Pemuda : Ramadhan – Taqwa, Routemap Menuju Bahagia !
Taqwa – routemap menuju bahagia !
~Picture by http://reimeister.deviantart.com/
Tidak ada yang apa yang lebih mahal yang kita ingin dapatkan di dalam bulan Ramadhan selain daripada taqwa.
Kenapa taqwa begitu mahal dan menjadi setinggi-tinggi sasaran yang Allah tetapkan untuk orang yang berpuasa di dalam Ramadhan?
“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”[Al-Baqarah : 183]
Tak cukupkah kalau hanya sekadar berpuasa, kemudian mendapat keampunan dan pahala dari Allah? Belum cukupkah itu? Kenapa perlu kepada taqwa?
ROUTEMAP MENUJU BAHAGIA
Kalau hanya sekadar keampunan-Nya, di bulan-bulan lain pun kita bisa mendapatkannya. Di bulan lain bukanlah tidak dibuka langsung pintu taubat, bahkan pintu taubat itu adalah seluas-luas pintu di dalam Islam. Bukan hanya di Ramadhan saja kita bisa mendapatkannya walaupun di Ramadhan itu, kita nampak lebih terdorong untuk merebut keampunan Allah. Keampunan itu adalah jalan kita menuju kepada taqwa itu.
Puasa? Berlapar dan dahaga?
Puasa itu tidak lain hanyalah sekadar jalan untuk kita sampai kepada matlamat taqwa itu. Kalau puasa adalah tujuannya, di bulan-bulan lain juga kita boleh berpuasa.
Maka, hujung yang sebenar kita ingin capai di dalam Ramadhan ini adalah taqwa. Apa yang hebat sangat taqwa ini?
Firman Allah s.w.t. di dalam surah yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”[At-Talaq :2-3]
Inilah hebatnya taqwa. Allah membukakan jalan penyelesaiannya kepada siapa juga yang mempunyai masalah dan tidak berjumpa jalan penyelesaian dalam kehidupannya.
Ya. Allah pasti akan membukakan jalan. Ketika kita buntu dan tidak berjumpa penyelesaian dengan segala permasalahan dan keperitan hidup, maka Allah ada di sisi melapangkan jalan untuk kita tenang berdepan dengan semua itu. Ketika tidak ada manusia yang mampu membantu menyelesaikan masalah yang kita hadapi, maka Allah pasti ada memperlihatkan jalannya kepada kita.
Bahkan, tidak cukup dengan hanya sekadar itu, Allah berfirman lagi di dalam surah Al-Imran yang bermaksud :
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Allah dan syurga yang seluas langit dan bumi disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”[Al-Imran :133]
Syurga yang ganjarannya seluas langit dan bumi, lebih hebat daripada ganjaran wang dan kedudukan yang ingin diberikan oleh manusia, siapakah yang tidak mahu?
Maka, inilah routemap menuju bahagia. Routemap taqwa !
Tidak mahukah kita untuk mendapatkannya? Tapi, bagaimana mendapatkannya?
BERHATI-HATI DAN BERWASPADALAH !
Suatu ketika Saidina Umar al-khattab bertanya kepada seorang sahabat bernama Ubai bin Kaab. Tanya Umar, “Wahai saudaraku, apakah yang dimaksudkan dengan taqwa?”
Ubai pun kemudian bertanya semula kepada Umar sebagai menjawab soalan Umar, “Pernahkah kau melalui jalan yang dipenuhi onak dan duri? Apakah yang kau lakukan ketika berjalan di atas jalan itu?”
“Sudah pastilah aku akan mengangkat kainku dan berhati-hati berjalan.”
“Maka, itulah yang dimaksudkan dengan taqwa.”
Apakah yang kita faham daripada perbualan antara Umar dengan Ubai ini?
Kita umpamakan orang yang berjalan itu adalah kita sendiri dan kita sedang berjalan di atas dunia yang bukan saja ada kebaikan di dalamnya, tetapi dikelilingi juga oleh perkara-perkara dosa dan kemaksiatan.
Sekiranya kita tidak berhati-hati di dalam perjalanan itu, pastilah kita akan tersadung dan terjatuh dalam perkara-perkara kemaksiatan yang dibenci oleh Allah s.w.t. Bila terjatuh dan tidak bangun semula, maka mustahillah untuk kita berjumpa dengan jalan keluar yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dan mustahillah untuk kita sampai ke destinasi syurga yang Allah janjikan.
Maka, itulah perumpamaan taqwa. Kita taat kepada segala suruhan Allah dan kita tinggalkan larangan-Nya, serta kita berhati-hati pula ketika berjalan menuju kepada-Nya. Kita bimbang terjatuh dalam lubang-lubang kemaksiatan, maka sebab itulah kita berhati-hati.
Kadang-kadang, di perjalanan ini ada banyak perkara meragukan yang boleh membawa kita jatuh kepada perkara-perkara yang haram. Maka, taqwa adalah perisai yang akan menjaga kita daripada hal-hal itu.
Bila rasa takut kepada Allah wujud dalam hati kita, maka pastilah kita akan merasa berat untuk melakukan dosa. Taqwalah yang akan menyebabkan seorang mukmin merasakan dosa itu walau sekecil apapun bagai gunung yang menghempapnya. Sangat berbeza dengan seorang munafik yang berdusta atas keimanannya, maka dosa baginya dirasakan bagai lalat hinggap di hidung saja.
Dikuis sedikit, pergilah ia. Tetapi tidak bagi orang yang beriman. Terjatuh dalam dosa walaupun kecil, hatinya sudah tidak tenteram dan tidak boleh duduk diam. Ia gusar dan mencari-cari jalan untuk membersihkan dirinya.
Inilah hebatnya taqwa.
PENUTUP : INILAH ROUTEMAPNYA, PATUHILAH DAN KITA TIDAK AKAN SESAT !
Ramai orang mencari punca untuk menjadi bahagia, tetapi tidak berjumpa. Kenapa mereka tidak berjumpa?
Kerana mereka jauh dari Pemilik sebenar kebahagiaan itu.
Tetapi, kita yang Allah sudah tunjukkan jalan dan janjikan pelbagai ganjaran, maka apalagi yang kita tunggu dan tangguhkan?
Allah hendak berikan semua itu kepada kita, tinggal lagi kita saja yang perlu usaha dan bergerak sedikit untuk mendapatkannya. Susah sedikit di dunia ini akan ada balasannya di syurga. Yang pentingnya adalah kita berusaha.
Routemap menuju bahagia iaitu taqwa itu sudah berada di depan kita. Tinggal kita saja yang perlu berjalan dan bergerak melaluinya. Kita ikut saja GPS (Gerbang Pintu Syurga) Tracker yang Allah dah sediakan itu, pastilah kita tidak akan sesat ketika melaluinya.
Inilah routemap menuju bahagia, latihlah diri mematuhinya sebelum Ramadhan lagi agar nanti beroleh bahagia !


ilyas91
Syukran atas perkongsian artikel.
Nabieyl
saydatul al aman
moge2 hati kita selalu mudah dan dilapangkan utk mendengar, menerima segala peringatan, nasihat2 yg baik utk perbaiki peribadi diri ^_^
mia
=)
syahirah
adillaharun
Di usia yang menginjak 40, saya seingat saya ‘roh Ramadhan’ seperti baru dijumpai 2 tahun kebelakangan. Walau setelah lama kenal puasa. Bagi mereka yang berjumpa awal dari itu, ternyata lebih bertuah. Jika masih belum berjumpa mungkin perlu diusahakan. Mudah-mudahan tahun ini lebih baik Ramadhan untuk kita semua.
siddeeqah
syukran atas perkongsian artikel Taqwa – routemap menuju bahagia ! !!
moga kita semua menjadi insan yang bertaqwa dan sentiasa berada di jalan yang lurus:)
cahaya keimanan
rasyid_iic
Perkongsian artikle yang menarik . . .
pol92
(y)
RohiD
dah mula berusaha untuk membawa perubahan
Nadhirah
Sesekali dalam meraih taqwa, ada masanya kita terjatuh juga. Bila jatuh, bersegeralah bangkit. Jangan biar diri kita terus terjerumus ke dalamnya.
rauna
GPS (gerbang pintu syurga)
trixers
subhibakhir
terbaik..
Teman Nabila
Nor Aminah Ismail