Khamis, 17 Mei 2012   |   25 Jamadilakhir 1433 Hijrah   |   39 Pembaca Online   |   Welcome, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Motivasi » Irkam Ma'ana » Irkam Ma’ana – Kami Adalah Yang Sentiasa Positif.

Irkam Ma’ana – Kami Adalah Yang Sentiasa Positif.

Kami sentiasa positif, kerana kami sentiasa percaya. ~ Picture by oo-rein-oo of Deviant Art.

 

Kami terus konsisten dengan ajakan “Irkam ma’ana,” – naiklah bersama kami – agar anda bersama-sama kami menaiki bahtera keimanan ini, menuju kepada Allah SWT dan bergerak ke arah redhaNya, dan syurgaNya. Sekaligus, mengubah kehidupan kita ke arah yang lebih baik, bermotivasi, dan mampu pula memberikan kebaikan kepada orang lain.

Antara ciri-ciri penumpang bahtera adalah bahawa Kami Adalah Yang Sentiasa Positif.

Bagaimana kami para penumpang bahtera ini mampu menjadi sedemikian rupa?

Kerana sebagaimana dalam bab yang lepas, kami sangkutkan kepercayaan kami kepada Allah SWT. Sebab itu kami sentiasa positif.

Kerana Kami Percaya Bahawa Semua Adalah Susunan Dia.

Adakah logik untuk Tuhan melakukan sesuatu yang sia-sia?

Mustahil bukan? Maka apakah apabila Dia menurunkan ujian, Dia menurunkan ujian dengan sia-sia? Semestinya juga mustahil.

Sebab itu kami penumpang bahtera sentiasa positif. Apatah lagi Allah SWT menyatakan:

“Dan boleh jadi apa yang kamu benci itu baik bagi kamu, dan boleh jadi juga apa yang kamu sukai itu buruk buat kamu. Dan Allah itu Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui apa-apa.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

Ya. Allah Maha Mengetahui. Kami tak tahu apa-apa. Sebab itu apabila Dia memberikan kami kesukaran, kami tahu itu sebenarnya baik buat kami. Maka kami sentiasa positif. Sebab kalau tidak baik, mustahil Allah susunkan ujian itu kepada kami.

 

Sangka Baik KepadaNya.

Semangat ini, kepercayaan ini, adalah apa yang membuatkan kami terus ‘hidup’, merempuh segala ujian dan berusaha melangkau segala cabaran.

Dan Allah SWT pula tidak sekadar meninggalkan kami. Dia ‘membalas’ kepercayaan kami.

Lihatlah firmanNya di dalam hadith qudsi:

Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia(para malaikat dan nabi-nabi). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari(cepat).” Hadith Qudsi Riwayat Bukhari dan Muslim. Hadith nombor 59 dalam Kitab Al-Wafi karangan Imam An-Nawawi.

Allah SWT, sentiasa memuliakan kita makhlukNya. Dia menciptakan kita dengan sebaik-baik penciptaan. Tidak cukup dengan itu, Dia tidak membiarkan kita sendiri tanpa petunjuk. Dia berikan kita Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan. Dia berikan kita akal untuk berfikir, dan Dia memberikan kita ikhtiar untuk membuat pilihan. Dan sekarang, Dia memberikan kita kemuliaan dalam bersangka baik kepadaNya.

Ya. Maka mustahil kami tidak bersangka baik kepada Allah SWT.

Bila ujian datang, kami sentiasa positif.

Kami sentiasa percaya.

Allah bersama kami.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, Surah Qaaf ayat 16.

 

Dan Yang Melepasi Ujian Adalah Yang Mulia.

Allah SWT pula tidaklah membiarkan begitu sahaja bila Dia memberikan ujian. Dia tidak pula sekadar menguji tanpa apa-apa ganjaran dan tujuan.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 155-156.

“Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” Surah Ali-Imran ayat 186.

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Surah Al-Anbiya’ ayat 35.

“…Dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain. Apakah kamu mahu bersabar? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya). Surah Furqaan ayat 20.

Nyata Allah hakikatnya apabila Dia memberikan ujian, cubaan, dugaan, cabaran, Dia hakikatnya sedang memberikan ‘tawaran’ untuk mengangkat darjat insan yang diuji itu. Tinggal, pilihan di tangan insan tersebut. Mahu bersabar? Mahu terus percaya kepada Allah? Mahu meneruskan sangka baik terhadapNya? Atau mahu berang, mahu merungut, mahu membenciNya?

Kami melihat bahawa, semua orang boleh bersangka baik kepada Allah, memuji Allah dalam keadaan senang lenang tanpa dugaan. Sebab itu ujian wujud untuk melihat apakah benar sikap kita itu adalah sikap yang hakiki? Atau sebenarnya kita bersikap sedemikian hanya kerana kita senang?

Kami melihat bahawa, semua orang mudah merendah diri, mendekati Allah SWT tatkala susah. Sebab itu wujud juga ujian dalam bentuk kesenangan, untuk melihat bagaimana sikap kita ketika itu. Apakah selepas senang masih lagi sujud kepada Allah atau melupakannya dengan menjadi bongkak?

Maka akhirnya kami melihat, tidaklah Allah SWT itu, menurunkan ujian melainkan untuk mengangkat martabat kami, hambaNya ini.

Kerana itu, kami positif. Terus-terusan berusaha. Terus-terusan percaya. Kami tidak akan sesekali berputus asa.

 

Penutup: Bukanlah kami tidak merasa apa-apa. Tetapi…

Kami bukan malaikat. Kami manusia. Bila diuji, kami bukannya mampu mendongak kepala setiap masa. Ada waktu, kami akan tergoncang, menangis, terduduk, terdiam, hilang senyuman dan sebagainya. Ada masanya kami akan terlepas juga rungutan, keluhan. Ada waktunya, hati kami akan rasa tidak redha, tidak rela diuji.

Namun apabila menaiki bahtera keimanan ini, yang ada pada kami adalah: “Kami kenal Allah.”

Sebab itu yang pertama sekali buat kami penumpang bahtera adalah “Beriman Kepada Allah.”

Apabila kami beriman ini, kami tidak akan jatuh lama. Kami akan naik semula. Dengan sangka baik tadi. Dengan percaya tadi. Kami dididik, untuk mempercayaiNya. Maka mendung kami tidak akan lama bertandang di dalam jiwa. Mentari keimanan akan menyinari jiwa-jiwa, lantas memberikan kekuatan untuk meneruskan langkahan. Kami percaya, bahawa Allah bersama.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Dan kami amat tahu bahawa, ujianNya adalah untuk memantapkan keimanan kami. Maka siapa yang tewas, memilih untuk berputus asa di dalamnya adalah orang yang rugi.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan ditinggalkan berkata: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Maka kami akan meniup mendung kami dengan angin kepercayaan kami kepada Allah SWT.

Tidak akan bersedih lama. Bangkit, menerjah segala ujian yang ada.

Tidakkah anda mahu sepositif ini?

Maka marilah naik ke bahtera keimanan ini bersama kami!

Irkam Ma’ana!

About The Author

Hilal Asyraf

Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Kini merupakan pelajar University of Yarmouk, dalam bidang Usuluddin. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi.

Number of Entries : 298

Comments (15)

Leave a Comment

Copyright © 2012 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top