Khamis, 17 Mei 2012   |   25 Jamadilakhir 1433 Hijrah   |   42 Pembaca Online   |   Welcome, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Karya » Cerpen » Cerpen: Kerana Kita Cinta.

Cerpen: Kerana Kita Cinta.

Peta Dunia Takdir ~ Rekaan Aiman Rosli.

Saya enjoy menulis cerpen ini.

Sebab saya sekarang amat suka menulis berkenaan Dunia Takdir.

Jadi, kepada yang mungkin tertanya-tanya berkenaan Kiai Songo di dalam Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam,

enjoy cerpen ini.

Semoga bermanfaat.

Enjoy!

 

 

Pedang yang unik itu sudah berada di pangkal lehernya. Mata si mangsa sedang terbuntang tidak percaya. Pemilik pedang pula memegang erat hulu senjatanya.

“Abang Fathi, hapuskan dia sekarang!” Kiai Alam melaung, sebelum matanya kembali kepada lawan yang tadi bertempur dengannya. Jeneral O Zero yang kini ditangani oleh sahabatnya, Kiai Awan. Dia terus melangkah, melayang dan menghujamkan dua goloknya kepada lawannya itu.

Kiai Bumi kelihatan berada tidak jauh daripada medan pertempuran Kiai Alam dan Kiai Awan. Lelaki tegap itu sedang menggerakkan kedua tangannya, kemudian menepuk ke ais yang menjadi bumi mereka kini. Cerucuk-cerucuk tajam naik tidak jauh dari tempat tepukan, menjulang ke udara menyerbu Jeneral Valdis yang sedang berusaha melompat setinggi mungkin. Kiai Hutan yang bertempur dengan orang yang sama, kelihatan berlari mengelilingi tempat itu dan melancarkan panahannya ke arah Valdis. Namun Jeneral Utopia itu cekap mengelakkan diri dari kedua-dua serangan. Tetapi tidak pula kelihatan dia di pihak yang menang. Hakikatnya Jeneral Valdis sedang terhimpit.

Di arah yang lain, kelihatan Jeneral End sedang memutarkan tombak tiga matanya, sebelum menunduk untuk mengelak pedang milik Kiai Langit. Tetapi pada saat yang sama jugalah, siku Kiai Api hinggap pada topeng wajah Jeneral itu. Jeneral End terundur beberapa langkah sambil berusaha menstabilkan dirinya.

“Brrrrr…” Suara Jeneral Rafael tidak kedengaran, kerana dia kini terperangkap di dalam bebola air. Seorang lelaki berbaju biru cair sedang menyatukan kedua-dua belah tangan pada paras dada. Kiai Laut namanya.

“Celaka!” Jeneral Izrayel Junjaki menepuk bumi. Merekah ais yang menjadi tanah di Utopia. Dia masih gagal memenangi pertarungan ini. Separuh kekuatannya telah pergi apabila bertempur dengan Kiai Suci di awal pertempuran. Dan kini berdiri di hadapannya seorang kiai yang amat misteri. Kiai Sunyi.

“Bangun Jeneral terhebat Utopia. Bangun. Kerana sesungguhnya tiada yang akan mampu menewaskan kami, melainkan yang diizinkan-Nya.” Kiai yang buta itu mengangkat sebelah tangan, menggerakkan empat jemarinya gaya mencabar.

“Argh!” Izrayel bangkit menghunus pedangnya bersama tenaga yang tersembur-sembur. Tetapi Kiai Sunyi langsung tidak tertekan dengan tenaga yang berat itu. Tujahan pedangnya, dielak dengan jarak helaian rambut. Pergelangan tangannya disiku, dan pada masa yang sama dagunya menerima tumbukan keras.

Sekali lagi dia terjatuh, manakala Kiai Sunyi berdiri utuh dalam kekuda yang siaga.

“Abang Fathi! Apa yang ditunggu lagi?” Sekali lagi Kiai Alam melaung. Pedang Gergasi milik O Zero baru sahaja melayang dan terpacak jauh dari pertempuran akibat seni golok kembarnya yang hebat.

Kiai Suci masih seperti tadi. Bersama Sang Asura, makhluk yang berhajat untuk membawa dunia ke alam kegelapan.

“Kiai Suci, apakah kau menyangka, dengan menghabiskan aku hari ini kau akan menyelamatkan dunia?” Sang Asura bersuara garau dan menakutkan. Matanya merah menyala. Kiai Suci kaku sahaja. Sedangkan, jika dia menggerakkan pedangnya hanya sedikit, maka Sang Asura hanya akan tinggal sejarah sahaja.

“Abang Fathi!” Kiai Alam melaung lagi. Jeneral O Zero sudah berada di bawah telapak kaki Kiai Awan.

Tiba-tiba, Kiai Suci menurunkan pedangnya.

Mata Kiai Alam membesar.

“Kita pulang.” Satu persatu tangga kebesaran itu dituruni.

“Mengapa?” Kiai Alam meninggalkan O Zero dan Kiai Awan. Tidak berpuas hati dengan keputusan Kiai Suci.

“Kerana membunuhnya hari ini, tidak akan menyelamatkan dunia.” Pedang di tangannya, dimasukkan semula ke dalam sarung yang tersandang di belakang tubuh. Kiai Suci bergerak terus meninggalkan kawasan Istana Hitam milik Sang Asura.

Kiai-Kiai yang lain turut berundur. Tidak seperti Kiai Alam, mereka patuh tanpa bicara kepada Kiai Suci. Mereka tidak pula dikejar oleh lawan-lawan mereka. Kerana masing-masing tahu apakah pengakhirannya sekiranya pertarungan diteruskan. Kecuali seorang.

Tanpa suara, Jeneral End menyerang dari belakang secara mengejut. Ketika ini, pedang milik Kiai Suci terhunus dengan sendiri, melayang menghentikan serangan tombak tiga mata daripada Jeneral Utopia itu. Jeneral itu kembali hendak menapak ke tanah, namun Kiai Suci sudah berada di hadapan Jeneral.

Waktu seakan menjadi perlahan.

“Apakah kau bahagia dengan kehidupan begini, End?” Mata Kiai Suci bersinar saat melafazkan persoalan itu, sebelum tubuh End yang terapung itu dihentam sepenuh tenaga dengan kedua-dua belah telapak tangannya, menjadikan Jeneral Utopia itu melayang seperti pucuk yang dilancarkan, menghentam singgahsana Sang Asura.

“Asura!” Kiai Suci bersuara sambil menyarung semula pedangnya. Matanya tepat memaku Sang Asura.

“Takdir Allah itu takkan pernah menyebelahi musuh-musuhNya.”

Sang Asura tertawa. “Dan aku tak pernah mempercayai Dia.”

Kiai Suci berpaling, dan terus bergerak keluar dari Istana Hitam. Di perkarangan Istana, kelihatan ribuan tentera yang sedang menggerumuni. Tetapi tiada yang berani mendekati sembilan orang lelaki itu. Ribuan mayat yang wujud menjadi hamparan di atas bumi kini adalah penyebabnya. Ketua Utama Tentera Elit Utopia yang sedang bertongkatkan tombak hitamnya, berlumuran darah bersama zirah yang koyak rabak juga adalah salah satu sebab. Semua itu adalah akibat serbuan sembilan lelaki ini.

“Long Berk, nyata Allah masih memanjangkan usia kamu hari ini.” Kiai Suci bergerak melepasi Ketua Utama itu.

Mereka sampai ke hujung daratan ais, dan di hadapan mereka kini laut yang teramat sejuk. Tetapi tiada satu pun antara Kiai itu yang berhenti melangkah. Semua terus bergerak, menapak di atas air, seperti berjalan di atas lantai yang solid.

Long Berk hanya mampu melirik sembilan lelaki itu yang bergerak pergi.

“Celaka.” Dia mengetap bibirnya yang penuh dengan darah.

 

*******

 

“Abang, saya masih tidak mengerti!” Kiai Alam meninggikan suara.

Kiai-kiai yang lain senyap sahaja melihat Kiai Alam yang kini berdiri betul-betul di hadapan Kiai Suci.

“Bukankah pedang itu adalah apa yang akan memberikan kemenangan kepada kita?” Pedang milik Kiai Suci yang kini damai di atas meja, berada di hujung telunjuknya. Matanya kekal terpaku pada Kiai Suci.

Kiai Suci menggeleng.

“Misi kita, adalah mengislah dunia wahai sahabatku. Bukan untuk membunuh Sang Asura.” Kiai Suci menjawab lembut.

“Tetapi, sekarang, dengan membunuh Sang Asura, dunia akan terislah. Bukankah itu sebab utamanya yang kita pergi menyerbu Tanah Beku itu?!”

“Di situlah kita silap membuat perkiraan.” Kiai Suci menghela nafas. Kedengaran istighfar bergayut perlahan pada bibirnya.

“Silap?”

“Bagaimana agaknya jika selepas Sang Asura mati?” Kiai Suci memandang sahabat-sahabatnya yang lain.

“Dunia akan terselamat?” Kiai Alam pantas menerka.

“Tidak Abang Benjamin.” Keegan, atau Kiai Api menjawab. “Dunia akan rosak di tangan pemimpin-pemimpin Lima Kerajaan.”

Lima Kerajaan, adalah hakikatnya Kerajaan yang agama rasminya adalah Islam. Namun korupsi dan ketamakan pemimpin mereka, menyebabkan dunia jatuh ke kancah kerosakan dan huru-hara. Sang Asura juga hakikatnya adalah hasil perbuatan mereka. Mereka adalah pemimpin yang menghalang Kiai Songo untuk menjejak ke wilayah mereka menyebarkan kebenaran. Mereka adalah yang kemudiannya, tidak menghiraukan nasihat dan pandangan Kiai Songo untuk pertempuran dengan Sang Asura.

Kini, Sang Asura telah berkuasa dan sudah menewaskan hampir kesemua Kerajaan, kecuali Kerajaan Utama. Saki-baki tentera untuk kerajaan-kerajaan yang lain telah berkumpul di Kerajaan Utama.

“Sang Asura itu, sebenarnya adalah ‘teguran’ Allah kepada mereka. Dengan membunuh ‘teguran’ itu, bukankah kita tidak akan memberikan apa-apa kebaikan?” Kiai Sunyi bersuara.

Kiai Alam terdiam. Seakan-akan tersedar.

Tetapi, tetapi…

“Kau wahai adindaku Benjamin…” Tiba-tiba dadanya disentuh lembut oleh Kiai Suci. Terasa seakan-akan sentuhan itu benar-benar menyentuh jiwanya. “Ada dunia di dalam jiwamu. Benar?”

Ketika ini mata Kiai Alam membesar.

“Kau letih dengan perjuangan ini. Penat dengan perjuangan ini. Dan kau ingin segalanya berhenti bukan?” Mata jernih Kiai Suci menyapa matanya.

Tubuh Kiai Alam bergetar. Ketika itu juga air matanya mengalir.

“Kita sudah semakin hampir menamatkan peperangan ini. Sang Asura tidak akan lagi menganggu keluarga kita. Lima Kerajaan hanya akan bertempur sesama mereka. Kita pula telah menyelesaikan tanggungjawab memberikan teguran.” Suara Kiai Alam meninggi.

Kiai Suci menggeleng.

“Tugas ini, tidak pernah selesai, melainkan kita bersamanya hingga saat kematian, wahai Benjamin.”

—————————————————-

Versi penuh cerpen ini hanya  boleh anda ikuti dengan membeli Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

About The Author

Hilal Asyraf

Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Kini merupakan pelajar University of Yarmouk, dalam bidang Usuluddin. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi.

Number of Entries : 298

Comments (11)

  • khaliFah

    Kerana kita cinta, ya.
    Benar sekali saudara Hilal.

    Cinta itu sumber yang paling suci dan paling utuh

    “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku (cintai Nabi Muhammad S.A.W.), Nescaya kamu akan dicintai Allah”

    syukran untuk cerpen yang sangat membina :)
    (saya peminat Novel Takdir :P )

    Reply
  • adysuR

    Penulisnya enjoy apatah lagi pembacanya =)

    Insan itu selalu lupa, yang perlu ditegur agar tidak alpa dan leka.

    Reply
  • aizuddin

    Seronok baca cerpen LI, cuma kalau boleh perbaiki cursor website ni sbb cerpen ni panjang..
    biasa nya bila baca kita nk highlight nk bagi tanda tapi xleh.

    just from my 2cents :)

    Reply
  • izzah

    subhanallah! teruskan. bila akan keluar sequel 2 taqdir?

    Reply
  • LQ97

    ramai pelajar MATRI menghrpkn abg hilal buat takdir dua..kitaorg tertunggu2 apa jdi pada sang asura..x nk baca dlm cerpen..nk dlm novel yg mantap..i.A..cuma sekadar keinginan yg x semestinya dipenuhi.

    Reply
  • saya :)

    salam alaik , alhamdulillah . saya baru selesai membaca novel takdir:cahaya yang tidak terpadam . menarik ! satu perjuangan islam utk mempertahankan agama langit . agaknya , bila keluarn seterusnya ya ?

    Reply
  • evals

    perkara ini mesti selalu di muhasabah berulang kali, kerana kita mudah lupa.

    Reply
  • Cahya

    Salam,

    Manusia seringkali alpa, terima kasih kerana mengingatkan.

    tak sabar rasanya menunggu trilogi Takdir yg ke dua. :)

    Syukran Kathiran

    Reply
  • syahdan haji

    subhanaallah.. saya kagum dgn jln citer novel ni. abg hilal, bila agaknya smbungan citer ni siap ye?
    saya tak sabar nak baca smbungan citer ni. banyak nasihat yg memanggil umat kembali kepadaNya. saya kagum dgn abg. Klu blh sy nak baca smbungan citer ni scptnya.
    sa doakn abg menyiapkan smbungan novel ni tanpa sbrng masalah. Truskan memantapkn akidah umat melalui novel abg.smoge abg trus berjaya , amin. assalamualaikum…

    Reply
  • shiela

    Allah, semakin dibaca semakin tak sabar menunggu Takdir 2. Termakbul sudah keinginan nak tengok kesembilan kiai. Semoga dipermudahkan, untuk menerbitkan Takdir 2 yg ditunggu ramai. :)

    Reply
  • purpleida16

    Terbaikk :D tak sabar tunggu full TAKDIR 2 diterbitkan!! Semoga dipermudahkan, InsyaALLAH, amiiiinn~

    _________________________
    I added cool smileys to this message… if you don’t see them go to: http://html.expresso.me/smileys

    Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top