Selasa, 18 Jun 2013   |   9 Syaaban 1434H   |   24 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Agama » Agama: Ramadhan – Konsep Sedekah Suatu Keluasan Pandangan

About The Author


Muhammad Uzair bin Izham (MUIZ). Lahir pada 27 Ogos 1992. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Bersekolah menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah,Perlis sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin tahun 3 sesi 2012/2013 di Yarmouk University, Jordan.

Number of Entries : 38

Agama: Ramadhan – Konsep Sedekah Suatu Keluasan Pandangan

 

Bulan Ramadhan juga bulan yang didalamnya kita digalakkan untuk bersedekah. Sedekah yang biasa difahami oleh masyarakat adalah terbatas dengan memberi wang kepada mereka yang meminta atau yang memerlukan. Namun konsep sedekah sebenarnya lebih luas daripada apa yang digambarkan. Maksud dari segi bahasa sedekah adalah benar. Manakala pemberian sesuatu (yang baik) untuk memenuhi permintaan orang lain dengan tujuan mendekatkan diri pada Allah  adalah makna istilahnya. Keluasan sedekah dapat dilihat melalui hadis nabi daripada Abu Hurairah:

“Tiap-tiap anggota daripada manusia sedekah ke atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Kamu berlaku adil antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, dan kamu menolong seseorang menaiki kenderaanya atau menolong mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalaah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah dan pada tiap-tiap langkah yang kamu membuang bahaya dari jalan juga merupakan sedekah”. (HR Bukhari & Muslim)

 

Pembahagian sedekah

1. sedekah untuk diri sendiri

Daripada hadis di atas dapat difahami manusia sebenarnya boleh bersedekah untuk diri sendiri bermaksud manfaat dan ganjaran ke atas pelaku. Namun ia lebih daripada pahala yang diperolehi dengan memberi sedekah (wang). Bahkan, jika  kita menggunakan anggota tubuh badan kita kearah kebaikan dengan beribadah, bersenam,bekerja,belajar pada setiap hari juga merupakan suatu sedekah kepada diri sendiri. Mengapa? Ini adalah kerana setiap perkara yang dilakukakan dengan niat yang baik dan hanya kerana-Nya maka mendapat ganjaran pahala.

2. sedekah untuk orang lain

Perbuatan ini bermaksud kita membantu orang lain dengan meringankan bebanannya melalui pelbagai sumber, manfaatnya pada orang lain tetapi ganjararan ke atas diri kita. Seringkali situasi ini berlaku dalam kehidupan kita kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk tidak dapat lari daripada sikap saling membantu sesama kita tidak kira apa jua bentuk pertolongan ke arah kebaikan.

 

Peluang?;Sedekah dalam Ramadhan.

a) kata-kata yang baik

Lidah tidak bertulang. Mudah saja bagi manusia untuk berkata-kata. Namun ketahuilah setiap perkataan yang zahir di atas lisan kita adalah perkara yang kita fikir dan datangnya dari jantung hati. Jika baik maka baiklah perkataan kita jika tidak maka sebaliknya.

“Ketahuilah di dalam tubuh manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah keseleruhannya, apabila ia rosak maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang disebutkan jantung hati”. (HR Bukhari & Muslim)

Jadi setiap kata yang terucap sebenarnya terpandu oleh naluri jantung hati. Demikian, adalah lebih baik bagi seseorang manusia untuk memenjarakan lidahnya daripada berkata perkara nista, mencarut dan juga yang tidak membawa faedah kerana sesungguhnya perbuatan tersebut menandakan orang itu beriman seperti hadis nabi s.a.w:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata sesuatu yang baik atau hendaklah dia berdiam diri” (HR Bukhari & Muslim)

  • Nota tambahan: mengapa dalam banyakkan hadis nabi menyebutkan beriman kepada Allah dan Hari Kiamat tetapi tidak rukun-rukun yang lain?

Jawapan:  jika seseorang beriman kepada Allah maka dia perlu mengetahui segala suruhan dan larangan-Nya. Adapun cara untuk dia ketahui sudah tentulah melalui perutusan nabi dan nabi pula mengetahui melalui penurunan wahyu dengan perantaraan malaikat. Maka bagi nabi itu pula ada risalah yang tersendiri yang baginda bawa (Al-Quran).

Manakala jika seseorang beriman dengan hari akhirat manusia akan tahu bahawa adanya pembalasan terhadap perbuatan mereka di atas segala perbuatan mereka melalui ketetapan dan pilihan diri sendiri yang ditulis oleh Allah yang disebutkan sebagai Qada’ dan Qadar.

Jadi dapat dilihat di sini sebenarnya beriman kepada Allah dan hari akhirat merangkumi keimanan kita kepada keselurahan rukun iman yang lain jika kita benar-benar memahami. Indah sungguh sabda baginda yang ringkas namun membawa pelbagai maksud.

Menjaga lisan dan anggota ketika berpuasa

Lebih-lebih lagilah perlu dijaga keduanya (lisan dan anggota) pada bulan ramadhan yang mulia ini kerana dengan demikian kita akan memperoleh ganjaran pahala dan kesempurnaan dalam berpuasa. Hadis nabi menggambarkan larangan untuk berkata jelek atau berdusta seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah keduanya:

“Jika seseorang dari kamu berpuasa maka hendaklah dia tidak berkata keji dan marah-marah. Apabila ada seseorang yang mencacinya atau menyakitinya, maka hendaklah dia berkata: ‘sesungguhnya aku berpuasa’. (HR Bukhari & Muslim)

Dan hadis ini:

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta,maka Allah tidak mengambil kira perbuatannya meninggalkan makan dan minumnya(berpuasa)”. (HR Bukhari)

Justeru, tidakkah sia-sia penat lelah kita berpuasa ditambahkan dengan amalan-amalan lain namun akhirnya menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa dikira usaha kita.

b) menjaga silaturrahim

Hubungan persaudaraan (silaturrahim) adalah perkara yang amat dituntut di dalam islam. Baik  sesama akidah (muslim)  ataupun sesama saudara yang ada pertalian darah. Perkara  ini disebutkan di dalam al-Quran bahawa setiap muslim itu bersaudara. Persaudaraan atas dasar aqidah sebenarnya lebih utama berbanding yang lain. Di bulan mulia ini, kebanyakan masyarakat melazimi suatu adat yang baik seperti bertukar-tukar juadah sebelum berbuka. Perbuatan ini amat-amat digalakkan selain mengeratkan hubungan dapat juga pahala memberi orang lain berbuka. Adapun memberi makan orang berbuka besar ganjarannya seperti hadis nabi s.a.w:

“Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya adalah pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun”. (HR Tirmidzi – hadis hasan sahih)

Merujuk kepada hadis di atas jelas kepada kita bahawa besarnya pahala orang yang memberi orang lain berbuka puasa. Jadi manfaatkanlah peluang ini sebaiknya!

c) sedekah harta

melihat kepada realiti, mengikut apa yang saya perhati setelah berakhir hampir separuh ramadhan, masyarakat masih tidak lokek untuk menderma. Satu pujian. Namun biarlah amalan ini berkekalan hingga terbawa-bawa ke luar ramadhan kerana perlu kita ketahui bahawa sesungguhnya apa yang kita berikan itu sebenarnya ‘harta’ kita berbanding yang ada ditangan. Allah berfirman:

Sebenarnya apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. Dan sesungguhnya kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan. (An-Nahl:96)

Justeru, seharusnya kita mengekalkan momentum amal ibadah kita dengan melebih-lebihkan lagi sedekah kita supaya kita menjadi ‘orang kaya’ di akhirat kelak. Perlulah diketahui juga bahawa setiap benda yang kita infakkan dan belanjakan untuk Allah maka pasti akan diganti semula oleh Allah berdsarkan firman-Nya:

Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya,dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki. (Saba’:39)

Salah Faham

Ramai dalam kalangan kita ingin mengikut sunnah baginda dan jejak langkah para sahabah. Itu adalah suatu yang amat baik kerana generasi awal terdahulu diiktiraf oleh Allah sendiri sebagai generasi yang terbaik. Namun, kita berpijak di atas bumi. Kita harus memandang realiti. Bukan maksud saya jangan mengikuti mereka bahkan amat digalakkan. Cuma kadang-kadang kita tersalah langkah.

Satu contoh yang ingin saya gambarkan mengenai ketika sewaktu sebelum Perang Tabuk berlaku, para sahabah diminta untuk menginfaqkan harta bendanya. Maka Abu Bakar r.a tanpa ragu memberi keseluruhan hartanya. Begitu pula Umar r.a sebahagian darinya. Begitulah sikap mereka sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Mengenai sedekah. Tiada salahnya untuk kita menginfaq keseluruh harta kita jika benar-benar mampu. Mampu di sini bukan sekadar pada harta juga pada jiwa. Mampu bukan sekadar diri bahkan keluarga. Lihat bagaimana Abu Bakr r.a yang memberi seluruh hartanya kepada Islam namun keluarga beliau memahami bahawa itu adalah pengorbanan dakwah hatta tiada rasa sangsi bahawa mereka masih mempunyai Allah dan Rasul.

Dalam dunia realiti hari ini, mungkin terdapat sebahagian golongan ingin hidup dalam keadaan zuhud. Itu suatu perkara yang baik. Namun bukanlah maksud zuhud itu tidak berpakaian kemas dan tidak bercakap lantang tetapi zuhud itu tidak meletakkan dunia dalam hati kita. Justeru, mereka yang ingin memberi infaq seluruh hartanya perlu melihat situasi ini semula kerana ia(harta) juga keperluan semasa. Bahkan memberi kepada keluarga itu juga sedekah dengan syarat datang dari hasil usaha kita bukan memakan hasil orang lain melalui cara yang batil.

Apa yang saya ingin sampaikan adalah bukan meletakkan keutamaan sedekah itu pada tahap kurang utama tetapi salah faham ini berlaku dalam sebilangan yang mengaku membawa islam dan ingin berkorban segalanya sedangkan dia meninggalkan penjelasan terhadap keluarga juga tanggungjawabnya tidak terjaga. Adapun apa yang lebih dari hasil kita, bahkan lebih baik apa yang kita ada ditambah perkara yang kita suka di saat seseorang memerlukannya pula diinfaqkan maka lebih banyak ganjarannya.

Suka saya bawa sirah ketika kaum muhajirin (penduduk Makkah) berhijrah ke Madinah, mereka dilayan dengan begitu istimewa oleh kaum ansar (penduduk Madinah) hingga ada yang mempelawa isteri mereka untuk dinikahi sedangkan mereka tidak pernah saling mengenali cumanya ditautkan hati-hati mereka atas dasar keimanan dan taqwa. Justeru, jika kita berpeluang membantu sahabat-sahabat kita di Syria, Somalia, Palestin dan pelbagai negara lagi, atas dasar keimanan nescaya kita tidak kekok untuk menghulurkan bantuan.

Berbeza

Perlulah jelas bahawa sedekah ini adalah nilai tambah daripada amalan kita. Adapun zakat ia suatu perkara yang dituntut (wajib). Maka jika dapat melaksanakan keduanya alangkah beruntungnya kita.

Konklusi

Setiap perkara kebaikan yang kita lakukan di atas dunia ini baik kepada diri kita sendiri atau orang lain maka ia dinilai sebagai sedekah dengan syarat keikhlasan kita kepada Allah dengan mengharap keredhaan-Nya dunia dan akhirat. Nabi s.a.w ada bersabda melalui lisan Jabir:

“Setiap kebaikan adalah sedekah”(HR Muslim)

wallahualam~

Comments (14)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top