Khamis, 20 Jun 2013   |   11 Syaaban 1434H   |   23 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Motivasi » Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Apa Yang Kita Harapkan, Apa Yang Dia Berikan.

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 430

Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Apa Yang Kita Harapkan, Apa Yang Dia Berikan.

Picture by http://gunaygunduz.deviantart.com/

 

Saya semestinya tidak pernah berharap untuk diuji di dalam perjalanan cinta ini. Saya tidak pernah berharap untuk melalui satu salah faham yang besar, hingga terfitnah diri saya ini. Bahkan, harapan itu bukan harapan kosong, yakni bukan sekadar berharap sahaja.

Untuk mengelakkan fitnah, saya memastikan dengan baik agar tindakan saya tidak keluar dari batas yang syara’ tetapkan. Saya bina definisi cinta saya, dan bergerak dengannya. Bukannya menggunakan cinta yang telah di’wajah’kan dunia.

Itupun, ujian masih datang.

Saya berharapkan satu kembara cinta yang indah, dan tenang. Tetapi Allah SWT berikan saya satu perjalanan cinta yang penuh pancarobanya. Hingga kadangkala saya bertanya, kenapa Allah perlu berikan saya ujian sedemikian rupa.

Saya yakin, orang lain pun mungkin berhadapan perkara yang sama, tinggal dalam bentuknya yang berbeza. Harapkan lain, Allah beri yang lain.

Jadi di sini saya berkongsi, untuk kita belajar.

Saya Harapkan Perempuan Yang Saya Cintai Terus Terima Saya.

Siapa pernah berharap untuk direject? Tiada rasanya. Melainkan dia dipaksa oleh Ibu Bapanya untuk melamar seseorang, maka dia berharap perempuan itu reject dia. Itu mungkin ada.

Tetapi saya, perempuan itu saya cintai. Mustahil saya berharap dia akan reject saya.

Sebab itu saya sebenarnya telah merancang untuk melamarnya dalam keadaan terbaik. Dalam keadaan yang dia akan yakin untuk menerima saya. Saya tahu dia tidak berapa kenal saya, saya tahu dia tidak berapa mengetahui peribadi saya yang sebenar dan sebagainya. Jadi saya merancang untuk menjadi seorang yang berjaya terlebih dahulu, kemudian hendak melamarnya dengan cara terhormat.

Tetapi Allah jualah sebaik-baik penyusun.

Allah SWT gerakkan Ibu untuk terus memberitahu kepada anaknya akan saya. Mungkin kerana terlalu muda, merasakan diri sepatutnya masih jauh dari perkahwinan, maka dia menolak saya.

Sebagaimana yang telah saya ceritakan dalam lembaran yang lepas, perit rasa ditolak. Sakit. Memang sampai satu tahap, hidup rasa tidak bermakna. Semasa ditolak, saya memang kadangkala bertanya kepada Allah, mengapa aku diuji sebegini rupa?

Namun apabila melalui jangkamasa ditolak itu, saya dapat sesuatu yang berharga. Ketabahan, kecekalan, bahkan ianya meluaskan lagi kefahaman saya akan takdir Allah SWT. Meningkatkan lagi kepercayaan saya kepadaNya. Belajar untuk menerima ketentuanNya. Dan merasakan bahawa, tanggungjawab manusia adalah berusaha, dan redha pula dengan natijahNya.

Ya. Saya belajar yang itu.

Saya belajar merawat hati yang luka. Saya belajar menjadi lebih tenang dan menghargai mereka yang saya ada. Saya belajar.

 

Saya Berharap Agar Orang Pandang Baik Hubungan Saya Dengan Dia.

Siapa berharap untuk difitnah, dituduh yang bukan-bukan?

“Ya, saya memang berharap saya difitnah. Biar jadi seorang yang kontroversi.” Ya. Saya rasa orang yang bercita-cita begitu, mereng akalnya.

Saya tidak berharap untuk difitnah sebagai ‘pemaksa anak orang’. Apatah lagi difitnah oleh mereka yang dekat dengan diri saya. Mereka yang selama ini saya anggap seperti keluarga, yang bergerak sama di atas jalan dakwah dan perjuangan ini. Yang saya hargai, yang saya cintai, yang saya selama ini meletakkan pertamanya adalah sangka baik kepada mereka.

Membuatkan saya rasa seperti terperusuk ke satu lubang yang sempit, gelap. Hari-hari bertanya, di mana salah aku? Di mana salah aku? Diulang-ulang. Tertekan, sakit. Ada waktu hingga demam, memikirkan fitnah yang berjalan. Apatah lagi apabila sampai ke telinga ini betapa cerita itu berjalan dan berjalan, dari masa ke semasa, bertransformasi menjadi sesuatu yang lain. Dari tak melamar langsung, bertukar menjadi ‘lamar sampai 4 kali!’. Teruk tidak teruknya cerita itu berubah dan berubah.

Rasa gelap masa hadapan.

Terasa seperti tiada lagi yang mampu dipercayai.

Rasa marah, mahu balas dendam, mahu sahaja saya tulis satu cerpen, satu novel, untuk memburukkan semula mereka ini seburuk-buruknya. Kalau mereka boleh burukkan saya pada satu kumpulan masyarakat, maka saya boleh burukkan mereka untuk seluruh Malaysia. Saya kata pada masa itu, kalau benar-benar nak burukkan nama aku, baik aku jadi buruk betul-betul!

Perasaan amarah itu berkocak, berlawan dengan rasional di dalam minda, yang menyatakan bahawa saya tidak akan untung apa-apa pun bersikap sedemikian. Tertekan, hingga saya akhirnya menangis kepada Allah SWT dan mempersoalkan, mengapa mesti diuji lagi saya sebegini rupa?

Tetapi akhirnya, saya tersedar, betapa apabila Allah uji sebegini, saya belajar macam-macam. Saya jadi lebih jelas akan sikap manusia. Bukan semua manusia yang kita baik kepadanya, akan bersangka baik kepada kita, apatah lagi hendak berbuat baik semula kepada kita. Jadi, kita tidak sepatutnya meletakkan pergantungan penuh kepada manusia. Kita sepatutnya bergantung penuh kepada Allah SWT!

Di situ, saya berjaya meningkatkan lagi kematangan, pertimbangan, dan dapat pula merasai betapa manisnya sabar, juga belajar akan hakikat apabila hidup di dunia.

Itu semua menambah kekuatan saya.

 

Penutup: Ujian. Allah Mahu Kita Belajar.

Banyak lagi ujian yang saya lalui. Saya pernah juga berselisih faham dengan Tunang saya. Biasalah.

Tetapi di situ, saya belajar mengenalinya dengan lebih baik lagi. Berusaha mengubah diri saya ke arah yang lebih baik lagi. Bila cinta, mustahil kita mahu menjadi yang melukakan. Maka dari masa ke semasa, ujian datang, untuk memberikan peningkatan.

Allah mahu kita belajar.

Yang penting, apa yang saya dapat di dalam perjalanan ujian-ujian ini adalah, Allah itu semua yang Dia berikan kepada kita, ada hikmahNya. Dia tahu kita perlukan apa. Maka ujian itu adalah perlu buat kita bila Dia berikan. Perlu untuk menyedarkan kita, perlu untuk buat kita belajar, perlu untuk mempertingkatkan kita dan sebagainya. Dia Maha Tahu.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 155-156.

Jadi, apa yang Dia beri, sentiasa terbaik.

Kalau kita kena reject, kemudian Allah beri orang lain. Tandanya orang itulah yang terbaik.

Kalau kita kena uji, tandanya ujian itulah yang terbaik untuk kita.

Begitulah Allah SWT. Kita tidak tahu. Tetapi Allah Maha Tahu.

                “Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

Kita diletakkan di dalam ujian, sedang kita tidak menyukainya. Boleh jadi benda yang kita benci itu adalah benda yang baik di sisi Allah, boleh jadi benda yang kita suka itu belum cukup baik di sisi Allah. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mengetahui, dan kita tidak tahu apa-apa.

Maka, positiflah kala tidak diberikan apa yang diharapkan.

Bersangka baiklah kepada Allah, bahawa apa yang Dia beri, itulah yang terbaik buat kita sebagai insan!

Comments (34)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top