Himmah : Disiplin Menuju Pintu Taqwa
Rancanglah hari-hari untuk Ramadhan anda nanti !
~ Picture by http://nikasree.deviantart.com/
Ramadhan semakin menghampiri. Ada yang rasa begitu tidak sabar menanti kedatangannya. Ada juga yang tidak merasakan apa-apa. Biasa saja baginya, Ramadhan datang atau tidak, tidak ada apa yang beza.
Tetapi, orang yang beriman sepatutnya merasa ghairah dan tidak sabar untuk menghadapi Ramadhan, kerana Ramadhan adalah mausimur rabi’ (musim bunga) bagi orang-orang yang beriman.
Maka, saya suka untuk berkongsi beberapa persiapan dan disiplin kita menuju Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi ini supaya Ramadhan kali ini benar-benar menjadi musim bunga yang mendamaikan bagi jiwa kita.
YANG SEPATUTNYA KITA PERSIAPKAN
Apakah yang sepatutnya kita persiapkan untuk menuju Ramadhan ini?
Adakah kita hanya perlu membuat persiapan tubuh saja untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga?
Sudah tentulah tidak.
Yang sepatutnya kita persiapkan bukanlah sekadar jasmani saja, tetapi aspek ruhi dan aqli (mental) pun perlu dipersiapkan.
Ramadhan bukanlah sekadar bulan untuk kita merehatkan tubuh kita daripada makan minum, tetapi ia juga adalah bulan untuk kita mula ‘merehatkan’ ruhi dan akli kita daripada dosa dan kemaksiatan. Ia adalah bulan perubahan, untuk kita mula berhenti daripada melazimi dosa dalam kehidupan dan bergerak membumikan kebaikan dalam kehidupan.
Kalau matlamatnya hanya sebatas lapar dan dahaga, maka tidak mungkin Allah mempersiapkan satu bulan yang satu khusus untuknya. Ia bukanlah sekadar rutinan tahunan yang sewajibnya diisi oleh orang yang beriman, tetapi ia adalah medan khusus untuk kita mula membentuk peribadi kita menjadi peribadi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.
Maka, untuk melakukan hal ini, kita perlu disiplinkan sikit diri kita merancang untuk sebulan Ramadhan itu, apa yang perlu dilakukan dan apa hasil setelah beberapa hari kita melaluinya.
MUTABA’AH, RANGKALAH JADUAL MUTABA’AH
Saya suka cadangkan kepada anda agar menyediakan jadual menghadapi Ramadhan. Ya, sediakanlah jadual.
Mungkin ada yang tidak suka atau benci kepada jadual. Maka, cadangan saya kepada anda buatlah dalam bentuk apapun sama ada carta pai atau apa saja, asalkan anda mempunyai rancangan untuk Ramadhan anda.
Rangka mutaba’ah anda. Apakah mutaba’ah?
Mutaba’ah itu adalah umpama checklist atau muhasabah melihat amalan-amalan kita yang telah lepas dan akan datang. Kita melihat amalan-amalan kita di hari semalam, apakah sudah mencapai target yang kita inginkan. Kemudian, kita membanding-bandingkannya pula dengan hari-hari yang akan datang. Apakah semakin berlaku peningkatan pada diri kita terutamanya dari segi kualiti amalan?
Jadi, itu adalah fungsi mutaba’ah. Kenapa begitu penting mutaba’ah ini? Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Hasyr yang bermaksud :
“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan lihatlah apa yang telah kamu persiapkan untuk esok hari…”
Inilah pentingnya ada mutaba’ah. Biar tersusun amalan kita, terkawalselia peningkatan diri kita dan kita pun rasa bersemangat sikit untuk menambahbaik diri kita.
BERKIRA-KIRALAH
Nabi s.a.w. bersada yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari dan Muslim]
Apakah yang dimaksudkan dengan berkira-kira di sini?
Biasanya kalau sebut perkataan berkira dalam masyarakat kita ini, ia biasanya bermaksud kedekut. Tetapi, berkira-kira di sini bukanlah bermaksud itu.
Yang dimaksudkan dengan berkira-kira di sini adalah kita sentiasa menghitung-hitung amalan kita yang semalam dan dibandingkan pula dengan hari-hari yang mendatang, apakah ada antara amalan-amalan yang belum sempat untuk kita laksanakan? Apakah kesan daripada kebaikan-kebaikan yang kita telah laksanakan? Kita terkesan atau tidak dengan banyaknya puasa dan solat kita, ataupun kita rasa biasa dan sama saja?
Itulah berkira-kira. Kita sentiasa menghitung dan memuhasabah diri kita dengan soalan-soalan begitu.
Sebab apa perlunya begitu?
Supaya kita sentiasa rasa kebaikan yang kita telah lakukan belum cukup dan belum baik. Perlu dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.
Dengan adanya muhasabah –muhasabah sebeginilah, kita akan dapat menjaga turun naik iman kita. Iman kita ada masa pasang surutnya. Tetapi ketika masa surutnya, biarlah terkawal sehingga kalau kita jatuh sekalipun, kita tidak jatuh banyak dan masih mampu bangun lagi.
Inilah pentingnya berkira-kira. Dengan adanya mutaba’ah tadi, pasti kita akan lebih mudah melakukan hal ini.
Kita mahu semakin bertambah hari-hari di dalam Ramadhan, rasa takut kita kepada Allah juga semakin meningkat, bukan semakin menurun.
Ada orang bahkan masih boleh melakukan kemaksiatan dalam Ramadhan tanpa ada rasa risau dalam dirinya. Inilah orang yang rugi. Tidak ada peningkatan apapun kebaikan pada dirinya meskipun bertambah hari di dalam Ramadhan.
Dia masuk atau tidak ke dalam Ramadhan, sama saja.
PENUTUP : DISIPLINKAN DIRI, UNTUK RAMADHAN YANG LEBIH BAIK
Kita berdoa semoga Allah menyampaikan kita kepada Ramadhan kali ini dan semoga kita termasuk dalam kalangan yang memanfaatkannya.
Kalaulah Allah memberikan kita Ramadhan tahun ini kepada kita, kita tidak pernah tahu apakah masih ada satu lagi Ramadhan untuk kita pada tahun akan datang? Kita tidak pernah tahu.
Maka, disiplinkanlah diri kita agar Ramadhan ini kita dapat lakukan yang terbaik dan lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Kalaulah ini Ramadhan yang terakhir sekalipun untuk kita, sekurang-kurangnya kita telah melakukan yang terbaik di dalamnya sepanjang hidup kita.
Rancang dan penuhkanlah hari-hari kita di dalam Ramadhan dengan amal-amal yang berharga.
Janganlah kita termasuk di dalam doa Jibril yang diaminkan oleh Nabi s.a.w. :
“Barangsiapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan, kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan (pada bulan Ramadhan itu), maka ia dimasukkan ke dalam api neraka dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah amin.” Kemudian Rasulullah pun mengaminkannya. [HR Ibn Hibban]
Maka, sebelum masuk ke dalam Ramadhan ini, disiplinkanlah diri merancang untuk mengutip kebaikan-kebaikan yang wujud di dalamnya nanti.
Semoga kita termasuk yang mendapat rahmat dan keampunan Allah di dalamnya, dan keluar sebagai orang yang berjaya. Katakanlah, amin !



Nabieyl
amin!
jiha
ramadan musim bunga…
memang indah..
marilah sama-sama mengindahkan ramadan ini dengan amalan2 yang mendekatkan diri kepada Sang Pencipta..
mia
aminnn..insyaAllah
Ibnu Fuad al malizi
tak sabar!
adillaharun
Masuk Madrasah Ramadhan pada musim bunga. Harap-harap kita temui indahnya! InsyaAllah….
sharifah
kat mana bleh cari mutabaah amal utk ramadhan ye?
Nadhirah
Amin
syahirah
ramadan yg ku tunggu-tunggu..
subhibakhir
terbaik!!!
rauna
Insyallah..
Nisa
InsyaAllah
RohiD
amin…moga2 membawa perubahan
ilyas91
Semoga kita semua dapat memanfaatkan Ramadhan yang bakal datang ini.
Insya-Allah.
Suhailah
Salam,
boleh saya terjemah ni dan post di blog saya?
ami
10 hari lg nk ramadan!!!
rasyid_iic
Ramadhan semakin menghampiri kita…
Apakah persediaan kita . . .
Teman Nabila
bersiap sedia menghadapi Ramadhan…
adik9
ameen….