Ahad, 19 Mei 2013   |   9 Rejab 1434H   |   10 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Karya » Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 1

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 425

Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 1

Team Langit Ilahi. Ada sebahagian yang tidak dapat hadir.

 

 Bagi mereka yang menanti,

ini adalah Cheritera 1 Takdir2: Percaya Yang Tidak Sirna.

Perjalanan menjadi semakin mendebarkan.

Enjoy!

:-)

Suasana di sekeliling bangunan berselimut hitam berbentuk kiub itu tenang. Matahari yang mula naik tanda waktu subuh sudah semakin menghilang. Suasana perlahan-lahan menjadi cerah. Manusia mula bergerak keluar daripada perkarangan Masjid yang bergelar Masjid Al-Haram itu. Namun ada beberapa yang tetap di dalamnya. Ada yang kekal di tempat mereka mengabdikan diri, ada yang berkumpul di beberapa kawasan berlainan, mengikuti penyampaian-penyampaian.

Dia mendongak memerhatikan bangunan berselimut hitam di hadapannya. Selimut itu terdapat jahitan emas yang menggunakan satu bahasa lagenda bernama Bahasa Arab. Bahasa asal kawasan ini, yang kini telah teramat asing. Hanya digunakan di dalam ibadah, ketika membaca Kitab Langit, dan Akhlak Syurga. Tidak ramai yang arif di dalam bahasa itu lagi, melainkan yang berpegang dengan Agama Langit. Dia, jauh sekali memahami. Tetapi sedang cuba mempelajari.

“Izrayel.” Satu suara menyapa, dan tidak perlu dia menoleh, pemilik suara itu sudah duduk di sebelahnya. Dia memandang. Seorang lelaki tua, sudah berkedut wajahnya, berambut putih, berjubah hijau putih, bersila dengan tongkat di atas kedua-dua pehanya. Lelaki tua itu tersenyum manis, bercahaya wajahnya.

“Tuk Akram.” Perlahan Izrayel menyebut nama lelaki tua itu. Atau nama lainnya adalah, Kiai Awan. Salah seorang daripada Kiai Songo yang pernah menggegarkan Tanah Sejuk, tempat wujudnya Istana Hitam Sang Asura.

“Bagaimana sekarang?” Tuk Akram bertanya, bahu Izrayel disentuh mesra.

Hujung bibir Izrayel mengukir senyuman. “Bahagia.” Dia menghela nafas, sambil memandang suasana di sekelilingnya. “Berada di dalam pelukan Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, nyata indah.”

“Sesungguhnya, ketenangan itu hanya datang daripada Dia. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang. Surah Ar-Ra’d ayat 28.” Tuk Akram menalakan wajahnya tepat kepada bangunan berselimut hitam. Ka’bah, itulah namanya. Kebanyakan orang di zaman ini menggelarnya Rumah Lagenda.

Izrayel mengangguk. “Mungkin kalau semenjak dahulu lagi aku mengucup kebenaran ini, tidak perlulah aku lalui semua yang aku lalui.” Matanya turun kepada pedang miliknya, yang berbalut kain kasa. Bagi yang mengetahui, pedang itu sumbing kerana tidak pernah sekali diasah, sepanjang menempuhi segala pertempuran di dalam hidupnya.

“Takdir Allah itu tiada siapa yang mengetahui susunannya Izrayel. Keberadaan engkau pada masa lalumu itulah yang membawa engkau kepada engkau yang hari ini. Tidakkah engkau memerhati? Tambahan, apa manfaatnya kepada kami, sekiranya engkau bukan engkau yang pernah menjadi engkau yang dahulu.”

Senyuman Izrayel membunga lebar. Wajahnya bercahaya dengan kegembiraan yang terbit jauh dari dalam hati. Benar.

“Kiai Awan. Adakah kita sudah patut bergerak keluar?”

Perlahan lelaki tua itu mengangguk. “Tetapi…”

Kening Izrayel terangkat sebelah. “Tetapi?” Seakan menggesa jawapan.

Tuk Akram menoleh ke satu sudut masjid. Kelihatan satu tiang dari tiang-tiang yang ada dikerumuni sekumpulan manusia. Pada tiang itu, terdapat seorang lelaki, berjubah kelabu dan memegang sebatang tongkat berwarna hitam. Berdiri, memberikan penyampaian.

“Dia telah kembali memunculkan diri. Dan kita perlu berhati-hati.”

Mata Izrayel mencerun. Fokus kepada lelaki yang ditunjukkan.

Hisyam Wakeel. Dia ada mendengar Mughirah Syu’bah dan Waqqas Qadri bersembang akan lelaki ini.

“Siapakah dia sebenarnya?”

“Munafiq.”

Kini kedua-dua kening Izrayel terangkat. “Apakah itu?”

“Yang mulutnya menyatakan keimanan, tetapi hatinya bukan demikian. Telah banyak angkara dia lakukan semenjak zaman Almarhum Tuanku Aizan Zanki lagi. Dia antara yang tidak bersetuju dengan keputusan Ruh Faizan untuk tidak menyertai Kesatuan Lima Kerajaan menentang Sang Asura, dan dia hampir-hampir sahaja membuatkan seluruh Tanah Haram ini dikuasai Kerajaan Utama.”

“Jadi, mengapa dia masih hidup?”

“Kerana dia secara zahirnya adalah saudara kita. Ruh Faizan memandang jauh ke hadapan, dan pernah berbicara kepada Rib’i Amir yang ingin memenggal kepala Hisyam itu: Apakah engkau mahu manusia menyangka, bahawa Ruh Faizan membunuh saudaranya?”

Izrayel menelan air liur sambil memandang Hisyam. Mendengar bicara Ruh Faizan itu, dia kini semakin kagum dengan lelaki tersebut. Nyata, Raja kepada Tanah Suci itu penuh dengan kebijaksanaan. Benar, kalau dibunuh Hisyam, orang akan menyangka Ruh Faizan sanggup membunuh saudara seislamnya sendiri, dan untuk jangka panjang perkara itu boleh digunakan sebagai senjata oleh Kerajaan Utopia bagi merobohkan kesatuan Tanah Suci.

“Jadi, apa yang kita perlu lakukan sekarang, Kiai Awan?”

“Kita? Bersedia. Aku rasa kita perlu bergerak menggegarkan Utopia, sebelum mereka melakukan apa-apa.”

“Dia?”

“Oh. Kita juga perlu bersedia untuk digempur. Kerana apabila dia memunculkan diri…” Tuk Akram kembali memandang ke arah Hisyam yang sedang sibuk menyebarkan dakyahnya. Tidak ramai yang mengerumuninya berbanding kerumunan terhadap penyampai-penyampai ilmu di tiang-tiang lain.

“Kerana apabila dia memunculkan diri, aku amat yakin kita akan mendapat kejutan dari arah yang kita tidak sangkai.”

Izrayel melepaskan nafasnya.

Dia mendapat hidayah Allah ini dan mensyukurinya. Rasa bahagia dengannya. Tetapi ada juga manusia yang telah mendapat hidayah ini, hendak pula menghancurkannya? Manusia jenis apakah itu?

“Bersiaplah Izrayel.” Bahunya ditepuk mesra. Tuk Akram bangun dan meninggalkannya. Namun baru beberapa langkah, Tuk Akram berhenti menapak. Menoleh kembali ke arah Izrayel.

Izrayel buat wajah bertanya.

“Aku tertanya-tanya. Mengapa End rela hati memeluk Agama Langit?”

Izrayel tidak terus berbicara. Hatinya terdiam seketika. End Less. Semenjak dari zaman dia menjadi Ketua Jeneral Utopia, End telah mengunci bicaranya. Sepanjang yang dia ketahui, End adalah Jeneral Utopia yang pertama. Kekuatannya pula adalah misteri kerana tidak pernah dipersembahkan. Sang Asura pula tidak pernah sesekali menyeru End atau mengarahkan jeneral itu melakukan sesuatu, menandakan ketinggian darjatnya di sisi Sang Asura.

Tidak lama kemudian Izrayel menggeleng.

“Aku sendiri, Kiai Awan, tidak mengetahuinya. End sememangnya kekal misteri buat kami Jeneral Utopia yang lain. Hatta aku juga tidak punya apa-apa mengenainya.”

Tuk Akram menghela nafas. “Takdir Allah SWT itu, nyata bukan di dalam pengetahuan kita bukan?” Kemudian Tuk Akram bergerak meninggalkan Izrayel berseorangan.

Izrayel meleret senyuman perlahan-lahan.

Takdir. Ya. Tiada siapa yang tahu. Sebab itu mereka berusaha. Untuk mencapai yang terbaik yang mereka mampu. Ruang usaha terbuka, ruang pemilihan sentiasa diberikan buat manusia. Itu hikmahnya Takdir menjadi rahsia.

Izrayel mengalihkan semula pandangannya ke arah Ka’bah. Meletakkan pedangnya di sisi, bangun, dan kemudian mengangkat takbir. Waktu Dhuha telah masuk, dan dia melaksanakan Solat Sunat Dhuha.

 

******

 

“Pastikan kelengkapan kamu semua sempurna!” Arnav melaung.

Chinmayi kini riuh dengan langkah tentera-tentera yang bergerak mempersiapkan diri masing-masing. Persiapan terakhir, sebelum keluar ke arah Ethan untuk menggempurnya. Sepanjang ini, mereka tidak pernah bertempur di luar daripada Chinmayi, melainkan dalam peperangan dengan lima jeneral tempoh hari. Jauh sekali hendak menggempur mana-mana wilayah. Ini adalah kali pertama.

“Jangan tegang sangat wajah itu wahai sahabtku Arnav.” Ashoka menyapa. Arnav tersengih. Anak matanya menangkap wajah Ashoka yang kini sudah berdiri di sisinya.

“Aku bukan seceria engkau wahai sahabat.”

“Naa, tiada engkau, gelaplah hidupku. Siapa lagi mahu aku sakat?” Bahu Arnav disiku.

Arnav tertawa. Namun pandangannya tidak bergalih dari melihat barisan tenteranya yang semakin lengkap.

“Bagaimana barisan pemanahmu?” Sisi wajah Ashoka dipandang. Ashoka tidak menoleh, kekal memandang tentera-tentera yang berada di atas kawasan lapang di hadapan mereka. Mereka kini berada di Istana Chinmayi, yang merupakan pokok terbesar di dalam kerajaan ini. Di sekeliling pokok ini, satu tanah lapang berumput terbentang, sebelum wujud lagi pokok-pokok lain yang merupakan rumah-rumah penduduk.

“Mereka sudah bersedia. Tinggal menunggu arahan keluar sahaja.”

“Gementar?”

Ashoka menggeleng. “Cuma aku tidak menyangka hari ini akan tiba.”

“Hari kita menyerang mereka?”

Ashoka mengangguk. “Apakah kita akan menang kali ini?”

“InsyaAllah. Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya bersama kita. Yakinlah dengan itu.”

“Aku berharap demikian. Apa-apa hal pun, bila bersamamu wahai sahabat, dunia hancur pun tidak aku perasan.” Ashoka memandang Arnav. Wajah mereka berdua bertentangan.

Arnav tersenyum manis. “Aku rasa bertuah punya sahabat yang pandai berbicara manis sepertimu Ashok. Meregangkan ketegangan hatiku.”

Dan mereka berdua tertawa bersama.

“Panglima Arnav, semua tentera telah bersedia!” Seorang tentera melaporkan keadaan. Arnav kembali fokus ke arah barisan tenteranya. Semua sudah berbaris dengan persiapan yang lengkap. Panji-panji berkibar megah.

“Aku pergi dahulu.” Ashoka menepuk bahu Arnav. Arnav mengangguk sambil melemparkan senyuman. Ashoka bergerak ke arah barat, untuk menghadap tenteranya pula. Sementara Aedan dan Asmita, masing-masing menghadap tentera mereka di timur dan Utara Istana. Mereka berempat berdiri di atas pelantar yang mengelilingi Pokok Besar Istana Chinmayi.

“Tenteraku, kita akan keluar menggempur Ethan hari ini. Apakah kalian telah bersedia?”

“Bersedia panglima!” Ada yang menjulang panji, ada yang mengangkat busur, tidak kurang juga yang mengangkat pedang mereka. Walaupun senjata utama pahlawan Chinmayi adalah busur dan panah, pedang tetap wujud pada setiap pinggang mereka sebagai senjata kedua.

“Berjalanlah sambil bertasbih, dan bertahmid memujiNya. Jagalah hubungan denganNya. Sesungguhnya bukanlah kita yang menyebabkan kemenangan. Tiada kemenangan melainkan apa yang dibenarkan olehNya.” Arnav mengangkat tombak hitamnya. Tombak yang ditempa Ezakiel tidak lama dahulu sebelum peperangan dengan lima jeneral.

“Kami dengar, kami taat Panglima!”

Semangat sudah menggunung, suasana Chinmayi yang biasanya dingin kerana dilitupi rimbunan pepohonan, kini hangat dengan semangat. Arnav melirik kepada Ashoka di arah Barat. Sahabatnya itu mengangkat ibu jari. Tanda bersedia. Dia memandang pula kepada Asmita yang berada di bahagian Timur. Jeneral kacak berambut perang itu menggaris senyum. Tanda bersedia.

“Dengan nama Allah, bergeraklah!”

“Allahuakbar!” Tenteranya melaung.

“Allahuakbar!” Chinmayi bergegar dengan gegak gempita takbir mereka.

“Allahuakbar!” Dan derap langkah mula kedengaran mengiringi laungan mereka.

Ke arah Ethan. Mengetuk pintu musuh mereka.

 

******

 

Mereka masih dipayungi rimbunan pohon yang tinggi. Kawasan ini amat indah sekali. Ditambah pula dengan tiang-tiang cahaya yang terwujud hasil pancaran mentari yang cuba menembusi ke arah bumi.

Angkasa memanjat satu tebing tinggi untuk meneruskan perjalanan. Begitu juga Aizan dan End di kanan dan kirinya.

Tiga bulan perjalanan ini, dia banyak berkongsi itu dan ini dengan Aizan Fahmi. Tetapi End, bekas jeneral Utopia itu lebih banyak mengunci bicara. Hanya sekali sekala sahaja End membuka suara, itupun hanya sepatah dua. Boleh dibilang dengan sebelah jari berapa kali.

Misteri. Itulah yang menyelubungi End.

Tetapi Angkasa tidak peduli. Baginya, manusia seperti End memeluk Agama Langit sudah merupakan kegembiraan terbesarnya. Dia tidak pernah dididik oleh Bapanya untuk menjadi seorang yang prejudis. Dia dididik agar sentiasa terbuka dan senang menerima. Jadi kekurangan End yang tidak banyak bicara, bukanlah satu perkara yang hendak diperbesar-besarkan. Sedikit pun Angkasa tidak merasakan End seorang yang sombong. Bahkan, pada Angkasa, End mempunyai kredibiliti yang tinggi. Angkasa hormat kepada End.

“Jadi Angkasa. Engkau dan adindaku bagaimana?” Belakang tubuh Angkasa ditampar.

Angkasa terdorong ke hadapan. Wajahnya pantas menjadi merah. Segera dipandang Aizan.

“Aku…” Menunjuk ke arah wajahnya. “Dengan adindamu? Puteri Maisarah?”

Aizan mengangguk bersama senyuman nakal.

“Er, kami mana ada apa-apa. Ada apa-apakah yang engkau perhatikan?”

Aizan tertawa. “End, lihatlah Angkasa. Hendak menyembunyikan daripada aku, bakal kekandanya.” Aizan memanjangkan leher memandang End di kiri Angkasa. End diam sahaja. Wajah tiada reaksi. Namun Aizan tidak pula menunjukkan rasa kurang senang dengan keadaan End. Aizan berlagak seperti End sedang tersenyum kepadanya. Terus tertawa.

“Ya Allah, Maha Suci Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, aku memang tidak punya apa-apa hubungan dengan adindamu.”

“Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, Maha mengetahui apa ada di dalam hatimu dan adindaku Angkasa. Mungkin benar secara langsung kalian tidak mempunyai hubungan erat. Tetapi di dalam jiwa, aku yakin kalian ada hubungan.” Aizan mengangkat kening dua kali. Nakal.

“Er…” Angkasa menggaru belakang kepalanya yang nyata tidak gatal.

“Atau engkau sudah berubah hati kepada Srikandi Merah, Izzati dari Perkampungan Hikari?”

“Astaghfirullah. Aizan Fahmi, aku langsung tidak pernah terlintas akan perkara sedemikian.”

Aizan tertawa. “Sukar benar hendak membuka jiwamu dalam hal ini ya Angkasa. Walaupun kita sudah tiga bulan mengembara bersama.”

“Aku…” Angkasa menunduk. Wajahnya masih panas dengan sakatan Aizan. Dia sebenarnya, tidak mampu membahasakan apa yang dia rasa. Ya. Dia ada merasai sesuatu kepada Puteri Maisarah. Puteri itu nyata solehah. Ditambah pula cantik. Lemah lembut. Punya rasa malu yang tinggi. Terjaga. Sederhana walau dia seorang puteri raja. Cuma, apakah ini cinta?

“Aku tinggal tidak punya jawapan.” Angkasa menghela nafas.

Terus bahu Angkasa dipaut Aizan. Tubuh Angkasa dirapatkan dengan tubuhnya. “Perlahan-lahan. Tetapi ketahuilah, aku senang adindaku bersama lelaki sepertimu. Kalau bonda kami masih hidup, pastinya bonda menyukai engkau wahai Angkasa.” Aizan tersenyum lebar.

Menghadapi kehidupan penuh dengan peperangan, Aizan jarang tersenyum melainkan waktu-waktu sempit yang sedikit bersama keluarga, dan teman-teman. Tetapi melihat adindanya seperti amat gembira dengan kehadiran Angkasa sepanjang tiga bulan selepas peperangan tempoh hari, dia sendiri merasai kegembiraan yang tiada taranya. Apatah lagi, selepas tiga bulan mereka mengembara bersama, dia mengetahui betapa Angkasa adalah seorang yang sederhana, dan amat menjaga agamanya.

“Permata yang dia berikan kepada engkau itu, adalah warisan daripada bonda kami. Amat berharga. Itu mengingatkan Maisarah kepada bonda kami. Tetapi bila dia memberikannya kepada engkau, aku yakin, itu adalah bahasa menyatakan bahawa dia mencintaimu.” Aizan menepuk karung yang tergalas di belakang Angkasa. Permata yang dinyatakan tersimpan di dalam karung itu.

Angkasa tersenyum. Benarkah Puteri Maisarah punya perasaan itu kepadanya?

Tiba-tiba tombak Tiga Mata End menghalang mereka berdua dari terus menapak. Angkasa dan Aizan spontan memerhatikan End. Mata berbahasa isyarat – Mengapa?

End terus melibas tombak tiga matanya membelah tanah sejengkal di hadapan telapak kaki mereka. Terus terangkat sebuah perangkap, jala besar yang diperbuat dari besi, muncul dari bawah tanah naik ke pokok yang tertinggi. Ketiga-tiga mereka mendongak melihat perangkap tersebut yang kini tergantung. Butir-butir tanah dan dedaunan gugur dari perangkap itu.

“Hahahaha. Celaka End! Deria engkau teramat tajam!”

Terus terasa satu aura yang amat menekan. Sangat-sangat menekan. Angkasa perlu menarik nafas, dan fokus untuk kekal berdiri. Perlahan-lahan mengatur auranya dan dipertingkatkan untuk melawan tekanan yang wujud di dalam udara. Aizan Fahmi juga begitu. Tombak Naganya dihunus dan dipacakkan belakangnya ke tanah, bertindak sebagai tongkat sementara dirinya mempertingkatkan tenaga untuk menghadang tekanan.

Hanya End yang tenang berdiri.

“Kalian sangat-sangat menyakitkan hati. Menganggu ketenangan hari-hari aku. Membuatkan aku terpaksa muncul sendiri.” Muncul dari balik pokok, satu jasad yang sederhana tinggi. Lebih kurang tinggi Angkasa. Berzirah dari hujung kepala hingga ke telapak kaki. Tiada yang terzahir melainkan dua matanya. Mantel merah menyapu tanah seiring langkahan. Dua pedang jelas tersandang pada pinggang. Dan lambang Wilayah Midori wujud pada dada zirah.

“Jeneral Rafael.” Aizan Fahmi kenal akan lelaki itu.

Lawannya semasa peperangan lalu.

“Perjalanan kalian terhenti di sini. Hahahaha.” Rafael mendepangkan tangan ke paras pinggang.

Muncul dari balik-balik pokok, tentera-tenteranya. Ramai. Sekitar 50. Dan kebolehan mereka untuk wujud seramai itu tanpa menimbulkan apa-apa bunyi menandakan pasukan itu adalah pasukan yang tersangat elit. Tambahan, apabila muncul sendiri bersama Ketua Wilayah seperti Rafael dalam satu-satu misi, nyata pasukan ini adalah pasukan istimewa. Semua lengkap dengan zirah berwarna hitam.

“Orihalcoln.” Angkasa menyebut nama bahan yang membina zirah mereka. Besi terkeras di dunia setakat ini. Dia kini telah mampu mengawal suasana agar tidak menekan tubuhnya.

Apakah perjalanan mereka ke Uftzi akan terhenti di sini?

Angkasa memandang ke kanan, Aizan Fahmi tidak lagi bertongkatkan Tombak Naganya.

Menoleh ke kiri. End.

Wajah biasa.

 

******

 

Istananya sunyi. Dia sudah hampir serupa dengan tuannya. Tiada gabenor di sisi. Balai menghadap kosong dan sunyi. Dia lebih senang begitu.

Perlahan-lahan pandangan matanya merayap dari lantai ke arah kirinya. Sempat matanya melihat sebilah pedang gergasi yang tersandar pada tiang singgahsananya. Pedang besar yang sama tinggi dengan tubuhnya. Kemudian pandangannya terhenti pada bahunya sendiri. Tangan kiri yang diperbuat daripada Orihalcoln sedang damai tersadai di atas penghadang kerusi.

Tangan itu diangkat. Digerakkan. Menggenggam.

“Kamu tahu O Zero. Kalian tidak akan sesekali menang.”

Bicara akhir Kiai Bumi kepadanya. Sebelum lelaki tua itu tumbang walau bukan pada hujung pedangnya.

Menyusup ke dalam jiwa.

Dan tiada yang mengetahuinya. Dia rahsiakan bagaimana kematian orang tua itu daripada semua, hatta rajanya, Sang Asura. Kerana dia hakikatnya terganggu. Sangkanya, jika mereka memenangi pertempuran tempoh hari, bicara orang tua itu akan lenyap bersama angin lalu. Tetapi malang, siapa sangka kekalahan yang datang.

Bicara Kiai Bumi kembali bertandang. Enam bulan ini, dihantui suara lelaki itu yang bernama Fathan Adi.

Dia menghela nafas. Perlahan-lahan tangan kirinya yang baru itu bergerak mengambil topengnya. Dipakai menutup muka. Wajah yang tidak ingin dilihat sesiapa. Menyembunyikan hakikat diri daripada semua.

“Aku tidak pernah percaya. Kali ini akan aku buktikan yang mereka salah semua.”

Menggenggam kedua-dua tangan.

Perancangan Sang Asura jelas, dan kini mereka sedang menanti menyambut serangan.

Inilah masa, untuk dia membuktikan kepercayaan.

Comments (19)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top