Cerpen: Kerana Aku Beriman.
Yang beriman = Hebat ~ Picture by oo~Rein~oo Of Deviant Art.
Simple Cerpen.
Just want to warm up my rusty hand.
But may in this short stories,
Allah give us something to apprehend.
This cerpen in BM obviusly.
Just ‘suka-suka’ to write the intro with English.
Enjoy!
Peluru berimpang siur terbang. Bunyi das tembakan kedengaran bertubi-tubi. Sekali-sekala bunyi letupan mengambil ruang. Tanah tersembur ke udara, mereka di balik kubu menundukkan kepala. Bunyi tembakan kembali mengisi suasana.
Menggeleng. “Allahuakbar. Dasyat!” Dia menyandarkan belakang tubuhnya pada kubu sambil membetulkan perisai wajahnya.
“Haha.” Sahabat di sebelahnya tertawa. Menggeleng juga. “Agak-agak siapakah yang akan mendapat syurga hari ini, dan berbuka puasa bersama bidadari di sana?” sahabatnya itu meluah tanya.
Dia memandang. Bunyi tembakan mengisi renggang. Senyuman meleret.
“Alf Syuja’, aku rasa ayah engkau patut namakan engkau La Mahdud Fi Syuja’ah.”
Sahabatnya Syuja’ menjelirkan lidah. Alf Syuja’. Seribu keberanian. Dia tertawa dengan ulah sahabatnya itu. Berani. Bersahaja.
“A’la, mari!” Syuja’ terus siap dengan raifalnya. Keluar. A’la bangun. Arah berlawanan. Bergerak melepasi kubu pertahanan mereka. Menembak dengan yakin menggunakan Raifal Al-Jabbar rekaan watan. Beberapa musuh tumbang. Bom yang dijatuhkan jet-jet pejuang menggegarkan medan. Sekali lagi semburan tanah menjadi hujan. Mereka mengambil tempat berlindung. Kini tidak bersama.
Rakan-rakan mereka yang lain menggantikan kemaraan mereka. Seakan gelombang kedua. Mara merobohkan pertahanan musuh. Bunyi tembakan berterusan.
“A’la!” Syuja’ melaung dari jauh. A’la dapat melihat, dan menggerakkan kepalanya sedikit sebagai isyarat dia mendengar.
“Hari ini membuktikan iman!” Syuja’ mengangkat senjata.
A’la membesarkan mata.
“Syuja’, hati-hati!”
Dan Syuja’ terus bangun, berlari pantas ke arah kubu musuh. A’la hendak keluar bersama, tetapi nampaknya hujan peluru membatalkan tindakannya. Dia sekadar mampu melihat A’la hilang dalam kabus peperangan.
Hari ini membuktikan iman…
******
“Rumah Putih telah mengisukan kepada dunia, bahawa kesatuan negara-negara Islam di bawah satu kepimpinan tidak boleh diteruskan. Katanya, ini hanya akan membiakkan jaringan pengganas. Tetapi memandangkan kini dunia bergantung dengan ekonomi, teknologi, dan kuasa ketenteraan kita, maka suara mereka tidak didengari.” Itu permulaan bicara Jeneral Tengku Alimi Tengku Amiri. Seorang lelaki berambut hitam pendek, tubuh gagah, serta berpakaian pegawai tentera hitam, pakaian rasmi kepada tentera-tentera Kerajaan Khilafah Ar-Rasyid. Orang Malaysia. Antara Jeneral tertinggi Daulah Khilafah Ar-Rasyid, dan distesenkan bagi menjaga tentera utama di Arab Saudi.
“Respon daripada itu, mereka kini dalam keadaan determinasi untuk menggunakan nuklear. Saki baki kerajaan Israel yang memohon perlindungan Rumah Putih juga akan bersama dalam peperangan ini. Itu adalah apa yang intel kita dapat pintas.” Dia menyempurnakan.
Semua tentera yang berada di dalam dewan itu diam. A’la yang turut ada, menyaksikan keadaan sunyi tersebut. Hanya bunyi alat penghawa dingin sahaja kedengaran. A’la tahu, di dalam hati semua tentera, ini adalah sesuatu yang baru.
Mereka tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana negara. Dari Malaysia, Indonesia, dan Turki bergerak membina kesatuan kerajaan Islam bergelar Daulah Khilafah Ar-Rasyid, yang kemudiannya disertai Thailand, India, Filipina, Brunei, Jordan, Mesir, Syria, Arab Saudi, Yaman, Libya, dan sebagainya, mereka tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana negara.
Kini, pusat pemerintahan di Arab Saudi, digegarkan dengan berita ini. Peperangan sulung.
“Tuan,” Seorang tentera menggaru dahi, sambil sebelah tangan lagi diangkat.
“Silakan.” Tengku Alimi memberikan ruang.
“Tiadakah jalan yang lebih harmoni dari berperang?” Tentera itu bertanya. Ikhlas. Jelas suaranya, adalah wakil semua tentera di dalam dewan ini. Tiada yang suka berperang, walaupun mereka tentera. Seboleh-bolehnya, kalau perdamaian boleh diusahakan, itulah yang akan mereka pilih terlebih dahulu.
Tengku Alimi menggeleng. “Kita sudah cuba buat negosiasi. Tetapi nyata Rumah Putih tidak menerima. Mereka kini sedang sibuk berkempen, agar seluruh Eropah menyertai mereka. Peperangan tidak dapat dielakkan lagi. Kita menerima maklumat bahawa roket-roket nuklear mereka telah bersedia, dan satelit-satelit mereka turut telah menjadikan kita sebagai kiblat sasaran laser. Jika kita tidak bertindak, kita yang akan dibakar.”
Seluruh dewan senyap kembali.
“Tuan.” Bangun seorang lelaki. Seluruh dewan kini ke arahnya memerhati. A’la kenal. Itu sahabat karibnya sendiri. Alf Syuja’.
“Jika perang adalah jawapannya, maka peranglah yang akan kami lakukan. Tidaklah kami akan berkata kepada tuan sebagaimana bani israel berkata kepada Musa: Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu. Surah Al-Maidah ayat 24.”
Alf Syuja’ berhenti seketika. Memandang semua rakan tentera, sebelum kembali memandang Tengku Alimi.
“Tetapi, kami akan berkata: Pergilah tuan berperang dengan Allah SWT, dan kami akan sentiasa berada bersama tuan. Kerana kami ini beriman!”
Terus Alf Syuja’ membaca sepotong ayat dengan lantang:
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.
“Allahuakbar.” Seorang tentera yang lain melaung takbir, sebaik sahaja Alf Syuja’ berhenti membaca Al-Quran.
“Allahuakbar.” Beberapa tentera lain turut mengikuti. Berdiri bahkan.
“Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Sami’na, wa ato’na Jeneral!” Semua di dalam dewan berdiri, A’la turut bersama, melaung takbir dan sumpah ketaatan sambil mengangkat tangan. Bulu roma meremang dengan semangat.
A’la kemudian memandang kepada Alf Syuja’. Menggeleng. Sahabatnya itu, benar-benar istimewa.
“Alhamdulillah. Terima kasih Alf Syuja’. Inilah dia masanya, Rumah Hitam menumbangkan Rumah Putih. Allahuakbar.” Tengku Alimi mengangkat penumbuknya.
“Allahuakbar!” Semua yang ada melaung sekuat hati.
******
A’la berlari pantas. Suasana di persekitaran Rumah Putih memang dikawal ketat. Kereta kebal, tentera-tentera, penembak-penembak tepat, pelancar-pelancar laser, juga robot-robot, semuanya berada di situ mengawal pertahanan terakhir mereka.
Kini tentera Daulah Khilafah Ar-Rasyid sudah maju dan berkubu di persekitaran luar.
“Berapa minit lagi? Mereka ingin membazirkan masa kita sebenarnya!” Salah seorang tentera bersuara. A’la melihat jam pada lengan baju tenteranya.
“Tiga minit lagi.”
“Kita tidak boleh lengah lagi.”
“Tetapi pun, kita tidak boleh menembusi.”
“Nuklear-nuklear itu akan terlancar ke arah daulah kita dalam masa tiga minit lagi!” Tentera itu seperti emosi.
Semua mati jalan. Hero-Hero milik Daulah Khilafah Ar-Rasyid juga tidak mampu menembusi pertahanan Rumah Putih. Semua dijaga dengan EMP yang istimewa, direka khas hanya untuk menyekat apa-apa yang digerakkan dengan Elemen Baru, sumber kuasa Daulah Khilafah Ar-Rasyid.
“Mengapa kita tidak minta pusat bom sahaja negara ini dengan Elemen Baru kita?” Tentera itu menumbuk Kereta Kebal Al-Qahhar milik mereka.
“Kerana bukan itu cara kita berperang sahabat.” Satu suara mencelah.
A’la membesarkan mata. Alf Syuja’. Darah kelihatan berlumuran pada seluruh tubuh sahabatnya itu. Tetapi nyata bukan darah sahabatnya, kerana sahabatnya gagah berdiri dengan Raifal Al-Jabbar siap terangkat.
“Kita bila berperang, sebolehnya tidak akan mencederakan anak-anak, perempuan, orang tua, dan mereka yang bersembunyi di rumah ibadat. Hatta tumbuhan pun, sebolehnya tidak dicederakan. Itu yang membezakan kita, dengan kebinatangan mereka. Islam wujud hatta di medan peperangan, memandu kita.” Alf Syuja’ berbicara memandang keliling. Seperti mencari sesuatu.
“Lagipun, kalau hendak memusatkan laser Elemen Baru kita ke Rumah Putih sahaja adalah mustahil. Kerana ruangan udara mereka dikawal ketat dengan pertahanan yang utuh. Hanya boleh dimusnahkan dari dalam sahaja sekarang ini.”
Kini medan peperangan jadi sunyi. Tentera-tentera Daulah Khilafah Ar-Rasyid tidak tahu hendak melakukan apa. Sedang masa terus berjalan.
“Para Hero, kumpul sini!” Alf Syuja’ melaung sambil melambai tangannya.
Sekitar 100 Hero, yang terawang-awang di udara, terus berkumpul di tempat itu. Penuh kawasan itu dengan wira-wira bersut hitam yang amat terkenal di seantero dunia kini, sebagai antara senjata terkuat negara kesatuan Islam.
“Kita ada 90 saat lagi. Saya mahu kamu semua, berbaris, dan melancarkan tembakan laser ke semua arah, semua tentera, semua senjata mereka dari sini. Juga, keluarkan semua senjata yang ada dalam sut kamu. Lancarkan semuanya.”
“Jauh.” Salah seorang Hero bersuara.
“Ada jalan lainkah?” Mata Alf Syuja’ membesar.
Diam.
“Maka buat!”
100 orang Hero itu mula berbaris panjang. Masing-masing ada sasaran masing-masing.
“Kamu berdua” Alf Syuja’ menarik dua orang Hero.
“Ya?”
“Engkau, aku perlukan Elemen Baru pada dada engkau.” Hero itu terus membuka sutnya, dan mengeluarkan elemen baru daripada soket pada dadanya. Syuja’ memegang elemen baru itu dengan tangannya. Bersinar cahaya hitam.
“Letupan akan menjadi sangat kuat bukan?”
Hero itu mengangguk. “Perlu picit yang ini untuk letupan manual.” Hero itu menunjuk satu butang pada Elemen Baru tersebut.
“Engkau akan campak aku dengan seluruh kuasa yang ada pada sut engkau itu.” Syuja’ menepuk dada Hero yang kedua itu.
A’la terkejut mendengar perkara itu. “Kau sudah gila Syuja’?” Syuja’ hendak meletupkan dirinya?
“Bukan. Ini kerana aku beriman.” Syuja’ menepuk dadanya. Yakin. Tiada langsung getaran ragu pada pandangan matanya. Senyuman tetap menghiasi wajah.
“Tembak!” Salah seorang Hero bersuara. Bunyi serangan menggegak gempita. Bergegar medan peperangan. Suasana juga menjadi silau dengan pancaran laser. Serangan sepenuh kuasa. Pokok-pokok yang menjadi hiasanan di lapangan Rumah Putih, terbakar. Letupan demi letupan kedengaran.
“Sekarang!” Syuja’ bersuara ke arah Hero yang sudah memegang kolarnya.
Baru A’la memahami. Hero-Hero yang ada, diarahkan melancarkan serangan agar tiada yang perasan Syuja’ akan berada di kawasan musuh. Musuh akan sibuk melayan serangan para Hero yang bertubi-tubi.
“Syuja’!” A’la cuba hendak berkata sesuatu.
Dan Syuja’ telah dilemparkan sekuat tenaga. Kelihatan ada asap keluar dari corong lengan Hero yang melemparnya. Ibarat peluru yang dilancarkan, Syuja’ terus menuju ke Rumah Putih.
Tinggal 10 saat lagi.
Dan satu letupan besar berlaku. Cahaya putih memenuhi suasana. Gegaran yang sangat hebat berlaku. Kuatnya bunyi letupan, sehingga tiada bunyi kedengaran. Gegendang telinga seakan-akan terkoyak. Semua tentera Daulah Khilafah Ar-Rasyid berlindung.
1 saat. 0.
Semua mengangkat kepala. Rumah Putih telah tiada. Begitu juga para musuh. Padang jarak padang terkukur. Dan kurang sesuai dinamakan ‘padang’ kerana, yang ada di hadapan mereka kini satu lohong hitam yang dalam, tanda letupan itu turut memakan bahagian bawahnya sekali. Mujur di sekeliling tempat ini tiada perumahan, dan tiada orang awam. Mujur juga, tentera-tentera Daulah Khilafah Ar-Rasyid tidak berada dalam radius letupan. Jauh dari Rumah Putih.
“Siapa sangka Elemen Baru sekuat itu?” A’la cuba memandang ke dalam lohong hitam di hadapan mereka.
“Syuja’, bagaimana dengan Syuja’?” Beberapa rakan bertanya.
A’la diam sahaja. Memandang saujana matanya mencapai. Kosong. Kalau Rumah Putih dan seluruh tanah di sekelilingnya juga lesap, apatah lagi tubuh Alf Syuja’ yang jauh lebih kecil.
“Dia dalam keadaan yang baik. Sedang berbuka dengan bidadari.” A’la bersuara.
“Ah?”
“Dan Di sisi Tuhannya dia diberikan rezeki.” A’la berpaling.
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;” Surah Ali-Imran ayat 169.
Air mata menitis pada pipi.
Mengiringi rawan jiwanya kehilangan sahabat, adalah gegak gempita takbir kemenangan. Tetapi dia sendiri keliru hendak bergembira bagaimana.
“Sahabat, bila syurga di hadapan, aku pun engkau lupakan.” A’la tersengih kelat. Membiarkan air matanya jatuh berjejesan.
“Kerana aku beriman.”
“Aku cemburu dengan keimanan engkau. Langsung tidak bergoncang.” A’la memandang langit.
Cerah. Seakan tidak berlaku apa-apa pada hari ini.
******
“Alf Syuja’?” Dia bertanya.
“Ya. Itu namaku. Engkau?”
“Rafeeqil A’la.”
“Subhanallah.”
“Kenapa?”
“Aku adalah seribu keberanian, dan engkau adalah teman yang tertinggi. Moga aku mampu memberikan engkau semangat keberanian, dan engkau menemaniku ke syurga Allah nanti.”
Senyuman manis.
Bicaranya, langsung tiada yang sia-sia.
“Sungguh ajaib urusan orang yang beriman itu, sesungguhnya semua urusan mereka adalah dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja.” Hadith Riwayat Muslim.
Hari di mana Rumah Hitam menumbangkan Rumah Putih, adalah hari membuktikan betapa bicara itu benar. Iman adalah yang melahirkan keberanian. Kekuatan. Kesungguhan.
Alf Syuja’, engkau adalah satria dan qudwah hassanah. Bukti kemuliaan orang yang beriman.
——————————————-
*Hero – Adalah sut pintar macam Iron Man dalam Novel Hero karangan saya.
*Elemen Baru – Adalah satu sumber tenaga baru yang ditemui di dalam Novel Hero karangan saya.



nadiah abdah
salam..best sgt cerpen ni..nnt masukkan dlm koleksi cerpen ye
Hilal Asyraf
Cerpen ini akan masuk dalam Kumpulan Cerpen Soldadu Ilahi. ^^
Lunia AL
“Aku adalah seribu keberanian, dan engkau adalah teman yang tertinggi. Moga aku mampu memberikan engkau semangat keberanian, dan engkau menemaniku ke syurga Allah nanti.”
Suka ayat tu, alangkah bertuahnya mendapat sahabt macam mereka, subhanAllah, manisnya ukhuwah kerana Allah. Cerpen yang bagus, thumbs up untuk Hilal Asyraf!
Semoga Allah membalas usahamu Hilal~
Ismi Ammar
takbir…!!!
Hafizah Zainuddin
saahabat, bila syurga di hadapan, aku pun engkau lupakan.” A’la tersengih kelat. Membiarkan air matanya jatuh berjejesan.
“Kerana aku beriman.”
“Aku cemburu dengan keimanan engkau. Langsung tidak bergoncang..:) alhamdulillah bestnye ayat ni..
bila nak keluar Kumpulan Cerpen Soldadu Ilahi….??
Hilal Asyraf
InsyaAllah akan keluar sekitar bulan 3 tahun depan.
Tapi akan keluar dalam bentuk eBook terlebih dahulu. ^^
Arif Rashid
Subhanallah….artikel yang sangat bagus…
cuma saya rasa ada kesalahan ejaan….
di baris pertama…. “Peluru berimpang siur terbang. “……saya rasa bersimpang siur
Hilal Asyraf
Alhamdulillah.
Terima kasih atas tegurannya.
InsyaAllah akan saya perbetulkan. ^^
Arif Rashid
sama2….
najihah
x brape nk fhm sgt ah citer dy kat prmulaan cz trikt ngn bhse arab,,,,bercmpur baur
saza_s
tengok tajuk dh boleh attract pembaca
tapi yang paling penting adalah isi yang membina iman
mallinaqistina
penuh suspen….
yng pasti….
Allah sentiasa bersama dengan hamba2 yang selalu mengingatNya…
kemenangan hanya tuk orng Islam..:)
ezzahmahmud
SubhanAllah.. cerpen yang ringkas sahaja jalan ceritanya namun isi dan bait-bait kata yang digunakan mampu membuat pembaca meng”visual”kan apa yang terjadi dengan sangat nyata dan jelas. Menyentuh kalbu. (^_^) Moga Allah limpahkan rahmatNya..Amiin..
mya
(: seribu keberanian, subhanAllah.. indahnya.
najihah
“Sungguh ajaib urusan orang yang beriman itu, sesungguhnya semua urusan mereka adalah dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja.” Hadith Riwayat Muslim.
illi
bergenang. semoga Allah memberkati tulisan akhi
faza
salam..citer yg best..cuma saya nak tanya apa maksud soldadu??
Muhsin
tentera~
NurulAtikah
manariknyee ^^
tengku aizat
like..like…
hanie ifa
salam…himega tu prtubuhan apa ye
Faizal Ismail
Nice ^^
Amirul Ashraf
Menitiskan air mata membaca, terutama ketika ungkapan “Kerana aku beriman” oleh Alf Syuja’ sebelum menyerbu Rumah Putih.
polo shoes for men
This can depart an intense hang on your company name brand. Essentially burning up your brand name on their memory is actually any marketing goal.
Nadhirah
“Kerana aku beriman” Subhanallah…sebak…