Selasa, 21 Mei 2013   |   11 Rejab 1434H   |   19 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Agama » Agama: Ramadhan -Petunjuk Sepanjang Jalan

About The Author


Muhammad Uzair bin Izham (MUIZ). Lahir pada 27 Ogos 1992. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Bersekolah menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah,Perlis sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin tahun 3 sesi 2012/2013 di Yarmouk University, Jordan.

Number of Entries : 35

Agama: Ramadhan -Petunjuk Sepanjang Jalan

 

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.  (Ar-Ra’d:28)

Begitulah maksud ayat yang terdapat dalam gambar 1. Hanya bilamana kita mengingati Allah, maka hati kita akan menjadi tenang kerana Allah sentiasa mendengar rintihan dan kegusaran hamba-hambanya. Justeru antara ibadah yang membawa kita mengingati-Nya adalah membaca Al-Quran.

 

Ramadhan juga Bulan Al-Quran.

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”  (Al-Baqarah: 185)

Ramadhan. Bukan sahaja bulan yang mana dijanjikan pelbagai jenis manfaat, bahkan Al-Quran yang juga merupakan petunjuk bagi memandu manusia kearah kebenaran dalam menempuhi liku-liku kehidupan diturunkan dalam bulan ini. Tambahan lagi, menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, dalam menafsirkan ayat ini beliau menceritakan bahawa bukan sahaja Al-Quran bahkan suhuf Ibrahim, Taurat, dan juga Injil diturunkan pada malam-malam dalam bulan Ramadhan. Lihat! Betapa mulianya Ramadhan. Biasanya, bila tiba hari lahir seseorang itu, sebahagian kita menyambut baik hari itu tidak kira adik-beradik atau kawan-kawan.  Tambahan lagi, jika diberikan hadiah tentu sekali empunya diri berasa amat seronok. Justeru ,Ramadhan yang merupakan bulan ‘kelahiran’ Al-Quran yang juga hadiah dari Allah lebih-lebih lagilah perlu kita sambut dengan perasaan gembira.

 

Perbanyakkan bacaan Al-Quran bersama Penghayatan

Menjadi ibarat tradisi bagi mereka yang berlumba-lumba mengejar kebaikan untuk menghabiskan bacaan Al-Quran secara keseluruhan apabila tibanya Ramadhan. Ini adalah suatu amalan yang sangat baik kerana setiap HURUF yang dibaca dalam Al-Quran telah tertulis pahala buat kita sebagaimana baginda bersabda:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya adalah satu kebaikan, sedangkan kebaikan itu dilipatkan menjadi sepuluh kali. Aku tidak mengatakan alif, lam, mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”.

(riwayat At-Tarmizi oleh ibn Mas’ud, hadis hasan sahih)

Nah! Kebaikan apa lagi yang ingin kita cari semudah ini? Tambahan lagi, dalam bulan ramadhan ini pahala dilipatkali gandakan. Namun, dalam keghairahan kita ingin mengkhatamkan Al-Quran, hukum-hukum (tajwid) wajib kita ketahui agar pembacaan kita lebih sempurna dan diterima oleh-Nya. Adapun hukum-hukum (fekah dan aqidah), sirah umat terdahulu dan juga nasihat-nasihat sangat baik untuk kita dalami melalui penghayatan kita dalam membaca tafsir atau terjemahan ayat-ayat Al-Quran. Ini lebih baik, kerana Al-Quran itu diturunkan untuk kita pelajari, fahami dan ikuti. Oleh itu, kita perlukan terjemahan dan penafsiran agar mudah bagi kita untuk mempelajarinya.

 

Al-Quran bersesuaian dan bertepatan pada setiap zaman  

Jika kita biasa terdengar ada dalam kalangan orentialis Barat menyatakan Al-Quran tidak lagi relevan atau sudah terpesong dari yang asal disebabkan ia turun pada ketika itu dan untuk umat yang terdahulu. Kenyataan ini adalah salah bahkan dapat disangkal dengan mudah dengan banyak kajian sains terkini bertepatan dengan Al-Quran. Mungkin juga mereka sendiri yang menemuinya (kajian sains) cuma tidak mahu memperakui dek tebalnya dinding ego dan permusuhan terhadap Islam. Al-Quran ini menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan manusia zaman berzaman bahkan manusia itu akan terpandu dengan lebih selamat melalui lorong cahaya yang Allah sedia. Sabda rasulullah s.a.w:

“Telah aku (Rasulullah) tinggalkan kepada kalian dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepada keduanya, tidak akan sesat selama-lamanya iaitulah Al-Quran dan As-Sunnah”.

(muttafaqun alaih)

Rasulullah amat mencintai umatnya. Cuma kadang kita yang terleka dek tergoda dengan arus dunia yang menyesakkan dada. Baginda memberi seumpama wasiat kepada kita agar kita berpegang teguh dengan keduanya agar lahir kecintaan kita kepada Allah dan kekasih-Nya(Rasulullah), juga sebagai panduan sepanjang hayat. Moga dengan panduan ini, hari ‘esok’ dapat kita bersama baginda melalui jalan yang telah ditunjukki melalui Al-Quran di dalam syurga yang penuh kenikmatan.” Kamu akan bersama orang yang kamu cintai kelak (hari qiyamat)”. Begitulah nada maksud hadis nabi yang dirawayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

 

Generasi Al-Quran yang Unik

Generasi para sahabah adalah suatu generasi yang paling istimewa dalam sejarah Islam juga dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu dalam coretan sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul pada zaman awal dakwah islamiyah.

Mereka digelar sebegitu rupa adalah kerana mereka amat menghayati keseluruhan Al-Quran, malah mengamalkan isi kandungannya. Mereka diibaratkan Al-Quran yang bergerak yang sentiasa hadir dalam tidak tanduk walau ke mana jua mereka pergi.

Sebagai contoh lihat sirah ketika awal pengharaman arak secara keseluruhan, disebutkan Madinah banjir dengan lautan arak disebabkan para sahabat memecahkan tempayan-tempayan yang berisi arak dek kerana amat menitikberatkan segala apa yang disuruh dan sanggup meninggalkan segala yang dilarang dengan serta merta tanpa keraguan.

 

Mengapa kita tidak seperti mereka?

Bilamana kita koreksi semula diri kita, kita akan tertanya-tanya bagaimana suatu umat dalam kawasan tertentu boleh menjadi sedemikian rupa? Sedangkan Al-Quran yang ada di tangan mereka sama dengan Al-Quran yang ada di tangan kita hari ini? Adakah kerana nabi s.a.w wujud ketika itu merupakan faktor dominan kejayaan mereka? Bagaimana pula perihalnya Abu Talib yang bukan sahaja hidup bersama nabi malah mendokong dakwah nabi tetapi tetap jua dia tidak memeluk agama Islam?

Persoalan-persoalan ini dapat dirungkai bilamana kita benar-benar menghayati Al-Quran dalam kehidupan. Sebaliknya, realiti zaman kini, kebanyakkan kita hanya mengambil perkara-perkara yang bermanfaat yang boleh memenuhi hasrat nafsu kita sahaja. Sebab itu generasi terdahulu tidak pernah lagi ‘dilahirkan semula’ di atas muka bumi ini.

Tambahan, melihat segala jenis sistem pada hari ini, bermula dari pentadbiran hinggalah kepada pendidikan tidak bertunjangkan Islam yang syumul  (lengkap) yang berlandaskan Al-Quran menjadi elemen utama mengapa generasi dewasa ini menjadi rosak.

Bagaimanapun,  kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa atas kegagalan ini bahkan diri sendiri yang terlebih dahulu patut dipersalahkan kerana tanggungjawab mengembalikan kehidupan Islam berpandukan Al-Quran dan sunnah adalah tanggungjawab kita bersama. Justeru, Ayuhlah kita berubah!

 

Comments (8)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top