Rabu, 22 Mei 2013   |   12 Rejab 1434H   |   18 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Teknologi » Blogger=Da’ie – Mempromosikan Blog/Website.

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 427

Blogger=Da’ie – Mempromosikan Blog/Website.

Promosikanlah kebaikan! ~ Picture by ocsilla15 of Deviant Art.

 

Dakwah pada saya adalah bisnes. Bukan saya mahu katakan bahawa dakwah adalah ‘market’ untuk kita kumpul banyak duit. Tetapi yang saya mahu katakan adalah, dakwah merupakan bisnes kita dengan Allah SWT.

Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Surah As-Saff ayat 10-11.

Ya. Dakwah adalah satu bisnes. Bisnes kita dengan Allah SWT. Maka pastinya, bisnes memerlukan promosi. Jika tidak, bagaiimana bisnes itu mahu berjaya bukan?

Nanti orang kata kita riya’, menunjuk-nunjuk.

“Promosi? Ish. Nanti orang kata kita riya’, nak menunjuk-nunjuk.”

Hem. Iyakah?

Saya rasa tidak relevan sungguh ‘kata-kata orang itu’. Baik, saya bagi satu situasi.

Ada sebuah kedai menjual arak. Dia mengiklankan arak yang dijualnya di pelbagai tempat, menggunakan pelbagai saluran, dan pada iklannya, dia menggambarkan bahawa arak itu nikmat, merupakan solusi kepada masalah dan sebagainya.

Di satu sisi, ada sebuah kedai menjual Al-Quran. Tetapi dia tidak mengiklankan Al-Quran yang dijualnya itu. Dia hanya duduk diam di dalam kedainya. Sekadar menanti siapa yang ‘terperasan’ kedainya, datang.

Kita tengok dua situasi itu. Siapa yang akan menang?

Semestinya yang menjual arak. Capaiannya lebih luas. Bahkan iklannya menggoda. Arak yang buruk untuk kesihatan pun akan kelihatan nikmat.

Di sinilah hakikatnya keperluan kepada mempromosikan dakwah kita.

Apakah kita fikir, dalam dunia yang mempunyai jutaan blog sekarang, blog kita tiba-tiba boleh dikenali, didatangi, tanpa ada apa-apa usaha promosi?

 

Dari Bagaimana Mahu Menjadi Kaya, kepada Bagaimana Mahu Dakwah Sampai Dengan Jaya

Saya terfikir perkara ini pada sekitar pertengahan tahun 2008. Saya terbaca satu buku yang membicarakan berkenaan Bagaimana Mahu Menjadi Kaya Dengan Blog. Saya langsung tidak berminat dengan isinya, kecuali pada satu bab.

“Bagaimanakah Hendak Mempromosikan Blog Anda.”

Di situ, saya terfikir berkenaan dakwah yang perlu sampai kepada ramai orang. Dan antara dakwah yang saya usahakan adalah dengan menggunakan blog. Maka semestinya saya mahu dakwah itu sampai kepada ramai orang. Maka saya membaca bahagian itu dengan teliti.

Antara yang disebut adalah:

  1. Buang rasa malu dan merendah diri untuk mempromosikan blog sendiri.
  2. Rajin menziarahi, membina hubungan dengan blogger-blogger yang lain.
  3. Sentiasa rajin menyebut alamat blog/website anda di mana-mana.

Antara contoh yang menarik, buku itu menyebut:

“Bayangkan anda mendapat peluang menulis satu artikel di dalam akhbar. Anda pun mengambil peluang itu dengan meletakkan alamat blog anda. Berapa ramai yang membaca surat khabar dalam sehari? Jutaan. Dan jutaan itulah yang melihat alamat blog anda. Mustahil daripada jutaan itu, tiada seorang pun yang akan menziarahi blog anda selepas melihat alamat blog anda itu.”

Lagi buku itu menulis:

“Sekiranya membina jaringan dengan blogger-blogger lain, sentiasa rajin menziarahi blog mereka dan menulis sesuatu di ruang komen atau shoutbox mereka, dan anda tinggalkan pula alamat blog anda di situ, maka kemungkinan untuk orang mengklik dan melawat blog anda akan meningkat. Mustahil tiada seorang pun pengunjung blog itu, apabila melihat link blog anda, tidak akan mengklik link tersebut.”

Bila membaca itu semua, saya berfikir panjang.

Bagus idea ni. Konsep asasnya adalah untuk ‘mengajak lebih ramai orang ke blog kita’.

Anda pilih nak berblog sebab nak buat duit, anda akan dapat duit banyak.

Jadi, bila anda pilih nak berblog kerana berdakwah, anda akan dapat pahala banyak dengan meramaikan pembaca anda.

Pilih.

 

Maka Laksanakanlah.

Saya selepas membaca idea tersebut, saya terus laksanakan. Hampir setiap minggu, saya akan mempromosikan kepada hampir 300 buah blog. Tetapi saya pun tidaklah sekadar berkata: “Ziarahlah ke blog saya ya.”

Pada saya, itu hanya buat orang meluat. Kita bila mahu ajak orang datang ke blog kita, kita mesti nyatakan apa yang blog kita ada, untuk menarik orang datang. Sebab itu, setiap kali saya promosikan blog saya, saya mesti akan menyatakan begini:

“Minggu ini, artikel terbaru adalah….. jemput ziarah ya!”

Lebih kurang begitulah.

Selain mempromosikan blog saya di blog orang lain, saya juga sentiasa menghantar link artikel-artikel terbaru saya di yahoogrup-yahoogrup yang saya sertai, serta kepada semua alamat email yang saya punyai. Tidak terlepas juga, saya akan hantarkan instant message untuk seluruh senarai Yahoo Messenger saya. Tidak juga saya lepaskan, untuk meletakkan link artikel terbaru saya di Facebook dan Twitter.

Pendek kata, menggunakan segala ruang dan peluang yang saya ada.

Satu lagi, saya membenarkan artikel saya dicopy&paste tanpa izin dengan dua syarat. Pertamanya, dikreditkan kepada saya. Keduanya, diletakkan alamat website saya.

Dan apabila Allah memberikan rezeki kepada saya untuk menjadi penulis buku, saya tidak lupa meletakkan alamat website saya pada kulit buku. Begitu juga apabila saya menjadi kolumnis untuk beberapa majalah, saya tidak lupa mensisipkan alamat website saya pada info penulis.

Itulah yang saya lakukan.

Promosi besar-besaran.

Mustahil pada semua tempat yang saya promosikan itu, tiada seorang pun yang klik bukan?

Saya rasa, simple sahaja tips ini. Kita semua tahu.

Tetapi bukan kita semua buat.

Beza tahu dengan tahu dan buat ini, jauh.

Sekadar tahu, takkan membuahkan apa-apa hasil.

 

Penutup: Buat Kebaikan, Mengapa Mesti Malu?

Mengapa mesti malu dengan membuat kebaikan?

Mengapa mesti dimomokkan dengan perasaan takut riya’ dan sebagainya?

Takut untuk riya’ bukanlah sepatutnya menjadi penghadang kepada amal. Amal perlu diteruskan. Memang, riya’ akan hinggap sekali sekala. Tetapi itu mestilah dilawan. Bukan di’manja’kan jiwa ini dengan memberhentikan amalan. Lawan riya’ itu. Banyak tenangkan hati agar tidak riya’, banyak muhasabah. Itulah caranya.

Tetapi hairan bukan, bila kita lihat orang tanpa segan silu melakukan keingkaran di khalayak ramai? Dan kerana mereka ‘berani’ melakukan sedemikian, maka orang terikut-ikut. Kita? Kita malu melakukan kebaikan, maka daripada siapa manusia hari ini ingin mendapatkan contoh kebaikan?

Mari sama-sama kita berfikir sejenak.

Bergeraklah mempromosikan kebaikan.

Bukan nak angkat bendera – “Tengoklah aku, aku tengah buat baik ni!”

Tetapi sebenarnya hendak mengangkat panji – “Inilah dia kebaikan. Marilah bersama kita laksanakan!”

Comments (32)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top