Himmah : Ini Masa Untuk Muntahkan Peluru !
~ Picture by http://benheine.deviantart.com/
Ramadhan telah berlalu. Meninggalkan kita sejauh-jauhnya. Entah dia akan kembali untuk kita lagi atau tidak, itu kita tidak tahu. Berdoalah agar Allah memberikan Ramadhan lagi untuk kita pada tahun-tahun yang akan datang.
Untunglah siapa yang telah menggunakan Ramadhannya dengan sebaik-baiknya.
Rugilah siapa yang telah mensia-siakan Ramadhannya.
Ramadhan yang telah berlalu, maka ia telah berlalu. Kalau kita mengisinya dengan sebenar-benar pengisian, maka kita adalah orang yang berjaya. Kalau kita mensia-siakannya, kita tidak pasti apakah masih ada lagi Ramadhan pada tahun hadapan untuk kita memperbaiki apa yang telah kita siakan di Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita ini.
Apapun, Ramadhan yang telah pergi bukanlah untuk disesali. Kalau kita telah mengisinya dengan baik, maka sekarang adalah masa untuk memikir dan merancang penerusan.
Kalau kita telah mensiakannya, maka sekarang adalah masa untuk berusaha memperbaiki apa yang telah kita siakan.
Yang Telah Mengutip Bekalan, Ini Masa Memuntahkan Peluru !
Kalau kita bersungguh-sungguh mengutip bekalan ketika berada di dalam bulan Ramadhan dulu, maka kita juga perlu bersungguh-sungguh menggunakan bekalan itu ketika di luar Ramadhan.
Sangatlah tersilap bila orang bersusah-payah dan bersungguh-sungguh hanya di dalam Ramadhan, kemudian keluar dari Ramadhan dia pun terus mengabaikan dan melupakan ketaatannya kepada Allah.
Di dalam Ramadhan, dia begitu rajin solat tarawih dan membaca Al-Quran. Tamat Ramadhan saja, solat ke mana, Al-Quran pun entah ke mana.
Di dalam Ramadhan, dialah yang paling rajin ke masjid. Selalu di saf depan. Habis Ramadhan, dia pun lesap dari masjid. Tunggu Ramadhan sekali lagi barulah akan nampak pula muka dia.
Sepatutnya kita melihat Ramadhan sebagai kilang. Kilang mengutip senjata-senjata dan peluru sebagai bekalan yang akan kita gunakan di luar Ramadhan. Nanti di luar Ramadhan, kita akan berdepan dengan lebih banyak cabaran. Maka, bekalan-bekalan yang kita kutip di dalam Ramadhan itu adalah untuk tujuan inilah.
Memberi kekuatan kepada kita ketika kelemahan untuk taat kepada Allah. Menjadi perisai kepada kita daripada hasutan dan bisikan syaitan. Menangkis serangan-serangan nafsu.
Inilah sepatutnya fungsi bekalan yang kita bertungkus-lumus kutip di dalam Ramadhan itu.
Ramadhan telah kita habis-habisan untuk mengutip segala senjata dan peluru yang ada, maka sekarang masanya untuk kita muntahkan peluru-peluru itu !
Muntahkan Dengan Berstrategi, Bukan Semberono
Ada orang, keluar dari Ramadhan, muntahkan terus semuanya sampai tak tinggal apa-apa lagi pada dirinya. “Hari rayalah bro. Rileklah. Enjoy, enjoy.” Sebab itu dia mudah sekali larut dalam dosa dan maksiat selepas keluar dari Ramadhan. Keluar dari Ramadhan saja, yang ada dalam fikirannya Aidilfitri je. Dalam fikirannya hanya fikir untuk berseronok saja. Dia terlupa untuk menjaga solatnya, terlupa untuk menjaga adab dalam pergaulan semasa bersama bukan mahram.
Ada orang pula, terlalu keras. “Raya 1 Syawal je. Cukup-cukuplah. Tak payah lebih-lebih sangat. Puasa enam lagi bagus.” Ajakannya itu bagus, tetapi caranya keras. Janganlah terlalu keras dan hendak cepat sehingga tidak boleh untuk bermesra dan bergembira bersama saudara-mara luar daripada 1 Syawal. Tak ada masalah untuk berseronok dan berhibur bersama keluarga beberapa hari pun, cumanya jangan berlebih-lebihan saja sehingga jatuh ke dalam maksiat. Bahkan, bersama menggembirakan hati keluarga dan saudara-mara serta bermesra dengan mereka, itu kan satu kebaikan.
Muntahkanlah peluru dengan berstrategi.
Jangan terlalu longgar sangat. Jangan pula terlalu ketat sangat.
Hendak bergembira, bergembiralah. Hendak berhibur bersama keluarga, berhiburlah. Tetapi yang penting hak Allah tidak diketepikan.
Bila tiba waktu solat, solatlah.
Bila bergaul, jagalah adab dan batas-batasnya.
Bila makan dan minum, janganlah sampai membazir.
Bila kita jaga hak-hak Allah ini, pastilah Allah juga akan menjaga hak-hak kita. Allah akan menjaga kita daripada terjatuh dalam maksiat, Allah akan sentiasa memelihara hasil-hasil Ramadhan yang telah kita usahakan sepanjang Ramadhan.
Rancanglah. Berstrategilah menghadapi bulan-bulan selepas Ramadhan.
Kita semasa Ramadhan dan kita selepas Ramadhan tetap adalah hamba Allah. Orang yang hanya mengisi penuh Ramadhannya kemudian keluar sebagai hamba yang ingkar semula kepada Allah adalah hamba Ramadhani, bukanlah hamba Rabbani.
Hamba yang Rabbani, luar Ramadhan pun akan berusaha taat kepada Allah.
Kita ada 11 bulan untuk kita hadapi sebelum kita bertemu semula Ramadhan yang satu lagi jika diizinkan Allah. Maka dalam 11 bulan ini, bekalan-bekalan yang kita kutip di dalam Ramadhan inilah akan menjadi bekalan yang sangat berguna untuk kita.
Penutup : Biar Sedikit Asal Berterusan
Bersemangat di dalam bulan Ramadhan saja, tidak akan membawa makna apa-apa.
Kita tidak mahu hanya sekadar semangat kosong saja. Orang yang semangat kosong, bila tiba musim-musim tertentu, dia menjadi begitu bersemangat sekali untuk solat, baca Al-Quran dan datang masjid.
Luar daripada musim itu, sekali pun susah untuk melihat dia solat. Apalagi membaca Al-Quran dan datang masjid.
Kita perlu mulakan perubahan. Sepatutnya Ramadhan jadi booster untuk kita menjadi orang yang menjaga solatnya dengan baik serta berusaha memahami ayat-ayat Al-Quran. Umat Islam menjadi mundur kerana meninggalkan solat dan Al-Quran. Mereka hanya ambil bila mereka mahu dan meninggalkannya bila mereka tidak mahu.
Sebab itulah, kita menjadi umat yang mundur.
Mulakanlah perubahan. Muntahkanlah peluru-peluru yang telah kita kutip di dalam Ramadhan. Sedikit demi sedikit, asalkan berterusan.
Mulakan dengan yang ringan-ringan dan kemudian kita lazimi. Ramadhan sepatutnya menjadi medan kita mengubah diri kita, bukan sekadar medan membanyakkan amal kita.
Rugilah orang yang sekadar membanyakkan amalnya tetapi gagal memahami makna dan tujuan di sebalik amal-amalnya.
Kita bukan beramal untuk Ramadhan, kita beramal untuk Allah.
Siapa yang memahami hal ini, maka pastilah dia akan melihat Ramadhan sebagai medan untuk dirinya berubah, dan pastilah Syawal tidak akan menghentikan ketaatannya kepada Allah !


Manan Qayyim
salam… ingin bertnye…
ape yg sebenarnya yg dimaksudkan dengan Himmah.?
ape bezanya dgn Motivasi & Inspirasi?
hanini
syukran jaziilan..betul tu apa yg penulis katakan…. “masanya kita menggunakan peluru2 yg dikutip dlm bulan Ramadhan!!”
insyaAllah!!!
hazwani
salam ukhuwwah.mabruk dengan cetusan idea bernas yg kembali menyuntik semangat kite yang mudah luluh
Choe Low
salam sejahtera