Sabtu, 25 Mei 2013   |   15 Rejab 1434H   |   14 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Pemuda » Pemuda : Kenapa Perlu Label-Melabel?

About The Author


Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 101

Pemuda : Kenapa Perlu Label-Melabel?

 

Muslim berdiri dalam saf yang sama, maka kenapa pecah-belahkannya? 
~ Picture by Umar Mita 

 

Hati saya beban bila kadangkala mendengar sebahagian kumpulan memberikan gelaran kepada sebahagian kumpulan yang lain, bila mendengar sebahagian agamawan memberi gelaran kepada sebahagian agamawan yang lain.

Memberi gelaran yang bawa maksud buruk itu pada saya adalah sesuatu yang berat bagi orang-orang Islam, apatah lagi bila gelaran-gelaran buruk itu dilemparkan kepada saudara seIslamnya sendiri.

Gelaran seperti ‘wahabi’ dan yang sewaktu dengannya, bukanlah perkara pelik bagi saya. Hanya kerana saya pernah bersekolah di Perlis (walaupun saya menetap di Pulau Pinang sebenarnya), maka saya pernah dilabel sebagai ‘wahabi’ oleh beberapa orang ustaz dari sebuah institusi agama di Malaysia ini.

Hakikatnya, kenapa perlu label-melabel ini?

 

Konotasi Yang Bawa Maksud Buruk

Kadang, saya tidak faham kenapa sampai perlu label-melabel begini. Kalau dikatakan ‘wahabi’ itu kerana menerima pendapat dari mazhab yang lain dari Syafie, maka kalau begitu semua ulama’ mazhab yang lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal dan imam-imam lain adalah ‘wahabi’ jugalah, ya?

Konotasi ‘wahabi’ ini memang kebiasaannya membawa maksud yang buruk pada orang yang mendapat gelaran sebegini.

“Ni tak baca qunut. Wahabi.”

“Ni tak baca tahlil. Wahabi.”

Sedangkan tak baca qunut itu adalah pendapat dalam mazhab Hanafi dan Hanbali. Maka, takkanlah mereka juga ‘wahabi’?

Sampailah satu tahap, apabila kita tidak bersetuju dengan orang, walaupun bukan dalam hal furu’ akidah ataupun fiqh, kita akan terus gunakan cop ‘wahabi’ ni sebagai penyelamat diri kita, juga sebagai neraca untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa kitalah yang betul dan dialah yang salah.

Di Kelantan, satu ketika dahulu, Menteri Besarnya, Tok Guru Nik Aziz pernah dilabel oleh beberapa orang sebagai ‘wahabi’ hanya kerana berbeza fahaman politik.

Dr Asri sendiri, seorang tokoh agama yang sangat terkenal di negara kita dilabel sebagai ‘wahabi’ kerana menerima keluasan mazhab dan tidak terhad kepada satu mazhab sahaja.

Bukan dia seorang sahaja, bahkan Menteri Besar Perlis pun suatu ketika dahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim pun dilabel ‘wahabi’.

Tak cukup dengan itu, orang-orang yang pulang membawa pemikiran baru dalam kalangan masyarakat, supaya masyarakat kita bangun membuat perubahan pun dilabel sebagai ‘wahabi’.

 

Label Selalunya Menjarakkan

Label-label begini akhirnya bukanlah untuk membuktikan mana kebenaran, mana bukan. Tetapi ia lebih digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan orang yang tidak bersetuju dengannya.

Apa-apa hal sikit, kalau tak setuju, ‘wahabi’.

Bukanlah fokus saya pada ‘wahabi’ ini saja, tetapi ini salah satu contoh yang kuat dan selalu berlaku dalam masalah label-melabel di Malaysia, mungkin juga di tempat-tempat lain.

Bila kita memberi gelaran yang bawa maksud buruk kepada orang yang tidak sependapat dengan kita, kita telah pun membina jarak antara kita dengan dia. Kita bukan semakin dekat dengan dia, bahkan semakin jauh daripada dia. Sedangkan para ulama’ dulu, perbezaan pendapat antara mereka tidaklah menjadi barrier yang menjarakkan lagi hubungan antara mereka, bahkan mereka itu saling berkasih sayang meskipun tidak berdiri di atas pendapat yang sama.

Lihat saja firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 11. Allah memberi peringatan kepada manusia tentang hal ini selepas Allah menyatakan bahawa orang beriman itu adalah bersaudara.

“… dan janganlah kalian saling mencela diri-diri kalian dan janganlah kalian saling memanggil dengan gelaran (yang buruk)…” [Al-Hujurat : 11]

Allah menyebutkan ayat ini selepas ayat tentang ukhuwah kerana mengingatkan manusia bahawa inilah antara punca perpecahan dalam masyarakat kita.

Gelar-menggelar dengan gelaran yang buruk bukanlah jalan untuk membuktikan yang mana benar, yang mana bukan. Gelar-menggelar ini hanya akan digunakan setelah orang tidak ada modal lagi untuk berhujah.

Sepatutnya, pentas ilmu seperti melalui perbincangan, debat ilmiah digunakan kalau benar pada diri kita ada hujah yang benar terhadap pendapat yang kita pertahankan. Bukanlah dengan cara melabel manusia dengan labelan yang buruk.

 

Label-melabel bukan akhlak kita

Kadang, orang tidak tahu pun apa tafsiran kepada labelan seperti ‘wahabi’. Sekadar dengar-dengar daripada orang ataupun terbaca dalam mana-mana website ataupun share poster-poster dalam Facebook.  Kemudian dia pun terikut-ikut melabel orang dengan labelan-labelan yang menjarakkan lagi hubungan antara keluarga muslim.

Tidak dikaji dengan betul-betul teliti. Hanya kerana labelan-labelan seperti itu datang daripada mereka yang berjubah dan berserban serta selalu mengungkapkan zikir dan selawat, maka dianggapnya semua itu betul.

Hakikatnya, bukan semua orang yang berjubah dan berserban itu jujur dengan agamanya. Bukan semua orang yang mulutnya selalu terkumat-kamit berzikir itu semestinya dia itu orang yang baik.

Datang ke negara Arab dan kita akan nampak di tangan-tangan Arab selalu bermain dengan biji-biji tasbih itu tetapi di tangan sebelah lagi tangannya memegang rokok. Ada yang berjubah tetapi tidak berakhlak. Hendak beribadah di hadapan Kaabah pun berebut-rebut dan bertolak-tolak.

Maka, janganlah bulat-bulat terima walaupun yang mengatakan tentang hal itu adalah seorang syeikh berserban yang hebat dan dikagumi anak muridnya sekalipun. Kajilah dulu akan kebenaran sesuatu labelan itu sebelum kita terlibat dalam dosa memberi gelaran yang buruk dan tidak sepatutnya kepada manusia.

“Wahai orang-orang beriman, sekiranya datang orang fasik membawa kepadamu suatu berita, maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatan itu.” [Al-Hujurat : 6]

 

Penutup : Kita Bukan Tuhan Yang Menentukan Syurga dan neraka Manusia

Sebagai kesimpulan dari saya, kita ini bukanlah orang yang maksum, tidak bersih daripada dosa untuk bebas memberikan gelaran-gelaran buruk kepada manusia.

Kita bukan Tuhan untuk hukum manusia. Kita manusia seperti orang yang kita gelar itu juga. Ada hari kita salah, ada hari kita betul. Kita pun belum tahu destinasi akhir kita, di syurga atau di neraka.

Maka, untuk apa kita memberikan gelaran yang tidak baik kepada manusia yang tidak sekepala atau sependapat dengan kita?

Belajarlah untuk berlapang dada dan menerima keluasan dalam beribadah.
Kaji sedalam-dalamnya sebelum kita ingin bersetuju atau terikut-ikut dengan apa-apa jua ajaran.

Label-melabel ini bukan suatu yang ringan, tetapi ia suatu yang berat. Merosakkan hubungan dan membenih kekeliruan dalam masyarakat.

Nanti orang akan keliru melihat, agamawan ini, berjanggut dan berserban boleh pula mengata dan melabel agamawan yang lain sesuka hati, maka adakah ini yang dikatakan agama?

Hentikanlah label-melabel sebegini. Agama datang membaiki keadaan manusia, membaiki hubungan antara manusia, tetapi dengan ada label-label begini, ia hanya akan menyesakkan dada saja.

Semoga Allah menunjukkan kebenaran pada kita.

 

—————————————————————————————————–

(link ni mungkin dapat membantu menjelaskan lagi pada kita apa itu ‘wahabi’)

http://www.youtube.com/watch?v=NE7uqWX6jl8

Comments (13)

  • adillaharun

    Memang ini satu yang pelik namun ia adalah kenyataan yang mana sudah menjadi telahan, di mana perbezaan pandangan dan pendapat menjadi punca perpecahan di kalangan umat Islam. Sebaliknya telah pula dinyatasarankan bahawa perbezaan itu pula sepatutnya menjadi cara untuk saling lebih kenal mengenal dan usaha memahami satu sama lain. Hakikatnya tidak mudah begitu.

    Menjadi sukar kerana, jika zaman dahulu ada manusia ‘munafiq’. Pasti juga zaman ini tetap ada yang sedemikian. Secara sedar mahu pun tidak, Allah sahaja yang tahu siapa dan bagaimana jatuhnya ke situ. Apa yang diharap usahlah kita termasuk ke dalam golongan yang demikian. Selagi hati jasad dan roh kita bersatu dengan syahadah yang 2 itu, tak wajar perpecahan hanya kerana ada rasa lebih dari yang lain.

    Reply
  • Novelgurl

    Novelgurl

    huk.sesak nafas.org agama pun dh mcm nie..inikn pula org biasa..Allahu Ya Allah..

    Reply
  • raisatunajwa

    assalammualaikum. maaf,sebenarnya apakah maksud wahabi??

    Reply
  • Pemikir

    Tempat saya takda isu label melabel orang yang tak buat tahlil dan qunut dikata sebagai wahhabi. Tetapi ada pulak golongan yang kata siapa buat tahlil dan qunut dikata pulak sebagai ahlu bid’ah. Tolong ulas sikit perkara ni ?

    Reply
  • Pemikir

    Wahhabi memang wujud. Dan ia diperakui oleh Dr yusuf al Qardhawy, begitu juga oleh Sheikh Ben Baz sekali.

    Reply
  • Pemikir

    Saya juga dapati ada labelan dalam artikel di atas. Sebagai contoh :

    Tidak dikaji dengan betul-betul teliti. Hanya kerana labelan-labelan seperti itu datang daripada mereka yang berjubah dan berserban serta selalu mengungkapkan zikir dan selawat, maka dianggapnya semua itu betul.

    Atau saya silap baca ?

    Reply
  • CheArep

    Hurm…baiklah masing2 bekerja, dari label-melabel… sudahlah yang bekerja itu sedikit, takkanlah mahu tuduh-menuduh pulak, bila kerja nak jalan? hikhik

    Reply
  • Kanzaki Katy

    betul…

    Reply
  • Nadhirah DM

    Nadhirah DM

    Sudahlah label-melabel, kadang-kadang sampai dikafirkan pulak orang tu. Naudzubillah…inilah jadinya bila bertaqlid buta saja, tak ada usul periksa.

    Reply
  • khaulah al-azwar

    khaulah al-azwar

    semoga diredhai ALLAH .. :) semoga mendapat petunjukNYA.. kita doakan :) ok .. jangan mengata2 .. ok… :) maaf …sekadar pandangan

    Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top