Kehidupan: Ramadhan – Apakah Allah Mengarahkan Arahan Yang Sia-sia?
picture by http://shasnainraza.deviantart.com/
Di dalam Ramadhan, Islam mewujudkan Solat Tarawih 8 rakaat, dan ada yang melaksanakannya 20 rakaat. Berbanding bulan-bulan yang lain, kebiasaan solat sunat berakaat-rakaat ini tidak ditekankan, melainkan untuk orang yang melakukan inisiatif sendiri melaksanakan tahajjud dengan bilangan rakaat yang banyak. Namun di dalam bulan Ramadhan, ada solat bernama Tarawih, yang digalakkan untuk dilaksanakan, yang masyhur, hingga semua orang tidak kira tua dan muda melakukannya.
Di dalam Ramadhan juga, Allah SWT mengarahkan kita berpuasa sebulan penuh, sedang tiada arahan sedemikian untuk dilaksanakan pada bulan-bulan yang lain.
Ditambah pula, di dalam Ramadhan, Allah SWT dan Rasulullah SAW jelas menggalakkan ummat Islam memperbanyakkan amalan. Beberapa hadith jelas menyatakan bahawa pahala puasa adalah tinggi, amalan yang dilakukan semasa berpuasa akan berganda-ganda, memberi makan orang berpuasa pahalanya besar, pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan digari, dan sebagainya, sebagai motivasi untuk melaksanakan amalan yang banyak.
Dan ummat Islam menyahut seruan ini. Bulan Ramadhan memang majoritinya manusia ke masjid, memperbanyakkan amalan, membaca Al-Quran dan melakukan pelbagai kebaikan.
Namun, persoalan yang utama:
“Mengapa selepas keluar dari Ramadhan, amalan-amalan tadi seakan tiada maknanya dalam membina peribadi kita?”
Ramadhan Bulan Menyumbat Amal?
Kadang kita melihat semula keadaan kita. Dari tidak berapa rajin solat sunat, bahkan ada dari kalangan kita yang malas solat, tiba-tiba semasa Ramadhan mampu solat tarawih 8 rakaat berserta 3 rakaat witir, HARI-HARI.
Kadang antara kita ada yang tidak sentuh pun Al-Quran sepanjang 11 bulan yang lain, ada yang jarang baca, ada yang baca semuka sahaja sehari, tetapi di dalam Ramadhan tiba-tiba boleh menghabiskan 30 juzu’ Al-Quran. Bahkan ada yang menghabiskannya dua kali.
Ada kalangan kita yang selama ini malas berbuat amal kebaikan, namun tiba-tiba di dalam Ramadhan dia mampu berpuasa penuh 30 hari, disertai dengan menjauhi maksiat mulut, mata, tangan dan kaki. Ditambah pula dengan sedekah yang banyak, dan kebaikan-kebaikan yang lain.
Namun, apabila habis sahaja Ramadhan, dia menjadi seperti dia yang sebelum masuk ke dalam Ramadhan.
Ibadahnya hampeh, peribadinya jelek, dan hidupnya tidak membantu memberikan manfaat kepada perkembangan Islam sikit pun.
Kita sepatutnya bertanya kepada diri kita: “Sudah berapa Ramadhan kita lalui?”
Ya. Kalau umur sudah 30 tahun, maka at least sudah 15 tahun Ramadhan kita lalui dalam keadaan aqil baligh. Maka kita tanya lagi pada diri kita satu soalan:
“Mana 15 kali Ramadhan punya tarbiyah, kesan, yang wujud di dalam diri aku yang hari ini?”
Ya, mana?
Apakah Ramadhan hanya bulan menyumbat amal?
Ramadhan Itu Bulan Mengecas Kembali Iman, Mengkilatkan Kembali Taqwa, Dan Mempertingkatkan Lagi Diri!
Saya melihat bahawa, Ramadhan bukanlah bulan yang disediakan oleh Allah SWT untuk kita sekadar menyumbat amalan, dan kemudian apabila ia berlalu, maka kita menanti Ramadhan yang akan datang untuk menjadi hambaNya yang sebenar semula.
Sesekali tidak. Mustahil Allah mengarahkan arahan yang sia-sia sedemikian rupa.
8 rakaat tarawih, hanyalah untuk dilaksanakan dalam sebulan, dan kemudian 11 bulan lagi kita menjadi hambaNya yang hampeh? Mustahil.
30 juzu’ kita baca Al-Quran dalam Ramadhan, kemudian kita keluar dari Ramadhan, dalam 11 bulan yang lain kita menjadi hambaNya yang hampeh? Mustahil.
Kita perbanyakkan amalan dalam bulan Ramadhan, kemudian kita keluar dari Ramadhan, dalam 11 bulan yang lain kita memperbanyakkan dosa-dosa dan hidup dalam keadaan sia-sia? Mustahil.
Mustahil itu tujuannya.
Ramadhan itu hakikatnya adalah untuk kita duduk di dalamnya, melaksanakan semua amalan yang digalakkan di dalamnya, adalah untuk kita RASA. Rasa hidup di dalam suasana seorang hamba yang sebenar itu bagaimana. Rasa mengapa kita perlu berdiri solat, rasa mengapa kita perlu kembali mentadabbur Al-Quran. Rasa mengapa kita perlu meninggalkan kalam yang buruk, menjauhi amalan yang buruk. Rasa mengapa kita perlu hidup dalam ketaatan kepada Allah SWT.
Rasa. Kemudian meningkat.
11 bulan yang seterusnya kita pegang rasa ini, dan kekal berusaha menjadi hambaNya yang diredhai.
Penutup: Maka Laluilah Ramadhan Dengan Makna-maknanya!
Makna Ramadhan adalah ibarat sebuah perjalanan ke negara-negara yang rosak, yang penuh dengan anasir jahiliyyah, kemudian kita datang ke sebuah Negara Islam yang berdiri di dalamnya hukum-hukum Allah, yang penduduknya hidup dengan perintah Allah SWT. Kemudian di negara Islam itu, kita perkuatkan ilmu kita, perhebatkan peribadi kita, untuk kita keluar semula ke negara-negara yang rosak tadi untuk menghidupkan Islam di dalamnya.
Kita dengan Ramadhan, adalah sedemikian.
Kita masuk ke dalam Ramadhan adalah untuk mewarnakan bulan-bulan yang lain dengan warna Islam.
Di dalam Ramadhan, kita merasai bi’ah solehah itu. Masjid penuh, Al-Quran berdengung-dengung, amalan banyak, maksiat dijauhi. Begitulah juga yang mahu kita hidupkan di dalam 11 bulan yang lain. Kerana Islam itu begitu. Kerana Allah itu mahu hamba-hambaNya begitu.
Gapailah perasaan ini. Jangan jadikan Ramadhan kita kali ini sia-sia lagi.
Rancanglah peningkatan kita dengan penuh strategi dalam Ramadhan kali ini.
Biar keluar benar-benar menjadi hamba Rabbani.
Kerana kita bukan hamba Ramadhani, beramal hanya dalam Ramadhan, beramal hanya kerana Ramadhan datang.
Ayuh, tukar paradigma ini!



Nisa
Muhasabah~
Mohamad firdaus bin mustafa
Alhamdulillah , moga Allah terus beri kite kekuatan utk terus istiqomah dlam beribadah lebih2 lagi di bulan ramadhan al – mubarak ini
amin..
Fatin Atiqah Hairudin
Muhasabah.. jazakallah akhi atas peringatannya.. moga ramadhan kali ini memberikan kita ruang dan peluang untuk menjadi hamba Illahi yang sebenar-benarnya.. bukan sekadar pada bulan ramadhan semata, tapi untuk 11 bulan yg akan datang..
zabil
betulkan yang biasa..biasakan yang betul…
Nadhirah
Itulah namanya istiqamah dalam beribadah
wardatul humaira
“Mana 15 kali Ramadhan punya tarbiyah, kesan, yang wujud di dalam diri aku yang hari ini?”
Ya, mana? :’(
izyan
t ksih di ats peringatan..mhn izin utk share..
ilyas91
Jangan jadi ‘baik’ hanya dalam bulan Ramadhan.
Tetapi cubalah untuk istiqamah dalam melakukan sesuatu kebaikan dan ibadah dalam kehidupan.
Insya-Allah.
cahaya keimanan
check balik diri kita (:
W.HabibuRahman
yep…moga ALLAH memberi kita kekuatan untuk melakukan ibadah dengan penuh istiqomah
Nabieyl
-,-’
rauna
TIDAK!
Mohamad Tarmizi
cermin diri sendiri..
mia
ayuh! muhasabah diri!
Teman Nabila
terima kasih atas perkongsiaan ^_^
sharifah
ya..mana?