Kehidupan: Ustaz Dahlan bin Mohd Zain Dalam Kenangan.
Kenangan pada tahun 2005 ketika saya Tingkatan 4 bersama Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, di MATRI.
Hari ini 18hb September 2012. Pada 18hb September 2010, hari itu sepatutnya merupakan hari yang gembira buat saya. Kerana pada hari itu, saya bertunang dengan isteri saya sekarang ini. Namun, semasa diri saya sedang gembira mempersiapkan apa yang patut untuk urusan pertunangan pada pagi hari itu, SMS masuk ke dalam telefon bimbit saya.
“Hilal, Ustaz Dahlan nazak.”
Jiwa sedikit resah, berdoa agar umur Ustaz Dahlan dipanjangkan. Tetapi Allah SWT itu lebih berkuasa atas segala-galanya, masuk ke dalam kantung inbox saya satu lagi SMS, dan kemudiannya bertali arus SMS yang sama, berbunyi:
“Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji’un. Ustaz Dahlan yang kita kasihi telah meninggalkan kita. Dia telah meninggal dunia.”
Terus saya berkata kepada Ummi dan Abah saya: “Ummi, Abah, habis sahaja urusan pertunangan ni, Hilal pergi Perlis terus ya?”
Dan keizinan diberikan. Usai sahaja majlis pada waktu tengahari, saya bergegas memandu kereta Ummi, pergi ke Perlis, tempat Ustaz Dahlan bersemadi.
Lebih ini tahun kedua tarikh itu datang selepas Ustaz Dahlan tiada. Izinkan saya mengambil slot kehidupan ini, bagi mengenang dirinya.
Moga-moga ada manfaatnya buat kita semua.
Kali Pertama Dirapati Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain
Bagi yang mengikuti saya semenjak awal saya menjadi penulis, akan perasan saya sering menulis berkenaan Ustaz Dahlan bin Mohd Zain. Siapakah Ustaz Dahlan? Beliau merupakan mudir tempat saya menuntut ilmu selama 7 tahun di Perlis. Mudir kepada Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis.
Saya yang merupakan anak jati Negeri Johor, dihantar merantau merentas negeri-negeri di Malaysia ke Perlis, hanya kerana Abah ingin saya meneguk mutiara daripada peribadi ini. Abah yang mengenali Ustaz Dahlan, mengagumi syakhsiah dan fikrahnya, lantas berharap agar saya mampu mendapat barang seteguk dua hikmah dari susuk tubuh yang hebat itu.
Namun kalau saya masuk ke sana sebagai tingkatan satu, saya sekadar memandang Ustaz Dahlan dari jauh sahaja tanpa merapatinya. Mendengar penyampaian mingguannya bertajuk ‘peribadi mukmin’ semasa perhimpunan, yang kadangkala saya tertidur di tengah-tengahnya. Ketika itu, saya tidak melihat apa istimewanya peribadi ini sehingga dikagumi Abah, dan dihormati ramai orang. Kerana saya tidak rapat dengannya.
Tetapi pada satu hari, tahun 2004, Allah izin saya menjadi petugas menguruskan majlis berbuka puasa besar-besaran yang dihadiri ibu bapa di MATRI. Tugas saya adalah mengangkat cawan dan talam, menyusun dan mengedarkan makanan, juga menguruskan apa yang patut. Ketika itu ada air tumpah di atas tempat duduk. Saya pantas mengelapnya. Tanpa saya sedar, rupa-rupanya Ustaz Dahlan ada berdekatan di tempat itu.
Kemudian, ketika sesi makan-makan, Ustaz Dahlan yang duduk bersama rakan-rakan veterannya memanggil saya untuk makan bersamanya.
“Hilal, duduk sini.” Saya masih ingat Ustaz melambai di tengah-tengah ramai.
Saya yang ketika itu sudah berbau masam kerana berpeluh melakukan pelbagai kerja, memegang baju saya dan berkata: “Ana busuk la ustaz.”
“Tak apa, mai sini. Makan.”
Dan saya duduk bersama Ustaz Dahlan, makan setalam dengannya, bersama rakan-rakannya yang jauh lebih tua. Itu pertama kali saya benar-benar berada rapat dengan Ustaz Dahlan. Dia bukan pengetua yang ekslusif di dalam majlis-majlis. Dia mampu duduk bersama dengan saya, petugas yang ketika itu busuk baunya, kerana mahu menghargai saya mengelap air yang tumpah tadi, sambil bertaaruf dengan lebih rapat ke atas saya.
Ustaz Dahlan Yang Menawan Hati.
Semenjak peristiwa pada tahun 2004 itu, saya memang rapat dengan Ustaz Dahlan. Apatah lagi isteri Ustaz, ‘Ummi’ Halimaton(meninggal tahun 2009) sudah seperti ibu angkat saya kerana saya kerap memasuki pertandingan syarahan manakala Ummi adalah guru Bahasa Melayu.
Ketika saya berada di tingkatan enam atas, Ummi Halimaton ada dimasukkan ke dalam hospital atas rawatan mata. Sepanjang Ummi Halimaton di hospital, saya dan rakan-rakan menjaga Ustaz Dahlan di rumah. Di situ, lebih terserlah akhlak Ustaz Dahlan.
Ustaz Dahlan yang tua itulah yang memasak untuk kami apabila dia melihat kami tercengang-cengang tak tahu nak masak apa. Ustaz Dahlan itulah yang bangun lebih awal, dan mengejut kami. Ustaz Dahlan jugalah yang walaupun dihalang dengan keras oleh kami, tetap naik ke tingkat dua rumahnya mengemaskan bilik untuk kami tidur. Ustaz Dahlan jugalah yang tiba-tiba hilang di pagi hari, dan kembali ke rumah dengan membelikan nasi lemak untuk kami sarapan. Sedangkan kami yang ditugaskan untuk menjaganya.
Saya masih ingat kala saya sudah menjadi penulis, dan menulis di Majalah ANIS, ketika saya pulang bercuti pada tahun 2010, tahun kematian Ustaz. Saya menziarahi Ustaz yang semakin tenat ketika itu. Kelihatan Ustaz melunjur di atas katil, baru sahaja meletakkan Majalah ANIS di sisinya. Saya di dalam hati rasa hairan: “Ustaz baca Majalah ANIS?” Sebab saya tahu Ustaz Dahlan tidak membaca majalah itu.
Akhirnya saya bertanya: “Ustaz, Ustaz baca Majalah ANIS juga?”
Dan saya masih ingat jawapannya yang meruntun hati saya ketika itu: “Ana baca sebab enta ada tulis artikel dalam tu.”
Ustaz Dan Staf-staf MATRI.
Pada tahun 2012, saya telah tamat pengajian. Saya berazam untuk perlahan-lahan memulakan langkah menulis Buku bertajuk “Murabbiku Dalam Kenangan: Ustaz Dahlan bin Mohd Zain” sebagai tanda kasih dan hormat saya kepada beliau. Maka di dalam perjalanan saya untuk menghasilkan buku tersebut, saya kembali ke MATRI dan menemubual beberapa orang guru.
Pelbagai perkongsian diceritakan. Pelbagai pengalaman dikongsikan oleh guru-guru saya itu.
Namun ada beberapa similariti apabila mereka berbicara berkenaan Ustaz Dahlan.
Antaranya adalah, mereka pasti akan menceritakan bahawa Ustaz Dahlan bukan orang yang suka mengarah. Ustaz Dahlan akan lebih suka mengajak berbincang dan mengajak sahabat-sahabatnya menyuarakan pandangan.
Mereka juga pasti akan menceritakan kesabaran dan hikmah Ustaz dalam mengikis karat-karat jahiliyyah di dalam kehidupan mereka. Antara orang kanan Ustaz Dahlan, Cikgu Mohd Abduh, menceritakan bagaimana Ustaz Dahlan sentiasa berusaha datang lebih awal dari masa yang dijanjikan, dan jarang dia berkata jangan ini dan jangan itu, tetapi dia lebih senang menunjukkan yang dia meninggalkan perbuatan itu.
Mereka juga kebanyakannya memandang Ustaz dengan pandangan yang tinggi. Bagi yang umur berdekatan dengan Ustaz Dahlan, mereka melihatnya sebagai Abang. Dari kalangan guru saya yang lebih muda, mereka ramai melihat Ustaz Dahlan sebagai ayah. Ketika saya menemubual seorang lagi guru saya, Cikgu Azmi Bahari, beliau berkata:
“Bila Ustaz Dahlan hilang, seakan hilangnya satu figur yang mampu memahami benak hati kami semua.”
Dan saya memang tidak menafikan kata-kata serta pandangan guru-guru saya tadi kerana saya sendiri melihat bagaimana santunnya Ustaz Dahlan melayan staf-staf MATRI. Antara yang menyentuh hati saya adalah bagaimana Ustaz Dahlan, setiap kali mahu keluar makan sarapan, dia tidak akan pernah lupa mengajak Pak Man, tukang kebun MATRI.
Pak Man akan diajak, walaupun Pak Man berpeluh-peluh, masuk ke dalam Volvo Ustaz Dahlan, dan dibawa menjamah sarapan. Saya pernah bertanya Pak Man yang juga telah berumur itu, mengapa dia masih lagi susah payah bekerja membersihkan MATRI dan tidak berehat sahaja di rumah. Pak Man menjawab ketika itu:
“Kerana di MATRI ini ada tarbiyah.” Menunjukkan betapa berjayanya Ustaz Dahlan dalam membina sebuah bi’ah, yakni suasana, yang mampu membina jiwa-jiwa yang mahukan redhaNya.
Dan sat lagi similariti mereka apabila berbicara akan Ustaz Dahlan, pastinya ada nada sebak. Bahkan ada antara guru-guru saya terpaksa berhenti ditemu bual kerana mengambil masa menahan air mata, atau cuba bersuara namun suara terlekat di rengkong.
Hatta Pak Lah, tukang masak MATRI, apabila ditemu bual akan Ustaz Dahlan, dia turut sebak dan menangis.
“Kami rasa kehilanganlah.” Itu antara yang disepakati semua manusia di sekelilingnya apabila ditemu bual.
Ustaz Dahlan Mohd Zain Dalam Kenangan.
Saya pernah ditanya oleh Abah ketika saya tingkatan 5.
“Apa cita-cita Hilal sebenarnya?”
Saya ketika itu tidak pasti apa cita-cita saya sebenarnya. Akhirnya saya berkata kepada Abah: “Tidak pastilah. Abah ada cadangan apa-apa ke?”
“Jadilah pencetak manusia.”
“Hah?” Saya tercengang tidak pernah mendengar akan profession mencetak manusia.
Kemudian Abah menyambung: “Macam Ustaz Dahlan. Dia cetak manusia.”
Hari ini, apabila dilihat semula, walaupun Ustaz Dahlan telah tiada, namun legasi yang ditinggalkannya dalam bentuk ‘kitab-kitab yang berjalan’ wujud di merata tempat di Malaysia ini. Lepasan-lepasan MATRI yang menjadi, mahupun teman-teman seangkatannya, juga anak didik-anak didik daripada usrah beliau, semuanya hidup dengan intipati didikan dan tarbiyah yang beliau laksanakan.
Ustaz Dahlan telah tiada. Tetapi fikrahnya hidup. Hidup di dalam peribadi-peribadi yang didiknya.
Dan dia yang tidak menggantungkan apa-apa ‘jenama’ pada fikrahnya, membuatkan anak didiknya yang menjadi kebanyakannya benar-benar berusaha menggapai redha Allah SWT dalam kehidupan.
Saya yang telah menemubual guru-guru akan bertanya satu soalan wajib: “Pandangan ustaz/cikgu, kenapa Ustaz Dahlan asaskan MATRI ni?”
Mereka akan menjawab lebih kurang mafhumnya sama, begini: “Untuk melahirkan manusia-manusia yang Rabbani, mampu memimpin masyarakat ini.”
Penutup: Pengajaran Daripada Ustaz Dahlan bin Mohd Zain.
Jika saya diminta menceritakan berkenaan Ustaz Dahlan, pastinya berkajang artikel pun tidak mencukupi. Pelbagai sisi boleh disentuh dan diceritakan untuk mengambil ibrah dan pelajaran. Namun cukuplah saya menyatakan bahawa, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain adalah manusia yang melihat lebih dari dirinya sendiri dan dari kehidupannya.
Dakwah yang dibawa oleh Ustaz Dahlan adalah kasih dan sayang, di samping berusaha bersungguh-sungguh membawa manusia pulang kepada Allah SWT dan penekanan terhadap Islam sebagai cara hidup. Di tengah-tengah itu, Ustaz Dahlan menghormati kreativiti, pandangan-pandangan baru, dan menggalakkan agar kami anak-anak muridnya aktif bergerak melakukan sesuatu untuk Islam walau tidak diarah dan diawasi.
Ustaz Dahlan adalah susuk tubuh penuh sederhana, yang mengajak kita menjadi hamba Allah SWT pada masa yang sama tidak meninggalkan tanggungjawab kita sebagai khalifah.
Saya sangat terkesan dengan Ustaz Dahlan.
Mencintainya seperti mencintai ibu bapa saya.
Semoga Allah merahmati beliau, dan semoga perkongsian saya ini ada manfaatnya.
Doakan agar urusan saya menulis Buku Murabbiku Dalam Kenangan: Ustaz Dahlan Mohd Zain dipermudahkan Allah SWT dan menjadi kenyataan.


Nabieyl
sy tak pernah mengenal beliau,
namun kehilangannya turut sy rasai dr hati yang paling dalam bila membaca artikel ini..
moga beliau dirahmati Allah selalu..;(
hood sunny
Al Fatihah.. :’(
Is Murabbiku Dalam Kenangan: Ustaz Dahlan bin Mohd Zain’s book available now? I want to buy it!
syafieidris
Jazakallahu khairan kathira akhi Hilal. Hati ana menangis semasa membaca artikel ini. Alhamdulillah Allah bagi kesempatan untuk berjumpa sekali dengan almarhum ust ,beberapa minggu sblm beliau meninggal dunia. Tapi pertemuan yang sekali itu telah cukup membuatkan ana jatuh cinta pada peribadinya. Alfatihah…
Lee Sammi
bagus
ameera
Ustaz Dahlan dan ummi dalam kenangan…mereka sederhana tetapi sangat istimewa.
ihsanberahim
Nak nangis…. T_T.
p/s: cover2….
mashimaro
*like*
rozi
saya tak kenal ustaz dahlan tpi saya turut sebak atas pemergian beliau. :’(
Fuad Razali
Insya Allah, anakanda Hilal.. mudah-mudahan berhasil. Teruskan niat yang baik tu..
rasyid_iic
InsyaAllah.moga kita sama-sama “istiqomah” dalam jalan Dakwah yang sebenar.
Ummu 'Ali
Mengalir airmata membaca artikel ini.Moga Allah swt meredhai al-marhum Ustaz dan menempatkannya di syurgaNya yang tertinggi. Besar jasa dan pengorbanan Ustaz. Mendidik manusia di sekelilingnya agar kembali menjadi manusia yang kenal dan tunduk pada Khaliknya.
Antara yang terkesan dengan tarbiyah yang dibawa oleh ustaz.
Ummu ‘Ali
Nadhirah DM
Terasa diri saya seperti pernah menjadi anak muridnya bila membaca artikel akhi Hilal ni. Seperti turut merasakan kehilangannya. Mudah-mudahan Allah SWT tempatkan dia dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Nisa
Betul.Walaupun tidak pernah bersua muka tetapi sangat terkesan di hati.
nabilahadam
Semoga Allah merahmati beliau..
Ramlah Arifin
Kuasa pena seorang penulis yang diberkati Allah.Boleh mengalirkan air mata hanya membaca coretannya. Peribadi unggul Ustaz Dahalan sebagaimana yang digambarkan oleh penulis amat menyentuh perassan. Semoga Allah menerima segala amalannya.
jacky
baik