Pemuda : Bahagia Merayakan Ramadhan !
Picture by Pengiran92 of LangitIlahi
1 Ramadhan di Jordan dan negara-negara Arab tahun ini jatuh pada hari Jumaat, 20 Julai 2012. Terkejut juga seawal mendengar pengumuman puasa itu. Mana tidak terkejutnya, hari-hari sebelum ini diumumkan yang negara-negara Arab semuanya akan berpuasa pada hari Sabtu.
Di Malaysia, 1 Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, 21 Julai 2012.
Apapun, percaya atau tidak, kita sudah mula dijemput masuk menjadi tetamu di dalam bulan agung itu.
Bersedia atau tidak kita, yang pastinya kita sudah berada di dalamnya.
Tinggal lagi terpulang kepada diri kitalah hendak mula mengisinya bagaimana.
30 hari, Bukanlah Tempoh Yang Lama
Orang yang tidak suka dengan puasa Ramadhan ini mungkin akan berkata, “Kenapalah lama sangat Ramadhan ni? Cepatlah sikit, aku tak sabar nak raya.”
Tetapi, lain ceritanya dengan orang yang cinta hendak bertemu dan mengejar kebaikan di dalam Ramadhan. 30 hari itu dirasakan bagai tempoh masa yang sangat singkat.
Hendak lihat bagaimana orang menghargai 30 hari ini, lihat saja bagaimana sambutannya. Orang-orang kita biasanya kalau Ramadhan, biasa-biasa saja. Semangat di awal-awal saja. Tetapi, orang Arab di sini, sambutannya untuk Ramadhan luar biasa sekali. Anak-anak kecil bila mendengar saja pengumuman puasa terus terjerit-jerit keseronokan umpama anak-anak kecil kita yang keseronokan bila dah nak dekat raya.
Mereka menjerit, “Ramadhan ! Ramadhan ! Ramadhan !”
Itu antara tanda orang yang cinta hendak bertemu dan bertamu di dalam Ramadhan.
30 hari, hakikatnya bukanlah tempoh yang lama. Pejam celik, pejam celik, nanti kita akan sampai di hujung juga. Cuma sebelum sampai ke penghujung itu, dengan apa kita hendak isi 30 hari ini?
Adakah kita hanya akan sekadar mengisinya dengan perkara-perkara yang biasa kita lakukan sebelum-sebelum ini?
30 hari tidak lama. Pernah suatu kali, saya mengikuti kelas Dr Uqlah, salah seorang ulama’ Jordan, beliau membuat pengiraan malam-malam yang ada dalam bulan Ramadhan di Jordan ini.
Kalau di Jordan, siangnya lebih lama dari malam. Beliau membuat pengiraan begini :
8 jam (waktu malam) X 30 hari Ramadhan = 240 jam
240 jam pula bila dibahagi dengan 24, kita akan dapat 10. Jadi, seolah-olahnya malam-malam Ramadhan itu hanyalah umpama 10 hari sahaja bagi muslim di Jordan. Bukan tempoh yang lama itu untuk dibazirkan tanpa diisi dengan apa-apa amalan.
Perlu sentiasa refleksi, apa yang kita isi itu.
Maka, dalam tempoh sesingkat ini, kita perlu isinya dengan sebenar-benar pengisian. Bukan sekadar membanyakkan dan meningkatkan kuantiti amalan, tetapi juga memeriksa kualiti diri dan amalan kita.
Berapa ramai orang yang solat, tetapi hatinya tidak diproses untuk tunduk kepada Allah ketika di luar solat?
Berapa ramai orang yang berlumba-lumba memperbanyakkan bacaan Al-Quran, tetapi berapa ramai yang hatinya tunduk dan faham dengan ayat-ayat yang telah banyak dibaca dan dihabiskannya itu?
Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi puasanya tidak lebih dari puasa sekadar lapar dan dahaga?
Dengan masa sesingkat ini, kita perlu sentiasa refleksi dan muhasabah diri kita, dengan apa kita sedang mengisi Ramadhan sekarang ini?
Janganlah hanya sibuk meningkatkan kuantiti amalan sehingga kita lupa memperbaiki kualiti amal dan iman kita. Ramadhan itu tidak menjadi bererti kalau kita hanya sekadar ingin memperbanyak zikir-zikir di mulut tetapi mengabaikan zikir dan fikir di hati.
Ramadhan bukan sekadar medan melakukan ibadat-ibadat khusus, tetapi juga medan memperbaiki akhlak dan peribadi seorang muslim dan muslimah.
Bila kita sentiasa refleksi dan muhasabah diri kita, maka sudah pastilah Ramadhan ini kita akan gunakan dengan sebaik-baiknya. Menyambutnya umpama perayaan. Orang kita meriah juga suasananya menyambut Ramadhan, tetapi meriah dengan promosi-promosi untuk Aidilfitri. Sebab itu, orang kita lebih bahagia merayakan Aidilfitri daripada merayakan Ramadhan. Sedangkan Ramadhan itu lebih utama tetapi diabaikan dan kalau dilakukan sekalipun, ia dilakukan dalam keadaan sambilewa.
Alangkah ruginya.
Penutup : Sambutlah kedatangan Ramadhan, nikmati bahagia merayakannya !
“…puasa ini untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya…” [HR Bukhari & Muslim]
“Di akhirat nanti dibukakan pintu rayyan untuk orang berpuasa.” [HR Muslim]
“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan berkira-kira, diampunkan dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari dan Muslim]
“Apabila datang bulan Ramadhan, maka dibukalah pintu syurga dan ditutup pintu neraka serta diikat syaitan-syaitan.” [HR Bukhari & Muslim]
Banyaknya ganjaran yang Allah hendak berikan kepada kita. Itu tidak termasuk lagi Lailatul Qadr yang bersamaan dengan 1000 bulan itu. Sedangkan, kita melakukan kebaikan kalau berkesempatan sekalipun hanya selama 30 hari. Bagaimana mungkin pula ganjarannya sampai sehingga 1000 bulan?
Itulah rahmat dan kehebatan Allah. Maka, Ramadhan kali ini mari kita jadikannya sedikit berbeza.
Jadikan Ramadhan kali ini, Ramadhan yang terbaik untuk kita. Kita tidak pernah tahu apakah masih ada Ramadhan lagi selepas Ramadhan yang ini.
Maka untuk itu, marilah menikmati bahagianya merayakan Ramadhan !


syafa
syukran! atas perkongsian ini..
salam ramadhan dari saya untuk team langitilahi
Haimamamia
terima kasih atas perkongsian
Teman Nabila
terima kasih atas perkongsiaan ^_^
nurhamiza
ramadhan itu hadiah dari Tuhan.
jangan kita sia-siakan.
jom bahagia di bulan ramadhan!
insya Allah.
Noorikmal
Assalamualaikum, singkat juga rupanya waktu malam di sana… terima kasih atas perkongsiannya… Selamat Berpuasa…
ilyas91
Semoga segala ibadah yang kita lakukan dalam bulan yang mulia ini diterima oleh-Nya.
RohiD
Jangan sia-siakan ramadhan kali ini
mia
leya
syukran jaziilan ats pringatn..
rauna
Sekejap saja sudah hari ke 4 berpuasa.
Cepat masa berlalu.
Nadhirah
Insyaallah. Sama-samalah kita meningkatkan kualiti ibadah kita dan saling mengingatkan antara satu sama lain
LILLAHI TAALA.
NikAin
ramadhan kareem