Himmah : Cita-cita orang berjiwa besar
Cita-cita adalah sesuatu yang murni dan mulia.
Justeru, memilikinya adalah suatu kenescayaan bagi yang mengharapkan kejayaan dan kemenangan.
Hari ini, ajakan saya ialah kita mendekati sejarah manusia yang hebat dan berjiwa besar. Teringat saya, suatu taujih daripada seorang murabbi saya :
“ Jika ingin menjadi hebat, bergaul dan hiduplah bersama orang-orang hebat.”
Membuka lembaran sejarah orang-orang besar, pasti mengujakan kita. Pastinya, kita mendapatkan suatu kenyataan bahawa umumnya orang besar dalam sejarah mempunyai cita-cita yang tinggi dan hebat.
Kenyataan kedua, mereka dengan segenap usaha, keupayaan dan kesungguhannya, umumnya berhasil dan berjaya menggapai harapan dan cita-cita besar yang mereka inginkan.
Ada suatu kisah yang terukir indah dalam sirah. Abdullah bin Umar, Urwah bin Zubair, Mus’ab bin Zubair dan Abdul Malik bin Marwan RA, adalah orang besar dan tersohor dalam sejarah perjuangan Islam yang termasuk dalam generasi tabi’in.
Suatu hari, mereka duduk-duduk di pelantaran Ka’bah. Bersembang-sembang, berbual-bual dan berbicara sesama mereka. Uniknya, bicara petang mereka bukan bicara kosong. Tetapi bicara yang mengugah jiwa.
Mus’ab mengangkat perbicaraan mereka petang itu, dengan mengatakan :
“ Bercita-citalah kalian.”
Para sahabat masih terdiam dan enggan menyampaikan cita-citanya, sehingga mereka meminta agar Mus’ab lah yang pertama kali menyatakan cita-cita dan keinginannya.
“ Wahai Mus’ab, mulailah dengan dirimu,” Ujar mereka beramai-ramai.
Mus’ab tersenyum. Lalu menjawab :
“ Aku ingin kaum Muslimin mampu menakluki wilayah Iraq, aku ingin menikahi Sakinah puteri Hussien, dan Aisyah binti Thalhah bin Ubaidillah.”
Jelas, bersemangat dan terarah cita-citanya. Beberapa tahun kemudian, Mus’ab berjaya memperolehi apa yang dicita-citanya itu.
Urwah bin Zubair, lalu berkongsi dan mengungkapkan keinginan serta hajatnya. Katanya, dia bercita-cita ingin menguasai ilmu fiqh dan hadis. Hasilnya, kita dapati dalam sejarah Islam – Urwah memang menjadi salah seorang tokoh ilmuan fiqh dan sangat banyak meriwayatkan hadis.
Kemudian, tibalah giliran Abdul Malik Bin Marwan. Apakah cita-citanya? Katanya, beliau ingin menjadi khalifah. Dan tenyata, akhirnya beliau dilantik menjadi khalifah pada zaman khalifah Umawiyah. Bahkan, beliau bukan sahaja menjadi khalifah yang memiliki banyak ilmu dan kuat beribadah, tetapi menjadi perintis sistem pos, menerjemah pelbagai kitab asing dan membuat wang logam dari emas.
Sedangkan yang terakhir, Abdullah bin Umar mengungkapkan apa yang dicita-citakannya. Ia menegaskan, cita-citanya adalah syurga!
Cita-cita : Luahkan, kongsikan dan gerakan!
Menarik bukan? Isu dan permasalahan berkaitan cita-cita, harapan dan impian memang menjadi sebahagian daripada tema yang sering dibicarakan oleh para salafusoleh. Malah, ianya – menjadi sesuatu yang diketahui dikalangan mereka apakah cita-cita mereka dalam kehidupan.
Itu generasi tabi’in, bagaimana pula dengan generasi para sahabat Rasulullah SAW yang hidup sezaman dengan baginda?
Amirul Mukmin, Umar Bin Khattab – suatu hari meminta para sahabat untuk mengungkapkan apa yang mereka cita-citakan.
“ Bercita-citalah kalian!.”
Lalu, seorang sahabat menyahut :
“ Aku ingin sekali seluruh bangunan ini terisi emas yang boleh aku infakan di jalan Allah SWT.”
Umar berkata lagi,
“ Bercita-citalah kalian!.”
Seseorang menyatakan :
“ Aku ingin ruangan ini dipenuhi dengan permata dan mutiara yang boleh aku infakan di jalan Allah SWT.”
Umar berkata lagi,
“ Bercita-citalah kalian!.”
Mereka mengatakan, “ Kami tidak tahu apa lagi yang boleh kami cita-citakan selain itu ya Amirul Mukminin.”
Saidina Umar Al-Khattab berkata :
“ Aku bercita-cita kalau ruangan ini penuh didatangi oleh orang-orang besar seperti Abu Ubaidah Bin Jarrah, sehingga aku boleh berjihad di jalan Allah SWT bersamanya.”
Subhanallah.Subhanallah. Subhanallah.
Luar biasa hebat!
Sentuhan Rasulullah SAW
Akhir sekali, saya ingin kongsikan sebuah kisah tercatat utuh dalam sirah.
Seorang sahabat Rasulullah SAW, Rabiah bin Kaab namanya. Beliau berkongsi pengalaman ketika bermalam bersama junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW pada suatu malam.
“ Diwaktu malam, aku menghampiri Rasulullah SAW dengan menghantarkan air wudhu dan beberapa keperluan yang lain.”
Lalu, Rasulullah SAW bertanya kepada ku dengan penuh lemah lembut :
“ Apa yang engkau cita-citakan, wahai Rabiah?,”
Rabiah membalas dengan penuh penghormatan :
“ Aku ingin menemanimu di Syurga!,”
Rasululllah SAW bertanya lagi :
“ Selain itu, wahai Rabiah?,”
Rabiah menjawab :
“ Sama sahaja Ya Rasulullah, aku hanya ingin menemanimu di Syurga.”
Rasulullah SAW dengan wajah yang tenang mengatakan :
“ Jika demikian, bantulah aku untuk mewujudkan apa yang engkau inginkan itu dengan memperbanyakan sujud.”
( Hadis Riwayat Muslim)
Cita-cita : Kenyataan Hari Ini Merupakan Mimpi Semalam
Apa yang kita perolehi daripada kisah-kisah ini? Jelas, Rasulullah SAW sendiri mengajukan soalan berkisar cita-cita kepada para sahabat. Inilah didikan daripada junjungan mulia, Rasulullah SAW yang sangat berkesan dalam melahirkan manusia-manusia yang berjiwa luar biasa dan punyai matlamat kehidupan yang jelas dan nyata.
Rasulullah SAW mengajarkan, seseorang tidak hanya cukup dengan mengatakan apa yang ia inginkan, melainkan diperlukan usaha, usaha dan kerja keras untuk mencapainya. Seperti sirah diatas, Rasulullah SAW meminta Rabiah – untuk memperbanyakan sujud dalam usaha beliau merealisasikan cita-citanya untuk bersama Rasulullah SAW di syurga kelak.
Apakah ibrah, pengajaran dan didikan yang kita dapati di sini?
(1) Bercita-citalah kerana itulah amalan generasi sahabat, tabi’in dan para salafusoleh. Sesuatu kejayaan, kecemerlangan dan keberhasilan digapai dengan gambaran cita-cita yang jelas, nyata dan terarah.
(2) Berkongsi, meluahkan dan menyatakan cita-cita, impian dan harapan bukanlah suatu keaiban atau perkara yang memudaratkan tetapi, ianya adalah suatu perkongsian yang sihat. Dengannya, kita lebih bersemangat, terkesan dan akan berusaha lebih gigih bagi mencapainya.
(3) Kita mencontohi kehidupan mereka yang telah pergi kerana kesudahan hidup mereka telah diketahui dan jelas menunjukan bahawa mereka telah membenarkan cita-cita mereka dengan usaha serta tawakkal. Jadi, tunggu apa lagi? Jadikan mereka role model dalam kehidupan kita.
(5) Oleh itu, marilah kita membina cita-cita. Dan, kemudian sama-sama kita berusaha, berusaha, berusaha, berusaha dan terus berusaha untuk menjejakinya.
(6) Untuk menjadi manusia yang berjiwa besar, pasaklah cita-cita seutuhnya di jiwa dan dada kita. Dan bumikanlah ia di dalam hidup dengan gerakan, amalan dan perbuatan.
Ayuh sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan kalian. Kita diajak dan diseru untuk bercita-cita. Dan, hari ini tanyalah diri kita – apakah cita-citaku dalam hidup ini?
Kita kongsikan, agar terbakar ruh dan jiwa kita – bahawa kita adalah ummat yang bercita-cita tinggi! Pahatlah cita-cita dengan keazaman, kesungguhan dan kesabaran.
Kerana apa?
Hidup perlukan cita-cita.
Perjuangan memerlukan cita-cita
Dan, kejayaan juga perlukan cita-cita.
Gantunglah cita-cita kalian di bulan, kelak bintang bergemerlapan akan berguguran diribaanmu!



cahaya keimanan
dan setiap cita-cita mesti disusuli dengan usaha, doa dan tawakkal @_@
ahmad
SAVE SOME TIME TO DREAM~
sharifah
stuju dgn cahaya keimanan..nak syurga,,perlu berusaha ke arah itu,..
Asmida Ideris
Bersemangat selepas membaca artikel ini. Jazakallahu khairan.
Bercita-citalah kalian! (Umar al-Khattab r.a)
Siti Nur Asyrafiah
matlamat mesti jelas
hanisahani
Alhamdulillah..jazakallah..semangat yang kian pudar kembali segar..Moga Allah terus memimpin hati kita untuk meraih syurgaNya ..
rauna
Angan-angan Mat Jenin. Kisah penceritaan masa kecil.
Itu bagus, berangan memasang cita2 dan impian.
Tinggal perlu ada usaha betul dan matlamat kukuh.
Baru tak terbang anganan kita dek mimpi saja.
rauna
Angan-angan Mat Jenin. Kisah penceritaan masa kecil.
Itu bagus, berangan memasang cita2 dan impian.
Tinggal perlu ada usaha betul dan matlamat kukuh.
Baru tak terbang anganan kita dek mimpi saja..
mazila zairuddin
subhibakhir
saya bercita cita untuk mencari keredhaan allah..:)
annur ameera
salam.. bercita-citalah utk menjadi seorg muslim yang di rahmati Allah.. amin~
Teman Nabila
terima kasih atas perkongsiaan ^_^
mia
=)
BroHamzah
Bercita-citalah kalian, kerana itu adalah titik tolak untuk berjaya dan meraih kemenangan!
Usaha, Doa & Tawakkal – semenangnya cita-cita orang mukmin dalam bercita-cita.
BroHamzah
Haty Kacha
Cita-cita mesti rialistik dan ada jangka panjang dan pendek. Untuk mengecapi cita-cita panjang harus merialisasikan cita-cita pendek agar semangat tidak luntur untuk mencapai cita-cita panjang itu.
ihsanberahim
Masya Allah…dasyhat artikel nih! Kenyang perut sarapan pagi hari nih. Semoga Allah makbulkan cita-cita’penulis’ dan kita semua. (^_^)Y
khairun
mabruk a’laik!
kisah sirah yg mnjadi iktibar kpd kita utk sentiase memiliki impian,.
org2 mukmin akn sentiase bercita-cita mnggapai redha Allah.,