Hero Remaja – Bab 6
Cahaya muncul di tengah gelap.
Ini adalah episod terakhir Hero Remaja ada di LangitIlahi.Com.
Sekitar separuh daripadanya kita siarkan di sini.
Ada separuh lagi, hanya anda akan mendapatkanya jika membeli versi cetaknya nanti.
Hero Remaja telah siap saya tulis.
Maka nantikan tarikh penerbitannya diumumkan ya.
Apa-apa hal pun, enjoy this chapter!
“Apa ni?” Nidhol merungut.
Remy, Man dan Que ketawa terkekeh-kekeh meninggalkan pelajar tingkatan dua bertubuh kecil itu. Beg sandangnya kini jatuh ke tanah, bersama buku bertaburan. Nidhol menggeleng, tunduk dan ingin mengutip buku-bukunya semula. Dia telah lewat untuk ke kelas. Menaiki bas terakhir kerana lambat siap.
“Biar aku bantu kau, Nidhol.” Akmal menundukkan tubuh, membantu tanpa melihat wajah Nidhol. Beg Nidhol ditarik, dan beberapa buku dicapai kemudian dimasukkan ke dalam beg tersebut. Tetapi Akmal perasan yang tangan Nidhol tidak bergerak. Perlahan-lahan dia mengangkat kepala melihat pelajar itu.
Wajah Nidhol beriak terkejut.
“Kenapa? Aku tak boleh tolong engkau?”
Nidhol seperti tersedar. “Eh, boleh-boleh. Terima kasih.” Baru tangan Nidhol bergerak.
Akmal mengukir senyuman.
Dia berazam untuk berubah.
******
“Baik, siapa yang boleh menjawab soalan ini?” Teacher Zainah, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Islam As-Siddiq memandang seisi kelas.
Akmal telah siap mengangkat tangan sebelum Teacher Zainah berpaling lagi.
“Akmal? Hari ini tidak tidur?”
Seisi kelas kini menumpu kepadanya. Akmal tersenyum.
“Saya dapat semangat baru Teacher. Saya ingin bersungguh-sungguh menjadi hamba Allah yang baik sekarang.”
Dan Akmal dapat melihat bibir Teacher Zainah melebar dengan senyuman yang amat indah dan manis. Ketika itu juga jiwa Akmal terasa tenang dan senang. Rasa bahagia dan lapang.
“Inilah yang Ibu dan Ayah maksudkan agaknya.” Akmal berbicara di dalam hati.
Akmal menjawab soalan di papan putih itu dengan jayanya. Soalan sebegitu, kini amat mudah untuknya. Tetapi apa yang lebih dia gembirakan kini daripada kepandaiannya adalah, kegembiraan gurunya.
Akmal juga dapat merasakan, rakan-rakan sekelasnya memberikan satu pandangan yang lain daripada sebelum-sebelum ini. Pandangan gembira.
Buat Akmal rasa bahagia.
*******
Akmal dapat melihat tumbukan itu. Tetapi dia sengaja tidak mengelaknya. Tepat mengenai pipinya, membuatkan kepalanya tertoleh ke arah berlawanan, dan dia terundur beberapa tapak.
“Apa yang sepatutnya dilakukan?” Suara Ustaz Abdurrahim pantas mencelah.
Terus Akmal, mengikut tolehan kepalanya, memutarkan bahagian bawah tubuh, membuatkan kakinya terangkat untuk menyerang balas lawan. Tetapi rakan tempurnya menahan. Akmal tersenyum, dia memang telah mengurangkan daya libasan kakinya. Terus rakannya itu menunduk dan membuat sapuan di atas tanah dengan kaki. Target utama adalah sebelah kaki Akmal yang masih memijak bumi.
Akmal boleh sahaja mengelak jika dia ingin mengelak. Dia dapat melihat dengan jelas segala tindakan rakannya. Tetapi dia membiarkan. Akibatnya, dia jatuh menyembah bumi. Jatuh terhempap.
“Allahuakbar!” Rakan-rakan seni tempur yang lain menjerit terkejut.
“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa.” Segera Akmal bangun mengangkat tangan.
Dia dapat melihat beberapa orang menarik nafas lega. Sempat juga dia melihat wajah terkejut Aliff. Mungkin hairan mengapa Akmal tewas hari ini.
“Terbaik Ja’far. Terbaik.” Akmal menghulurkan tangan. Senyuman mengiringi.
Ja’far di hadapannya mengangkat kedua-dua belah kening. Terkejut. Mungkin tidak percaya yang Akmal akan menghulurkan tangan untuk bersalaman selepas dia dijatuhkan, bahkan siap memujinya pula.
“Kau tak apa-apa? Maafkan aku.” Teragak-agak Ja’far hendak membalas salam.
“Ah, mana ada apa-apa. Kita kan sahabat.” Akmal terus mendapatkan tangan Ja’far, bersalaman erat.
Terukir senyuman pada bibir Ja’far.
Akmal melirik sebentar kepada Ustaz Abdurrahim. Dia melihat guru seni tempurnya itu turut mengukir senyuman manis.
Akmal melebarkan senyumannya. Inilah yang dia cari. Bahagia.
******
Cikgu Ridhwan duduk di hadapan seluruh pelajar. Musolla Al-Firdaus yang mampu menampung seribu lima ratus orang jemaah ini, kini sedang menampung 900 anak-anak Kompleks Tuju Penyayang Kota Bharu. Setiap hari Khamis malam Jumaat, selepas Isya’, Cikgu Ridhwan akan memberikan penyampaian di sini. Perkumpulan ini digelar Ijtima’ Am, kalimah bahasa arab yang membawa maksud “Perhimpunan Am”.
Ada anak-anak yang tekun mendengar, ada juga anak-anak yang tidak menumpukan perhatian, bahkan ada juga yang tidur. Biasanya yang tekun adalah para senior tingkatan lima, dan beberapa pelajar yang matang dari usianya dari kalangan pelajar tingkatan empat, tiga dan dua.
Akmal hari ini, memilih untuk menjadi yang tekun mendengar. Selama ini, dia sekadar mendengar tanpa menumpukan perhatian. Hari ini, dia datang bersama buku nota.
“Tujuan hidup seorang manusia itu hakikatnya adalah pengabdian kepada Allah. Allah SWT berfirman: Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah. Surah Adz-Dzariyat ayat 56. Justeru, segenap kehidupan kita perlu kita layan sebagai ibadah.”
Akmal mencatit. Hidup adalah ibadah. Surah Adz-Dzariyat ayat 56. Walaupun dia mampu mengingat semua itu kerana mempunyai Elemen Baru yang mencerdaskan akalnya. Dia mencatit, kerana ingin merujuknya semula, ingin mendalaminya nanti. Dia perasan mereka yang tekun mendengar turut mencatit. Memang kebiasaan pelajar yang benar-benar ingin meneguk mutiara di sini, akan mendokumenkan mutiara kata-mutiara kata yang ada di dalam semua penyampaian.
“Maka bagaimanakah kita hendak melayan kehidupan kita sebagai ibadah? Pertamanya mestilah membersihkan kehidupan kita. Bersihkan dari segala larangan Allah SWT. Kita keluarkan apa-apa sahaja yang Allah tidak suka, daripada kehidupan kita. Maka segala apa yang Allah tidak suka, yang Allah larang, yang Allah kata haram, itu semua kita tinggalkan.” Cikgu Ridhwan menyambung.
Jari jemari Akmal terus berlari.
“Kemudian kita isi dalam kehidupan kita perkara-perkara yang Allah suka, yang Allah suruh, yang Allah tidak larang. Berbuat baik kepada Ibu Bapa, belajar bersungguh-sungguh, berakhlak baik dengan semua orang, melaksanakan ibadah-ibadah fardhu dan sunat, menutup aurat, dan macam-macam lagi.”
“Cikgu!” Akmal terpaksa menoleh ke belakang untuk melihat pemilik suara itu.Seorang pelajar tingkatan satu mengangkat tangan.
“Ya Azri?”
“Main bola Allah suka tak?” Dia melaung memandangkan tempatnya agak di belakang.
Seluruh musolla tertawa. Pelajar-pelajar yang tidak menumpukan perhatian turut menoleh ke arah Azri. Akmal kembali menalakan wajahnya ke hadapan.
“Main bola ibadah juga. Kalau tutup aurat. Kalau jaga waktu solat. Kalau tidak guna perkataan tidak senonoh. Kalau main dengan beradab dan berakhlak. Kalau niatnya nak sihatkan badan untuk jadi hamba Allah yang kuat. Dan semua sukan pun sama. Ibadah, kalau di dalamnya tidak lakukan perkara yang Allah tidak suka.”
“Kalau macam itu, saya akan jadi pemain bola yang macam itu Cikgu!”
“Bagus Azri. Cikgu sokong cita-cita kamu. Nanti boleh masuk Pasukan Bola Harimau Islam yang terkenal itu.”
“Woooo.” Beberapa pelajar teruja apabila mendengar nama itu. Akmal tersenyum. Pasukan Bola Harimau Islam adalah pasukan bola berseluar panjang pertama di dunia. Bukan sahaja terkenal dengan pasukan yang menutup aurat, tetapi juga dengan kehebatan mereka. Mereka kini di tangga ke-10 dalam pasukan terhebat dunia. Apa lagi yang membuatkan mereka istimewa adalah, mereka pasukan daripada Malaysia.
“Ehem, ehem.” Cikgu Ridhwan berdehem, isyarat agar pelajar-pelajar senyap. Selepas suasana di Musolla kembali reda, dia menyambung kalamnya semula. “Apabila hidup itu dilayan menjadi ibadah, maka kita akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT. Hidup akan menjadi bahagia, tenang dan lapang. Allah SWT berfirman: Sekiranya penduduk sesebuah kampung itu beriman dan bertaqwa, maka Kami akan membukakan untuk mereka keberkatan daripada langit. Keberkatan daripada Allah inilah, yang membuatkan kehidupan sesebuah masyarakat itu harmoni, tenang dan damai. Apatah lagi dalam diri seorang hamba Ilahi.”
Akmal terangguk-angguk. Mula memahami. Patutlah dengan berbuat kebaikan, mengamalkan apa yang Allah suruh, meninggalkan apa yang Allah larang, itu semua menambahkan ketenangan jiwanya.
“Dan manusia-manusia yang percaya akan hal inilah, yang dikatakan ajaib.”
“Ajaib? Boleh keluar laser macam Hero tak Cikgu?”
Sekali lagi musolla bergegar dengan tawa pelajar. Kali ini Akmal tidak perlu menoleh ke belakang kerana penyoal itu ada di hadapan. Razif, pelajar darjah enam.
“Bukan ajaib itu Razif. Ajaib yang dimaksudkan ini adalah daripada sabda Rasulullah SAW: Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya. Hadith riwayat Muslim. Baik kerana mereka tenang dan bahagia sentiasa. Harta dan kuasa tidak dapat menipu mereka. Musibah dan cabaran tidak akan mampu meruntuhkan mereka.”
“Itu lebih hebat daripada kuasa laser Hero, Razif. Kuasa laser Hero belum tentu boleh bawa kita masuk syurga. Tetapi ajaib yang ini, insyaAllah akan bawa kita ke syurga.” Cikgu Ridhwan mengangkat kening dua kali. Sebahagian pelajar tertawa dengan aksi Cikgu Ridhwan.
Akmal mengukir senyuman indah.
Dia tidak sangka selama ini dia duduk di sebuah tempat yang penuh dengan perkara-perkara yang menarik ini. Guru-guru yang baik, suasana yang ceria, penyampaian-penyampaian yang membina, mengapa baru hari ini dia perasan?
Ah, dia baru membuka hatinya.
Alangkah indahnya jika dia membuka hatinya semenjak awal datang ke mari.
*****
Pelajar-pelajar tingkatan lima sedang tekun di dalam kelas mereka. Waktu prep sedang berjalan.
Akmal telah meminta izin pengawas asrama yang bertugas untuk keluar dari kelas, mahu datang ke mari. Selangkah demi selangkah dia bergerak. Teragak-agak.
Di tangannya terdapat plastik yang berisi sebuah cenderamata yang dikirimnya Ustaz Abdurrahim untuk dibelikan. Cenderamata itu untuk seseorang.
“Er, Assala..” Dan belum sempat salamnya sempurna, suaranya dipotong dengan jeritan gembira.
“Akmal!” Abang Amirul, salah seorang yang berada di dalam kelas terus bangun. Menyambutnya mesra di hadapan pintu dengan pelukan hangat. Dia kemudiannya dijarakkan dengan kedua-dua belah tangan, matanya bertemu dengan mata Abang Amirul. Senyuman seniornya itu lebar.
“Akmal sihat?”
“Alhamdulillah. Sihat. Abang Amirul?”
“Sihat, dan masih hensem macam biasa.” Abang Amirul mengenyit mata.
Akmal tertawa. Abang Amirul tertawa sama. Abang Amirul memang kuat berjenaka. Orangnya mesra. Baik. Penyayang. Seperti…
“Abang Fauzan ada?”
“Ahah!” Abang Amirul memetik jari. “Dah agak dah.” Dia terus memalingkan wajah dan melihat ke dalam kelas. “Fauzan, adik angkat kau ni datang!”
Terus pantas Akmal mencuit pinggang Abang Amirul. Sejak bila dia jadi adik angkat Abang Fauzan pula ni? Abang Amirul ketawa terkekeh-kekeh.
“Ah, Akmal.” Abang Fauzan mendekati, selepas menumbuk lembut bahu Abang Amirul yang berlalu pergi.
Akmal memandang Abang Fauzan. Lebam pada wajah Abang Fauzan akibat pergelutan tempoh hari sudah surut. Semenjak hari itu, dia langsung tidak bersemuka dengan Abang Fauzan. Segan. Di dalam dorm pun mereka tidak berbicara. Abang Fauzan tidak menegurnya, dia pun tidak menyapa Abang Fauzan. Masing-masing membeku. Dan Akmal rasa terseksa dengan keadaan itu.
“Abang Fauzan apa khabar? Sihat dah?”
Terukir senyuman pada bibir Abang Fauzan. “Alhamdulillah. Sihat. Akmal?”
“Alhamdulillah. Sihat juga. Em, Akmal sebenarnya datang nak bagi ini.” Akmal menghulurkan beg plastik itu kepada Abang Fauzan. Mata Abang Fauzan membesar melihat apa yang dihulurkan Akmal.
“Cenderamata?”
“Tanda minta maaf. Harap Abang Fauzan maafkan Akmal. Sekarang Akmal berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Akmal sedar saya silap.”
Abang Fauzan perlahan-lahan menerima cenderamata itu.
“Pergh, dapat hadiah dia tu!” Rakan-rakan di dalam kelas menyakat.
“Hish, diamlah.” Abang Fauzan bersuara. Rakan-rakan lain terus tersenyum dan kemudiannya menyambung kerja. Abang Fauzan menoleh ke arahnya semula.
“Abang tak pernah marah pun. Abang fikir, abang yang salah. Mungkin cara teguran abang yang silap. Sebab itu, abang tidak bercakap apa-apa beberapa hari sebelum ini. Abang fikir, hendak berikan Akmal masa. Mungkin nasihat-nasihat Abang hanya akan menganggu Akmal.” Abang Fauzan memandang ke lantai sebentar.
Akmal menggeleng. “Akmal minta maaf Abang Fauzan.” Terus memeluk Abang Fauzan, tanpa segan.
“Kita sahabat. Apa yang hendak dimaafkan. Tiada yang lebih membahagiakan Abang, daripada melihat sahabat-sahabat Abang bergerak ke arah yang lebih baik.” Pelukan Akmal itu dibalas erat. Akmal dapat merasakan.
Beberapa ketika, pelukan dileraikan.
“Jadi, kita okay?” Akmal bertanya. Matanya menatap wajah Abang Fauzan.
Senyuman indah terukir pada bibir seniornya itu.
“Tidak pernah tidak okay, Akmal. Uhibbukafillah.” Aku cintakan kamu kerana Allah, maknanya di dalam bahasa melayu.
Akmal akhirya tersenyum sama. Bahagia berbunga di dalam jiwanya.
“Uhibbukafillah aidhan.” Aku cintakan kamu kerana Allah juga.
Pap, pap, pap. Bunyi tepukan gemuruh kedengaran tiba-tiba. Akmal menoleh ke dalam kelas. Para senior yang berada di dalam kelas itu semuanya bertepuk tangan.
“Aku dah kata dah Fauzan, Akmal mesti akan dapat kesedaran punya. Ini Kompleks Tuju Penyayang la.” Abang Amirul melaung dari tempat duduknya.
“Diamlah,” Abang Fauzan berpaling ke arah rakan-rakannya.
“Fauzan risau lebih, mengadu setiap malam!” Emrullah, seorang lagi senior menyakat.
“Hoi, diamlah. Hish, buat malu sahaja.” Abang Fauzan menggaru belakang kepala yang Akmal yakin tidak gatal.
Akmal tertawa.
Bahagia.
******
Angin malam membelai tubuh. Damai. Santai.
“Kenapa selalu ziarah Akmal?”
Abang Iskandar di sisinya tersenyum. Helmet Hero telah siap kemas tersimpan di belakang kepala.
“Pertama, kerana memang antara arahannya adalah meninjau keadaan kamu. Risau sekiranya pasukan pengganas tempoh hari dapat mencari kamu. Tetapi nampaknya setakat ini, tidak.”
“Ada yang keduanya kah?” Akmal mengagak.
“Keduanya, sebab aku senang dengan kamu.” Terus Akmal dipaut lengan Abang Iskandar yang sedang tertawa senang. Kepala Akmal terus merapat pada tubuh Hero itu. Akmal tertawa kecil.
“Akmal, aku ada membawa pesan daripada pasukan doktor yang membedah kamu. Mereka bertanyakan perkembangan.”
“Mengapa mereka tidak pernah melawat saya selama ini ya? Bukan sepatutnya mereka menjalankan pemeriksaan sendiri untuk melihat perkembangan saya?”
“Terlalu bahaya. Semua orang yang terlibat dengan Elemen Baru kini diburu. Sebab itu, bagi tidak mendedahkan tempat kamu, mereka tidak pernah pergi bertemu dengan kamu. Risau kamu akan diperapa-apakan.”
“Oooo.” Akmal baru mengerti. Persoalan semenjak dia mengetahui dia mempunyai Elemen Baru di dalam dadanya kini terjawab.
“Alhamdulillah. Setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Tiada efek buruk.”
“Oh? Menakjubkan. Sebenarnya apabila teringat-ingat yang kamu mampu menumbuk helmet titanium dengan tangan kosong tempoh hari, aku jadi kagum dengan efek yang mampu diberikan oleh Elemen Baru. Macam agak pelik apabila Elemen Baru tidak langsung memberikan kesan kepada tubuh. Nampaknya, ini benar-benar satu kejayaan.”
Mata Akmal terbeliak. “Ha? Titatium?” Dia sangka besi.
“Aloi terkeras di dalam dunia, tetapi boleh lekuk di hujung penumbuk kamu. Menarik.”
Akmal memandang tangannya. Tempoh hari, dia sedikit pun tidak merasa sakit. Benarkah dia menumbuk titanium sehingga lekuk tempoh hari?
“Jadi, kamu sekarang pelajar tepandai di dalam kelas la?”
“Hem, lebih kurang.”
“Seronoklah tu.” Abang Iskandar menyiku bahu Akmal. Akmal tertawa.
“Tetapi kamu tahu Akmal, Elemen Baru itu pun tidak mampu memberikan kamu jiwa yang bahagia. Kepandaian daripada Elemen Baru itu pun tidak akan mampu memberikan kamu kesedaran Islam. Bukankah demikian?”
Akmal tersenyum kelat. Mengangguk perlahan. Benar.
“Bahagia itu, kadangkala orang miskin yang kais pagi makan pagi dapat, tetapi orang kaya berumah banglo berkereta mewah tidak mempunyainya. Bukan dicari dengan material sebenarnya bahagia itu. Tetapi dengan makna. Islam hakikatnya adalah jalan untuk kita mencapai makna kebahagiaan tersebut. Dan tiadalah bahagia yang lebih tinggi selain menjadikan kehidupan ini sebagai pengabdian kepada Allah SWT.”
“Benar. Akmal dah rasa.”
Abang Iskandar tersenyum.
“Dan kesedaran Islam itu perlu dicari, difahami, dipraktiskan. Barulah timbul dalam bentuk yang mampu memberikan manfaat kepada kita. Sebab kefahaman Islam bukanlah untuk menjawab peperiksaan dunia, tetapi peperiksaan di akhirat sana. Untuk itu, tubuh kita perlu mampu menggerakkan kefahaman Islam itu di dalam kehidupan. Bukan semata-mata tinggal di dalam otak.”
Akmal mengangguk. Faham. Ya, menghafal rukun iman dan rukun islam, orang kafir pun boleh buat. Tetapi melaksanakannya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh? Yang mendapat gelaran ‘doktor’ dalam bidang keagamaan pun belum tentu. Dia tahu semua itu daripada tazkirah-tazkirah di Kompleks Tuju Penyayang. Walaupun baru mula menumpukan perhatian beberapa hari lepas, pelbagai perkara dia perolehi. Dan dia teruja untuk mendapatkannya lebih banyak lagi.
“Abang Iskandar, tanya satu soalan boleh?”
“Banyak soalan pun tak mengapa, Akmal.” Abang Iskandar memandangnya bersama senyuman.
“Abang Iskandar bekerja sebagai Hero. Tetapi mengapa macam orang agama?”
Terus meletus tawa Abang Iskandar. Lelaki itu mendongak langit gelap tanpa bintang.
“Sebab Abang melalui Tarbiyah Islamiyyah Syaamilah Kaamilah.”
“Eh? Apa itu?” Akmal tahu bahasa arab, tahu maknanya. Pendidikan Islam yang Menyeluruh dan Sempurna. Tetapi dia tidak faham apa itu Pendidikan Islam Yang Menyeluruh dan Sempurna.
“Kamu sedang melaluinya di Kompleks Tuju Penyayang ini Akmal.”
“Iya?”
“Tarbiyah Islamiyyah Syaamilah Kaamilah hakikatnya adalah proses yang mendidik seseorang itu untuk pergi ke tahap yang Allah redha. Menjadi apa yang Allah redha. Menjadi yang mampu menjalankan apa yang Allah suruh, dan meninggalkan apa yang Allah larang. Syaamilah bermaksud menyeluruh, membawa kefahaman bahawa proses itu mencakupi seluruh kehidupan manusia. Bukan di dalam masjid sahaja. Bukan pada ibadah seperti solat, baca Al-Quran dan puasa semata-mata. Kaamilah bermaksud sempurna, membawa kefahaman bahawa didikan itu membawa kita mengambil Islam secara seluruhnya, bukan separuh-separuh.”
“Ah, Ustaz Abdurrahim ada bagi tazkirah fasal itu. Dia ada baca firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh. Surah Al-Baqarah ayat 208.” Akmal mencelah.
Abang Iskandar mengangguk membenarkan.
“Kami, para Hero, semuanya melalui proses tarbiyah ini. Cuma, aku antara yang bernasib baik, mempunyai Ayah dan Ibu yang melaksanakan proses ini semenjak kecil. Macam kamu.”
Akmal terus teringat Ibu dan Ayahnya. Teringat apa yang Ibu dan Ayahnya bicarakan di dalam hologram, yang ditontonnya beberapa hari yang lalu.
“Tinggal saya tidak sempat membesar untuk memahaminya.” Akmal menghela nafas lemah.
“Tetapi kamu telah memahaminya sekarang.”
Akmal hanya mampu tersenyum.
Abang Iskandar mendekatkan Akmal pada tubuhnya sekali lagi. Memeluknya erat.
Mereka berdua terus dibelai angin malam yang seakan-akan memesrai mereka.
Hidup ini nyata bahagia dengan Islam.


siraj
best.tak sabar tunggu novel penuh
ajwadaie
WAJIB BELI. hehe
ainun mardhiah
saye harap hilal asyraf akan sentiasa menerbitkan novel yang berlandaskan agama islam.
AfifHamdani
karya abg Hilal mmg best!!! woohoo….^O^
'Hurrayyah
Assalamualaikum. Cerita ni makin menarik! Tak sabar nak tunggu full version! Semoga Allah permudahkan. Semoga Allah redha…
kakyong0605
Assalamualaikum. Semakin menarik dan menambah keterujaan! Teruskan menulis Hilal! Moga Allah terus mengilhamkan demi mengislahkan ummah!
syah
sangat menarik. tak sabar nak beli
Hafizah Zainuddin
assalamualaikum..
bila nak keluar nie.. saya nak beli..
x sabar..
Kamal Hafiz
BEST
zierwa zainal
rindu HERO pula
aiNuL mardHiah
tak sabar nak dapatkan full story hero remaja ni, bila diterbitkan?
Wan Nordini Aqilah
Assalamualaikum!
Harap2 citer ni cptlah berada di pasaran… x sbr nk memilikinya! InsyaAllah… sy masih mmpu bersabar…. hehehehe… =)
aisyatunnajwa
bila nak terbitkan??
ma'al-leap
x sabar nakbeli novel nie dgn novel takdir 2……..bila nak keluar……
syahiran sulhi
confirm kene beli nieh…