Selasa, 21 Mei 2013   |   11 Rejab 1434H   |   30 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Kehidupan » Kehidupan: Tanpa Strategi, Di Manakah Asbabnya Untuk Menang?

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 426

Kehidupan: Tanpa Strategi, Di Manakah Asbabnya Untuk Menang?

Picture taken from http://abdelghany.deviantart.com/

 

Di dalam kehidupan ini, saya berusaha mengajak agar kita punya plan dan strategi di dalam perjuangan kita menegakkan Islam. Namun, saya telah bertemu beberapa orang yang berkata:

“Buat apalah nak planning-planning? Kita ini kalau bawa Islam, sudah sah-sah Allah bantu. Kemenangan itu ada pada Islam! Jangan ragu!”

Bertemu dengan manusia sebegini, saya mula memahami permasalahan sebenar dalam strategi perjuangan ummat Islam hari ini dan saya mula mendapat jawapan kepada mengapa ummat Islam tidak mampu naik sebagai ummat yang berjaya membawa perjuangannya hari ini.

Kerana mereka sangka, apabila kita sudah Islam, dan kita berjuang menegakkan Islam(dengan apa cara pun), maka kemenangan akan datang kepada kita.

Ini adalah kefahaman yang salah, seterusnya membuatkan kita menjadi lemah dalam isu-isu yang mendatang, dan terus kalah dan kalah, dihina dan dihina kerana tewasnya kita dalam perjuangan.

Jikalau Dengan Dalil – Kita Islam, Kita Perjuangkan AgamaNya – Itulah Penjemput Kemenangan…

Saya melihat kembali kepada Sirah Nabawiyah. Melihat kepada seorang manusia ulung bernama Muhammad bin Abdullah SAW, yang kita gelarnya dengan gelaran agung – Rasulullah SAW – yang mana baginda ini adalah kekasih kepada Allah. Bukan manusia biasa seperti kita secara darjatnya. Apabila orang menyakiti baginda, Allah murka. Apabila ada orang yang membuatkan baginda gembira, Allah turunkan kasihNya. Begitulah sekali Rasulullah SAW di sisi Allah SWT.

Jika benarlah hanya dengan ‘Kita orang Islam, Kita perjuangkan AgamaNya, jadi tak payah planning-planning, Allah akan bagi kemenangan kepada kita’, maka mengapakah kekasih Allah SWT itu membuat pelbagai perancangan dalam menyebarkan agama yang tidak lain tidak bukan diturunkan oleh Allah SWT sendiri?

Rasulullah SAW ketika berdakwah, baginda pergi kepada ahli keluarga dahulu. Mengapa tidak baginda terus ke tengah-tengah Ka’bah, dan menyeru begitu sahaja sebaik sahaja mendapat wahyu?

Rasulullah SAW kala hendak pergi ke Ta’if, baginda membawa anak angkatnya Zaid bin Harithah RA, bukannya Abu Bakr RA agar orang tidak menyangka bagina ke Ta’if untuk berdakwah. Keluar dengan Zaid bin Harithah RA melihatkan bahawa itu adalah ayah dan anak angkat keluar berjalan.

Rasulullah SAW kala berhijrah, memilih keluar pada waktu malam bukan waktu siang. Baginda keluar secara sembunyi-sembunyi, bukannya terang-terangan. Baginda tidak pergi terus ke Madinah, tetapi menghala ke Yaman terlebih dahulu, dan baginda bersembunyi di Gua Thur untuk membuatkan orang yang mengejarnya tidak dapat mengejar baginda. Baginda tidak keluar sendirian, tetapi baginda keluar bertemankan Abu Bakr RA.

Rasulullah SAW ketika Perang Badar, baginda mengikut pandangan sahabat baginda untuk memilih kem berdekatan mata air. Ketika perang Uhud, baginda menempatkan pemanah di atas bukit. Ketika Perang Khandak, baginda menerima pandangan Salman Al-Farisi RA untuk menggali parit. Ketika Perang Mu’tah, baginda menyediakan tiga orang ketua. Rasulullah SAW ketika peristiwa Fathul Makkah, masuk melalui keempat-empat penjuru Makkah itu.

Apa yang saya sebut di atas ini, semuanya adalah strategi. Semuanya adalah perancangan. Jika benarlah dengan alasan kita ini sudah Islam, kita ini sudah hendak perjuangkan agama Allah, maka strategi dan perancangan adalah tidak diperlukan, Allah akan terus berikan kita kemenangan, maka bagaimanakah seorang kekasih Allah, saya ulang – Kekasih Allah – melaksanakan perancangan dan strategi? Apakah kurangnya tawakkal Rasulullah SAW kepada Allah? Mustahil sekali!

 

Apabila Strategi Tidak Diperhalusi, Kita Ditipu dan Sering Melakukan Silap Lagi dan Lagi.

Di dalam berdakwah hari ini, mengapa dakwah tidak mendapat sambutan? Kerana di dalam dakwah tidak ada strategi. Kita sibuk mengharamkan itu dan ini, kita sibuk mengkafirkan dia dan dia, dan kita sibuk menerakakan orang. Strategi tiada. Terus sahaja.

Seorang perokok yang merokok 20 batang sehari, ke arah nak berhenti merokok telah berjaya mengurangkan dari 20 kepada 10 batang. Tetapi kita tidak appreciate. Kita terus kata: “Alah, merokok juga. Buat apa.”

Seorang perempuan yang sebelum ini tidak menutup aurat, namun kini telah berpakaian sopan, tinggal tidak bertudung sahaja. Tetapi kita tidak appreciate. Kita kata: “Alah, tak tutup aurat juga.”

Kita tidak punya strategi. Kita tidak ambil kira bagaimana kita approach seseorang. Kita tidak ambil tahu latar belakang keadaan orang yang hendak kita dakwahkan. Kita rasa, asal kita dakwah, asal kita cakap tu benda betul, maka Allah akan tolong kita. Bagaimana agaknya Allah mahu menolong orang yang tidak berstrategi sedang Rasulullah SAW juga berstrategi? Hatta Allah SWT yang berkuasa membolak balikkan hati manusia pun, kala Dia hendak mengharamkan Arak untuk manusia, Allah telah menurunkan tiga ayat. Bukan satu ayat untuk terus haramkan. Bagaimana kita?

Begitulah yang terjadi apabila isu Hudud dibangkitkan di negara kita. Dengan mudah kita kafirkan mereka yang mengeluarkan idea ‘menangguhkan terlebih dahulu perlaksanaan hukum hudud’. Dengan mudah kita menjawab: “Bukankah hudud itu hukum Allah? Mana boleh tangguh!”

Kita tidak lihat keadaan masyarakat, kemampuan kempimpinan, dan kekuatan para pemimpin untuk melaksanakan perkara itu. Silap cara, hudud menjadi fitnah. Strategi tidak kena, hudud pula akan disalah guna untuk menghukum mereka yang tidak sebulu dengan kepimpinan. Lebih buruk, apabila pemimpin bukan orang yang siap memikul amanah melaksanakan hukuman hudud yang nyata jelas kekerasan impaknya itu, hudud akan bertranformasi dari 100 sebat kepada beratus-ratus sebat seperti yang berlaku di Arab Saudi. Akan digunakan untuk menindas perempuan pula nanti. Yang miskin pula nanti yang akan sibuk dipotong tangan kerana mereka mencuri, manakala yang songlap duit juta-juta tidak dikenakan hukuman.

Siapa kata hukum Allah SWT tidak boleh tangguh? Tangguh adalah strategi. Solat Jama’ ada jama’ ta’khir. Yakni melambatkan Solat Zuhur ke dalam waktu Solat Asar. Solat Magthrib ke Solat Isya’. Sedangkan Solat adalah tiang agama, hukum Allah SWT. Justeru mengapa ia boleh ditangguhkan? Dan jelas Rasulullah SAW sendiri mengarahkan penangguhan hudud jika suasana tidak sesuai melaksanakannya:

“Jangan dipotong tangan pencuri ketika di dalam peperangan.” Hadith Riwayat At-Tirmidzi.

“Jangan dipotong tangan ketika permusafiran.” Hadith Riwayat Abu Dawud.

Namun orang yang tidak faham, dan merasakan strategi tidak penting, menganggap penangguhan Hukum Hudud dikatakan satu kesalahan. “Inikan hukum Allah, mengapa mesti tangguh?” Itu sahaja logiknya. Difikirkan, laksanakan sahaja hukum hudud, kita akan menang. Kita akan aman. Kita akan makmur. Ia tidak semudah itu.

Hukum Hudud datang selepas urusan rakyat itu diselesaikan. Hak rakyat usaha dipenuhi. Saat kala kepimpinan negara tidak mengambil lebih dari yang sepatutnya.

Namun kita berdegil. Kita yakin kita akan menang hanya dengan mengangkat perjuangan Islam.

Sedangkan kemenangan kepada yang lebih berstrategi.

Masyhur kata-kata Saidina Ali RA:

“Kejahatan yang berstrategi akan menewaskan kebaikan yang tidak berstrategi.”

Akhirnya bila kita angkat sesuatu perjuangan tanpa strateginya, kita akan ditewaskan. Seakan-akan pergi berperang dengan sengaja tidak memakai baju besi dan membawa senjata. Seakan-akan hendak membuka pintu, tanpa bergerak memulas tombolnya, atau zaman sekarang kalau ada pintu automatik, tanpa setkan sensornya, atau tanpa klikkan butang alat pembuka jarak jauhnya.

Justeru?

Bagaimana tiba-tiba kita boleh memenangkan Islam yang besar ini, rahmat kepada sekalian alam ini, dengan pergi meredah begitu sahaja tanpa perancangan?

 

Penutup: Kita Sibuk Takutkan Illuminati Dan Freemason Yang Berstrategi Katanya. Tetapi Tidak Melihat Kesilapan Diri.

Hari ini kita sibuk ditakutkan dengan fenomena ‘Teori Konspirasi Freemason dan Illuminati”, saya tidaklah kata semuanya silap. Namun kadangkala kita hingga terlalu paranoid. Lebih teruk apabila saya mengajak kepada merancang perjuangan Islam ini dengan lebih berstrategi, ada yang menjawab:

“Buat apa, orang kafir dah tahu semua. Mereka akan gagalkan perancangan kita.” Ya, itulah buruknya paranoid yang melanda. Merasakan rancangan kita akan gagal, kerana terlalu percaya akan kemasnya perancangan musuhnya.

Kita biarkan musuh merancang, namun kita tidak merancang strategi yang kemas dan cantik. Kita tidak muhasabah kesilapan kita, kita ulang dan ulang kesilapan kita. Kita tidak bijak. Kita sekadar percaya bahawa kita bawa agama Allah, walau tanpa strategi pun Allah akan bantu kita. Kita marah orang ambil Al-Quran secara juz’i-juz’i(sebahagian-sebahagian), namun kita sendiri ambil secara sebahagian-sebahagian.

Kita ambil Surah Muhammad ayat 7: “Sekiranya kamu membantu agama Allah, Allah akan membantu urusan kamu dan memperkuatkan langkahan kamu.”

Tetapi kita meninggalkan Surah Ar-Ra’d ayat 11: “Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Justeru, di manakah strategi kita?

Di manakah plan kita?

Apakah kita ‘membaca’ keadaan masyarakat?

Adakah kita ‘ambil tahu’ keperluan masyarakat?

Pernahkah kita ‘cuba selami’ apa yang masyarakat suka dan tidak suka?

Di dalam perjuangan untuk mengajak masyarakat kembali kepada Allah SWT, kita perlu mengenali dan memahami masyarakat. Cuba masuk dari bahagian yang mereka suka. Cuba masuk dengan perkara yang selaras dengan level mereka. Cuba menawan hati mereka terlebih dahulu. Cuba membina connection dengan mereka dahulu.

Di manakah strategi kita?

Percayalah, meredah begitu sahaja, tidak akan ada kemenangan buat kita.

Kerana di manakah asbab kemenangannya untuk Allah berikan kemenangan itu buat kita?

Walau kita memperjuangkan agamaNya.

Comments (5)

  • salahuddin

    I love the the way u write….. so impressive…. hope we can have a lot(men) like u…… so that they can convey da’wah bilhikmah………… syukran ya akhi…

    Reply
  • Sya_Insyirah

    Sya_Insyirah

    Yup, sgt setuju. Muslim perlu bijak susun strategi..tnpa strategi, cmne kita dan mereka boleh lihat Islam itu agama yg sgt cantik untuk dipraktiskan. Sy pasti gerakn2 Islam kini aktif merangka strategi utk martabatkn dan kembalikn nama Islam.

    Berkenaan dgn isu hudud, ia adlah isu yg sgt sensitif. Sy kira isu ini dibgkitkn dah lama dah. Pemimpin2 tertentu pasti ada merangka strategi2 tersendiri dan keberkesanan yg kita sendiri tak jangka. Sesetengah org yg kurang pemahaman akn tampil mberi pndpt dan sesetengh lg yg kurang bijak menangani isu memberi hujah.

    Di sini, kitalah perlu bijak merangka strategi utk memahamkan mereka. Bina strategi agar Islam itu disegani dan dapat dihayati. Thumbs up for bringing me to this…^^

    Reply
  • aisy

    plan strategi berlandaskan al-Quran dan sunnah .

    Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top