Rabu, 22 Mei 2013   |   12 Rejab 1434H   |   24 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Pemuda » Pemuda: Peribadi Sang Pahlawan Ilmu

About The Author


Beliau kini bertugas di Kolej Teknologi Darulnaim. Beliau merupakan graduan dari UiTM dalam bidang pengurusan. Pernah bertugas di Mydin, Anis Pharmacy, Berkat Istiqamah dan ProCAST Consultancy. Sering memberikan ceramah motivasi belajar di sekolah-sekolah dan IPTA/IPTS. Juga sering dijemput mengendalikan pelbagai kursus seperti Bengkel Dakwah, Kepimpinan, Komunikasi, Pengucapan Awam, Kerjasama Berpasukan, Keorganisasian dan pelbagai lagi. Pernah menyertai pelbagai misi kemanusiaan, antaranya Misi Kemanusiaan Tsunami Acheh, Misi Kemanusiaan Gempa Bumi Yogjakarta, Misi Bantuan Banjir Johor dan Pahang, dan Misi Dakwah Kemboja.

Number of Entries : 51

Pemuda: Peribadi Sang Pahlawan Ilmu

Sejauh mana kecintaan kita pada pelajaran dan keilmuan sehingga ianya melonjak kecemerlangan kita sebagai penuntut ilmu. Terkadang sebagai pelajar, kita sering tersalah meletakan keutamaan cinta. Misi kita sebagai pelajar adalah cinta kepada ilmu. Kita belajar adalah untuk berjaya. Inilah harapan dan kita mengharap untuk berjaya. Namun untuk mencapai kejayaan ada prasyarat yang harus kita tempuhi. Kejayaan tidak akan pernah datang bergolek tanpa usaha berbelah bagi. Hanya yang serius cintanya pada keilmuan, akan lahirlah watak mukmin yang cemerlang. Ya, pada setiap sang pahlawan ilmu, ada keperibadiannya yang perlu kita contohi.

Imam al-Jauzi berkata, “Hairan aku memikirkan. Untuk mendapatkan segala sesuatu yang mahal dan sangat penting, jalannya berliku dan menuntut banyak jerih payah. Begitu pula dengan ilmu. Untuk mendapatkan sesuatu yang paling mulia ini, seseorang harus mahu bersusah payah, berhempas pulas dan meninggalkan pelbagai kesenangan nafsu.”

Ini prasyarat dari pengalaman Imam al-Jauzi, seorang ulama yang wibawa. Saya suka mengkaji tabiat dan sikap orang-orang yang berjaya, khususnya kalangan para ilmuan dan ulama Islam. Kita tidak pernah kekurangan contoh dan model orang mukmin yang berjaya dalam keilmuan. Mereka adalah generasi yang mengajar kita bagaimana sikap dan berprestasi sebagai pencinta ilmu. Cuma kita tidak mengkajinya. Ternyata generasi yang berjaya dan luarbiasa keilmuan mereka, memiliki sikap dan ciri-ciri yang memenuhi pra syarat kejayaan sebagai penuntut ilmu, antaranya bersungguh, berkorban, bersusah payah, berhempas pulas dan “fight” hawa nafsu yang suka membuatkan kita malas!

Malas Kerana Jiwa Lemah?

Kenapa kita menjadi seperti tidak bermaya dan kelelahan dalam menuntut ilmu? Apa yang kurang pada diri kita? Terkadang kita tidak rasa gembira ketika menuntut ilmu dan sering rasa stress. Maka Ibnu Qayyim merumuskan, “Kebahagiaan ilmu hanya boleh kamu dapatkan jika kamu mengorbankan waktu luang, benar-benar berusaha mencari dan disertai dengan niat yang benar.” Perkongsian ibn Qayyim hampir sama dengan Iman al-Jauzi, kita tidak ada momentum pengorbanan dan kesungguhan. Malas menguasai diri.

Syeikh Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam, pakar motivasi Islami berkata, “Seseorang yang bercita-cita ingin meraih perkara-perkara yang mulia, ia wajib tekun menempuh dan mencintai jalan-jalan agama yang menjanjikan kebahagiaan, meskipun pada awalnya sulit untuk menghindari pelbagai macam ujian, cabaran dan hal-hal yang tidak menyenangkan. Tetapi jika ia sanggup mengendalikan nafsunya sehingga tunduk dan bersabar menghadapi segala kesulitan untuk menuju ke sebuah tempat yang mulia, ia akan memperolehi nikmat kejayaan.”

Sudah bersuluh, jalan menuju kejayaan dipenuhi dengan ujian dan cabaran. Syeikh Muhammad Ahmad Ismail berpandangan, kekuatan jiwa yang dapat mengawal hawa nafsunya mampu menjadikan seseorang itu berjaya dalam pelajaran. Bagaimana nafsu kita saat ini? Liar atau bagaimana?

Deretan Alasan

Tabiat manusia suka memberi alasan. Apatah lagi jiwa nafsu malas menguasai diri. Kenapa tidak cemerlang, kenapa tidak dapat markah tinggi, kenapa ‘assignment’ tidak siap, maka deretan alasan dan hujah diberikan. Ada yang menyalahkan masa, menyalahkan komputer, menyalahkan kewangan yang tidak mencukupi, menyalahkan kawan, menyalahkan kemiskinan, menyalah guru dan sebagainya. Kita harus membuang sikap suka memberikan alasan. Semakin banyak kita memberi alasan dan tidak sanggup menempuh ujian dan halangan, kita akan terus ketinggalan ke belakang.

Syeikh Muhammad Ahmad ar Rasyid hafizhahullah mengatakan;

Pada suatu hari aku pernah mengesyorkan kepada seorang mahasiswa Arab belajar secara peribadi dengan Ustaz Fuad Sarkin di kediamannya di Frankfrut. Tetapi Ustaz Fuad Sarkin mensyaratkan si mahasiswa itu harus sedia mahu belajar kepadanya minima enam jam sehari. Tetapi mahasiswa itu tidak sanggup. Kemudian Ustaz Fuad Sarkin mengkhabarkan ada beberapa belajar dari Jepun datang belajar dengannya dan sedia memenuhi syarat belajar enam jam sehari dengannya. Pelajar-pelajar Jepun ini menekuni tulisan-tulisan Arab.

Cuba kita perhatikan kisah di atas. Tidak hairanlah mengapa masyarakat Jepun kehadapan dalam bidang keilmuan saat ini. Sedangkan generasi pelajar kita lebih suka memilih jalan mudah dan senang, menolak cabaran dan perjuangan.

Tabiat Cemerlang dari 2 Imam

Apakah kita kenal dengan Muhammad Bin Idris atau lebih dikenali sebagai Imam asy-Syafie? Beliau adalah guru kepada Imam Ahmad.  Beliau lahir di kota Gaza, Palestin dalam keadaan yatim lagi miskin. Seusia 2 tahun, ibunya membawa beliau berpindah ke Mekah. Imam As Syafie menceritakan, semasa di Kota Mekah, kehidupan kami dalam kemiskinan. Di sekolah saya tidak mampu membayar yuran. Dengan sebab kemiskinan, ibu saya tidak mampu menyediakan peralatan sekolah saya. Oleh itu saya mencari tulang belulang, daun kurma yang kering dan pelepahnya untuk saya catat padanya ilmu yang dipelajari.” Beliau juga tanpa segan silu pergi ke majlis umum atau pejabat kerajaan bagi mengutip kertas-kertas yang sudah dibuang untuk diberikan kepadanya bagi tujuan penulisan.

Beginilah sikap seorang penuntut ilmu yang berjiwa besar, jelas matlamat belajarnya dan tinggi kesungguhannya. Tidak mengharap bantuan orang lain, sebaliknya berusaha sendiri dan tidak mencipta alasan untuk tidak boleh belajar dan berjaya. Imam asy-Syafie ada seorang anak murid bernama Imam Ibnu Ahmad. Imam Ibnu Ahmad menghafal Al Quran ketika berumur 14 tahun. Ibunya sering menangis melihat keazaman anaknya pergi ke majlis ilmu walaupun tidak berbekalkan apa-apa. Kadang-kadang beliau keluar dari rumahnya awal sebelum orang lain bangun dari tidur. Sambil mencari ilmu, beliau terpaksa bekerja bagi menampung keperluan hidupnya. Beliau pernah bekerja sebagai tukang jahit. Beliau juga pernah mengutip sisa-sisa tuaian gandum di ladang. Pernah mengambil upah menulis, menenun kain dan kadang-kadang mengambil upah memikul barang dan sebagai buruh kasar. Beliau menggunakan wang upahnya bagi membiayai kehidupan dan perjalanannya mencari ilmu. Luarbiasa bukan? Kedua-dua ulama hebat ini mengajarkan kepada kita erti kemandirian, mampu berdikari sendiri demi untuk meneruskan perjuangan sebagai penuntut ilmu. Inilah jatidiri seorang pencinta ilmu. Sudahkah kita mencontohinya?

Imam Ahmad mengikuti tips panduan dari Imam asy-Syafie. Kata Imam asy-Syafie “Seseorang penuntut ilmu yang ingin memperbanyakkan ilmunya wajib mengerah segenap jerih payahnya, sabar menghadapi segala macam kesulitan yang menghadang, ikhlas kerana Allah dalam mencari ilmu-Nya dan sentiasa memohon pertolongan-Nya.

Inilah kunci cinta kepada ilmu; bersungguh mengerah usaha, sabar, ikhlas dan sentiasa harap dengan memohon pertolongan dari Allah. Cinta kepada Allah adalah asas cintanya kepada ilmu. Ini yang membezakan kesungguhan orang mukmin dan kesungguhan orang kafir dalam menuntut ilmu. Sebagai pelajar mukmin, Allah SWT adalah tempat bergantungnya. Maka dia akan sentiasa berdoa dan harap kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita jarang berdoa kepada Allah sebaliknya kita banyak mengeluh dan bergantung kepada diri sendiri semata.  Sufyan ats-Tsauri rahimahullah seorang ulama yang dipercayai, mempunyai hafalan yang kuat, berilmu luas, wara’ dan zuhud. Beliau mengatakan, “Jika aku hendak menuntut ilmu, aku katakan, ‘Ya Tuhanku, aku harus punya penghidupan.’ Dan setiap kali melihat ilmu yang harus dipelajari, aku katakan, ‘Ya Tuhanku, berikanlah kemudahan dan keluasan padaku untuk mendapatkannya. Dan tolonglah, berikan aku bekal yang cukup.” Begitulah sikap para ulama, walaupun mereka hebat, berusaha bersungguh, namun mereka tidak pernah lupa mengharap dan meminta kekuatan dari Allah SWT.

Ilmu Itu Di Cari, Bukan Datang Sendiri

Kita belajar pula satu lagi sikap cemerlang sebagai seorang penuntut ilmu dari Ibnu Abbas RA atau nama sebenarnya Abdullah bin Abbas. Beliau merupakan sahabat dan sepupu  Rasulullah SAW yang memiliki keilmuan yang tinggi. Rasulullah SAW dan para sahabat sering  mendapatkan pandangan dan pendapat beliau untuk sesuatu perkara. Usia Ibnu Abbas baru menginjak 15 atau 16 tahun ketika Nabi wafat. Namun pengejarannya terhadap ilmu tidak pernah usai. Beliau berusaha menemui sahabat-sahabat yang telah lama mengenal Nabi demi mempelajari apa-apa yang telah Nabi ajarkan kepada mereka semua. Tentang hal ini, Ibnu Abbas bercerita bagaimana beliau gigih mencari hadis yang belum diketahuinya kepada seorang sahabat penghafal hadis:

“Aku pergi menemuinya sewaktu dia sedang tidur siang, lalu membentangkan jubahku di pintu rumahnya. Angin meniupkan debu ke atas mukaku sewaktu aku menunggunya bangun dari tidurnya. Sekiranya aku ingin, boleh saja aku mendapatkan izinnya untuk masuk dan tentu dia akan mengizinkannya. Tetapi aku lebih suka menunggunya supaya dia bangun dalam keadaan segar kembali. Setelah ia keluar dan mendapati diriku dalam keadaan itu, dia pun berkata. ‘Hai sepupu Rasulullah! Ada apa dengan engkau ini? Kalau engkau mengirimkan seseorang ke mari, tentulah aku akan datang menemuimu.’ Aku berkata, “Akulah yang sepatutnya datang menemui engkau, kerana ilmu itu dicari, bukan datang sendiri.’ Aku pun bertanya kepadanya mengenai hadis yang diketahuinya itu dan mendapatkan riwayat darinya.”

Ibn Abbas adalah cerminan pelajar mukmin untuk berjaya dalam proses menuntut ilmu. Ibnu Abbas mengajarkan kepada kita erti menghargai ilmu, menghormati dan mengangkat darjat guru dengan memuliakan mereka. Malangnya hari ini pelajar begitu renggang dengan guru dan pensyarahnya. Bahkan ada yang sanggup melukai perasaan guru, memusuhi dan bersikap biadap pada mereka. Kita seperti tidak minat dan bersungguh untuk belajar dari mereka. Justeru mana mungkin kita mampu menguasai ilmu.

Profail Cemerlang Al-Banna

Adakah anda kenal dengan Imam Hasan Al Banna, beliau seorang tokoh gerakan Islam yang hebat kurun ke 21. Pada saat beliau masih mahasiwa, beliau amat aktif dengan kegiatan dakwah kampus dan masyarakat, dan dalam masa yang sama cemerlang akademiknya, terkenal dengan keperibadian yang mulia. Dari kehidupan Imam al-Banna, kita boleh mencontohi sikap-sikap seorang pelajar dan mukmin yang cemerlang. Dalam kitab Ahdats Shana’at-Tarikh Imam Al Banna bercerita: Di malam saat ada ujian peperiksaan, beliau melakukan solat tahajjud seperti biasanya, dan memohon serta mengadu kepada Allah SWT. Dalam doanya beliau berkata:

“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu betapa rindunya diriku kepada ilmu dan betapa cintaku kepada-Mu, tapi Engkau juga tahu betapa sibuknya diriku dalam mencari ma’isyah untuk mempertahankan hidup di kota ini, berilah jalan keluar bagiku”.

Ternyata Hasan Al Banna memiliki hubungan yang cukup intim dengan Allah SWT dalam memohon kekuatan. Tahajjud dan doa adalah amal rutin beliau. Inilah formula utama yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam mendidik generasi sahabat. Formula HDA, Hubungan Dengan Allah. HDA adalah sumber kekuatan bagi mukmin dan resepi mengawal hawa nafsu. Formula ini yang sering kita abai dan remehkan.

Al-Banna belajar dalam keadaan daulat Islam telah hancur musnah dikerjakan oleh musuh-mush Islam. Keadaan umat ketika itu lemah dan berpecah. Namun Al-Banna tidak meremehkan urusan belajarnya dan urusan membina kekuatan umat kembali. Kecintaan Imam al-Banna dengan dunia keilmuan dan keghairahan beliau membawa obor dakwah tidak ada pemisahan malahan keduanya adalah sedaging. Ramai ulama thiqah (hormat) kepada beliau dan menghormati beliau, baik muda mahupun lebih tua dari beliau. Bila orang bertanya : “Siapa pemuda? Jawab al-Banna; “Saya membayangkan akulah yang dimaksud, kerananya saya tidak bermalas-malas dan tidak membodohi diri.” Mendengar jawaban itu, penemuduga itu mengatakan: “Wahai anakku, dengan demikian aku nyatakan engkau lulus dari Darul ‘Ulum, dan yang memiliki jawaban seperti ini hanya engkau dan Ustaz Muhammad Abduh. Aku melihat bahawa engkau akan memiliki masa depan yang gemilang”.

Begitulah tingginya kejelasan matlamat Al Banna, mencontohkan kepada kita di antara kesungguhan menguasai ilmu dan keghairahan beliau melaksanakan kerja besar, ”dakwah dan tarbiyah”. Hari ini wahai pelajar dan mahasiswa, janganlah kita lemah serba serbi, lemah belajar, lemah berdakwah dan lemah dalam tarbiyah diri.

Melakar Sejarah Diri

Akhir kalam, saya tinggalkan anda dengan kisah-kisah hebat di atas buat renungan bersama. Mereka telah melakar sejarah kehidupan mukmin dan umat. Jejaki langkah mereka, insyaAllah kita jua mampu meneroka sejarah baru buat diri kita dan umat ini, generasi yang kuat kecintaannya kepada keilmuan dan keimanan. Penuhi prasyarat kejayaan sebagaimana yang telah diteladani oleh generasi ulama terdahulu. Barangkali kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi bukankah kita mampu mengubah sikap kita dalam menghadapi segala macam cabaran. Kita tidak mampu mengubah arah angin, tapi kita mampu mengubah arah sayap kita. Maka optimislah! Buka mata, buka hati, buka telinga, buka fikiran, buka tangan, luaskan dada dan ubahlah tabiat kepada tabiat orang mukmin yang berjaya, insyaAllah kejayaan milik anda dan milik Islam. Kata al-Banna;

“Ikhlas adalah kunci keberhasilan. Para salafussoleh yang mulia tidak menang dan berjaya melainkan kerana tiga kekuatan, iaitu kekuatan keimanan, kebersihan hati dan keikhlasan mereka.

Apabila engkau sudah memiliki ketiga kekuatan tersebut, maka Allah akan mengilhamimu petunjuk dan bimbingan. Jika engkau beramal maka Allah akan mendukungmu dengan kemampuan dan keberhasilan…”

Wahai pewaris pahlawan ilmu, bersiaplah dan selamat melakar sejarah!

 

Comments (25)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top