Khamis, 17 Mei 2012   |   25 Jamadilakhir 1433 Hijrah   |   26 Pembaca Online   |   Welcome, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Himmah » Himmah : Agar Ibadatmu Bernilai Akhirat

Himmah : Agar Ibadatmu Bernilai Akhirat

 

Agar ibadatmu bernilai akhirat ! ~Picture by http://tintapena.deviantart.com/art/Solah-270162763

Kita ini adalah manusia yang sentiasa berdosa. Tidak ada seorang manusia pun yang bersih daripada dosa melainkan Nabi dan Rasul sahaja, yang Allah jaga dan pelihara mereka daripada terjatuh dalam kecacatan dosa.

Sebab kita tak lepas dari dosa, maka kita sentiasa berharap Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita ke dalam syurga. Itu adalah setinggi-tinggi kejayaan yang kita harapkan di sisi Allah meskipun kita ini selalu juga terjatuh dalam dosa dan maksiat.

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang seluas langit dan bumi.”  [Al-Imran : 133]

Maka, untuk berusaha mencapai tahap kejayaan setinggi itu, kita berusaha untuk jaga dan bersihkan diri kita daripada halangan-halangan yang boleh menghalang kita dekat dengan Allah.

Kita berusaha untuk jaga ibadah kita.
Kita berusaha untuk pelihara diri daripada dosa.

Namun, kadang-kadang dalam usaha kita menjaga ibadah kita, menjaga diri kita dari dosa itu, kita terjatuh juga.

 

HILANG NIKMAT DALAM IBADAT ?

Bila terjatuh dalam dosa dan maksiat, kita mula kehilangan nikmat dalam ibadat.

Hilang kemanisan dan kelazatan dalam solat. Dalam ibadat-ibadat kita, kita sudah tidak mampu untuk khusyuk lagi.

Tika itu, yang banyak menghiasi doa-doa kita adalah tangisan dan air mata kelemahan meminta kekuatan dari Allah. Kita rasa terlalu lemah dan jauh dari Allah. Dengan dosa dan maksiat yang terlalu banyak, kita rasa kita ini seolah-olah tidak akan diampunkan oleh Allah lagi.

Kita solat seperti sediakala.
Kita baca Al-Quran seperti orang lain juga.
Kita pun puasa juga.

Tetapi, entah kenapa semua itu rasa seperti tidak ada apa-apa bagi kita. Seolah-olah semua yang kita lakukan itu tidak mampu mendatangkan kesan pada diri kita.

Solat kita tidak mampu menjadikan kita rasa semakin dekat dengan Allah.

Bacaan Al-Quran kita tidak mampu membuatkan hati kita rasa takut dan gentar dengan azab-azab Allah. Tika itu, baca Al-Quran pun rasa macam baca komik biasa. Kita boleh baca sambilewa, melagu-lagukannya tetapi kita terlupa untuk beramal dengan ayat yang kita baca itu.

Ibadat-ibadat khusus kita seolah hanya jadi rutinan biasa yang tidak bawa manfaat apapun.

 

NIKMAT IBADAT DI HUJUNG JIHAD

Kita sudah berusaha merawat diri kita. Kita beristighfar, meminta ampun dari Allah atas dosa-dosa kita. Tetapi, masih ada perasaan belum cukup dalam diri kita.

Kita rasa, dengan ibadat-ibadat yang kita lakukan selama ini, kita hanya menipu diri kita.

Ada sebuah syair Arab yang pernah dinukilkan oleh seorang ulama’ bernama Abdullah Ibn Mubarak kepada Fudhail bin Iyadh. Syair ini adalah teguran Ibn Mubarak kepada Fudhail. Abdullah bin Mubarak adalah seorang ahli hadis yang thiqah (dipercayai), ahli fiqh serta dai’ mujahid yang proaktif.

Kehidupannya bukan hanya tersekat di atas tikar-tikar sembahyang di masjid, mahupun di kuliah-kuliah mengajar sahaja. Bahkan, dia adalah ulama’ yang selalu turun berdakwah dan keluar berjihad bersama menentang Rom hampir setiap tahun.

Fudhail bin Iyadh bahkan adalah seorang ahli hadis yang thiqah juga. Dalam sejarah Islam, beliau dikenal sebagai seorang ahli ibadat dan zahid (orang yang zuhud) yang termasyhur dan paling baik perkataannya. Tetapi, Fudhail ini telah mengasingkan dirinya di Makkah dan meninggalkan jihad (perang bersama musuh Islam).

Fudhail bin Iyadh telah ditegur oleh Abdullah bin Mubarak dengan teguran yang agak menusuk hati melalui syairnya. Dalam syair itu, Abdullah bin Mubarak telah menggambarkan Fudhail sebagai abid (ahli ibadah) yang bermain-main.

“Wahai ahli ibadah di dua tanah haram, jika kamu melihat kami,

                      Kamu akan dapati bahawa kamu sedang bermain-main dalam ibadah kamu,

Orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata,

                      Sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,

Dia memenatkan kudanya dengan sia-sia,

                      Sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,

Kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami,

                      Adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan,

Telah datang kepada kami sabda Nabi kita,

                      Kata-kata yang benar, tepat dan bukan dusta,

‘Tidak akan bertemu debu kuda seorang ahli Allah,

                      pada hidung mereka dengan asap neraka yang menyala’,

Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa,

                     ‘Orang yang mati syahid itu tidak mati’ ini bukan dusta.”

Fudhail bin Iyadh memang terkenal dengan gelaran ‘abidal haramain (ahli ibadah di antara dua tanah haram, Makkah dan Madinah) dan banyak menangis. Maka, Ibn Mubarak telah menegurnya dengan cara sindiran.

Itu Fudhail, seorang ulama’ besar. Kita, tidaklah sampai begitu hebat ibadahnya.

Ada masa-masa kita rasa begitu khusyuk sekali. Tetapi ada masa-masa kita beribadah dengan hati yang kosong sahaja.

Biasanya, yang kedua itu lebih ramai. Beribadah dengan hati yang kosong.

 

TIDAK CUKUP HANYA SEKADAR DUDUK TERKURUNG DENGAN IBADAT, KITA PERLU KELUAR BERJIHAD

Memang tidak cukup kalau hanya sekadar ibadat. Islam pun tidak dibina di atas dasar itu semata-mata.

Memang kita akan rasa tidak cukup kalau hanya duduk terkurang dengan ibadat-ibadat semata-mata. Islam tidak dibina dengan puasa, solat dan baca Al-Quran sahaja. Ia tidak dibina atas paksi kehidupan di masjid sahaja.

Tetapi, Islam itu ada dalam segala bentuk kehidupan. Ia ada bukan hanya di atas tikar sejadah sahaja, tetapi ia ada juga dalam pekerjaan kita, dalam tugas-tugas harian kita.

Orang yang cuma duduk terkurung dengan ibadatnya sahaja, ibarat sami di tokong-tokong cina, ataupun paderi dan biara-biara di gereja. Islam bukanlah agama yang begitu.

Kalau ingin menikmati manisnya ibadat kita, kita perlu keluar berjihad.

Bukanlah jihad yang saya maksudkan di sini, kita perlu angkat senjata pergi berperang juga. Tidak.

Jihad bukan hanya sekadar itu. Kata seorang ulama’ :

“Dalam konteks dunia hari ini, jihad yang lebih utama adalah jihad amar makruf (ajak buat baik) nahi mungkar (cegah kemungkaran).”

Itu yang perlu buat kita. Tak cukup kalau kita seorang sahaja jadi baik, tetapi kita perlu keluar untuk mengajak orang jadi baik.

Tak perlu angkat senjata untuk ajak orang jadi baik.
Tak perlu bayar harga mahal pun, untuk cegah mungkar.
Yang diperlukan hanyalah usaha kita. Kita nak buat atau tidak, itulah yang jadi persoalannya.

Memang kita hanya akan banyak bermain dengan perasaan seronok dan sedih dalam ibadah-ibadah kita apabila kita mengurung diri kita dalam makna ibadah yang sempit sebegitu rupa. Sedangkan ramai lagi yang masih belum tahu bagaimana melaksanakan ibadah dan apa itu ibadah, tetapi kita pula beribadah dalam keadaan tertipu dengan diri kita.

Orang yang tertipu dengan ibadahnya, adalah orang begitu teliti menjaga ibadahnya, sampai ke perkara-perkara yang begitu terperinci sekali, tetapi kemudian dia lupa untuk mengajak orang lain kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran.

Dia begitu sibuk dengan solatnya, baca Al-Qurannya, puasanya, sedangkan di sekelilingnya maksiat dan dosa berleluasa, dia buat tak tahu saja. Inilah orang yang tertipu dengan ibadahnya.

 

PENUTUP : KALAU INGIN MENIKMATI MANISNYA IBADAT

Bayangkan, kalau kita ini adalah orang yang turut sama berdakwah, ajak orang kepada kebaikan, cegah daripada kemungkaran, pastinya kita akan menikmati manisnya segala susah payah yang kita bakal tempuhi di jalan ini.

Tika itu, air mata yang mengalir dalam ibadah kita, dalam solat kita pastinya air mata yang lebih berharga. Kita tidak menangis kerana tenggelam dalam pelukan ibadah kita semata-mata, tetapi tangisan kita mengalir setelah kita penat berusaha mengerah tenaga kita supaya orang lain pun dapat berjalan di atas jalan yang sama dengan kita.

Dalam keadaan penat, diuji dengan pelbagai tohmahan dan cacian mungkin, itulah yang lebih menambah seri ibadah kita. Kita tidak beribadah dengan kosong lagi ketika itu. Pastinya ibadah kita ketika itu, menjadi stesyen kekuatan untuk kita mengadu segala masalah dan halangan serta tempat kita menagih kekuatan dari Allah.

Waktu itu, kita tidak akan terasa kosong lagi dengan ibadah. Bahkan, kita mungkin akan rasa tidak puas kalau terlalu sekejap berada dalam masa-masa khusus kita dengan Allah itu.

Itu hanya mampu kita nikmati setelah kita bebaskan diri dari kurungan ibadah kita semata-mata.

Kelazatan ibadah, hanya mampu dirasai setelah kita berpenat lelah dalam usaha dakwah, mengajak manusia lain kenal dan akrab juga dengan Allah.

Tika itu, ibadat kita bukan lagi sekadar adat,
Tetapi saham yang bernilai akhirat !

About The Author

Afdholul Rahman
Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 33

Comments (10)

Leave a Comment

Copyright © 2012 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top