Ahad, 26 Mei 2013   |   16 Rejab 1434H   |   17 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Himmah » Himmah : Sebening Cinta Untuk Seorang Kekasih

About The Author


Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 101

Himmah : Sebening Cinta Untuk Seorang Kekasih

~ Picture by IbnuFuad of LangitIlahi

 

Di saat dunia heboh dan bising dengan isu filem yang menghina Nabi s.a.w., kita sendiri, sebagai umat Islam lebih tahu bagaimana sepatutnya kita berdepan dan merespon dengan isu ini. Filem ini tidak lain hanya sebagai satu provokasi untuk menimbulkan lagi kemarahan umat Islam.

Tetapi, kita yang lebih mengenali siapa Rasul kita, siapa sahabat-sahabat yang berada di tepi baginda ketika hayatnya, maka membalas semula provokasi ini dengan keganasan atau tindakan seumpama itu  hanya akan mencemarkan lagi sirah perjuangan mereka ini.

Kita berbangga mempunyai seorang Rasul seperti baginda s.a.w. Tetapi kebanggaan itu tidak akan ke mana kalau kita tidak berusaha mencontohi akhlak dan peribadi baginda.

Kita tahu betapa cintanya para sahabat kepada Rasul s.a.w. Amatlah mustahil cinta sebesar ini dapat disemai dengan kuasa, pangkat dan wanita. Amatlah mustahil. Maka, di saat filem yang menghina Rasul s.a.w. ini tersebar, kita sendiri sudah memiliki bukti kukuh bahawa baginda bukanlah orang yang sedemikian.

Mana mungkin cinta sahabat kepada Rasul s.a.w. yang menjalar di dalam hati mereka itu timbul dari kepura-puraan sehingga mampu menghasilkan pengorbanan dan kecintaan yang luar biasa. Kita bisa berkata cinta kepada Rasul, tetapi kita belum tentu bisa mengotakan cinta itu. Tetapi para sahabat, mereka benar-benar cinta dan telah mengotakannya.

Bukan hanya dengan harta dan masa, bahkan jiwa mereka sendiri.

 

Kecintaan Yang Tidak Dipaksa, Bahkan Lahir Tulus Dari Dalam Jiwa

Seorang lelaki cinta kepada seorang perempuan, apakah perasaan cinta itu lahir dari sebuah paksaan atau sogokan?

Tidak. Paksaan tidak akan melahirkan cinta. Begitu juga sogokan. Kita mungkin boleh menyogok manusia dengan wang dan kedudukan, tetapi untuk memastikan di dalam hati mereka ada setulus cinta untuk kita, itu belum pasti. Mereka mungkin suka berada dekat dengan kita, tetapi bukanlah benar-benar kerana diri kita, kadang-kadang kerana wang dan kedudukan yang ada pada kita.

Hakikatnya, mereka tidak cinta pada kita, tetapi cinta pada apa yang ada pada kita.

Habis harta kita, hilang kedudukan kita, maka pudarlah segala perasaan yang kononnya dahulu dikatakan sebagai cinta itu.

Cinta tidak bisa dipaksa. Ia lahir tulus dari dalam jiwa. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat atau direka-reka.

Maka, begitulah cinta para sahabat terhadap Nabi s.a.w. Ia bukan sebuah paksaan melalui kekuasaan atau wanita. Ia adalah perasaan yang terbit dari keikhlasan dan ketulusan cinta seorang sahabat kepada sahabatnya.

Nabi s.a.w. mendekat mereka bukanlah dengan harta mahupun wanita apatah lagi melalui kedudukan. Nabi mendekati mereka sebagai seorang sahabat. Bercakap kepada mereka umpama seorang kawan. Nabi tidak minta diagungkan, tetapi kerana kemuliaan akhlak Nabi, maka para sahabat menganggap Nabi adalah bintang yang bersinar di dalam hati mereka.

Bila hilangnya Nabi, seolah-olah itu adalah satu kehilangan yang besar. Bahkan lebih besar dari kehilangan keluarga mereka sendiri.

Pernah selepas tentera Islam pulang dari sebuah peperangan, ada seorang sahabiyah (wanita) bertanya, “Rasulullah bagaimana? Rasulullah bagaimana?”, sedangkan wanita itu mempunyai ahli keluarga yang turut sama menyertai peperangan itu. Tetapi, bukan ahli keluarganya dulu yang ditanya, bahkan Rasulullah s.a.w. dulu yang ditanya. Wanita ini tidaklah mempunyai kaitan atau apa-apa ikatan dengan Nabi s.a.w Bukan juga isteri Nabi s.a.w.

Selepas dijawab dan dikhabarkan bahawa Nabi dalam keadaan baik, maka legalah hatinya.

 

Sebening Cinta Bilal

Saya pernah menukilkan bagaimana dalamnya cinta Bilal terhadap Rasul s.a.w. sehingga selepas pemergian Rasul s.a.w., Bilal terasa kehilangan yang amat besar di dalam jiwanya menyebabkan dia meminta daripada Abu Bakar untuk keluar berhijrah dan berjihad.

Bukan apa, tidak tahan lagi hatinya menanggung kesedihan mengenangkan zaman-zaman ketika bersama Rasul s.a.w.

Rasul s.a.w. seorang yang dicintai sahabatnya. Baginda datang meraikan orang-orang biasa seperti Bilal yang mungkin pada mata masyarakat ketika itu, orang seperti Bilal ini tidak ada harganya. Tetapi, Rasulullah s.a.w. telah memberikan nilai yang sangat tinggi kepada orang-orang miskin dan golongan hamba seperti Bilal menyebabkan Bilal begitu cinta kepada Rasul s.a.w.

Beliaulah muazzin pertama di dalam Islam. Bila Rasulullah penat, Rasulullah akan minta Bilal azan merehatkan jiwa-jiwa mereka dengan kalimat-kalimat membesarkan Allah.

Tetapi, setelah Rasulullah s.a.w. tidak ada, maka kehilangan itu seolah-olah dirasakan seperti kehilangan seluruh dunia. Bilal menanggung hiba yang tidak tertahan lagi sehingga meminta untuk keluar berhijrah dan berjihad.

Makkah, akhirnya sunyi daripada azan Bilal. Buat seketika, azan yang selalu mengiringi zaman semasa mereka berada bersama Rasul s.a.w. sudah tidak kedengaran lagi selepas Bilal keluar dari Makkah.

Lama tidak pulang, akhirnya bila suatu hari Bilal bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w., maka Bilal pun bercadang pulang ke Makkah. Bila Bilal pulang, setelah lama tidak kedengaran azan di zaman-zaman mereka bersama Nabi s.a.w. dahulu, Makkah buat kesekian kalinya bergema semula dengan suara azan Bilal.

Para sahabat yang pernah hidup di zaman Nabi s.a.w. saat mendengar azan itu masing-masing saling bertanya, “Apakah Rasulullah telah hidup semula?”.

Hari itu Makkah basah dengan tangisan para sahabat. Berduyun-duyun para sahabat datang pada hari itu mendengarkan azan Bilal. Mereka terkenangkan zaman ketika mereka bersama Rasul s.a.w. dulu. Penuh kerinduan. Penuh kecintaan.

Dan Bilal, kerana kecintaannya yang begitu mendalam terhadap Nabi s.a.w., tidaklah dapat tertahan hatinya bila sampai saja seruan azannya itu pada kalimah ‘Muhammad’. Hatinya diruntun kesedihan dan kedukacitaan mengenangkan zaman-zaman awal bersama baginda. Baginda adalah orang yang hebat di dalam hati para sahabat.

Bilal berusaha meneruskan azannya, tetapi tetap tidak mampu menghabiskannya. Suaranya tertahan pada kalimah ‘Muhammad’. Tidak mampu lagi diteruskannya.

Sehingga sedemikian hebat kecintaan para sahabat. Mustahil seorang yang dulunya hamba akan mempunyai kecintaan yang begitu mendalam sehingga sebegini rupa jika Muhammad yang digambarkan di dalam filem itu adalah peribadi yang sebegitu, nauzubillah.

Tidaklah sama orang yang mereka-reka cerita dengan orang yang benar-benar memiliki kecintaan yang mendalam di dalam jiwanya.

 

Ini Bukan Sebuah Rekaan, Tetapi Adalah Satu Kebenaran

Rasul s.a.w. datang membawa agama ini bukanlah melalui pedang yang menjadi simbolik kepada keganasan, juga bukanlah datang untuk menyambung budaya Arab jahiliah yang selalu mempergunakan wanita.

Rasul s.a.w. datang membawa simbolik keamanan dan kesejahteraan. Bahkan, sebelum beberapa tokoh dunia memperjuangkan hak wanita lewat beberapa kurun ini, Rasul s.a.w. telah lebih dulu memperjuangkan hak wanita.

Bagindalah yang telah mengangkat nilai wanita menjadi tinggi di saat masyarakat Arab jahiliah ketika itu memandang perempuan ini dengan nilai yang sangat rendah dan hina. Melahirkan seorang anak perempuan adalah satu kehinaan bagi mereka. Sebab itu, tidaklah menghairankan kita jika kita pernah mendengar di kalangan mereka ada yang menanam anak perempuan sendiri.

Tetapi, Rasulullah datang membebaskan semua itu.

Lihatlah bersama perjuangan Rasul s.a.w. Ada srikandi-srikandi gagah yang sentiasa bersama di barisan perjuangan wanita selain isteri baginda sendiri yang sentiasa mengiringi perjuangannya, iaitu Khadijah.

Wanita terawal bersama usaha dakwah Rasul s.a.w. Bersusah-payah bersama Rasul, menjiwai kesusahan yang dialami oleh Rasul. Ketika baginda dalam kerisauan, Khadijahlah teman penenang jiwanya. Memujuk dan memberi rangsangan kepadanya. Ketika dakwahnya ditolak oleh masyarakatnya, Khadijahlah yang memberi semangat kepadanya.

Inilah cinta yang telah ditunjukkan oleh baginda s.a.w. terhadap umatnya menyebabkan para sahabat merasa begitu cinta terhadap baginda Rasul s.a.w.

Baginda meraikan orang di sekitarnya. Menghargai usaha-usaha manusia di sekitarnya. Selalu bergaul dengan lemah-lembut dengan orang di sekitarnya. Maka, siapalah yang tidak jatuh hati melihat peribadi sebegini?

Peribadi ini bukanlah sebuah kepuraan-puraan untuk memancing lebih ramai pengikut, tetapi ia  memang adalah peribadi sebenar baginda. Lantas, dengan peribadi sebenar beginilah menyebabkan manusia jatuh cinta padanya.

 

Penutup : Benarkah Kita Cinta Pada Baginda?

Kalau benar cinta, apakah bukti cinta kita padanya?

Sahabat telah membuktikan cinta mereka. Mereka labuhkan segenap cinta mereka hanya pada Allah dan Rasul sebelum segala sesuatu. Bukan teman wanita atau teman lelaki mendahului cinta mereka terhadap Allah dan Rasul. Tidak juga sanak-saudara dan keluarga mereka. Apatah lagi kabilah mereka.

Abu Bakar, ketika Islamnya ayahnya, Abu Quhafah, beliau tidaklah begitu gembira bila melihatkan Nabi kesedihan teringatkan bapa saudaranya, Abu Talib yang tidak masuk Islam. Sedangkan Abu Quhafah tu ayahnya sendiri, mempunyai pertalian yang lebih dekat dibandingkan dengan Abu Talib. Sepatutnya dia gembiralah dengan Islamnya ayahnya. Tetapi kerana yang sedih itu adalah Nabi s.a.w., maka hati Abu Bakar pun menjiwai perasaan yang sama.

Kita, sampai ke tahap itukah kita menjiwai perjuangan dan kehidupan Rasul s.a.w.?

Apa bukti kita cinta pada baginda? Sudahkah kita berusaha mencontohi akhlak dan peribadi baginda?

Datanglah berapa kali provokasi pun menghina Islam, menghina Nabi s.a.w., tetapi kalau kita sendiri tidak ada apa perubahan pada peribadi kita, maka kita hanya seolah-olah membenarkan apa yang diprovok oleh orang bukan Islam itu.

Kalau benar cinta, usahalah membentuk peribadi kita menjadi seperti baginda atau para sahabat.
Kalau benar cinta, tinggalkanlah segala simbolik keganasan dan keburukan akhlak pada diri kita.

Sebening cinta dari seorang kekasih untuk kekasihnya,
Kerana mengharap dapat bersamanya di syurga sana.

Comments (20)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top