Khamis, 23 Mei 2013   |   13 Rejab 1434H   |   24 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Agama » Ramadhan -Kitab Keutamaan (Sahur dan Berbuka)

About The Author


Muhammad Uzair bin Izham (MUIZ). Lahir pada 27 Ogos 1992. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Bersekolah menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah,Perlis sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin tahun 3 sesi 2012/2013 di Yarmouk University, Jordan.

Number of Entries : 35

Ramadhan -Kitab Keutamaan (Sahur dan Berbuka)

~Gradasi langit senja saat untuk berbuka~

Setiap perkara yang ingin dilakukan segera pada waktu yang sama dalam situasi berbeza dalam kehidupan kita mempunyai dua ciri terpenting iaitu utama dan penting. Bagaimana kita menguruskannya adalah berbalik kepada diri kita sendiri untuk menentukannya. Namun jika kita melihat piramid perkara yang ingin kita lakukan sudah tentu perkara utama dan penting didahulukan. Bukan hendak memperbahaskan isu ini namun ingin membawa kita meneliti realiti ketika ini yang mana kita sedang berada didalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Tetapi adakah kita ketahui perkara apakah yang penting dan utama untuk kita lakukan supaya kita mendapat lebih ganjaran?

Sahur

Amalan sahur merupakan perkara sunnah yang amat dituntut untuk kita lakukan. Namun ia bukanlah sampai ke tahap wajib hingga jika tidak melakukannya tidak dikira ibadah puasa. Walaubagaimapun, jika sesuatu perkara itu dituntut seharusnya terdapat kebaikan serta hikmahnya tersendiri. Rasulullah ada bersabda daripada Anas r.a:

“Makan sahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkahan”. (muttafaqun alaih)

Dalam sahih Muslim pula ada menyebutkan Rasulullah bersabda:

“Perbedaan antara puasa kita dengan puasanya ahli kitab adalah makan sahur”. (Muslim)

Melihat kepada kedua hadis ini dapat kita ketahui bahawa sahur adalah suatu perkara yang benar-benar dituntut kerana terdapat keberkahan padanya dan juga yang membezakan kita dengan puasa ahli kitab yang lain. Namun pernahkah anda terfikir apakah keberkahan dan juga mengapa Rasulullah menyatakan sahur untuk membezakan puasa orang islam dengan yang lain tetapi bukan tarawikh?

Jika kita berusaha berfikir, kita akan menjumpai rahsia disebaliknya. Itulah ibadah qiyam (mendirikan ibadah malam). Mengapa? Ini disebabkan jika makan sahur itu adalah keberkahan nescaya baginda akan menyebutkannya secara jelas. Namun tidak dinafikan makan sahur dapat memberikan tenaga untuk terus berpuasa. Itu juga suatu keberkatan. Tetapi baginda hanya sebut dalam sahur (waktu) itu adalah keberkatan yang sebenar yang merangkumi setiap perkara yang berada ketika itu. Justeru, amat rugilah bagi kita jika hanya bangun untuk makan semata-mata.

Jika di bulan lain kita sukar untuk bangun pagi (sebelum subuh) untuk qiyam, tetapi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini Allah yang Maha Pemurah ingin kita memperbanyakkan ibadah pada-Nya dengan menjanjijkan pelbagai kenikmatan, maka bukankah suatu kerugian bagi kita tidak menggunakan peluang ini? Tambahan ia juga boleh menjadi latihan buat kita untuk meneruskannya pada bulan-bulan yang lain.

Begitulah juga dengan perbedaan puasa orang islam dengan yang lain, kerana kekuatan muslim itu bukan dari segi fizikalnya sahaja namun yang lebih penting adalah spiritualnya. Itulah juga rahsia kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh dahulu bersama tenteranya dalam usaha mereka menawan Konstantinopel hingga berjaya memilikinya. Jadi, kita dapat mengetahui, bahawa puasa sebenarnya bukan melatih ketahanan fizikal kita sahaja tetapi juga kekuatan dalaman.

Adapun tarawikh tidak menjadi ibadah yang membedakan puasa kita bukan maksud ia tidak penting. Tetapi tarawikh ini, boleh jadi buat kerana ia adalah adat dan ramai manusia dapat melihat. Namun ibadah qiyam hanyalah hubungan hamba bersama Tuannya di kala gelap malam menyepi.

Melewatkan sahur

Daripada Zaid ibn Tsabit r.a beliau berkata: “kami makan sahur bersama Rasulullah s.a.w, kemudian kami berdiri untuk mendirikan solat (subuh). Ada seorang daripada kami bertanya kepada baginda: Berapa jarak antara keduanya (sahur dan solat subuh)?” Beliau menjawab; kira-kira sama dengan membaca lima puluh ayat al-Quran. (muttafaqun alaih)

Jika kita melihat hadis ini secara literal mungkin kita tidak menjumpai rahsianya. Namun setiap kata-kata nabi penuh bermakna dan pelbagai maksud pula ( جوامع الكلام).  Meneliti jumlah ayat yang disebutkan (dalam lingkungan beberapa minit) ulama’ membincangkan bahawa ia menunjukkan waktu masih dibolehkan bersahur. Jika  ada beranggapan bahawa ia adalah waktu (Imsak) dimana perlu untuk berhenti bersahur maka ia adalah satu kesilapan kerana disebutkan dalam Al-Quran sendiri:

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Ayat ini merujuk bahawa waktu berhenti sahur adalah ketika azan berkumandang. Adapun waktu imsak itu perlu dilihat sebagai waktu persediaan untuk solat subuh atau waktu ke’cederaan’jika terlewat bangun. Adapun permulaan sahur itu tidak disebutkan secara jelas tetapi apa yang difahami melalui hadis di atas adalah untuk kita melewatkan sahur sekadar sempat kita beribadah malam dan bersedia melaksanakan solat subuh.

Keberkatan waktu sahur itu tidaklah terbatas hanya dengan solat sunat sahaja. Ia juga merangkumi ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa malah cukup untuk kita manfaatkan waktu tersebut jika kita benar-benar tidak mampu untuk mendirikan solat sunat akibat keletihan atau lain-lain. Namun bagi mereka yang merindui ber’interaksi’ dengan Penciptanya maka gunalah waktu tersebut dengan sebaiknya!

Galakan untuk melakukan perkara ini (berdoa) ada disebutkan dalam hadis nabi s.a.w:

 “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Berbuka

Islam tidak memberatkan penganutnya dalam melaksanakan sesuatu amalan. Kita disuruh untuk melewatkan sahur, namun ketika disunatkan mempercepatkan berbuka pula. Rasulullah ada bersabda:

Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka (muttafaq alaih)

Berbuka atau solat dahulu?

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergesa-gesa semasa makan malam kamu.”(Muttafaq alaih).

Merujuk kepada hadis di atas kita sebenarnya diarah untuk memakan dahulu makanan yang telah tersedia di atas meja. Jika kita terus melaksanakannnya (solat) maka hukumnya makruh kerana bimbang kita akan kehilangan kekhusyukan semasa beribadah. Namun, jika makanan belum tersedia maka tiada masalah.

Kekeliruan

Kadang-kadang kita terkeliru benarkah seperti di atas (mendahulukan makan) sebelum bersolat. Ini adalah kerana bukankah solat merupakan suruhan Allah yang wajib kita utamakan? Namun  sebenarnya dalam kita menjaga hak Allah bukanlah bererti kita melaksanakannya (solat) sahaja tetapi menunaikannya dalam keadaan yang khusyuk dan ikhlas kepada-Nya.

Juadah

Lazimnya majoriti kita akan mengunjungi bazaar ramadhan yang berdekatan. Ia bukan suatu kesalahan. Namun ada beberapa perkara yang kurang baik dapat kita elak jika kita tidak melazimi ke sana. Antaranya kita dapat mengurangkan juadah seperti maksud asal dalam ibadah puasa dan juga dapat memelihara diri (pancaindera) daripada melihat perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Adapun bukanlah tidak boleh ke sana langsung, tetapi lebih baik kita pergi ke sana jika benar-benar perlu juga dalam keadaan yang segera.

Nabi s.a.w ada bersabda daripada Salman ibn Amir:

Jika salah seorang daripada kamu berbuka, maka hendaklah dia berbuka dengan kurma. Jika tidak ada maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya ia menyucikan. (riwayat Tirmidzi hadis hasan sahih)

Melihat sunnah Rasulullah baginda hanya berbuka dengan kurma atau dalam riwayat lain rutab(kurma basah) dan juga air. Perbuatan baginda bukan sahaja memberi saranan untuk kita berbuka dengan kurma atau air bahkan mengajar kita bersederhana (tidak berlebihan) supaya dapat kita ingat sahabat-sahabat kita yang mungkin tiada langsung rezeki untuk berbuka atau lebih teruk kesukaran dalam teguhkan akidah(beribadah) seperti yang berlaku pada umat Islam di Rohingya. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan mereka di sana.

Allahumaamin…

Comments (14)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top