Pemuda : Inilah Bazar Syurga Yang Mengasyikkan !
~ Picture by http://relpho.deviantart.com/
Apakah yang terlintas di minda kita bila saya menyebut tentang perkataan ‘bazar’? Saya pasti kita akan terfikirkan sebuah pasar yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman yang wujud hanya dalam bulan Ramadhan. Pasar yang menyebabkan kita rambang mata dan tak tahu nak beli mana satu kerana semuanya nampak sedap di mata kita.
Itulah cerita bazar Ramadhan yang hanya wujud di Malaysia khusus di bulan Ramadhan.
Saya ingin bercerita tentang bazar dalam Ramadhan juga. Tetapi bukanlah bazar yang ini. Bazar yang saya ingin ceritakan ini jauh akan membuatkan kita lebih rambang mata dan menjadikan kita ghairah untuk mendapatkannya.
Bazar apa itu?
INILAH BAZAR SYURGA YANG MENGASYIKKAN !
Bukan sedikit nikmat yang Allah ingin berikan kepada hamba-hambaNya yang benar-benar memanfaatkan Ramadhan untuk mendapatkan tempat di sisi-Nya.
Dalam bulan inilah Allah membuka pintu syurga seluas-luasnya dan menutup pintu neraka serapat-rapatnya sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang mafhumnya:
“Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibukalah pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.” [HR Bukhari dan Muslim]
Pakej yang Nabi s.a.w. janjikan ini bukan hanya setakat itu. Bukan hanya sekadar pintu syurga yang dibuka, bahkan Allah juga telah menjanjikan keampunan untuk dosa-dosa yang lepas bagi sesiapa yang benar-benar berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berpuasa di dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira (untuk mencari keredhaan Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari]
Dalam riwayat yang lain :
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira (untuk mencari keredhaan Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari]
Juga dalam riwayat yang sedikit berbeza :
“Barangsiapa yang mendirikan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira (untuk mencari keredhaan Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang lepas.” [HR Bukhari]
Selain tawaran-tawaran keampunan yang Allah bukakan untuk hamba-Nya ini, ada satu lagi tawaran terbesar yang Allah ingin berikan secara percuma melalui usaha kita.
Apakah itu? Sudah pastilah sebagaimana yang Allah telah nukilkan dalam firman-Nya yang bermaksud :
“…agar kamu bertaqwa.”
Pakej-pakej ini hanya wujud dalam bulan Ramadhan. Kalau berpuasa di dalam bulan-bulan yang lain, belum tentu lagi mendapat tawaran sebegini rupa. Tidak ada bulan yang Allah tawarkan pelbagai pakej untuk kita ambil secara percuma melalui usaha kita seperti yang ada dalam bulan Ramadhan.
Tawaran-tawaran ini hanya wujud dalam Ramadhan. Inilah bazar syurga yang mengasyikkan di bulan Ramadhan. Tawarannya pelbagai dan membuatkan kita ghairah untuk mendapatkan kesemuanya. Tetapi bolehkah kita mendapatkan kesemuanya?
Kalau bazar Ramadhan yang menjual makan minum, itu memang kita tidak mampu untuk membeli kesemuanya kerana kita memang tidak akan mampu makan dan minum kesemuanya. Tetapi, bazar yang ini, yang Allah tawarkan kepada kita ini, sudah pasti kita mampu merebut dan mendapatkan kesemuanya. Dapat dengan percuma pula. Tetapi, syaratnya mestilah kita benar-benar menempuhinya dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan mengharapkan redha Allah.
AMBILLAH SEMUANYA, KITA TIDAK AKAN PERNAH DIKATAKAN MEMBAZIR
Kebiasaanya, kalau kita pergi ke bazar Ramadhan, pastilah kita akan membeli pelbagai jenis makan minum. Kadang, dibeli dalam jumlah yang banyak sehingga tidak mampu dihabiskan oleh ahli keluarga. Sebab itulah, selalu timbul isu pembaziran di dalam bulan Ramadhan.
Berpuasa sehari suntuk, tetapi bila tiba saja waktu berbuka, disediakan pelbagai makanan dan minuman untuk ‘membalas dendam’ atas kelaparan yang ditanggung oleh perutnya. Puasa yang asalnya mampu membantu memelihara kesihatan tubuh kita akhirnya jadi penyakit yang memudaratkan.
Dari aspek makan untuk berbuka saja sudah tidak ada taqwa, pastilah ia akan memberi kesan kepada ibadah-ibadah selepas buka puasa itu.
Ini pembaziran yang nyata dan biasa dilakukan oleh kebanyakan kita. Ini mungkin antara bahana dari kewujudan bazar Ramadhan ini. Tetapi, berbezanya bazar syurga yang Allah tawarkan kepada kita itu.
Makan minum yang kita beli dari bazar pada hari ini, ia akan habis pada hari ini juga. Manfaatnya untuk perut kita hanyalah pada hari ini. Dan perut kita pula bila berpuasa ada had-hadnya. Kalau kebiasaannya kita makan pagi pada waktu pagi, makan tengah hari pada waktu tengah hari, makan malam pada waktu malam, maka sepatutnya kadar makan yang kita sediakan untuk berbuka puasa juga hanyalah sekadar untuk waktu itu sahaja.
Tetapi, kebiasaannya tidak berlaku begitu. Kita biasanya mengumpulkan sekali dari makan pagi sampai ke makan malam dan kita sumbatkan semuanya sekali di dalam satu waktu ketika berbuka. Sebab itu, selepas berbuka, ramai yang jadi ular sawa. Itu belum kira makanan yang berlebihan yang tidak mampu diterima lagi oleh perut.
Pembaziran makan minum berlaku setiap kali masuk ke dalam Ramadhan. Bahkan, pembazirannya jauh lebih teruk dari bulan-bulan biasa.
Inilah bezanya bazar syurga yang Allah tawarkan dengan bazar manusia dalam Ramadhan ini. Bazar yang Allah tawarkan ini kekal manfaatnya sehinggalah selepas kita keluar dari Ramadhan. Sedangkan bazar yang manusia ciptakan ini manfaatnya hanyalah setakat dalam Ramadhan. Ia tidak kekal berpanjangan.
Yang lebih teruk dari itu, bazar yang manusia ciptakan ini selalu disalahkan atas punca berlakunya pembaziran yang banyak dalam Ramadhan. Sedangkan bazar syurga yang Allah tawarkan pastinya tidak akan pernah dikatakan membazir sekiranya kita merebut dan tamak mendapatkan kesemua janji-janji Allah di dalam Ramadhan itu.
Inilah hebatnya bazar syurga ini. Sudahlah dibuka pintu syurga, ditutup pula pintu neraka, syaitan pun dibelenggu, ditawarkan pula keampunan dengan seluas-luasnya, siapa yang tidak benar-benar berusaha merebut apa yang Allah hendak beri di dalam Ramadhan ini, memang sudah tak tahulah hendak katakan apa lagi.
Rahmat Allah sangat luas dalam bulan Ramadhan, janganlah kita membiarkan ia pergi dan berlalu begitu sahaja sedangkan kita belum termasuk salah seorang yang berada di dalam rahmat Allah itu.
Jangan sampai bazar manusia menjadikan kita alpa dan leka dari merebut bazar syurga yang ditawarkan oleh Allah.
PENUTUP : ADAKAH KITA AKAN BENAR-BENAR BERUSAHA?
Tawaran sudah hampir dibuka. Tinggal lagi menunggu kita saja untuk pergi dan merebutnya. Namun, sudah bersediakah kita?
Ramadhan akan datang menjemput kita tidak berapa hari sahaja lagi, maka adakah Ramadhan kali ini akan sama seperti Ramadhan- Ramadhan yang lepas, atau akan menjadi Ramadhan yang lebih baik dari Ramadhan yang lepas?
Kalau benar kita ingin merebut tawaran-tawaran yang Allah ingin berikan kepada kita dalam melalui bazar syurga itu, maka mulakanlah persediaan menuju Ramadhan dari sekarang.
Latihlah diri kita dari sekarang agar kita memiliki Ramadhan yang terbaik untuk kali ini.
Bazar ini hanya percuma untuk orang-orang yang benar-benar berusaha saja, yang tidak berusaha dan sibuk hendak raya saja memang tidak akan pernah faham dan merasai nikmatnya tawaran-tawaran Allah s.w.t. ini !



Nadhirah
Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari Ramadhan yang sebelumnya, dan semoga Allah memberikan kita kesempatan untuk menikmati Ramadhan yang akan datang
syahirah
betul2 x sbar nk tggu ramadan..:)
afzan
b’lapar d siang hari,b’trwh d mlm hari,kelebihan Ramadhan~!~
mia
^^,
RohiD
nak merebut tawaran ni ramadhan nti…
syahirah
sharifah
wah..tajuk gempak..ingtkan bazar makanan..syukran
rauna
“tak sabarnya nak puasa, lepas tu raya kan?!”
Itu dialog biasa orang kita.
Tak sabar jumpa Ramadhan ke tak sabar nak raya?
^^
Nabieyl
Shameer
Raya itu satu hadiah untuk orang yang berpuasa