Kehidupan: Shortcut Ke Syurga, wujudkah?
Pciture by http://aparatka.deviantart.com/
“Senang je nak masuk syurga.”
“Iya?”
“Mati syahid, terus masuk syurga.”
Itulah antara sembang-sembang saya dengan rakan-rakan semasa masih kecil dulu. Ketika itu akal masih cetek, minda masih rendah, suka ambil jalan mudah. Namun bila saya telah dimakan usia, menjejak umur pemuda, telah merantau ke beberapa negeri dan negara, saya mula tahu bahawa tiada jalan senang untuk masuk ke syurga.
Mati syahid itu sendiri bukan mudah hendak dicapai sebenarnya.
Namun bila saya melihat kebanyakan masyarakat hari ini, mentaliti saya ketika kecil itu mengakar dalam kehidupan mereka. Suka mencari jalan pintas ke syurga. Jalan mudah, cara senang, untuk masuk ke syurga.
Menyebabkan akhirnya ramai yang Islam tetapi sekadar menjadi Muslim yang sia-sia.
Mati Syahid itu Bukan Mudah.
Kelihatannya seperti senang. Pergi ke medan perang, berperang dan terbunuh. Tetapi hakikatnya tidak semudah itu. Mati Syahid tidak semudah itu. Perasaan ditusuk senjata bertubi-tubi, apatah lagi jika sebelum kematian datang itu anggota-anggota tubuh telah terputus terlebih dahulu, darah keluar membuak dengan kesakitan yang sangat menyakitkan, belum dicerita lagi kalau ditangkap musuh dan diseksa perlahan-lahan sebelum dibiarkan lapar hingga kebuluran dan mati dalam keadaan kehausan.
Selain ‘gegaran yang dapat dilihat’ itu, permainan syaitan yang ‘tersembunyi’ juga mampu menggagalkan usaha untuk Mati Syahid. Riya’, takabbur, kesilapan niat untuk berjuang, dan sebagainya, semuanya boleh membuatkan seseorang itu kelihatan seperti mati syahid, namun hakikatnya mati katak sahaja.
Ya, Mati Syahid tidak semudah yang dijangka. Bermakna, hendak masuk syurga dengan menggunakan jalan Mati Syahid itu, tidak mudah sebenarnya.
Terdapat dua kisah. Kisah pertama adalah berkenaan seorang lelaki yang mati di medan peperangan semasa zaman Rasulullah SAW. Ramai memuji ketangkasannya, dan berkata bahawa syurga adalah untuknya. Namun Rasulullah SAW bersabda: “Dia adalah dari kalangan ahli neraka.”
Rupa-rupanya, dia berjuang adalah kerana kaumnya, bukan kerana Allah SWT. Dan di penghujung riwayatnya, oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan luka-luka yang diterima oleh dirinya, dia menamatkan riwayatnya sendiri bagi mengurangkan penderitaan yang diterimanya.
Kedua pula, adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, dia menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Pada hari kiamat nanti di antara orang yang paling pertama dibuat keputusan terhadapnya; Di antara mereka ialah seorang yang telah syahid. Orang ini akan dibawa di hadapan Allah SWT. Allah SWT akan menyatakan nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan terhadapnya dan dia mengakuinya. Kemudian Allah SWT akan berfirman: Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini? Dia akan menjawab: Aku telah berperang untuk mendapatkan redhaMu sehingga aku telah syahid. Allah SWT akan berfirman: Engkau berbohong. Engkau telah berjihad supaya orang menggelar kamu sebagai seorang yang berani dan yang demikian itu telah pun diperkatakan. Kemudian dia akan diperintahkan untuk diseret di atas mukanya dan akan dilemparkan ke dalam nereka Jahanam.” Hadith Riwayat Muslim.
Ya. Tidak semudah itu mati syahid untuk masuk ke syurga.
Justeru, mana ada jalan pintas ke sana?
Mentaliti Masyarakat, Mahu Mudah.
Mentaliti masyarakat yang mahu mudah sahaja, mahu senang sahaja, menjahanamkan diri mereka dan merosakkan kualiti pembinaan ummah. Kerana perkara ini, datanglah juga hadith-hadith palsu. Kita sendiri dapat melihat betapa terujanya manusia berkongsikan pesanan perihal Bulan Sya’ban, kemudian berkata bahawa barangsiapa yang mengingatkan perihal bulan itu, haram baginya api neraka. Namun hidupnya tetap tunggang langgang melanggar syariat Allah SWT.
Antara contoh lain, ramai yang taksub dengan Ka’bah, seakan-akan Ka’bah itu membawa seseorang masuk ke syurga. Maka bila ada pemimpin yang disokongnya berjaya masuk ke dalam Ka’bah, dikuduskan, dimuliakan, seakan-akan telah hilang segala dosa-dosanya. Dan dia pulang dari Makkah, menyambung lagi kefasadannya. Maka di mana maknanya?
Tidak kurang yang berbangga apabila telah pulang dari Makkah, apatah lagi jika ke sana semasa Ramadhan. Terasa diri suci sungguh. Sedangkan ramai lupa bahawa Abu Jahal juga hidup di sisi Ka’bah, ke neraka juga dia akhirnya.
Belum dikira lagi bagaimana wujud beberapa orang yang mengaku dirinya keturunan Rasulullah SAW. Bila kita dapat mengucup mereka ini, terus terasa seperti diri ini macam telah masuk ke syurga. Maka mereka ini diikuti dengan membuta tuli. Sedangkan kita lupa, Abu Talib, Abu Lahab, semua itu adalah bapa saudara Rasulullah SAW, paling rapat dengan Rasulullah SAW, tetapi ke neraka juga mereka.
Maka di mana jalan shortcut ke syurga?
Tiada.
Mentaliti sebeginilah yang merosakkan masyarakat kita.
Kerana itu, tidak hairanlah ramai yang mudah mengikuti ajaran-ajaran sesat, Rasul-rasul palsu, kerana jika dilihat, semua ini memberikan tawaran jalan mudah ke syurga Allah SWT. Ikut aku, masuk syurga. Sebab itu hingga ke tahap, pemimpinnya meludah, pengikut-pengikutnya sanggup menjilat ludah itu. Sedangkan pemimpinnya bukan Rasulullah SAW!
Peribadi Ahli Syurga. Mereka Diuji. Susah!
Syurga itu dipagari dengan onak dan duri. Perjalanan ke arahnya tidak dihampari permaidani merah. Kerana itu Allah SWT sering menyoal dengan soalan: “Apakah kamu mengira kamu akan masuk ke dalam syurga…?”
Lihatlah firman-firmanNya ini:
“Apakah kamu mengira kamu akan masuk ke dalam syurga, sedangkan belum tiba ke atas kamu seperti apa yang dilalui oleh mereka yang sebelum kamu? Mereka itu diuji dengan kemelaratan, kesengsaraan dan digoncang, hingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah(mahu sampai)?” Surah Al-Baqarah ayat 214.
“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan ditinggalkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
Pernah para sahabat, apabila diuji dengan dugaan yang terlampau sukar, hingga pergi bertemu kepada Rasulullah SAW dan berkata:
“Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak memohon pertolongan buat kami? Mengapa engkau tidak mendoakan buat kami?” Dengan bermaksud mahukan Rasulullah SAW menggunakan statusnya sebagai utusan Allah SWT itu, memohon kepada Allah SWT agar terus diberikan kemenangan kepada ummat Islam.
Namun apakah jawapan Rasulullah SAW?
“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga menggelupas daging dari tulang dan dibelah dua badannya dengan gergaji, tetapi hal itu tidak memalingkan mereka dari agamanya.” Hadits riwayat Bukhari.
Ya. Tiada jalan shortcut!
Penutup: Jalannya Adalah Pembinaan Peribadi. Menjadi hambaNya Yang Sejati!
Maka jalan yang hakiki untuk ke syurga Allah SWT adalah hakikatnya dengan menjadi hambaNya yang sejati. Berusaha dengan cekal dan sabar memenuhi perintahNya, dan menjauhi laranganNya. Bila berdosa bertaubat, bila terjatuh berusaha dengan segera untuk naik kembali. Di samping berusaha memperbaiki diri, mengajak pula orang lain agar bersama-sama dalam perjalanan ini.
Itulah dia jalan ke syurga yang sebenarnya. Sekaligus melahirkan manusia-manusia yang kala berjuang di atas jalan Allah SWT, mendambakan syahid di sisiNya. Tidak gentar, tidak rapuh. Lihatlah perjalanan Rasulullah SAW. Tidak mudah. Mengalir pada diri baginda peluh dan darah. Sedangkan baginda adalah Kekasih Allah!
Maka bagaimana tiba-tiba kita dengan beberapa amalan sahaja, dijamin masuk syurga?
Sungguh, kita adalah hambaNya yang tidak malu dan lupa!
Marilah sama-sama muhasabah diri.
Gencarkan usaha!
Sesungguhnya tiada jalan pintas ke syurgaNya!



subhibakhir
insaf..T.T
Nabieyl
Sungguh, kita adalah hambaNya yang tidak malu dan lupa! T.T soo true..
siti hafizah
kita masih jauh T_T
rasyid_iic
bermakna !
nur fitrah
astaghfirullah..terasa diri ini terlalu jauh dari SyurgaNya..
syukran atas peringatan dan perkongsian
Nadhirah
Astaghfirullhhalazim…betul-betul mengetuk hati ini. Subhanallah…
Hadi Muslim
benar tidak mudah ke Syurga. Tapi Indah jika mengamalkan amalan Ahli Syurga. Terasa ingin dan rindu masuk ke dalamnya.
Mohamad Tarmizi
adik9
=(
Ahmad Amin
syukran jazilan
rauna
huhu
amirah syafiqah
alhamdulillah….
ilyas91
Tiada jalan pintas yang disediakan bagi menuju ke syurga.
Kita hanya mampu untuk terus berusaha untuk mendapatkan keredhaan-Nya.
mia
muhasabah diri ^^
alihassan
Assalam
Satu perkongsian ilmu yang bernas dan punya kekuatan. Tq
hitamputih
seseungguhnya diri ini sering lalai dan lupa…muhasabah diri…syukran
mujahid ilmu
syukran akhi hilal…
Zain Anwar (Hamba Allah)
Terima kasih atas perkongsian ini.
Iman Nisa
terasa sampai ke kalbu. ‘SUNGGUH KITA HAMBA YANG TAK MALU DAN PELUPA !”