Sabtu, 25 Mei 2013   |   15 Rejab 1434H   |   12 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Agama » Agama: Terakhir Ramadhan – Aidilfitri Hadiah Pengorbanan dan Kesabaran

About The Author


Muhammad Uzair bin Izham (MUIZ). Lahir pada 27 Ogos 1992. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Bersekolah menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah,Perlis sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin tahun 3 sesi 2012/2013 di Yarmouk University, Jordan.

Number of Entries : 35

Agama: Terakhir Ramadhan – Aidilfitri Hadiah Pengorbanan dan Kesabaran

 

Tinggal sehari Ramadhan bakal berlalu pergi. Segala kelebihan yang dijanjikan berlalu seiring beredarnya masa. Jika pelajar-pelajar sekolah belajar bertahun-tahun untuk peperiksaan yang hanya berjam-jam, berlainan pula Ramadhan yang hanya persiapan sebulan tetapi penuh hikmah ujian yang akan menempuh 11 bulan ‘peperiksaan’.

Begitulah hakikat bagi Aidilfitri dan juga bulan islam seterusnya. Bukan melihat kepada banyaknya amalan dalam bulan Ramadhan yang menjadi ukuran, tetapi penerusan ibadah dalam bulan-bulan lain yang menjadi nilaian kerana beriman kepada Tuhan Ramadhan yang perlu menjadi keutamaan.

Hulurkan bantuan ringankan beban

Dalam pada kita berpuasa, ada lagi rukun Islam yang wajib kita tunaikan yakni zakat (bagi yang berkemampuan). Adapun hikmah zakat adalah untuk memberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk sama-sama merasai kegembiraan. Oleh itu,tunaikanlah segera kewajipan kita. Bagi mereka yang mempunyai tanggungan maka wajib ke atasnya untuk menyempurnakan bagi mereka.

Waktu yang disunatkan untuk membayar zakat adalah sepanjang bulan ramadhan. Namun lebih baik untuk dilaksanakan pada pagi hari raya sebelum solat sunat dilaksana. Tetapi berhati-hati, selepas solat sunat maka hukumnya adalah makruh dan bermula pada terbenam matahari maka haram baginya untuk menunaikannya. Oleh itu, laksanakanlah dengan kadar segera, moga-moga kita beroleh rahmat-Nya.

Permasalahan pemberian zakat pada orang bukan islam adalah perkara yang mempunyai pandangan berbeza oleh para sarjana. Bagi saya, saya lebih bersetuju untuk mengambil pendekatan ulama’ yang membenarkannya dengan hujah untuk dakwah kepada mereka sesuai dengan suasana islam yang terpalit fitnah pada zaman kini dek kerana umatnya sendiri.

Orang-orang yang celaka!

Gelaran ini bukan saya yang reka apatahlagi untuk tuju kepada sesiapa. Adapun sebab seseorang digelar sedemikian rupa adalah apabila terjadinya suatu kisah di mana nabi s.a.w sedang menjejak kaki ke atas mimbar. Pada tingkatan pertama beliau mengatakan’ amin’ hingga tingkat yang ke tiga. Salah satu sebab baginda menyebut ‘amin’ adalah seperti riwayat hadis dari Abu Hurairah r.a:

“Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Sesiapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan, tetapi dia tidak mendapat keampunan daripada Allah, maka celakalah dia, maka katakanlah :Amin” . Kemudian aku mengaminkannya. (HR Ibn Hibban)

Boleh sahaja kita anggap ia suatu ancaman. Namun, saya lebih suka lihat ia sebagai ransangan untuk kita terus memohon keampunan sementara Ramadhan belum meninggalkan kita.

Malam Raya

Tidaklah dikhususkan pada malam ini untuk melakukan ibadah atau doa yang tertentu. Tetapi doa pada malam raya adalah antara waktu doa yang makbul. Namun, ia masih tertakluk kepada keikhlasan seseorang dan pengharapannya kepada bantuan Allah s.a.w. Di samping itu, amalan seperti qiam juga masih digalakkan untuk dihidupkan.

Berkenaan dengan bermain bunga api dan selainnya, ia adalah harus kerana dapat mewujudkan suasana yang bergembira tetapi ia bukanlah yang datang daripada syara’ namun tidak menyanggahinya . Ia tidak terlarang selagi tidak berlaku dua perkara iaitu:

1. membazir  kerana pembaziran adalah haram di dalam islam dan merupakan amalan syaitan

2. menggangu ketenteraman awam.

Disebutkan oleh rasulullah s.a.w:

Tidak halal bagi seorang muslim membuat muslim lain terkejut”. (HR Abu Daud)

Namun bagi saya, saya lebih suka mengambil pendekatan untuk meninggalkan perkara-perkara ini kerana terdapat banyak lagi perkara yang dapat mewujudkan suasana gembira seperti bergurau senda dan sebagainya. Bahkan ia lebih dekat ke arah pembaziran.

Perasaan yang bercampur baur

Benar para sahabat dulu ada yang menangisi pemergian ramadhan. Namun kesedihan adalah disebabkan berlalunya bulan yang di dalamnya penuh keberkatan. Kesedihan ini juga bukanlah dibawa-bawa hingga ke pagi raya. Adapun pada hari raya kita disunatkan untuk bergembira sebagai tanda syukur kita dapat melaksanakan perintah-Nya. Allah berfirman:

“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Demi menzahirkan rasa kegembiraan manusia terhadap hari raya maka disuruh para wanita yang dalam keadaan haid sekalipun untuk turut serta tapi bukan bersolat sekadar mendengar khutbah dan meraikan kemeriahan. Ummu A’tiyah ada berkata:

Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada aidilfitri dan aidiladha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (HR Bukhari).

Di samping itu, galakan untuk berhibur seperti bernyanyi, pertunjukan yang menjaga batasan syara’ juga turut disebutkan melalui Aisyah r.a:

“Pada hari aidilfitri atau aidiladha, Abu Bakr  r.a masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (HR Bukhari dan Muslim).

Bagi permasalahan menziarahi kubur pada pagi raya sebenarnya ia bukanlah suatu tuntutan perlu yang mesti dilaksanakan. Namun ia kembali kepada hukum asalnya iaitu sunat (boleh) dilakukan bila-bila masa kerana mengingatkan kita tentang akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa sunat untuk menziarahi kubur bila-bila masa tanpa pengkhususan waktu. Adapun sewaktu menziarahinya perlulah dalam suasana yang tidak keterlaluan (bersedih) kerana ia sudah menyanggahi ciri-ciri hari raya yang sebenar yang menyuruh kita bergembira.

Ganjaran Berganda

Pada pagi hari raya ada beberapa perkara sunat yang boleh kita lakukan seperti mandi sunat, berwangi-wangian, berpakaian cantik dan juga makan sebelum pergi bersolat hari raya. Hal ini kerana makan di waktu pagi itu memberi gambaran bahawa ‘kemerdekaan’ kita daripada tidak boleh makan dan minum pada waktu siang. Daripada Anas r.a:

“Pada hari raya Rasulullah s.a.w tidak keluar untuk melaksanakan solat `Eid hinggalah beliau makan beberapa biji tamar terlebih dahulu”. (HR. al-Bukhari)

Setelah menjamah sedikit makanan kita lebih digalakkan untuk menuju ke tempat bersolat dengan berjalan kaki. Namun demikian berkenderaan bukan menjadi kesalahan. Lebih baik juga sepanjang perjalanan diisi dengan takbir daripada berdiam diri. Bagi tempat untuk bersolat pula lebih baik jika suatu kawasan itu dapat melaksanakannya di kawasan lapang maka ia amat digalakkan. Jika tidak berdaya cukup sekadar bersolat di dalam masjid. Abi Sa’id Al-Khudri meriwayatkan:

“Rasulullah s.a.w keluar menuju tempat solat `Eid al-Fitr dan `Eidal-Adha di padang atau tanah lapang” (HR Bukhari).

Setelah usai bersolat, hendak pulang daripada solat ‘Eid kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berbeza seperti perbuatan nabi yang dirawayat oleh Jabir r.a:

“Nabi s.a.w  jika bersolat `Eid, Baginda mengambil jalan yang berbeza antara pergi dan pulang” (HR. al-Bukhari)

Kemungkinan hikmah perbuatan baginda adalah supaya kita dapat berjumpa dengan manusia bagi mengeratkan hubungan sesama kita. Adapun perkataan yang digalakkan untuk disebutkan ketika bertemu adalah yang baik dan menggambarkan suasana yang gembira. Bagi para sahabat mereka sering mengucapkan:

“TaqabbalaLlah minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)”  

Berterusan Berpuasa

Maksud kepada penerusan berpuasa di sini bukanlah berpuasa pada hari raya pertama ( hukumnya haram) ataupun berpuasa sebulan di bulan syawal. Namun ia adalah puasa yang disebutkan sebagai puasa enam syawal seperti yang diketahui oleh kebanyakan kita.  Sabda Rasulullah s.a.w

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian disusuli dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (HR Muslim)

Begitulah besar ganjarannya jika kita melaksanakannya. Namun beberapa perkara perlu dinilai semula yakni berkaitan dengan melaksanakan puasa sejurus selepas hari raya pertama kerana melihat realiti di Malaysia adat kunjung-mengunjung sering dilakukan pada minggu awal berhari raya. Justeru, meraikan tetamu yang hadir atau jika kita bertandang ke rumah orang lain kita lebih digalakkan untuk tidak berpuasa sebagaimana hadis yang dirawayatkan oleh Abi Sa’id Al-Khudri:

“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (HR Baihaqi)

Merujuk kepada hadis ini meraikan orang yang meraikan kita lebih baik daripada kita berterusan berpuasa. Tambahan lagi, puasa enam ini juga bukanlah disyaratkan untuk kita berpuasa berterusan namun jika ia dapat dilakukan maka itu adalah suatu kebaikan. 

~Salam Aidlfitri daripada saya MUIZ buat para pembaca setia~

Comments (4)

  • Adi

    Assalamualaikum.Saya ingin mengajukan satu persoalan.Semua orang sedia maklum bahawa lelaki diharamkan untuk mendengar wanita yang bukan ajnabi melunak-lunakkan suaranya seperti menyanyi.Jadi soalan saya adakah pada hari raya perbuatan tersebut menjadi tidak haram?

    Harap dapat memberi jawapan yang terbaik, InsyaAllah.

    Reply
    • MUIZ

      MUIZ

      wslam. trima kasih ats soalan saudara n saya puji sikap ingin tahu saudara.

      jelas disebutkan di dalam AQ dlm surah Al-Ahzab;32 tntg perkara ini yg tidak mmbenarkan wanita memanjakan suara kpd lelaki ajnabi kerana takut menimbulkan fitnah.
      perlu difahami di sini memanjakan suara yg menggoda yg dilarang. namun tidak dapat dinafi nyanyian juga boleh membawa kepada fitnah sbb itu saya simpulkn pndpt2 ulama’ tntg prmslahan nyanyian ini. terdapat 3 pndapat yg merujuk kpd hadis ini.

      1. harus. sprti yg sya sebut yg mnjaga syara’ iaitu dgn tiada aktiviti melampau sprti minum arak, bercumbuan dll. bagi pnyanyi itu pula tidak membuat aksi yg mengghairahkn seperti menari, membuka aurat n dsb. adapun lagu yg brsifat ketuhanan lazimnya jauh drpd perbuatan ini.

      2.haram. mggunakan kaedah ‘menghalang sebelum brlaku kerosakan’ maka majoriti ulama’ sprt imam syafie, imam ahmad tidak mmpersetujui perkara ini. lbh lgi ditempat umum. mka prkara ini lbh baik dan selamat.

      3. sya menukilkn hadis trsebut ats tujuan mggmbrkan suasana gmbira. namun dlm mnfsirkn hadis itu, ia adalh suatu pengecualian pd hari raya. namun prlu diketahui pengecualian itu brdsrkan ‘uruf (adat) kaum trsebut dn pd msa itu tiada media sprti skrg ini yg mana ketika itu nyanyian trsbut lbh brsifat trtutup dlm rumah nabi s.a.w. brbnding skrng bisa trsebar luas. meneliti hadis ini lbh trprinci disebutkn dlm riwayat ktika Abu Abkr masuk ddk di sisi bginda ttp dapati bginda brada di blkng hijab yakni membelakangi kedua penyanyi trsebut.

      Reply
  • Mohamad firdaus bin mustafa

    Mohamad firdaus bin mustafa

    as- salam
    moga Allah menerima segala amalan baik kita semua amin ..

    syukran atas perkongsian ;)

    Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top