Ahad, 26 Mei 2013   |   16 Rejab 1434H   |   24 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Himmah » Himmah : Siapakah Mereka Di Hati Kita?

About The Author


Brohamzah merupakan graduan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan seterusnya di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Tarikh lahir 18 Mac 1985. Blogger Islamik dan aktif menulis dalam pelbagai medium. Turut aktif dalam pengendalian kursus-kursus pembangunan insan dan motivasi di sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi. Kini bertugas di Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.

Number of Entries : 87

Himmah : Siapakah Mereka Di Hati Kita?

 

Di dunia ini, ramai tokoh yang boleh menjadi inspirasi dan contoh buat kita – tetapi yang manakah yang benar-benar “melekat” dan benar-benar “hidup” di dalam jiwa kita?

Sahabat Pembaca yang budiman,

Mudahan kalian semuanya berada dalam keadaan yang sejahtera, dipenuhi keceriaan dan tenang bersama keluarga, rakan taulan dan teman-teman yang sentiasa bahu membahu dalam amal soleh dan kebenaran.

Perkongsian saya kali ini biasa-biasa, santai-santai dan tenang-tenang sahaja. Hajat saya ialah agar kita memperolehi sesuatu daripada perkongsian ini. Simple sahaja, sahabat pembaca hanya perlu membaca, menatap dan merenungi artikel dan gambar-gambar yang saya sertakan dalam post ini agar kita berfikir dengan akal, hati dan nurani. InsyaAllah.

Baiklah, kita mulakan. Ayuh! ( Jangan gopoh dan tergesa-gesa. Bah kata remaja hari, rilek-rilek sahaja)

Gambar pertama. Anda kenal siapakah dalam gambar ini?

Gambar seterusnya. Kenal. Wah, ada yang tersenyum-senyum. Kenal la tu.

Gambar seterusnya. Saya yakin ramai yang kenal. Jom kita lihat, dan sebut nama mereka satu persatu.

Baiklah, saya pasti jika ditanyakan kepada kita semua. Ramai mengenali gambar-gambar yang saya paparkan ini.  Betul tak?

“ Siapa tak kenal, semua ini artis-artis, selebriti dan pelakon-pelakon hot masa kini,” Mungkin ada yang terdetik sedemikian.

“ Mestilah kenal, tiap-tiap hari terpapar kisah-kisah hidup mereka di surat khabar, di media elektronik dan bahkan, macam-macam versi cerita mereka di blog-blog di alam maya,” Ada juga yang berpandangan sedemikian.

Ya. Mungkin itulah yang sedang bermain-main di fikiran kita semua. Saya, anda dan mereka semua. Baiklah, sahabat pembaca kita lihat pula gambar-gambar dibawah ini. Cuba tatap, lihat dan pandang dengan pandangan hati kita masing-masing.

Gambar ini pula, sama-sama kita lihat. Sama-sama kita sebut nama mereka juga.

Gambar U1

Gambar U2

Macamana? Kenal kah mereka ini. Baik kita terus ke gambar yang lain.

Gambar U3

Gambar U4

Eh, kenapa diam sahaja. Cuba perhati dan lihat betul-betul. Siapakah mereka ini?

Gambar U5

Agak-agak, siapakah mereka?

 

Jujurnya, jika ditanya siapakah mereka adakah kita mampu menyatakan nama mereka sepintas lalu? Atau –

 

“ Entah, siapa-siapa entah!,”

“ Tak famous pun, tak kenal lah,”

“ Macam pernah nampak, tapi kat mana ya?,”

 

Sahabat pembaca tahukah siapakah mereka? Pernahkah kita ambil peduli tentang mereka? Siapakah susuk tubuh ini? Tahukah kita, –  pengorbanan, sumbangan dan jasa mereka?

Atau, mereka ini sebenarnya sangat-sangat asing bagi kita?

 

Mereka Dan Kita

 Sebenarnya, siapakah mereka ini?

Mereka-mereka yang saya paparkan ini adalah pejuang, pahlawan, penggerak, ulama muktabar dan dai’ (pendakwah) abad ini yang berjuang bermati-matian untuk menegakan deen Islam serta menyebarkan cahaya Allah SWT ke seluruh alam.

Hidup mereka seluruhnya untuk perjuangan yang suci, murni dan mulia. Apabila mengenali, menghayati dan menyelusuri sirah kehidupan mereka – hati kita akan tersentuh dengan segala usaha-usaha ikhlas, kesungguhan dan ketekunan mereka dalam menyelamatkan ummat ini daripada kerosakan dan kemusnahan.

Hari ini, kita lebih mengenali mereka-mereka yang tida pernah pedulikan dan mencintai kita sebagai ummat. Kita agung-agungkan insan-insan yang tidak memberikan sebarang makna dan erti nilai kebaikan kepada kita. Kita lebih suka mengambil cakna dan ambil tahu kehidupan mereka-mereka yang bergelar artis terkenal, selebriti-selebriti hiburan, dan pelakon-pelakon terhot masa kini. Itulah realiti yang ada.

Bagaimana dengan insan-insan yang berjuang untuk masa depan ummat ini? Mereka dipandang sepi, tiada penghormatan buat mereka, tidak disantuni dan lebih menyedihkan mereka tersisih daripada masyarakat. Bahkan, sebahagian mereka disiksa, dipenjarakan dan dihumban di dalam sel-sel kurungan bertahun lamanya.

Inilah hakikat yang ada.

 

Mereka Hidup Bersama Perjuangan Menyelamatkan Ummat

 

Suatu kisah, pada suatu hari seorang tokoh ulama yang berjuang untuk Islam iaitu Imam Hassan al-Banna dan sahabatnya, Sheikh Abbas Asasy berbincang-bincang tentang permasalahan dan nasib ummat Islam. Mereka begitu serius untuk menyelesaikan sehingga perbincangan itu membuatkan Sheikh Abbas Asasy terharu dan menangis sehingga mengalirkan air mata kerana begitu sedih melihat nasib ummat ini. Saat itu, Hassan al-Banna menyatakan :

“ Saat ini, barulah engkau mengetahui erti hakikat dakwah yang sebenarnya.”

Itulah mereka, insan yang hadir dalam sebuah perjuangan yang perit, getir dan penuh dengan onak duri. Kehadiran mereka dalam sejarah dunia bukan kehadiran yang “biasa-biasa”.

Hadirnya mereka telah merubah peta dunia Islam, mengembalikan sinar harapan ummat, bagi menyaksikan Islam kembali dihormati, dimuliakan dan dimartabatkan sebagai khaira ummah yang diimpikan.

Sungguh – sumbangan, jasa , titik peluh dan pengorbanan mereka mewakili jerih perih, tawa dan rintihan umat sepertimana kehilangan mereka juga meninggalkan bekas dan kesan yang mendalam di dalam sanubari ummat ini.

Mereka-mereka ini adalah permata yang menyinari sepanjang zaman, menyuluh jalan generasi hadapan ke pangkuan Tuhan dan menuju ke alam akhirat yang dijanjikan.  Merekalah sebenarnya, pahlawan, wira, hero, pejuang, mujadid, ulama muktabar dan tokoh intelektual terbilang yang harus bertahta kukuh di jiwa dan hati kita semua.

 

Gambar U6

Penutup :  Siapakah Mereka di Hati Kita?

Sahabat pembaca, mungkin kita ini bukan siapa-siapa tetapi jujurlah kita – Siapakah mereka di hati kita? Terpahatkah mereka sebagai pejuang, pahlawan dan tokoh ummat pada hati kita? Atau mereka ini benar-benar jauh daripada kita semua.

Biar apa pun, perasaan, cetusan dan rasa hati kalian – bagi saya, seharusnya mereka inilah yang dijadikan inspirasi, qudwah dan contoh ikutan kepada kita semua untuk terus berjuang untuk menjadi mukmin yang diredhai oleh Allah SWT dan menegak syiar Islam di muka bumi ini.

Mereka yang telah memotivasikan saya dalam bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu serta terus tetap berjuang untuk sama-sama memperbaiki diri serta menyampaikan kebenaran.

Justeru, soallah kembali diri kita – Siapakah mereka sebenarnya di hati kita?

 

Nota :

Sama-sama kita kongsikan nama-nama ulama yang saya paparkan di dalam gambar yang disertakan dalam artikel ini. InsyaAllah, nanti saya akan lengkap nama-nama mereka dalam ruangan komentar.

 


BroHamzah

11 Mei 2012

Menghirup Udara Jumaat yang penuh barakah.

 

Comments (32)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top