Sabtu, 25 Mei 2013   |   15 Rejab 1434H   |   22 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Pemuda » Pemuda : Kerana Kita Yang Lalai

About The Author


Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 101

Pemuda : Kerana Kita Yang Lalai

Jangan biarkan diri kita dalam kelekaan terlalu lama, nanti binasa !
~ Picture by http://benheine.deviantart.com/

 

Ada masa-masa dalam kehidupan ini kita diuji dengan kesakitan dan kemalangan. Kadang-kadang, kemalangan dan kesakitan ini membuatkan kita terasa susah dan sempit untuk meneruskan kehidupan ini.

Kehilangan pelbagai perkara. Hilang apa yang kita miliki dan kita sayangi membuatkan kita rasa seolah-olah seperti telah kehilangan kehidupan. Kadang, terasa seperti tidak ada gunanya lagi hidup ini.

Kehilangan ini membuatkan kita tertanya-tanya, “Kenapa Tuhan uji aku begini?”.

“Tuhan membiarkan aku ke?”

“Orang lain diuji biasa-biasa je. Kenapa aku dihantar ujian sebesar ini?”

 

KADANG-KADANG IA BERPUNCA DARIPADA KELALAIAN KITA JUGA SEBENARNYA

Allah mahu supaya kita ini berpindah daripada satu tahap menjadi satu tahap yang lebih baik di sisinya. Maka, Allah datangkan ujian dalam bentuk yang pelbagai kepada kita.

Adakalanya, Allah datangkan ujian sebagai peringatan kepada kita.

Kenapa?

Kerana kelalaian kita.

Lalai itu adalah penyakit dalam jiwa manusia. Jika dibiarkan, semakin hari ia akan semakin menghakis kesungguhan kita untuk memperhambakan diri kepada Allah, bahkan ia turut merosakkan kesungguhan kita dalam kerja-kerja lain juga. Maka, sebab itu Allah hantar peringatan dalam bentuk yang pelbagai.

Tinggal lagi kita sedar atau tidak saja itu sebenarnya adalah peringatan dari Allah supaya kita mula duduk dan memuhasabah diri.

Lalai telah banyak menghakis dan merosakkan ummat-ummat yang terdahulu. Lihatlah kisah-kisah di dalam Al-Quran bagaimana Allah telah menyeksa dan mengazab ummat yang terdahulu atas kelalaian mereka :

“Maka, apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang terbalik dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar yang menimpanya bertalu-talu.” [Hud : 82]

“Kaum Thamud dan Ad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu. Maka (masing-masing menerima azab dunianya) adapaun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya.” [Al-Haqqah : 4-5]

 

KESAN KELALAIAN ITU SANGATLAH BESAR

Kalau kelalaian itu satu perkara yang kecil, mana mungkin Allah datangkan azab sehingga sebegitu hebat sekali rupanya?

Orang yang lalai tidak akan sedar tanggungjawabnya. Baik tanggungjawab itu adalah tanggungjawab terhadap Allah mahupun tanggungjawab terhadap sesama manusia. Lalai adalah asid yang merosakkan keimanan kita kepada Dia.

Ia semakin hari semakin menghakis kesungguhan kita. Lalai itu bukan semata-mata lupa atau terleka. Tetapi, meletakkan diri dalam dosa dan kebinasaan itu juga adalah sebahagian besar daripada kelalaian. Sebab itu, orang yang membiarkan dirinya lama-lama berada dalam lumpur dosa walaupun dosa kecil, maka ia sedang membiarkan dirinya jatuh ke dalam gaung kebinasaan.

Kata Abdullah bin Mubarak yang bermaksud :

Saya  dapati  dosa itu mematikan jiwa  manakala  melakukan  dosa hingga  sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan.  Men­inggalkan dosa bermakna  menghidupkan hati. Oleh itu adalah  baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”

Itulah kesan daripada kelalaian. Ia menyebabkan jiwa kita ini mati dan tidak dapat merespon dengan baik terhadap kebaikan. Tetapi, ia lebih senang dan cepat merespon terhadap syahwat dan kejahatan.

Maka, kerana besar dan dahsyatnya kesan lalai itu menyebabkan Allah menghantar peringatan kepada kita. Peringatan itu boleh jadi dalam bentuk kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi dan miliki dalam kehidupan, boleh jadi juga kita ditimpa kemiskinan atau penyakit yang dahsyat, ataupun boleh jadi juga kita terlibat dengan kecelakaan.

Banyak bentuk. Allah boleh uji kita dalam banyak bentuk untuk mengingatkan kita. Tinggal diri kita sahaja sama ada mahu mengambil ibrah darinya ataupun saling menyalahkan terhadap apa yang menimpa terhadap diri kita.

 

PENUTUP : UBAT KEPADA KELALAIAN ADALAH KESEDARAN

Penyakit yang paling parah ketika kita lalai adalah apabila kita tidak sedar yang kita sedang lalai. Maka, sebab itulah penting dan perlunya kita kepada peringatan.

Kata Ibn Qoyyim Al-Jauziyah :

“Kalau penyakitnya adalah lalai terhadap tanggungjawab Allah s.w.t., maka ubatnya adalah menyedari tanggungjawab tersebut.”

Bangunlah dari kelalaian dan keselesaan kehidupan. Janganlah kita biarkan diri kita ditelan arus dunia ini sehingga menyebabkan kita lupa dan leka kepada tanggunjawab kita kepada Allah s.w.t. dan juga kepada manusia.

Sangatlah buruk kesan lalai kepada kita kerana ia akan merosakkan kehidupan dan ibadah kita. Ia mengakibatkan semakin hari, semakin sedikit ibadah kita kepada Allah. Semakin hari, semakin kurang kualiti taat kita kepada Allah.

Semakin kurang kualiti bermaksud ia menjejaskan iman kita juga. Maka, berhati-hatilah. Jangan sampai lalai membuatkan jiwa kita tidak mampu merespon lagi terhadap apa-apa seruan kebaikan.

Bila kita rasa sudah mula jatuh dalam kelalaian, maka segeralah cari jalan untuk kembali kepada Allah. Jangan pernah biarkan. Suntik semula kesedaran dalam jiwa kita, supaya kita bangun dengan penuh kesungguhan untuk taat kepada Allah.

Jangan kerana kelalaian, kita semakin jauh dari Allah. Berwaspadalah !

Comments (13)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top