Sabtu, 25 Mei 2013   |   15 Rejab 1434H   |   10 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Himmah » Himmah : Tamatkan Rehlah Ini Dengan Baik !

About The Author


Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 101

Himmah : Tamatkan Rehlah Ini Dengan Baik !

Positif denga hidup. Tamatkan rehlah ini dengan baik !  
~ Picture by http://thulfiqar20.deviantart.com/

 

Hidup kita di atas dunia adalah satu rehlah. Rehlah ini telah bermula sewaktu kita berada di dalam perut ibu kita lagi sehinggalah kita lahir di atas dunia ini dan rehlah ini akan berakhir dengan kematian.

Ia adalah satu perjalanan yang singkat. Terlalu singkat.

Hari ini kita berdiri sebagai kanak-kanak, esok kita adalah seorang tua yang sedang menunggu saat kematiannya yang bila-bila saja boleh tiba. Tidak ada siapa yan dapat menduga.

Dulu, kita adalah budak hingusan yang tidak tahu apa-apa. Kemudian, kita membesar menjadi manusia yang tahu pelbagai perkara.

 

BUKAN SUATU YANG SIA-SIA

Allah tidak jadikan rehlah kita di atas dunia ini suatu yang sia-sia. Ada tujuan dan sebabnya kita dihantar ke dunia ini.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Mukminun, 115 yang bermaksud :

“Apakah kamu menyangka Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Kita diciptakan dengan tujuan dan kita pun pasti akan dipanggil kembali menghadap-Nya bila tiba masanya nanti.

Kalau dengan rehlah ini menjadikan kita senang hingga terleka dan lalai, maka ketahuilah bahawa yang kita akan kembali kepada Dia suatu hari nanti.

Kalau dengan rehlah ini menjadikan kita susah hati dan rasa sesak dada menghadapinya, maka ketahuilah bahawa semua itu bukanlah sia-sia melainkan ada hikmahnya untuk kita.

Senang ataupun susah, manis ataupun pahit, mudah ataupun payah, inilah rehlah kita di atas dunia ini.

Ia bukan seperti kita selalu berkelah di tepi-tepi pantai atau sungai yang sememangnya suasana sentiasa terasa begitu melapangkan hati dan menenangkan jiwa. Ada masa-masa kita dihampar dengan kepahitan dunia supaya kita sedar yang kita ini hidup dengan tanggungjawab di atas dunia ini, bukan kosong saja. Adakala kita digegarkan dengan kepayahan dan kesusahan supaya kita terjaga dari kelalaian dan lena kita yang panjang.

 

REBUTLAH HIKMAH DARI REHLAH INI

Kata Dr Majdi Al-Hilali dalam bukunya, “Halummu Ila Rabbikum” :

“Inilah pentingnya bagi kita di atas dunia ini untuk melaksanakan tugas-tugas perhambaan kita kepada Allah dan berjaya sebagai seorang hamba-Nya di atas dunia ini. Allahlah yang memiliki segala rezeki kita, tidak ada manusia yang dilahirkan melainkan Allah telah menentukan rezekinya, dan tidaklah hamba itu akan mati melainkan setelah dia mendapat rezeki itu.”

Kehidupan ini memiliki banyak rahsia yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia pun melainkan Allah s.w.t. sahaja. Kita mungkin dapat melihat kebaikan tersurat daripada kehidupan ini, tetapi yang tersirat hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu.

Hari ini Allah menguji kita dengan kesenangan dan kemewahan hidup untuk melihat kejujuran kita terhadap Dia. Kita mungkin kata kita beriman dan percaya adanya Tuhan, maka Allah hantarkan ujian untuk menguji akan kebenaran kata kita itu.

Hari ini Allah mungkin menguji kita dengan sedikit kesusahan dan kepayahan sehingga membuatkan kita mengeluh dengan kehidupan ini. Sedikit kesusahan ini kadang-kadang terasa begitu menyempitkan dada sekali sehingga kita merasakan mati adalah lebih baik daripada meneruskan kehidupan.

Tetapi, ingatlah yang kesusahan ini akan berlalu pergi. Kepayahan yang sedang kita tanggung ini akan hilang juga suatu hari nanti. Akan datang juga suatu hari nanti di mana segala kesusahan dan kepayahan ini akan bertiup pergi dan digantikan dengan bayu-bayu ketenangan dan kebahagiaan. Saat itu, bila kita teringatkan semula kesusahan dan kepayahan itu, dan kita bandingkan dengan apa sedang kita nikmati sekarang, maka barulah kita faham kenapa kita didatangkan ujian itu.

Inilah rehlah sebuah kehidupan insan. Ia bermula dan berakhir. Tetapi, di antara awal dan akhir itu, pastilah banyak halangan dan tentangan mendatang di sepanjang jalan. Maka, kuatkan diri dan teruslah berjalan !

 

PENUTUP : TAMATKAN REHLAH INI DENGAN BAIK !

Kalau kita memahami firman Allah daripada surah Adz-Zariyat, 56, pastilah kehidupan ini akan terus kita jalani dengan baik :

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah kepada-Ku.”

Inilah tujuan daripada sebuah kehidupan. Rehlah ini pasti akan diisi dengan pelbagai perkara yang menguntungkan sekiranya kita memahami tujuan dan sebab kedatangan kita. Pastilah kita tidak akan membiarkan rehlah yang singkat masanya ini dibazirkan kerana kita tahu suatu ketika nanti kita akan pulang bertemu Allah.

Kita mahukan rehlah yang baik. Sebagaimana ia bermula, sesuci dan sebersih fitrah kita dilahirkan, maka seperti itu juga kita harap rehlah ini berakhir.

Orang yang untung adalah yang balik bertemu Allah dalam keadaan hatinya yang sejahtera, imannya sejahtera, amalnya sejahtera.

Inilah rehlah sebuah kehidupan. Tamatkanlah ia dengan baik !

Comments (16)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top