Ahad, 26 Mei 2013   |   16 Rejab 1434H   |   28 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Sisters » Sisters: Universiti Ramadhan

About The Author


I studied Literature in English for almost four years. I believe my artistic bend led me to pursue in this field through various medium including writing, and this flourishing passion seek to discover new perspectives, new aims to not only earn and learn, yet serve and share the knowledge and experience for a better understanding of becoming a true Muslim and Mukmin.

Number of Entries : 24

Sisters: Universiti Ramadhan

Moga Allah terima kemasukan ke Universiti Ramadhan

Baru-baru ini adik kepada rakan baik saya telah diterima masuk ke salah sebuah universiti tempatan dalam bidang yang sangat beliau minati. Tahniah untuk itu. Makanya, si adik dan kakak bergerak mencari sebanyak mungkin maklumat tentang universiti tersebut dari segi yuran, kos sara hidup, kehidupan serta segala kemudahan yang bakal si adik nikmati dan gunakan sepanjang pengajian kelak. Untuk itu, beliau telah bertemu secara maya dengan ramai senior-senior untuk mendapatkan tips dan gambaran awal tentang universiti impiannya.

Namun, apa yang si adik harapkan pada sebuah universiti tidak kesampaian kerana di sana kelak, suasana kehidupan lebih sukar dari yang disangka. Biasalah, kita masing-masing punya harapan yang tinggi terhadap tempat yang bakal kita pergi untuk meneruskan pengajian kelak. Mengharapkan fasiliti yang mantap, kondisi pembelajaran yang memberansangkan sesuai dan setimpal dengan penat lelah belajar di peringkat sekolah dan matrikulasi serta yuran yang mahal.

Ya, itulah hakikat manusia. Fitrah kita inginkan kebaikan dan kesempurnaan dalam setiap perkara hatta perkara tersebut remeh di pandangan mata. Kita mahukan kondisi belajar yang tip-top maka, kita sanggup berhabis bayar untuk mendapatkan sebuah tempat yang mampu menyediakan semua itu. Sungguh kecewa, pabila apa yang diharapkan hanya indah khabar dari rupa.

Tapi pernah sedarkah kita, ada sebuah universiti yang mampu menjanjikan lebih dari yang kita harapkan dari universiti-universiti ciptaan manusia ini. Ya, secara analoginya universiti ini bukanlah wujud secara nyata di mana ada bangunan, ada pentadbiran, ada ruang kampus untuk pelajar menikmati kemudahan. Inilah universiti Ramadhan yang seringkali kita dengar di mana di penghujungnya ramai yang ingin meraih ijazah taqwa dan iman.

Pendahuluan: Universiti Ramadhan

Di sini kemasukan sepenuhnya ditentukan oleh Allah. Makanya, usaha keras untuk menghantar aplikasi kemasukan ke universiti ini perlu dilipatgandakan setiap tahun sebermula akhirnya pengajian pada tahun lalu hinggalah malam terakhir sebelum mendaftar pengajian tahun ini. Makanya, Allah telah membuka talian permohonan seawal dua bulan untuk kita tingkatkan merit di samping melatih kehidupan di alam universiti Ramadhan nanti.

Permohonan ke universiti ini sangat eco-friendly tiada melibatkan penggunaan kertas. Cuma tingkatkan amalan kebajikan dan ibadah serta bersungguh-sungguh memohon kepada Allah agar diterima masuk sekali lagi seperti tahun-tahun yang lalu.

Pasakkan niat dalam tempoh ini untuk memprogramkan diri kita meneruskan pengajian di universiti Ramadhan kelak. Rejab dan Syaaban adalah tempoh pembelajaran yang cukup untuk kita meraih merit dan pengalaman sebelum melangkah ke alam universiti nanti.

Universiti Ramadhan: Persediaan dan penerusan

Tidak lain hanyalah niat dan penerusan amal ibadah serta kebajikan. Sebermula niat untuk menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadah kepada Allah dan memohon agar terus istiqamah hingga berpeluang diterima masuk ke Ramadhan yang mulia dan penuh barakah.

Tidak dinafikan ada yang tidak bersedia dan tidak punya niat nan satu ini turut diterima masuk melalui tempoh dalam Ramadhan. Tapi sebagai seorang yang berIman, inilah tamayyuz yang wujud di antara kita dan mereka yang telah Allah pilih untuk sama-sama menikmati Ramadhan. Mereka yang berniat berpaksikan Allah dan RasulNya, pasti akan merasai kemanisan melalui pengajian sebermula Rejab dan Syaaban hingga akhirnya bertemu Ramadhan. Pasti kan merasai memasuki pintu-pintu rahmat Allah yang terbuka luas buat mereka yang berusaha memasukinya. Namun demikian, bagi mereka yang lain sudah pasti tidak sabar hanya untuk meraih keseronokan Syawal. Maka, dapatlah kita lihat di sana sini kemeriahan Syawal itu lebih dirai dari melalui dan menikmati Ramadhan.

Peluang dan kebaikan

Sungguh, tiada kekurangan dalam universiti ini. Malah Allah telah membuka seluas-luasnya peluang dan kebaikan untuk dinikmati buat setiap hamba yang dipilihNya merasai nikmat Ramadhan. Pintu rahmat terbuka luas untuk kita nikmati dan hayati.

Di sinilah kita punya banyak peluang untuk meningkatkan potensi diri dari sudut ibadah dan akhlak serta amalan-amalan dalam kehidupan seharian. Sebulan menjejaki tangga Ramadhan telah Allah sediakan banyak pintu-pintu rahmat dan kasih sayangNya untuk kita terokai dan nikmati buat bekalan di akhirat kelak.

Tiada timbul masalah fasiliti yang tidak memberansangkan kerana kondisi pengajian di sini sangat tip-top malah hanya di bayar dengan merit ibadah serta niat yang ikhlas memohon Allah menemukan kita dalam pengajian Ramadhan kali ini.

Malahan kemasukan ke universiti ini tiada mengira faktor usia, bangsa, dan jantina. Anda wanita, anda layak melaluinya dan layak meraih taqwaNya. Anda seorang pelajar yang sibuk dengan tugasan dan projek akhir pengajian, inilah masa yang dinanti-nantikan untuk memohon kepada Allah agar diberi kemudahan untuk melalui tempoh sukar sebagai seorang pelajar. Anda seorang ahli perniagaan, maka raihlah perhatian Allah agar diberi ketenangan dan kebaikan melalui dunia perniagaan. Ya, universiti menyediakan semua ruang dan kemudahan untuk kita meningkatkan diri kepada yang lebih baik. Inilah madrasah Ramadhan yang Allah sediakan untuk kita proses dan didik diri menjadi hamba bertaqwa agar lebih kuat untuk menghadapi kehidupan selepas Ramadhan yang penuh ujian dan dugaan.

Maka amat rugilah jika kita tidak rebut peluang ini untuk menikmati kemudahan dan kesenangan dalam Ramadhan. Bukan saja Allah telah sediakan semua ini untuk kita malah Allah tambahkan ganjaran yang berlipat kali ganda serta kemanisan yang tiada taranya melebihi dunia dan seisinya. Nah, apa lagi yang kita harapkan dari sebuah universiti Ramadhan? Maka ayuh bergerak untuk bersedia menghadapi tempoh pengajian yang penuh dengan kemanisan dan keindahan rahmat Allah.

Penutup: Rebut dan Hayati

Esok mungkin Ramadhan buat kita. Esok juga mungkin tiada. Mati itu pasti, hidup insyaAllah. Terus pasakkan niat dan panjatkan pengharapan agar berpeluang melalui sekali lagi Ramadhan kali ini biarpun ini mungkin yang terakhir.

Programkan diri, koreksi hati dan tetapkan minda agar Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Mudahan Allah kurniakan ijazah Ramadhan kita sebagai saham untuk meraih syurgaNya kelak.

~Ya Allah, berilah keberkahan pada kami di dalam bulan Rajab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.~

Selamat menyambut Ramadhan dan selamat meraih ijazahNya.

Comments (17)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top