Khamis, 23 Mei 2013   |   13 Rejab 1434H   |   8 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Motivasi » Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Bila Saya Jatuh Cinta.

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 427

Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Bila Saya Jatuh Cinta.

Picture by http://88kay88.deviantart.com/

 

Ketika penghujung usia saya 18 tahun, yakni penghujung tahun 2007, saya keluar mengembara bersama junior-junior saya. Dalam kembara itu, salah seorang junior saya yang merangkap adik usrah saya, meminjam laptop saya untuk ‘transfer’ gambar familinya dari ‘hard disk’ kepada ‘pen drive’.

Allah izin, ketika itu saya ternampak gambar dua orang perempuan bertudung labuh, berpakaian serba biru. Walaupun hanya sebentar saya ternampak gambar tersebut, salah seorang daripada dua perempuan itu seperti melekat di dalam jiwa saya. Walaupun ketika itu, tidak saya tahu siapa namanya.

“Kakak enta?” Saya bertanya adik usrah saya.

“Ha? Ah, ha’ah.”

Baru saya teringat yang dia ada kakak. Saya tahu semasa saya berta’aruf dengannya dua tahun sebelum itu. Tetapi selama ini saya tidak pernah ambil tahu siapa kakanya, wajahnya bagaimana, dan sebagainya. Antara cara saya menghormati persahabatan adalah, sekiranya sahabat saya ada adik perempuan, saya tidak akan bersembang atau menyentuh akannya.

Saya diam panjang selepas itu hari itu. Sebab saya benar-benar rasa ada satu perasaan aneh berlari-lari dalam jiwa saya selepas melihat gambar itu.

“Jatuh cinta? Sebab tengok gambar sahaja? Gila.”

Saya masih ingat, betapa saya marah kepada diri saya.

Memberikan Diri Masa.

Selepas diri ini mengikuti penyampaian demi penyampaian berkenaan rumah tangga, cinta dan perkahwinan, saya amat arif akan tipu daya syaitan dalam urusan ini. Perasaan-perasaan yang membuatkan manusia akhirnya buta, lalu mengejar sesuatu yang tidak pasti seperti orang gila, bermain-main dengan perasaannya.

Berbanding sibuk kemaruk dengan perasaan itu, atau rasa ‘syok’ mempunyai perasaan cinta yang berbunga, saya telah memberikan diri saya masa.

Penghujung tahun 2007, sekitar bulan November, perasaan itu tumbuh dalam diri saya. Semenjak hari itu, sehinggalah pertengahan tahun 2008 sekitar bulan Mei atau Jun, saya mempersoalkan perasaan saya itu.

“Tengok gambar sudah jatuh cinta? Gila.” Itu saya ulang entah berapa kali.

“Kenalkah? Tidak. Tahu dia bagaimana? Tidak. Pernah jumpa? Tidak pernah. Bagaimana boleh nak cintakan dia? Nama pun kita tidak tahu!” Antara soalan saya pada diri saya setiap hari.

Pernah juga diri saya ‘mengajak’ untuk saya berkenalan dengannya. Jadi, saya pergi ambil Buku MATRI yang menyimpan gambar pelajar-pelajar MATRI, dan mula mencari. Kakak junior saya itu ada dua, saya hanya tahu nama, tetapi tidak tahu siapa pemilik namanya. Saya mencari nama tersebut, dan menjumpainya di dalam satu kelas. Ketika itu baru saya kenal, pemilik wajah ini bernama ini, dan pemilik wajah itu bernama itu.

Rupanya saya jatuh hati kepada yang bernama sekian.

Namun itu masih tidak menenangkan saya.

“Dia adik dan kakak kepada sahabat kita. Risau ini akan rosakkan hubungan kita dengan sahabat-sahabat kita.” Antara alasan untuk saya ketepikan perasaan itu, memandangkan adik dan abangnya adalah sahabat saya.

Begitulah saya mempersoalkan perasaan itu. Memang tujuan saya adalah untuk menimbulkan keraguan di dalam diri saya, agar perasaan itu tersisih dan hilang pergi. Kerana saya tidak mahu diri saya terjebak dengan perasaan yang palsu. Saya tidak mahu dipermainkan syaitan yang sering menipu.

Lama saya fikir. Amat takut jika ini hanya perasaan main-main sahaja.

Kata mahu bercinta secara luar biasa!

Maka mustahil dengan sekadar rasa-rasa, terus menganggap itulah dia cinta yang sebenarnya!

 

Ya, Aku Telah Jatuh Cinta.

Saya tidak berani mahu menyatakan ‘Allah hendak saya bertemu dengannya’, kerana saya tidak tahu apa yang Allah mahukan sebenarnya. Tetapi telah berlaku dalam sejarah hidup saya, saat saya bertalu-talu berusaha menyisihkan perasaan yang ada dengan memberikan pelbagai keraguan agar saya membuangnya, keyakinan datang membuatkan saya menjadi tetap dengan perasaan yang ada.

Dari November 2007, hingga sekitar bulan Mei atau Jun 2008, saya bertarung dengan perasaan itu dan ingin menyisihkannya, kerana tidak berasas. Namun pada sekitar bulan Mei atau Jun 2008 itu, saya telah dipilih oleh arwah Ummi Halimaton, guru Bahasa Malaysia di MATRI, untuk menjadi pengerusi kepada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemelarngan MATRI. Sedangkan, tugas itu sepatutnya dilaksanakan oleh mereka yang bertaraf guru juga. Saya, memandangkan mempunyai hubungan yang rapat dengan Ummi Halimaton, menerimanya tanpa banyak bicara.

Apa yang menakjubkan ketika itu adalah, salah seorang yang menerima hadiah adalah perempuan yang saya jatuh hati kepadanya itu. Saya sendiri tidak perasan, melainkan ketika sesi rehearsal penyampaian hadiah. Ketika sesi rehearsal majlis penyampaian hadiah, dia pula tidak hadir. Tetapi kala majlis yang sebenar berjalan, ketika itulah saatnya saya mendapat yakin.

Saya memberanikan diri mengangkat mata saya untuk melihatnya.

Saya masih ingat perasaan ketika itu. Tidak sampai sesaat saya memandangnya, saya terasa seperti dibakar dengan kelembutan wajahnya, senyumannya saat menerima hadiah, dan dengan cepat saya mengalihkan pandangan saya semula.

Di situ, perasaan saya jadi semakin kuat. Hingga terdetik di dalam hati saya ketika itu: “Allah susunkan perkara ini kerana mungkin dia memang jodoh aku!” Walaupun kini, saya kurang bersetuju dengan kenyataan sedemikian rupa. Kita tidak pernah tahu Allah susunkan apa untuk kita, dan kita tidak pernah akan mampu pastikan, apakah satu-satu peristiwa itu menandakan si dia atau si dia sebagai jodoh kita. Kita tidak akan mampu. Ini saya akan bicarakan lagi secara detail di lembaran lain.

Selepas peristiwa itu, walaupun perasaan menjadi ‘besar’ dan ‘kuat’, saya tidak pantas pergi kepada perempuan yang saya suka. Saya tidak pantas menghubunginya. Kerana jelas, saya ada definisi cinta saya. Saya masih mengambil langkah yang berhati-hati.

Cinta bukan kerana wajah. Cinta bukan kerana harta. Cinta bukan kerana dunia. Cinta ini mestilah membawa ke syurgaNya. Cinta ini mestilah memberikan manfaat kepada agamaNya.

Maka, saya bermula dengan ingin mengetahui diri dia yang sebenarnya. Pada saya, jatuh cinta hanya kerana keindahannya, bukanlah satu alasan yang cukup untuk sebuah cinta yang luar biasa. Kembara saya bermula.

Saya pergi kepada guru demi guru di MATRI dan bertanya akan perempuan yang saya suka itu. Bertanya akan akhlaknya, sikapnya, peribadinya. Saya pernah juga, secara tidak langsung, bertanya kepada abangnya dan adiknya. Untuk benar-benar mengetahui, bagaimanakah dirinya. Kemudian saya bertanya juga kepada beberapa kakak senior akan dirinya.

Itupun pada saya masih tidak mencukupi. Berkahwin dengan seseorang, bererti berkahwin dengan keluarganya. Maka bagaimana keadaan keluarganya? Ibu Bapanya? Saya pernah pergi ke rumahnya sebelum itu, atas dasar menziarahi rumah sahabat dan junior saya. Ketika itu, seluruh keluarga mereka ada di rumah. Jadi saya lebih banyak bersama dengan sahabat saya, berbanding bermesra dengan Ibu dan Ayahnya. Jadi, peluang tidak banyak buat saya ketika itu.

Maka saya mengambil keputusan untuk mengembara lagi ke rumah itu, kali ini sekadar untuk bermesra dengan Ibu dan Ayahnya. Kebetulan saya ada Kursus Pelajar Ke Luar Negara berdekatan dengan rumahnya, maka saya berjaya mendapat peluang untuk menziarahi Sang Ayah dan Sang Ibu, kala anak-anak mereka tiada. Di sana, saya meneliti Ayah dan Ibu perempuan yang saya cintai.

Sederhana.

Sejenak saya bandingkan keluarga itu dengan keluarga saya, saya terasa seakan satu ‘kelengkapan’ dalam kehidupan sekiranya saya mendapat mertua sedemikian rupa.

Ketika itu saya putuskan di dalam diri saya,

Ya, aku telah jatuh cinta.

Bukan kerana wajahnya yang menawan. Tetapi kerana mengetahui betapa sederhananya dia dan keluarganya. Selepas memastikan akhlak, memastikan keadaan famili, barulah saya semat di dalam jiwa, bahawa saya cinta kepadanya, dan ingin dia, menjadi isteri kepada saya.

 

Tidak Terus Meluahkan Kepadanya.

Saya tidak pula terus meluahkan kepada perempuan yang saya cintai itu akan hajat saya. Akan perasaan saya. Tidak.

Bahkan kala bertemu dengan Ibu dan Ayahnya, saya tidak berkata apa-apa pun fasal perempuan itu. Saya menziarahi, hanya dengan menggunakan lesen bahawa saya adalah sahabat kepada anak-anak lelaki mereka. Sekadar untuk memerhatikan Ayah dan Ibunya dengan lebih dekat.

Saya ketika itu seringkali berpesan kepada diri saya agar berhati-hati dalam urusan ini, agar kalaulah saya tidak dapat pun menjadikan perempuan yang saya cintai itu sebagai isteri saya, saya berharap hubungan baik saya dengan keluarga mereka tidak terjejas.

Walaupun saya tidak meluahkan kepada perempuan yang saya cintai, mahupun keluarganya, saya tetap meluahkannya kepada Ummi dan Abah saya. Saya memandang bahawa jika kita serius mencintai seseorang, maka kita hendak masuk ke syurga bersamanya. Hendak masuk ke syurga, semestinya dengan mengambil jalan yang baik. Maka antara hendak memastikan bahawa kita berada di atas jalan yang baik, adalah dengan berbincang dengan orang yang lebih tua, contohnya Ibu Bapa kita.

Ketika saya memberitahukan perkara itu, Abah berkata:

“Muda lagi ni. Berikan masa.”

Ummi pula berkata: “Kahwin sekarang dah mahal. Kurang-kurang mahu RM20,000.”

Saya tidak memilih untuk memberontak dan mempersoalkan kata-kata mereka. Tetapi saya pada ketika itu, memilih untuk mengambil kata-kata mereka sebagai satu pandangan lain bagi mengimbangi keinginan saya. Benar, saya masih muda, perlukan masa untuk menggapai kematangan biar keluarga yang saya bina nanti ampuh dalam perjalanan menggapai redha Tuhan. Benar, saya perlukan kekuatan agar mampu menyara kehidupan.

Maka tidak lama kemudian, saya menghasilkan perancangan kehidupan saya, dan membentangkannya depan Ummi dan Abah. Bagaimana saya mahu mendapatkan wang, bagaimana saya mahu belajar di Universiti, berapa tahun, bila saya rancang untuk berkahwin, dan bagaimana saya hendak meneruskan kehidupan. Ya. Pada saya, itulah tanda keseriusan saya.

Sebelum saya menyambung pengajian di Jordan pada September 2008, saya memilih untuk meberitahu abang kepada perempuan yang saya cintai akan perasaan dan hajat saya. Abangnya adalah antara sahabat saya yang terakrab, jadi saya kira dia patut mengetahuinya. Sang Abang sekadar menyatakan bahawa dia tidak punya kuasa apa-apa dalam hal itu, walaupun dia mampu menerima dengan senang hati jika saya benar ingin menjadikan adindanya sebagai isteri saya.

Justeru, saya terbang ke Jordan dengan wawasan.

Wawasan untuk membina peribadi, agar menjadi yang lebih baik lagi. Membina juga kekuatan ilmu, kewangan, dan kekuatan agar mampu memimpin serta membina sebuah keluarga yang diredhai Ilahi. Begitulah, baru saya yakin untuk melamar seorang bidadari yang menyentuh jiwa saya. Pada saya dia mahal, maka saya juga perlu menjadi ‘mahal’ untuk melamarnya.

Dengan wawasan itu, saya corakkan kehidupan universiti saya.

 

Penutup: Masa dan Perancangan.

Pada saya, cinta yang buta adalah yang hanya dipandu perasaan. Manakala cinta yang celik adalah yang dipandu keimanan. Bila dipandu keimanan, maka matlamat cinta bukanlah semata-mata perkahwinan. Bahkan, matlamatnya adalah rumah tangga yang dihiasi keredhaan Tuhan.

Kerana cinta yang sebenar adalah yang membawa ke syurga.

Kerana itu, jika benar cinta, maka pastikan kita memberikan kepada diri kita masa, dan mempersiapkan diri kita dengan perancangan.

Jangan sesekali kita terburu-buru dan tergesa-gesa. Semuanya perlu dipertimbangkan. Agar kita tidak tertipu dengan perasaan kita.

Cinta itu pada saya bukan sekadar rasa-rasa. Mustahil jika hendak ke syruga, cukup dengan sekadar rasa-rasa!

Masa itu penting. Jangan berang apabila ada yang memberikan teguran bahawa kita ini masih muda. Walaupun mungkin nasihat itu bukan setiap masa relevan, tetapi kita sendiri perlu bijak menilai diri. “Apakah aku telah memberikan diri ini satu jangka masa untuk berusaha mencapai matang?”

Perancangan itu perlu ada. Kalau benar cinta itu hendak ke syurga, semestinya bukan semeberono sahaja!

Maka apakah namanya cinta jika kita dilalaikan dengan perasaan? Apakah namanya cinta jika sibuk dengan makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena dan sebagainya? Apa namanya jika kemaruk sampai melanggar perintah Allah SWT? Apa namanya cinta, jika terburu-buru hendak melangsungkan perkahwinan, tanpa wujudnya perancangan membina ‘kemampuan’ untuk menggerakkan sebuah keluarga? Itu semuanya murah!

Pada saya, memahami perkara ini, bertenang dalam menghadapi cinta ini, adalah hanya selepas kita memahami bahawa cinta itu adalah hendak bersama ke syurgaNya. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya. Kerana itu, saya tekankan pembetulan kepada definisi cinta!

Ya, cerita saya mungkin sedikit tergantung di atas ini. Fokus saya dalam lembaran kali ini sekadar mahu menunjukkan situasi saya ketika saya ‘disapa’ oleh makhluk bernama ‘cinta’. Bagaimana saya berhadapan dengannya.

Kita akan sambung cerita di atas ini, dalam lembaran-lembaran yang mendatang.

Comments (41)

  • AmeenMisran

    AmeenMisran

    Deep. This is deep.

    Reply
  • Cahaya Penguasa

    Assalamualaikum.

    Maaf. sy tidaklah arif dalam hal-hal agama. Tetapi, izinkan sy untuk memberi pendapat dan pandangan.

    Sy ada terbaca status yang dipostkan oleh seorang sahabat di fb. Begini bunyinya,

    “Hmm sedikit kecewa dan hilang respect bila org2 popular buat usaha dakwah ni tunjuk true colors dengan cite pasal tunang kat fb, mention not available bla3. Hilang siqqah. Perlu ke?Awatnya? Sebab takut ramai orang terjatuh hati kat depa ke? Relax sudah..Hope vlogger dan penulis cerpen ‘cinta sms’ tak kan gitu. Hehe peace!”

    Mungkin niat saudara untuk bercerita dan update status di fb tentang tunang dan rasa hati itu ada baiknya. Ya, dan saudara mempunyai hak untuk berbuat begitu. Tetapi pada pendapat sy, eloklah sekiranya post-post dan cerita sebegini di’delay’kan sehingga saatnya kalian sah menjadi halal antara satu sama lain.

    Dan mungkin juga dapat mengelakkan fitnah manusia.

    Saya hanya memberi pandangan. Walau saya sendiri banyak jahilnya. Semoga kita sama-sama dilindungi dan dirahmati olehNYA.

    Wassalam

    Reply
    • Hilal Asyraf

      Hilal Asyraf

      Pada saya,
      itu bukan masalahnya.

      Selama ini saya adalah yang open dengan hal-hal sebegini.
      Apa yang bakal berlaku, itu adalah urusan Allah SWT.

      Saya kira, kalau saya pergi tulis bicara, atau sembang-sembang saya dengan tunang saya,
      kongsi nama dia pada umum ke,
      cerita dia belajar kat mana ke,
      ya, itu benarlah membuka apa yang tidak patut dibuka.

      Di atas ini, jika perasan,
      saya bukan ceritakan fasal tunang saya.
      Saya ceritakan fasal saya.
      Saya, bagaimana ketika saya berhadapan dengan situasi jatuh cinta.

      Saya tidak cerita macam saya dah kahwin dengan dia.
      Tetapi saya cerita macam mana saya hendak kahwin dengan dia,
      which mean, apa yang sedang saya lalui.

      Pada saya, ini satu perkongsian yang bagus.
      Bukannya buka apa-apa yang privasi pun.
      Jadi di mana masalahnya?

      Saya tidak nampak ini satu masalah.
      Tetapi bagi yang nak rasa ini satu masalah,
      nak hilang respect dengan saya,
      saya akan cakap:
      “Terpulang.”

      Saya, beginilah.
      Bukan bila cerita camni baru nak nampak true colours la apa la.
      Saya tulis benda sia-sia ke?
      True colours saya memang dah terzahir selama ini.
      :-) :-) :-)

      Reply
  • abduljabbar

    Alhamdulillah, terima kasih sebab sudi berkongsi. Kata-kata anda memang memberi sudut pandang yang lain. Membuka ruang apa itu CINTA buat pemuda-pemudi. Moga ramai membaca ia dengan sudut memahami apa itu membawa ke Syurga dan Ilahi, wallahua’lam.

    Reply
  • dephare

    terbaek! :D

    Reply
  • basirah

    basirah

    wow..mantap

    Reply
  • litchG

    sedikit sebanyak cerita saudara memberi jawapan kepada pencarian saya. :) semoga cerita ini berkesudahan dengan penyudah yang baik :)

    Reply
  • khaliFah

    Menarik ~

    Ini adalah kisah sebenar di sebalik beberapa cerpen Hilal rupanya~

    :)

    May Allah bless us all

    nice one akh~

    (barakAllah ^^ )

    Reply
  • Muhammad Said

    crita kmu ttg “CINTA” td mmang patut di post, agr muda-mudi zaman kini dpt menilai dan meniru bgaimana cara menjlankan Ftrah Ilahi ini dgn ttp mengaharap ttp pada jalan yang di Ridhoi_Nya,
    Wallu ‘Alam Bisshowab

    Reply
  • syafiqah

    Salam

    saya pun rasa tak ada masalah utuk share cerita macam ni. Bagus ape.. Bagi galakan untuk usaha ke arah mencari cinta Dia.saya suka cerita ni. Bagi sy semangat untuk stabilkan kewangan kami n cepat2 kawin lepas abis belajaar. Semoga semua mendapat manfaat :)

    Barakallah akhi. We always need ur idea. Inspiration about love in islam. Insyallah :D barakallahulakuma :)

    Reply
  • Siti Nassra Jamaludin

    Alhamdulillah dgn adanya cter pasal ni….Hilal Asyraf sudah mengambarkan alangkah perlunye ketelitian seseorang untuk memilih pasangan hidup,ciri2nya,peribadinya…terima kasih kerna sudi berkongsi kisah2 sebegini..semoga dgn adanya kisah seperti ini kita semua akan turut serta menilai seseorang sebelum dia menjadi pasangan hidu kita….amin.

    Reply
  • Nor Aminah Ismail

    Alhamdulillah..crita anda ini sdikit sbyk dpt membuka mata anak muda ttg cinta..
    Bila hidup akan menghadapi mati,isikan ia hidup dgn kasih syg,moga2 di akhirat kelak akan sejahtera dgn kasih sayangNya..:)

    Jgn dilupa bhw perasaan cinta itu juga merupakan anugerah dari Allah:)

    Reply
  • Asmida Ideris

    Nampaknya dah boleh ucap Selamat Pengantin Baru siap- siap ni ;) . Semoga majlisnya nanti berjalan lancar InsyaAllah.

    Reply
  • Latifah

    Latifah

    Allahurabbi… Satu pencerahan yang jitu…
    ^^
    Semoga memberi manfaat pada ramai orang termasuk saya~

    Reply
  • khairunnisa'

    salam akhi hilal,

    memetik kata-kata akhi, “Dengan wawasan itu, saya corakkan kehidupan universiti saya.” seolah-olah akhi berubah kearah yang lebih baik disebabkan faktor manusia. tak dinafikan matlamat akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah iaitu akhi mahu berubah menjadi individu yang lebih baik untuk membimbing keluarga ke Syurga dan membina ummah.

    saya juga sebelum ini adalah seorang yang agak tunggang langgang hidupnya, contohnya melambat-lambatkan solat. dan satu hari, apabila mendapat berita bahawa saya bakal berkahwin, saya perlahan-lahan berubah, kerana saya mahu menjadi isteri solehah dan ibu mithali kepada anak-anak saya nanti. dan saya melihat perkara ini seolah-olah saya berubah kerana manusia, bukan kerana Allah. jika saya tak dapat berita saya akan berkahwin tu, saya tak mungkin akan berubah(saya rasalah). apabila saya berbincang dengan sahabat saya, beliau mempersoalkan kenapa saya perlu berubah kerana “si dia”, kita perlu berubah kerana Allah.

    maka saya cuma mahu tahu apa hukumnya ya berubah kearah lebih baik kerana faktor manusia? salah ke?

    Reply
    • ummu nuh

      ummu nuh

      khairunnisa’ yang dikasihi, sememamngnya tidak salah berubah ke arah yang lebih baik kerana faktor manusia pada mulanya, namun setelah itu, kesedaran datang dan menjadikan tujuan&sebab perubahan itu lebih jitu dengan berpaksikan perubahan ke arah kebaikan itu kerana Allah swt. Tahukah kita apakah sebab perubahan Abu Talhah? Abu Talhah sebelum menikahi Ummu Sulaim adalah seorang kafir. Ketika beliau melamar Ummu Sulaim, Ummu Sulaim menawarkan kepada Abu Talhah agar masuk Islam dan menjadikan keIslamannya sebagai mahar perkahwinan. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah saw, baginda bersabda: Sebaik-baik mahar adalah mahar Ummu Sulaim.

      Ya.. Islam itu indah! dan Islam itu agama fitrah! ^_^

      Reply
      • ummu nuh

        ummu nuh

        Maaf sangat, er.. tersilap pula: “Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah saw, baginda bersabda: Sebaik-baik mahar adalah mahar Ummu Sulaim”. Maaf tak dapat dipastikan kesahihannya. Mungkin ini sekadar kata-kata para Ulama’ dan bukan sabda Nabi saw.

        Tapi kisah keIslaman Abu Talhah ini amat masyhur ^_^

        Reply
      • putri

        ummu nuh : saya pun teringin nak tahu jawapan kepada soalan khairunnisa’..thanx tlh menjawab. Sebab kadang-kadang kita rasa nak berubah tapi tak da kekuatan or s0mething yang nak lebih mendorongkan kita kepada perubahan tersebut. Bila tb2 situasi macam khairunnisa’ terjadi, kita boleh pulak..Istiqomah tu yang penting n perlu kuat dgn anasir-anasir negatif.

        Reply
  • ilyas91

    ilyas91

    Sungguh indah perancangan Allah.

    Reply
  • rauna

    Jatuh cinta lagi.
    Pada pada penulisan ini.
    ^^

    Reply
  • TantePiya

    Memang betul pun berperang dgn perasaan centu susah. Tapi nampaknya ‘peperangan’ akh hampir ke jalan penamat. :)

    Reply
  • mazila zairuddin

    mmg hebat :)

    _________________________
    I added cool smileys to this message… if you don’t see them go to: http://s.exps.me

    Reply
  • imrankhairman

    imrankhairman

    tak taw nak kata apa dah…
    memang terbaik…
    semoga ianya yang terbaik darpadaNya… :)

    Reply
  • salsabil

    salsabil

    Doakan bagi saya,proses sbgitu rupa,,Amiin..

    Reply
  • Anisah Harun

    Alhamdulillah..cinta beginilah yang sepatutnya..cinta ‘Mahal’ demi mencari Redha-Nya..

    Reply
  • cahaya keimanan

    cahaya keimanan

    suker..akhirnya tahu jugak macam mana saudara hilal bertemu dgn tunangnya. nanti buatlah satu buku khusus untuk Sebelum aku bernikah.

    Reply
  • asnie

    jatuh cinta pada warkah ini…jiwa terusik dengan kata2…hati turut berbicara memberi nasihat agar sedar akan perbuatan selama ini….syukran ya akh…noga sentiasa berada dalam lingkungan rahmat serta redha Allah

    Reply
  • pengemis cinta ALLAH~

    Alhamdulillah..betapa indah percaturanNYA..mngimpikan ssuatu yg besar iaitu redha ALLAH,,kita dahuku perlu berjiwa besar,,,which means redha,sabar,senyum,ikhlas dgn sgala ktentuanNYA..terharu bce post ni..huaa~

    Reply
  • hamba allah

    Alhamdulillah…..subhanallah terima kasih kerana saudara sudi berkongsi ilmu buat para remaja zaman kini yang dahaga akan ilmu…
    banyak memberi manfaat dan panduan untuk kita mencari pasangan sebelum bernikah dan mempersiapkan diri dengan ilmu dan agama untuk mencapai RedhoNYA.
    semoga saudara dirahmati ALLAH S,W,T.
    Amin..

    Reply
  • Akid Zaidi

    SubhanaAllah, terima kasih saudara kerana share pengalaman ini, salah 1 ilham untuk saya mengelakkan maksiat dan merancang masa depan. alhamdulilah

    Reply
  • nur

    assalamualaikum,
    maaf tanya soalan yang sepatutnya pada ruangan ini
    alhamdulillah allah pertemukan hilal dengan cara begini
    selalu persoalkan pada diri,kerana diri ini sangat susah untuk percaya pada fitrah yang tuhan ciptakan(cinta)
    takdir tuhan,pada suatu hari mahu ke kedai,sedang menunggng motorsikal,mati dipertengahan jalan kerana minyak habis,berhenti ditepi jalan,ramai orang yang melalui jalan tersebut,segan untuk meminta pertolongan khuatir orang yang lalu dikawasan tersebut mempunyai urusan,tuhan sebaik-baik penolong,lalu sebuah motor dikawasan tersebut,juga sama seperti yang lain tidak mengendahkan saya yang mati kutu untuk berbuat apa-apa,motor tersebut berpatah balik dan bertanyakan kepada saya kenapa,terus saya katakan minyak motor habis dan meminta padanya untuk membeli minyak motor,setelah menunggu,bantuan tiba,difikiran sangat terharu dengan pertolongan yang tuhan buat,usai semuanya saya hulurkan wang,tetapi ditolak katanya sedikit sahaja,sedangkan saya tahu bukan sahaja dibelikan minyak malahan dibelinya sekali corong yang mana untuk megelakkan dari tumpahan minyak berlaku semasa mengisinya,allah,kenapa wujud manusia begini,diri ini berfikir,aku jauh dari allah,tapi allah tolong,sekaligus pulang dengan rasa syukur atas pertolongan yang diterima,tiba dirumah,ceritakan pada mak,apa yang berlaku,peristiwa tersebut berlegar-legar difikiran,acapkali bukan sekali dua,allah,apakah ini?sedangkan tidak tahu siapa dia,apa namanya,dimana dia berada,tetapi peristiwa tersebut terus segar dalam fikiran,mohon doa pada yang Esa moga dipertemukan kembali dan ingin bertanyakan pada tuan badan,mohon pandangan semua,apakah ini logik?masuk akal?mohon pandangan dan nasihat kalian,moga sangat-sangat membantu buat diri ini,dengan izin allah,amin

    Reply
  • Lyana

    Assalammualaikum.

    Pada saya juga, tiada yang salah dalam perkongsian saudara Hilal mengenai perjalanan cintanya :)

    Malah, ini satu perkongsian jiwa yang sangat bernilai. Bagaimana saudara Hilal menjaga cintanya dengan baik dan terkawal dalam jangka masa yang panjang menjadi satu inspirasi buat saya untuk melakukan yang sama.

    Juga, apa erti cinta yang sebenar.

    Saya juga sekarang sedang melalui situasi yang sama. Jazakallahu khair akhi Hilal. Kisah perjalanan saudara memotivasikan saya.

    May Allah bless.

    Reply
  • sufi

    Terima kasih atas perkongsian yang boleh dijadikan panduan oleh muda-mudi yang ketandusan contoh tauladan. Bagi saya, tidak salah saudara Hilal berkongsi rasa hati dengan jalan yang baik. Semuanya terpulang kepada persepsi individu. Jika kita terlalu ‘syadid’…minda kita akan jumud. Wallahu a’lamm ^_^

    Reply
  • girang gembira

    Assalamualaikum.. perkongsian yg sangat baik. Saya bersetuju sangat. Lelaki ini susah meluahkan kepada seseorang. tetapi dengan kesabaran dan keimanan membuat seseorang lelaki ini lebih matang. Ia bukan mudah untuk mencari cinta yang sejati dan hakiki. semoga apa yang berlaku kpd saudara akan dapat bimbingan daripada-Nya bagi mnecapai kehidupan yang sempurna. InsyaAllah :]

    Reply
  • khadijahgani

    Perkongsian yg bagus dan realistik.

    Anak2 muda kini berhadapan dgn konflik cinta yg pelbagai. Dengan cinta saja pandangan dan pendiriannya boleh berubah. Dengan cinta saja hilang semua didikan baik ibu dan ayah. Tulisan begini jika dapat dibaca kepada yg berkaitan pasti sedikit sebanyak dapat memandu arah. Hanya jika mereka punya sama matlamat – cinta utk sama2 ke syurga.

    Bagaimana mahu bercakap dengan lelaki berusia 19 tahun yg sudah nekad utk berkahwin dan tidak bercadang langsung utk meneruskan pelajaran? Inilah realiti sekarang.

    Walau siapapun dia yg saya maksudkan, mohon didoakan agar anak lelaki 19 tahun ini akan mendapat petunjuk dan akan terserempak di mana2 membaca tulisan ini. Supaya berbekas dihatinya.. Dengan izin Allah.

    Reply
  • Tqa Alieyna Lee

    Sweet sungguh dan penuh pengajaran .

    Reply
  • Muhamad

    Perkongsian yang sangat menarik… Tapi disini saya ada satu soalan, untuk dikemukakan kepada akhi Hilal… Saya rasa akhi sangat bernasib baik, kerana bidadari yang akhi jatuh cinta kepadanya merupakan kakanda ataupun adinda kepada sahabat Hilal itu sendiri… Soalan saya disini, sekiranya bidadari yang kita jatuh cinta padanya itu tiada apa-apa kaitan dengan kita, bagaimanakah untuk mengendalikannya (memberitahu niat selepas berbincang dengan ibubapa) seperti mana akhi pergi ziarah ke rumahnya untuk mengetahui keadaan keluarganya diatas lesen sahabat?

    Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top