Agama: Hari Malaysia – Peranan Kita yang bagaimana?
~dari bandar hingga ke hutan, Malaysia akan kita tawan~ (captured by UmarMita)
Hari ini genap 49 tahun negara tercinta kita bergelar Malaysia. Bukan mahu mengupas tentang sejarahnya. Namun demikian, penting juga untuk kita ambil kisah kerana memetik kata-kata George Santayana tentang sejarah:
“Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”
Begitu pentingnya kita mengambil pengajaran dalam setiap kejadian agar kita tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu atau lebih baik dapat memanipulasikan kerja-kerja mereka dengan cara-cara yang terkemudian dan lebih kehadapan. Sekarang ini masih hangat diperkatakan tentang isu filem yang menghina nabi yang bertajuk “Innocence of Muslims”. Banyak respons secara baik diadakan tidak kurang juga yang bertindak ganas. Sebelum pergi lebih jauh saya sarankan untuk anda membaca note saya terlebih dahulu untuk lebih jelas apa yang cuba saya kongsikan.
http://www.facebook.com/notes/langit-ilahi/isu-filem-menghina-nabi/396733780393198
Sejarah membuktikan bahawa kaum yahudi dan nasrani tidak pernah-pernah berhenti untuk menjatuhkan umat islam. Jika ketika zaman nabi s.a.w dahulu baginda dicaci, dilemparkan batu, hari ini walaupun baginda telah tiada namun musuh-musuh islam ini masih tidak lelah untuk memburukkan baginda. Dari sudut positif, kita melihat sebenarnya dakwah baginda terkesan hingga ke hari ini menyebabkan mereka bagaikan cacing kepanasan. Tentang ketidaksetujuan mereka dengan islam Allah merakamkan dalam Al-Quran:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)” (Al-Baqarah:120)
Taif
Suatu sirah yang tidak bisa dilupa. Jika artikel saya di atas merujuk penghinaan berbentuk ejekan kepada baginda maka peristiwa ini lebih lagi perlu kita hayati kerana batang tubuh suci baginda yang teraniaya. Sejarah hitam ini yang melibatkan penyiksaan ke atas baginda bukan sahaja ketika dakwah baginda di Thaif, tetapi kronologi sebelum ia berlaku juga memeritkan.
Bermula dengan berita kematian dua pelindung utama baginda Saidatina Khadijah dan Abu Talib. Musyrikin Quraisy yang mulanya tidak berani menyakiti tubuh baginda, mula menunjukkan belangnya bahkan secara berkumpulan. Namun suatu sudut yang lain, mereka sebenarnya takut untuk berhadapan dengan baginda berseorangan. Banyak perisiwa penganiayaan yang berlaku seperti leher baginda dijerut, dilemparkan najis ke atas kepala nabi sedang baginda bersujud dan sebagainya.
Hati seorang manusia sudah tentu merasai sedikit kecewa. Namun bukan bermakna baginda berputus asa. Cuma baginda mengambil langkah berbeza dalam menyeru manusia dengan berpergian ke Taif dengan harapan ada di sana sinar iman. Tetapi jawapannya adalah sebuah kehampaan. Bahkan lebih dahsyat lagi penyeksaan terhadap baginda dan anak angkatnya, Zaid bin Harithah. Pemimpin-pemimpin khabilah di Taif mengerahkan suku kaum mereka yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa untuk melemparkan batu kepada mereka berdua sewaktu ingin keluar daripada kota tersebut hinggakan darah baginda mengalir membasahi kaki baginda walaupun setelah cuba dihalang oleh Zaid r.a.
Keluar daripada kota tersebut, nabi s.a.w dan Zaid r.a singgah berehat di kebun pembesar Quraisy, Utbah bin Rabiah yang amat memusuhi nabi. Allah Maha Pengasih dan berpegang pada janji-Nya. Nabi tidak akan wafat sebelum baginda berjaya menyebarkan dakwah menuju Allah. Allah mencampakkan rasa simpati dalam hati yang dahulunya memusuhi baginda setelah mendengar suatu doa daripada baginda:
“Wahai Tuhanku! Kepada-Mulah aku mengadu kelemahan diriku, lemahnya kekuatanku, kecilnya ikhtiar dan dayaku dalam menghadapi manusia. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang, Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau Tuhanku. Kepada siapa Engkau mahu serahkan diri ini? Kepada orang yang jauh yang mensia-siakan aku? Atau kepada musuh yang Engkau serahkan nasibku? Kalau sekiranya Engkau tidak marah kepadaku, nescaya tidak aku peduli lagi. Tetapi kemaafan-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung cahaya sinar-Mu yang menerangi segala kegelapan. Yang akan menjadi baik segala urusan dunia mahupun akhirat daripada turun ke atasku murka dan kemarahan Engkau. Engkau yang mempunyai keredhaan. Segala kepujian hanya bagi Engkau sampaikan Engkau redha. Dan tiada daya dan upaya melainkan Engkau, ya Allah”
Setelah itu, Allah memerintahkan malaikat penjaga gunung bertemu nabi untuk menawarkan kepada baginda tawaran menghempap bukit di Taif ke atas kaum sekitarnya. Namun nabi melarang perbuatan tersebut bahkan baginda berkata:
“Jangan binasakan mereka. Sesungguhnya mereka dalam golongan yang tidak mengetahui. Apa yang aku harapkan adalah semoga suatu hari nanti akan lahir daripada sulbi mereka anak-anak yang menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.”
Setelah itu datang seorang hamba tuan kebun tersebut yang beragama Kristian bernama Addas untuk memberikan baginda anggur yang akhirnya memeluk Islam dengan hanya lafaz basmallah yang baginda ucapkan sebelum makan. Seterusnya baginda pulang ke Mekah dan memasukinya dengan bantuan Mut’im bin ‘Adi. (salah seorang pembesar Quraisy yang menyokong pembatalan pemulaun ke atas umat Islam). Walau selepas tohmahan dan seksaan yang diterima, semuanya tidak menghalang baginda terus berusaha berdakwah hinggakan ketika itu islamnya seorang pemimpin dari luar Mekah yang datang ke sana hanya ingin berjumpa nabi iaitu Tufail bin Amru dari suku kaum Daus.
Malaysia dan Kita
Lihatlah! Dari hati kita yang paling dalam. Rasulullah yang bebas daripada kesalahan dalam dakwah baginda, namun juga manusia biasa dalam hal dunia, tetapi bagaimana baginda bisa tangani rasa marah yang mana penganiayaan itu terkena ke atas tubuh baginda sendiri. Bahkan dengan sifat pemaaf dan rendah hati baginda berdoa agar mereka mendapat hidayah-Nya. Berlainan halnya dengan kita, lebih ‘pura-pura’ marah daripada melakukan kerja yang membina deen-Nya.
Berbalik kepada isu penghinaan ke atas nabi ini juga bersempena dengan hari Malaysia hari ini, untuk kita lihat wajah Malaysia yang baru di masa hadapan ayuh sama-sama kita mainkan peranan. Lalu harus bagaimana? Jangan kita kecilkan skop rasa marah kita dengan tunjuk perasaan dan adakan himpunan. Ia bukan kesalahan jika dilakukan secara aman. Cuba lihat semula industri seni kita di Malaysia, karya yang mana yang boleh membuatkan rasulullah bangga jika baginda masih bersama kita? Juga yang mana yang menampakkan keindahan islam walaupun dalam hiburan?
Bukan menafikan usaha sesetengah pihak yang telah memulakan langkah menjurus kearah islamisasi perfileman. Namun ia bersifat minoriti. Oleh itu, mereka yang berautoriti juga mereka yang menceburi bidang media ini terutamanya melalui medium radio,televisyen dan lain-lain, harus memikul tanggunjawab ini berdasarkan posisi mereka. Tunjukkan islam sebagai jalan penyelesaian menerusi karya anda. Ia juga sebenarnya menjadi projek kita membina semula umat ini daripada terus leka dengan arus dunia. Mereka yang lain gunakan kelebihan dalam bidang masing-masing untuk melahirkan bantahan kita pada desakan musuh-musuh Islam ini.
Munkin pengamal media boleh mencontohi rakaman ini :
http://www.youtube.com/watch?v=sDqnRqTVtCo&feature=share
Motif saya menceritakan kisah nabi di Taif adalah lihat bagaimana rasulullah walaupun selepas diseksa begitu rupa, baginda tidak terus-menerus menzahirkan rasa marah dan kecewa sahaja, namun baginda masih memainkan peranannya sebagai seorang penyampai risalah. Buktinya adalah islamnya hamba yang bernama Addas dan ketua suku kaum Daus, Tufail bin Amru. Begitulah sepatutnya kita, melalui bidang masing-masing kita mengambil peranan kita untuk menggoncangkan kekuatan musuh dengan membina kekuatan kita sendiri bukan menambahkan kekuatan mereka melalui demonstrasi ganas yang membolehkan mereka berhujah atas perlakuan kita.
Oppa Gangnam Style
Terlanjur saya sebutkan pasal Malaysia, ingin juga saya sebutkan perihal kumpulan ini yang makin digilai terutama dalam kalangan remaja. Jika kita sedar ini juga sebenarnya taktik musuh melemahkan kita dengan hiburan yang tidak bermoral selain video-video kontroversi mereka yang membuktikan kelemahan kita dengan tidak berjaya mengawal sikap kita hingga bertindak dibawah akal yang waras.
Mulanya saya tidak berkenan untuk ambil tahu akan kumpulan ini. Namun selepas melihat sambutan yang hangat dalam laman sosial saya tergerak untuk singkap sedikit supaya dapat saya sampaikan sesuatu pesanan. Bukan ingin membincangkan tentang hukum. Anda sendiri boleh bernilai jika ada wanita auratnya terbuka dan aksi-aksi yang melampau adakah ia masih tidak salah di sisi agama? Mungkin juga ada yang berkata dia hanya mendengar muziknya sahaja tanpa melihat pada rakaman video.
Apa yang cuba saya jelaskan adalah meskipun ia sekadar muzik namun ia sebenarnya membentuk peribadi kita yang bagaimana. Sebagai contoh jika kita perasan orang yang sukakan lagu rock atau gemar menyanyikannya akan berpakaian ala-ala rock. Walaupun bukan semua, tetapi rock itu kononnya telah sebati dalam jiwa mereka. Begitu sebenarnya peranan muzik membentuk peribadi. Adapun peribadi yang paling agung sudah tentulah nabi s.a.w dituruti orang-orang yang bertaqwa selepas baginda. Allah berfirman:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.” (Al-Hujurat:13)
Rasulullah s.a.w telah membawa style baginda dalam segenap ruang lingkup kehidupan. Kita marah orang mempersendakan baginda dengan cacian dan perbuatan keji walhal kita juga tidak cuba berusaha membentuk peribadi rasulullah dalam diri kita. Tiada makna apa-apa cuma mungkin berbeza kita dengan mereka (musuh islam) kita tidak menghina baginda, tetapi kita masih tidak beramal dengan apa yang baginda cuba bawa seterusnya menyampaikan kepada orang lain. Oleh itu tingkatkan diri kita dengan usaha mengubah corak kehidupan diri kita dengan style baginda (islam yang sempurna) seperti firman Allah.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.”(Yusuf:108)
Penutup
Kesimpulannya, Malayisa memerlukan manusia khususnya remaja dan amnya kepada semua yang bukan hanya leka dengan hiburan dunia, dibuai keindahan cinta semata, dipengaruh media yang tidak tentu hala, disibukkan dengan keseronokkan bola, dan banyak perkara yang boleh membuatkan kita berasa selesa dengan sistem yang ada. Hakikatnya, Malaysia amat menantikan mereka yang sama yang dapat menggegarkan dunia dengan filem, video, radio, penulisan dan media massa yang lain tanpa mengabaikan tanggungjawab utama mengajak manusia untuk sama-sama mengabdikan diri pada Rabbul Izzati.
Akhir kata, halusi bait-bait kata dalam video ini, moga-moga kita lebih terinspirasi.
http://www.youtube.com/watch?v=nyzezMZ2PbY



Shahirah Azaha
terima kasih sebab sertakan sekali link youtube tu , memang berguna betul.. an awesome job
Hafizah Zainuddin
MUIZ
sama-sama.. terima kasih..
subhibakhir
bagus2..
Nabieyl
Nisa
Sangat bermanfaat~
mashimaro
It’s really meaningful~
Bro Kachak
Kemaih sep nih. Semat2. Byk manfaat.
pol92
mendalam
rasyid_iic
inan Naurah
rauna
Selamat Hari seMalaysia..