Kehidupan: Sumber Teduhan Jiwa
Mungkin ada baiknya saya berkongsi sedikit pengalaman dan harapan berkaitan rumahtangga. Agar rumahtangga yang sama-sama kita bina sekarang atau nanti akan menjadi penyejuk hati dan teduhan jiwa.
Rumahtangga umpama kenderaan bagi satu perjalanan hidup yang panjang. Semakin besar kenderaan kita tentu makin banyak karenah dan makin banyak pula kos saraannya. Bagi keluarga besar yang ramai anggotanya tentu berbagai konflik dan krisis yang menghiasi perjalanannya.
Tentunya perkara biasa bagi rumahtangga yang sudah lama terbina berdepan dengan pelbagai krisis. Umpama kereta tua, jika dari awal tidak dijaga dengan teliti tentu makin lanjut usianya semakin sukar untuk menjaganya atau makin besar dan berlarutan masalah yang ditimbulkan (BER: Beyond Economic Repair). Tetapi sekiranya dari awal dijaga dan diteliti malahan setiap kerosakan dibaiki; kadang-kadang kereta lama begini jauh lebih baik dari kereta-kereta baru yang ada di pasaran.
Malangnya hari ini kita melihat rumahtangga yang ‘terlalu’ baru pun sudah bergoncang bahkan ada yang tidak mampu menemui titik penyelesaian. Dimana salahnya?
Tentunya dengan mencari salah siapa segala permasalahan akan semakin rumit tetapi dengan mengenal pasti dimana punca masalahnya dengan hati yang terbuka dan dinilai dengan nilai iman maka segala masalah yang berat akan terasa ringan.
Ya, menemui punca masalah adalah agak mudah namun untuk menilai dan menyelesaikannya dengan panduan Iman adalah sesuatu yang terlalu sukar terutama di zaman Ghurbah Al Islam As Tsaniyah (Zaman kedagangan Islam kali kedua). Hanya manusia yang meyakini kebesaran dan keagungan Allah mampu mengambil manhaj Allah (iaitu Islam) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Namun bagi jiwa-jiwa yang terdidik dengan kebendaan dan ‘ism-ism’ yang menjauhkan manusia dari keyakinan terhadap kesempurnaaan urus tadbir Allah SWT, tidak akan mampu menjadikan Iman sebagai nilai utama kehidupan dan mengambil Islam sebagai langkah penyelesaian.
Masyarakat manusia pernah melalui fasa kegelapan hingga begitu jauh dari Allah SWT. Anak-anak perempuan dibunuh kerana malu, yang kaya menindas tanpa belas, yang berkuasa menentukan segalanya bahkan serigala diminta menjaga ternakan. Kegelapan menjadikan manusia buta dan tidak mampu menilai apa yang betul dan apa yang salah. Bahkan pohon keinsanan hampir-hampir tumbang dilanda rebut kebinatangan yang begitu buas dan keji. Wanita pada ketika itu umpama barang dagangan yang boleh diwarisi oleh anaknya sendiri.
Ketika inilah, ketika pohon ketamdunanan yang menjadi teduhan masyarakat hampir-hampir tumbang, Allah mengutuskan seorang Rasul untuk membimbing manusia kejalan kebahagiaan. Ketika itu Baginda Rasulullah SAW disambut dengan begitu kasar bahkan baginda dilihat begitu asing dan dagang (Inilah Kedagangan Kali Pertama) sehinggalah satu demi satu jiwa-jiwa ummat disapa petunjuk ilahi dan akhirnya mereka tersungkur sujud pada keagungan Allah.
Wanita menemui semula kehormatan dirinya bahkan Allah membandingkan wanita dan lelaki seperti malam dan siang yang saling perlu memerlukan. Manusia kembali disinari kemuliaan insani hingga mampu menilai dengan akal fikiran yang selama ini kelam dalam kekufuran. Ketika itu rumahtangga menjadi institusi yang begitu mulia dan terhormat.
Hari ini ummat kembali meninggalkan sistem hidup yang mulia ini. Manusia mula hidup dengan konsep-konsep ‘instant’ yang dapat sekadar memenuhi kepuasan nafsu zahirnya. Hari ini tubuh-tubuh wanita dijadikan tarikan untuk barang dagangan, memeriahkan pesta nafsu dan lelakinya begitu sibuk mencari kepuasan diri dengan meninggalkan jauh-jauh Allah dari kehidupan mereka. Ayah begitu sibuk mengumpul kekayaan hingga anak-anak hilang pergantungan. Ibu terlupa menjadi isteri bahakan ada yang lupakan dirinya sendiri.
Apalagi yang kita miliki
Apabila nafsu memahkotai diri
Setelah malu ditanggalkan dan dikeji
Kerana dianggap pengongkong diri
Kebahagiaan hanya tinggal illusi
Apabila Iman tidak lagi menjadi pemandu diri
Hingga jiwa terkapar sesat dalam lautan duniawi
Tidak ada lagi senyuman penglipur diri
Atau sapaan penghilang sunyi
Apabila kemewahan menjadi harga diri
Sedang kejujuran dan keikhlasan
dianggap duri menikam diri
Untuk membina rumahtangga yang suci diera ini agak terlalu sukar. Dari majlis pertunangan hingga ke majlis perkahwinan, begitu banyak perkara-perkara yang menjadikan kita jauh dari redha dan rahmat Allah SWT. Umat hari ini hampi-hampir kehilangan contoh untuk memelihara mahligai impian dari dicemari dosa dan maksiat. Sehingga akhirnya terlaksana majlis pernikahan yang begitu meriah dan gemerlapan tetapi sunyi dari keberkatan.
Bukankah keberkatan itu yang kita cari? Dan apa lagi yang kita ada sebagai benteng apabila rumahtangga yang kita bina berdepan dengan gelombang kehidupan. Kita mengangkat tangan setelah jiwa kita dililit putus asa. Kita mula mencari Allah sebagai penyelamat setelah kita ketepikan demi memnuhi dan meraikan nafsu kita dan nafsu orang lain.
Saya tidak mengatakan kita sudah terlambat kerana tidak ada istilah terlambat dalam taubat selagi kita masih mampu menyedut nafas kehidupan tetapi kita perlu bersedia dan bersabar menerima kifaratNnya.
Bagi yang masih belum berumahtangga, jagalah pandangan anda dan hati anda. Binalah rumahtangga sesuci mungkin demi meraih keberkatan Allah. Tahanlah keinginan anda hanya untuk beberapa seketika. Saya tidak mengatakan rumahtangga begini akan terselamat dari musibah. Bahkan mustahil untuk menjalani kehidupan ini tanpa musibah. Namun sampai saatnya anda akan mengetahui bahawa dalam musibah itu ada kemanisannya ketika jiwa dan rumahtangga kita begitu dekat dengan Allah SWT, kerana Dialah yang mentadbirkan jiwa, yang mengemudi hati dan perasaan bahkan seluruh yang ada dialam ini adalah milikNya dan Dia benar-benar berkuasa atas segala sesuatu.
Bagi yang rumahtangganya sudah sedia terbina, dekatkan diri anda kepada Allah SWT. Tidak mungkin kita memperolehi bahagia tanpa redha dan pertolongan Allah SWT. Segala kekayaan yang kita cari hanyalah alat yang sepatutnya mendekatkan kita pada rasa syukur bukan menjadi tujuan hidup kita.
Seharusnya rumahtangga Mukmin menjadi teduhan jiwa sehingga segala keresahan, kegelisahan dan keperitan berdepan dengan simpang siur dan hambatan hidup dapat dirawat. Bukan menjadikan kita lebih menderita dan sengsara.
Kuncinya ialah;
1. Mawaddah dan rahmah: Rasa cinta dan kasih menjadikan jiwa mudah memaafkan, mampu menerima kekurangan dan kesilapan pasangan serta sentiasa mengharapkan kebaikan dan keindahan rumahtangga.
2. Belapang dada dan berbaik sangka; Disebabkan buruk sangka dan tidak berlapang dada, segala masalah yang kecil dan asalnya mampu ditangani menjadi rumit dan besar hingga hilang senyuman dalam sapaan, hilang kemanisan dalam bahasa serta jiwa menjadi keras dan kasar dan rumahtangga menjadi panas.
3. Saling mempercayai dan saling memaafkan: Tidak ada ikatan lain yang dapat menyatukan dua hati dan dua jiwa salain rasa mempercayai atau tsiqah dan saling memaafkan. Keduanya ini mampu mengusir segala keraguan dan mampu menutup pintu fitnah. Bukankah syaithan menangis dan berdendam melihat dua hati mukmin diijab kabulkan dengan ikatan syarak.
Bukankah kita berumahtangga untuk menyempurnakan agama kita, untuk menikmati kemanisan yang Allah janjikan dari rumahtangga yang terbina dan untuk menyediakan pewaris yang akan menyebarkan nikmat Islam dan mempamerkan keindahan Islam pada seluruh manusia… jadi mengapa kita perlu bermasam muka untuk perkara-perkara remeh sedangkan dengan sedikit kesabaran Allah janjikan syurga dengan segala kenikmatannya.

Mohamad Mariti B Siran
Apa yang dipaparkan di sini boleh dibuat bahan untuk difikirkan dan peringatan kepada pembacanya. Semoga Allaah memberi hidayahNya kepada kita semua, aamiiin.
rodziah ali
Jazakallahu khairan kathira Abu Umar.
ummi huda
alhamdulillah, sama-samalah kita wahai ibu bapa agar dapat membentuk pewaris yang mampu menyebarkan nikmat islam untuk keluarga, masyarakat dan agama.
razimah
Di dalam sebuah keluarga yang terdidik mengikut acuan syarak akan melahirkan ummah yang mengamalkan islam. Jadilah keluarga itu…..