuk diampunkan oleh Allah SWT, alim tersebut telah menasihatkan agar dia pergi ke kampung orang yang soleh untuk bertaubat.

 

Hadith ini adalah hadith yang sohih dan boleh didapati di dalam Sohih Bukhari & Muslim, juga di dalam Kitab Riyadhus Solihin. Hadith yang selalu saya ulangi, dan insyaAllah ada juga saya sentuh kembali di dalam buku ini.

 

Pesanan Sang Alim tersebut kepada Si Pembunuh yang mahu bertaubat itu ada hikmah yang perlu kita ambil. Suasana membentuk manusia. Maka sekiranya kita mahu berubah dan meninggalkan kesalahan lalu, adalah baik untuk kita meletakkan diri kita dalam suasana yang membantu perubahan tersebut.

 

Sama ada kita menukar kawan-kawan kita, yakni mula bergaul dengan orang-orang yang baik, menukar jadual hidup agar lebih terarah kepada perkara-perkara baik berbanding buruk, atau mula membiasakan diri kita ke masjid atau majlis-majlis ilmu, atau mungkin jika lebih berkemampuan, berpindah dari tempat kita banyak melakukan kesalahan itu ke tempat yang baru.

 

Jika kita benar-benar bersungguh untuk bertaubat, semestinya kita akan mula melakukan perubahan kepada rutin kehidupan kita. Sudah pasti ada perkara perlu kita tinggalkan, dan ada perkara perlu kita tambah, supaya kita benar-benar dapat kembali menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT.

Dan sesungguhnya jalan ini terbuka luas, menanti kita untuk bergerak di atasnya.

Sehinggalah matahari terbit dari barat, atau ajal menyergah kita secara tiba-tiba.

 

Sangka Baik Kepada Allah SWT

Rakan-rakan yang saya muliakan, sudah pasti proses taubat itu bukanlah satu proses yang pendek. Kerana matlamat utama daripada taubat ialah mengembalikan diri kita kepada ketaatan. Itu semua pastinya tidak akan tiba-tiba tercapai dengan seminit dua.

Maka di dalam proses yang panjang itu, syaitan tidak akan sesekali berputus asa untuk menggoda kita agar meninggalkannya. Mengajak kita untuk berputus asa. Menipu kita untuk tersungkur. Dan sebagai manusia biasa, sudah pasti ada yang tersungkur.

Persoalan besar yang timbul apabila kita telah berusaha hendak berubah, kemudian masih mengulangi dosa dan keingkaran kita kepada Allah SWT, ialah apakah Allah SWT tidak lagi mahu menerima kita? Ketahuilah rakan-rakan bahawa bisikan sebegini ialah bisikan syaitan yang durjana. Syaitan yang mahu memutuskan hubungan kita dengan Allah SWT, melalui sangka buruk lagi nista.

Maka untuk menenangkan jiwa dan membersihkan sangkaan kita kepada Allah SWT, dalamilah hadith berikut dan hayati:

Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dalam keadaan yang cepat.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ya, Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik buat kita. Masakan Dia mahu meninggalkan kita, sekiranya kita sedang dalam perjalanan kembali kepadaNya? Terjatuh? Naik kembali. Bersangka baik kepada Allah SWT. Lawan perasaan busuk yang cuba disuntik oleh syaitan kepada kita. Abaikan sahaja apa kata-kata orang lain kepada kita, untuk memberikan kita rasa putus asa dan kecewa, rasa tidak boleh berubah, abaikan!

Bangkit. Walau berkali-kali!

Jangan pernah bosan dan rasa berputus asa. Jika ada perasaan sedemikian, lawan!

Terjatuh lagi? Bangkit lagi. Demikianlah kita berjuang untuk menjadi yang lebih baik. Dan demikian jugalah kita akan berterusan berusaha sehinggalah sama ada kita berjaya melakukan perubahan yang sepenuhnya, atau kita mati dalam keadaan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk berubah. Kedua-duanya ialah kemenangan, dan sesungguhnya Allah SWT itu tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hambaNya. Dia Maha Melihat, lagi Maha Mengetahui.

 

Taubat Berulang-ulang – Allah Bukan Bodoh Dan Tidak Pula Akan Berjaya Ditipu

Rakan-rakan yang saya muliakan, saya sering memberikan pesan kepada diri saya dan rakan-rakan, agar kita tidak berputus asa dalam bertaubat. Maka, seperti pada subtopik sebelum ini, saya menegaskan agar kita bangkit berkali-kali. Bermakna, bertaubat berkali-kali. Bertaubat, jika tersungkur lagi, bertaubat lagi, jika tersungkur lagi, bertaubat lagi, dan begitulah berterusan hingga sama ada kita benar-benar berjaya berubah, atau kita mati dalam keadaan berusaha untuk berubah.

Maka tidak sedikit yang mendatangi saya lantas berkata:

“Mana boleh begitu? Itu taubat main-main!” Kata mereka.

Mereka berpendapat bahawa, sekiranya kita benar-benar menyesal dan insaf, maka selepas bertaubat, kita akan meninggalkan dosa-dosa dan tidak mengulanginya lagi. Sekiranya kita berulang kali mengulanginya, bertaubat dan mengulanginya, bertaubat dan mengulanginya buat kesekian kalinya, maka itu adalah petanda bahawa kita tidak serius dalam taubat kita.

Masakan boleh sedemikian! Sangka mereka.

Pada pegangan saya pula ialah, sekiranya seorang manusia itu ada kekuatan untuk bertaubat berkali-kali, itu bermakna dia ada kebaikan di dalam dirinya. Sesungguhnya setiap manusia itu dicipta dengan latar belakang dan suasana yang berbeza. Masing-masing ada cabaran masing-masing. Apa yang penting ialah, semua mahu melepasi cabaran tersebut. Semua mahu kembali kepada Allah SWT. Maka jika seorang hamba Allah SWT itu, setiap kali melakukan dosa dan dia menyesalinya dengan penuh penyesalan, bertaubat dan memohon ampun penuh kesungguhan, berusaha yang terbaik untuk meninggalkan perbuatan buruknya, tetapi kemudian tersungkur jatuh semula dan kembali mengulangi proses sebegini berulang kali, ianya bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dibuat-buat!

Siapa kita untuk menjadi Tuhan dan menilai orang lain? Menentukan sama ada taubat mereka diterima atau tidak? Menentukan sama ada mereka serius atau tidak?

Sejak bila Allah SWT memerlukan kita untuk membantuNya menilai manusia lain?

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Surah Al-Baqarah ayat 255.

Allah SWT bukanlah bodoh, dan Maha Suci Allah SWT daripada kelalaian dan kealpaan. Allah SWT tahu siapa yang ikhlas bertaubat dan siapa yang tidak.

Maka bukan urusan kita hendak menilai orang lain, sama ada taubatnya diterima atau tidak, sama ada dia serius bertaubat atau bukan. Serahkan semua itu kepada Allah SWT.

Apakah tugasan dan tanggungjawab kita?

 

==============================

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Dosa Terhadap Allah SWT

tumblr_m17sficywh1r0k06jo1_1280

Rakan-rakan pembaca yang saya muliakan. Terima kasih kerana terus sudi menyelak lembaran buku ini. Semoga pembacaan buku ini memberikan manfaat buat kita dalam perjalanan kita menuju Allah SWT.

Pada bab ini, kita akan membincangkan berkenaan dosa dengan Allah SWT. Selepas kita ambil maklum akan dosa terhadap manusia, kita cuba melihat pula berkaitan dosa terhadap Tuhan kepada manusia.

Sejenak sebelum kita melangkah jauh membincangkan hal tersebut, saya ingin mengajak diri saya dan rakan-rakan pembaca sama-sama membayangkan kebesaran Allah SWT. Ya, berapa besarkah Allah SWT? Tiada jawapan yang tepat. Namun Allah SWT berfirman beberapa kali di dalam Al-Quran bahawa Dia berkuasa atas segala-galanya. Ya, segala-galanya!

Kita boleh bayangkan kekerdilan kita, dengan cuba menggambarkan di mana kah kita di Malaysia ini, apabila kita cuba memandang seluruh Malaysia dari atas. Tidak kelihatan bukan? Bagaimana pula jika kita memandang seluruh Asia dari atas, berapa besarkah kita? Bagaimana pula jika kita memandang kesuluruhan Bumi daripada luar planet ini, berapa besarkah kita? Bagaimana pula jika kita memandang keseluruhan galaksi bima sakti ini, berapa besarkah kita? Dan sebagaimana sains telah tunjukkan kepada kita, galaksi bima sakti bukan satu-satunya galaksi yang wujud di dunia ini. Terdapat banyak galaksi lain. Bayangkan kita cuba untuk melihat kesuluhran galaksi yang wujud dari pandangan luar, kemudian bertanya – berapa besarkah kita ketika ini?

Dan ingat, bahawa Allah SWT lebih besar daripada semua itu, sesungguhnya Dia berkuasa atas segala-galanya. Allahuakbar.

Maka setiap kali kita melakukan dosa, penderhakaan, keingkaran terhadap Allah SWT, ingatlah bahawa kita sedang melanggar perintah Allah SWT yang Maha Besar itu. Yang tiada tandingan itu. Yang berkuasa atas segala-galanya itu.

Bayangkan. Sepatutnya kita rasa kerdil dan beringat-ingat.

 

Bila kita dikatakan berdosa kepada Allah SWT?

Rakan-rakan yang saya muliakan, kita mula berdosa kepada Allah SWT adalah apabila kita mula bertindak melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Ini termasuklah dengan dosa kita terhadap manusia. Dosa kita terhadap insan yang lain itu juga termasuk sebahagian daripada pelanggaran perintah Allah SWT.

Contohnya, kita benar-benar melakukan zina, maka ketika itu kita telah berdosa. Kita benar-benar menyakiti manusia lain, ketika itu kita telah berdosa. Kita benar-benar membazir, maka ketika itu kita telah berdosa.

Namun sebagai sebahagian daripada tanda kasih sayangNya, Allah SWT tidak akan sesekali menghukum perkara yang belum kita lakukan, walaupun mungkin di dalam hati, kita ada rasa hendak melakukannya.

Contohnya, di dalam hati kita, ada niat untuk mencuri. Tetapi kita tidak jadi mencuri. Maka niat tadi itu tidak dikira berdosa.

Ini berlainan dengan niat hendak melakukan kebaikan. Jika kita berniat hendak melakukan kebaikan tetapi tidak dapat melaksanakan apa yang diniatkan, niat itu sahaja sudah ada pahala untuknya. Contohnya, kita berniat untuk bangun solat tahajjud, tetapi Allah izin kita terbangkit hanya selepas azan Subuh berkumandang. Niat untuk bangun Solat Tahajjud tadi tetap dikira sebagai pahala di sisi Allah SWT.

Ini berdalilkan hadith berikut:

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan dan kejahatan, kemudian menerangkan tentangnya. Maka barangsiapa yang bercita-cita hendak mengerjakan kebaikan tetapi belum mengamalkannya, Allah mencatat -bagi orang tersebut- di sisi-Nya dengan kebaikan yang sempurna. Barangsiapa yang bercita-cita hendak mengerjakan kebaikan kemudian melakukannya, maka Allah akan menulis untuknya dengan sepuluh kebaikan sehingga 700 kali ganda dan dilipat gandakan sebanyak-banyaknya. Kemudian barangsiapa yang bercita-cita hendak melakukan kejahatan tetapi belum mengamalkannya, maka Allah akan mencatat untuknya kebaikan yang sempurna(tidak meletakkan untuk dosa atas niat buruk tadi). Tetapi barangsiapa yang bercita-cita hendaklah melakukan kejahatan kemudian melakukannya, maka Allah akan mencatat untuknya satu kejahatan sahaja” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Lihat rakan-rakan, betapa kasihnya Allah SWT kepada kita.

Berniat buat baik, dapat pahala. Bila buat kebaikan tersebut, pahala dilipat gandakan bermula 10 kali lipat hingga boleh mencapai 700 kali lipat. Tetapi bila kita berniat hendak melakukan kejahatan, tidak dicatat. Jika kita laksanakan pula kejahatan tersebut, hanya dicatat sebagai satu sahaja tanpa dilipat gandakan.

Dan apabila kita membaca hadith yang lain, kita akan lihat bahawa kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hambaNya itu tidak bertepi.

“Berkata Malaikat:   Wahai Tuhan, di sana terdapat hambaMu yang hendak melakukan kejahatan. Allah berfirman: Perhatikanlah, sekiranya dia melakukannya, maka catatkanlah untuknya seperti yang dilakukan. Sekiranya dia meninggalkannya (tidak melakukannya), maka catatkanlah untuknya satu kebaikan kerana meninggalkan kejahatan itu lantaran takut balasanKu.” Hadith Riwayat Muslim.

Rakan-rakan, berniat buat jahat, tak dicatat dosanya. Jika melakukannya, dicatat satu kejahatan tanpa diganda-gandakan. Tetapi jika kita berniat melakukan kejahatan, namun meninggalkan perbuatan jahat itu – yakni tidak jadi melakukannya, kerana takut kepada Allah SWT, kerana mahu mentaatiNya, maka dikira pula untuk kita satu kebaikan kerana meninggalkan sesuatu yang dimurkai Allah SWT.

Maha Suci Allah SWT, Maha Kasih Allah SWT!

 

Menghapuskan dosa kita terhadap Allah SWT

Saya sentiasa tersentuh setiap kali menyentuh berkenaan penghapusan dosa. Setiap kali itu, saya akan bersyukur bahawa Tuhan saya ialah Allah SWT. Bayangkan ya, Allah SWT Yang Maha Besar itu, jika Dia mahu, Dia boleh sahaja tidak memberikan kita apa-apa jalan untuk mencuci dosa dan noda kita. Buat apa Allah mahu kisah? Kita tidak menambah apa-apa pun kepadaNya, kerana terlalu kerdilnya kita.

Allah SWT boleh sahaja, setiap kali ada antara kita melakukan kesalahan, terus sahaja Dia timpakan bencana, kecelakaan, sambaran petir dan sebagainya untuk menghapuskan kita kerana menderhakaiNya. Kerana Dia Maha Kuasa. Maha Besar!

Tetapi tidak.

Untuk kita manusia yang kerdil lagi hina ini, Allah SWT tetap tumpahkan kasih sayang yang mendalam. Dikurniakan untuk kita ini taubat.

Taubat ialah jalan untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Apabila kita melakukan dosa, keingkaran, penderhakaan kepada Allah SWT, maka taubat adalah jalan untuk membersihkan diri.

Allah SWT sendiri menyeru kepada hamba-hambaNya, mengwar-warkan akan kewujudan taubat ini, agar kita semua tidak berputus harap dan menyangka kita memang ditakdirkan untuk menjadi jahat, atau kita diciptakan untuk dilempar ke dalam neraka. Tidak dan tidak.

Penuh kasih sayang, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” Surah Az-Zumar ayat 53-54.

Firman Allah SWT pada ayat yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’(taubat yang sebenar-benarnya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya(yakni hari akhirat).” Surah At-Tahrim ayat 8.

Kita akan berbicara dengan lebih panjang berkaitan taubat pada bab yang mendatang.

Namun cukuplah setakat ini kita mengetahui bahawa, Allah SWT Yang Maha Besar itu, Yang Maha Perkasa lagi Berkuasa itu, sangat kasih dan cinta kepada kita yang kerdil ini.

Dosa-dosa kita, penderhakaan kita, keingkaran kita kepadaNya, walau sebesar mana pun ia, tetaplah kita diberikan peluang untuk membersihkan diri.

Persoalan terbesar yang perlu kita jawab ialah, sampai bila kita mahu mengabaikan kasih sayangNya ini? Sampai bila, kita hendak meneruskan penderhakaan? Bila kita akan benar-benar bermula untuk berubah?

Sesuatu yang patut kita renung-renungkan dengan mendalam.

 

Sejenak Mengenang Kasih Sayang Allah SWT Kepada Pendosa

Saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk bertenang sejenak, menarik nafas dan mula mengenang akan kasih sayang Allah SWT.

Pada waktu malam, sebelum kita memejamkan mata, pernahkah kita berfikir apa akan berlaku kepada kita, sekiranya apabila kita tidur selepas itu, kita tidak dibangkitkan semula untuk keesokan harinya?

Saya pernah, banyak kali, memikirkan hal itu. Dan sedar tak sedar, air mata akan mengalir. Tiada siapa dapat menjamin akan kewujudan saya di dunia keesokan hari. Tetapi mengapa kita masih ego untuk mengakui kesalahan diri, bergerak untuk bertaubat dan membersihkan diri?

Banyak memikirkan itu semua, menjadikan saya sangat-sangat merasai kasih sayang Allah SWT. Dalam kita melakukan banyak penderhakaan kepadaNya, banyak memandang enteng perintah dan laranganNya, Allah SWT masih sudi memberikan kita pelbagai nikmat.

Namun kadangkala kita, buat tak endah sahaja. Pun Allah SWT tidak terus menghukum kita. Panjang masa Allah SWT berikan untuk kita sedar dan bergerak bertaubat. Apakah kita pernah merasakan bahawa diri kita ini telah biadab kepada Allah SWT Yang Maha Besar tadi?

Bayangkan, apabila kita dikurniakan lagi hari baru, dan kemudian balasan kita kepadaNya pertama sekali ialah lewat Solat Subuh atau sengaja meninggalkannya? Hamba jenis apakah kita jika bersikap sedemikian rupa?

Tetapi Allah SWT masih kasih. Allah SWT masih sayang.

Hari ini saya dapat menulis perkara ini, dan rakan-rakan pembaca dapat membaca apa yang saya karang. Kita sama-sama hakikatnya diberikan peluang. Peluang untuk membersihkan diri. Peluang untuk berubah. Kasihnya Allah SWT kepada kita.

Sepatutnya kita menangis hiba, terharu dengan cinta yang Allah SWT tunjukkan kepada kita. Sepanjang kehidupan kita hingga ke hari ini, Allah SWT tidak pernah abaikan kita.

Semoga kita dapat menyentuh hati masing-masing, menyemat azam untuk menjadi hamba Allah SWT yang baik bermula sekarang. Buat perancangan, bina strategi, susun aktiviti, untuk menjadi hamba Allah SWT yang soleh dan solehah, bukan sekadar mengharap dan bercakap.

Bukankah kita nanti akan pulang bertemu Allah SWT?

Apakah kita hendak pulang dengan noda-noda penderhakaan masih menyelaputi tubuh kita?

Na’udzubillahi min dzalik.

Allah sayang kepada kita, maka kita sayanglah kepada diri sendiri.

Mustahil kita mahu melemparkan diri kita ke neraka Allah SWT.

Sambutlah kasih sayang Allah SWT yang telah sekian lama dihulurkan.

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Dosa Dengan Manusia

Senior and Young Women Holding Hands

Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi, semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan rahmatNya kepada kita untuk meneruskan kehidupan sebagai hambaNya yang soleh dan solehah. Menjauhi apa yang dilarangNya, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk patuh dan taat kepadaNya.

Pada bab kali ini insyaAllah saya akan cuba menyentuh berkenaan dosa kita dengan manusia. Saya sentuh hal ini terlebih dahulu bukanlah kerana dosa dengan Allah SWT itu boleh dipandang enteng. Tetapi kerana dosa dengan manusia itu sesuatu yang sering kita ambil mudah, dan kita ingat boleh hilang dengan begitu sahaja.

Hakikatnya dosa dengan manusia itu satu perbuatan yang berat. Bukanlah kerana manusia itu berkuasa memberikan dosa kepada kita. Tetapi kerana Allah SWT sangat menitik beratkan untuk seseorang muslim itu menjaga hubungan sesama manusia.

 

Senarai dosa-dosa terhadap manusia lain

Apa yang boleh dikatakan sebagai melakukan dosa ke atas manusia lain?

Antara yang boleh kita sebut ialah mengumpat. Kita menyebut perkara yang tidak disukai oleh seseorang di belakangnya. Contohnya, kita bercakap-cakap berkenaan salah silapnya di hadapan orang lain selain dirinya.

Hasad dengki juga merupakan dosa kepada manusia. Kita iri hati terhadap seseorang, lantas cuba untuk menghalangnya dari mendapatkan sesuatu. Atau dari perasaan hasad dengki inilah, kita melakukan umpatan dan keji terhadapnya.

Berlaku zalim terhadap manusia lain juga merupakan dosa. Contohnya kita sengaja memukulnya tanpa sebab munasabah, hanya kerana kita punya badan yang lebih besar, atau senioriti. Atau sebagai pemimpin, kita menekan kehidupan rakyat, mengambil hak mereka untuk mengkayakan diri sendiri.

Antara perkara yang besar berkait dosa dengan manusia ini juga adalah fitnah. Yakni cerita palsu yang kita sebarkan untuk memburukkan seseorang, sedangkan perkara itu tidak diketahui kebenarannya.

Sekadar menyebut beberapa.

Perbuatan-perbuatan ini nyata berlawanan dengan perintah Allah SWT yang menggesa agar manusia sesama manusia itu bersikap kenal mengenal, yakni ramah mesra antara satu sama lain.

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan dari kalangan lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berpuak-puak, supaya kamu saling kenal mengenal.” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Sabda Rasulullah SAW pula: “Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain(menyambung fitnah) dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada sempurna iman seorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Maka pastinya tatkala seseorang itu melakukan kezaliman, penganiayaan, penghinaan terhadap manusia yang lain, maka sesungguhnya dia telah berdosa.

Dan apabila seseorang manusia itu berdosa ke atas manusia yang lain, maka dia tidak akan mudah-mudah boleh meminta ampun kepada Allah SWT semata-mata.

Dia wajib terlebih dahulu memohon maaf dan memperbaiki kesilapannya semampu dirinya terhadap orang-orang yang telah dia lakukan dosa terhadapnya.

 

Jalan keluar dan penyelesaian

Rakan-rakan yang saya muliakan, apabila kita telah menyakiti orang lain dengan tindakan dan perbuatan kita, maka tidak dapat tidak, jalan utama untuk kita membersihkan diri kita ialah dengan meminta maaf kepadanya.

Rasulullah SAW sendiri menggesa kita untuk meminta maaf atas kesalahan-kesalahan kita kepada orang lain. Kerana ancaman untuk orang-orang yang degil dalam mengakui kesalahan diri dan ego untuk meminta maaf kepada pihak yang dianiayai, adalah sangat dasyat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ya, apa yang lebih dasyat berbanding kebaikan-kebaikan kita diambil oleh Allah SWT dan diberikan kepada orang-orang yang kita zalimi, kita lukai, dan apabila itu semua tidak cukup, akan diambil pula keburukan mereka, diletakkan pula ke atas kita untuk kita tanggungi. Na’udzhubillahi min dzalik!

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, di dalam hadith lain sebagai orang yang muflis.

Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab para sahabat: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”.

Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam ummatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, dalam masa yang sama dia memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu akan diberikanlah kepada orang ini dan itu(yang menerima perlakuan buruk tadi) pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa mereka(orang yang menerima perlakuan buruk tadi) dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” Hadith Riwayat Muslim.

Itulah dia balasan kepada manusia yang tergamak menzalimi orang lain.

Pada hari yang benar-benar kita mengharapkan sekelumit belas daripada Allah SWT, pada hari akhirat yang dasyat lagi menakutkan, saat kita sangat-sangat bergantung kepada apa-apa sahaja amal kebaikan yang pernah kita lakukan untuk mendapatkan rahmat Allah SWT, tiba-tiba amal kebaikan kita disedut pergi. Ditambah pula ke atas kita keburukan-keburukan yang ada pada orang yang kita zalimi, untuk kita tanggung dan dihukum dengannya.

Bahkan, ada perbuatan kezaliman yang tidak langsung ditangguh hukumannya oleh Allah SWT ke akhirat kelak. Sebagai contoh, perbuatan memfitnah orang yang baik melakukan perbuatan zina. Allah SWT arahkan untuk disebat orang yang memfitnah tersebut.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” Surah An-Nur ayat 4.

Kepada pemimpin yang zalim pula, yang menganiaya rakyatnya, yang mengambil hak rakyatnya, Allah SWT terus mengharamkan untuk orang sebegini – sekiranya mereka tidak bertaubat – daripada syurgaNya.

“Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya Syurga.” Hadith Riwayat Muslim.

Keras sekali hukuman Allah SWT kepada mereka yang bertindak menganiayai manusia yang lain.

 

Mengapa Begitu Keras Sekali Hukuman Allah SWT Dalam Hal Ini?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, akan mengapakah Allah SWT meletakkan hukuman yang agak keras dalam hal dosa sesama manusia ini. Sedangkan, manusia itu manusia. Makhluk biasa sahaja. Bukan Tuhan.

Saya melihat, itulah dia mesej Islam yang sebenar.

Kita perhatikan bahawa Islam itu diturunkan sebagai rahmat buat sekalian alam.

Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’ ayat 107.

Rahmat ini secara ringkasnya memberikan kebaikan, memberikan kemaslahatan, menyelamatkan. Jadi apabila seseorang manusia itu menzalimi manusia lain, dia telah merosakkan mesej utama Islam itu tadi. Bahkan jika kita teliti, Islam itu sendiri antara maksudnya ialah sejahtera. Kesejahteraan apakah apabila manusia menzalimi manusia yang lain?

Dan apabila kezaliman berlaku, apa yang mengikutinya biasanya adalah perkara yang buruk juga. Kebencian, membalas dendam, hilang kepercayaan sesama manusia. Ini semua menyemarakkan keburukan, menimbulkan huru-hara.

Maka manusia diperingatkan agar tidak menzalimi manusia yang lain. Supaya manusia sesama manusia itu dapat hidup dengan harmoni, sekaligus membawa bumi ini ke arah kemakmuran. Mesej yang menjadi rahmat buat sekalian alam.

Selain itu, hukuman berat ini juga adalah supaya manusia itu bersikap bertanggungjawab. Apabila kita melakukan kesalahan, berani untuk mengakuinya, dan berusaha untuk memperbaikinya. Bukan bersikap lepas tangan, dan merasakan diri tidak bersalah.

 

Sikap seorang Muslim

 

Sebagai seorang muslim, kita sebenarnya punya tanggungjawab yang besar dalam menyantuni manusia yang lain. Oleh kerana manusia itu hidup sesama manusia, maka Islam banyak menekankan berkenaan hubungan sesama manusia.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah akan masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak aman dari bahaya atas perbuatannya.” Hadith Riwayat Muslim.

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” Hadith Riwayat Muslim.

“Tidaklah kamu akan masuk syurga tanpa beriman dan tidaklah imanmu sempurna tanpa berkasih sayang sesama kamu. Inginkah kamu aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan, terwujudlah kasih sayang sesamamu? Semarakkanlah salam sesama kamu.” Hadith Riwayat Muslim.

“Memaki-maki orang Muslim itu kedurhakaan dan membunuhnya, kekafiran.” Hadith Riwayat Muslim.

“Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlaq yang baik.” Hadith Riwayat al-Hakim.

Di dalam firman Allah SWT pula, muslim sesama muslim itu diajar bahawa mereka bersaudara, bersaudara di atas aqidah, manakala dengan sekalian manusia pula – termasuk non-muslim – mereka adalah saudara kita atas nama kemanusiaan.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.” Surah Al-Hujurat ayat 10.

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan dari kalangan lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berpuak-puak, supaya kamu saling kenal mengenal.” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Dan ayat 13 Surah Al-Hujurat itu, disempurnakan dengan ayat: “Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Apa itu taqwa? Yakni takut kepada Allah SWT. Orang bertaqwa adalah orang yang akan patuh dengan perintah Allah SWT dan sangat berhati-hati di dalam hidupnya agar tidak melakukan apa yang Allah SWT larang.

Apa yang Allah SWT larang? Antaranya adalah bersikap zalim terhadap manusia lain!

Muslim yang sebenar adalah manusia yang akan menyantuni manusia yang lain. Jika dia ada melakukan kesalahan terhadap manusia lain, dia akan bersegera meminta maaf. Itulah dia sikap yang sepatutnya kita semai di dalam diri kita.

Muhasabah.

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Dosa Besar & Dosa Kecil

PG-THE-LIFE-OF-JUDE_-WEBSITE-POSTER-PREFERENCE

Rakan-rakan pembaca yang saya muliakan,

Meneliti perbincangan berkait dosa, maka tidak dapat tidak kita akan mendengar istilah ‘dosa besar’ dan ‘dosa kecil’. Maka kita akan bertanya, dosa yang manakah diklasifikasikan sebagai dosa besar, dan dosa yang mana pula dikelaskan sebagai dosa kecil?

Apakah dosa kecil itu tidak mengapa dilakukan? Kerana itukah ia dinamakan sebagai dosa kecil?

Apakah dosa besar itu tidak akan sesekali diampunkan? Kerana itukah dinamakan sebagai dosa besar?

Persoalan-persoalan itu akan timbul.

Maka pada bab ini kita akan cuba berbincang berkenaan hal ini.

 

Dosa Besar

Dosa besar secara ringkasnya merupakan dosa yang pelakunya mendapat ancaman neraka daripada Allah SWT, juga perkara-perkara yang dilaknat atau sebut sebagai dosa besar sendiri oleh Rasulullah SAW – yang mana kita fahami bahawa apa yang Rasulullah SAW katakan itu, ialah daripada wahyu Allah SWT.

Allah SWT sendiri menggunakan istilah dosa besar ini di dalam Al-Quran. Sebutan yang digunakan ialah Kaba’ir. Asal perkataan daripada

Firman Allah SWT:

“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” Surah An-Nisa’ ayat 31.

Antara contohnya ialah riba.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).” Surah Al-Baqarah ayat 278-279.

Mereka yang masih tidak meninggalkan riba, maka Allah SWT isytiharkan perang terhadap mereka.

Antara contoh yang lain ialah syirik.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” Surah An-Nisa’ ayat 48.

Kita akan bincangkan lagi berkenaan penyataan bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik ini. Namun buat masa ini, cukup kita ketahui bahawa syirik itu termasuk daripada salah satu dosa yang kategorinya besar. Syirik itu bermakna kita telah mempersekutukan Allah SWT. Contohnya kita menyatakan bahawa ada Tuhan yang lain selain Allah SWT.

Antara contoh lain adalah zina, membunuh dan memakan harta anak yatim.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” Surah An-Nisa’ ayat 31-34.

Beberapa contoh daripada hadith adalah seperti berikut:

Rasulullah SAW bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan : (1) Mempersekutukan Allah. (2) Sihir. (3) Membunuh orang yang telah dilarang membunuhnya, kecuali kerana alasan yang dibenarkan Allah (seperti qisas). (4) Memakan harta anak yatim. (5) Memakan riba. (6) Lari dari medan pertempuran. (7) Menuduh wanita mukminah yang baik dan tahu memelihara diri, berbuat jahat (zina).” Hadith riwayat Muslim.

Rasulullah SAW bersabda: “Mencaci ibu bapa termasuk dosa besar.” Para sahabat bertanya, “Adakah orang yang mencaci ibu bapanya?” Jawab Nabi SAW membalas: “Ya, ada! Dicacinya bapa orang lain, lantas orang itu mencaci bapanya pula. Dicacinya ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya pula.” Hadith Riwayat Muslim.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang bersumpah menurut cara suatu agama selain Islam, baik sumpahnya itu dusta atau sengaja, maka orang itu akan mengalami sumpahnya sendiri. Siapa yang bunuh diri dengan suatu cara, Allah akan menyiksanya di neraka jahanam dengan cara itu pula.” Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Abdullah RA: Katanya dia bertanya kepada Rasulullah SAW: “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?” Jawab Nabi SAW: “Menyekutukan Allah, padahal Dia sendiri yang menjadikanmu.” “Yang demikian itu sangat besar dosanya,” kataku. “Kemudian apa lagi?” Jawab Nabi SAW: “Membunuh anakmu sendiri kerana takut melarat (miskin).” “Kemudian apa lagi,” tanyaku pula. Jawab beliau (Nabi saw), “Berzina dengan isteri tetanggamu.” Hadith Riwayat Muslim.

Sekadar memberikan beberapa contoh. Jika kita meneliti Kitab Kaba’ir(Dosa-dosa Besar) karangan Imam Az-Zahabi, ada disenaraikan sekitar 70 dosa besar.

Di sini saya sekadar hendak memberikan gambaran berkenaan apa itu dosa besar, bukan ingin menyenaraikan semuanya. Cukuplah kita faham bahawa dosa besar itu ialah perkara-perkara yang diancam oleh Allah SWT dengan neraka, atau dilaknat oleh Rasulullah SAW, atau dilaknat oleh baginda.

Dosa besar biasanya mempunyai implikasi yang juga besar. Contohnya ia adalah perkara yang mengancam Aqidah kita, seperti perbuatan syirik – merosakkan aqidah kita yang sepatutnya mempercayai bahawa Allah itu esa, tetapi kita sekutukan Allah SWT dengan sesuatu selainNya. Contohnya makan harta anak yatim, membunuh orang lain – merupakan kezaliman terhadap manusia lain, merosakkan kehidupan mereka. Contoh lagi ialah seperti sihir – selain merosakkan Aqidah dengan kita meminta pertolongan Jin, ia juga biasanya digunakan untuk memporak perandakan kehidupan orang lain. Contoh lain seperti zina, boleh membawa penyakit seperti AIDS dan HIV, merosakkan keturunan, mencalarkan maruah kehidupan.

Dosa besar itu dinamakan besar kerana kesannya yang tidak kecil.

Contohnya riba. Kita sendiri hidup dalam sistem yang mengamalkan riba hari ini. Kita dapat melihat bagaimana sistem ini menekan dan tidak adil. Bahkan secara globalnya, sistem riba ini ialah sistem yang akan meruntuhkan kehidupan sosial. Duit tercipta secara tiba-tiba di atas hutang, dan membawa kepada ketidak stabilan, membawa kepada kehidupan yang menekan dan boleh menyeret manusia kepada huru-hara.

 

 

Dosa Kecil

Dosa kecil pula secara ringkasnya ialah perkara selain daripada dosa-dosa besar. Ianya sesuatu yang melanggar batas syariat tetapi tidak diancam langsung dengan neraka.

Contohnya melihat aurat orang lain. Buang sampah merata-rata. Membazir. Buang masa. Mendengar perkara yang tidak syara’ – contohnya lagu-lagu yang melalaikan.

Kita dapat lihat kewujudan kategori dosa kecil ini di dalam Al-Quran dan hadith.

“Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya. (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya.” Surah An-Najm ayat 31-32.

Di dalam ayat ini dinyatakan bahawa dosa itu ada dua pecahan. Besar dan kecil.

“Solat lima waktu dan solat Jumaaat ke Jumaat berikutnya adalah penghapus untuk dosa antara keduanya, selama tidak melakukan dosa besar.” Hadith Riwayat Bukhari.

Solat lima waktu, dan solat Jumaat ke Solat Jumaat yang berikutnya(yakni bila kita tidak meninggalkan solat), akan menjadi penyebab untuk gugurnya dosa-dosa selain dosa-dosa besar.

Dosa kecil mudah diampunkan berbanding dosa besar. Bukanlah kerana adanya dosa yang susah untuk diampunkan oleh Allah SWT kerana tiada apa yang dapat menyusahkan Allah SWT. Tetapi dosa kecil itu impaknya kecil, kesannya tidak meluas. Maka ianya gugur dengan mudah melalui amal-amal kebaikan, istighfar dan sebagainya. Kita juga dapat melihat logik mengapa dosa kecil itu boleh digugurkan dengan agak mudah berbanding dosa besar, kerana sebagai manusia, memang sukar kita hendak 100% menjaga mata, tak membazir masa, tak membazir dan sebagainya. Pasti ada kita terlakukannya, baik sengaja atau tidak sengaja. Kerana kita manusia, bukan robot atau malaikat.

Besar kasih sayang Allah SWT dalam meringankan bebanan manusia.

Bukanlah bermakna dosa kecil itu tidak mengapa kita lakukan. Mestilah juga sebagai Muslim yang baik, kita berusaha sehabis baik untuk menjauhinya dan mengelakkannya.

Dosa kecil juga, jika kita lakukannya tanpa penyesalan, tanpa rasa insaf, tanpa rasa mahu berubah, kita lakukannya dengan rasa berbangga, mengajak pula orang lain menyertai kita untuk sama-sama melakukannya, maka ia akan jatuh menjadi dosa besar juga.

“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” Hadith riwayat Al-Baihaqi.

 

Cara sepatutnya kita memandang dosa

Bila berbicara berkenaan dosa, mahu tidak mahu saya pasti akan teringat dengan Dr Asyraf Bani Kinanah, pensyarah di Kuliyah Syariah, Yarmouk University, Jordan. Saya berkesempatan menjadi anak muridnya dalam beberapa mata pelajaran.

Pada satu hari, Dr Asyraf memulakan kelas dengan tazkirah berkenaan dosa. Dan apabila beliau membicarakan berkenaan dosa, mengingatkan kami akan ancaman Allah SWT, menyedarkan kami akan kesan dosa terhadap jiwa, mental dan fizikal, seterusnya bagaimana dosa boleh merosakkan sesebuah komuniti, masyarakat dan negara, memang terasa berat sungguh perbuatan dosa ini. Hingga saya sendiri yang mendengar ketika itu, merasakan seakan-akan tiada dosa yang boleh dikategorikan sebagai dosa kecil. Ya, kerana seriusnya Dr Asyraf berpesan kepada kami agar tidak memandang enteng terhadap dosa.

Dan kebetulan, seorang pelajar mengangkat tangan dan bertanya:

“Wahai doktor, jadi di manakah dosa-dosa kecil?”

Jawapan Dr Asyraf kemudian amat-amat memberikan kesan kepada diri saya.

Dr Asyraf Bani Kinanah menjawab: “Mengapa? Apakah engkau hendak melakukannya?”

Jawapan itu memberikan pukulan kepada saya, kerana jiwa saya seperti tersedar dari lena yang panjang. Ya, dosa kecil itu pun dosa. Apakah hanya kerana ianya dosa kecil, maka kita kata: “Alah, tak mengapa.” Lantas kita sengaja memilih untuk melakukannya?

“Malam ni nak tengok cerita lucahlah. Alah, tak apa, dosa kecil sahaja.”

“Esok nak membazir duitlah. Alah tak apa, dosa kecil sahaja.”

“Kejap lagi lepas makan coklat ni, sampahnya aku nak buang aja di tepi jalan. Alah, tak apa, dosa kecil sahaja.”

Apakah begitu mentaliti seorang yang hendak mencari redha Allah SWT?

Jawapan Dr Asyraf benar-benar mengubah perspektif saya ketika itu, sehingga ke hari ini. Memang antara kisah wajib yang akan saya ulang dan ulang dan ulang, apabila berbicara berkenaan dosa.

Mahu tidak mahu, saya perhatikan, sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh memandang entang terhadap dosa. Ini juga selari dengan pesanan Rasulullah SAW di dalam hadith berkenaan perbezaan antara orang beriman dan ahli maksiat dalam memandang dosa.

“Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” Hadith riwayat Bukhari.

Pada saya, dosa besar dan dosa kecil itu hanyalah kategori berdasarkan kesan. Bila kesan penderhakaan itu besar, maka jadilah ia sebagai dosa besar. Apabila kesannya kecil, maka jadilah ianya dosa kecil. Sebab itu biasa kita lihat, tiada sebenarnya penentuan tuntas akan apakah itu dosa kecil. Kerana akhirnya, dosa kecil itu juga kerosakan, tinggalnya impaknya tidak besar jika dibuat mungkin sekali dua. Tetapi bila dibuat berkali-kali, akan ada kesan buruk yang mengakar, sekaligus akhirnya memberikan kesan yang mungkin sama sahaja seperti perbuatan dosa besar.

Maka sebagai Muslim, hendaklah kita peka dan sensitif berkenaan dosa, walaupun pada kategorinya mungkin ia diletakkan di dalam senarai dosa kecil. Apatah lagi jika ianya memang sudah jelas diklasifikasikan sebagai dosa besar.

Sama-samalah kita kembali meneliti kehidupan kita, untuk mempertingkatkan kualitinya dan bergerak ke arah yang lebih baik insyaAllah.

Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Hubungan Antara Manusia & Dosa

Haji-dan-Umroh-2013

 

Rakan-rakan pembaca yang saya muliakan kerana Allah SWT.

Kadang mungkin kita mempersoalkan, akan mengapakah kita melakukan dosa? Mengapa manusia itu seakan begitu rapuh untuk mengelak daripada dosa? Mengapa mesti semua manusia itu, melakukan dosa?

Sampai kadangkala, ada antara kita yang terlalu memikirkan hal ini, sehingga mereka menjadi sesal dilahirkan sebagai manusia. Rasa terperangkap kerana dilahirkan. Perasaan ini menyerang kerana dirasakan sebagai manusia, kita tidak akan sesekali terlepas dari berbuat dosa, dan seakan mustahil untuk kita menjadi suci. Apakah kita hanya akan berakhir di neraka?

Jangan panik. Kadangkala syaitan pantas mengajak kita untuk melihat pengakhiran yang buruk, menimbulkan syak wasangka kepada Allah SWT seakan Dia itu sangat zalim, hingga muncul lah rasa putus asa dan kecewa dalam peribadi kita.

Marilah kita sama-sama berusaha mendalami terlebih dahulu akan hubungan antara manusia dan dosa, berusaha perlahan-lahan, menjawab satu persatu persoalan yang menyenakkan akal kita, menganggu ketenangan jiwa kita.

 

Fitrah Manusia

Jika kita melihat kepada penciptaan malaikat, kita memahami bahawa para malaikat itu adalah makhluk Allah SWT yang paling taat.

Mereka diciptakan daripada cahaya. Sering kita padankan cahaya itu dengan perkara yang agung seperti kebenaran, keindahan, kecantikan, sesuatu yang menakjubkan.

Sabda Rasulullah SAW: “Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari api yang menyala-nyala dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan (ciri-cirinya) untuk kalian” Hadith Riwayat Muslim.

Padanlah para malaikat diciptakan daripada cahaya, kerana fitrah penciptaan mereka adalah semata-mata untuk patuh kepada Allah SWT, tanpa diberikan pilihan untuk membuat tindakan yang lain.

Allah SWT berfirman: “Wahai Orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu. Di dalamnya ada para malaikat yang sangat keras, tidak pernah berbuat kemaksiatan terhadap perintah Allah dan senantiasa melaksanakan apa yang diperintahkannya.” Surah At-Tahrim ayat 6.

Tingginya ketaatan malaikat itu jelas tergambar di dalam ayat 6 Surah At-Tahrim ini. Yakni apabila mereka itu diarahkan untuk bersikap keras dengan manusia yang dilemparkan ke neraka, mereka tetap patuh dan tidak akan sesekali ingkar.

Apatah lagi dalam situasi-situasi yang lain.

“Dan hanya kepada Allah apa-apa yang ada di langit, di bumi dari jenis binatang dan Malaikat, mereka bersujud dalam kondisi tidak sombong. Mereka takut kepada Tuhan-Nya yang di atas dan mengerjakan apa yang diperintahkan.” Surah An-Nahl ayat 49-50.

Malaikat tidak diciptakan dengan nafsu dan kehendak. Mereka tidak berkahwin dan tidak juga memerlukan makan minum.

Berlainan dengan manusia, fitrahnya diciptakan dengan hawa nafsu. Manusia mempunyai kehendak. Di dalam kehidupan manusia, mereka dibentangkan pilihan-pilihan sama ada untuk berbuat baik atau berbuat jahat, memilih yang benar atau yang batil.

Allah SWT berfirman: “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.” Surah Asy-Syams ayat 7-8.

Contoh mudah, manusia punya kehendak untuk makan. Tetapi manusia itu perlu pula membuat pilihan antara makanan yang halal dan makanan yang haram. Seterusnya, manusia itu perlu pula membuat pilihan sama ada mahu makan dengan sekadarnya, atau makan dengan berlebih-lebihan.

Apabila berhadapan dengan makanan yang lazat lagi sedap, atau mungkin makanan yang menarik dan menggoda, mungkin sahaja manusia, dek kerana dipandu oleh kehendaknya untuk makan tadi, bergerak melampaui batas, memilih makanan yang haram, atau pun makan dengan berlebih-lebihan.

Malaikat tidak mempunyai masalah ini, kerana malaikat langsung tidak punya nafsu makan. Tetapi manusia diciptakan sedemikian rupa, maka manusia berhadapan dengan ujian untuk sentiasa membuat pilihan yang terbaik buat dirinya. Manusia perlu mengawal nafsunya, untuk tunduk agar tidak merosakkan dirinya.

Untuk kebaikan manusia, maka Allah SWT menurunkan peringatan-peringatan, petunjuk-petunjuk. Contohnya, di dalam bab makanan, Allah SWT mengarahkan manusia agar memilih makanan yang halal lagi baik, dan daripada kehidupan Rasulullah SAW, kita belajar untuk makan dengan kadar yang berpatutan. Semuanya untuk kebaikan manusia itu sendiri. Begitulah juga keadaannya dalam sudut-sudut lain kehidupan seorang insan.

Dan manusia perlu membuat pilihan, sama ada mahu membuatkan nafsunya tunduk kepada perintah Allah SWT dan contoh tauladan Rasul tadi, atau dia hidup menjadi hamba kepada nafsunya sendiri. Jika dia memilih untuk mengikuti hawa nafsunya, memilih jalan yang batil, memilih apa yang selain Allah SWT perintahkan, di sana dia telah melakukan dosa.

Sambungan kepada ayat Surah Asy-Syams tadi:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah Asy-Syams ayat 9-10.

 

Mengapa Fitrah Manusia Sedemikian Rupa?

Mungkin ada daripada kalangan rakan-rakan yang mempersoalkan akan mengapa fitrah manusia dibentuk oleh Allah SWT sedemikian rupa? Mengapa manusia perlu ada hawa nafsu, perlu membuat pilihan antara kebenaran dan kebatilan? Mengapa tidak sahaja manusia ini diciptakan seperti malaikat, agar sentiasa taat dan tidak punya pilihan untuk membantah?

Rakan-rakan yang saya kasihi,

Lama sebenarnya saya merenung persoalan-persoalan tersebut. Yalah, sebagai seorang manusia yang punya kekurangan, yang pernah melakukan dosa dan mungkin sahaja akan melakukan dosa, pastinya saya mengidamkan kehidupan di mana saya tidak perlu berhadapan dengan kemungkinan untuk masuk neraka. Pastinya saya berharap, agar saya diciptakan suci seperti malaikat, dan tidak punya pilihan langsung untuk berbuat kesalahan!

Tetapi dalam renungan saya itu, saya bertemu dengan beberapa hakikat. Antara saya lihat, manusia itu adalah makhluk utama dalam sejarah dunia ini. Manusia itu diciptakan, untuk menjadi pentadbir kepada bumi.

Firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Surah Al-Baqarah ayat 30.

Kemudian, apabila Allah SWT menciptakan Adam, Allah telah memerintahkan para Malaikat untuk sujud kepadanya, sebagai tanda penghormatan tertinggi yang Allah SWT berikan kepada makhluk bernama manusia ini.

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” Surah Al-Baqarah ayat 34.

Kita diberikan nafsu, ruang untuk berbuat pilihan, kerana kita ditugaskan untuk memakmurkan bumi. Kita perlu beranak pinak, kita perlu memanfaatkan apa yang ada di bumi untuk penerusan hidup – makan, minum, membina rumah, membina komuniti dan lain-lain. Malaikat dengan fitrahnya tidak akan mampu memakmurkan bumi. Tetapi manusia mampu.

Kita dijadikan watak utama di pentas dunia ini. Perhatian utama Allah SWT adalah kepada kehidupan insan. Kepada manusialah diturunkan kitab-kitab, para Rasul, petunjuk untuk menjadikan kehidupan mereka teratur dan baik. Allah SWT tidak menurunkan kitab atau rasul kepada para malaikat. Bahkan malaikat itu sendiri antara tugasannya adalah untuk mengiringi kehidupan manusia – mencatit amalan mereka, menurunkan rezeki untuk mereka, mendoakan mereka, berjihad bersama mereka dan pelbagai lagi.

Maka tidak hairanlah kita apabila Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuknya yang terbaik.” Surah At-Tin ayat 4.

Memang kita melihat, ketidak mampuan kita untuk menahan godaan, menundukkan hawa nafsu, serta kemungkinan untuk kita memilih sesuatu yang buruk itu, sebagai kekurangan dan kelemahan seorang manusia. Serta kemungkinan untuk kita dilemparkan ke neraka itu, sering membuatkan kita tidak senang dan gelisah.

Namun bila difikirkan semula akan peranan kita dalam kewujudan ini, kita melihat bahawa itu semua hakikatnya penting untuk wujud di dalam kehidupan seorang insan.

Dan kita mengambilnya sebagai ujian yang perlu dimenangi.

Agar mendapat pengakhiran yang menyenangkan.

Yakni syurga yang kekal abadi.

 

Syaitan

Allah SWT juga mewujudkan untuk manusia itu syaitan. Ada banyak pihak yang membahaskan akan asal usul syaitan. Dan saya sarankan rakan-rakan pembaca memperbanyakkan pembacaan berkait hal ini daripada pelbagai sumber. Namun sekadar ilmu saya yang tidak seberapa ini, dan sedikit berdasarkan pengajian di Yarmouk University, apa yang kita panggil sebagai syaitan itu hakikatnya adalah kaum jin yang derhaka kepada Allah SWT, dan bertindak memfokuskan kehidupan mereka untuk menyesatkan manusia.

Pensyarah saya di Yarmouk University, untuk mata pelajran Madkhal Ila Aqidah(mata pelajaran asas untuk ilmu Aqidah), Dr Samirah Tohir pernah menyatakan bahawa kalimah syaitan itu berasal dari perkataan ‘sya-to-na’, yang membawa maksud ‘bu-ngi-da’ – yakni bermaksud menjauhkan. Maka syaitan itu ialah apa-apa yang bertindak hendak menjauhkan kita daripada Allah SWT. Kerana itu, Dr Samirah Tohir menambah, Allah SWT mengajarkan dalam Surah An-Nas doa untuk kita berlindung dari hasutan jahat jin dan manusia.

“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, dari kalangan jin dan manusia.” Surah An-Nas ayat 3-4.

Kewujudan syaitan ini, yakni para penghasut ke jalan keingkaran ini, bermula dengan penderhakaan Iblis. Penderhakaan Iblis itu bermula dengan keengganannya untuk mematuhi perintah Allah SWT, yang mengarahkan agar para malaikat sujud kepada Adam.

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” Surah Al-Baqarah ayat 34.

Menurut ayat ini, ada yang berpendapat bahawa Iblis itu salah satu dari kalangan malaikat. Namun apabila kita padankan dengan ayat-ayat lain di dalam Al-Quran, ternyata Iblis bukan dari kalangan malaikat. Kerana dia mengakui bahawa dia diciptakan daripada api – yakni usul penciptaan Jin.

“Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahkannya kepadamu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah. Allah berfirman: Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.” Surah Al-A’raf ayat 12-13.

Maka semenjak itu, Iblis berazam untuk menyesatkan manusia.

“Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” Surah Al-A’raf ayat 14-17.

Maka selain hawa nafsu yang memang menjadi sebahagian dari fitrah penciptaan manusia, Allah SWT memberikan lagi ujian dalam bentuk syaitan yang menggoda. Syaitan dan Iblis ini tugasnya adalah untuk menyesatkan insan dengan bisikan-bisikan, cadangan-cadangan yang menyesatkan. Mereka mengambil kesempatan atas kewujudan hawa nafsu yang ada pada diri manusia tadi, untuk menolak manusia ke batas-batas yang tidak sepatutnya dilanggar.

Dan ini juga adalah antara puncanya mengapa manusia itu tidak dapat melepaskan diri dari melakukan dosa. Ada makhluk yang kerjanya 24 jam sehari, 7 hari seminggu, berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa manusia ke jalan keingkaran dan penderhakaan.

Maka pastinya, akan ada hari dan waktunya, kita jatuh tersungkur.

 

Wawasan Kehidupan Insan

Rakan-rakan, berdasarkan subtopik yang telah saya bentangkan, kita sepatutnya menjadi faham akan hubungan antara manusia dan dosa. Kita tidak akan terlepas daripadaya. Pasti ada kekurangannya. Tambah-tambah, perbuatan dosa itu sendiri tidak terhad pada perkara-perkara fizikal. Bisikan-bisikan rasa meninggi diri, rasa ujub dan riya’, itu semua mendatangkan dosa.

Memang mustahil untuk seseorang itu menjadi suci. Kecuali bagi mereka yang benar-benar Allah SWT tetapkannya untuk menjadi maksum, seperti Rasulullah SAW.

Memang sudah pasti akan ada yang bersedih kerana memikirkan bahawa dirinya tidak akan terlepas daripada dosa. Jika dirinya sudah berjaya bertaubat pun, tiada jaminan yang menyatakan bahawa dirinya tidak akan tersungkur semula. Ini kadangkala membuatkan manusia kecewa dan berputus asa. Hingga mungkin ada yang mempersoalkan, akan mengapa Allah SWT menciptakannya? Apakah hanya untuk dirinya dilemparkan ke neraka?

Rakan-rakan yang saya kasihi, di sinilah pentingnya untuk kita benar-benar mengenali Allah SWT. Persoalan yang mesti kita tanya kepada diri kita, apakah Allah SWT itu zalim? Tidak sesekali.

Renungilah hadith qudsi berikut.

Daripada Abu Dzar Al Ghifari RA, daripada Rasulullah SAW, sebagaimana baginda riwayatkan daripada Rabbnya Azza Wajalla bahawa Dia(Allah) berfirman: “Wahai hambaKu, sesungguhya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diriKu dan Aku telah menetapkan haramnya (kezaliman itu) di antara kalian, maka janganlah kalian saling berlaku zalim. Wahai hambaKu semua kalian adalah sesat kecuali siapa yang Aku beri hidayah, maka mintalah hidayah kepadaKu niscaya Aku akan memberikan kalian hidayah.” Hadith Qudsi Riwayat Muslim.

Ya, menariknya hadith qudsi ini adalah apabila Allah SWT melaungkan bahawa Dia telah mengharamkan kezaliman terhadap diriNya sendiri. Bermakna, Allah SWT itu tidak akan sesekali berlaku tidak adil kepada manusia. Apabila kita meneruskan pembacaan hadith tersebut, Allah SWT telah memaklumkan juga pada hadith yang sama, bahawa Dia itu pemberi hidayah, maka diarahkan olehNya agar kita meminta hidayah daripadaNya.

Keadilan Allah SWT, dalam menciptakan manusia itu bersama kekurangannya, bersama hawa nafsu yang perlu ditundukkan, bersama godaan syaitan yang perlu ditewaskan, tidak pula Dia tinggalkan kita terkapai-kapai.

Dia menyeru agar kita meminta bantuanNya. Meminta petunjuk. Meminta hidayah. Di dalam hadith yang sama juga, Allah SWT sebut perkara berikut:

“Wahai hamba-Ku kalian semuanya melakukan kesalahan pada malam dan siang hari dan Aku mengampuni dosa semuanya, maka mintalah ampun kepada-Ku niscaya akan Aku ampuni.” Hadith Qudsi Riwayat Muslim.

Ya, Allah SWT sediakan juga ruang untuk meminta ampun, Allah SWT membuka peluang untuk kita membersihkan dosa-dosa kita.

Maka mengapa kita berkeluh kesah? Mengapa kita perlu rasa bahawa kita diciptakan untuk dilemparkan ke neraka?

Allah telah memilih kita untuk menjadi watak utama dalam sejarah penciptaan dunia, bumi diciptakan untuk kita tadbir dan seluruh isinya adalah untuk kita manfaatkan, malaikat diciptakan untuk mengiringi kita, syaitan diciptakan untuk menjadi musuh kita, maka mengapa kita perlu merasakan Allah itu sengaja hendak membebani kita?

Saya suka memikirkan bahawa, Allah SWT itu memilih kita untuk tercipta, adalah untuk kita dapat masuk ke syurgaNya. Ya, mengapa kita tidak boleh bersangka baik sedemikian rupa?

Bukankah itu lebih positif?

Bukankah itu sepatutnya menjadi wawasan kehidupan kita?

Jika kita tidak diciptakan, memang kita tidak akan ada kemungkinan untuk masuk ke neraka, tetapi pada masa yang sama, kita juga rugi kerana langsung tidak punya peluang ke syurga. Kita langsung tiada. Hatta untuk membuat pilihan! Apakah maknanya?

Maka sekarang Allah SWT telah menciptakan kita. Ya, kita ada kemungkinan untuk masuk ke neraka. Tetapi mengapa mesti fokus pada yang negatif? Bersangka baiklah kepada Allah SWT, dan jadikan syurga sebagai wawasan hidup!

Maka kita mulalah merancang untuk memilih yang baik, bertaubat bila berdosa, bangkit semula bila jatuh, positif dengan Allah SWT dan tidak berputus asa!

Tidakkah kita melihat itu akan mencorakkan kehidupan kita menjadi lebih baik?

Itulah dia maknanya semua ini!

Dosa hanya sebuah halangan untuk dilepasi. Ianya bukan sebuah hukuman mati!

Muhasabah!

 

==============================

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

Ayat Al-Quran Pilihan – Surah Ghafir Ayat 60

tumblr_m17sficywh1r0k06jo1_1280

Berdoa. Nampak seperti perkara yang remeh. Ungkapan permintaan kepada Tuhan.

“Alah, bila-bila boleh diusahakan.”

Benar. Di dalam Islam, untuk berdoa, untuk memohon kepada Tuhan, tidak mesti berada di dalam rumah ibadah, tidak mesti kena berada di atas sejadah, tidak perlu bayar apa-apa, dan tak mesti perlu korbankan binatang atau sesiapa. Terus sahaja berdoa, meminta kepada Allah SWT. Tidak ada hijab, tiada birokrasi, tiada orang tengah.

Namun, ibadah yang amat mudah ini sering dilayan dengan tidak sepatutnya. Dipandang enteng akan besarnya ia. Dan kadangkala, dilihat dari perspektif yang tidak benar. Lantas menimbulkan pelbagai kekeliruan.

Maka di dalam artikel ini kita cuba mentadabbur ayat ke-60 di dalam Surah Ghafir.

Allah SWT berfirman:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.

Continue reading