Jumaat, 24 Mei 2013   |   14 Rejab 1434H   |   18 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Karya » Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 9.

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 427

Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 9.

 

Picture by http://sakimichan.deviantart.com

Cheritera Takdir2 diteruskan lagi!

Cheritera 9.

Mengembara bersama mereka!

:-)

“Kami mendapat berita, serangan di Amara tidak berjaya.”

Nafas keras menghembus keluar dari corong hidungnya. Tidak senang dengan berita yang didengarinya.

“Mughirah Syu’bah itu adalah kunci kemenangan mereka. Genius. Strategis. Sukar perjalanan kita jika dia dibiarkan hidup. Khalid Al-Walid pula adalah seorang yang punya stamina yang sangat tinggi. Semua mengetahui dia boleh berperang 20 hari tanpa henti.” Dia menggeleng.

Kegelapan yang menyelubungi mereka di sudut Al-Haram buat mereka tersembunyi.

Kiub Hitam tidak jauh dari mereka dipandang oleh Sang Ketua.

“Pastikan Brynhildur dan Midori mendapat berita. Kita akan laksanakan serangan luar dan dalam. Sang Asurah mesti berjaya, dan keamanan sebenar akan tumbuh semula.”

“Baik.” Kemudian, desupan kedengaran, dan orang-orang di sekelilingnya tadi hilang begitu sahaja.

Dia berseorangan tersengih.

“Mengapa tidak ramai memahami apa tujuanku? Mengapa susah-susah berjuang dan kehilangan ramai orang? Mengapa tidak kita bergerak ke arah dunia yang damai?”

Menggeleng. Mengetap bibir. Geram.

 

********

 

Mahligai itu sangat besar. Megah. Bahkan terlalu indah. Duduk di singgahsana seorang gergasi. Bermahkotakan kebesaran, bersama jubah berwarna biru, kelihatan kuat dan tersangat gagah. Ditambah barisan tenteranya yang wujud di kiri dan kanan balai menghadap ini, lengkap dengan pelbagai senjata.

“Subhanallah.” Angkasa dan Aizan sama-sama mengucap tasbih. Dari awal mereka menjejak ke istana ini, mereka menjumpai pelbagai perkara yang menakjubkan. Tidak sangka di mahligainya lebih indah dan mengejutkan. End pula kekal berdiam diri. Dia tidak mudah teruja.

“Vodi Chysta.” Raja itu bersuara. Bergema mahligainya. Kiai Laut sekadar tersenyum, melangkah hingga ke tengah balai menghadap.

“Raja Que Ron.” Kiai Laut berdiri tegak menghadap Raja Kaum Gergasi.

“Lama engkau pergi meninggalkan kami. Apakah engkau kecewa?”

“Kekecewaanku adalah yang tidak sepatutnya. Sewajibnya aku lebih bersabar dengan kamu semua.” Kiai Laut memandang sekeliling, pada barisan pengawal Que Ron.

“Maafkan kami kerana tidak menghiraukan ajaranmu selama ini, Vodi.”

“Sesungguhnya, kesedaran itu daripada Tuhanku Yang Maha Tinggi. Dia sahaja yang mampu membuka hati, sesiapa yang Dia kehendaki.”

Aizan Fahmi, Angkasa dan End berdiam sahaja. Membiarkan Kiai Laut dan Que Ron berbicara.

Que Ron terangguk-angguk. “Kami telah memerhatikan pertarungan Tanah Suci, dan mula menyedari. Ditambah pula berlaku pemberontakan dari kalangan tentera kami sendiri. Kami mula merasakan bahawa, Sang Asura itu adalah ancaman yang sebenarnya.”

“Apakah kami di sini membawa maksud kalian dan Makhluk Genetik?” Kiai Laut bertanya.

Que Ron mengangguk lagi. “Ya, Ezzen bersetuju dengan kami kini.”

“Apakah maksudnya pemberontakan dari kalangan tentera kalian?”

“Beberapa panglima dan jeneral kami, baik dari Makhluk Gergasi atau Makhluk Genetik, ada yang memberontak untuk menuruti Sang Asura. Mereka yakin Sang Asura mampu memberikan kebaikan kepada mereka. Dendam mereka kepada manusia masih menggunung tinggi, dan merasakan bahawa Sang Asura sahaja yang akan dapat menyempurnakan dendam mereka.”

“Justeru, mereka bersatu untuk menumbangkan Kaum Gergasi dan Makhluk Genetik?”

“Ya, dan kini mereka telah berjaya merampas beberapa pulau Uftzi.”

Kiai Laut diam.

“Ini semuanya berlaku semenjak engkau pergi, Vodi. Kami sangka, mungkin inilah balasan Tuhanmu kerana tidak pernah sekali ingin tunduk kepadaNya.” Wajah Que Ron menjadi keruh.

“Semua perkara berlaku ada hikmahnya, Que Ron. Sungguh, aku telah melihat hikmah itu.” Kiai Laut menggeleng.

“Kami sedia menghulurkan bantuan.” Tiba-tiba Angkasa mencelah.

Que Ron memfokuskan pandangannya kepada pemuda di sebelah Kiai Laut. Wajah cerah dan berpakaian sederhana. Ketika inilah Que Ron perasan sesuatu.

“Siapakah namamu wahai pemuda? Dan bagaimanakah pedang itu boleh bersama denganmu?”

Angkasa mengangkat keningnya. Pedang warisan bapa menjadi perhatian juga di sini. Dia mengangkat pedangnya, dan meletakkannya di hadapan.

“Namaku adalah Angkasa Sakti. Anak angkat kepada Kiai Suci. Pedang ini adalah pemberiannya.”

“Namamu Angkasa Sakti? Apakah ini takdir?”

“Hem?” Angkasa kehairanan.

“Pedang ini pernah wujud di sini dahulu. Oleh manusia terakhir yang hidup bersama kami di sini. Namanya adalah Angkasa Sakti.”

Mata Angkasa membesar. Angkasa Sakti yang terkubur di alam jin itu, pernah hidup di Uftzi?

“Kiai Laut, apakah Tuhanmu memang besar kuasanya?” Que Ron kelihatan seperti teruja dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya kini.

Kiai Laut sekadar tersenyum. “Semestinya. Kerana Dia Tuhan Yang Sebenar-benarnya. Maha Berkuasa Atas Segala-gala.”

“Mengapalah aku tidak pernah peduli dengan ajaranmu selama ini?” Que Ron durja seketika. Mungkin terkenangkan keadaan mereka kebelakangan ini.

Angkasa Sakti masih tidak mengerti. Aizan Fahmi pula diam tidak mampu mencelah. Manakala End masih kekal memerhati dengan tenang.

“Angkasa Sakti itu adalah manusia yang membuatkan Uftzi ini terapung, dan selamat daripada Sang Asura. Katanya, Sang Asura tidak akan dapat mengesan kepulauan Uftzi ini di langit, kerana dia telah melakukan perlindungan menggunakan sistem yang dia cipta. Dia menyerahkan kepada aku dan Ezzen untuk mengapungkannya, sebelum dia pergi meninggalkan kami.”

Angkasa memandang Kiai Laut. Seakan memohon jawapan siapakah sebenarnya Angkasa Sakti itu. Kiai Laut menggeleng. “Aku sendiri tidak mengenalinya. Nampaknya yang benar-benar mengenalinya adalah Kakanda Fathi Auni.”

Nyata, Angkasa Sakti ini misteri.

“Selepas kami selamat, muncul lah pergaduhan siapa yang layak memerintah Uftzi. Maka kami Kaum Gergasi, berperang dengan Makhluk Genetik. Lama selepas itu, barulah datang Kiai Laut bersama ajarannya. Membuatkan kami menjadi kurang sedikit berperang, namun masih bermusuhan. Ajaran Kiai Laut tidak membuatkan kami percaya kepada Tuhannya, namun kebaikan peribadi Kiai Laut, buat kami berlembut seketika.”

Aizan Fahmi terangguk-angguk. Mula melihat jalan ceritanya.

“Tetapi kami berkeras menolak kepercayaannya. Bahkan kami banyak kali juga memperlekehkannya. Mungkin setelah lama sedemikian rupa, kecewa, lantas Kiai Laut meninggalkan kami semua.”

End tersenyum sendiri. Dia melihat perkara ini adalah susunan Allah Yang Maha Kuasa. Dan susunan Allah itu nyata amat indah. Kalau bukan kerana Kiai Laut melarikan diri, maka mereka tidak akan bertemu dengannya di dalam Ikan Paus, dan berada di Uftzi. Nyata hikmah Allah itu amat luas sekali.

“Jadi, sekarang bagaimana?” Tiba-tiba Kiai Laut menghentikan suasana nostalgik itu.

Que Ron memandang keempat-empat manusia di hadapannya.

“Bersetujukah kalian membantu kami menentang pemberontak ini?”

“Dengan syarat.” Tiba-tiba Aizan Fahmi mencelah. Dia sudah melihat peluangnya.

“Siapakah engkau wahai pemuda? Dan apa syarat-syaratnya?”

“Aku adalah Aizan Fahmi, anakanda sulung kepada Ruh Faizan, Raja Kerajaan Tanah Haram.”

“Oh, tidak sangka ada seorang manusia berstatus tinggi seperti engkau di istanaku ini. Justeru, apa syarat-syaratnya?”

“Sekiranya kita berjaya menumbangkan pemberontakan ini, masuklah kalian ke dalam Islam, dan bantulah kami menentang Sang Asura!” Aizan Fahmi bersuara lantang. Yakin.

Mahligai itu jadi senyap seketika. Suara Aizan Fahmi tinggal gema.

“Baiklah. Syarat yang baik. Kami bersetuju.” Que Ron menjawab.

Aizan Fahmi tersenyum gembira, memandang Angkasa, Kiai Laut dan End yang turut tersenyum sama.

“Tetapi mereka bukan mudah ditumbangkan. Mereka adalah jeneral dan panglima terbaik kedua-dua belah pihak kami.” Que Ron memberikan peringatan. Mungkin melihat kegembiraan manusia-manusia di hadapannya, terbit di dalam jiwanya kerisauan.

“InsyaAllah, Allah bersama kita.” End memecahkan kesunyian dirinya. Yakin.

Que Ron mengerutkan dahi. Lelaki yang kelihatan paling tidak berperasaan antara empat manusia di hadapannya, tiba-tiba bersuara dan berbicara seyakin itu.

“Siapakah engkau?” Que Ron menyoal. Semenjak tadi, dia dapat merasakan lelaki ini bukan orang biasa.

“End Less.”

“End? Jeneral End daripada Utopia?” Mahligai itu menjadi gempar.

End menganggguk. “Tetapi kini aku sudah beriman kepadaNya, dan bersama mereka yang berjuang di bawah lembayungNya.”

Que Ron terbeliak tidak percaya. Jeneral End. Pemimpin Wilayah Duarte. Terkenal sebagai Jeneral Utopia yang tidak pernah berbicara. Bertopeng seperti jeneral-jeneral yang lainnya. Misteri. Tetapi tiada siapa yang berani menentangnya. Kini berada di singgahsananya, menyatakan bahawa dia telah beriman kepada Tuhan Kiai Laut?

“Que Ron, engkau bila lagi?” Kiai Laut bercanda sambil menggaris senyuman.

Sungguh ajaib orang-orang ini! Hati Que Ron berteriak.

 

*********

 

Walaupun malam tadi mereka tidur dengan tidak tenang, kerana mereka masih tidak dapat mencerna tindakan Kiai Sunyi, hari ini mereka tetap menyambung perjalanan bersama kiai misteri ini.

Kini mereka semakin mendekati Wilayah Duarte. Dapat dilihat menara-menara tinggi kemegahan wilayah itu, dan bentengnya yang besar, yang dibina dari batu-batu indah mahal, di celah-celah rimbunan hutan yang mereka redahi.

“Kita ke Duarte?” Ashoka memandang Arnav.

“Nampaknya.” Arnav sekadar fokus kepada Kiai Sunyi di hadapan. Menanti-nanti apa pula yang akan berlaku pada hari ini.

“Berhenti.” Kiai Sunyi mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Membuatkan langkahan Arnav dan Ashoka mati di situ juga.

Sunyi sepi menghuni suasana. Tinggal bunyi unggas di hutan menjadi penyeri keadaan mereka. Arnav dan Ashoka sama-sama berpandangan. Ada apa?

“Tidak jauh daripada tempat kita berdiri ini, wujud benteng pertahanan milik Duarte. Maka berjalanlah dalam keadaan kalian langsung tidak dikesani.”

“Mengapa perlu kita takut? Duarte sudah menjadi rakan seperjuangan kita.” Ashoka kehairanan.

“Bukankah aku telah berkata, bahawa jangan dipersoalkan apa yang aku mahu lakukan?”

Mulut Ashoka jadi terkunci. Arnav pula menepuk bahunya, isyarat agar bersabar.

Maka mereka bergerak dengan penuh berhati-hati. Langkahan mereka langsung tidak berbunyi. Hingga merek sampai ke satu kawasan, dapat mereka lihat benteng pertahanan milik Duarte. Jelas terpampang lambang Duarte pada penghadang-penghadang yang wujud. Kelihatan tempat ini seperti kubu pertahanan utama. Kerana penjagaannya yang kelihatan ketat, juga bekalan makanan yang kelihatan banyak.

“Tahukah kamu mengapa walaupun ini hanya kubu, ia kelihatan gah?” Kiai Sunyi melontar soalan.

Arnav dan Ashoka menggeleng. Mereka tidak pernah sampai ke Duarte. Sepanjang Duarte mejadi musuh mereka, Wilayah Duarte yang pergi ke Chinmayi melakukan serangan. Mereka tidak pernah pergi kerana tahu akan kekurangan kekuatan yang mereka ada sebelum ini.

“Kerana di Benteng Utama Wilayah Duarte, bahagian yang paling lemah adalah arah ini. Maka untuk mengelakkan tentera musuh menyusup dan menggunakan kelemahan itu, dibina kubu ini di tengah hutan sebegini.”

“Oh.” Ashoka dan Arnav berpandangan sesama sendiri. Tidak pernah mereka ketahui.

“Jadi sekarang…” Kiai Sunyi mengumpulkan auranya di telapak tangan. Sebentar kemudian, aura berbentuk bebola keluar terapung di atas telapak tangannya.

Arnav dan Ashoka memandang bebola aura itu dengan rasa kagum. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengeluarkan aura daripada tubuh, lalu memfokuskannya menjadi bebola yang tidak liar sedemikian rupa. Perlukan fokus yang tersangat tinggi, dan kekuatan tangan yang hebat. Nyata Kiai Sunyi bukan calang-calang orang, apatah lagi kelihatan Kiai Sunyi langsung tidak berkerut tanda dia tidak berada dalam kesukaran melakukan perkara itu.

Ketika ini, tanpa jangkaan Ashoka dan Arnav, Kiai Sunyi melontarkan bebola aura itu ke satu sudut di dalam hutan. Satu letupan sederhana besar berlaku, menggemparkan seisi kubu.

“Periksa apa yang berlaku!” Mereka mendengar ada suara dari kubu berteriak.

Pengawal-pengawal kubu tersebut keluar ke arah letupan tadi berlaku. Kiai Sunyi, Arnav dan Ashoka masih bersembunyi di balik rimbunan dedaun.

Belum sempat Arnav dan Ashoka bertanya apa tujuan Kiai Sunyi, Kiai itu telah keluar menyerbu kubu tersebut yang kini tidak berpenghuni. Pada saat ini, terasa tekanan yang sangat tinggi seperti turun dari langit. Arnav dan Ashoka dapat merasa kekuatan yang sedang dipancarkan oleh Kiai Sunyi.

“Kiai!” Arnav menjerit.

“Apa pula yang mahu dia lakukan kini?” Ashoka bergerak pantas bersama Arnav menuju ke kubu.

Baru sahaja mereka masuk ke kubu itu, Kiai Sunyi berteriak:

“Tunduk!”

Spontan Arnav dan Ashoka menunduk. Satu gelombang yang teramat kuat, keluar bersama libasan kedua-dua belah tangan Kiai Sunyi. Hasil daripada tindakan itu, bukan sahaja kubu yang megah itu kini mengalami kerosakan, bahkan pokok-pokok di sekelilingnya turut tertebas.

Pokok-pokok itu mula jatuh menghempap bumi.

“Arnav!” Ashoka pantas menghunus busurnya, dan menebak dengan sepenuh kekuatan sebatang pokok besar yang jatuh ingin menghempap Arnav. Pokok itu tergalih beberapa meter menjauhi Arnav, melanggar batang-batang pokok yang lain.

Namun Ashoka terlupa akan dirinya sendiri. Sebatang pokok yang besar juga mula tumbang hendak menghempap dirinya.

“Ashok!” Ketika itu juga Arnav berguling merapati Ashoka, dan melibas tombaknya ke langit bersama kekuatan tertinggi. Batang pokok itu terbelah dua, tidak jatuh menghempap Arnav dan Ashoka.

Kini belakang tubuh mereka sama-sama bertemu.

Beberapa ketika, pokok-pokok yang tercantas telah habis tumbang semuanya.

Arnav dan Ashoka sama-sama memandang Kiai Sunyi, yang nyata berdiri tenang seakan tiada apa-apa berlaku.

“Engkau gilakah?” Ashoka pantas mendapatkan Kiai Sunyi dengan rasa marah.

“Bukankah ini Kubu rakan kita? Kubu terhebat mereka? Mengapa engkau sanggup melakukan perkara ini kepada mereka?”

Arnav memandang sekeliling. Dasyat. Kubu tempat mereka berada rosak teruk dengan ditimpa pokok-pokok besar. Kawasan ini yang sebelum ini dilindungi hutan, menjadi cerah. Langit dapat dilihat tanpa halangan.

“Apakah engkau ingin kita berhenti di sini?” Kiai Sunyi bertanya dengan nada yang tegas. Membuatkan bicara Ashoka terhenti.

Ashoka yang diselimut amarah memandang Arnav. “Arnav, marilah kita berpisah dengan Kiai Sunyi ini. Aku sudah tidak tahan lagi!”

Arnav diam tidak terus membalas. Puas dia berfikir, dia tidak mendapat jawapan atas tindakan Kiai Sunyi. Tetapi….

“Maafkan kami Kiai Sunyi. Izinkan kami mengikutimu lagi. Sekiranya lagi sekali kami mempersoalkan tindakanmu, maka itu adalah perpisahan kita.” Arnav bersuara.

Ashoka tercengang. “Arnav!”

“Ashok, dia seorang Kiai. Mereka tidak akan melakukan ini semua dengan sia-sia. Walau aku sendiri bercampur pelbagai rasa di dalam jiwa, aku tetap ingin mengetahui apa hikmahnya semua ini.”

“Huh.” Ashoka mengetap bibir. Geram tidak terhingga. Tetapi tidak mampu berkata apa-apa.

Kiai Sunyi hanya tersenyum.

“Ada seseorang sudah mula belajar. Baik, selepas ini, jika kalian bertanya lagi, maka itu adalah titik perpisahan kita dalam perjalanan ini.” Kiai Sunyi berpaling.

Di tengah-tengah suasana yang dasyat itu, mereka meneruskan perjalanan.

“Hei, apa yang berlaku kepada pengawal-pengawal tadi?” Ashoka bertanya. Geramnya masih bersisa.

“Oh, mereka selamat. Bebola auraku itu luar dari kawasan.” Kiai Sunyi berbicara tanpa memalingkan wajahnya.

Ashoka mendengus.

Arnav sekadar menghela nafas lemah.

Perjalanan apakah ini? Percaya apakah yang ingin dididik oleh Kiai Sunyi?

Dia tidak mengerti.

 

********

 

“Berita baik dari Amara!” Waqqas Ali Qadri bersuara, mendekati ruang mesyuarat. Semua yang ada di dalam bilik perbincangan itu memandangnya yang bergerak dari pintu masuk.

“Kumpulan Khalid Al-Walid dan Mughirah Syu’bah menghantar berita bahawa pemburu kepada da’ie-da’ie kita berjaya ditumbangkan.”

“Allahuakbar!” Seisi bilik perbincangan itu bertakbir. Wajah ceria Izrayel, Ruh Faizan, Raja Ali, Kiai Hutan, Tuk Akram mengisi suasana.

“Tetapi mereka juga menyatakan bahawa mereka akan bergerak pulang tiga hari lagi, kerana Penduduk di sana telah memeluk agama Allah SWT. Mereka perlu menyambung tugasan da’ie di sana yang telah terbunuh syahid.” Waqqas menerangkan.

“Jika demikian, kita perlu menangguhkan perancangan kita untuk menggempur Brynhildur dan Midori.” Izrayel memandang Ruh Faizan.

Ruh Faizan mengangguk.

“Tidak mengapa. Kita tangguhkan hingga Khalid dan Syu’bah pulang. Semua ini ada hikmahNya. InsyaAllah. Aku yakin.” Penuh kepercayaan Ruh Faizan berbicara.

Mereka kini sedang merangka strategi baru untuk menggempur Brynhildur dan Midori secara serentak. Dengan pertambahan tentera Chinmayi bersama mereka, kewujudan Pertapa Arjuna, membuatkan mereka merangka semula perancangan mereka.

“Di Midori, bukankah kita punya kakanda Kiai Alam?” Pertapa Arjuna bersuara.

Kiai Awan mengangguk. “Tetapi kita sudah tidak punya berita dengannya semenjak berpisah dahulu.”

“Apa yang tiada di dalam tangan, kita tidak boleh masukkan dalam perancangan.” Ruh Faizan bersuara.

“Jika demikian, aku akan pergi ke Midori bersama Izrayel. Kakanda Kiai Langit akan pergi ke Brynhildur. Kerana jelas, hutan adalah kelebihanku.”

“Cadangan yang menarik.” Izrayel mencelah. “Aku kira beginilah. Tentera dari Bumi Barakah, akan menemani separuh Tentera Tanah Suci ke Brynhildur. Manakala tentera Chinmayi, akan menemani separuh lagi Tentera Tanah Suci ke Midori.”

“Menarik.” Waqqas melakarkan senyuman.

“Apa-apa pun, pergantungan penuh kita adalah kepada Allah SWT. Kita tidak pernah tahu apa yang ada di tangan Utopia. Siapa sangka tentera terbaik Chinmayi boleh tumbang di Ethan.” Raja Ali bersuara duka.

“Kita akan lebih berjaga-jaga, dan menyerahkan segala pergantungan kepadaNya.” Ruh Faizan menepuk lembut belakang Raja Ali. Menenangkan sahabatnya itu.

“Mari kita kuatkan lagi kekuatan tentera kita sementara menanti kepulangan Mughirah Syu’bah dan Khalid. Waqqas, sampaikan juga warkah kepada Bumi Barakah, agar mereka turut bersedia. Peperangan semakin hampir.” Ruh Faizan memandang Waqqas.

“Baik tuanku.” Waqqas mengangguk.

Mesyuarat usai. Mereka bergerak keluar dari bilik itu, dan menuju kepada urusan masing-masing.

Comments (12)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top